lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Nahas UPSI : Duit Belanja RM21 Jadi Pemberian Terakhir Buat Adik Bongsu
Nahas UPSI : Duit Belanja RM21 Jadi Pemberian Terakhir Buat Adik Bongsu
BESUT, 9 Jun - Salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Fakhrul Arif Rosdi, 20, yang terkorban dalam kemalangan bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, Gerik, Perak awal pagi tadi sempat memberi duit belanja kepada adik bongsunya sebelum menaiki bas malam tadi. Menurut sepupunya, Izwan Iskandar Che Sopian, 27, arwah telah  dikatakan memberi wang sebanyak RM21 kepada adiknya Nurul Effa Shahira Rosdi, 16. "Adik arwah pelik dengan tindakan arwah, tetapi ia tidak menyangka itu adalah pemberian terakhir buatnya, dan dirinya lebih terkilan apabila duit tersebut tercicir.  " Selain itu, saya juga melihat perubahan ketara apabila arwah banyak termenung dan kurang bercakap ketika berjumpa dengan saudara mara di kenduri di rumah ibu saudara kami di Bukit Yong, Kelantan," katanya ketika ditemui di Kampung Pasir Akar di sini hari ini.  Menurut Izwan, khabar sedih itu hanya diketahui sekitar jam 4 pagi selepas kakak mangsa melihat berita kemalangan tular di media sosial.  "Kami segera hubungi pihak hospital untuk pengesahan dan pada jam 7.30 pagi, kami dimaklumkan secara rasmi arwah memang antara mangsa yang terkorban," katanya. Justeru itu, selepas pengesahan, empat ahli keluarga termasuk ibu bapanya telah bertolak ke Gerik pagi Isnin untuk menguruskan jenazah mangsa. "Arwah dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pasir Akar sebaik tiba dari Hospital Gerik," ujarnya. Menurutnya lagi, arwah Fakhrul Arif merupakan anak ketiga daripada lima beradik dan kini  mengikuti pengajian dalam jurusan Perakaunan di UPSI.  
09 Jun 25
515
Konvoi Membawa 13 Jenazah Pelajar UPSI Dijangka Tiba 2 Pagi
Konvoi Membawa 13 Jenazah Pelajar UPSI Dijangka Tiba 2 Pagi
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Jenazah 13 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas tragis di Lebuh Raya Timur–Barat (Gerik–Jeli) awal pagi tadi kini sedang dalam perjalanan ke Terengganu dan dijangka tiba sekitar jam dua pagi. Kenderaan yang membawa jenazah dilaporkan bertolak dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh sekitar jam 9 malam tadi. selepas selesai proses pengecaman, pengurusan dan kafan jenazah. Tragedi menyayat hati itu berlaku awal pagi tadi apabila bas yang membawa pelajar UPSI dipercayai hilang kawalan dan terbabas di laluan berbukit di kawasan Gerik–Jeli.  Bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jertih ke Tanjong Malim itu dipercayai bertembung dengan sebuah kenderaan serba guna (MPV) yang berada di laluan sama dari arah Jeli ke Gerik. Akibat perlanggaran itu, bas terbabas dan terbalik, manakala MPV terjunam ke dalam parit laluan bertentangan.  15 pelajar disahkan meninggal dunia, manakala beberapa lagi mangsa nahas termasuk empat penumpang MPV dalam kejadian yang sama dilaporkan tercedera.
09 Jun 25
130
Perjalanan Terakhir: 15 Jenazah Pelajar UPSI Dibawa Pulang ke Terengganu
Perjalanan Terakhir: 15 Jenazah Pelajar UPSI Dibawa Pulang ke Terengganu
BESUT, 9 Jun - Seramai 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam nahas bas di Gerik, Perak, awal pagi tadi sedang dibawa pulang ke Terengganu untuk disemadikan di kampung halaman masing-masing. Konvoi pertama, membawa dua jenazah dari Hospital Gerik dijangka tiba di negeri ini sekitar jam 10 malam hingga 11 malam, selepas bertolak pada jam 7 malam tadi sebaik semua urusan forensik dan pengurusan jenazah selesai. Kira-kira jam 9 malam tadi pula, konvoi membawa 13 jenazah dari Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh telah bergerak menuju Besut.  Kesemua jenazah akan disolatkan di Masjid Hadhari, Jerteh.  Terdahulu, kesemua mangsa terlibat dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur-Barat, Gerik, sekitar jam 1 pagi Isnin, melibatkan sebuah bas ekspres dan sebuah MPV Perodua Alza. Bas yang membawa 42 pelajar UPSI dalam perjalanan dari Jerteh ke Tanjong Malim selepas cuti Aidiladha dipercayai bertembung dengan MPV yang berada di laluan sama dari arah Jeli ke Gerik. Akibat daripada perlanggaran itu, bas dipercayai terbabas dan terbalik, manakala MPV terjunam ke dalam parit. 15 mangsa disahkan maut, 13 di lokasi kejadian dan dua lagi di hospital. Selain itu, 7 pelajar cedera parah, baki yang lain mengalami pelbagai kecederaan. Empat penumpang MPV turut cedera, termasuk seorang patah tangan. Bagi memberikan penghormatan terakhir kepada rakan-rakan yang terkorban, seramai 160 penuntut UPSI turut bertolak ke Terengganu hari ini. Mereka dijangka menghadiri solat jenazah dan pengebumian, selain memberi sokongan moral kepada keluarga mangsa.  
09 Jun 25
163
ADUN Batu Buruk Korban 10 Ekor Haiwan Sempena Aidiladha
ADUN Batu Buruk Korban 10 Ekor Haiwan Sempena Aidiladha
KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Sebanyak 10 ekor haiwan telah dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha 1446H di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, melibatkan dua ekor kerbau besar yang menghasilkan sebanyak 720 kilogram daging, serta lapan ekor lembu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program ibadah korban itu dilaksanakan secara gotong-royong oleh penduduk setempat di peringkat Pusat Khidmat DUN Batu Buruk pada hari kedua Aidiladha. "Program ini melibatkan kerjasama petugas-petugas daripada cawangan serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) yang menghantar wakil masing-masing untuk membantu proses penyediaan dan pengagihan daging korban. "Keseluruhannya, dianggarkan sebanyak 2,000 kilogram daging akan diagihkan kepada fakir miskin dalam kawasan DUN Batu Buruk, insya-Allah," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada hari kedua Aidiladha bertempat di  Markas Tarbiyah PAS Kuala Ibai, kelmarin. Dr. Khalil mendoakan agar amalan korban yang diadakan itu mendekatkan diri peserta kepada Allah. "Di samping, dalam mengikut sunnah Nabi Ibrahim dan sunnah Nabi kita Muhammad SAW. Selain itu beliau berkata, ibadah korban itu turut menjadi lambang solidariti terhadap saudara-saudara seagama yang sedang menghadapi ujian, khususnya di Gaza dan bumi Palestin. “Kita juga mengambil semangat ini untuk terus bersaudara dengan saudara-saudara kita yang tidak senasib dengan kita, khususnya saudara-saudara kita di Gaza dan Bumi Palestin secara keseluruhannya," ujarnya.
09 Jun 25
44
Nahas 15 Pelajar UPSI, Solat Jenazah di Masjid Hadhari
Nahas 15 Pelajar UPSI, Solat Jenazah di Masjid Hadhari
BESUT, 9 Jun - Lima belas jenazah penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) dijangka akan disolatkan di Masjid Hadhari, Jertih, di sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor  berkata, semua van jenazah akan bergerak pulang serentak ke Terengganu dan dijangka tiba 10 malam. "Solat jenazah di Masjid Hadhari, Jertih dan waktu solat jenazah akan diberitahu kemudian," katanya di laman Facebook rasminya hari ini. Dalam masa sama, seramai 160 orang pelajar UPSI berlepas dari kampus UPSI di Tanjung Malim ke Jerteh, Terengganu petang tadi. Ia bagi memberikan penghormatan terakhir kepada 15 pelajar UPSI yang maut dalam kemalangan melibatkan sebuah bas dinaiki mereka dengan sebuah kenderaan pelbagai guna di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding awal pagi tadi.  
09 Jun 25
109
Kerajaan Negeri Tanggung Kos Kebumi Mangsa Nahas Bas Pelajar UPSI
Kerajaan Negeri Tanggung Kos Kebumi Mangsa Nahas Bas Pelajar UPSI
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan negeri akan membantu keluarga mangsa  yang terlibat dalam tragedi nahas bas yang mengorbankan sejumlah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Lebuh Raya Timur–Barat (Gerik–Jeli) awal pagi tadi. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata antara bantuan yang diberikan ialah menanggung semua kos pengurusan jenazah dan pengebumian. "Ini termasuk pengangkutan jenazah dari lokasi kejadian ke kampung halaman masing-masing.  "Kita juga sediakan sokongan logistik kepada keluarga mangsa yang berada di hospital atau di lokasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Dalam masa sama, kerajaan negeri, turut menzahirkan rasa amat dukacita dan simpati yang mendalam terhadap tragedi nahas bas yang mengorbankan 15  pelajar (UPSI) itu. Tambah Maliaman lagi, pihaknya juga menggerakkan pasukan sokongan psikososial bagi membantu ahli keluarga mangsa, termasuk menyediakan khidmat kaunseling dan bantuan segera yang diperlukan oleh waris . "Perkara tersebut juga telah  diumumkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu, Dato' Satiful Bahri Mamat pagi tadi," ujar beliau. Menurutnya, kejadian yang menyayat hati itu merupakan satu kehilangan besar bukan sahaja buat keluarga, bahkan kepada negeri Terengganu yang selama ini amat berbangga dengan semangat anak-anak muda dalam menuntut ilmu. "Kami mendoakan agar roh semua mangsa dicucuri rahmat dan keluarga mereka diberikan ketabahan serta kekuatan dalam menghadapi ujian yang amat berat ini," katanya.  
09 Jun 25
108
Nahas UPSI: Abdul Hadi Rakam Takziah
Nahas UPSI: Abdul Hadi Rakam Takziah
MARANG, 9 Jun – Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa simpati mendalam terhadap insiden kemalangan yang mengorbankan 15 nyawa termasuk pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Jalan Raya Timur-Barat, Tasik Banding, awal pagi tadi. Beliau menyampaikan ucapan takziah kepada seluruh keluarga mangsa yang terlibat dalam nahas menyayat hati itu. "Saya merakamkan ucapan takziah kepada seluruh ahli keluarga mangsa tragedi kemalangan di Jalan Raya Timur-Barat, Tasik Banding, Gerik yang meragut 15 nyawa termasuk pelajar-pelajar daripada UPSI, awal pagi tadi. "Tragedi ini amat menyentuh hati kita semua, apatah lagi melibatkan anak-anak muda yang sedang menuntut ilmu yang bakal menjadi pewaris masa depan umat dan negara,” katanya dalam kenyataan di media sosial rasmi beliau hari ini. Beliau turut menzahirkan doa agar semua yang terkorban dikurniakan rahmat dan ditempatkan dalam kalangan insan yang soleh. "Saya mendoakan agar semua yang terkorban diluaskan rahmat Allah SWT ke atas mereka. "Serta ditempatkan dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh," tambahnya. Beliau juga mendoakan agar mangsa yang masih dirawat segera sembuh dan keluarga yang diuji diberi ketabahan dan kekuatan jiwa. "Kepada yang sedang dirawat, semoga diberikan kesembuhan yang segera, dan diberikan kekuatan buat ahli keluarga untuk menghadapi ujian ini dengan sabar dan redha," kata beliau. Beliau turut mengingatkan bahawa setiap nyawa ialah amanah dan kehilangan adalah peringatan agar manusia tidak lupa akan kelemahannya sebagai hamba Tuhan. "Sesungguhnya setiap nyawa itu amanah. "Dan setiap kehilangan adalah peringatan untuk kita kembali menginsafi kelemahan sebagai hamba," ujarnya.
09 Jun 25
64
15 Van Jenazah Kini Bergerak ke Ipoh
15 Van Jenazah Kini Bergerak ke Ipoh
BESUT, 9 Jun - Sebanyak  15 buah van jenazah telah bergerak ke Perak bagi urusan membawa pulang kesemua jenazah nahas insiden penuntut UPSI malam tadi. Ahli Dewan Undangan negeri( ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata kenderaan membawa jenazah termasuk van dan kenderaan pelbagai guna (MPV) pelbagai Badan Bukan Kerajaan (NGO) dari Besut, Setiu dan Kuala Terengganu. Menurutnya, mereka telah berkumpul di perkarangan masjid Hadhari Jerteh dan bertolak pada pukul 10 pagi tadi. "Konvoi ini juga turut diserta oleh beberapa Buah kereta keluarga mangsa. "Kami akan terus menuju ke Hospital dengan bantuan Kereta Peronda Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah Besut," ujarnya ketika dihubungi. Beliau yang turut serta dalam konvoi itu menjangkakan mereka akan tiba di hospital sekitar jam 3 petang dan bergerak pulang ke Terengganu selepas selesai urusan pengurusan jenazah. "Alhamdulillah dengan kerjasama semua pihak dan lebih kurang 50 sukarelawan, kami akan membantu sedaya upaya untuk meringankan kedukaan keluarga mangsa. "Bersama konvoi ini, turut sama jurumandi jenazah lelaki dan wanita termasuk kita membawa semua kelengkapan kain kafan. "Doakan perjalanan kami selamat sampai ke hospital dan pulang ke Terengganu nanti," katanya.  
09 Jun 25
218
Ibadah Korban Hotel Primula Santuni Golongan Memerlukan
Ibadah Korban Hotel Primula Santuni Golongan Memerlukan
KUALA TERENGGANU, 9 Jun – Sempena sambutan Hari Raya Aidiladha, inisiatif tahunan Primula Beach Hotel dengan menganjurkan program korban khas diteruskan untuk membantu golongan asnaf dan keluarga miskin bandar. Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun berkata ia merupakan komitmen pihak hotel dalam menjadikan aktiviti itu sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang menyumbang  kepada pembangunan komuniti. Menurutnya, sebanyak empat ekor lembu korban telah disediakan, dengan setiap bahagian ditawarkan pada harga RM900, melibatkan lembu seberat 320 kilogram seekor.  "Penyertaan dibuka kepada orang awam, warga kerja dan pelanggan setia Primula, dengan tujuan  memperkukuh nilai kebersamaan dan penghayatan ibadah korban dalam komuniti.  "Melalui program Korban Perdana ini, kami berharap dapat menyemai semangat keprihatinan dan  perpaduan, di samping menghayati erti sebenar pengorbanan,” ujarnya dalam satu kenyataan. Tambah Suaibah, Primula bukan sekadar sebuah hotel, tetapi juga sebahagian daripada masyarakat.   Menurutnya, majlis turut disemarakkan dengan penglibatan para kakitangan, peserta korban, serta sesi gotong-royong pembungkusan dan agihan daging korban.  "Kehadiran komuniti sekitar menambahkan kemeriahan, di samping memperkukuh hubungan silaturrahim antara pihak  hotel dan masyarakat. "Selain kita menghidupkan sunnah Nabi Ibrahim AS, program ini juga kita menyemarakkan lagi kebersamaan, perpaduan di antara kita dengan masyarakat," ujar beliau.   
09 Jun 25
58
Nahas UPSI : Kerajaan Terengganu Salur Bantuan Segera
Nahas UPSI : Kerajaan Terengganu Salur Bantuan Segera
Oleh : Noraini Jusoh KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan Negeri Terengganu akan menyalurkan bantuan segera kepada waris mangsa tragedi kemalangan bas yang membawa pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Lebuh Raya Timur-Barat, Banun, Hulu Perak (Gerik), awal pagi tadi. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, ia termasuk bantuan kebajikan dan khidmat kaunseling serta sokongan psikososial kepada keluarga dan rakan-rakan mangsa. "Saya telah mengarahkan jabatan serta agensi berkaitan untuk menyelaras segala urusan dengan pihak universiti, hospital serta kerajaan Persekutuan bagi memastikan setiap mangsa dan waris menerima bantuan sewajarnya. "Kami menyeru seluruh rakyat Terengganu dan Malaysia untuk sama-sama menadah tangan mendoakan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan para syuhada dan orang yang soleh. "Semoga mereka yang cedera diberi kesembuhan segera dan seluruh keluarga yang diuji diberikan ketabahan luar biasa dalam menghadapi saat yang sangat sukar ini," ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini. Satiful.  Pada masa yang sama, beliau yang mewakili kerajaan negeri dan seluruh warga Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri Terengganu merakamkan ucapan takziah kepada semua keluarga mangsa tragedi kemalangan itu. "Tragedi ini menyayat hati kita semua. Bas yang membawa pelajar dari Jerteh ke UPSI itu dilaporkan mengalami kemalangan yang turut melibatkan kenderaan lain. "Maklumat awal menyatakan seramai 42 pelajar menaiki bas tersebut, manakala 4 orang awam terlibat dalam kenderaan berasingan," ujarnya. Beliau dimaklumkan, 15 orang telah disahkan meninggal dunia, termasuk 13 di lokasi kejadian dan 2 lagi di hospital. "Mangsa lain kini dirawat di hospital dalam pelbagai tahap kecederaan. "Difahamkan, majoriti pelajar yang menaiki bas adalah anak-anak Terengganu yang pulang ke kampus selepas bercuti sempena Hari Raya Aidiladha. "Mereka pergi dalam keadaan yang amat mulia, kembali menuntut ilmu dalam perjalanan yang penuh niat suci. Pemergian mereka adalah satu kehilangan besar buat keluarga, masyarakat dan negeri," ujarnya.  
09 Jun 25
269