lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Jalan Raya Gerik-Jeli Tahap Wajib Dibaiki
Jalan Raya Gerik-Jeli Tahap Wajib Dibaiki
KUALA TERENGGANU, 10 Jun - Keadaan jalan di laluan Timur-Barat yang menghubungkan Gerik, Perak dan Jeli tahap wajib diperbaiki kerana ramai yang berpandangan ia sangat kritikal dan tidak selamat untuk dilalui sebarang kenderaan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohd Nor berkata, ketika beliau melalui laluan tersebut telah ada sekitar tujuh kemalangan berlaku ditambah pula faktor hujan serta kesesakan pengguna melalui jalan utama itu untuk pulang ke kampung halaman untuk menyambut Hari Raya Aidiladha. "Tidak melampau jika dikatakan Jalan Raya Gerik-Jeli ini wajib dibaiki sebaik mungkin. "Jimatkan duit negara dengan pemborosan seperti lawatan pemimpin ke luar negara. Puluhan juta itu boleh digunakan untuk membaiki jalan raya kita yang naif dari segi keselamatan,"ujarnya menerusi satu hantaran di facebooknya, di sini, hari ini. Beliau yang kini dalam perjalanan menuju ke Hospital Gerik, Perak mengharapkan agar mangsa yang tercedera dalam tragedi nahas pelajar UPSI segera sembuh. "Semoga yang cedera akan segera pulih dan meneruskan pengajian mereka, juga sokongan perlu diberikan kepada kaum keluarga yang sedang bersedih," katanya Dalam pada itu, Bekas Juruterbang Polis DiRaja Malayisa (PDRM), Mohd Ezairol Rezan Zainol berkata, beliau terasa ngilu melihat penghadang jalan jenis zink yang dirempuh oleh bas tersebut. "Penghadang jalan jenis zink ini dipersoalkan keselamatannya apabila beberapa insiden tragis melibatkan pengguna jalan raya berlaku disebabkan oleh benda ini. "Ia ibarat pisau tajam di jalanan yang boleh meragut nyawa, mungkin dah tiba masanya pihak berkuasa mempertimbangkan reka bentuk yang lebih selamat demi melindungi nyawa pengguna jalan raya," ujarnya. Katanya, beberapa cadangan boleh dipertimbangkan antaranya penggunaan penghadang jenis roller seperti di Korea atau pelapik plastik dipasang bagi mengurangkan risiko kecederaan.
10 Jun 25
416
Sambut Baik Tangguh Sekatan Gas LPG Subsidi - Rosol
Sambut Baik Tangguh Sekatan Gas LPG Subsidi - Rosol
HULU TERENGGANU , 10 Jun — Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Dato' Rosol Wahid menyambut baik keputusan kerajaan untuk menangguhkan penguatkuasaan peraturan yang mengehadkan penggunaan gas LPG bersubsidi kepada peniaga kecil. Beliau berkata perjuangan membantah pelaksanaan dasar itu sejak awal bukan bersifat populis, sebaliknya berpaksikan kepentingan rakyat. Menurutnya, walaupun menerima kecaman dan kritikan sewaktu isu ini mula dibangkitkan, beliau tetap konsisten memperjuangkan suara rakyat yang bakal menanggung beban akibat dasar tersebut. “Tak mengapalah saya dikecam dan dihentam apabila saya bangkitkan isu ini. Tetapi Alhamdulillah, akhirnya kerajaan mendengar cadangan kami dan tangguhkan penguatkuasaan. "Apa yang kami perjuangkan adalah demi kepentingan rakyat, bukan kepentingan diri,” ujar beliau dalam satu kenyataan hari ini. Rosol turut menekankan bahawa sebarang perubahan dasar melibatkan barangan keperluan asas seperti gas LPG perlu dibuat secara berperingkat dan disertakan dengan pelan pelaksanaan yang teliti agar tidak memberi kesan domino kepada pengguna akhir. “Bayangkan kesannya kepada rakyat kalau peraturan sekat penggunaan gas LPG subsidi kepada peniaga kecil ini terus dilaksanakan tanpa pelan yang betul, akhirnya pengguna yang akan terkesan,” tambah beliau. Dalam masa sama, Rosol turut menyeru agar kerajaan terus mengadakan sesi libat urus dengan semua pihak berkepentingan. "Ia bagi memastikan sebarang dasar yang digubal benar-benar menjaga kebajikan rakyat, terutama golongan berpendapatan rendah dan peniaga kecil yang bergantung kepada sumber itu untuk kelangsungan perniagaan," ujarnya.    
10 Jun 25
111
PM Diselar Kerana Jawapan ‘Sambil Lewa’ Isu PETRONAS
PM Diselar Kerana Jawapan ‘Sambil Lewa’ Isu PETRONAS
KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan Perdana Menteri yang didakwa sambil lewa berhubung isu pemberhentian 5,000 pekerja kontrak PETRONAS. Menurut beliau, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meremehkan isu itu dengan menyatakan bahawa mereka hanyalah pekerja berstatus kontrak mencerminkan sikap kurang empati terhadap nasib rakyat yang terjejas. “Saya cukup kecewa dengan jawapan sambil lewa seorang Perdana Menteri berhubung rancangan PETRONAS berhentikan 5,000 pekerja dengan menyebut mereka ini berstatus kontrak. “Nada jawapan beliau seolah-olah tiada empati bahawa 5,000 orang pekerja berkenaan adalah rakyat kita, ada keluarga yang bergantung hidup,” katanya dalam satu kenyataan.  Beliau turut mempersoalkan sama ada inilah pandangan sebenar kerajaan terhadap semua penjawat kontrak yang mudah dikorbankan apabila berlaku krisis atau penstrukturan syarikat. Ahmad Amzad turut mengingatkan bahawa majoriti petugas sektor kesihatan negara, termasuk pegawai perubatan dan doktor pelatih, juga kini berstatus kontrak. Kenyataan itu dilihat terus relevan ketika umat Islam di seluruh negara menyambut Aidiladha hari ini, apabila erti sebenar pengorbanan seharusnya turut merangkumi penghargaan kepada mereka yang saban hari berkorban tenaga dalam pembangunan negara termasuk golongan pekerja kontrak yang sering terpinggir.
10 Jun 25
155
Mangsa Nahas Terakhir Selamat Dikebumikan
Mangsa Nahas Terakhir Selamat Dikebumikan
BESUT, 10 Jun - Jenazah Nurul Fatihah Setaman, 22, menjadi jenazah mangsa kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik yang terakhir dikebumikan, hari ini. Allahyarhamah Nurul Fatihah selesai disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Duek, Jerteh pada jam 10.30 pagi ini. Sebelum itu, rakannya Nur Izyanti Muhammad Azahar, 21, selesai dikebumikan di tanah perkuburan persendirian Kampung Lubuk Kawah Jerteh, pada jam 10.00 pagi. Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr. Norkhalid Salimin memaklumkan, jenazah Nurul Fatihah merupakan yang terakhir disemadikan daripada 15 penuntut UPSI yang terlibat. "Alhamdulillah, semua dipermudahkan. Sehingga ke detik ini semua berjalan lancar. "Untuk makluman, ada 15 lokasi berbeza, UPSI prihatin dengan kebajikan pelajar, kita 'assign' satu pusat tanggungjawab satu lokasi," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Duek, hari ini. Dr Norkhalid turut berterima kasih kepada semua pihak terbabit dalam memudahkan dan menguruskan kesemua mangsa terlibat dalam insiden berkenaan. Tambahnya, ia termasuk sokongan daripada universiti awam kesepakatan dan kebersamaan dalam menghadapi krisis seperti itu.    
10 Jun 25
492
Selesai Urus Jenazah, Terengganu Fokus Bantu Mangsa Cedera
Selesai Urus Jenazah, Terengganu Fokus Bantu Mangsa Cedera
BESUT, 10 Jun - Berakhirnya urusan pengebumian jenazah mangsa-mangsa nahas kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik dengan pengebumian dua jenazah terakhir, Nurul Izyanti Muhammad Azahar dan Nurul Fatihah Setaman hari ini, Kerajaan Terengganu kini fokus dalam menyalurkan bantuan bagi mangsa-mangsa yang tercedera. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Maliaman Kassim berkata, pihaknya sedang memperkemaskan maklumat untuk penyaluran bantuan tersebut. "Malam ini (semalam) kita sudah berikan bantuan segera sebanyak RM1,000 seorang kepada YB masing-masing iaitu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera (3 orang mangsa) ,Kuala Besut (1), Hulu Besut (5), Jerteh (1), Langkap (1) dan Jabi (4 mangsa). Itu untuk bantuan segera. "Selepas ini, kita akan fokus kepada yang cedera. Kita banyak sumber sebenarnya, cuma belum tahu lagi mungkin dari JKM, universiti dan sebagainya. "Setakat ini kita dapat maklumat yang kritikal ada seorang di Ipoh yang memerlukan pembedahan dengan kos sebanyak RM27,000," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan solat jenazah 13 mangsa terlibat di Masjid Hadhari Jerteh, awal pagi tadi. Beliau memaklumkan akan meneliti kos berkenaan serta berunding dengan pihak Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkaitan perkara itu. "Kita juga akan tengok lagi bagi yang cedera dan meneliti lokasi mereka berada. "Ini termasuk pemandu dan kelindan kerana mereka rakyat Terengganu juga. "Setakat ini, saya telah berhubung dengan isteri pemandu dan dia maklumkan ada patah (cedera) tetapi tidak disahkan lagi tahapnya. "Manakala, kelindan masih tidak pasti keadaannya," katanya.  
10 Jun 25
169
Doa Sultan Mizan Iringi Perjalanan Akhir 15 Permata Terengganu
Doa Sultan Mizan Iringi Perjalanan Akhir 15 Permata Terengganu
KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah menzahirkan rasa dukacita dan ucapan takziah kepada seluruh keluarga 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang telah terkorban dalam kemalangan tragis di Jalan Raya Timur Barat (JRTB), Gerik-Jeli, kelmarin.  Dato’ Pengelola Bijaya Diraja, Dato’ Mohd Sophian Abu Bakar berkata, baginda berdua turut merakamkan perasaan simpati yang mendalam terhadap penderitaan dan kehilangan yang ditanggung oleh ahli keluarga mangsa. “Baginda Sultan dan Sultanah mendoakan agar seluruh keluarga yang kehilangan insan tersayang dalam tragedi ini dikurniakan kekuatan jiwa, ketabahan hati dan kesabaran yang tinggi dalam menghadapi ujian yang sangat berat ini.  “Baginda turut berdoa agar roh semua mangsa dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam kalangan para solihin,” kata beliau dalam satu kenyataan media sebentar tadi.  Tragedi yang menggemparkan negara itu berlaku ketika para pelajar dalam perjalanan pulang ke kampus selepas bercuti bersama keluarga sempena Aidiladha.  Kemalangan membabitkan sebuah bas yang membawa pelajar UPSI itu telah menyebabkan 15 nyawa terkorban, manakala selebihnya mengalami kecederaan dan sedang menjalani rawatan di hospital. Dalam perkembangan sama, menurut Mohd Sophian, baginda berdua juga tidak melupakan mangsa yang sedang dirawat di Hospital Taiping, Hospital Gerik dan Hospital Raja Permaisuri Bainun akibat tragedi tersebut menyayat hati itu.  "Baginda juga mendoakan semoga semua yang tercedera diberikan kesembuhan segera oleh Allah SWT serta dipermudahkan segala urusan berkaitan rawatan dan pemulihan," tambah kenyataan itu lagi. Berdasarkan laporan terkini, kesemua jenazah telah dibawa pulang ke kampung halaman masing-masing untuk solat jenazah dan dikebumikan.  Kesemua jenazah telah tiba Besut pada 10.30 malam semalam dan 3 pagi tadi.  14 jenazah telah disempurnakan solat jenazah di Masjid Hadhari Jerteh.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi mengetuai solat jenazah dengan kehadiran lebih 3,000 jemaah di masjid berkenaan.  Kemudian, proses pengebumian berjalan dengan penuh tertib dan dihormati, disertai ribuan rakyat yang hadir memberikan penghormatan terakhir.
10 Jun 25
5252
Tiga Kali Pengecaman, Baru Akur Anak Sudah Tiada
Tiga Kali Pengecaman, Baru Akur Anak Sudah Tiada
BESUT, 10 Jun - Tiga kali proses pengecaman dilakukan Rosdi Yunus, 56, sebelum mengesahkan mangsa nahas kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik itu merupakan anaknya, Allahyarham Fakhrul Arif Rosdi, 22. "Jam 12.00 (tengah hari) juga baru buat pengecaman kali pertama iaitu pengecaman dengan gambar sahaja. "Apabila kita tengok gambar, kita tidak cam, maknanya muka(nya) berubah dan kita kata bukan. "Selepas itu pengecaman melalui pakaian, kita tidak cam juga," katanya. Jelasnya lagi, sehingga pihak polis terpaksa membuat penelitian melalui imbasan cap jari yang membuat dia akhirnya akur. "Kalau kita tengok dan 'comfirm' hanya lima peratus (yakin), takkan kita hendak ambil lima peratus dan buang 95 peratus?" ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Allahyarham Fakhrul selesai disemadikan di Perkuburan Islam Kampung Pasir Akar, pada jam 4.30 pagi tadi. Bapa kepada lima orang anak itu bagaimanapun, bersyukur urusan pengebumian berjalan lancar sebagaimana diharapkan. "Alhamdulillah, kalau diikutkan kita hendak kebumi esok (hari ini), tetapi melihatkan keadaan jenazah maka dipercepatkan. "YB (Yang Berhormat) di sini minta kebenaran untuk solat setempat dan dibawa pulang ke kampung untuk dikebumikan sahaja," katanya.
10 Jun 25
9202
Nahas Pelajar UPSI: Dr. Khalil Ketuai Solat 13 Jenazah
Nahas Pelajar UPSI: Dr. Khalil Ketuai Solat 13 Jenazah
SETIU, 10 Jun - Seramai 13 jenazah pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terlibat dalam kemalangan maut di Kilometer 53, Jalan Raya Timur-Barat berhampiran Tasik Banding, Gerik tiba di Masjid Hadhari Jerteh, untuk urusan solat jenazah pada jam 2.55 pagi. Proses penyusunan jenazah dikelolakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dalam dewan seminar masjid. Seterusnya, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi mengetuai solat jenazah dengan kehadiran lebih 3,000 jemaah. Urusan solat jenazah selesai pada jam 3.20 pagi. Jenazah kemudian dihantar ke kampung masing-masing untuk dikebumikan.
09 Jun 25
151
Nahas Pelajar UPSI: Jenazah Wan Nur Suhaila Selamat Dikebumikan
Nahas Pelajar UPSI: Jenazah Wan Nur Suhaila Selamat Dikebumikan
SETIU, 10 Jun - Allahyarhamah Wan Nur Suhaila Wan Muhammad, 22, salah seorang mangsa nahas pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Kampung Amer, tepat jam 12.00 malam. Terdahulu, jenazah tiba dari Hospital Gerik pada jam 10.51 malam menaiki van jenazah UPSI dan dibawa ke terus rumahnya yang terletak di Kampung Amer, Kota Putera untuk tatapan terakhir ahli keluarganya. Hadir sama di rumah keluarganya ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman dan ADUN Rantau Abang yang juga merupakan bapa angkat Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) UPSI, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli. Allahyarhamah kemudian dibawa ke Masjid Al-Mukhlisin Kg Amer pada jam 11.13 malam dan disolatkan kira-kira 500 jemaah yang hadir. Salam pada itu, Jenazah Allahyarham Muhammad Adib Hazim Halim tiba di Masjid Hadhari Jerteh pada 10.45 malam. Beliau kemudian dibawa pulang ke Kampung Pasir Badak, Hulu Besut selepas disolatkan.  
09 Jun 25
192
Kerajaan Terengganu Tanggung Kos Bedah Pelajar UPSI RM27,000
Kerajaan Terengganu Tanggung Kos Bedah Pelajar UPSI RM27,000
HULU TERENGGANU, 10 Jun – Kerajaan Terengganu akan menanggung sepenuhnya kos pembedahan mangsa tragedi Gerik, Wan Nor Masyitah Wan Hussin yang mengalami kecederaan serius dalam kemalangan ngeri terbabit.  Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri,  Maliaman Kassim berkata, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (ISMP), Pendidikan Islam Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu dilaporkan mengalami patah paha, retak tulang pinggul dan tulang belakang. Kata beliau, Wan Nor Masyitah kini sedang menunggu masa untuk menjalani pembedahan yang dianggarkan menelan kos sebanyak RM27,000. "Kerajaan negeri melalui Tabung Darul Iman telah memberi jaminan rasmi bahawa kos pembedahan pelajar berkenaan akan ditanggung sepenuhnya. "Jabatan Kerja Sosial Perubatan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) telah berhubung terus dengan Hospital Taiping yang kini merawat pelajar ini dan memberi komitmen bahawa kos rawatan termasuk pembedahan akan ditanggung oleh kerajaan negeri," katanya hari ini. Tambah Maliaman, imbasan CT (CT Scan) telah dilakukan oleh pihak Hospital Taiping dan prosedur pembedahan akan dijalankan secepat mungkin. "Namun ia bergantung kepada tahap kesihatan semasa pelajar tersebut. "Kita harap ibu bapa tidak bimbang dari segi kos. Insya-Allah kerajaan negeri akan tanggung sepenuhnya seperti yang telah dimaklumkan," ujar beliau. Wan Nor Masyitah merupakan salah seorang daripada enam Exco Persatuan Mahasiswa Terengganu (PERMATA) yang terlibat dalam tragedi tersebut. Maliaman turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri akan terus memberi perhatian serius terhadap semua pelajar yang terlibat dalam insiden tersebut. "Mana-mana pelajar yang cedera dan memerlukan rawatan lanjut termasuk pembedahan, akan dinilai dari semasa ke semasa. "Kes-kes yang serius akan diberi keutamaan dan tindakan pantas akan diambil," katanya.
09 Jun 25
2150