Artikel "Semasa" Terkini
Enam Masjid Ditutup Untuk Proses Sanitasi
KUALA TERENGGANU, 29 Januari- Sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuatkuasakan kerajaan Jumaat lalu, sebanyak enam masjid di negeri ini terpaksa ditutup untuk proses sanitasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), M Rozi Bidin berkata, penutupan masjid antara tiga dan lima hari itu hanya untuk disanitasi susulan rumah ibadat itu dikunjungi jemaah disyaki kontak rapat kepada individu dijangkiti virus COVID-19.
Katanya, bagi mengelakkan lebih banyak masjid ditutup untuk disanitasi, masyarakat digesa terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.
Jelasnya, arahan mengehadkan jumlah jemaah ke masjid untuk solat Jumaat dan surau antara kaedah terpaksa dilakukan bagi mengelak penularan pandemik COVID-19 dalam kalangan komuniti.
"Tindakan mengehadkan jumlah jemaah untuk menunaikan solat jumaat dan solat fardhu di semua surau bukan bertujuan menghalang mereka ke masjid dan surau, sebaliknya sebagai langkah pencegahan bagi mengelakkan berlakunya kluster masjid.
"Kita dimaklumkan, jumlah jangkitan tempatan COVID-19, sejak pelaksanaan PKP 2.0 dikuatkuasakan kerajaan adalah berjumlah 480 kes.
"Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dimaklumkan sejak berlakunya penularan pandemik COVID-19, kalangan tempatan, enam masjid diarahkan untuk proses sanitasi," katanya.
M Rozi berkata demikian ketika menyampaikan bantuan kewangan berjumlah RM50,000 kepada petugas barisan hadapan kesihatan di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.
Penyampaian replika cek daripada MAIDAM itu disampaikan kepada Pengarah HSNZ, Dr Amizan Mohamed.
M Rozi berkata, masyarakat Islam di negeri ini digesa supaya mengutamakan pemantuhan SOP untuk bersama membantu kerajaan memutuskan rantaian jangkitan dan menghalang perebakan COVID-19 dalam komuniti.
29 Jan 21
1545
10 Notis Dikeluarkan Kepada Peniaga, Disyaki Naikkan Harga Peranti Elektronik
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Sebanyak 10 notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 telah dikeluarkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu kepada peniaga perkakasan komputer, telekomunikasi dan peranti elektronik kerana disyaki menaikkan harga jualan.
Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd. Kia berkata, notis tersebut dikeluarkan kepada dua peniaga di bandar raya ini, Kemaman dan Besut masing-masing tiga serta Dungun (dua).
Katanya, pemeriksaan di bawah Ops Catut 8.0 melibatkan peniaga di seluruh negeri yang menjual peralatan elektronik seperti set komputer, komputer riba, mesin pencetak, tablet dan telefon bimbit.
"Notis yang dikeluarkan mewajibkan peniaga untuk memberi maklum balas dan maklumat perincian harga jualan dan kos barangan bagi tujuan siasatan lanjut, sama ada berlaku pengambilan keuntungan berlebihan atau sebaliknya.
"Peniaga berkenaan diberi tempoh masa selama dua hari untuk membekalkan kesemua maklumat tersebut, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Katanya, Ops Catut 8.0 yang dilaksanakan mulai 26 Januari sehingga 8 Februari 2021 bertujuan membendung salah laku atau manipulasi harga oleh peniaga susulan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Peniaga diingatkan untuk tidak mengambil kesempatan dalam situasi sekarang dengan menaikkan harga barangan sesuka hati demi mengaut keuntungan berlebihan.
"Peniaga yang ingkar dalam perkara ini akan berhadapan dengan tindakan tegas di bawah Sekyen 14 Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011," ujarnya.
Katanya, jika sabit kesalahan individu boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya, manakala bagi syarikat boleh didenda sehingga RM500,000.
"Pihak KPDNHEP mengalu-alukan kerjasama daripada para pengguna untuk menyalurkan sebarang maklumat salah laku atau aduan melalui saluran yang disediakan bagi memastikan para peniaga sentiasa mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan," ujarnya.
28 Jan 21
491
Sektor Perikanan, Benih Ikan Terengganu Teratas Di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 28 Januari –Terengganu adalah antara negeri yang berada di kedudukan teratas dari segi pengeluaran benih ikan kerapu hibrid dan ikan siakap dengan keseluruhan pengeluaran hampir satu billion ekor sehingga November 2020.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pengeluaran benih daripada pusat-pusat pembenihan adalah sebanyak hampir satu billion ekor atau 902,219 juta ekor.
Gambar Arkib Sebelum PKP
“Manakala sektor perikanan mencatatkan kenaikan pengeluaran hasil ikan sebanyak 5,133 metrik tan dengan nilai kira-kira RM80 juta.
“Peningkatan ini mencecah 13 peratus berbanding pada tahun 2019 iaitu 4,468 metrik tan,” katanya ketika berucap dalam siaran atas talian majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman baru-baru ini.
Tambahnya, dalam usaha memperkayakan sumber perikanan, Terengganu merupakan satu-satunya negeri yang menyumbang dana tersendiri digabung jalin dengan peruntukan kerajaan pusat sejak tahun 2019.
Gambar Arkib Sebelum PKP
“Pada 2019 kerajaan telah memperuntukkan RM300 ribu untuk program pembinaan serta melabuh tukun tiruan dan unjam.
“Manakala RM200 ribu lagi diperuntukkan kerajaan persekutuan menjadikan keseluruhannya dalam RM500 ribu, tahun 2021, RM1.21 juta atau 4 gali ganda jumlah berbanding tahun sebelumnya telah diperuntukkan sebagai langkah meningkatkan ekonomi lautan rakyat.
“Jumlah tersebut akan memfokuskan projek pembinaan serta melabuh tukun tiruan dan unjam dan program pelepasan benih perairan umum,” ucapnya.
28 Jan 21
1822
Berita Baik Buat Nelayan, Penggiat Pertanian
KUALA TERENGGANU, 28 Januari – Berita gembira dikongsi oleh Menteri Besar Terengganu apabila 602 Lesen Nelayan Sampan Zon A (kategori pesisir pantai) telah diluluskan sempena Pelancaran Tahun Pertanian Negeri Terengganu 2021.
Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, permohonan tersebut diluluskan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI).
“Tambah lagi, sebanyak RM300 ribu insentif telah diperuntukkan kepada 173 peserta program Sijil Amalan Pertanian Baik (MYGAP), Insya-Allah melalui insentif ini akan melahirkan beras MYGAP Terengganu.
“Sebanyak RM330 ribu diperuntukkan dalam projek lembu sado berkelompok di mana projek kandang berkelompok akan melibatkan seramai 10 peserta dan 13 peserta lagi dalam projek induk pengganda.
“283 orang penggiat dalam sektor pertanian telah menerima bantuan sebanyak RM 5.7 juta daripada Skim Bantuan Modal Tani (SBMT) di mana pinjaman tersebut adalah tanpa faedah,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ucapannya dalam siaran atas talian majlis pelancaran Tahun Pertanian Terengganu 2021 di Wisma Darul Iman baru-baru ini
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.
Mengulas lanjut berkenaan tahun pertanian negeri 2021, Dr Samsuri memaklumkan, tiga sasaran ditetapkan bagi kempen tersebut dalam meningkatkan ekonomi sektor pendidikan.
“Pertama, kita akan sasarkan peningkatkan purata pendapatan petani kepada RM3,000 sebulan bagi sebuah isi rumah.
“Kedua, sumbangan sektor pertanian juga akan ditingkatkan kepada 10 peratus daripada jumlah Keluaran dalam negara kasar (KDNK) negeri serta jumlah guna tenaga dalam sektor pertanian disasar peningkatan daripada 42,900 kepada 44,000 orang,” ujarnya.
28 Jan 21
2050
Frontliner COVID-19 Terus Disantuni- Dr. Khairuddin
Oleh : Qatadah Zakaria/Syahida Mohd
KUALA NERUS, 28 Januari - Seramai 46 orang petugas barisan hadapan di Pusat Kuarantin Institut Perguruan Dato' Razali, Batu Rakit, Kuala Nerus menerima sumbangan bekalan makanan daripada Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.
Setiausaha Politik beliau, Ustaz Mohd Kamal Nazmi Kamaruddin berkata Sekretariat Parlimen Kuala Nerus akan berusaha menjaga kebajikan petugas hadapan yang telah bertungkus lumus menyumbang tenaga dalam membantu pesakit Covid-19 di daerah tersebut.
"Angkatan Pertahanan Awam dan Pegawai Kesihatan serta petugas hadapan banyak membantu pihak kita dalam memastikan kebajikan pesakit.
"Peranan mereka juga sangat membantu mengekang penularan covid 19 dari terus merebak, " ujar beliau yang mewakili Dr, Mohd Khairuddin.
Dalam masa yang sama, Dr. Khairuddin yang dihubungi turut menyatakan kebimbangan beliau berkenaan peningkatan kes positif di daerah Kuala Nerus serta keadaan rakyat yang terkesan akibat pandemik.
"Kita berharap rakyat dapat bersabar dengan ujian yang melanda serta memberi kerjasama dan sokongan sebaiknya buat semua pihak.
"Bantuan berbentuk beras, minyak masak dan tepung gandum telah disediakan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus sebagai bantuan sokongan kepada rakyat Kuala Nerus,"ujar beliau.
Justeru itu katanya, mereka yang terkesan boleh berhubung terus kepada Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus ataupun merujuk kepada Penyelaras DUN masing-masing.
28 Jan 21
433
Impian Keluarga Nelayan Milki Rumah Selesa Tercapai
MARANG, 29 Januari- "Kami sekeluarga yang sebelum ini tinggal di rumah uzur sangat bersyukur kerana impian untuk miliki rumah selesa sejak sekian lama akhirnya tercapai.
"Syukur ke hadrat Ilahi dan jutaan terima kasih kepada pihak berkaitan atas pemberian yang sangat berharga ini," kata Muhamad Adafis Zakirai, 30.
Penetap di Kampung Sungai Kerak, beliau antara 19 penerima bantuan rumah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di kawasan Marang.
"Sebelum ini, kami pernah memohon bantuan ini daripada beberapa pihak terlibat, tetapi tidak mendapat sebarang jawapan malah tiada tindakan sehingga diluluskan permohonan ini," katanya yang mencari rezeki sebagai nelayan.
Muhamad Adafis mewakili ayahnya Zakirai Kadir, 64, sebagai penerima bantuan mengucapkan jutaan terima kasih atas rumah yang siap dibina tambahan lagi keperluan rumah yang lebih selesa sangat penting kerana menjaga ibunya yang menghidap sakit lumpuh.
Pengarah LKIM Negeri Terengganu, Mastam Nado, berkata, sebanyak 19 buah rumah projek bina baru rumah telah diperuntukkan di kawasan Marang, termasuk dua di DUN Rhu Rendang.
"Kos yang diperuntukkan ini menelan belanja hampir RM247,000 dan pemohon pula terdiri daripada nelayan yang berdaftar dengan Persatuan Nelayan.
"Program ini diharap dapat membantu keluarga Zakirai dimana kita turut dibantu oleh pihak pejabat ADUN," katanya.
Beliau berkata ketika hadir ke majlis penyerahan rumah yang telah siap dalam Projek Bina Baru Rumah LKIM yang turut dihadiri oleh Pengerusi JPKK Sungai Kerak, Muhamad Azahar Adam.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah membantu menampung kos menimbun serta meratakan tanah untuk penstrukturan tanah yang lebih kukuh bagi mengelakkan air bertakung.
"Memandangkan kawasan rumahnya sebelum ini sedikit rendah, kerja-kerja tanah tersebut akan dapat membantu mengelakkan air bertakung, malah kos merobohkan rumah sebelum ini juga turut kita keluarkan,
"Ini adalah usaha kita untuk merealisasikan impian mereka di samping berkerjasama dengan agensi-agensi yang terlibat untuk bantuan bina baru seperti ini," tambahnya.
28 Jan 21
1748
Manfaatkan PKP, Guru Cipta Tangga Ke Angkasa
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengekang masyarakat daripada menjalani kehidupan harian secara normal tidak menghalang sekumpulan guru untuk mengembangkan bakat mereka.
Sejak bermulanya PKP 1.0 pada tahun lalu, para guru dari Sekolah Kebangsaan Bintang atau BESTars di Setiu memanfaatkan masa bagi meningkatkan keceriaan serta kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sekolah dan salah satunya adalah ‘tangga ke angkasa' yang dinamakan Outer Space bagi menarik minat para pelajar.
Guru Besarnya, Zanariah Jaafar memaklumkan, guru-guru telah merubah tangga laluan utama ke pejabat sekolah menjadi 'ruangan angkasa' bagi meningkatkan minat murid-murid sekolah berkenaan terhadap ilmu astronomi.
"Sekolah kami dikategorikan sebagai sekolah luar bandar dan ramai anak-anak di sini tidak pernah berpeluang untuk melihat sendiri kemudahan dan kecanggihan teknologi seperti yang ada di Pusat Sains Negara dan Petrosains.
"Jadi, ketiadaan pelajar di sekolah ketika PKP dan PKP Bersyarat lalu, guru-guru cuba membawa suasana tersebut ke dalam sekolah,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sekolah terbabit, baru-baru ini.
Laluan masuk ke Outer Space.
Menurutnya, penambahbaikan dari segi keceriaan dalaman dan luaran itu merupakan salah satu aspek yang dilakukan pihak sekolah dalam mewujudkan pembestarian sekolah dari segi ICT dan kemudahan pembelajaran secara maya.
“Perubahan-perubahan ini turut melayakkan sekolah menyertai Anugerah Festival Digital Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu 2020 mewakili daerah Setiu.
“Lebih membanggakan, kami berjaya menjadi johan Pembestarian Sekolah dan turut mendapat naib johan bagi Ikon Robotik Murid Bestari Cemerlang,” katanya.
Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Mohd Yasmin Yusof menzahirkan kebanggaan atas usaha tersebut.
“Kesungguhan beliau dan sokongan guru-guru telah berjaya meletakkan sekolah di tahap yang tinggi. Kita menyokong penuh usaha ini dan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Jelasnya, pembestarian sekolah bukan setakat menghias, menceriakan sekolah tetapi lebih penting lagi ialah manfaat dari segi pendidikan kepada pelajar.
“Beza antara sekolah luar bandar dan di bandar ini adalah pergantungan pelajar kepada sekolah amat besar. Di kawasan bandar, anak-anak ini boleh dapat kemudahan dan kemahiran terutama ICT di pelbagai cabang.
“Di luar bandar, kekurangannya ialah anak-anak bergantung kepada sekolah. Kalau sekolah tidak memperkasakan perkara ini, maka kemahiran pelajar dari segi ICT, ilmu mengenainya akan terjejas.
“Apabila BESTars memperkasakan aspek ini dengan membuat perubahan-perubahan dari segi fizikal untuk menarik minat pelajar, meski dengan kekurangan mereka akan seronok untuk belajar,” katanya.
Tambahnya lagi, pada masa yang sama memberi impak dengan pelajar akan seronok untuk hadir ke sekolah.
28 Jan 21
393
Tiga Lagi Sekolah Rendah Di Terengganu Ditutup Akibat COVID-19
KUALA TERENGGANU, 26 Januari- Tiga lagi sekolah rendah di negeri ini masing-masing dua di daerah Kuala Terengganu dan satu di Hulu Terengganu diarah tutup selama tujuh hari bermula semalam, hingga 31 Januari depan kerana terdapat kakitangan sekolah yang disahkan positif COVID-19.
Sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Paya Bunga dan Sekolah Kebangsaan Pusat Cabang Tiga di Kuala Terengganu serta SK Bukit Apit di Hulu Terengganu.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, penutupan itu bagi membolehkan kerja-kerja sanitasi dilakukan bagi mencegah penularan wabak pandemik di semua sekolah terbabit.
Menurut beliau, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah mengeluarkan surat penutupan tiga sekolah rendah itu kepada Jabatan Pendidikan negeri bagi kawalan perebakan penyakit berjangkit.
“Arahan penutupan sekolah itu dikeluarkan mengikut Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) serta kegagalan mematuhi arahan kerja membasmi kuman adalah satu kesalahan mengikut Seksyen 22 (b) Akta 342.
“Jika sabit kesalahan mengikut Seksyen 24 (a) akta sama boleh dipenjara selama tempoh tidak lebih dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Dengan notis terbaru itu, sebanyak 15 sekolah rendah iaitu masing-masing 14 di daerah Kuala Terengganu dan satu di daerah Hulu Terengganu ditutup setakat ini susulan kes positif COVID-19.
26 Jan 21
8103
COVID-19 Dijangka Turun Kepada Dua Angka Mei Depan
KUALA LUMPUR, 25 Januari – Kes COVID-19 dijangka dapat diturunkan kepada dua angka pada bulan Mei nanti sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama empat minggu ini disambung dengan PKP Bersyarat (PKPB) untuk tempoh tiga bulan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PKP yang sedang berjalan tidak akan dilanjutkan selepas empat minggu dilaksanakan kerana ia memberi kesan kepada ekonomi.
“Sebaliknya usaha membendung pandemik COVID-19 akan diteruskan dengan pelaksanaan PKPB selama tiga bulan untuk menurunkan kes kepada dua angka,” katanya dalam sesi taklimat media mengenai Darurat COVID-19 secara dalam talian.
Menurut Dr Noor Hisham, beliau yakin sekiranya langkah tersebut dapat dilaksanakan dengan berkesan, jumlah kes yang tinggi sekarang ini akan dapat diturunkan.
“Pelaksanaan PKP mulai 13 Januari lalu sehingga 4 Februari bertujuan untuk menstabilkan jumlah kes positif COVID-19 yang semakin meruncing hari ini.
“Jadi kalau kita laksanakan PKP empat minggu sampai Februari, disusul dengan PKPB kita jalankan selama tiga bulan, dijangkakan pada Mei depan kita akan dapat turunkan kes sehingga dua digit,” katanya.
Semua negeri kecuali Sarawak kini sedang menjalani PKP 2.0 hingga 4 Februari ini.
25 Jan 21
1162
Gagal Patuhi Penjarakan Fizikal Punca Kes Meningkat
KUALA NERUS, 25 Januari - Sikap segelintir masyarakat yang tidak mengendahkan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN) menjadi salah satu punca peningkatan kes COVID-19 di Terengganu.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, antara faktornya adalah tidak mematuhi arahan penjarakan sosial yang sepatutnya.
"Walaupun sektor ekonomi dibuka oleh MKN tetapi penjarakan fizikal harus dipatuhi.
"Ini bagi memastikan rantaian wabak pandemik itu dapat diputuskan sekaligus mengurangkan risiko jangkitan virus tersebut," katanya.
Beliau yang juga dalam tempoh kuarantin kendiri di rumahnya turut menasihati orang ramai khususnya warga Seberang Takir tidak mengambil kesempatan diatas pembukaan sektor ekonomi dengan bersesak-sesak dalam pada satu-satu masa.
"Jaga diri kita dan elakkan duduk bersesak, pilih waktu yang terbaik jika terpaksa keluar termasuk mematuhi arahan dari MKN," ujar beliau.
Tambahnya lagi, dengan peningkatan angka sejak dua hari yang lalu boleh menyebabkan banyak sektor akan ditutup termasuk sesi persekolahan.
Terdahulu katanya, beberapa buah sekolah di Terengganu diarahkan tutup ekoran terdapat kluster baru dikesan.
25 Jan 21
526