Artikel "Semasa" Terkini
Nasi Lemak Warna Warni RM1 Buat Arwah Ayah
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Bungkusan Nasi Lemak Warna Warni Abi berharga RM1 sebungkus menjadi pilihan beberapa individu untuk disumbangkan serta diniatkan kepada arwah ayah masing-masing.
Peniaga Nasi Lemak itu, Mohd Norhisyam Maat (Abi), 35, berkata beliau menerima banyak tempahan daripada pelanggan yang hanya ingin dikenali sebagai 'hamba Allah' untuk disumbangkan kepada orang ramai.
"Sumbangan itu telah diagihkan melalui Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Tepoh ke beberapa tempat iaitu, Madrasah Darul Muhajirin (Pondok Bukit Jong) serta Pondok Remaja Inabah Sungai Ikan.
"Selain itu, PKM DUN Tepoh juga mengagihkan nasi lemak kepada pengunjung yang datang ke Pejabat PKM DUN Tepoh," katanya kepada pemberita baru-baru ini.
Katanya Norhisyam, berkemungkinan besar selepas ini akan ada beberapa lagi pusingan agihan Nasi Lemak Abi disebakan permintaan ramai.
"Sekarang saya hanya menerima tempahan apabila terpaksa menutup kedai jualan (kiosk) di hadapan kedai Nasi Kerabu Pozi, Gong Badak ekoran wabak COVID-19 yang menular negara ini sejak bulan Mac yang lalu," jelasnya.
02 Feb 21
636
13 Pusat Penilaian COVID-19 Lancarkan Pengurusan Pesakit Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Kewujudan 13 Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) di Terengganu sejak 22 Januari lalu berjaya melancarkan proses penguruskan pesakit pandemik berkenaan yang menjalani rawatan di rumah.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, CAC berperanan untuk menilai pesakit COVID-19 kategori 1 dan 2 yang memenuhi kriteria untuk pengasingan di rumah (home isolation).
"Prosesnya melibatkan stratifikasi risiko, saringan fizikal dan penilaian kesesuaian rumah sebelum layak dipertimbangkan untuk perawatan dan pengasingan di rumah.
"Sehingga 31 Januari 2021, bilangan kes COVID-19 kategori 1 dan 2 di seluruh negeri Terengganu yang layak menjalani pemantauan di rumah melalui penilaian CAC adalah sebanyak 72 kes (jumlah kumulatif) dengan 50 kes masih aktif,” jelasnya seperti yang dipetik dalam laman facebook rasminya, semalam.
Terdahulu beliau melawat sebuah CAC di Klinik Kesihatan (KK) Chendering, Kuala Terengganu selepas lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan COVID-19 ke Terengganu di Wisma Darul Iman.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Mengulas mengenai CAC di Chendering itu, Dr Noor Hisham berkata ia berada di bawah Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu.
"CAC KK Chendering memberi liputan untuk kawasan Kuala Terengganu Tengah dan Selatan. Manakala KK Manir memberi liputan untuk Kuala Terengganu Utara.
"Syabas dan tahniah kepada semua Jabatan Kesihatan Negeri yang telah berjaya memulakan operasi CAC dalam masa yang singkat.
"Semoga melalui pelaksanaan CAC ini, penilaian risiko dan koordinasi pengasingan dan perawatan pesakit COVID-19 dapat dilaksanakan dengan lebih lancar," katanya.
Infografik CAC di Terengganu
02 Feb 21
4754
PKM, Food Bank YaPEIM Bantu Golongan Terkesan PKP 2.0
KUALA NERUS, 1 Februari - Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) Terengganu memperuntukan RM4200 bagi menjayakan program Food Bank di Kampung Pak Tijah, Seberang Takir.
Pengurus YaPEIM Terengganu, Kartina Ahmad berkata misi itu bertujuan meringankan bebanan kepada kumpulan sasar di seluruh negara khususnya di Terengganu akibat Perintah Kawalan Pergerakan( PKP 2.0)termasuk petugas barisan hadapan menangani COVID-19.
Katanya, pihak YaPEIM telah memperuntukan bajet RM10.7 juta pada 2020 bagi merealisasikan Program Food Bank yang terdiri daripada tiga perkara iaitu 'Ready to Eat', 'Dry Food' dan Daging Segar
“Seramai 42 orang penerima yang dikenalpasti terjejas untuk program kali ini dengan nilai dianggarkan RM100 dalam bentuk barangan keperluan asas”, katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman, hari ini.
Sementara itu, Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, beliau bersedia bekerjasama dengan mana-mana agensi dalam membantu masyarakat.
Tambahnya, tindakan susulan selepas ini akan dibuat oleh PKM bagi memastikan golongan yang terkesan sentiasa mendapat perhatian di masa akan datang.
Dalam masa yang sama, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pak Tijah, Zainal Lasim menghargai inisiatif pihak YaPEIM atas usaha yang telah dilakukan.
“Pada hari ini pihak JPKK telah menerima sumbangan berupa barangan makanan yang akan diagihkan kepada golongan yang terjejas dan terkesan akibat PKP kali ini," ujarnya.
Bagi salah seorang peniaga yang ditemui, Saudah Harun, berkata dia cukup teruja dan berterima kasih kepada YaPEIM dan JPKK Kg. Pak Tijah kerana menyenaraikannya sebagai salah seorang penerima memandangkan suaminya yang berniaga kecil-kecilan turut terkesan dengan keadaan terkini.
01 Feb 21
362
Penularan COVID-19 Di Terengganu Terkawal
KUALA TERENGGANU, 1 Februari – Penularan COVID-19 di Terengganu masih terkawal walaupun mencatatkan kadar kebolehjangkitan (Rt) harian yang tinggi sejak minggu lepas.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pergerakan rentas negeri bermula pada 7 Disember lalu menjadi punca kes di negeri ini menaik secara mendadak.
“Walaupun kes meningkat tetapi kes masih terkawal.
“Namun begitu, kita akan meningkatkan aktiviti kesihatan awam di Terengganu dengan memantapkan perkhidmatan di hospital bagi mengekang penularan wabak ini,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja Pengerusi Bersama Jawatankuasa Teknikal Pengurusan COVID-19 ke Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus.
Untuk rekod, Terengganu mencatatkan 38 kes positif baharu dan 74 kes sembuh setakat jam 12.00 tengah hari, hari ini.
Dr Noor Hisham.
Mengulas tentang penularan pandemik berkenaan ke atas kakitangan Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Dr Noor Hisham memaklumkan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kini dalam proses melakukan sanitasi di hospital tersebut.
“KKM juga akan memberikan sokongan kepada petugas kesihatan bagi meningkatkan kembali semangat mereka dalam memberikan bakti dan khidmat kepada masyarakat,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata Malaysia akan menerima bekalan pertama vaksin COVID-19 pada 26 Februari ini.
Jelas Dr Noor Hisham, proses pengagihan vaksin itu ke negeri-negeri bagi Program Imunisasi Kebangsaan dijangka mengambil masa kira-kira dua minggu selepas bekalan tersebut tiba.
“Jangkaan kita pada 26 Februari sampai di pintu masuk antarabangsa Malaysia, kemudian kita akan agihkan kepada semua dan mungkin dalam tempoh seminggu dua,” tambah beliau.
01 Feb 21
2254
25 Jururawat UniSZA Sertai Misi Sukarelawan Bantuan KKM
KUALA NERUS, 1 Februari - Seramai 25 sukarelawan jururawat Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) akan menyertai Misi Bantuan COVID-19 di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam masa terdekat.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, daripada jumlah itu, seramai 12 sukarelawan ditempatkan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Chendering.
"Manakala 7 orang ditempatkan di Institut Latihan Kementerian Kesihatan Malaysia (ILKKM) dan baki seramai 6 orang sukarelawan jururawat UniSZA akan bertolak ke Pusat Kuarantin Malaysia di Agro Exposition Park Serdang (MAEPS) pada hari ini dan dijangka akan melaporkan diri pada hari esok bagi menjayakan misi bantuan tersebut," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Semalam, Dr. Hassan mengadakan satu sesi taklimat bersama sukarelawan-sukarelawan terlibat di Bangunan Canselori UniSZA sebelum mereka memulakan misi masing-masing.
"Semoga sukarelawan jururawat UniSZA yang terlibat dapat menjalankan tugas dengan sebaik mungkin dan sentiasa dilindungi daripada jangkitan virus Covid-19," jelasnya.
Untuk rekod, UniSZA telah melaksanakan beberapa inisitif seperti menubuhkan pasukan khas 'Pasukan Covid Buster UniSZA 'dalam usaha membendung penularan COVID-19.
Selain itu, UniSZA melalui ahli Fakulti Farmasi dan Pusat Pengurusan Makmal Berpusat (CLMC) turut menghasilkan formulasi cecair disinfeksi sendiri.
01 Feb 21
445
Sambutan Terengganu Hijab Day Dengan Norma Baharu
Foto: 3N Nisa' Terengganu
KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Sambutan Terengganu Hijab Day (THD) akan diteruskan penganjurannya buat tahun ketiga meski pun berada dalam keadaan norma baharu.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Wanita Nur Insani (Nisa’) Negeri Terengganu, Wan Nur Sakinah Din berkata, objektif utama penganjuran ialah untuk menyedarkan masyarakat tentang kewajiban menutup aurat dengan sempurna.
“Selain itu, kita juga nak menggalakkan masyarakat khususnya kaum wanita Islam untuk bertudung dengan lebih sempurna mengikut syariat Islam, di samping untuk menyatakan sokongan terhadap kempen World Hijab Day serta menyedarkan masyarakat mengenai kempen tersebut.
“Oleh kerana dunia sedang berdepan dengan wabak sekarang ini, kami tambahkan satu lagi objekti baharu iaitu menggalakkan generasi muda untuk menjalankan aktiviti dakwah jalanan kepada masyarakat umum walaupun secara norma baru," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini.
THD merupakan program sambutan tahunan pada 1 Februari anjuran Nisa’ Negeri Terengganu dengan kerja sama Kerajaan Negeri Terengganu melalui Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Wanita (ADUN) Terengganu, selain badan bukan kerajaan (NGO) wanita iaitu Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES).
Menurut Sakinah lagi, THD dianjurkan bermula 2019 dan kali ini merupakan tahun ketiga penganjuran dan akan diteruskan dengan metod secara atas talian sesuai dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Insya-Allah kita akan lancarkan kempen bermula esok (1 Februari 2021) dan akan berlangsung selama sebulan, kemuncaknya pada 13 dan 15 Februari 2021 ini.
“Antara program yang dirancang ialah pertandingan ‘selfie and wefie’ (swafoto) dan video pendek, ‘live sharing with influencer’ (perkongsian secara atas talian bersama pesohor) serta video-video berkaitan hijab daripada wanita.
“Paling istimewa, kita akan bawakan selebriti dan ‘insta-famous’ (pesohor Instagram) dalam sesi perkongsian atas talian kita, kalau nak tahu siapa, kena ikuti hebahan di halaman rasmi Nisa’ Terengganu," ujarnya lagi.
Justeru itu, wanita di negeri ini diseru untuk sama-sama mengambil bahagian dalam gelombang THD ini menyertakan tanda pagar Terengganu Hijab Day, Sempurnakan Auratmu dan End Hijabophobia di media sosial masing-masing.
Beliau juga mengingatkan bahawa ujian pandemik ini mengajar umat untuk kembali kepada tuhan dan manfaatkan peluang ini sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada-Nya.
Gelombang sambutan THD 2020.
31 Jan 21
1260
PKP 2.0 : Lebih 600 Kit Makanan Telah Diagih
Foto: Media HANEES
KUALA TERENGGANU, 31 Januari – Sepanjang fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0), lebih 600 kit makanan telah diagihkan kepada rakyat Terengganu yang dikenakan arahan kuarantin.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu, Zuraida Md Noor berkata kit makanan tersebut diagihkan secara berperingkat meliputi pesakit yang dikuarantin di pusat kuarantin Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) atau yang menjalani arahan kuarantin wajib di kediaman masing-masing.
Zuraida mengangkut kit makanan untuk diagihkan.
Menurutnya lagi, di samping kit makanan, beberapa makanan asasi seperti beras, minyak dan lain-lain keperluan asas turut diagihkan kepada keluarga yang teruk terjejas kerana arahan kuarantin.
“Ada dalam kalangan rakyat kita yang bekerja dengan gaji harian, jadi bila tidak dapat keluar bekerja kerana mematuhi arahan kuarantin, mereka terputus sumber pendapatan untuk membeli makanan asas, maka kita bantu mereka dengan menghantar bantuan sebegini.
“Beberapa tempat yang telah kami agihkan ialah di Pusat Kuarantin & Rawatan Covid-19 berisiko rendah di Kolej Kejururawatan, Kuala Terengganu dan di Bahagian Teknologi Pendidikan Negeri, Marang, selain pusat kuarantin di Institut Pendidikan Guru Kampus Dato' Razali Ismail (IPG), Batu Rakit.
“Bantuan kit makanan ini juga turut dihantar ke Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (MTT) Darul Iman, Kuala Terengganu dan juga ke kediaman-kediaman penduduk yang dikuarantin, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Zuraida turut melahirkan rasa simpati kepada mereka yang telah dijangkiti virus Covid-19 dan mendoakan mereka agar diberi kekuatan dan kesembuhan.
“Saya berharap agar rakyat dapat menghadapi ujian wabak ni dengan positif, insya-Allah yakinlah bahawa Allah sentiasa ada untuk membantu kita.
“Sebenarnya apa yang saya sedang lakukan ini adalah sebahagian daripada cara untuk memberi sokongan fizikal dan mental kepada mereka agar mereka terus kuat.
“Saya juga menyeru kepada masyarakat yang berkemampuan untuk sama-sama menyumbang kepada Tabung Cakna Covid-19, sebagai bukti kebersamaan kita untuk melawan virus ini,"tambahnya lagi.
Beliau yang juga merupakan penaung Pertubuhan Hawa Harmoni Sejahtera Terengganu (HANEES) telah mengembleng usaha bersama-sama beberapa pertubuhan yang lain untuk membantu rakyat yang terjejas.
Agihan kit makanan kepada guru MTT.
31 Jan 21
261
Pasang Jeriji Demi Keselamatan Mak Ngah
MARANG, 31 Januari - Demi keselamatan seorang warga emas, Fatimah Puteh yang tinggal seorang diri, usaha memasang jeriji telah dilakukan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), di Kampung Kelulut, di sini.
Sebelum ini, Fatimah atau lebih dikenali Mak Ngah, 67, pernah mengadu kepada pihak JPKK Kelulut, bahawa ada cubaan memecah masuk ke dalam rumahnya melalui tingkap dapur yang dicungkil oleh pencuri.
"Alhamdulillah, dengan memasang jeriji di setiap tingkap rumah ini, saya rasa lebih selamat apabila tinggal di rumah ini lebih-lebih lagi dengan keadaan seorang diri.
"Terima kasih diucapkan kepada pihak JPKK yang sudi datang membantu," katanya yang juga berstatus ibu tunggal.
Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, pihaknya telah berbincang dengan JPKK untuk memasang jeriji bagi menjaga keselamatan Mak Ngah.
"Pihak PKM juga telah bersetuju untuk menanggung segala kos pemasangan, katannya ketika hadir meninjau keadaan Mak Ngah bersama-sama Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang.
"Sebelum ini, kita jarang mendapat aduan seperti ini, tetapi kita mengambil perhatian serius atas permintaan bantuan daripada setiap golongan masyarakat mengikut keutamaan.
"Dalam makluman saya, bantuan berbentuk seperti ini adalah pertama kali disalurkan, tetapi jika diteliti adalah sangat penting bagi mengelakkan cubaan pecah masuk rumah berlaku selepas ini.
"Kita juga harap Mak Ngah dapat menjaga keselamatannya walaupun tinggal seorang diri, di samping boleh mendapatkan bantuan daripada JPKK sekiranya berlaku kecemasan atau perkara tidak diingini."
Menurutnya lagi, selain daripada bantuan jeriji tersebut, beliau juga membawa agensi JKM untuk menyerahkan bantuan keperluan asas di samping menyalurkan bantuan seperti bantuan am warga emas.
31 Jan 21
541
Elak Kluster Tempat Kerja, TDM Saring 1,376 Pekerja
KUALA TERENGGANU, 30 Januari – Bagi mengelakkan munculnya kluster tempat kerja, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Terengganu, TDM Berhad melakukan saringan ke atas 1,376 pekerja asing syarikat terbabit.
Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, ia penting bagi menjaga keselamatan tenaga kerja syarikat di samping melindungi kelangsungan operasi perniagaan.
“Peka dengan perkembangan semasa COVID-19, TDM Plantation, bahagian Perladangan TDM Berhad, dengan kerjasama Kuala Terengganu Specialist Hospital (KTSH) baru-baru ini menjalankan saringan COVID-19 bagi pekerja-pekerja asing dari semua ladang kelapa sawit syarikat di Terengganu.
“Ujian sarıngan yang dijalankan melalui kaedah Rapid Test Kit (RTK) Antigen dan Reverse Transcriptase-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) tersebut memakan masa 10 hari.
“Ia melibatkan sejumlah 1,376 pekerja asing dari 13 ladang kelapa sawit syarikat di Sungai Tong, Bukit Besi dan Kemaman,” katanya Ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini.
Jelas Najman lagi, langkah tersebut adalah salah satu komitmen berterusan TDM bagi memastikan kesihatan dan keselamatan semua pekerja, dan mengelakkan risiko penyebaran COVID-19 di tempat kerja.
“Sejak awal pandemik COVID-19, TDM telah berganding bahu bersama bahagian penjagaan kesihatannya, KMI Healthcare dalam melaksanakan prosedur yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) seperti pengimbasan suhu, penyediaan cecair sanitasi tangan dan pembersihan menyeluruh ruangan kerja.
“Amalan penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka juga ditekankan terutamanya dalam bangunan tempat kerja di mana pekerja banyak berinteraksi bagi menjalankan tugasan harian,” tambah beliau.
30 Jan 21
1386
COVID-19:48 Petugas Kesihatan HSNZ Positif
KUALA TERENGGANU, 30 Januari - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengesahkan terdapat 48 orang petugas kesihatan yang telah dijangkiti COVID-19 di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ).
Pengarahnya, Dr Nor Azimi Yunus berkata, mereka yang positif telah diasingkan dan diberi rawatan.
"Manakala siasatan untuk mengenalpasti punca jangkitan sedang dijalankan dan kontak rapat bagi kes telah disaring dan diasingkan," katanya dalam satu kenyataan.
Namun begitu, Dr Nor Azimi menegaskan, pengurusan rawatan pesakit di HSNZ masih diteruskan dan berada dalam keadaan terkawal.
Tambahnya, Perkhidmatan rawatan rapi (ICU), Dewan Bedah dan perkhidmatan kecemasan masih berjalan.
"Namun bagi mengurangkan gangguan pada perkhidmatan sedia ada, rawatan kes-kes ringan di Jabatan Kecemasan & Trauma HSNZ ditutup sementara bermula 29 Januari 2021.
"Pihak JKN Terengganu menasihati orang awam yang ingin mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan (Green Zone) masih boleh mendapatkan rawatan bagi kes-kes ringan di Jabatan Pesakit Luar, HSNZ atau klinik-klinik kesihatan yang berdekatan,"ujarnya lagi.
Sementara itu, beliau turut menasihati orang awam agar diminta untuk tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.
30 Jan 21
5680