lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

500 Penduduk Bukit Puteri Berhimpun
500 Penduduk Bukit Puteri Berhimpun
BESUT, 5 Julai – Lebih 500 penduduk sekitar Mukim Bukit Puteri berhimpun di Kampung Dengir sempena Program Sukan Rakyat Peringkat Mukim 2025 yang dianjurkan secara bersama oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta komuniti setempat. Program yang berlangsung dalam suasana ceria dan penuh harmoni itu bukan sekadar menjadi medan riadah dan hiburan, bahkan memperkukuh ukhuwah Islamiah, menyemai semangat kejiranan serta memartabatkan warisan sukan tradisional Melayu Islam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, kekuatan sesebuah komuniti Islam bermula dari kampung yang bersatu dan membudayakan nilai kasih sayang serta akhlak yang baik. "sukan rakyat bukan semata-mata untuk hiburan tetapi menjadi platform membina silaturrahim dan menanam nilai-nilai murni seperti sabar, toleransi dan semangat berpasukan dalam kalangan masyarakat setempat," ujarnya, di sini, semalam.  Beliau turut memuji penganjuran program yang menjaga adab, aurat serta waktu solat, selari dengan tuntutan syariah Islam, menjadikannya satu bentuk ibadah yang diterima apabila dilakukan dengan niat yang betul dan hati yang ikhlas. Pengerusi Mukim Bukit Puteri, Tuan Abdullah Mat Ismail pula melahirkan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima serta kerjasama erat daripada seluruh lapisan masyarakat. "Program ini bukan sahaja mengeratkan hubungan dalam komuniti, malah menghidupkan semula semangat gotong-royong yang menjadi asas kepada kekuatan sesebuah kampung," ujarnya.  Antara acara yang dipertandingkan ialah Titi Basikal, Pukul Bantal Atas Air, Bowling Muslimat, Kupas dan Kukur Kelapa, Tiang Licin, Memancing, Igak Itik, Masak Ikan Darat, Bidas/Lastik, Tarik Tali dan pelbagai aktiviti santai keluarga serta cabutan bertuah. Keseluruhan program berjalan lancar dengan penyertaan peserta lelaki dan wanita yang mematuhi adab berpakaian serta tertib mengikut syariat Islam, menjadikan ukhuwah yang terjalin itu sebagai kemenangan sebenar yang diraih bersama. Program ini menjadi simbol kekuatan masyarakat Islam yang bersatu atas dasar agama, nilai kasih sayang dan kecintaan kepada komuniti.  
09 Jul 25
920
Sasar Jadi Model Tadbir Urus, Integriti Terbaik Negara – MB
Sasar Jadi Model Tadbir Urus, Integriti Terbaik Negara – MB
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu bertekad untuk muncul sebagai contoh terbaik dalam tadbir urus pentadbiran di Malaysia dengan menampilkan sistem pengurusan yang cekap, telus dan berintegriti tinggi. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, aspirasi tersebut hanya dapat dicapai melalui kerjasama erat dan komitmen tinggi seluruh penjawat awam yang menjadi tulang belakang pelaksanaan dasar dan pentadbiran negeri. “Apa yang saya cita-citakan, biarlah penjawat awam di seluruh negara akan menyebut kalau nak tengok pentadbiran yang efisien dan menyeluruh, pergilah ke Terengganu,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, semalam. Dalam majlis itu seramai 60 penerima dari pelbagai skim perkhidmatan meliputi kumpulan pengurusan, profesional serta pelaksana dari jabatan dan agensi kerajaan negeri telah menerima anugerah sebagai pengiktirafan kepada kecemerlangan mereka. Menurut Ahmad Samsuri, kecemerlangan perkhidmatan awam tidak hanya dinilai melalui pencapaian kerja semata-mata, tetapi turut merangkumi aspek sahsiah, etika dan integriti. “Menjadi penjawat awam bukan sekadar menjalankan tugas, malah harus menjadi teladan dalam masyarakat dari segi akhlak dan profesionalisme,” katanya lagi. Beliau turut menegaskan bahawa penjawat awam adalah tunjang kepada kestabilan pentadbiran kerajaan dan pelaksanaan dasar secara menyeluruh. Justeru, katanya, elemen seperti disiplin kerja, kebolehsuaian terhadap perubahan, serta keupayaan menangani cabaran teknologi dan komunikasi digital masa kini perlu sentiasa dipertingkatkan. “Mereka juga perlu peka dan responsif terhadap isu-isu yang tular di media sosial. Bukan semestinya menjawab semua perkara, tetapi bijak menilai antara fakta, fitnah dan kritikan membina,” ujarnya. Tambah beliau, berbeza dengan era pentadbiran terdahulu, penjawat awam kini perlu lebih tangkas menghadapi kecaman atau aduan rakyat yang disuarakan secara terbuka dan sepantas masa nyata melalui platform digital. “Dulu kita terima aduan menerusi surat pembaca, sekarang semuanya berlaku secara langsung di media sosial, 24 jam sehari. Ia tidak boleh diabaikan, sebaliknya perlu ditangani dengan pendekatan yang strategik dan berhemah,” katanya. Ahmad Samsuri turut menekankan bahawa keberkesanan sistem pentadbiran akan memberi impak yang besar bukan sahaja kepada jabatan atau individu tertentu, tetapi turut mencerminkan nama baik negeri di peringkat nasional dan antarabangsa. “Apa jua yang kita lakukan hari ini bukan hanya dinilai oleh rakyat Terengganu, tetapi juga oleh rakyat negeri lain dan pemerhati dari luar negara. Terengganu mesti dilihat sebagai negeri contoh,” tegas beliau. Ahmad Samsuri turut menyeru seluruh penjawat awam agar terus menyemarakkan budaya kecemerlangan dan menjadikan setiap amanah perkhidmatan sebagai ibadah yang membawa keberkatan dunia dan akhirat.
09 Jul 25
89
Terengganu Paling Awal Tubuh Majlis Halal Negeri
Terengganu Paling Awal Tubuh Majlis Halal Negeri
KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Terengganu menjadi antara lima negeri terawal yang menubuhkan Majlis Halal Terengganu (MHT) sebagai langkah memperkukuh sektor itu ke arah pembangunan progresif dan mampan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Dato’ Ariffin Deraman berkata, MHT yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar kini hanya menunggu kelulusan rasmi Mesyuarat Exco. Menurutnya, MHT mampu bertindak sebagai ejen dalam melancarkan sebarang urus tadbir dan proses persijilan halal bagi produk dan industri di negeri ini. “MHT sebenarnya dah ditubuhkan malah sudah beberapa kali mengadakan mesyuarat serta memiliki pelan strategik sendiri. “Bagaimanapun, beberapa perkara masih memerlukan kelulusan Mesyuarat Exco dan Menteri Besar sebelum dapat dimuktamadkan sepenuhnya secara rasmi,” katanya. Beliau berkata demikian di sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kesedaran Halal Negeri Terengganu 2025 dan majlis penyerahan surat tawaran pembiayaan Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) kepada peminjam kali ke 2/2025 di Dewan Serbaguna YPU, di sini semalam. Menurut Ariffin, MHT akan membantu memperkasa penyelarasan pensijilan Halal Malaysia bersama antara JAKIM dengan JHEAT selaku badan berautoriti utama dalam pengurusan halal negeri termasuk menjadi pusat rujukan, pengiktirafan, penarafan dan khidmat nasihat berkaitan pensijilan halal. “Tanggungjawab bagi meningkatkan bilangan pengusaha halal akan diperkasa melalui Majlis Halal Terengganu. Yayasan Pembangunan Usahawan pula menjadi pusat sehenti bagi pusat rujukan halal di Terengganu “Kerajaan negeri turut mengalu-alukan semua industri agar mendapatkan sijil halal bagi memastikan masyarakat mendapat perkhidmatan atau produk yang terjamin,” ujarnya lagi. Selain itu, kerajaan negeri juga sedang merancang pembinaan Hab Halal atau Halal Park yang lebih terancang bagi menyokong pembangunan industri berkenaan. “Ketika ini, kita sudah ada kawasan halal berskala kecil di belakang Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) yang menempatkan 24 rumah kedai, selain kawasan di Chendering. Namun, kedua-duanya memerlukan penambahbaikan,” katanya. Menurut beliau, kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa lokasi baharu termasuk di kawasan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) stesen keretapi untuk dibangunkan sebagai Hab Halal. “Tanah yang dikenal pasti akan diangkat kepada Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) bagi tujuan pembangunan dan pensijilan halal,” katanya.  
09 Jul 25
170
KDNK Terengganu Cecah 4.5 Peratus, Lebihi Sasaran – MB
KDNK Terengganu Cecah 4.5 Peratus, Lebihi Sasaran – MB
KUALA TERENGGANU, 9 Julai – Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Terengganu bagi tahun 2024 mencatatkan pertumbuhan sebanyak 4.5 peratus, sekali gus melepasi unjuran awal antara 3.5 hingga 4.1 peratus seperti yang disasarkan dalam Belanjawan 2024. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian itu membuktikan keberkesanan pendekatan kerajaan negeri dalam menyusun semula ekonomi secara lebih berdaya tahan. “Alhamdulillah, kita secara umumnya telah mencapai apa yang kita sasarkan. Laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menyatakan KDNK Terengganu berkembang 4.5 peratus kepada RM39.9 bilion pada tahun 2024 berbanding 2.3 peratus pada tahun sebelumnya. “Pertumbuhan ini didorong oleh pemulihan ekonomi global dan kejayaan pengstrukturan ekonomi negeri yang lebih mampan,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam.  Mengulas lanjut, beliau mengumpamakan usaha pembangunan negeri seperti menaiki anak tangga secara berhemah dan berperingkat berbanding melompat seperti sukan ekstrem parkour. “Kita nak naik ke atas, ada 15 anak tangga. Kita ada pilihan sama ada lompat dua-dua anak tangga atau naik satu-satu. Yang penting, kita sampai ke atas. “Tapi adakah praktikal untuk kita melompat seperti parkour? Kita tak mahu tersepak kaki, tak mahu jatuh tangga. Biarlah perlahan, ambil masa, asalkan kita bergerak ke arah yang betul,” ujarnya. Tambah beliau, kerajaan negeri komited meneruskan langkah-langkah strategik bagi memastikan kemajuan negeri kekal mampan dan inklusif selari dengan visi Terengganu sebagai negeri maju, berkat dan sejahtera.  
09 Jul 25
902
Kerajaan Negeri Salur RM597,000 Kepada Usahawan Terengganu
Kerajaan Negeri Salur RM597,000 Kepada Usahawan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Seramai 22 usahawan tempatan menerima pembiayaan berjumlah RM597,000 menerusi Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) bagi siri kedua tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, pembiayaan tersebut disalurkan melalui Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) sebagai usaha memperkasa sektor keusahawanan negeri. “Setiap usahawan menerima pembiayaan antara RM10,000 hingga RM50,000, bergantung kepada keperluan dan kelayakan masing-masing,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perasmian Penutup Program Kesedaran Halal Negeri Terengganu 2025 dan penyerahan surat tawaran TUGAS kali kedua tahun ini, yang berlangsung di Dewan Serbaguna YPU, hari ini. Menurut beliau, penerima diseru memanfaatkan peluang ini dengan sebaik mungkin dan menjadikan pembiayaan tersebut sebagai amanah yang bukan sahaja menyokong pertumbuhan perniagaan, malah memberi manfaat kepada masyarakat dan negeri. “Saya berharap semua penerima menggunakan dana ini dengan penuh tanggungjawab, bukan sekadar untuk keuntungan diri, tetapi sebagai sumbangan kepada pembangunan ekonomi negeri,” tegasnya. Tambah Ariffin, jumlah peruntukan bagi sesi kali ini meningkat berbanding sebelum ini, hasil daripada kadar bayaran balik yang memberangsangkan oleh peminjam terdahulu. “Kita merekodkan lebih 80 peratus bayaran semula yang dibuat mengikut jadual, termasuk bayaran sewa bangunan, satu petanda positif terhadap disiplin dan kesungguhan usahawan kita,” ujarnya. Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan bahawa Program Kesedaran Halal yang dianjurkan hari ini bertujuan memberi pendedahan menyeluruh kepada usahawan tentang tanggungjawab serta potensi besar dalam industri halal. “Dalam era persaingan global, sijil halal bukan lagi sekadar lesen berniaga. Ia kini menjadi penanda aras kepercayaan pengguna dan kunci untuk menembusi pasaran antarabangsa,” jelasnya.    
08 Jul 25
247
Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Isu pelantikan hakim yang didakwa tidak mengikut prosedur wajar ditangani dengan tindakan segera dan tegas oleh Kerajaan Persekutuan bagi memelihara integriti sistem pentadbiran negara. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa perkara yang dibangkitkan oleh mantan Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli baru-baru ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia telahpun disentuh lebih awal oleh Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan. “Saya rasa apa yang dibangkitkan oleh YB Rafizi semalam sebenarnya telah pun disentuh sebelum ini di peringkat Perikatan Nasional. “Mesejnya jelas. Kerajaan perlu ambil tindakan segera untuk selesaikan masalah ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini. Ahmad Samsuri turut memetik beberapa perkembangan terbaru yang menunjukkan berlaku pelanggaran tatacara, termasuk mesyuarat penting yang dijalankan tidak mengikut tempoh atau garis panduan yang sah. “Apa yang berlaku sehari dua ini, termasuk mesyuarat yang tidak mengikut tempoh, adalah perkara yang perlu diambil serius. Saya rasa itu perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya. Dalam hal ini, katanya, cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah langkah paling besar dan mungkin paling berkesan untuk memastikan pelantikan dilakukan mengikut lunas perlembagaan dan tatacara yang betul. “Sama ada kita setuju atau tidak, saya rasa RCI adalah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan isu ini dan yang paling penting sekarang adalah memastikan pelantikan itu dibuat mengikut tatacara,” jelasnya. Tegasnya lagi, Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri perlu menunjukkan komitmen dalam menangani perkara ini agar rakyat tidak hilang keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara. “Kita tengok apa yang dibangkitkan oleh Rafizi Ramli semalam, saya rasa pada tahap ini macam-macam perkara sedang berlaku. “Jadi, kena ada tindakan serius daripada pihak kerajaan, terutama Perdana Menteri (PMX),” tambah beliau lagi.
08 Jul 25
192
SATU Guna WORMS, Ganti Meter Lama Tangani Kehilangan Air
SATU Guna WORMS, Ganti Meter Lama Tangani Kehilangan Air
KUALA TERENGGANU, 8 Julai - Kerajaan Negeri melalui Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. (SATU) telah mengambil pendekatan lebih holistik dalam mengurangkan kadar air tidak terhasil (NRW) di negeri ini.  Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, gerak kerja dan usaha dalam mengurangkan kadar NRW diberi keutamaan di dalam penyusunan perancangan oleh pihak SATU. “Antara yang dilaksanakan termasuk penukaran dan pengaktifan District Meter Zone (DMZ) bagi pemantauan NRW serta penambahbaikan sistem pelaporan dan pembaikian kebocoran paip menggunakan sistem di atas talian Work Order Repair Management System (WORMS) bagi kerja-kerja pembaikian paip. “Selain itu, pihak SATU juga mengadakan program penukaran meter berusia melebihi 10 tahun untuk mengurangkan kehilangan komersial disamping program pengurusan tekanan bagi mengurangkan jumlah kehilangan air disebabkan ‘background leak’ dan mengurangkan kekerapan paip pecah disebabkan tekanan tinggi,” ujarnya.  Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat pada Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Ke-15 di Wisma Darul Iman, semalam. Tambah Hanafiah, penggantian 'attitude valve' yang rosak di semua tangki untuk mengelakkan berlakunya limpahan serta pengantian paip lama jenis asbestos cement (AC) yang kerap mengalami kebocoran dan paip pecah turut dilakukan. .  
08 Jul 25
160
CelcomDigi Tanggung Kos Pembinaan Baharu Mercu Tanda 'Allah Peliharakanlah Terengganu'
CelcomDigi Tanggung Kos Pembinaan Baharu Mercu Tanda 'Allah Peliharakanlah Terengganu'
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Kerajaan Negeri mengesahkan bahawa syarikat telekomunikasi CelcomDigi akan membiayai sepenuhnya pembinaan baharu mercu tanda 'Allah Peliharakanlah Terengganu' di Bukit Besar melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) mereka tanpa melibatkan sebarang dana negeri. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dato’ Hanafiah Mat berkata, pihak CelcomDigi kini dalam peringkat akhir mereka bentuk semula struktur mercu tanda tersebut sebelum diserahkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk kelulusan. "CelcomDigi sedang dalam proses mereka bentuk struktur baharu dan akan dihantar ke JKR. Setelah diluluskan, mereka akan memulakan pembinaan. Kos sebenar kita belum tahu sebab ia bergantung kepada reka bentuk akhir oleh mereka. “Sebelum ini, JKR pernah membuat satu lakaran dengan anggaran kos RM4.75 juta, tetapi Pengarah JKR sendiri menyatakan ingin menghasilkan rekaan baharu yang lebih sesuai,” katanya ketika ditemui media, hari ini. Menurut beliau, CelcomDigi telah menyatakan hasrat untuk meletakkan logo mereka pada struktur mercu tanda tersebut sebagai tanda penajaan sepenuhnya. "Duit itu bukan daripada kerajaan negeri. Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) baru-baru ini pun telah bersetuju untuk memberi kelulusan kepada CelcomDigi," jelasnya. Mercu tanda 'Allah Peliharakanlah Terengganu' yang menjadi simbol ikonik bandar Kuala Terengganu sebelum ini mengalami kerosakan akibat faktor usia dan pengaratan yang kritkal.
08 Jul 25
4084
Terengganu Salur RM34 Ribu Bantu Mangsa Hakisan Pantai
Terengganu Salur RM34 Ribu Bantu Mangsa Hakisan Pantai
KUALA NERUS, 9 Julai – Sebanyak RM34,500 bantuan tunai disalurkan Kerajaan Negeri kepada 45 keluarga yang terjejas akibat hakisan pantai di Batu Rakit, sebagai tanda keprihatinan terhadap penduduk yang kehilangan rumah, gerai dan tanah tempat bergantung hidup. Dalam kepedihan kehilangan tempat berteduh, hadir sedikit sinar apabila bantuan segera itu diagihkan mengikut tahap kerosakan, sekali gus memberi nafas baharu kepada mangsa untuk bangkit semula. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, bencana itu bukan sekadar melibatkan kerosakan fizikal, tetapi turut menggugat kestabilan hidup penduduk yang bergantung sepenuhnya kepada laut dan tanah sebagai sumber rezeki. "Antara kerosakan yang berlaku termasuk runtuhan jalan sepanjang 50 meter di Kampung Tanjung, kerosakan gerai dan jeti nelayan, serta kehilangan rumah dan tanah penduduk," katanya. Beliau berkata demikian dalam satu majlis penyerahan sumbangan di Masjid Al-Abrar, Kampung Tanjung, di sini baru-baru ini. Beliau memaklumkan bahawa bantuan tunai disalurkan berdasarkan tahap kerosakan harta masing-masing. "Jumlah keseluruhan bantuan tunai yang disalurkan adalah sebanyak RM34,500. "Bantuan ini melibatkan pemberian RM500 kepada pengusaha kiosk yang terjejas dan RM2,000 kepada pemilik rumah serta kedai yang mengalami kerosakan teruk,", jelasnya. Tambah Shafizi, Kerajaan Negeri turut meluluskan peruntukan tambahan sebanyak RM200,000 bagi menangani kesan hakisan secara menyeluruh, termasuk pembinaan benteng dan baik pulih infrastruktur terjejas. "Sebagai langkah segera, Kerajaan Negeri telah meluluskan RM80,000 bagi pembinaan benteng perlindungan sementara di Kampung Pengkalan Maras. "Selain itu, sebanyak RM120,000 turut diluluskan untuk kerja baik pulih dan pencegahan hakisan di Kampung Tanjung," tambahnya. Beliau turut memaklumkan bahawa beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ketika kejadian, terutama semasa musim tengkujuh yang lalu. "Ketika kejadian musim tengkujuh lalu, beberapa keluarga terpaksa dipindahkan ke Kampung Kolam demi keselamatan. "Langkah ini diambil sementara menunggu penyelesaian jangka panjang yang lebih menyeluruh," ujarnya. Salah seorang penerima bantuan, Zamri Sulong, 43, kehilangan rumah dan tanah miliknya yang dianggarkan bernilai RM30,000 akibat ombak besar yang melanda secara tiba-tiba. "Rumah dan tanah yang kami bina bertahun-tahun hilang dalam satu malam. "Kami ucapkan jutaan terima kasih kepada Kerajaan Terengganu kerana prihatin terhadap nasib kami semua,” ujarnya.  
08 Jul 25
37
DUN Terengganu Kutuk Israel
DUN Terengganu Kutuk Israel
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu semalam sebulat suara meluluskan usul membantah dan mengutuk tindakan kejam rejim Zionis Israel yang telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas Iran dengan menyasarkan kemudahan strategik dan infrastruktur penting negara tersebut baru-baru ini. Usul dikemukakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Ridzuan Hashim itu menyeru Dewan mengambil maklum dan memandang serius tindakan agresif rejim Zionis Israel yang telah melancarkan serangan ketenteraan ke atas negara tersebut. “Serangan ini berlaku di luar wilayah Israel sendiri dan jelas merupakan satu bentuk pencerobohan yang melanggar undang-undang antarabangsa, Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta prinsip asas kedaulatan negara-negara bebas. “Tindakan Israel ini juga dilihat sebagai usaha untuk mencetuskan ketegangan yang lebih meluas di rantau Asia Barat, menjejaskan kestabilan serantau, dan membuka jalan kepada campur tangan kuasa luar demi kepentingan geopolitik mereka,” ujarnya. Katanya, umat Islam di seluruh dunia memandang serangan ini sebagai satu penghinaan terhadap prinsip keadilan, kedaulatan dan keselamatan negara umat Islam, serta satu bentuk penjajahan moden yang semakin berani dan biadab. “Umat Islam wajib bersolidariti menolak pencerobohan seumpama ini, menzahirkan pendirian tegas terhadap sebarang bentuk keganasan negara (state terrorism) yang dilakukan oleh Israel, serta menolak sebarang percubaan kuasa besar untuk memecah-belahkan kesatuan Ummah melalui konflik proksi dan adu domba mazhab atau bangsa. “Penubuhan Israel sendiri adalah hasil projek penjajahan untuk melindungi kepentingan Barat di Timur Tengah, mengawal sumber strategik, dan menjadi alat tekanan terhadap dunia Islam,” jelas beliau. Justeru, Kerajaan Negeri di bawah SG4 mengecam dan menolak sekeras-kerasnya serangan Israel ke atas Iran serta apa-apa bentuk pencerobohan ke atas mana-mana negara berdaulat. “Kerajaan Negeri melalui saluran diplomasi dan NGO Islam digesa untuk mendukung usaha kesedaran awam mengenai bahaya Zionisme dan peranan Israel dalam menaja ketidakstabilan di dunia Islam. “Kerajaan Malaysia hendaklah mengambil pendirian konsisten untuk mengutuk pencerobohan ini di peringkat antarabangsa termasuk dalam sidang ASEAN, OIC, dan PBB, serta mendesak tindakan diplomatik dan undang-undang antarabangsa ke atas Israel,” ujarnya. Malah katanya, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hendaklah segera bersidang dan mengeluarkan resolusi bersama yang tegas, termasuk langkah diplomatik dan ekonomi, untuk menekan Israel agar menghentikan sebarang tindakan agresif dan mematuhi undang-undang antarabangsa. “Semua negara Islam diseru untuk mengetepikan perpecahan dalaman dan bersatu menolak campur tangan kuasa luar yang hanya mahu melemahkan kekuatan politik, ekonomi dan ketenteraan dunia Islam,” ujarnya.  
08 Jul 25
122