Artikel "Semasa" Terkini
Jawatan JPKK Ruang Ibadah, Medan Khidmat
DUNGUN, 15 Julai – Jawatan dalam Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bukan sekadar gelaran, sebaliknya merupakan medan khidmat dan ruang untuk beribadah kepada Allah SWT.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, seorang pemimpin yang bergelumang membantu masyarakat lebih utama daripada yang hanya beribadah secara bersendirian.
"Jadi JPKK bukan sekadar jawatan atau keistimewaan, tetapi satu ruang ibadah dan peluang untuk mencari reda Allah SWT.
“Turun padang, duduk semeja, dengar masalah orang kampung.
“Bincang elok-elok, cari titik damai. Bantu sesama dan buang jauh rasa besar diri," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Watikah Pelantikan JPKK Daerah Dungun Tahun 2025 yang berlangsung di Dewan Arena Merdeka, Dungun.
Beliau turut menyeru agar para JPKK sentiasa turun padang, mendengar pemasalahan orang kampung, dan memahami kesusahan sebenar yang dihadapi masyarakat.
Selain itu, beliau mengingatkan tentang kepentingan budaya mesyuarat atau syura dalam setiap tindakan dan keputusan yang dibuat.
"Bermesyuarat bukan sekadar cadangan, tapi perintah Allah SWT. Seperti mana kita disuruh solat dan berpuasa, begitu juga Allah SWT perintahkan kita bermesyuarat," katanya lagi.
13 Jul 25
80
Terengganu Terus Komited Memperkasa Pembangunan Sukan
KUALA TERENGGANU, 13 Julai – Kerajaan Negeri Terengganu terus komited memperkasa pembangunan sukan melalui pelbagai inisiatif di bawah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) demi memastikan kelangsungan prestasi atlet dan kemudahan sukan yang mampan serta inklusif.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pengurus MSNT yang dipengerusikannya pada Selasa lalu.
Menurutnya, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah meluluskan peruntukan sebanyak RM2 juta bagi tahun ini untuk melaksanakan beberapa projek penting, termasuk menaik taraf Litar Latihan MiniGP dan Pocket Bike, serta pembinaan baharu gelanggang futsal, pickleball dan sukan padel.
“Pembangunan sukan di Terengganu bukan sahaja memberi fokus kepada atlet elit, malah turut merangkumi penyediaan infrastruktur yang memberi manfaat kepada pembangunan akar umbi dan generasi muda,” katanya menerusi satu kenyataan.
Jelas beliau, pihaknya turut membincangkan persediaan awal kontinjen negeri bagi menghadapi Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dan PARASUKMA Selangor 2026.
Sehubungan itu katanya, sebuah pasukan khas telah ditubuhkan dan segala perancangan akan dikemas kini secara berterusan.
Tambahnya lagi, program sukan berprestasi tinggi bagi atlet Para juga akan dikendalikan oleh MSNT, sebagaimana arahan terkini daripada KBS.
“Walaupun begitu, kerjasama erat bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu (JBSNT) akan terus diperkukuh dalam usaha melahirkan lebih ramai atlet para yang berpotensi.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Terengganu, KBS, Majlis Sukan Negara (MSN) dan JBSNT atas sokongan berterusan mereka.
“Kerjasama erat antara kerajaan negeri dan agensi persekutuan amat penting bagi memastikan Terengganu kekal cemerlang dalam bidang sukan dan seterusnya menyumbang kepada kecemerlangan sukan negara,” katanya.
13 Jul 25
348
Pelarasan Tarif Air : Terengganu Pastikan Tidak Beban Rakyat
KUALA TERENGGANU, 13 Julai - Cadangan Syarikat Air Terengganu Sdn.Bhd (SATU) untuk menyelaras semula tarif air akan dibincang dengan lebih lanjut bersama operator bagi memastikan pelaksanaan itu tidak membebankan rakyat.
Pelarasan tarif air membolehkan syarikat utiliti melaksanakan operasi serta perbelanjaan modal (Capex), termasuk penggantian paip lama dan kerja-kerja penaiktarafan infrastruktur air.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya akan mengadakan perbincangan lanjut dengan pihak operator lain bagi tindakan seterusnya.
"Setakat ini kita boleh katakan begitu dahulu, dan kita akan keluarkan kenyataan rasmi pada masa yang sesuai," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Perasmian Program Madani Rakyat Terengganu di Pasar Payang di sini pada Sabtu.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berhubung permohonan pelarasan tarif air yang dipohon 10 negeri termasuk Terengganu.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Dato' Hanafiah Mat berkata cadangan pelarasan perkhidmatan bekalan air oleh SATU kepada SPAN disokong oleh Kerajaan Negeri untuk mendapat pertimbangan dan kelulusan dari Jemaah Menteri bagi menjamin kelangsungan industri air dalam jangka panjang.
Namun, katanya pelarasan itu akan dipastikan agar tidak membebankan rakyat.
"Pihak kerajaan negeri komited memastikan pelarasan tarif air ini tidak akan membebankan rakyat.
"Justeru itu, kami berharap agar permohonan berkenaan mendapat
pertimbangan sewajarnya," ujarnya lagi.
SPAN juga telah mengesahkan telah menerima permohonan daripada sembilan lagi operator perkhidmatan bekalan air iaitu Pulau Pinang, Perlis, Kedah, Kelantan, Selangor, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Pahang.
Kesemua permohonan berkenaan masih diperingkat penelitian dan belum dimuktamadkan.
13 Jul 25
601
Hubungan Baik Negeri, Persekutuan Beri Manfaat Kepada Rakyat
KUALA TERENGGANU, 14 Julai – Hubungan erat antara Kerajaan Negeri Terengganu dan Kerajaan Persekutuan dilihat mampu membawa manfaat besar kepada rakyat, khususnya dalam aspek pendidikan dan pembangunan negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan kesyukuran atas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai pelaksanaan Program Tuisyen Rakyat dengan peruntukan RM5.27 juta sebagai projek rintis yang dimulakan di Terengganu, melibatkan seramai 9,408 pelajar.
“Kita berasa amat teruja dan terharu dengan pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri. Saya difahamkan Menteri Pendidikan sendiri turut terkejut dengan pengumuman itu,” katanya kepada media.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Penutup Program Madani Rakyat di Pasar Payang semalam, yang disempurnakan oleh Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif itu diyakini dapat membantu meringankan beban kewangan ibu bapa serta membuka peluang kepada pelajar untuk mengikuti kelas tuisyen secara percuma, sekali gus meningkatkan tahap pencapaian akademik pelajar di negeri ini.
Tambahnya lagi, pelaksanaan program itu memerlukan penyelarasan rapi antara pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri, agar manfaatnya dapat dirasai secara menyeluruh merangkumi pelajar cemerlang, sederhana dan juga yang tercicir.
“Kesemua kumpulan ini harus diberikan perhatian secara seimbang agar tiada yang tercicir daripada menerima manfaat di negeri Terengganu ini,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Ahmad Samsuri turut menyatakan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengemukakan permohonan peruntukan pembangunan berdasarkan keperluan semasa, termasuk bagi projek-projek di luar Rancangan Malaysia.
“Alhamdulillah, walaupun perinciannya belum diperincikan dari segi lokasi dan jenis projek, yang lebih penting ialah wujudnya hubungan baik antara kerajaan negeri dan kerajaan pusat kerana kedua-duanya saling memerlukan,” ujarnya.
13 Jul 25
63
Projek Solar Terapung-Hab Hidrogen Hijau di Terengganu Dilancar
HULU TERENGGANU,12 Julai - Satu sejarah dalam sektor tenaga boleh diperbaharui apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan Projek Solar Terapung Hibrid Hidro (HHFS) dan Hab Hidrogen Hijau di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, Kenyir.
Pelancaran tersebut menjadi simbol komitmen negara untuk menjadi peneraju serantau dalam pembangunan hidrogen hijau selain menyokong agenda tenaga bersih melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR).
Projek Hab Hidrogen Hijau ini merupakan kerjasama strategik antara dua syarikat gergasi, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Inc bagi membangunkan pengeluaran hidrogen dan produk berkaitan.
Sementara itu, projek HHFS pula dibangunkan oleh anak syarikat TNB, TNB Genco Sdn Bhd, bersama Terengganu Inc selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk meningkatkan pertumbuhan sosioekonomi tempatan.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, kerjasama ini menggabungkan kekuatan dua syarikat utama negara dalam membentuk ekosistem tenaga yang mampan dan dinamik.
“Ini membuka ruang kepada kepelbagaian sumber tenaga negara yang lebih kukuh, dan pada masa sama menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan rantau ini.
"Projek ini juga akan dibangunkan di Koridor Kenyir-Kertih dan merupakan yang pertama seumpamanya dari segi skala.
"Ia melibatkan pembangunan bersepadu daripada penjanaan tenaga boleh diperbaharui, pengeluaran hidrogen hijau serta penghasilan metanol dan ammonia hijau" ujarnya dalam satu kenyataan.
Terdahulu, Majlis Peluncuran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di
Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di Kenyir.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar; Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Akmal Nasrullah Mohd Nasir; Pengerusi PETRONAS, Tan Sri Mohd Bakke Salleh; dan Pengerusi TNB, Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid.
Menurut Presiden dan CEO TNB, Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan, kerjasama dalam Hab Hidrogen Hijau Terengganu menjadi pemangkin utama kepada transformasi tenaga bersih negara.
“Projek HHFS Kenyir pula membuktikan bagaimana TNB memanfaatkan loji hidro sedia ada untuk menyimpan tenaga dan menstabilkan grid, sekali gus menampung permintaan tenaga secara cekap,” katanya.
12 Jul 25
296
Terengganu Pilihan Utama Pelabur Industri Tenaga Hijau
HULU TERENGGANU, 12 Julai - Syarikat pelaburan utama negeri, Terengganu Inc memberi komitmen kukuh dalam memajukan ekonomi hijau negeri melalui pembangunan solar terapung di Tasik Kenyir.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dato’ Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata Terengganu boleh menjadi pilihan utama pelaburan tenaga hijau di rantau ini.
“Projek-projek ini membuktikan bahawa Terengganu mempunyai potensi untuk menerajui tenaga hijau dan mewujudkan peluang ekonomi baharu untuk rakyat.
"Dengan sokongan daripada Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB), kami yakin Terengganu boleh menjadi peneraju
serantau dalam rantaian nilai hab hidrogen hijau di samping menyokong Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HETR)," katanya kepada pemberita.
Terdahulu, Majlis Peluncuran Pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau telah disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud di Kenyir.
Tambahnya, sebagai cabang pelaburan negeri, Terengganu Inc akan memastikan projek-projek itu mencapai matlamat yang ditetapkan, di samping membina bakat tempatan dan memindahkan teknologi.
"Ini merupakan peluang terbaik untuk meletakkan Terengganu di pentas dunia sebagai hab tenaga hijau," ujarnya.
12 Jul 25
374
Terengganu Lakar Langkah Pertama ke Arah Hab Tenaga Hijau
HULU TERENGGANU, 12 Julai – Tasik Kenyir terus mencipta sejarah apabila menjadi lokasi peluncuran projek mega tenaga boleh baharu melibatkan pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid dan Hab Hidrogen Hijau, hari ini.
Majlis yang berlangsung di Stesen Janakuasa Sultan Mahmud itu disifatkan sebagai satu langkah berani dan futuristik, sekali gus membuka lembaran baharu dalam pembangunan tenaga hijau negara.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata projek berimpak tinggi itu bakal menyaksikan pembinaan ladang solar terapung berskala besar sehingga 2,500 megawatt (MW) di atas permukaan air Tasik Kenyir, menjadikannya antara yang terbesar di Asia Tenggara.
"Projek ini bukan sahaja simbol komitmen kerajaan terhadap agenda kelestarian alam sekitar, malah bukti kerjasama erat antara syarikat berkaitan kerajaan (GLC) seperti TNB Genco, PETRONAS dan anak syarikat kerajaan negeri, Terengganu Inc.
“Kita sedang menyaksikan transformasi sektor tenaga melalui penerokaan sumber bersih seperti hidro dan solar, selari dengan hasrat mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050,” katanya.
Kerjasama dimeterai menerusi pertukaran dokumen semasa majlis pelancaran yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Stesen Janakuasa Hidroelektrik Sultan Mahmud, di Kenyir.
Menurut beliau lagi, pelaksanaan projek ini akan turut merintis kepada pembinaan Hab Hidrogen Hijau pertama di Terengganu, yang dijangka menjadi pemacu ekonomi hidrogen negara.
"Kerajaan Negeri yakin bahawa peralihan tenaga ini bukan halangan, sebaliknya peluang untuk mengukuhkan daya saing ekonomi serta mencipta peluang pekerjaan baharu.
“Dengan sokongan Kerajaan Persekutuan, pelabur dan penyelidik, kita bukan sahaja menunaikan janji, tetapi membina legasi. Inisiatif ini bakal memberi manfaat besar kepada generasi kini dan akan datang,” jelasnya.
Tambah beliau lagi, dengan peluncuran projek tersebut, Terengganu kini melakar langkah pertama ke arah menjadi hab tenaga hijau serantau, selari dengan misi nasional membina masa depan yang lebih bersih dan mampan.
“Insya-Allah, ini akan menjadi legasi berpanjangan buat anak cucu kita nanti,” katanya.
12 Jul 25
467
Dr. Khalil Kunjungi Komuniti Melayu di Sri Lanka
SRI LANKA, 12 Julai – Rombongan Kerajaan Negeri Terengganu telah mengadakan lawatan ke Sri Lanka dan berpeluang bertemu dengan komuniti Melayu tempatan yang telah lama menetap di negara tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, komuniti Melayu Sri Lanka dianggarkan berjumlah sekitar 50,000 orang.
Menurutnya, mereka mempunyai sejarah yang panjang dan telah berakar umbi sejak lebih 100 tahun lalu.
“Pada asalnya, mereka dibawa masuk oleh pihak Empayar British untuk berkhidmat dalam pelbagai sektor, terutamanya dalam bidang ketenteraan dan kepolisan.
“Walaupun telah lama menetap jauh dari tanah air asal, komuniti ini tetap mempertahankan identiti, warisan budaya dan agama Islam dalam kehidupan seharian mereka,” katanya kepada pemberita semasa siri lawatan bersama komuniti Melayu di Sri Lanka semalam.
Dr. Khalil berkata, pertemuan tersebut bukan sahaja membuka ruang untuk menyambung silaturahim, malah menjadi langkah penting dalam menyemarakkan semula hubungan rumpun Melayu yang sekian lama terpisah akibat faktor geografi dan sejarah penjajahan.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu akan menganjurkan Terengganu International Summit pada November 2025.
“Dengan tema Penyatuan Ummah Rumpun Melayu, sidang ini bakal menjadi platform untuk memperkukuh jalinan serantau serta memperingati warisan sejarah yang dikongsi bersama.
“Moga ikatan ini mampu menyumbang kepada usaha penyatuan ummah di peringkat antarabangsa, bermula daripada akar budaya dan keturunan yang sama,” ujarnya.
12 Jul 25
113
14.5 Juta Pelawat Domestik Serbu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 11 Julai – Terengganu mencatatkan kehadiran seramai 14.5 juta pelawat domestik sepanjang tahun 2024, sekali gus melepasi sasaran awal kerajaan negeri sebanyak 13.2 juta pelawat.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, daripada jumlah itu, 4.9 juta adalah pelancong yang memilih Terengganu sebagai destinasi utama, mengatasi sasaran awal sebanyak 4.5 juta orang.
“Alhamdulillah, kita menyasarkan seramai 13.2 juta pelawat domestik termasuk 4.5 juta pelancong bagi tahun 2024. Namun angka sebenar jauh melepasi jangkaan dengan pencapaian 14.5 juta pelawat termasuk 4.9 juta pelancong,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Peringkat Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman kelmarin.
Menurut beliau, pencapaian itu membuktikan keberkesanan strategi yang dilaksanakan oleh negeri Terengganu.
“Kita berjaya capai apa yang kita sasarkan. Ini hasil usaha bersepadu semua pihak termasuk,” ujarnya.
11 Jul 25
2241
Kecurian Kabel Jejas Projek ECRL
BESUT, 11 Julai – Isu kecurian kabel yang berlaku di beberapa jajaran projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menimbulkan kebimbangan dalam kalangan pihak pelaksana termasuk Kerajaan Negeri kerana dikhuatiri menjejaskan kelancaran pembinaan serta proses pentauliahan projek nasional berkenaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak berkata, insiden itu sememangnya berlaku dan perlu ditangani segera agar tidak memberi kesan negatif terhadap jadual 'testing and commissioning'.
“Apabila kita uar-uarkan isu kecurian kabel ini, ia membuka mata banyak pihak agar lebih berwaspada dalam memastikan kelangsungan projek nasional ini.
“Kita telah mengenal pasti kawasan-kawasan ‘titik panas’ dan mengambil tindakan dengan melantik beberapa perkhidmatan kawalan keselamatan untuk pemantauan serta mempergiat rondaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mengadakan lawatan bersama Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ke Tapak Cadangan Pembangunan Berorientasikan Transit (TOD) ECRL di Jerteh, kelmarin.
Tambah beliau, usaha pemantauan dan penguatkuasaan yang dijalankan sejak tiga bulan lalu telah menunjukkan pengurangan kes kecurian.
“Harapan kita adalah untuk memastikan momentum pembinaan ECRL dapat diteruskan tanpa gangguan,” ujarnya.
Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata pihak Kerajaan Negeri akan meminta semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan pihak berkuasa tempatan termasuk Majlis Daerah supaya bekerjasama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam memantau sebarang aktiviti mencurigakan di kawasan projek.
“JPKK boleh menjadi mata dan telinga kepada pihak berkuasa, bukan untuk mengambil tindakan, tetapi bagi memerhati dan melaporkan segera sekiranya terdapat sebarang aktiviti luar biasa,” katanya.
11 Jul 25
134