Artikel "Semasa" Terkini
Operasi Mencari Adik Suffi Diteruskan
Oleh: Zuhdi Abdullah
KUALA NERUS, 13 Disember - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Sufi Ijaz Sobre, 3, yang dikhuatiri lemas selepas terjatuh dalam tali air di Kampung Kebor Besar, Manir semalam diteruskan.
Ketua Operasi Pencarian Jabatan Bomba dan Penyelemat Malaysia (JBPM) Kuala Terengganu, Mazimi Mohd berkata, operasi mencari dan menyelamat bagi hari kedua telah bermula seawal jam 7 pagi tadi.
"Operasi SAR masih diteruskan oleh anggota kita (JBPM) di sekitar kawasan tali air. Sehingga kini, mangsa belum lagi ditemui.
"Setakat jam 10.22 pagi ini, operasi mencari dan menyelamat masih giat dilaksanakan dan kita berharap akan menemui mangsa dalam kadar yang segera," katanya.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak pagi ini turut melakukan lawatan ke tempat kejadian bagi menyantuni keluarga mangsa dan pasukan JBPM.
Semalam, kejadian berlaku ketika Sufi bersama abangnya melihat air sungai dari atas jambatan sekitar 10 meter dari bapanya dan dikhautiri terjatuh ketika melihat banjir di kawasan tersebut.
13 Dec 22
395
Kerajaan Komited Bantu Perumahan Gong Cempedak Yang Terbengkalai
HULU TERENGGANU, 13 Disember – Kerajaan negeri menyatakan komitmen bagi membantu nasib pembeli projek perumahan Kampung Gong Cempedak, Marang yang terbengkalai sejak lebih 10 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan kunci kepada pembeli Rumah Mampu Milik (RMM) Padang Setengge semalam.
“Projek Perumahan Gong Cempedak juga projek swasta spenuhnya yang tiada kaitan dengan kerajan seperti RMM Padang Setengge Fasa Tiga dan Empat ini.
“Projek ini tiada kena mengena dengan kerajaan negeri semasa, tetapi menjadi tanggungjawab bahawa rakyat mesti didahulukan dan dibantu.
“Hakikatnya perkara yang memberi manfaat kepada rakyat kita akan utamakan. Rakyat Terengganu memang memerlukan temoat tinggal,” katanya.
Projek Perumahan Kampung Gong Cempedak fasa 3, Marang melibatkan sebanyak 212 unit terbengkalai apabila pembinaan yang dilupuskan kepada pihak swasta pada tahun 2006 tidak disiapkan pihak pemaju.
Terdahulu, sebanyak 234 unit rumah Projek Rumah Mampu Milik (RMM) Padang Setengge Fasa 3 dan 4 yang terbengkalai sekitar 12 tahun telah siap dan penyerahan kunci rumah kepada pemilik sedang berlaku.
Turut hadir ke Majlis Penyerahan Kunci, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rozali Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi hijau negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan ADUN Ajil, Maliaman Kassim.
13 Dec 22
273
Mangsa Banjir di Terengganu Menyusut
KUALA TERENGGANU, 13 Disember – Mangsa banjir di Terengganu semakin nenyusut apabila hanya tinggal 199 orang sahaja yang masih berada di Pusat Permindahan Sementara (PPS) di negeri ini.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terengganu berkata hanya tinggal tujuh PPS dibuka membabitkan enam daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu, Besut, Dungun dan Kemaman.
Katanya, Daerah Kuala Terengganu merekodkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 83 mangsa daripada 26 keluarga ditempatkan di PPS.
“PPS di Kemaman menurun kepada 23 mangsa daripada empat keluarga berbanding 305 mangsa daripada 74 keluarga pada semalam.
“Manakala di Darah Besut dan Setiu pula masing-masing merekodkan sebanyak 12 dan dua mangsa daripada tiga dan satu keluarga,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Sementara itu, di Kuala Nerus dan Dungun masing-masing mencatatkan sebanyak 54 dan 24 mangsa daripada 12 dan tujuh keluarga sehingga hari ini.
“Secara keseluruhan hujan telah berhenti dan cuaca di kebanyakan tempat di Terengganu kini mendung,” jelasnya.
13 Dec 22
194
Banjir : Kerajaan Negeri Prihatin Masalah Rakyat
KUALA TERENGGANU, 12 Disember – Kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap masalah rakyat dengan pelbagai persiapan dilakukan untuk membantu dalam menghadapi banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata pihaknya telah melakukan pelbagai persiapan awal untuk mengurangkan risiko banjir.
Katanya, musim tengkujuh ini kebiasaannya akan berlaku sekurang-kurangnya tiga gelombang sehingga awal tahun hadapan.
“Setiap kali tiba musim ini juga, pihak kami akan memfokuskan tiga perkara bagi mengatasi masalah tersebut melalui peringkat sebelum, semasa dan selepas.
"Sebelumnya kami telah berusaha untuk membersihkan longkang, parit dan sebagainya untuk memudahkan laluan air," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Tinjauan Mangsa Banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Chendering pada hari ini.
Tambahnya lagi, perkara tersebut dilaksanakan sejak daripada awal tahun lagi.
Beliau berkata, ketika berlaku banjir pula pihaknya akan membimbing mangsa-mangsa dan penduduk setempat supaya menjaga keselamatan diri.
Di samping, pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga telah menyediakan Pusat Pemindahan Sementara (PPS) bagi membantu mangsa banjir dari segi kesihatan, makan-minum dan sebagainya.
“Selepas berlaku banjir, pihak kami akan mengerahkan tenaga bagi membersihkan kediaman mangsa yang ditimpa banjir dan memberi kelengkapan yang sepatutnya kepada mereka.
“Kita usaha apa yang termampu dan kita doakan agar Allah SWT memelihara kita daripada musibah banjir ini,” ujarnya.
12 Dec 22
145
Derita Berakhir, Pembeli Rumah Terima Kunci
HULU TERENGGANU, 12 Disember – Derita pembeli Rumah Mampu Milik (RMM) Padang Setengge Fasa 3 dan 4 yang terbengkalai sejak 2014 berakhir apabila seramai 19 pembeli mula menerima kunci hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak berkata, penantian 12 tahun melibatkan 234 unit rumah.
“Sewaktu mula menjawat jawatan sebagai Exco perumahan, memang kita (kerajaan) daripada awal lagi sudah melawat ke tapak projek ini dan semua maklum berlakunya perbalahan antara pemaju dan kontraktor sehingga ke mahkamah.
“Oleh kerana projek ini terbengkalai maka ia memerlukan kos tambahan. Kerajaan perlu memperuntukkan sebanyak RM8 juta, namun kita tidak meletakkan harga tambahan kepada para pembeli,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Penyerahan Kunci Projek Perumahan Mampu Milik Padang Setengge (Fasa 3,4), Kuala Berang di sini hari ini
Kerajaan Negeri melantik Sumai Engineering sebagai kontraktor penyelamat bagi projek sakit itu dalam usaha baik pulih sehingga siap sepenuhnya.
Turut dimaklumkan, semua pemilik RMM Padang Setengge layak menerima kunci rumah setelah selesai melakukan pembayaran kepada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).
Turut hadir Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rozali Salleh, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi hijau negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr Mamad Puteh dan ADUN Ajil, Maliaman Kassim.
Terdahulu, projek di kawasan perumahan Padang Setengge bagi fasa tiga dan empat itu dilaksanakan secara berperingkat bermula 2011 melibatkan 234 unit rumah dan dijadualkan diserahkan kepada pembeli pada Ogos 2014.
12 Dec 22
1546
Tanah Runtuh Di Penempatan Tiong Hua Diberi Perhatian
KUALA NERUS, 12 Disember - Kejadian tanah runtuh di Kampung Pulai Baharu yang menjadi penempatan kaum Tiong Hua membabitkan 65 keluarga diberi perhatian oleh ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim.
Menurutnya, kejadian itu merupakan kali ketiga dan pada kali ini runtuhannya agak ketara hingga memerlukan tindakan segera.
"Kita akan buat secara 'internal' sahaja bagi membantu tuan rumah, Mr Yeo Teo Folek yang sedikit terjejas, buat masa ini dengan cuaca yang tidak menentu kita tangguhkan dahulu.
"Apabila cuaca baik kita akan memulakan proses pembersihan tanah-tanah yang runtuh.
"Insya-Allah kita jangkakan dalam tempoh beberapa hari ia akan dapat diselesaikan,"ujarnya ketika ditemui pihak media ketika meninjau kawasan yang terjadi runtuhan tanah itu, di kediaman Mr Yeo Teo Folek, di sini semalam.
Sehubungan itu Hishamuddin memohon kepada semua penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran supaya mengambil langkah sentiasa berwaspada serta berhati-hati.
"Jika berlaku sebarang perkara yang tidak diingini akibat runtuhan yang berlaku maklumkan seberapa segera kepada pemimpin komuniti atau setempat kerana ia melibat nyawa.
"Kedua perlu dipastikan semua harta benda yang boleh dibawa dan dokumen-dokumen penting diselamatkan," katanya.
Menceritakan kejadian berkenaan, Hishamuddin berkata, peristiwa itu berlaku pada Jumaat kira-kira 6.00 pagi disebabkan hujan lebat bermula Khamis.
"Kita dapat lihat hujan yang turun agak lebat dan itu menjadi indikator menyebabkan tanah jadi lembut dan seterusnya runtuh.
"Sebelum ini runtuh sikit-sikit sahaja, selain rumah ini di atas sana masih banyak lagi kediaman, jadi saya minta semua penduduk berhati-hati,"ujarnya lagi.
11 Dec 22
322
Banjir : Mangsa Di Terengganu Kembali Meningkat
KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Jumlah mangsa banjir di negeri ini kembali meningkat apabila 593 orang direkodkan pada jam 8 malam ini berbanding 546 orang pada 4 petang tadi.
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri berkata jumlah itu melibatkan 151 keluarga yang ditempatkan di 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS).
Menurutnya, lima daerah yang masih terjejas adalah Kuala Terengganu, Setiu, Kemaman, Kuala Nerus dan Dungun.
“Kemaman merekodkan jumlah mangsa paling tinggi iaitu seramai 282 orang daripada 70 keluarga.
“Manakala di Kuala Nerus pula mencatatkan seramai 220 orang daripada 54 buah keluarga,” menurutnya dalam satu kenyataan media pada hari ini.
Jelasnya lagi, daerah Dungun dan Setiu masing-masing merekodkan seramai 39 dan 4 mangsa daripada 10 dan satu keluarga.
Sementara itu, daerah Kuala Terengganu pula mencatatkan jumlah seramai 48 mangsa daripada 16 keluarga.
“Orang ramai juga diingatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak bermain di kawasan banjir selain terus mematuhi prosedur operasi standard ditetapkan,” katanya.
11 Dec 22
624
Tak Sangka Terpaksa Berpantang di PPS
KUALA NERUS, 11 Disember - Niat seorang suami, Aswari Sabri, 36, mahu membawa isterinya, Nurul Nadiah Abu Fatah, 28, berpantang di kampung (Kg) halaman, Kg Padang Hangus tidak kesampaian apabila terpaksa berpantang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) banjir.
Aswari yang merupakan antara 82 mangsa di PPS Sekolah Kebangsaan (Sk) Bukit Nanas berkata, dia sama sekali tidak menyangka kepulangannya dari Negeri Sembilan tidak 'langkah kanan'.
"Pada awalnya saya telah dimaklumkan oleh adik-beradik, air sungai berhampiran rumah sudah mula naik, tetapi tetap hendak balik kerana tidak menyangka air akan naik terlalu cepat.
"Pada subuh Jumaat dalam masa hanya setengah jam sahaja rumah telah dinaiki air, dengan menggunakan perahu segera dibawa isteri dan anak kecil ini ke PPS.
"Bagi isteri dan saya sendiri ini merupakan pengalaman pertama yang kami tidak pernah jangka, jadi terpaksalah meneruskan tempoh berpantang di sini dahulu sementara banjir surut, tidak dinafikan pergerakan sangat terbatas, namun sangat bersyukur kerana disediakan segala kelengkapan seperti susu, 'pampers' semua ada, malah disediakan makanan khusus untuk isteri yang sedang berpantang,"ujarnya.
Dia yang merupakan anak jati DUN Tepoh yang bekerja di Negeri Sembilan itu berkata demikian ketika ditemui pihak media, di PPS Sk Bukit Nanas, semalam.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim turut menyantuni pasangan berkenaan.
Sementara itu, Nurul Nadiah beranggapan bahawa peristiwa itu merupakan pengalaman yang sangat bermakna bagi dirinya kerana selama ini belum pernah mengalaminya.
Hasratnya cuma mahu berpantang bersama kakak iparnya, Sharina Sabri, 39, yang turut melahirkan anak ketiga dan masih baharu sahaja selesai menjalani tempoh berpantang.
Bagi Sharina pula, sebelum ini ketika awal mengandung cahaya matanya itu telah pun berada di PPS tersebut pada awal tahun kerana kejadian yang sama.
"Akhir tahun setelah Nuh Nabhan Mohd Hishamuddin berusia 48 hari, dibawa pula ke sini sekali lagi kerana berhadapan musibah yang sama, kalau ikutkan untuk melakukan segala pergerakan dan menjaga si kecil ini di sini tidak susah sangat, macam biasa sahajalah," ujarnya lagi.
11 Dec 22
257
207 Mangsa Banjir di Dua PPS Kuala Nerus
Oleh: Zuhdi Abdullah
KUALA NERUS, 11 Disember – Seramai 207 mangsa banjir didaftarkan masuk ke pusat pemindahan sementara (PPS) ekoran beberapa kawasan sekitar Kuala Nerus telah dinaiki air bermula semalam.
Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Alias Razak menyatakan mangsa terdiri daripada 51 buah keluarga dan ditempatan di dua PPS yang beroperasi setakat ini.
"Sehingga hari ini (semalam) dua buah PPS di Kuala Nerus telah menerima mangsa banjir iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal melibatkan 133 mangsa dan SK Bukit Nenas (74).
"SK Tok Jembal menempatkan seramai 33 buah keluarga manakala SK Bukit Nenas pula daripada 18 buah keluarga," katanya selepas menyantuni PPS semalam.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri turut mengingatkan kepada semua rakyat Terengganu agar waspada dengan mematuhi arahan sekiranya perlu berpindah ke PPS.
“Keadaan cuaca hujan yang berterusan ini berkemungkinan bilangan mangsa akan bertambah, maka sila patuhi arahan pihak berkuasa dan sentiasa waspada dengan maklumat terkini berkenaan banjir di kawasan masing-masing,” tambahnya.
Sehingga hari ini, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu melaporkan sebanyak 7 buah PPS telah dibuka melibatkan seramai 546 mangsa di negeri ini.
Terengganu dijangka menghadapi taburan hujan yang tinggi apabila Monsun Timur Laut bermula sejak Khamis lalu.
11 Dec 22
683
Fenomena Air Pasang Besar Dijangka Hingga Rabu
KUALA TERENGGANU, 11 Disember - Fenomena air pasang besar dijangka berlaku sehingga Rabu ini dengan paras ombak boleh mencecah 2.7 sehingga 2.9 meter.
Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Terengganu, Mohd Rosman Abdullah menasihatkan penduduk di pesisir pantai dan kawasan rendah dinasihatkan berwaspada dengan Fenomena tersebut.
Katanya, keadaan hujan lebat yang berterusan dan air pasang besar boleh mengakibatkan limpahan air secara luar biasa di kawasan berisiko yang mudah dinaiki air.
"Orang ramai terutama penduduk di kawsan rendah diseru berada dalam siap siaga untuk berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jika diarahkan pihak berkuasa.
"Kami khuatir sekiranya hujan lebat bertembung dengan air pasang besar yang lazimnya berlaku bermula 10 malam sehingga 1.30 pagi akan menyebabkan limpahan air.
"Selain itu orang ramai juga diminta agar menjauhi kawasan pesisir pantai semata-mata (mahu) melihat ombak besar,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika meninjau air pasang besar di Pantai Seberang Takir, di sini, malam kelmarin.
11 Dec 22
421