lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Tasik Kenyir Sebagai Geopark Kebangsaan Dalam Fasa Penilaian Terakhir
Tasik Kenyir Sebagai Geopark Kebangsaan Dalam Fasa Penilaian Terakhir
HULU TERENGGANU, 11 Mac - Hasrat kerajaan negeri untuk menjadikan Tasik Kenyir sebagai Geopark Kebangsaan dijangka dapat direalisasikan akhir tahun ini. Pengarah Unit Perancang Ekonomi negeri, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata, proses yang dilaksanakan oleh Jawatankuasa Pelaksana Geopark Kebangsaan yang merupakan agensi di bawah Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahaan Iklim (NRECC) kini dalam fasa penilaian akhir untuk diisytiharkan sebagai Geopark Kebangsaan. "Kita berharap akan mendapat keputusan tahun ni dan proses ini masih berjalan oleh lembaga penilaian yang akan membentangkan hasil penilaian kepada geopark kebangsaan dahulu.Sekiranya tidak ada apa-apa halangan, Kenyir Geopark akan direalisasikan selewat-lewatnya bulan 10 tahun ini. "Geran ataupun bantuan kewangan datang dengan sendirinya selepas kita dapat kelulusan penamaan geopark Kenyir sebagai satu jenama. Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Kerajaan negeri (Pembangunan) berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan majlis penutup bagi sesi penilaian inspiring Tasik Kenyir sebagai tapak geopark kebangsaan di Warisan Pahlawan Resort di sini, semalam. Tambah Tun Ahmad Faisal, semua jawatankuasa telah digerakkan oleh agensi setempat, di samping merangka program yang melibatkan komuniti setempat bagi memperkuatkan lagi konsep geopark. Jelasnya lagi, usaha menjadikan Tasik Kenyir sebagai Geopark bermula sejak 2015 dan dokumen berkaitan dihantar dua tahun kemudian, namun, gagal disebabkan beberapa faktor termasuk tiada pihak yang bersetuju untuk mengetuai rancangan itu. Beliau juga berkata jika hasrat tersebut terlaksana, pelbagai manfaat akan dinikmati dari sudut ekonomi, peluang pekerjaan, perkembangan sektor pelancongan yang akan menarik pelancong dari dalam dan luar negara apabila berjaya mendapat penarafan geopark kebangsaan kelak. Dalam pada itu, Tun Ahmad Faisal turut menjelaskan pengisytiharan Tasik Kenyir sebagai Taman Geo tidak akan membebankan mana-mana pihak atau menjejaskan pendapatan sedia ada kerana tidak membabitkan pewartaan. Tasik Kenyir yang mempunyai keluasan 209,199 hektar adalah tasik buatan terbesar di Asia Tenggara dan menjadi habitat kepada ribuan spesis flora dan fauna. Ia juga adalah lokasi di mana fosil dinosaur ditemukan selain penemuan rangka manusia tertua di Malaysia dikenali sebagai ‘Bewah Man’ - yang berusia 16,000 tahun.        
11 Mar 23
634
Kutipan Terengganu for Turkiye Lebih RM700 Ribu
Kutipan Terengganu for Turkiye Lebih RM700 Ribu
MARANG, 10 Mac - Hasil kutipan derma tabung Terengganu for Turkiye bagi membantu mangsa gempa bumi yang dikelola Pas Relief berjumlah RM719,798 selepas dua minggu pelancarannya.  Pesuruhjaya Pas Terengganu, Senator Haji Hussain Awang berkata, hasil kutipan itu telah melebihi sasaran awal sebanyak RM500 ribu.  “Semua kutipan ini datangnya daripada ahli serta penyokong Pas, termasuklah daripada orang awam. “Rombongan daripada sekretariat tabung akan berlepas ke Tukiye bagi melakukan penyerahan hasil ini dalam membuktikan solidariti kita bersama mangsa di sana,” katanya selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Aid4 Turkiye di Masjid Rusila, di sini hari ini. Pas kawasan Kemaman berhasil mendapatkan kutipan terbanyak iaitu RM127.805 diikuti Kuala Terengganu (RM93,945) dan Dungun (RM72,760).  Dewan Himpunan Penyokong Pas Terengganu turut mengambil bahagian dalam mendapatkan sumbangan bagi tujuan tabung tersebut. Penyerahan itu disempurnakan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang selepas rutin menyampaikan kuliah duha di Masjid Rusila, Marang.  
10 Mar 23
265
Tuntutan Bertindih Selesai, Bantuan Banjir Diagih April
Tuntutan Bertindih Selesai, Bantuan Banjir Diagih April
KUALA TERENGGANU, 10 Mac – Pembayaran bantuan tunai kepada mangsa banjir di seluruh Terengganu akan diagihkan bermula awal bulan April ini selepas masalah 'double claim' berjaya diselesaikan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat berkata tuntutan bertindih menjadi punca kelewatan agihan bantuan tunai kepada mangsa banjir di negeri ini. Katanya, terdapat pasangan suami isteri yang dikesan mengemukakan tuntutan sama di kawasan berlainan demi kepentingan sendiri. “Tindakan itu menyebabkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Pejabat Daerah terpaksa melakukan semakan serta penyelarasan semula untuk mengelakkan masalah ketidakadilan berlaku. "Di samping, bagi memastikan agihan dilakukan dengan adil dan saksama kepada semua mangsa banjir,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Tambah Hanafiah, data mangsa banjir yang telah dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) adalah sebanyak 17,000 Ketua isi rumah (KRI). “Sebanyak RM17 Juta telah diberikan kepada seluruh daerah masing-masing melibatkan jumlah KIR tersebut. "Di peringkat pentadbiran negeri, pihak kami telah menerima data-data mereka yang tidak duduk di PPS dan terkepung akibat banjir. “Data-data tersebut telah berjaya diperolehi seterusnya akan diangkat peruntukan dengan kerajaan negeri sebanyak RM27 juta melibatkan 27,000 KIR di seluruh negeri ini,” katanya.  
10 Mar 23
2415
Tawar Biayai Bina Rumah
Tawar Biayai Bina Rumah
KEMAMAN, 12 Mac - Bank Muamalat Malaysia Berhad menawarkan pembiayaan membina rumah pertama kepada mereka yang bekerja sendiri dan tiada pendapatan tetap. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kijal, Ustaz Hazri Jusoh memberitahu sebanyak dua billion diperuntukan oleh Kerajaan Persekutuan pada sesi lepas bagi memberi kemudahan kepada rakyat untuk membina rumah. "Hari ini kita bawakan bersama Bank Muamalat Cawangan Kemaman kepada mereka yang berminat untuk membina rumah secara kredit di bawah skim kerajaan.  Kaunter Bank Muamalat.  "Kita tahu untuk membuat pinjaman di bank-bank sekarang agak sukar dengan pelbagai prosidur dan dokumen yang di perlukan bagi mengelakkan salah guna kemudahan yang ada," katanya. Hazri berucap dihadapan 169 penerima dokumen Hakmilik dan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Bercampur pada 8 Mac di Kompleks Paya Lasir, Kijal.  Beliau juga menyedari masalah yang timbul setelah masing-masing memiliki tanah tetapi kebanyakannya pula tidak mampu untuk mendirikan rumah. "Kami, bagi pihak kerajaan cuba mencari jalan penyelesaian bagi mempermudahkan segala urusan berkaitan dengan perumahan untuk rakyat," ujarnya. Ustaz Hazri Jusoh (empat dari kiri) bersama kakitangan Bank Muamalat dan peserta RTB.  Bank Muamalat menawarkan pembiayaan sehingga RM400,000 melalui skim SMART Mortgage SJKP untuk membantu mereka yang tidak berkemampuan termasuk pekerja ekonomi gig, peniaga dan usahawan kecil untuk memiliki rumah pertama mereka.  Skim tersebut dijamin oleh Syarikat Jaminan Kredit Perumahan Berhad (SJKP) untuk membantu mereka yang layak dan tidak mempunyai penyata pendapatan bulanan.
09 Mar 23
482
Kes Kanser Meningkat di Terengganu
Kes Kanser Meningkat di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 9 Mac – Trend penyakit kanser menunjukkan peningkatan di Terengganu apabila menunjukkan pertambahan sebanyak 1,223 pada  2022 berbanding 1,193 tahun 2021. Pengarah Kesihatan negeri Terengganu, Datuk Kasemani Embong berkata tiga jenis kanser tertinggi dikesan dihidapi rakyat negeri ini adalah kanser payu dara sebanyak 23.8 peratus, diikuti oleh kanser kolorektal(11.8 peratus) dan kanser paru-paru sebanyak 11.8 peratus.  Katanya, lebih 60 peratus daripada semua kes kanser dilaporkan, sudah berada pada peringkat tiga dan empat apabila pesakit didiagnosis. “Jika kanser ini dapat dikesan awal, penyakit itu boleh dipulihkan. Malangnya di Malaysia ini, kebanyakkan kanser lebih 60 peratus dikesan lewat iaitu sudah ditahap tiga dan empat, yang mana rawatan akan menjadi lebih rumit, kos perubatan tinggi dan peluang untuk sembuh itu kurang berbanding pesakit ditahap satu dan dua. “Kesedaran dan pengetahuan orang ramai terhadap penyakit yang menjadi pembunuh kedua di negara ini masih rendah, justeru segala usaha dan maklumat perlu diperluaskan agar penyakit berbahaya ini dapat dikesan lebih awal,”ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Sambutan Kanser Sedunia peringkat negeri di Dewan Majlis Daerah Marang di sini hari ini. Tambah Dr.Kasemani, masyarakat perlu kenali simptom kanser, amalkan gaya hidup sihat, pemakanan seimbang serta mengelakkan amalan tidak sihat seperti merokok, berupaya membantu ramai orang daripada terkena kanser. Sehubungan itu, beliau menyarankan orang ramai untuk menjalankan saringan kesihatan mereka dan penglibatan semua pihak dalam memupuk kesedaran mengenai pentingnya saringan awal kanser juga amat digalakkan.  Menurutnya lagi, Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) merupakan salah satu hospital yang mempunyai kepakaran tinggi  dalam perawatan kes-kes kanser. “HSNZ menjadi pusat rujukan serantau(regional referral center) untuk zon timur bagi peadiatric heamato oncology atau kanser darah kanak-kanak,”katanya.   
09 Mar 23
628
Susah Kerja, Anak Muda Ceburi Grab, Foodpanda
Susah Kerja, Anak Muda Ceburi Grab, Foodpanda
KUALA TERENGGANU, 9 Mac - Di zaman era globalisasi ini mencari sesuatu pekerjaan bukanlah mudah sehingga menyebabkan anak muda lebih cenderung menceburi bidang E-Hailing seperti Grab, Maxim dan Foodpanda. Seorang Lepasan Graduan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Mohd Martharidi MD Khairuddin, 26, berkata salah satu penyebab sulit mendapat kerja adalah bertambahnya jumlah saingan. Katanya, walaupun setiap hari selalu tersedia peluang pekerjaan, namun ia masih tidak mencukupi. “Pandangan saya golongan ini susah mendapat kerja kerana lebih memilih pekerjaan yang mewah seperti di pejabat berbanding kerja-kerja biasa. "Di samping, memperlekehkan kerja yang dianggap tidak setaraf dengan kelulusan mereka menyebabkan golongan ini takut untuk mencuba semua benda baru,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Tambah Martharidi, pekerjaan dalam bidang E-Hailing ini dari sudut pendapatan bulanan juga lumayan. Namun hakikat, hendaklah berkorban dari sudut berpanasan asalkan gaji setimpal dengan kerja. Dia berharap, agar peluang pekerjaan sentiasa bertambah setiap tahun supaya masalah pengangguran di negeri ini semakin berkurangan.  
09 Mar 23
491
Relawan T-Volt Mula Misi Hari ini
Relawan T-Volt Mula Misi Hari ini
KUALA TERENGGANU, 9 Mac – Sukarelawan T-Volt hari ini memulakan aktiviti gotong-royong dalam Misi Bantuan Pasca Banjir Johor T-Volt (2023) di Simpang Renggam, johor.  Pengarah Urus Setia Belia Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT), Mohd Nasir Abdul Razzab berkata, misi tersebut dilaksanakan bersama Khidmat Malaysia bagi penyelarsan operasi.  “Ia bertepatan dengan seruan Menteri Besar bagi menyatakan solidariti bersama rakyat Johor yang ditimpa bencana banjir besar bagi membantu mereka. “Misi bencana ini kita (UBSNT) gerakkan tidak sampai dua hari tapi Alhamdulillah penyertaan yang sangat memberangsangkan daripada peserta yang bersama,” katanya selepas sesi pelepasan konvoi di Dataran Muzium Negeri, di sini semalam. Kerajaan Negeri melalui T-Volt menghantar sekitar 400 sukarelawan bersama barang keperluan bagi meringankan bebanan mangsa banjir di sana. Misi bencana kali ini menfokuskan aktiviti pasca banjir di sekitar kawasan Simpang Renggam selama tiga hari. Turut menyertai misi kali ini, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Negeri merangkap Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional, Hanafiah Mat.  
09 Mar 23
209
Persatuan Belia Disaran Lebih Kreatif Cari Dana
Persatuan Belia Disaran Lebih Kreatif Cari Dana
KUALA TERENGGANU, 9 Mac- Persatuan belia disaran agar lebih kreatif menjana pendapatan bagi membiayai pelaksanaan program atau aktiviti yang dianjurkan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, persatuan belia merupakan satu entiti yang penting bagi memacu golongan belia ke arah kesejahteraan dengan penyediaan kemahiran kepimpinan, memupuk sikap bertanggungjawab, semangat patriotisme dan kesukarelawanan. "Bagi mengerakkan program di peringkat persatuan, kerajaan negeri telah menyalurkan bantuan pentadbiran sebanyak RM1 juta melalui Majlis Belia Negeri Terengganu untuk diagihkan kepada persatuan-persatuan belia di setiap daerah. “Walau bagaimanapun, Persatuan belia tidak seharusnya bergantung sepenuhnya kepada dana dari kerajaan itu sebaliknya mencari inisiatif sendiri untuk mendapatkan lebih dana,” ujarnya. Beliau berkata demikian semasa merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Pentadbiran Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu di Restoran Matahari, semalam. Pada majlis itu, sebanyak 11 badan gabungan dan 48 cawangan belia telah mendapat bantuan pentadbiran dengan jumlah keseluruhan RM103,500. Menurut Wan Sukairi, bantuan yang disalurkan itu merupakan usaha kerajaan bagi meneruskan agenda pembangunan belia serta pemerkasaan persatuan belia. katanya, pelbagai bentuk sokongan boleh dilakukan untuk mendapatkan dana antaranya melalui kerjasama dengan anak-anak syarikat mahupun Pertubuhan Bukan Kerajaan. “Tidak semua program memerlukan peruntukan yang besar. Jika persatuan belia dapat berbelanja dengan baik dan tidak mengutamakan perkara yang tidak perlu, saya yakin penjimatan dapat dilaksanakan,” ujarnya. Tambah beliau, persatuan belia juga perlu mendekati golongan sasar dari kalangan belia dan beliawanis dengan mengajak mereka untuk bersama-sama memperoleh manfaat melalui program yang dilaksanakan. Sementara itu, Pengerusi Majlis Belia Daerah Kuala Terengganu, Mohd Faizal Haron berkata, bantuan yang diberikan ini merupakan tanda kecaknaan dan komitmen kerajaan negeri buat persatuan belia Terengganu. “Dengan pemberian dana pentadbiran ini pastinya akan melancarkan lagi urusan persatuan belia untuk bergerak aktif serta melaksanakan program belia dan kemasyarakatan sehingga ke peringkat akar umbi," ujarnya.      
08 Mar 23
528
Rumah Baru Anugerah Terindah Buat Dua Anak OKU
Rumah Baru Anugerah Terindah Buat Dua Anak OKU
MARANG, 8 Mac-Kegembiraan jelas terpancar di wajah pasangan suami isteri yang memiliki dua anak orang kurang upaya (OKU) kerana penantian selama dua tahun untuk memiliki rumah menjadi kenyataan. Syamsiah Osman, 43 dan suami, Mansor Said, 45 dari Kampung Padang Mengkuang, Bukit Payong, menitiskan air mata dan bersyukur menerima rumah yang jauh lebih baik untuk keselesaan dua anak istimewa mereka. "Sebelum ini saya tinggal sementara di rumah ibu angkat suami berdekatan dengan kawasan ini. Selepas permohonan untuk bantuan mendirikan rumah di atas tanah milik keluarga diluluskan dan rumah ini siap, kami berpindah ke sini. "Saya bersyukur sangat sebab kelengkapan yang ada memudahkan saya dan suami untuk menguruskan dua anak ini kerana mereka berdua memerlukan penjagaan rapi setiap masa," ujarnya ketika ditemui pemberita pada majlis perasmian projek itu, di sini, hari ini. Pasangan tersebut merupakan penerima bantuan pembinaan rumah di bawah Projek Baiti Jannati 2021 dengan usahasama Yayasan DiRaja Sultan Sultan Mizan (YDSM) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).  Menurut Syamsiah, rumah yang dibina itu dilengkapi dengan dua buah bilik dimana sebuah bilik diubahsuai dengan saiz lebih besar berserta kemudahan untuk penjagaan dan memandikan dua anaknya yang menghidap cerebral palsy.  Syamsiah merupakan suri rumah manakala suaminya bekerja di sebuah kedai kereta di samping menjalankan perniagaan sampingan secara kecil-kecilan.  Menurut Syamsiah, selain menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM800, mereka juga menerima bantuan susu serta lampin pakai buang dari Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).  Sementara itu, Ahli Lembaga Pemegang Amanah YDSM, Datuk Mohd Fadzli Yusof berkata, bantuan pembinaan rumah itu merupakan salah satu daripada program  di bawah peruntukan wang zakat yang disalurkan kepada golongan memerlukan.  Menurutnya, setiap rumah bernilai RM50,000 termasuk alatan dan  kemudahan seperti perabot asas yang diperlukan oleh penerima bantuan.  "Memandangkan kos barangan telah meningkat dan kita juga tidak mahu membebankan penerima, kita jangka untuk pembinaan akan datang kita akan tambah peruntukan kepada RM60,000 bagi sebuah rumah termasuk perkakasan asas di dalam rumah," katanya. Sehingga kini, kira-kira 30 buah rumah telah dibina menerusi projek berkenaan sejak diperkenalkan pada 2021.   
08 Mar 23
321
Velodrom Azizulhasni Dibuka Awal Bulan Depan
Velodrom Azizulhasni Dibuka Awal Bulan Depan
KUALA TERENGGANU, 9 Mac- Velodrom Azizulhasni di Dungun dijangka dapat dibuka kepada orang ramai awal bulan depan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pembinaan velodrom tersebut telah siap sepenuhnya namun terdapat beberapa kerja pembaikan kecil perlu dilakukan. “Pada Januari lalu, pihak Jabatan Belia dan Sukan Negeri, Majlis Sukan Negeri Terengganu, Persatuan Lumba Basikal Terengganu serta atlet berbasikal telah menguji veledrom itu dan berpuas hati.  “Dalam masa yang sama beberapa permasalahan kecil yang ada di velodrom itu telah dikenalpasti antaranya terdapat sebahagian permukaan trek yang tidak rata. “Selepas ujian dijalankan oleh Jabatan Kerja Raya dan atlet berbasikal, terdapat beberapa pembaikian perlu dilakukan oleh kontraktor sebelum ianya dapat dibuka kepada orang ramai,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan insurans kematian kepada waris atlet lawan pedang Terengganu di Kampung Telaga Daing, disini, semalam. Wan Sukairi berkata, bagi mengesahkan veledrom tersebut selamat untuk digunakan oleh orang ramai, pihaknya juga akan menganjurkan satu kejohanan atau pertandingan selepas selesai kerja-kerja pembaikan kecil tersebut.  
08 Mar 23
322