Artikel "Semasa" Terkini
Hari Pertama Madinah Ramadan Meriah
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - 'Madinah Ramadan' telah membuka tiranya semalam dan mendapat sambutan yang begitu menggalakan daripada rakyat negeri ini.
Program yang diadakan pada tahun ini dengan skala lebih besar berbanding tahun lepas menjadikan dataran Jambatan Angkat sebagai lokasi pilihan.
Rakyat rata-rata ditemui sangat teruja mengimarahkannya kembali setelah dua tahun tidak diadakan kerana pandemik Covid-19 dan tahun lepas hanya diadakan dalam skala yang kecil.
Program bermula seawall jam 6 petang dimulakan dengan 'Diskusi Fiqh' yang membicarakan mengenai ibadat puasa telah disampaikan oleh pendakwah yang tidak asing lagi bagi masyarakat negeri Terengganu iaitu Ustaz Wan Junaidi Wan Jaafar.
Selepas itu orang ramai menjamu selera dengan juadah berbuka puasa yang disediakan secara percuma sepanjang Ramadan sebelum menunaikan Solat Maghrib, Isyak dan Tarawih secara berjemaah.
Di pertengahan Solat Tarawih yang dilakukan secara lapan rakaat, mereka hadir disajikan dengan penyampaian tazkirah oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim mengenai falsafah di sebalik ibadat puasa agar rakyat bersungguh-sungguh dalam melaksanakan rukun Islam ketiga itu.
Sebelum bersurai, orang ramai sekali lagi dihidangkan dengan 'moreh' yang turut disediakan sepanjang diadakan Madinah Ramadan ini.
30 Mar 23
879
250 Rakyat Bukit Besi Terima Geran Tanah
DUNGUN, 30 Mac - Seramai 250 orang peserta daripada enam Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Bukit Besi menerima dokumen hak milik tanah hari ini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, usaha yang cuba dilaksanakan oleh pihaknya untuk menyegerakan pemilikan tanah akhirnya menatijahkan kejayaan.
"Kita cuba permudahkan apa yang seharusnya dimiliki oleh rakyat. Prosedur ini memakan masa yang lama melibatkan pelbagai agensi.
"Dalam melancarkan lagi proese kelulusan RTB, di bulan Ramadan Kali ini, kita menerimanya," ujarnya melalui Facebook rasminya.
Mengulas lanjut katanya, pihaknya akan sentiasa komited untuk menyelesaikan isu berkait dengan tanah bagi memastikan rakyat mendapat hak sebagaimana yang dijanjikan.
"Syukur ke hasrat ilahi dapat juga kita sempurnakan majlis ini dan Insya-Allah sambungan dari semasa ke semasa akan diteruskan mengikut proses yang ditetapkan," ujarnya.
30 Mar 23
738
Individu Tercicir Dana Banjir, Sila Tampil Buat Aduan
MARANG, 30 Mac - Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, supaya individu yang tercicir daripada menerima dana bantuan banjir tampil membuat aduan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) untuk semakan semula.
"Saya sebenarnya memerlukan lebih banyak maklumat sekiranya ada yang tercicir (daripada menerima bantuan) dan selepas disahkan di peringkat JPKK dan daerah kita akan cuba tangani.
"Sebenarnya, sekarang kita dalam proses menyampaikan (bantuan), saya percaya semua daerah sudah selesai semakan, cuma oleh kerana ramai bilangannya tidak pelik sebenarnya walaupun kita tidak mahu tercicir, kalau ada tampil ke depan untuk kita siasat," nasihatnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Program Prihatin Ramadan bersama Menteri Besar peringkat Marang di Masjid Sentul Patah, semalam.
Tambahnya, dalam mengatasi masalah tersebut pihaknya akan membuat semakan semula bagi memastikan dana bantuan itu sampai kepada penerima yang layak.
"Apabila kita buat semakan dahulu, kita kena lihat ada 'double claim' atau tidak.
"Ada juga kes yang berlaku, pasangan suami isteri yang 'claim' di DUN berlainan (bqgi tuntutan yang sama).
Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri pun ada sebut beberapa kaedah menangani masalah tersebut dan kita ambil tindakan sama, kita tengok dan periksa lebih teliti," katanya.
Dalam majlis berkenaan, Dr. Samsuri menyampaikan bantuan banjir bernilai RM1,000 kepada 110 penduduk terlibat di DUN Rhu Rendang selain turut memberi dana raya kepada 33 anak-anak yatim di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang itu juga sempat menziarahi bekas Imam Masjid Sentul Patah, Abd Ghani Ismail yang kini semakin uzur pada usia 85 tahun serta dua penduduk kampung berkenaan, Esah Yunus, 80, dan Mohd Shukri A. Rahman,64, yang menghidap angin ahmar.
30 Mar 23
1449
Rokiah Jual 5,000 Nekbat Sehari
KUALA TERENGGANU, 30 Mac- Pengusaha kuih nekbat dari Kampung Padang Jerat, Jalan Pulau Musang di daerah ini mampu menjual kira-kira 5,000 biji kuih itu setiap hari ketika bulan Ramadan.
Rokiah Deraman, 58, yang terlibat dengan pembuatan nekbat sejak lebih 15 tahun lalu berkata, permintaan manisan tradisional pencuci mulut negeri Pantai Timur itu masih laris sehingga kini.
Katanya, resipi membuat kuih nekbat dipelajari daripada arwah ibu mertuanya dan kini diperturunkan kepada anak-anaknya yang turut membantu dalam proses menyiapkan tempahan nekbat pelanggan.
“Kuih nekbat yang saya jual menggunakan dua bahan asas sahaja iaitu telur serta tepung beras dan hanya perlu dibakar dalam acuan dengan tempoh kira-kira sepuluh minit.
“Kami hanya menghasilkan kuih ini pada bulan Ramadan kerana hari biasa saya berniaga pisang goreng walaupun ada permintaan tinggi ketika bukan bulan puasa,” katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya, semalam.
Katanya, sebanyak 1,000 biji telur digunakan untuk menghasilkan 5,000 biji kuih nekbat.
“Setiap hari seawal pukul 9 pagi, ahli keluarga kami akan berkumpul dan mula membuat adunan kuih nekbat sehingga dibakar di dalam acuan sebelum dibungkus di dalam plastik untuk dijual kepada pemborong.
“Untuk tahun ini, kuih nekbat yang mentah dijual kepada peraih pada harga RM32 bagi 100 biji memandangkan harga barangan semakin meningkat ,” ujarnya.
Menurut Rokiah, anaknya turut membantu mempromosikan kuih nekbat yang mereka usahakan di laman Facebook serta menyediakan perkhidmatan penghantaran secara tunai dan pos.
“Disebabkan rindu akan kuih tradisi yang biasanya muncul setiap kali Ramadan, ramai anak-anak Terengganu yang tinggal diluar membeli nekbat secara ‘online’ dari kami.
“Bagi menjaga kualiti, kuih nekbat ini akan dijemur dan dikeringkan terlebih daluhu sebelum diposkan kepada pelanggan,” ujar ibu kepada tujuh anak itu.
30 Mar 23
317
Masalah Muara Sungai Merang Temui Penyelesaian
KUALA TERENGGANU, 29 Mac – Isu Muara Sungai Merang akhirnya menemui noktah apabila masalah itu berjaya diselesaikan dan keadaan kembali pulih seperti sedia kala.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan Sumber Manusia Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata isu muara sungai itu telah berjaya diselesaikan bermula 10 Mac 2023.
Katanya, penduduk kampung, para nelayan dan para pelancong yang ingin ke pulau Redang juga telah dapat melalui laluan itu.
“Bermula pada 5 Mac lepas, kita telah menerima aduan mengenai perkara tersebut dan beberapa perbincangan juga telah dilakukan dengan penduduk kampung di kawasan terbabit.
“Untuk makluman, muara sungai merang ini terbahagi kepada dua bahagian iaitu utara dan selatan,” katanya ketika ditemubual oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman bertempat di Tingkat 5 Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Tambah Nurkhuzaini, di kawasan selatan, Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) telah memberi kebenaran untuk didalamkan laluan asal terbabit.
Beliau berkata, Terengganu Dredging Sdn Bhd (TDSB) telah menggerakkan dua eskavator pada 5 dan 6 Mac bagi tujuan tersebut namun tidak menemui penyelesaian dan perubahan akibat air pasang surut.
Selepas itu katanya, hasil perbincangan dengan penduduk kampung dan para nelayan, mereka mencadangkan supaya membuka kawasan di bahagian utara.
"Melalui persetujuan tersebut, pihak TDSB telah menggerakkan eskavator ke bahagian utara pula.
“Setelah dikorek laluan tersebut menjadi bahaya kepada bot kerana arus sangat kuat menyebabkan pokok-pokok di tembing tumbang sehingga laluan tidak dapat dilalui," jelasnya.
Di bahagian utara itu, penduduk kampung membuat keputusan untuk menutup laluan bagi memperbaiki kawasan terbabit manakala TDSB terpaksa patah balik untuk membuka laluan di bahagian selatan.
Di samping, Nurkhuzaini berkata, Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim turut memberi sumbangan kepada penduduk kampung untuk menjalankan gotong-royong dan menutup laluan tersebut.
“Setelah dua hari kemudian, laluan di bahagian selatan berjaya dilalui dan penduduk kampung serta para nelayan dapat keluar masuk laluan itu.
“Pihak kerajaan negeri juga telah menyediakan dua eskavator sebagai 'maintanaince' kerana pasir sentiasa bergerak dan dikawal oleh TDSB bagi tujuan penggunaan," ujarnya.
Katanya lagi, dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan pihaknya tidak mengambil inisiatif dalam pemulihan muara sungai tersebut bahkan Kerajaan negeri terlibat sama bermula daripada awal lagi.
Terdahulu, isu muara sungai merang ini menjadi bualan netizen apabila pengusaha pelancong dan para nelayan berdepan kesukaran apabila melalui muara tersebut.
29 Mar 23
413
YBC Sempoi, Rakyat Chukai Lebih Kenal
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Kaedah yang dilakukan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai, Hanafiah Mat mengagihkan ikan tanpa diletakkan dalam plastik tidak perlu dijadikan isu besar kerana ia hanya perkara biasa bagi masyarakat yang tinggal di tepi pantai.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional itu telah dikenali sebagai 'YB paling sempoi' di negeri ini.
"Nak (hendak) tahu sempoi ke tidak, sembanglah dengan YB Haji Hanafiah, bergurau tak kira siapa. Mesra, dekat dengan rakyat tanpa mengira siapa.
"Tapi itulah rencam kepelbagaian pandangan, kita rai jerlah, Apa yang paling pasti, rakyat dalam kawasan DUN beliau lebih mengenali wakil rakyatnya,"ujarnya menerusi satu hantaran di facebooknya.
Ujarnya lagi, bukan senang untuk puaskan hati semua orang walaupun dilihat Hanafiah sering kali berusaha membantu rakyat dengan pelbagai cara termasuk agihan 'ikan aya' itu sehingga menerima komen negatif kerana tular di media sosial.
"Suasana ni biasa 'je' sesama orang kampung khususnya penduduk di tepi pantai, Itu tanda ikan baru naik dan masih segar. Penerima tiada rasa penghinaan pun.
"Suasana nelayan nak kongsi ikan sekarang mungkin payah sikit sebab kos sara hidup yang makin meningkat dan harga ikan juga boleh tahan, adakalanya, bagi nelayan bot fiber, mereka balik dengan tangan kosong walaupun sehari di tengah lautan,"katanya.
Sementara itu, Hanafiah semalam mengagihkan ayam mentah untuk keluarga yang tidak berkemampuan dalam kategori asnaf di desa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) semalam.
"Kecil bagi kita, besar bagi mereka ... Tenang hati melihat mereka masih mampu mempamerkan senyuman,"ujarnya menerusi TikToknya.
29 Mar 23
622
'Madinah Ramadan' Untukmu Wanita Terindah
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - 'Madinah Ramadan' yang akan diadakan di Dataran Jambatan Angkat pada Ramadan kali ini akan turut menampilkan tiga program khas untuk kaum wanita.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, bertemakan 'Untuk Wanita Terindah' tiga program khas yang akan diadakan itu dimulakan dengan 'Healing With Qur'an' pada 5 April (14) Ramadan.
Selain itu, Himpunan Wanita Muda Terengganu akan diadakan pada 8 April (17 Ramadan) dan 'Baiti Jannati' pada 16 April (25 Ramadan).
"Madinah Ramadan Terengganu kali ini menampilkan tiga program khas untukmu wanita Terengganu.
"Mari bersama luangkan masa bersama keluarga tercinta di tapak Madinah Ramadan (mengikuti) pengisian jiwa yang menarik serta jangan lepaskan peluang beramah mesra bersama artis-artis jemputan,"ujarnya menghebahkan program tersebut, di facebooknya, di sini, hari ini.
Program yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Terengganu itu akan bermula pada 30 Mac (8 Ramadan) ituakan turut menyediakan jamuan berbuka puasa dan moreh secara percuma.
Justeru semua rakyat di negeri ini dejmput hadir lebih awal bagi memeriahkan Madinah Ramadan Terengganu pada kali ini.
29 Mar 23
429
10,000 Kunjungi 218 Gerai Bazar Setiap Hari
KUALA NERUS, 29 Mac - Setiap hari di Bazar Ramadan Gong Badak menerima lebih 10,000 pengunjung ke 218 gerai bagi mendapatkan pelbagai juadah berbuka puasa.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, ketika menyantuni semua peniaga tersebut semuanya ceria sepanjang melakukan berurus niaga dengan pembeli.
"Semasa menyantuni para peniaga berkenaan, apron dan kurma turut diagihkan kepada semua yang berniaga.
"Ini rutin wajib sepanjang Ramadan untuk menyantuni peniaga dan (juga) pengunjung di Bazar Ramadan Gong Badak ini.
"... (Saya juga) menyampaikan pesanan buat penganjur agar memberikan penekananan buat semua peniaga agar mementingkan aspek kebersihan dan memastikan harga berpatutan buat pengunjung," ujarnya menerusi facebooknya.
Dalam pada itu Hismamuddin berharap agar para peniaga berjaya meraih keuntungan lumayan sepanjang perniagaan di bazar ramadan pada tahun ini.
29 Mar 23
172
Iftar ‘Nasi Tenong’ Atas Bot Susur Sungai Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Payang Water Taxi River Cruise (PWTRC) kini mempunyai satu lagi tarikan terbaharu iaitu berbuka puasa dengan Nasi Tenong di atas bot sambil menyusuri Sungai Terengganu.
Pengerusi Cas Ligas Sdn Bhd, Zakaria Dagang berkata pihaknya memperkenalkan inisiatif ini bagi membolehkan pengunjung menikmati keunikkan ataupun mengimbas kenangan berbuka puasa menggunakan bekas tenong yang pernah popular pada suatu masa dahulu.
Katanya, harga hidangan nasi tenong ini bermula serendah RM35/seorang. Harga jualan ini sudah termasuk pakej menyusuri sungai Kuala Terengganu bersama bot Payang Water Taxi.
“Pakej nasi tenong ini terbahagi kepada beberapa jenis lauk pauk tradisional Terengganu sebagai juadah berbuka puasa seperti ikan baung masak tempoyak beserta ulam-ulaman dan buah-buahan.
“Selain itu, pengunjung juga boleh memilih juadah lain seperti nasi berlauk sayur lemak dan kami juga turut menyediakan juadah istimewa iaitu Nasi Arab,” ujarnya ketika ditemui pada majlis berbuka puasa dan memperkenalkan pakej Nasi Tenong di sini, semalam.
Jelas beliau, pengunjung juga boleh membawa juadah sendiri untuk pakej berbuka puasa bersama bot Payang Water Taxi.
“Pakej ini dikenakan caj sebanyak RM15.00 untuk dewasa dan RM10.00 untuk kanak-kanak,” katanya lagi.
Sementara itu Payang Water Taxi turut mengadakan promosi diskaun sebanyak 50 peratus bagi perkhidmatan river cruise iaitu hanya RM10 bagi dewasa dan kanak-kanak.
29 Mar 23
743
MB Ajak Perantau Terengganu Berbuka Puasa Bersama
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengajak seluruh perantau Terengganu untuk berbuka puasa bersama sempena Majlis Berbuka Puasa bersama anak-anak Terengganu yang berada di Perantauan Sabtu ini.
Katanya, majlis itu akan diadakan di Dewan A Maeps, Serdang, Selangor.
"Insya-Allah saya akan hadir ke majlis berbuka puasa bersama anak-anak perantau Terengganu pada 1 April nanti.
"Dijemput semua anak-anak perantau untuk hadir sekali gus memeriahkan lagi majlis ini," ujarnya melalui facebooknya, semalam.
Majlis yang akan diadakan bermula dari jam 4 petang hingga 8 malam itu akan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Dalam pada itu, mereka yang akan hadir dikehendaki membawa bersama sejadah, juga disarankan dalam keadaan sentiasa berwuduk bagi memudahkan urusan solat berjemaah.
Bagi memberi ruang kepada Solat Maghrib berjemaah didirikan dahulu, majlis berbuka itu nanti akan dimulakan dengan air dan kurma.
29 Mar 23
809