lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

KRT Hulu Terengganu Agih 9 Ribu Pek Bubur Lambuk
KRT Hulu Terengganu Agih 9 Ribu Pek Bubur Lambuk
HULU TERENGGANU, 2 April – Sebanyak 45 kawah bubur lambuk dimasak oleh Kawasan Rukun Tetangga (KRT) daerah ini sempena Program Gerak Rahmah  2023 : Jom Masak Bubur Lambuk. Pegawai Perpaduan Daerah Hulu Terengganu, Asronizam Mamat berkata, program yang diadakan secara serentak oleh KRT seluruh negara  itu bertujuan mengimarahkan bulan Ramadan dan mengeratkan hubungan antara komuniti merupakan salah satu inisiatif oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN). Selain itu katanya, ia juga bertujuan untuk meneruskan kesinambungan program-program JPNIN untuk memperkasa, mempertingkatkan dan mempelbagaikan program KRT ke arah membangunkan komuniti rahmah. “Sebanyak  9,000 bekas bubur lambuk dapat disediakan dan diagihkan kepada komuniti setempat. “Program ini telah mula dilaksanakan pada tahun lepas dan ini merupakan tahun kedua pelaksanaannya dan gembira dengan sambutan daripada KRT yang melaksanakan program ini," katanya kepada pemberita ketika ditemui semalam. Antara KRT yang terlibat dalam pelaksanaan program ini adalah Kampung (Kg) Pengkalan Ajal, Kg Tok Randok, Kg.Gunung, Felda Tersat, Kg Landas, Kg Pantai Ali, Kg Kuala Ping, Kg. Sekayu, Pekan Kuala Berang, Sungai Bajar serta Felda Jerangau Barat dan Kg Teris.  
02 Apr 23
277
Permohonan i-Fitri Perantau Dibuka 6 April
Permohonan i-Fitri Perantau Dibuka 6 April
SERDANG, 1 April - Berita gembira untuk rakyat Terengganu yang berada di perantauan apabila bantuan i-Fitri akan mula dibuka permohonannya pada 6 hingga 20 April secara atas talian melalui i-Bantuan. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada hari ini mengumumkan inisiatif tersebut di Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Anak Terengganu di Perantauan, di MAEPS. "Kita menyasarkan 20,000 perantau akan menerimanya melalui peruntukan sebanyak RM6 juta. "Untuk jumlah keseluruhan i-Fitri bagi seluruh rakyat adalah RM57 juta untuk 190,000 orang penerima," ujarnya. Antara syarat utama i-Fitri Perantau mestilah rakyat Terengganu yang menetap di luar, juga merupakan pengundi berdaftar di Terengganu. Syarat kelayakannya pula ialah, pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500, penjawat Awam atau lantikan kerajaan yang menerima elaun tetap bulanan adalah tidak layak memohon. Peniaga berlesen tidak layak memohon kecuali pendapatan isi rumah tidak melebihi RM2,500 sebulan. Manakala yang tidak mempunyai slip gaji perlu mengemukakan surat akaun pendapatan yang disahkan penghulu mukim, Pengerusi JPKK, atau pegawai Kerajaan yang berkelayakan. Pemohon hendaklah mencetak borang permohonan sebagai simpanan dan bukit permohonan selesai dan permohonan boleh ditolak sekiranya maklumat tidak benar atau tidak lengkap.  
01 Apr 23
13505
4,000 Perantau Hadir Berbuka Puasa Bersama MB
4,000 Perantau Hadir Berbuka Puasa Bersama MB
SERDANG, 1 April - Lebih 4,000 anak Terengganu di perantauan hadir ke Majlis Berbuka Puasa bersama Menteri Besar Terengganu hari ini. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kehadiran ramai anak perantau itu menandakan semangat persaudaraan yang kuat dalam kalangan rakyat Terengganu. Katanya, pertemuan itu juga sangat bermakna kepada Kerajaan negeri dalam memastikan hubungan erat terjalin antara perantau dan Kerajaan negeri. "Boleh bersama berada dalam majlis berbuka puasa dengan semangat persaudaraan tidak kira dari daerah mana semua dapat berkumpul. "Sudah tentu semua diantara kita ini berasa bangga menjadi anak- anak Terengganu yang telah melakukan pencapaian yang hebat dalam semua bidang di persada negara dan antarabangsa lagilah perlu berbangga menjadi anak Terengganu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Berbuka Puasa Kepimpinan Kerajaan negeri bersama Anak Terengganu di perantauan, di Dewan A, MAEPS Serdang di sini. Untuk rekod program tahunan itu bermatlamat untuk mendekatkan kepimpinan Kerajaan negeri dengan perantau. Dalam majlis berkenaan tujuh pemimpin kerajaan negeri hadir sesi ramah mesra dan soal jawab berkaitan pembangunan negeri. Antara yang hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak. Selain itu turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan, Komuniti Dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim, Pengerusi Jawatankuasa Kebaikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, Pengerusi Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. Juga turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman dan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd  Nur Khuzaini A.Rahman. Sementara itu Wan Sukairi berkata, sesi ramah mesra yang diadakan itu merupakan peluang yang sangat besar kepada barisan kepimpinan kerajaan negeri untuk mendengar segala pandangan dan cadangan demi kebaikan seluruh rakyat Terengganu termasuk yang berada di perantauan. "Walaupun jauh berada, namun hubungan ini perlu sentiasa dipereratkan, dan perantau Masih mempunyai tanggung jawab untuk memberi segala cadangan dan pandangan yang sangat diperlukan untuk kebaikan bersama. "Terima kasih kepada semua perantau yang sanggup datang berbuka dengan kepimpinan Kerajaan negeri," ujarnya.
01 Apr 23
703
EPIC Berhad Peruntuk RM60 Ribu Bantu Murid Asnaf
EPIC Berhad Peruntuk RM60 Ribu Bantu Murid Asnaf
KUALA TERENGGANU, 1 April - Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad memperuntukkan RM60,000 bagi membantu 80 murid kurang bernasib baik pada program Jalinan Kasih Ramadan tahun ini. Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ridzuan Ali berkata, ia sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat untuk membantu golongan memerlukannya. Katanya, program Jalinan Kasih Ramadan pada tahun ini melibatkan dua daerah iaitu Kemaman dan Kuala Terengganu. "Setiap murid terpilih diberi peruntukan RM250 kelengkapan Hari Raya Aidilfitri seperti pakaian dan kasut raya. "Mereka juga diraikan di sebuah majlis jamuan berbuka puasa bernilai RM50 seorang yang diadakan di Paya Bunga Hotel, Kuala Terengganu, di samping menerima duit raya sebanyak RM100," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui di program Jalinan Kasih Ramadan di KTCC Mall semalam. Tambah Ridzuan, sepanjang Ramadan, EPIC secara keseluruhannya telah memperuntukkan sebanyak RM170,000 untuk menyantuni golongan- golongan asnaf dan juga komuniti setempat melalui program-program CSR bagi  berkongsi rezeki. Sementara itu, salah seorang anak yatim yang ditemui, Muhammad Fitri Nasrullah Mohd. Rosdi, 10, berkata, dia cukup gembira apabila dapat membeli baju raya dan berbuka puasa di hotel. Murid tahun empat Sekolah Kebangsaan (SK) Padang Hiliran yang kehilangan ayah pada tahun lepas turut menggunakan wang tersebut membeli sepasang baju untuk adik lelakinya yang berusia sembilan tahun. "Baru- baru ini, mak beritahu dia tidak ada duit nak beli baju raya untuk kami.Bila ada peluang yang Epic bagi, saya pun beli pakaian baru untuk adik supaya mak tak susah hati lagi," katanya yang merindui kenangan di bulan puasa bersama arwah ayah.  
01 Apr 23
409
Pemuda Batu Rakit Anjur 'Jom Singgah Sahur'
Pemuda Batu Rakit Anjur 'Jom Singgah Sahur'
SETIU, 1 April –Pemuda Batu Rakit telah menganjurkan program “ Jom Singgah Sahur” membabitkan Madrasah Al Mannar di Kampung Pecah Rotan, di sini semalam. Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Dun Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata,  pengagihan dan pemilihan lokasi berkenaan dikelolakan oleh Pemuda Batu Rakit bagi memastikan ia berjalan lancar dan mencapai matlamat. Katanya, penyerahan makanan sahur itu sebagai tanda ingat-ingatan pihaknya kepada Madrasah Al Mannar. “Kunjungan kami sebenarnya bukan sekadar membawa makanan sahaja dan turut berharap ini mampu menceriakan mereka," ujarnya. Shafizi berkata demikian kepada TRDI ketika ditemui di "Jom Singgah Sahur" Pemuda PAS Batu Rakit semalam. Tambahnya, program berkenaan  ini tidak diketahui anak-anak tahfiz tersebut datang secara mengejut dan sama-sama mengejutkan anak-anak pelajar tersebut untuk menerima juadah bersahur. "Hening pagi terasa indah apabila melihat senyum tawa seramai 20 orang anak-anak tahfiz apabila melihat kehadiran kami membawa makanan untuk mereka,"katanya lagi.
31 Mar 23
266
NGO Terengganu Cemerlang
NGO Terengganu Cemerlang
KUALA NERUS, 31 Mac – Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu cemerlang dalam melaksanakan misi bantuan di dalam dan luar negara dari pelbagai sudut sama ada tenaga mahupun sumbangan wang ringgit. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, ia dilihat menerusi program Tabung Terengganu for Turkiye and Syria yang dilancarkan baru-baru ini yang mencapai kutipan sebanyak RM1.3 juta. Katanya, sehinggakan Terengganu dinobat sebagai penyumbang terbesar dari Malaysia. “Tidak lupa juga misi-misi pasca banjir yang berlaku di dalam atau luar negeri sehingga hampir kesemua NGO menyalurkan tenaga aktivis serta sukarelawan untuk membantu mangsa- mangsa yang terjejas. “Bahkan dalam kategori pendidikan, kebajikan OKU, belia dan beliawanis, perantau, agama serta hak kepenggunaan, fungsi NGO begitu jelas memudahkan urusan ramai pihak," jelasnya. Beliau berkata demikian semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Townhall NGO Terengganu bertempat di Dewan Al-Wathiqu Billah, Bandar Kuala Nerus di sini semalam. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah. Tambah Yahya, memahami begitu pentingnya kewujudan dan besarnya peranan NGO, kerajaan negeri Terengganu dengan Kerjasama Majlis Muafakat NGO Terengganu (MMNT) telah menubuhkan Anjung NGO Terengganu. Tambahnya lagi, ia berfungsi sebagai “One Stop Centre”, pusat utama menjalankan aktiviti atau mesyuarat pertubuhan supaya potensi dan impak NGO-NGO dapat diperkasa. "Untuk makluman, Anjung NGO Sejahtera sudah siap 95 peratus dan akan dapat dimanfaatkan oleh sebilangan besar NGO," jelasnya. Beliau berkata, NGO juga sebagai gerakan besar, gelombang ketiga yang boleh menentukan kepimpinan negara justeru jasa perjuangan mereka perlu dihargai.      
31 Mar 23
563
Madinah Ramadan Sedia Sukarelawan Jaga Anak Ketika Tarawih
Madinah Ramadan Sedia Sukarelawan Jaga Anak Ketika Tarawih
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Madinah Ramadan pada tahun ini menyediakan pusat penjagaan kanak-kanak bagi membolehkan ibu bapa menunaikan solat tarawih dengan lebih tenang dan selesa. Wakil Sukarelawan di pusat penjagaan kanak-kanak itu, Nur Aisyah Humairah berkata ibu bapa hanya perlu menumpukan perhatian kepada ibadat sementara kanak-kanak berada di bawah jagaan sembilan petugas. Katanya, kanak-kanak dijaga dengan pelbagai aktiviti yang disediakan. "Pelbagai aktiviti menarik yang akan mereka lakukan termasuk melukis, mewarna, bermain dan sebagainya. "Tinggalkan sahaja anak-anak di sini, inilah keistimewaan yang ada di Madinah Ramadan bermula pada tahun ini tanpa dikenakan sebarang bayaran, " ujarnynya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Madinah Ramadan, Dataran Jambatan Angkat, semalam. Mengulas lanjut katanya, perkhidmatan yang disediakan itu walau bagaimanapun hanya dikhususkan untuk anak-anak yang berusia empat tahun ke bawah.
31 Mar 23
376
Bina Rumah Mangsa Banjir, PRIHATIN NGO Terbaik
Bina Rumah Mangsa Banjir, PRIHATIN NGO Terbaik
KUALA NERUS, 31 Mac – Persatuan Prihatin Anak Watan Terengganu menerima Anugerah NGO Baru Terbaik atas jasa membina rumah kepada beberapa keluarga yang terlibat dengan bencana banjir. Pengerusinya, Asmawi Mukhtar berkata anugerah itu adalah hasil daripada sumbangan semua yang terlibat secara langsung atau tidak langsung dalam setiap kerja amal. Katanya, penghargaan itu juga merupakan suntikan semangat pihaknya dalam membantu mereka yang memerlukan untuk misi akan datang. “Anugerah ini bukan bermakna kita yang terbaik namun memberi semangat untuk kami menjadi sebuah ngo yang lebih komited di masa yang mendatang. “Untuk makluman, sebanyak lapan buah rumah telah dibina oleh persatuan prihatin bagi mereka yang terlibat dengan bencana banjir di Pahang dan Terengganu,” jelasnya. Beliau berkata demikian selepas Majlis Townhall NGO Terengganu bertempat di Dewan Al-Wathiqu Billah, Bandar Kuala Nerus di sini semalam. Tambah Asmawi, sambutan dari sudut bantuan juga amat menggalakkan apabila pelbagai NGO terlibat sama dalam misi membina rumah untuk mangsa banjir setiap kali diperlukan. Beliau berharap semoga dengan usaha yang ditunjukkan itu mampu menjadi perintis kepada anak-anak muda untuk sama-sama melakukan misi sedemikian. “Semoga semua jenis bantuan dan sokongan dari semua pihak, akan mendapat keberkatan dari Allah S.W.T,” ujarnya.  
31 Mar 23
351
Drawbridge Tawar Pakej Berbuka Puasa Di 'Puncak Awan'
Drawbridge Tawar Pakej Berbuka Puasa Di 'Puncak Awan'
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Pengalaman unik menyaksikan keindahan senja pada ketinggian 106 meter sambil menikmati juadah berbuka puasa di lantai kaca di  tingkat 15, Kuala Terengganu Drawbridge sememangnya menakjubkan. Pengurus Pemasaran TI Properties Sdn Bhd, Farhana Adila Muhamad Yunus berkata dengan bertemakan Singgah Selatan Di Timur bukan sahaja menawarkan sajian yang sangat menyelerakan, malahan pengalaman dan pemandangan yang terbaik dari atas menara jambatan angkat yang pertama di Asia Tenggara “Hidangan istimewa di sini adalah Sup Kambing Rempah Asli Muar, Gulai Kawah Daging Tetel, Pengat Pisang D’Muara dan pelbagai pilihan mi dari Selatan Tanah Air.  Tidak lupa juga kepelbagaian hidangan menyelerakan dari negeri Terengganu turut disajikan.  “Dari tingkap kaca di menara, tetamu boleh menyaksikan keindahan panorama indah Laut Cina Selatan dan Pulau Duyong sambil menikmati hidangan bersama keluarga dan rakan-rakan mereka,”ujarnya ketika ditemui di menara Drawbridge semalam.   Tambah beliau, galeri menara selatan dan Elysium menara utara mampu memuatkan sehingga 240 pengunjung dalam satu masa manakala lantai kaca pula dari lapan hingga sepuluh orang. Menurut Farhana lagi, pihaknya menawarkan sebanyak 100 jenis menu untuk dinikmati oleh para tetamu termasuk kemudahan seperti parkir valet, surau, ruangan parkir yang dilengkapi lif turut disediakan. “Harga bagi orang dewasa adalah RM75.00, kanak-kanak RM45.00 dan warga emas RM60.00.  Yang menariknya, setiap pembelian bufet dewasa diberi satu keping tiket percuma masuk ke ruangan galeri pada kunjungan akan datang,”ujarnya. Untuk tempahan, mereka yang berminat boleh mehubungi talian 016-843 4470 atau 09-622 2438.
31 Mar 23
2708
'Street Dakwah' Medium Bertemu Rakyat.
'Street Dakwah' Medium Bertemu Rakyat.
KEMAMAN, 31 Mac - 'Street Dakwah' yang diperkenalkan oleh Kerajaan Terengganu melalui agensi Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) merupakan salah satu kaedah untuk menyantuni masyarakat secara langsung.  Pengarah Program Street Dakwah Ramadhan Di Hati Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal 2023, Wan Mohd Redzuan Mohd Kamar berkata, program kali ketiga yang dianjurkan di Bazar Ramadan Seri Bandi mendapat sambutan daripada masyarakat setempat.  “Objektif untuk menyampaikan dakwah Islam dalam bentuk santai dan bersahaja tercapai apabila rata-rata pengunjung yang ditemui menyatakan kaedah berkenaan bersesuaian dan perlu diketengahkan lagi. “Lebih bermakna kita juga berjaya menarik lebih ramai golongan muda dan tua untuk turut serta dalam program yang bermula jam 5.30 petang sehingga 6.30 petang,” katanya. Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh turut hadir memeriahkan suasana.  Menurutnya yang juga selaku Pegawai DUAT DUN Kijal, program sebegini sudah banyak dilakukan di luar negara dan mengapa tidak pendekatan berkenaan digunakan sebagai medium dakwah untuk penduduk tempatan. “Kami berharap 'Street Dakwah' ini dapat memberi kesedaran kepada masyarakat bahawa tanggungjawab berdakwah bukan hanya terletak dibahu pihak berkuasa semata-mata. “Sebaliknya, setiap individu muslim itu sendiri berperanan dan bertanggungjawab menyampaikan risalah dakwah dengan pelbagai medium mengikut kemampuan masing-masing,” katanya. Sementara itu, salah seorang jawatankuasa penganjur 'Street Dakwah', Abdul Halimi berkata, walaupun panas terik sejak awal lagi, ia tidak menghalang pengunjung untuk terus datang ke Bazar Ramadan Kampung Seri Bandi. Bazar Ramadan Kampung Sungai Ibok, Seri Bandi.  “Saya lihat dengan kehadiran pengunjung yang ramai hari ini, program seumpama ini boleh dipelbagaikan lagi bagi menarik minat anak muda untuk terlibat didalam aktiviti yang baik sebegini.  "Kerana ia jelas membuktikan pendekatan dakwah secara santai dan bersahaja semakin diminati,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Sungai Ibok, Seri Bandi semalam. Program yang dianjurkan oleh DUAT DUN Kijal ini turut melibatkan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kijal, JPKK setempat, Pemuda, Ameerah dan Sahabat DUAT Kijal.  Sebelum ini ia telah diadakan di dua lokasi yang berasingan iaitu di Kampung Bukit Kuang dan Kampung Meraga Beris dengan mengedarkan risalah dakwah Islam dan kejayaan yang dilakukan oleh kerajaan negeri beserta juadah untuk mereka berbuka puasa.
31 Mar 23
272