Artikel "Semasa" Terkini
SATU Laksana Pelan Kontingensi Air Menjelang Aidilfitri
KUALA TERENGGANU, 12 April – Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) melaksanakan Pelan Kontingensi Air menjelang Aidilfitri nanti bagi menangani kemungkinan gangguan bekalan air.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts Abdul Karim Endut berkata, pihaknya telah mengenalpasti lapan kawasan di daerah Marang sebagai kawasan yang berpotensi mengalami bekalan tidak stabil atau bertekanan rendah menjelang Aidilfitri tidak lama lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ts. Abdul Karim Endut berkata ia melibatkan Kampung Gong Kasim, Bukit Kecil, Durian Pahit, Gong Balai, Pasir Putih, Alor Ketitir, Fakir dan Felda Rantau Abang 1.
“Ini berikutan kerja-kerja projek menaiktaraf paip utama dari LRA Kepong ke tangki utama MIEL dan Gondang belum siap sepenuhnya dan mencapai tahap 90 peratus.
“Justeru itu, SATU telah membuat perancangan proaktif dengan menempatkan tangki-tangki statik di 32 lokasi yang sudah dikenal pasti bagi memudahkan para pengguna mendapat bekalan air bersih sepanjang perayaan ini,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Iftar Dan Apresiasi Bersama Para Pengamal Media di Hotel Paya Bunga, semalam.
Tambahnya lagi, pihaknya juga meningkatkan mutu perkhidmatan bekalan air bagi memastikan pengoperasian yang lebih efisien, dinamik serta memberi keselesaan kepada pengguna terutama menjelang Aidilfitri.
“Untuk makluman seminggu sebelum hari raya dan seminggu selepas raya, kita akan hentikan sementara kerja-kerja yang boleh mengganggu operasi logi supaya kita boleh kekalkan operasi loji itu,” ujar beliau.
Dalam masa yang sama, Abdul Karim turut berkongsi pencapaian dan kejayaan penambahbaikan yang dilaksanakan SATU bagi meningkatkan tahap perkhidmatan bekalan terutamanya menjelang musim perayaan menerusi beberapa projek utama seperti projek Kuala Terengganu Utara (KTU) yang merangkumi pembinaan LRA Losong Pakej dan LRA Berapit.
“Pihak SATU turut memfokuskan kerja-kerja penambahbaikan di beberapa daerah utama seperti di Setiu menerusi projek penaiktarafan LRA Kemudu, projek pemasangan sistem pam penggalak di Jerteh, Besut serta rehabilitasi sistem pengepaman LRA Hulu Terengganu yang telah berjaya disempurnakan sekaligus menyelesaikan situasi bekalan di daerah-daerah tersebut,”katanya.
12 Apr 23
824
Punca Matahari Berwarna Merah
KUALA TERENGGANU, 11 April - Pagi tadi telah berlaku sesuatu di luar kebiasaan apabila Matahari terbit memancarkan cahaya kemerahan yang dilihat tersangat indah.
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof. Madya Dr Baharrudin Zainal berkata pada kebiasaan matahari tidak boleh dilihat secara langsung.
"Pada kebiasaanya kita akan cepat mengalihkan pandangan, tetapi pada kali ini cahaya berkurangan kerana telah ditebat oleh lapisan awan atau keadaan itu disebabkan oleh keadaan sekeliling menyebakan ia kelihatan sangat menarik.
"Matahari ini warnanya berubah disebabkan awan yang menjadi filter semula jadi dan lebih banyak warna merah diserakkan. Keadaan awan di Malaysia ini walaupun kita kata cuacanya baik sebenarnya ada awan nipis yang kita tidak nampak.
"Disebabkan itu ia bertukar menjadi warna merah, sebelum bertukar warna kuning kemudian beransur-ansur pulih seperti biasa," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, keadaan Matahari yang terbit dan terbenam sebenarnya terdedah kepada lapisan Atmosfera.
"Dalam jarak 157 juta kilometer akan memasuki Atmosfera Bumi semasa memasuki bumi cahaya itu akan 'berbaut' dengan beberapa lapisan udara dan ini yang membentuk warna kerana berlakunya pembiasa ufuk yang akan menjejaskan bentuk dan warna.
"Warna merah ini paling banyak diserakkan di tempat yang terkena ufuk jadi itu yang berlaku pagi tadi,"ujarnya.
11 Apr 23
5217
KDN Rampas 4,320 Naskah Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 11 April – Kementerian Dalam Negeri (KDN) merampas 4,320 naskah al-Quran tanpa kelulusan dalam Op Mulia yang diadakan bermula awal Ramadan sehingga semalam.
Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan KDN, Nik Yusaimi Yussof berkata nilai rampasan tersebut dianggarkan berjumlah RM250,000 di seluruh negara.
Menurutnya, naskhah dan bahan al-Quran itu dipercayai dicetak serta dibawa masuk dari negara jiran tanpa kelulusan Lembaga Pengawalan dan Perlesanan Percetakan al-Quran KDN.
“Di Terengganu, pelbagai naskhah al-Quran turut dirampas yang tidak mempunyai kelulusan membabitkan nilai RM36,870.
“Semua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 7(1) dan Seksyen 8(1) Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang media rampasan Al-Quran dan bahan teks Al-Quran di bawah akta APTQ 1986 dan akta AMCP 1984 bersama setiausaha bahagian penguatkuasaan dan kawalan (PK) bertempat di Pejabat Bahagian Penguatkuasaan Dan Kawalan Negeri Terengganu di sini hari ini.
Tambah Nik Yusaimi, modus operandi premis yang diperiksa adalah mereka mengedar dan menjual al-Quran termasuk al-Quran digital sebagai sumber pendapatan utama secara fizikal serta melalui atas talian.
Beliau berkata, hasil risikan yang dijalankan terdapat premis yang sudah beroperasi dan menjalankan perniagaan tanpa perakuan sejak tahun lalu termasuk seorang lelaki yang ditahan di daerah Besut.
Sementara itu, Op Mulia dibuat bertujuan membanteras pengedaran dan penjualan al-Quran serta bahan al-Quran tanpa perakuan yang menyalahi Akta Percetakan Teks al-Quran (APTQ) 1986.
“Amalan membaca al-Quran tanpa kelulusan dibimbangi boleh mengelirukan masyarakat berkaitan sebutan, bacaan dan maksud yang tidak tepat,” katanya.
11 Apr 23
360
'Fun Ride Sahur' Bantu Golongan Asnaf
MARANG, 11 April - Seramai hampir 100 orang asnaf mendapat manfaat melalui program 'Fun Ride Sahur’ peringkat Daerah Marang semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, sebanyak tiga Dewan Undangan Negeri (DUN) yang terlibat dalam program itu.
Katanya, DUN Bukit Payong selaku tuan rumah di samping turut melibatkan DUN Alur Limbat dan DUN Pengkalan Berangan.
"Program yang bermula pada jam 10 malam itu berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan yang meriah oleh masyarakat setempat sepanjang program itu berlangsung.
“Ia bertujuan untuk mendekatkan golongan muda seterusnya menarik orang ramai untuk beriadah sambil beramal pada bulan yang mulia ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika program 'Fun Ride Sahur' yang bertempat di Dewan Serbaguna Kampung Sena Rendang di sini semalam.
Tambah Mohd Nor, pihak keselamatan juga mengawal dengan baik perjalanan berbasikal mengelilingi kawasan yang ditetapkan menuju ke tempat program.
“Program tersebut berakhir pada jam 1.00 pagi dan diakhiri dengan cabutan bertuah bernilai RM 5000 disediakan kepada peserta dan pengunjung bertuah beserta jamuan moreh,” ujarnya.
Sementara itu, program itu anjuran bersama Unit Perancang Ekonomi Terengganu (UPEN), Pejabat Daerah Marang, Polis Daerah Marang, Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Marang dan Pejabat Dun Bukit Payong.
11 Apr 23
152
Projek Muara KTCC Bakal Dibangunkan Dengan Lebih Teratur
KUALA TERENGGANU, 11 April - Sebarang projek Muara Kuala Terengganu City Centre (KTCC) bakal dibangunkan mengikut Pelan Tindakan Khas supaya lebih teratur bagi memastikan pembangunan yang seimbang dan moden.
Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya komited dalam meningkatkan potensi pembangunan dan pertumbuhan ekonomi khususnya bagi menjadikan muara KTCC sebagai sebuah zon khas ekonomi, kawasan pembangunan pelaburan berimpak tinggi di Terengganu.
"Oleh sebab itu, Pelan Tindakan Khas yang bermula beberapa bulan lepas telah diperhalusi dari susun atur supaya menjadi panduan utama dalam pelaksanaan perancangan dan kawalan pembangunan bagi kawasan muara KTCC tidak caca marba (tidak teratur).
"Kesemua pembangunan mesti diambil kira terutama susun atur dan ketinggiannya supaya tidak menenggelamkan jambatan ikonik iaitu jambatan angkat Kuala Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pelan Tindakan Khas Muara KTCC ( Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Dan Lanskap) di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Tujuh agensi yang terlibat ialah Unit Perancang Ekonomi Negeri Terengganu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, Terengganu Incorporated Sdn Bhd dan Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT).
Tambahnya, penyediaan kajian di kawasan seluas 255 hektar melibatkan tiga presint utama iaitu hiburan dan riadah, pusat perdagangan serta warisan dan budaya sebagai bandar pesisir air yang dinamik, berdaya huni dan mampan.
Ahmad Samsuri juga berkata, pihaknya akan mengutamakan pelabur-pelabur daripada syarikat-syarikat swasta terlebih dahulu kerana faktor kos kewangan yang tinggi bagi tujuan tersebut.
"Kalau ada, mungkin anak syarikat seperti Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) dan LTAWNT yang akan bekerjasama membangunkan projek di situ," katanya.
11 Apr 23
1190
PeliTer 2023 : Sasar 20,000 Pengunjung
KUALA TERENGGANU, 11 April – Jabatan Pelancongan Terengganu meletakkan sasaran seramai 20,000 orang pengunjung sepanjang program Pelita Raya Terengganu (PeliTer) 2023 di Kampung Budaya Terengganu, Muzium Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata sasaran tersebut adalah melebihi angka pengunjung pada tahun lepas.
“Program ini diadakan selama lima hari bermula 14 April hingga 18 April dengan tema Comeynya PeliTer itu mengetengahkan konsep ‘1 Pejabat Daerah 1 Rumah Tradisi’.
“Ini adalah kesinambungan daripada program lepas dengan penambahbaikan dan kita yakin program kali ni lebih baik serta meriah dengan sambutan orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media dan lawatan tapak ke PeliTer @KBT di Kampung Budaya Terengganu, Muzium Negeri, di sini hari ini.
Ariffin juga memaklumkan caj kemasukan ke PeliTer adalah RM1 bagi dewasa manakala percuma bagi orang kelainan upaya (OKU), warga emas dan kanak-kanak bawah umur enam tahun.
Pertandingan fotografi serta video Tik Tok di tapak program juga dibuka buat orang awam dengan keseluruhan hadiah berjumlah RM2,500.
11 Apr 23
528
Raya Mengejut?
KUALA TERENGGANU, 11 April - Isu raya awal seperti tahun lalu sedang menjadi perbincangan hangat dalam kalangan netizen pada hari ini kerana khuatir akan berlaku kekalutan sepertimana sambutan hari kebesaran umat Islam itu sebelum ini.
Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Produk dan Ketamadunan Melayu Islam (INSPIRE) Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Prof. Madya Dr Baharrudin Zainal berkata, pengalaman tahun lalu telah menjadi faktor kenapa ia begitu rancak diperkatakan.
"Ramalan ini juga berlaku kerana ramai masyarakat pada hari ini memiliki kemahiran dan kecenderungan menggunakan perisian yang boleh menerbitkan maklumat melihat anak bulan syawal tanpa memadankannya dengan kaedah dan hukum syarak yang terpakai di negara kita.
"Perkara ini juga menjadi kecoh mungkin disebabkan mendapat maklumat bahawa satu kumpulan Islam terbesar di negara jiran (Indonesia) telah menetapkan tarikh hari raya pada Jumaat, kena ingat dalam kaedah ini negara kita tidak menggunakan 'hisab hakiki wujudul hilal'.
"Negara kita menggunakan kaedah hisab dan rukyah, kena faham perbezaan sistem hukum yang terpakai ataupun menepati kriteria astronomi yang digunakan di negara kita," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, perkara itu diperhangatkan lagi apabila Pusat Astronomi Antarabangsa yang berpengkalan di Emeriah Arab Bersatu (UAE) mengumumkan kemungkinan penghujung Ramadan adalah 20 April.
"Kita mengamalkan sunnah 'Imkanur Rukhyah', di mana negara lain yang menggunakan kaedah 'hisab hakiki' mereka mengumumkan awal perkara itu hanya daripada badan-badan astronomi bukan pihak berkuasa agama.
"Saya rasa masyarakat kena belajar banyak perkara bukan sahaja tahu untuk menggunakan perisian dan mendapat maklumat melalui internet tanpa mengetahui cara dan kaedah yang terpakai di ngeara kita.
"Kemungkinan berlaku raya awal di negara kita amat tipis sebab tidak ada dalam rekod anak bulan dijangkakan penampakannya sangat muda dan dijangka berada rendah di ufuk dua darjah lebih rendah daripada apa yang dapat dilihat pada tahun lepas,"ujarnya.
Terdahulu, 20 April telah ditetapkan sebagai tarkh melihat anak bulan membabitkan Bukit Besar (Kuala Terengganu), Batu Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut), Balai cerap KUSZA, Mukim Merang (Setiu).
11 Apr 23
1551
160 Anak Yatim Batu Rakit Terima Sumbangan 'Duit Raya'
SETIU, 11 April- Seramai 160 anak yatim dari Dun Batu Rakit menerima sumbangan duit raya daripada Batu Rakit Care bagi sebagai persediaan menyambut lebaran pada tahun ini.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Dun Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, sumbangan disampaikan ketika majlis berbuka puasa semalam.
“Saya berharap dengan sumbangan ini sedikit sebanyak dapat membantu anak yatim sekalian bagi meringankan beban perbelanjaan membeli kelengkapan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Berbuka Puasa dan Sumbangan Anak Yatim Dun Batu Rakit di NR Cafe Kampung Pengkalan Maras,di sini.
Mengulas lanjut katanya, program berkenaan merupakan acara tahunan Batu Rakit Care setiap kali menyambut Ramadan yang bertujuan membantu anak-anak yatim dari keluarga kurang berkemampuan di DUN tersebut.
Tahun lalu juga, seramai 160 anak yatim terlibat dalam penerimaan sumbangan Batu Rakit Care.
“Sumbangan yang diberikan oleh Batu Rakit Care ini amat istimewa sekali dan begitu bermakna kepada mereka yang memerlukan. Ia sekurang-kurangnya dapat membantu meringankan beban para penerima dan keluarga bagi menyambut Syawal yang akan menjelang tiba," katanya.
11 Apr 23
176
TDM, Muafakat Sejahtera Lunas Hajat Anak Yatim
KUALA TERENGGANU, 9 April - Anak syarikat kerajaan negeri, TDM Berhad dan Pertubuhan Muafakat Sejahtera melunaskan hajat 58 anak yatim dan asnaf untuk memiliki baju raya baharu pada Aidilfitri tahun ini.
Salah seorang daripada anak yatim, Muhammad Ilham Wafiy, 9, berkata dia sangat gembira dan bersyukur kerana terpilih bersama tiga lagi adiknya untuk menerima bantuan Aidilfitri.
Kata Ilham, keprihatinan TDM dan Muafakat Sejahtera memberi keceriaan kepada dia dan adik-adiknya yang baru kehilangan ayah baru-baru ini.
“Alhamdulillah saya terharu diberikan peluang berbelanja, memilih sendiri baju baharu di sini dan juga dapat memilih warna tema untuk keluarga kami sempena raya kali ini.
"Walaupun sambutan Aidilfitri tahun ini merupakan tahun kesedihan bagi kami sekeluarga yang baru kehilangan ayah di bulan puasa ini baru-baru ini, namun demi semangat kepada ibu dan adik-adik kami cuba meriahkan suasana Aidilfitri ini," katanya ketika ditemui media ketika program itu di Pasar Raya KTCC.
Turut hadir Pengerusi Muafakat Sejahtera yang juga Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Yahaya Ali, Ketua Pengurusan Risiko TDM, Mohd Mardi Ismail dan Ketua Komunikasi Korporat TDM, Norfarizan Hashim.
Sementara itu, Yahaya berkata, anak-anak yatim dan golongan asnaf berusia tujuh hingga 13 tahun terbabit dipilih dari daerah Marang dan Kuala Terengganu.
"Apa yang telah kami lakukan adalah dengan membawa mereka ke Pasar Raya Pacific KTCC untuk membeli keperluan raya seperti pakaian, kemudian kami bawa mereka ke Hotel Paya Bunga untuk majlis berbuka puasa dan menyampaikan sumbangan duit raya setiap seorang.
"Saya merasa bersyukur dan seronok melihat anak-anak yatim dan golongan asnaf ini memilih dan membeli pakaian raya serta makan di majlis berbuka tadi," ujarnya ketika ditemui selepas majlis berbuka puasa.
Yahaya turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak TDM Berhad, Paya Bunga Hotel serta semua yang terlibat dalam menjayakan program tersebut.
Dalam pada itu, Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, TDM melalui program tanggungjawab sosial korporat (CSR), komited untuk sentiasa berkongsi rezeki bersama masyarakat setempat dan bertepatan dengan bulan Ramadan.
"Dalam kita menyambut Ramadan dengan penuh kegembiraan dan juga meraikan Hari Raya Aidilfitri yang bakal tiba, kita juga mengambil kira golongan kurang bernasib baik yang jarang kali mendapat peluang menyambut bulan mulia ini dengan membeli atau memilih baju raya baharu mereka sendiri.
"Kami berbesar hati dapat melibatkan diri dan berharap agar ia menjadi pengalaman serta memori yang indah dan tidak dapat dilupakan. Program ini merupakan salah satu cara untuk kami berbakti kepada masyarakat," katanya.
11 Apr 23
319
Dr Sam Tak Mahu Dabik Dada
KEMAMAN, 11 April - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar enggan mendabik dada ataupun merasa selesa dengan sokongan rakyat dan pemerhati politik atas prestasi cemerlang sepanjang mentadbir negeri ini.
Beliau sebaliknya berkata, usaha untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat akan terus ditingkatkan pada masa akan datang.
Katanya, jika PAS terus diberi kepercayaan untuk penggal akan datang, parti itu akan terus meningkatkan mutu perkhidmatan agar segala agenda untuk rakyat akan dapat dijayakan.
"Saya tidak memberi markah kepada diri sendiri apa yang penting kami (telah) laksanakan (segala amanah) dengan cara yang terbaik. Namun begitu, sudah tentulah masih ada ruang yang boleh kita tambah baik untuk dilaksanakan.
"Sebab itu jika diberi amanah dan ruang oleh rakyat sekali lagi, insya-Allah kami akan memperbaiki segala kelemahan yang lalu serta akan menambah perkara yang tidak boleh dilaksanakan pada sesi (penggal) kali ini kita akan terusakn pada sesi akan datang dengan cara yang lebih baik," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Prihatin Ramadan dan Majlis Perasmian Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Daerah Kemaman, di Masjid Batu 2 1/2, Mak Chili, Kemaman, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri berkata bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada kali ini PAS telah melakukan persediaan terbaik termasuk akan membentangkan manifesto di luar jangka khusus untuk rakyat negeri ini.
"Telah ada dalam jadual mengenai tarikh akan dilancarkan manifesto, jadi kepada semua tunggulah kedatangannya.
"(Mengenai) pembahagian kerusi rundingan peringkat pertama telah dilakukan, ada sedikit lagi perkara yang belum selesai dan saya percaya dalam tempoh yang terdekat akan dapat diselesaikan dan ia telah berjalan," ujarnya lagi.
11 Apr 23
768