lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Bantuan Banjir Terengganu Mula Diagih Berperingkat
Bantuan Banjir Terengganu Mula Diagih Berperingkat
KUALA TERENGGANU, 13 April - Bantuan tunai kerajaan negeri RM1,000 kepada 17,000 ketua isi rumah (KIR) yang terjejas banjir baru-baru ini mula diagihkan melalui Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing sejak dua hari lepas. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pembayaran tersebut diberikan secara berperingkat kepada mangsa yang tinggal di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dahulu. "Pembayaran ini akan mengambil masa tiga atau empat hari untuk diselesaikan dan saya bagi pihak kerajaan negeri memohon maaf atas kelewatan menyalurkan bantuan ini kerana faktor-faktor yang tidak dapat dielakkan. "Kita melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) terpaksa melakukan pemutihan senarai mangsa semula selepas berlaku tuntutan bertindih. "Contohnya, kita mengesan ada pasangan yang mendaftar PPS berlainan seperti suami di PPS A dan isteri di PPS B," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT Tahun 2023 di Dewan Utama YPKT di sini semalam. Jelasnya, baki 17,000 lagi melibatkan mangsa yang tidak berpindah ke PPS akan dibayar selepas menerima kewangan yang dijanjikan Kerajaan Persekutuan. "Mereka ini tidak berpindah atau tinggal di PPS tetapi tetap akan menerima bayaran RM1,000 selepas kerajaan negeri mendapat dana tersebut," ujarnya. Sementara itu, mengulas tentang bantuan kerajaan pusat sebanyak RM50 juta, Hanafiah berkata Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) telahpun membuat agihan bayaran. Namun katanya, peruntukan itu tidak mencukupi dan masih ramai mangsa yang belum menerimanya. "Saya difahamkan pembahagian bantuan mengikut data yang ada dengan pihak NADMA dan bukan dari pihak kerajaan negeri menjadi salah satu faktor masih ramai yang belum menerimanya. "JPP ada membuat permohonan dana tambahan kepada kerajaan pusat dan masih menunggu keputusan tersebut," katanya.
13 Apr 23
3387
917 Terima Manfaat Kad Sejahtera di Batu Rakit
917 Terima Manfaat Kad Sejahtera di Batu Rakit
SETIU, 13 April – Seramai 917 penerima daripada golongan berpendapatan rendah,miskin dan miskin tegar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menerima manfaat menerusi kad sejahtera.. Inisiatif yang diperkenalkan sejak tahun 2019 itu melayakkan golongan sasar itu menerima bantuan RM500 setahun dan merupakan manifesto kerajaan pimpinan PAS yang dijanjikan pada Pilihan Raya Umum (PRU) 14 yang lalu. Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, kerajaan negeri sentiasa komited bagi memastikan setiap rakyat di negeri ini menerima kemudahan untuk mendapatkan rawatan kesihatan terbaik menerusi pelaksanaan kad sejahtera itu. Dimana katanya, mereka yang berpendapatan rendah untuk mendapat rawatan dengan nilaian RM500 setahun di klinik panel terpilih bagi memastikan rakyat hidup sihat dan sejahtera. “Secara tidak langsung Kad Sejahtera ini mampu memberi pilihan kepada golongan sasar untuk mendapatkan rawatan pesakit luar di klinik-klinik swasta terpilih sekaligus dapat mengurangkan kesesakan di pusat kesihatan mahupun hospital kerajaan. “Kad Sejahtera ini perlu dibawa setiap kali mahu mendapatkan rawatan di klinik swasta terpilih dengan penggunaan maksimum RM70 setiap kali mendapatkan rawatan. “Diharapkan semua penerima dapat manfaatkan sebaik mungkin kemudahan yang disediakan oleh kerajaan negeri ini,” katanya yang ditemui dalam Majlis Taklimat dan Penyerahan Kad Sejahtera di Dewan Serbaguna Wakaf Catur Maras,Batu Rakit, di sini, semalam. Sementara itu, bagi seorang penerima Ismail Embong 65, berkata beliau sangat bersyukur dan berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana sentiasa memikirkan medium sesuai untuk menambah baik kesihatan dan kebajikan masyarakat setempat. “Golongan yang berpendapatan rendah, miskin dan miskin tegar dengan setiap keluarga antara golongan sasar yang layak menerima bantuan sekaligus membantu penerima untuk mendapatkan rawatan segera di klinik-klinik swasta (panel yang berdaftar) berhampiran tempat tinggal mereka,” katanya.
13 Apr 23
213
Duit Raya Untuk Rakyat Terengganu Dibayar Mulai 17 April
Duit Raya Untuk Rakyat Terengganu Dibayar Mulai 17 April
KUALA TERENGGANU, 12 April – Bayaran duit raya atau i-Fitri 2023 kepada rakyat negeri ini yang layak akan dibuat bermula 17 April depan secara tunai di peringkat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata bantuan melibatkan peruntukan berjumlah RM43.452 juta akan dibayar kepada 144,840  ketua isi rumah (KIR). “Ketua Isi Rumah (KIR) yang layak akan menerima bantuan i-Fitri antara RM300 dan pengagihan secara tunai akan dilakukan secara berperingkat. “Hampir 148 ribu yang telah memohon dan hanya tiga peratus ditolak permohonan mereka kerana tidak mematuhi syarat seperti pemohon merupakan penjawat awam kerana mereka mendapat bonus khas sebanyak RM700 daripada kerajaan…ada juga kes yang ditolak kerana kesilapan nombor kad pengenalan,” katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT Tahun 2023 di Dewan Utama YPKT di sini hari ini. Sementara itu bagi i-Perantau , pembayaran akan dibuat selepas hari raya kerana buat masa sekarang ia masih dalam proses pendaftaran. "Pengagihan bantuan i-Perantau kepada mereka yang layak akan dilakukan selepas sambutan Aidilfitri seperti tahun-tahun sebelumnya,” ujarnya. Antara syarat utama i-Fitri Perantau, bagi salah seorang KIR, mestilah rakyat Terengganu yang menetap di luar, juga merupakan pengundi berdaftar di Terengganu.  
12 Apr 23
8811
Peruntukan RM64 ribu untuk Kelab Warga Emas
Peruntukan RM64 ribu untuk Kelab Warga Emas
KUALA TERENGGANU, 12 April – Kerajaan negeri memperuntuk RM64 ribu  kepada 32 Kelab Warga Emas Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu ( YPKT) di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi tahun 2023. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Hanafiah Mat berkata, bantuan sebanyak RM2,000 untuk pengurusan kelab di peringkat DUN dan menggerakkan perancangan sebagaimana yang telah digariskan dengan lebih efektif. “Saya harapkan pengerusi dan ahli jawatankuasa kelab dapat bergerak bersama merancang agar aktiviti kelab dapat dijalankan seterusnya memberi faedah kepada komuniti kearah kebaikan di peringkat bawahan,”ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Bantuan Pengurusan Kelab Warga Emas YPKT Tahun 2023 di Dewan Utama YPKT di sini hari ini. Hanafiah juga berkata, dengan adanya kelab di bawah YPKT, pengurusan dan bimbingan serta penyelarasan dapat dilaksanakan dengan teratur. “”Peranan Kelab Warga Emas ini sudah tentu dapat memberi impak kearah penyampaian perkhidmatan kepada komuniti dan kumpulan sasar sebaiknya,” ujar beliau.   
12 Apr 23
775
Giliran Warga Kuala Terengganu Berbuka Bersama Dr Sam
Giliran Warga Kuala Terengganu Berbuka Bersama Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 12 April – Prihatin Ramadan Bersama MB menjelajah ke setiap daerah bagi aktiviti berbuka puasa bersama rakyat semalam diteruskan di Kuala Terengganu. Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hadir ke Masjid Sultan Muhammad, Bukit Besar ditemani isteri, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman. Seramai kira-kira 700 penduduk sekitar tanpa mengira umur dan bangsa tidak melepaskan peluang menyertai majlis tersebut. Dalam masa yang sama, Ahmad Samsuri turut menyampaikan sumbangan buat fakir dan asnaf terpilih selain masjid tersebut sebagai tuan rumah. Pengerusi Masjid Sultan Muhammad, Tuan Ahmad Tuan Besar merakamkan penghargaan buat pihak kerajaan negeri melaksanakan majlis berbuka di sana. “Terima kasih buat pihak kerajaan negeri atas sumbangan yang diberikan, insha-Allah akan digunakan bagi program imarah masjid,” katanya. Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Rozali Salleh dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman, Mohd Soud Said.  
12 Apr 23
698
Primula Rai Anak Yatim Dan OKU Berbuka Puasa
Primula Rai Anak Yatim Dan OKU Berbuka Puasa
KUALA TERENGGANU, 12 April - Bersempena kedatangan bulan Ramadan, Primula Beach Hotel meraikan seramai 50 orang anak yatim termasuk  guru pengiring dari lima buah sekolah sekitar daerah Kuala Terengganu Pengurus Besarnya, Suaibah Harun berkata, Majlis Berbuka Puasa bersama Anak Yatim merupakan acara tahunan yang diadakan bagi meraikan anak-anak yang telah kehilangan ibu atau bapa atau kedua-duanya.  Katanya, ini merupakan usaha pihak hotel untuk menyemarakkan harapan dan keceriaan dalam kalangan kanak-kanak yang tidak bernasib baik membawa mereka menikmati majlis berbuka puasa yang penuh kemeriahan ini. "Saya berbesar hati kerana tahun ini dapat meneruskan majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak yang kurang bernasib baik...melalui usaha ini sekurang-kurangnya keceriaan dapat dikongsi bersama sekali gus peluang untuk mereka menikmati Ramadan dengan penuh bermakna," “Selain menjamu selera, Primula Beach Hotel juga berbesar hati memberi sumbangan berupa ‘Duit Raya’ bukan sahaja untuk anak-anak yang istimewa ini malah juga untuk golongan ibu bapa tunggal dan asnaf dikalangan warga kerja hotel,” katanya ketika ditemui. Terdahulu, Primula turut meraikan 25 anak-anak istimewa dan 15 pengiring dibawah jagaan Pertubuhan Pemulihan Dalam Komuniti (PPDK) Sungai Rengas. Tambah Suaibah, beliau berharap program ini dapat menjadi platform terbaik untuk merapatkan hubungan antara anak-anak istimewa juga wakil persatuan bersama Primula Beach Hotel untuk jangka masa yang berterusan. “Tangan yang memberi sememangnya lebih baik daripada yang menerima. Ketika tangan yang menerima rasa terharu dan gembira, tangan yang memberi turut bahagia. “Biarpun ia berpaksikan kepada tanggungjawab korporat sosial, tiada yang lebih bahagia apabila melihatkan golongan kurang bernasib baik menerima bantuan dan kegembiraan sepatutnya,”ujarnya.  
12 Apr 23
351
600 Terima Manfaat Kad Sejahtera di Permaisuri
600 Terima Manfaat Kad Sejahtera di Permaisuri
SETIU, 12 Mac : 600 orang penerima Kad Sejahtera peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri bakal terima manfaat pembiayaan rawatan kesihatan. Pegawai Penyelaras, Zul Bhari A Rahman berkata, penerima Kad Sejahtera yang terpilih menerima inisiatif ini adalah mereka yang bertuah dan sebaiknya dimanfaatkan semaksima mungkin. "Alhamdulillah, hasil usaha pimpinan kerajaan hari ini memikirkan usaha yang terbaik bagi memberikan kesejahteraan kepada rakyat melalui pembiayaan rawatan kesihatan,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Penyerahan dan Taklimat yang diadakan di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom semalam. Sebanyak RM 500 diperuntukkan setahun dengan 13 jenis rawatan asas dan pembedahan kecil melalui klinik panel yang terpilih bagi tujuan tuntutan rawatan. Kad Sejahtera adalah manifesto yang ditawarkan oleh PAS Terengganu pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu dan telah berjaya ditunaikan. Rata-rata ditemui mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif yang baik ini dan berharap usaha ini diteruskan pada masa akan datang.  
12 Apr 23
279
'Insya-Allah Masalah Sampah Tidak Berulang Waktu Perayaan'
'Insya-Allah Masalah Sampah Tidak Berulang Waktu Perayaan'
KUALA TERENGGANU, 11 April - Kerajaan negeri kini bersiap bersedia menguruskan penambahan sampah sarap sempena sambutan Hari Raya Aidifitri tidak lama lagi dan memberi jaminan masalah longgokan sampah tidak berlaku. Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya menjangkakan jumlah janaan sampah menjelang perayaan Aidilfitri tahun ini meningkat sehingga tiga kali ganda daripada hari biasa susulan kepulangan perantau ke kampung halaman masing-masing. "Kita sudah melakukan perancangan dan persiapan rapi malah saya sudah sebut dalam mesyuarat supaya exco terlibat (Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dato' Dr Alias Razak) mengambil langkah menghadapi potensi peningkatan sampah seperti tahun-tahun lalu. "Datuk Dr Alias maklumkan beberapa tindakan sudah dirangka dan akan dibuat bagi mengatasi masalah ini, kita harap tahun ini lebih berjaya dalam mengawal sampah," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Pelan Tindakan Khas Muara KTCC ( Garis Panduan Reka Bentuk Bandar Dan Lanskap) di Wisma Darul Iman di sini hari ini. Jelasnya, kerajaan negeri juga tidak bercadang untyk menggunakan khidmat luar seperti tahun lalu kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memberi jaminan bahawa mereka mampu menguruskan sendiri sampah sarap tersebut. "Kita jangka sekurang-kurangnya tiga kali ganda peningkatan (sampah) dan ia memerlukan kerjasama semua pihak sama ada pengguna atau PBT. Harap semua berdisiplin masukkan sampah ke dalam tong dan tidak baling merata-rata," katanya. Sementara itu Dr Alias ketika ditemui berkata, hanya tiga zon iaitu dua di Kuala Terengganu dan satu di Marang yang berdepan dengan masalah pengurusan sampah berikutan kontraktor dilantik tidak kompeten dalam melaksanakan tanggungjawab. Jelas beliau, kontraktor terlibat sudah ditamatkan kontrak dan pengurusan sampah di tiga zon berkenaan kini diambil alih semula oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan Majlis Daerah Marang (MDM). "MBKT dan MDM beri komitmen dan sentiasa bersedia dengan situasi ini, jadual bertugas telah digandakan, fasiliti tong sampah ditambah termasuk jentera. "Oleh itu kita harap pengurusan sampah pada Aidifitri kali ini dapat diuruskan dengan baik agar tiada lagi aduan dari masyarakat," katanya.
12 Apr 23
294
Paduka Anakanda Sultan Terengganu Bertemu Rakyat di Bazar Ramadan
Paduka Anakanda Sultan Terengganu Bertemu Rakyat di Bazar Ramadan
KUALA TERENGGANU, 12 April- Para pengunjung serta peniaga-peniaga di Bazar Ramadan Dataran Shahbandar, begitu teruja apabila Anakanda-anakanda Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli lokasi tumpuan itu, petang semalam. Pengusaha makanan Putu Bambu, Muhamad Hafizul Hakim Mohd Afzal,28, bersama rakan-rakannya, Muhammad Nur Irsyad Mohd Amran,18 dan Abdul Azim Wais Zamri,18 amat berterima kasih atas kunjungan baginda itu. "Kami rasa bangga dengan kedatangan tuanku, lebih-lebih lagi baginda turut berkenan menjual putu bambu di gerai kami kami," katanya. Selain beramah mesra ingin mengetahui akan juadah-juadah yang dijual, paduka anakanda -anakanda turut menyampaikan kurnia kepada kanak-kanak serta berkenan berswafoto bersama sebahagian pengunjung ketika bertemu rakyat yang berada di sana. Keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin pada sekitar jam 5.30 petang diiringi kekandanya, Tengku Puteri Utama Raja serta adinda-adindanya, Tengku Sri Setia Mahkota Raja dan Tengku Puteri Daulath Raja. Keberangkatan tiba baginda disambut Setiausaha Kerajaan Negeri; Tengku Seri Bijaya Raja, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT); Rosli Latif, pegawai daerah Kuala Terengganu, Ahmad Faris Abdul Razak serta pegawai-pegawai kerajaan negeri. Yang di-Pertuan Muda Terengganu bersama paduka anakanda -anakanda berangkat pada pada jam 6.10 petang.        
12 Apr 23
972
Disiplin Tinggi Kunci Kejayaan Atlet Terengganu
Disiplin Tinggi Kunci Kejayaan Atlet Terengganu
KUALA TERENGGANU, 12 April – Disiplin diri dan sifat sabar yang tinggi dalam diri setiap atlet Terengganu sama ada di dalam atau di luar gelanggang menjadi kunci kejayaan dalam setiap kejohanan. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, disiplin itu boleh dilihat dalam bulan Ramadan kerana ia sangat mencabar  bagi setiap atlet dalam menjalani latihan, perlawanan dan sebagainya. "Namun, ia bukanlah halangan bagi atlet, kita boleh nampak melalui perkongsian panel-panel yang berpengalaman pada hari ini yang sangat memberi inspirasi kepada kita semua. "Panel-panel terdiri daripada pemain Pasukan Terengganu Football Club (TFC1), Muhammad Rahadi Azli Rahalim, Muhammad Azam Azmi Murad dan Pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Mohd Harrif Salleh. “Selain itu, bersukan dalam bulan puasa ini juga merupakan cabaran yang luar biasa bagi seseorang atlet untuk menguji diri sekali gus menunaikan tuntutan wajib dalam ajaran Islam,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menghadiri Himpunan Atlet Terengganu sempena Madinah Ramadan bertempat di Dataran Jambatan Angkat, Kuala Terengganu di sini semalam. Tambah Wan Sukairi, melalui usaha yang luar biasa dapat menjadikan seseorang itu lebih ke depan. "Setiap atlet perlu memanfaatkan setiap peluang yang ada untuk berjaya dalam bidang sukan," jelasnya. Program yang bermula pada jam 6.00 petang itu berjalan dengan lancar serta mendapat sambutan yang meriah oleh peserta-peserta dan pengunjung yang hadir. Peserta tersebut terdiri daripada pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Sukan Bukit Nenas dan Sekolah Sukan Gong Badak. Program yang menerima kehadiran lebih 1,000 orang itu berakhir pada jam 7.10 petang dan diteruskan dengan majlis berbuka puasa serta solat maghrib berjemaah bersama.    
12 Apr 23
380