lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

FAMA Sasar Tambah 14 Pasar Tani Tahun Ini
FAMA Sasar Tambah 14 Pasar Tani Tahun Ini
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) menyasarkan untuk menambah 14 lagi pasar tani di seluruh negara pada tahun ini. Pemangku Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata, penambahan pasar tani itu bergantung kepada peruntukan dan juga kesesuaian tapak. “Kajian Jabatan Perangkaan Malaysia telah mencadangkan FAMA untuk membuka lebih banyak outlet pasar tani mengunakan kaedah bilangan penduduk di satu-satu tempat. “Bagi pihak FAMA kita mengucapkan terima kasih atas cadangan itu dan akan menggunakan data oleh Jabatan Perangkaan Malaysia untuk pembukaan pasar-pasar tani baru di masa hadapan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini, hari ini. Menurut Abdul Rashid, pelbagai faktor akan diambil kira sebelum pembukaan sesebuah pasar tani baharu.  “Setiap kali kita hendak membuka pasar tani, kita akan buat satu kajian pasaran yang melibatkan unsur-unsur seperti kepadatan penduduk, bilangan pasaraya yang berada di kawasan yang dicadangkan, budaya beli penduduk dan kebenaran daripada pihak PBT,” ujarnya. Katanya, sehingga kini lebih 250 outlet pasar tani beroperasi di seluruh Malaysia. Terdahulu, laporan media turut memaklumkan Kerajaan mengarahkan FAMA agar membuka lebih banyak pasar tani mengikut kepadatan penduduk di sesuatu kawasan. Timbalan Perdana Menteri Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, FAMA harus mempunyai perancangan dengan membuka 1,391 pasar tani dan pembukaan itu perlu mengikut nisbah penduduk. "(Perkara) ini ditentukan kawasan berpendudukan tinggi di Semenanjung. "Manakala untuk Sabah dan Sarawak, Fama telah cuba untuk (membuka) pasar tani tapi penduduk Sabah dan Sarawak lebih berminat menggunakan pasar tamu mereka,” jelasnya. Beliau berkata, penyelarasan mengenai perkara itu harus dilakukan sekarang.  
21 May 23
751
El-Nino, FAMA Sedia Bantu Pasarkan Hasil Tani
El-Nino, FAMA Sedia Bantu Pasarkan Hasil Tani
KUALA TERENGGANU, 21 Mei- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) komited untuk membantu mana-mana usahawan atau petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian termasuk yang disebabkan El Nino untuk memasarkan hasil tani masing-masing. Pemangku Ketua Pengarah FAMA, Abdul Rashid Bahri berkata,  petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian boleh berhubung dengan pejabat FAMA berdekatan bagi mendapat pandangan seterusnya peluang pemasaran yang lebih luas hasil pertanian mereka. “Tak kira musim banjir atau musim panas, FAMA sedia membantu sepanjang masa jika diperlukan kerana pihak kami punyai banyak sumber untuk membantu mereka memasar hasil tani seperti mengadakan aktiviti Pasar Tani, Jualan Agro Madani dan outlet peruncitan FAMA di seluruh negara atau lokasi terpilih di negeri Terengganu. "Malah, apa sahaja masalah yang dibangkitkan usahawan tani kita akan cuba selesaikan, jumpa mereka untuk mengetahui punca...kita ada pelbagai solusi penyelesaian. "Setakat ini, kita dah selesaikan banyak isu-isu yang dibangkitkan usahawan tani termasuk (aduan masalah) di media sosial antaranya Johor, Selangor Negeri Sembilan dan Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini hari ini. Justeru itu katanya, beliau berharap petani yang mengalami masalah pemasaran pertanian dapat berhubung dengan pejabat FAMA berdekatan bagi mendapat pandangan seterusnya peluang pemasaran yang lebih luas hasil pertanian mereka. Beliau juga berkata, seramai 5,696 usahawan di seluruh negara telah menerima manfaat dari pelbagai program yang diadakan FAMA termasuk aktiviti pemasaran, program intervensi dan latihan bagi tempoh Januari hingga April lalu. “Manakala di Terengganu, terdapat 483 usahawan yang telah FAMA bantu dalam tempoh tersebut bagi tahun ini,” ujarnya.  
21 May 23
244
Pulau Redang, Perhentian Terima Bot Ambulans Baharu
Pulau Redang, Perhentian Terima Bot Ambulans Baharu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Perkhidmatan kesihatan di Pulau Perhentian dan Pulau Redang kini bertambah baik dengan adanya dua bot ambulans baharu dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).  Timbalan Menteri Kesihatan, Lukanisman Awang Sauni berkata, dua bot ambulans membabitkan peruntukan sebanyak RM1.4 juta itu bagi menggantikan bot sedia ada yang sudah usang dan sering mengalami kerosakan. "Perkhidmatan bot ambulans bukan sahaja diperlukan oleh orang tempatan, tetapi untuk memindahkan pelancong yang memerlukan rawatan di hospital. "Dengan purata kekerapan bilangan pergerakan pergi dan balik bot ambulans sebanyak 10 hingga 20 kali sebulan, perkhidmatan pengangkutan yang cekap adalah sangat penting di kedua-dua pulau itu," katanya selepas Majlis Perasmian Bot Ambulans Klinik Kesihatan Pulau Redang dan Pulau Perhentian di Jeti Duyong Marina di sini, semalam. Lukanisman berkata saiz bot ambulans baharu itu juga lebih besar, selain boleh digunakan pada musim tengkujuh kerana mampu meredah ombak setinggi dua meter. "Bot ambulans baharu itu mampu memuat 12 penumpang dan sesuai digunakan untuk musim tengkujuh. "Bot ambulans ini dibina mengikut piawaian Jabatan Laut serta dilengkapi peralatan keselamatan termasuk alat penerima Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), radio VHF dan kompas magnetik," katanya. Dalam masa yang sama, beliau berkata, KKM  turut menimbang kemudahan bot ambulans di beberapa pulau di kawasan pedalaman Sabah.  
21 May 23
445
FAMA Peruntuk Lebih RM200 Ribu Bantu 12 Usahawan Di Terengganu
FAMA Peruntuk Lebih RM200 Ribu Bantu 12 Usahawan Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 21 Mei – Seramai 12 usahawan di negeri Terengganu menerima bantuan peralatan sokongan pemasaran bernilai  RM202,250 melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA). Pemangku Ketua Pengarahnya, Abdul Rashid Bahri berkata bantuan itu merangkumi Geran Agropreneur Muda, Signature Produk Terengganu, bantuan peralatan sokongan pemasaran Industri Makanan & Asas Tani serta Insentif Peralatan bagi Program Rakan Pemasar Kontrak Pemasaran. ”Objektif program ini adalah untuk membantu meningkatkan pendapatan usahawan melalui pemberian bantuan projek ekonomi yang melibatkan aktiviti pengeluaran, pemprosesan, pengedaran dan pemasaran.  “Selain itu, FAMA mahu meningkatkan pengetahuan, kemahiran serta daya saing usahawan melalui latihan-latihan di bawah program FAMA,”katanya kepada pemberita selepas Program Penyerahan Bantuan Peralatan Sokongan Pemasaran Usahawan Negeri Terengganu di sini hari ini.   Sementara itu, pihaknya juga menggalakkan para petani untuk mendaftar di bawah program Ladang Kontrak kerana pelbagai kemudahan dan manfaat boleh diperolehi. “Sebagai contoh, FAMA menyediakan kemudahan kenderaan untuk menghantar hasil pertanian berkenaan, merupakan antara perkhidmatan yang disediakan FAMA kepada petani yang merupakan peserta ladang kontrak,”tambahnya.  
21 May 23
359
'Maaf Atas Kekurangan Sepanjang Lima Tahun'
'Maaf Atas Kekurangan Sepanjang Lima Tahun'
KUALA LUMPUR, 21 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengambil kesempatan hari terakhir Syawal bagi memohon maaf atas sebarang kelemahan barisan kepimpinannya dalam mentadbir negeri sepanjang sepenggal pemerintahan PAS Terengganu. "Sedar atau tidak sedar, sudah genap lima tahun saya bersama rakan-rakan telah diamanahkan menjaga dan mentadbir negeri Terengganu yang kita kasihi. "Tanpa kita nafikan, dalam proses ini pasti ada kekurangan di peringkat pentadbiran kerajaan samada ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri, kelemahan menteri besar. Kita semua sedar bahawa kita adalah manusia biasa yang diamanahkan untuk mengurus tadbir penuh dengan kelemahan. "Oleh demikian, saya dan rakan-rakan yang diamanahkan sepanjang lima tahun ini memohon maaf pada tuan-tuan," katanya dalam ucapannya ketika merasmikan sambutan Hari Raya Anak Terengganu di Perantauan sempena Karnival Terengganu Maju Berkat Sejahtera TMBS di MAEPS Serdang, semalam. Hadir sama meraikan majlis berkenaan ialah Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato'Seri Abdul Hadi Awang; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Dato'Yahaya Ali dan sebahagian besar kepimpinan menyertai 10,000 anak-anak Terengganu di perantauan. Dr. Samsuri juga berharap dapat meneruskan fasa pembangunan sebagaimana yang dirancang dan dibentangkan kepada umum sejak 2018 lalu. "Saya mengambil kesempatan pada hari ini untuk mengucapkan terima kasih kepada anak-anak Terengganu di perantauan yang telah bersama-sama dengan kerajaan ini, memberi pelbagai cadangan dan idea untuk proses pembangunan negeri Terengganu yang kita sayangi. "Insya-Allah, pada penggal akan datang kita akan menggerakkan fasa yang berikutnya untuk pembangunan dan rakyat negeri Terengganu berdasarkan perancangan yang telah diuar-uarkan dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030," katanya.
21 May 23
1234
Pulau Bidong Bakal Diwarta Taman Negeri Terengganu
Pulau Bidong Bakal Diwarta Taman Negeri Terengganu
SETIU, 21 Mei – Kerajaan negeri akan mewartakan Pulau Bidong sebagai Taman Negeri Terengganu sebagai langkah untuk mengekalkan khazanah alam dan pemuliharaan warisan, arkeologi, flora dan fauna di pulau berkenaan. Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Dato’ Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak berkata proses pewartaan tersebut dijangka selesai pada Julai depan. "Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) akan memulakan operasinya di Pulau Bidong menjelang September dengan pembukaan sebuah pejabat di pulau itu. “Usaha ini bertujuan untuk menjadikan Pulau Bidong antara produk pelancongan dan daya tarikan di Terengganu,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyempurnakan Program Lawatan Kerja ke Tapak Penemuan Shipwreck bertempat di Pulau Bidong semalam. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri, Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN), Tengku Mohd Arifin Tengku A. Rahman. Tambah Ahmad Faisal, Pulau Bidong merupakan Taman Negeri Terengganu keempat selepas Kenyir, Hulu Terengganu; Tanah Bencah Setiu dan Pulau Tenggol, Dungun. "Pelbagai tarikan pelancongan yang terdapat di pulau tersebut antaranya peninggalan sejarah pelarian Vietnam, flora dan fauna, 11 monumen negara Asean dan kewujudan galeri dasar laut pertama di Malaysia," katanya. Beliau berkata, pihaknya berharap, melalui pengisytiharan tersebut akan meningkatkan lagi usaha memelihara dan memulihara ekosistem dan diversiti alam di Pulau Bidong nanti.  
21 May 23
387
TDM Bantu 400 Asnaf Marang
TDM Bantu 400 Asnaf Marang
MARANG, 20 Mei- TDM Berhad mengambil kesempatan program TDM Bersama Masyarakat yang berlangsung selama dua hari, berakhir hari ini untuk berkongsi rezeki kepada penduduk setempat. Bertempat di Masjid Padang Mengkuang, agihan bantuan disampaikan kepada 400 keluarga golongan asnaf terpilih dari daerah Marang. Pengarah Eksekutif TDM, Najman Kamaruddin berkata, pemberian sumbangan disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar itu merupakan usaha meringankan beban penerima. "Kami warga TDM, sedar bahawa masih wujud sebilangan masyarakat yang memerlukan bantuan untuk meneruskan kehidupan seharian.  "Kami mengambil peluang berkongsi rezeki kurniaan-Nya dengan harapan ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban golongan-golongan yang terkesan dengan konsep, 'Yang sedikit, sama sedikit, Yang banyak, sama banyak' agar semua saling merasa rezeki yang ada," katanya. Tambahnya, penganjuran program berbentuk kemasyarakatan dan ilmiah itu merupakan sebahagian usaha syarikat untuk mendekati komuniti setempat dalam meningkatkan kesedaran terhadap kepentingan penghayatan Islam. "Pengisian program berbentuk perkongsian ilmu dan penghayatan nilai Islam yang diadakan secara tidak langsung dapat melahirkan masyarakat yang holistik seimbang di antara duniawi dan juga ukhrawi," katanya.
20 May 23
296
Membaca Simbolik Kemajuan Bangsa Dan Budaya
Membaca Simbolik Kemajuan Bangsa Dan Budaya
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Program Jom Baca Bersama 10 Minit merupakan satu simbolik ke arah membentuk masyarakat minat membaca walaupun dalam tempoh yang singkat. Isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faezah Tuan Abd Rahman berkata program Jom Baca mampu menjadi batu loncatan dan membuka mata masyarakat betapa pentingnya pembacaan dalam kehidupan seharian. "Semua usaha yang dilakukan haruslah dilihat sebagai kesempatan terbaik untuk martabatkan ilmu di negeri ini. "Harapan saya Terengganu akan muncul sebagai negeri maju di mana teras pembangunan negeri ini juga berpaksikan ilmu pengetahuan, " katanya. Beliau berkata demikian ketika  menyempurnakan Perasmian Program Jom Baca Bersama 10 minit Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu bertempat di Dewan Serbaguna, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini hari ini. Tambahnya lagi, program Jom Baca juga memperlihatkan kesungguhan kerajaan untuk menjadikan amalan membaca sebagai satu budaya bagi membentuk masyarakat berpengetahuan, berilmu dan bermaklumat.
18 May 23
587
Sembilan Bapa Dipenjara Gagal Bayar Nafkah Anak
Sembilan Bapa Dipenjara Gagal Bayar Nafkah Anak
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Statistik oleh Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu menyatakan, sembilan lelaki dipenjarakan dari 2012 hingga 2019 kerana mengingkari perintah mahkamah untuk membayar nafkah anak-anak mereka. Ketua Hakim Syarie Terengganu, Dato’ Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, mereka yang ingkar itu telah menjalani hukuman penjara paling minima tujuh hari dan maksima selama 30 hari mengikut Peruntukan Tindakan Notis Penghakiman yang dikeluarkan oleh mahkamah syariah. Katanya, mahkamah syariah tidak memandang ringan terhadap kesalahan tersebut dan tindakan sewajarnya boleh diambil sekiranya pihak lelaki masih culas untuk membuat pembayaran nafkah. “Masih ramai yang culas membayar nafkah ditambah keadaan semasa suami itu yang tidak mampu membayar sebagimana yang diperintahkan. Walau bagaimanapun mahkamah memerintahkan berdasarkan kepada keperluan sebenar anak tersebut dan kemampuan pihak bapa untuk menanggung nafkah anak,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyampaian Bantuan Pendahuluan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga, Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu Siri 1 Tahun 2023. Majlis perasmian penyampaian bantuan berjumlah RM52,470 kepada 32 penerima itu telah disempurnakan oleh yang Dipertua, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu, hari ini. Wan Mohd Zakri berkata, antara tindakan yang dikenakan kepada mereka yang culas membayar nafkah anak termasuk arahan pemotongan gaji bagi bapa yang bekerja dan kegagalan meeka melakukan pembayaran nafkah juga boleh dipenjarakan. “Namun ada juga gagal dikesan untuk diambil tindakan selepas gagal melunaskan tuntutan nafkah,” ujarnya. Menurut beliau, tujuan Dana Pendahuluan Nafkah Anak diberikan bagi meringankan beban bekas isteri kerana keculasan pihak bekas suami membayar nafkah yang telah diperintahkan. “Jadi bagi meringankan beban ibu-ibu yang menjaga anak ini maka kami mengagihkan awal sebagai pendahuluan dan duit ini kami menerimanya daripada sumbangan pihak MAIDAM dan penerima-penerima ini telah dipilih berdasarkan kategori-kategori yang telah ditetapkan. “Sebenarnya dalam BSK Mahkamah Syariah kita ada dua jenis dana iaitu Dana Bantuan Nafkah Anak dan satu lagi Dana Pendahuluan Nafkah Anak, Dana Pendahuluan Nafkah Anak yang dikatakan duit daripada sumbangan MAIDAM itu, mereka (bekas suami) tidak perlu lagi membayar balik. “Berbeza dengan Dana Pendahuluan Nafkah Anak, suami sebaliknya perlu membayar balik dana yang disalurkan kepada bekas isteri menerusi Dana Bantuan Nafkah Anak. Bagaimanapun katanya, ada golongan yang mendapat dana itu tetapi mereka (bekas isteri) masih lagi dalam proses tindakan pelaksanaan perintah untuk mendapatkan balik nafkah daripada suami yang culas membayarnya.  
18 May 23
739
Jaga Kebajikan Pekerja Resepi Kejayaan Tokoh Usahawan
Jaga Kebajikan Pekerja Resepi Kejayaan Tokoh Usahawan
KUALA TERENGGANU, 18 Mei - Menjaga kebajikan pekerja untuk melahirkan semangat serta kerjasama berpasukan menjadi rahsia kejayaan Aminuddin Mat Yusof, 57, yang terlibat dalam menguruskan perniagaan perkapalan. Kerana itu beliau telah dinobatkan sebagai Tokoh Usahawan Terengganu 2022 oleh Yayasan Pembagunan Usahawan (YPU) Terengganu pada malam Anugerah Usahawan Terengganu (AUT2022) kelmarin. Katanya, selama 25 tahun berkecimpung dalam bidang berkenaan, itulah yang diamalkannya bagi melahirkan sebuah pasukan kerja yang mantap terdiri hampir 700 kakitanganmya. "Selain itu setiap bulan kita amalkan bacaan yassin dan solat hajat membabitkan semua staf juga meraikan sambutan hari lahir sebagai penghargaaan kepada meraka, supaya semua berkerja dalam suasana gembira. "Saya juga turut menubuhkan Yayasan Sulaiman Al-Haj yang diberi nama sempena datuk saya untuk disalurkan bantuan pendidikan kepada anak kakitangan juga kepada sekolah-sekolah (yang terpilih di Terengganu) sebagai Program Tangggungjawab Sosial (CSR),"ujarnya lagi. Beliau yang juga merupakan Pengarah Urusan Amir Vision Sdn Bhd itu berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di AUT, di Taman Tamadun Islam di sini, kelmarin. Majlis penyampaian AUT 2022 itu telah disempurnakan perasmiannya oleh Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Mengulas lanjut, Aminuddin berkata tiada jalan mudah yang lalu untuk mengecapi kejayaan itu kerana pernah berhadapan dengan pelbagai cabaran yang terpaksa ditempuhi beliau. "Cabaran terbesar ialah ketika kejatuhan industri minyak dan gas (sekitar tahun 2015) dimana setelah kapal disiapkan, kelima-lima kapal tidak disewa, jadi bayangkan bagaimana kita hendak bayar kepada bank jadi saya berunding dengan PETRONAS. "Ketika itu saya melihat Duyong Marina juga dalam keadaan tidak bergerak, daripada situ timbul idea untuk mewujudkan pelabuhan untuk kakitangan Petronas ke pelantar minyak, jadi alhamdulillah Petronas berjaya menjimatkan kos RM2 bilion apabila menggunakan kapal menggantikan helikopter. "Bukan satu benda yang mudah kerana perlu memikirkan bagaimana hendak bayar hutang bank dan gaji pekerja yang secara keseluruhannya mencecah RM2.8 juta setahun," katanya. Tambah beliau, kerana berkat kesabaran dan sikap tidak berputus asa serta membentuk kerja berpasukan yang mantap menyebabkan apa jua halangan berjaya ditempuhi. Untuk rekod, Aminuddin kini memiliki lima kapal utiliti yang bernilai RM125 juta dan sebuah kapal nelayan moden yang diperbuat daripada besi berharga RM10 juta. Selain perusahaan dalam sektor perkapalan, beliau juga berjaya mengembangkan perniagaan dengan menubuhkan 15 syarikat dalam pelbagai bidang termasuk perikanan, industri halal serta pendidikan.  
18 May 23
362