lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Bina Kilang Baja Bernilai RM40 Juta
Terengganu Bina Kilang Baja Bernilai RM40 Juta
KEMAMAN, 24 Mei - Kerajaan Terengganu melalui anak syarikatnya, East Coast Fertilizer Sdn Bhd akan membina sebuah kilang baja berteknologi tinggi yang pertama di negeri ini. Kilang yang akan dibangunkan di atas tanah yang berkeluasan lebih 50,000 kaki per segi itu akan berupaya menghasilkan kapasiti pengeluaran baja berjumlah 50,000 metrik tan bagi setiap tahun dan mampu mencapai kapasiti maksima sehingga 100,000 tan metrik setahun. Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, kilang berkenaan yang akan dibina pada tahun ini dan dijangka akan memulakan operasinya pada tahun hadapan akan mewujudkan 250 peluang pekerjaan di negeri ini. "Dengan adanya kilang ini nanti ia akan memberi peluang dan membantu golongan petani dan pengusaha di negeri ini untuk mendapatkan baja yang berkualiti bagi meningkatkan hasil pertanian mereka dengan cara yang lebih berkesan. "Secara tidak langsung akan mengurangkan kebergantungan pengusaha ladang, pekebun dan petani kepada baja dari luar, sebaliknya akan mendapatkan baja yang berkualiti untuk mengaplikasikan pertanian yang lebih berkualiti dan sesuai untuk keadaan tanah di Terengganu dan Wilayah Pantai Timur," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Tapak Pembinaan Kilang Baja ECFSB dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara ECFSB dan Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) di Teluk Kalong, di sini, baru-baru ini. Pada majlis tersebut, EPIC diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Ridzuan Ali dan Ketua Pegawai Operasi Kumpulannya, Ir Muhtar Suhaili manakala ECFSB pula diwakili oleh Pengarahnya, Muhammad Ramizu Mustaffa dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Zaman Abdullah. Memorandum yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak adalah berkaitan pajakan tanah untuk projek pembinaan kilang baja milik ECFSB itu di Teluk Kalong, Kemaman. Sementara itu Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata MoU berkenaan merupakan langkah penting dalam memperkukuhkan sektor pertanian di negeri ini. "Kerjasama antara ECFSB dan EPIC akan membawa manfaat yang besar kepada industri pertanian dan penternakan di negeri ini dalam memastikan hasrat Terengganu untuk menjadi negeri pegeluar makanan dan menjadikan negeri ini sebagai pusat pertanian yang berdaya saing tinggi,"ujarnya. Dalam pada itu Ridzuan pula menyifatkan lokasi pembinaan kilang tersebut adalah strategik, sekali gus akan membuka pintuk kepada ECFSB untuk menerokai pasaran Pantai Timur dan seterusnya berkembang ke peringkat negara-negara jiran dan juga pasaran serantau.
24 May 23
2142
Hotel Paya Bunga Rangkul Dua Emas Kejohanan 'Chef' Dunia
Hotel Paya Bunga Rangkul Dua Emas Kejohanan 'Chef' Dunia
Oleh : Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 24 Mei – Hotel Paya Bunga mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya merangkul dua pingat emas dan satu pingat perak dalam Kejohanan Chef Dunia [World Chefs Championship (WCC)] Malaysia 2023 yang diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, baru-baru ini.  Mohd Fadzil Ismail yang merupakan Chef Eksekutif Hotel Paya Bunga merangkul pingat emas dalam acara ‘Fruit & Vegetable Carving’ dan pingat perak dalam acara ‘Fruit Curving Individual’. Manakala Kapten Jabatan Food & Beverage (F&B) Hotel Paya Bunga, Zulhilmi Hadi Zulkurnain telah merangkul pingat emas dalam acara ’Latte Art’. ”Alhamdulillah, kejayaan ini bukan kejayaan saya seorang tetapi kejayaan bersama dengan rakan-rakan serta keluarga yang banyak memberikan sokongan dan dorongan. ”Saingan dalam pertandingan ini sangat sengit dengan peserta-peserta dari Taiwan, China dan lain-lain yang kebanyakkannya membuat persiapan lebih awal untuk pertandingan ini. ”Saya rasa terharu dengan pencapaian ini kerana dapat menaikkan nama Malaysia dan khususnya Hotel Paya Bunga itu sendiri,” kata Chef Mohd Fadzil ketika ditemui pemberita. Tambah beliau lagi, pencapaian ini juga akan memberikan galakan kepada kakitangan hotel yang lain untuk menyertai kejohanan seperti ini pada masa akan datang. Manakala, Zulhilmi Hadi pula berasa terkejut dengan kejayaan yang diperoleh kerana beliau tidak meletakkan sebarang sasaran dalam kejohanan tersebut. ”Ini merupakan kejohanan pertama yang saya sertai dan saya tidak meletakkan apa-apa harapan pada awalnya cuma fokus untuk memberikan yang terbaik. ”Hampir sebulan saya berlatih untuk mencari ’skill’ yang lebih sempurna. ”Apabila diumumkan sebagai pemenang, saya terkejut dan rasa bersyukur kerana segala usaha dan kerja keras selama ini membuahkan hasil,” kata Zulhilmi.  Tambah beliau, sokongan yang berterusan daripada isteri, keluarga dan rakan-rakan sekerja juga telah memberikan motivasi kepadanya untuk terus berusaha.  Seramai 1,498 chef dari dalam dan luar negara mengambil bahagian dalam World Chefs Championship Malaysia 2023 dengan 19 pertandingan telah dilangsungkan membabitkan sembilan kategori.  Kejohanan tersebut merupakan penganjuran kali kedua dengan penglibatan chef dari Thailand, Indonesia, China, Hong Kong, Taiwan, Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan India.  Dalam pada itu, Pengurus Besar Paya Bunga Hotel, Abdul Hadi Alias, beliau berhasrat untuk menghantar lebih ramai kakitangan hotel tersebut ke pelbagai kejohanan di peringkat yang lebih tinggi selepas ini.
24 May 23
532
Arkeo Pelancongan Bawah Air Tarikan Baharu di Terengganu
Arkeo Pelancongan Bawah Air Tarikan Baharu di Terengganu
SETIU, 24 Mei - Terengganu bakal memperkenalkan segmen baharu dalam sektor pelancongan iaitu arkeo pelancongan bawah air di Pulau Bidong, Setiu di sini. Pengarah Pusat Perkhidmatan Penyelidikan dan Lapangan (PPPL) Universiti Malaysia Terengganu (UMT), Prof Madya Dr Hasrizal Shaari berkata, segmen tersebut bertujuan untuk menarik kedatangan peminat skuba, warisan kebudayaan dan sejarah maritim dari seluruh dunia. “Terengganu juga bakal menjadi negeri pertama yang memperkenalkan arkeo-pelancongan bawah air di Malaysia. “UMT bersama Jabatan Warisan Negara (JWN) dan kerajaan negeri Terengganu sedang menjalankan usaha bagi merealisasikan hasrat tersebut,” jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program melawat tapak kapal karam itu bersama Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak di Pulau Bidong, baru-baru ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Fadli Yusof Zakaria dan Pengarah Majlis Pengurusan Taman Negeri (MPTN) Terengganu, Tengku Mohd Arifin Tengku A Rahman. Tambah Dr Hasrizal, arkeo pelancongan di Pulau Bidong itu akan merangkumi komponen latihan, pemeliharaan dan pemuliharaan artifak yang ditemui di tapak kapal karam. “Pada permulaan, dana sebanyak RM1.5 juta diperlukan untuk melakukan proses eskavasi (penggalian) membawa keluar artifak di dasar laut. "Seperti kapal karam ‘The Bidong Shipwreck' untuk dipamerkan dalam galeri arkeologi yang bakal dibina tidak lama lagi. “Proses eskavasi kali pertama telah dilakukan pada tahun 2017 diikuti proses kedua pada akhir tahun lalu dan berjaya menaikkan kira-kira 10 peratus artifak atau sebanyak 366 tembikar. “Ia terdiri daripada pasu besar, kotak kecil dan botol bertangkai dipercayai untuk kegunaan harian yang kebanyakan sudah pecah serta rosak akibat terlalu lama berada di dalam dasar laut," ujarnya. Sementara itu, pihaknya juga mendapati terdapat lebih banyak artifak yang belum ditemui dan bercadang untuk meneruskan fasa ketiga eskavasi pada akhir tahun ini atau selewat-lewatnya awal tahun depan.              
24 May 23
667
Zakir Naik Antara Tokoh Hadir Pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023
Zakir Naik Antara Tokoh Hadir Pada Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023
KUALA TERENGGANU 23 Mei - Pendakwah terkemuka, Dr Zakir Naik adalah tokoh yang akan hadir pada Persidangan Antarabangsa Terengganu atau Terengganu International Summit (TIS) 2023 anjuran kerajaan negeri bakal berlangsung di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam pada 1 Jun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, penganjuran pertama kali itu turut mendapat kerjasama Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Yayasan Permata Ummah serta Menteri Besar Incorporated (MBI). “Bertemakan ‘Kesyumulan Islam dalam Mendepani Cabaran Global’,TIS 2023 akan menghimpunkan para sarjana, pakar dan pembuat dasar bagi membincangkan isu- isu kritikal berkaitan peranan Islam dalam masyarakat majmuk kontemporari, politik dan kesatuan ummah, serta meneroka penyelesaian bagi cabaran yang dihadapi oleh umat Islam. “Ia juga akan menampilkan tokoh-tokoh ilmuan, ahli politik dan pendakwah Islam antaranya Senator Dato' Seri Dr. Hj. Zulkifli Mohamad al-Bakri (Malaysia), Dr. Zakir Abdul Karim Naik (India), Dr. Hj. Muhammad Hidayat Nur Wahid (Indonesia) dan Prof. Dr. Abdel Rahim Ali Mohammed Ibrahim (Sudan) selain Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang akan menyampaikan ucaptama,” ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media Persidangan Antarabangsa Terengganu 2023 di Pejabat TSIS, hari ini. Katanya, menyedari pelbagai isu dan cabaran serta ancaman terhadap agama Islam yang berlaku seperti Islamaphobia dan sebagainya, persidangan kali ini dilihat amat relevan bagi membincangkan perkara berkaitan Ta'ayush dalam Masyarakat Majmuk Kontemporari, Uslub Dakwah dalam Masyarakat Majmuk Kontempori serta Politik Islam dan Perpaduan Ummah dan lain-lain lagi. “Perlu difahami bahawa Islam adalah agama rahmatan lil'alamin. Berteraskan asas akhlak, kesatuan ummah, kedamaian dan progresif, Islam berkembang ke seluruh pelusuk alam. “Kedudukan Islam yang merentasi pelbagai bangsa dan budaya menyebabkan ia menjadi agama yang sarat dengan nilai bahkan penerimaan Islam terhadap nilai tempatan sebagai sebahagian cara hidup, selagi menepati akidah menjadikan Islam agama amat 'comprehensive',” jelasnya. Katanya, besar harapan beliau agar impak serta resolusi yang akan diperolehi daripada program ini dapat memberi manfaat kepada seluruh masyarakat Malaysia.  
23 May 23
695
EPIC, ECF Jalin Kerjasama Bina Kilang Baja di Kemaman
EPIC, ECF Jalin Kerjasama Bina Kilang Baja di Kemaman
KEMAMAN, 23 Mei - Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd (EPIC) dan East Coast Fertilizer Sdn Bhd (ECF) telah menandatangani Perjanjian Persefahaman (MOU) bagi membina sebuah kilang baja di Kawasan Perindustrian Telok Kalong, Kemaman di sini. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ridzuan Ali berkata projek ini menjadi titik permulaan bagi mengembangkan pasaran kepada pemain industri di Pantai Timur seterusnya ke seluruh negara.  "Tapak seluas sekitar 6.7 ekar milik EPIC ini adalah lokasi paling strategik untuk memulakan langkah dan membuka pintu kepada ECF untuk menerokai pasaran di Pantai Timur seterusnya berkembang ke negara jiran dan pasaran serantau.  "Dengan MOU ini, ECF akan memberi fokus kepada pembinaan kilang di tapak ini yang dijangkakan bermula pada 2024 dan akan memberi peluang pekerjaan kepada masyarakat sekitarnya," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum persefahaman antara EPIC dan ECF di sini baru-baru ini. Majlis yang diadakan di Kawasan Perindustrian Telok Kalong berhampiran kilang Bitumen Kemaman itu telah disempurnakan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja yang mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Terengganu, Dr Azman Ibrahim, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Pembangunan Nasional, Hanafiah Mat serta Ahli Lembaga Pengarah EPIC dan ECF. Tambah Ridzuan Ali, pihaknya akan memberi sepenuh sokongan dari segi pengendalian kargo yang ada di Pelabuhan Kemaman dan perkhidmatan logistik mengikut keperluan ECF.    
22 May 23
1221
PRN : PAS Pertaruh Calon Terbaik, 'Fresh'
PRN : PAS Pertaruh Calon Terbaik, 'Fresh'
KUALA TERENGGANU, 22 Mei - PAS dan Perikatan Nasional akan meletakkan calon terbaik dan 'fresh' pada Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti bagi memastikan kemenangan maksima dapat dicapai di enam negeri yang akan ditandingi. Naib Presiden PAS, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, melihat kepada 'mood rakyat' bukan sahaja Terengganu, Kedah dan Kelantan akan mengekalkan kemenangan, bahkan kejutan dijangka berlaku di Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan. "Saya yakin melihat kepada 'mood' di bawah terutama kalangan rakyat pada waktu ini menunjukkan suasana agak positif kepada PAS dan PN. "Kerana itu saya percaya di Terengganu, Kelantan dan Kedah kita akan mempertahankan serta mencapai kemenangan lebih baik (manakala) untuk tiga negeri lagi kita akan melakukan kejutan, insya-Allah," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS Terengganu di Dataran Shahbandar, di sini, baru-baru ini. Mengulas lanjut katanya, pada 23 Mei nanti akan berlaku perbincangan senarai agihan kerusi tidak lagi ditentukan calon-calon. "Akan dibawa kepada Majlis Presiden mungkin dalam seminggu atau dua minggu selepas pada itu barulah kita sahkan kerusi dan serahkan kepada parti masing-masing untuk menentukan calon yang paling sesuai untuk menang. "Semua senarai yang akan ditentukan nanti semua nama itu kita akan hantar (untuk) mendapat kerjasama daripada pihak berkuasa bagi melakukan tapisan," ujarnya. Mengenai calon wanita yang akan diketengahkan, Ahmad Samsuri berkata perkara tersebut sebelum ini telah dibawa oleh Dewan Muslimat ke Muktamar Tahunan PAS agar 50 peratus merupakan calon wanita. "Walaupun pernah dibawa ia tidak menjadi satu keputusan, yang paling penting kita tengok kesesuaian di tempat-tempat berkenaan. "Paling penting masing-masing boleh memberikan sumbangan Dan menyumbang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)," ujarnya. Dalam pada itu beliau yang juga Menteri Besar Terengganu menyatakan akan mengadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin selepas minggu ketiga bulan Jun bagi mendapat perkenan membubarkan DUN.  
22 May 23
473
Tiga Bot, 41 Warga Vietnam Ditahan Ceroboh Perairan Terengganu
Tiga Bot, 41 Warga Vietnam Ditahan Ceroboh Perairan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 Mei- Tiga bot nelayan asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM Malaysia) Negeri Terengganu dalam rondaan bersepadu Op Kuda Laut dan Op Naga Barat di perairan negeri itu, Jumaat lalu. Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid berkata, bot-bot berkenaan ditahan KM Redang pada kedudukan antara 123 batu nautika dari Kuala Terengganu kira-kira jam 10.00 hingga 10.30 pagi. "Semasa dikesan, ketiga-tiga bot cuba melarikan diri dan hasil kecekapan kapal ronda Maritim, kita berjaya menahan mereka kurang dari satu jam. "Ketika ditahan, terdapat 41 orang kru termasuk tiga tekong berumur antara 21 hingga 44 tahun dan kesemua mereka tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah. Akuan mulut dipercayai semuanya merupakan warga Vietnam. "Ketiga-tiga bot ini didapati memiliki kira-kira 100 kilogram ikan campur dan bekalan diesel lebih kurang 1,500 liter," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Maritim Negeri Terengganu, hari ini. Tambahnya, kesemua bot dan kru dibawa ke jeti Maritim Negeri Terengganu untuk siasatan lanjut. Menurut Rashidilhadi, kes tersebut akan disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/63. "Kita syaki bot ini baru sahaja memasukit perairan negara dan hasil soal siasat mendapati mereka bertujuan 'transit' sebelum ke perairan Natuna, Indonesia. "Keseluruhan rampasan bagi kes ini dianggarkan bernilai RM4.5 juta dan ia adalah kes ketujuh bagi Maritim Terengganu tahun ini," katanya.                    
22 May 23
524
'Jangan Jadikan Laut Tong Sampah'
'Jangan Jadikan Laut Tong Sampah'
DUNGUN, 22 Mei - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu memberi peringatan kepada para nelayan di negeri ini agar tidak membuang sampah terutamanya plastik ke dalam laut kerana ia akan mendatangkan ancaman kepada kehidupan marin dan kesihatan manusia. Pengarahnya, Ruzaidi Mamat berkata, mengikut kajian Lourens J,J.Meijer bersama sekumpulan penyelidik lain mendedahkan Malaysia merupakan negara ketiga daripada 20 buah negara yang paling mencemarkan lautan dengan sampah plastik selepas Filipina dan India. "Perlu disedari plastik yang dibuang di lautan boleh terurai menjadi mikro plastik yang selepas itu akan dimakan oleh ikan, selepas itu ikan yang ditangkap itu dimakan pula oleh kita, ia akan membawa kesan jangka masa panjang kepada kesihatan. "Penting untuk dipastikan oleh nelayan supaya tidak menjadikan laut seumpama tong sampah dengan membuang segala sampah sarap ke dalamnya, sila lupuskannya di darat bukannya di laut bagi menjaga kelestarian hidupan marin," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan unjam dan Bantuan Kepada Nelayan Pantai, Nelayan Darat dan Pengusaha Akuakultur Daerah Dungun, di Pengkalan Rantau Abang, di sini, semalam. Program berkenaan telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar bandar negeri, Dr Azman Ibrahim. Dalam pada itu Ruzaidi mengharapkan agar nelayan di negeri ini menghargai setiap usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan negeri dalam meningkatkan pendapatan para nelayan serta usaha melabuhkan unjam dan tukun bagi memperkayakan sumber lautan.
22 May 23
309
Kerajaan Negeri Peruntuk RM540 Ribu Bagi Pembangunan Unjam
Kerajaan Negeri Peruntuk RM540 Ribu Bagi Pembangunan Unjam
DUNGUN, 22 Mei - Kerajaan negeri melalui Pejabat Perikanan Negeri Terengganu memperuntukan RM540,000 bagi projek melabuhkan 794 unjam sejak 2018 hingga kini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, usaha dijalankan secara berterusan itu merupakan solusi setelah diadakan program dialog dengan seluruh nelayan di negeri ini. "Pada waktu itu ada tiga isu besar telah dinyatakan, pertama perairan laut Terengganu kekurangan ikan terutamanya Zon A sudah berada pada kod amaran warna merah yang menunjukkan hasil sangat kurang, kedua isu nelayan pantai tidak memiliki lesen dan ketiga berlaku pencerobohan nelayan asing atau bot pukat tunda. "Setelah mengenal pasti masalah utama berkenaan kita ambil jalan untuk menyelesaikannya, termasuk memperkayakan hasil laut dengan melabuhkan unjam yang berfungsi sebagai pengumpul ikan bagi memberikan peluang kepada nelayan untuk mendapat hasil tangkapan yang tinggi. "Unjam yang dilabuh tidak melebihi lima batu nautika dari pantai ini telah mendatangkan manfaat kepada nelayan pantai yang menggunakan peralatan tradisional untuk menangkap ikan seperti pukat hanyut, bubu dan alatan mengail,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penyerahan Unjam dan Bantuan Kepada Nelayan Pantai, Nelayan Darat dan Pengusaha Akuakultur bagi Daerah Dungun, di Pengakalan Rantau Abang, semalam. Katanya, sebanyak 37 unit unjam telah dilabuhkan di daerah ini bagi memberi manfaat kepada 150 orang nelayan pantai. Sementara itu Dr Azman juga berkata,kerajaan negeri telah menyalurkan peruntukan berjumlah RM 1.8 juta bagi membantu nelayan pantai, nelayan darat dan pengusaha akuakultur. "Bantuan peralatan bagi tahun 2023, sebanyak RM300,000 diperuntukkan kepada nelayan darat merangkumi peralatan 'fish finder', peralatan mengail dan tong insulasi (100 liter) kepada 468 orang nelayan pantai di seluruh daerah di Terengganu termasuk pada seramai 78 orang bagi Daerah Dungun. "Peruntukan kepada nelayan darat sebanyak RM80,000 pula meliputi set pukat tangsi dan tong insulasi (75 liter) diserahkan kepada 140 orang nelayan darat seluruh negeri Terengganu. "Manakala bantuan input akuakultur sebanyak RM700,000 untuk perolehan makanan rumusan, benih ikan, pukat. set pengudaraan (genset), peralatan penambahbaikan ladang, premis dan tangki sawah kepada 16 orang pengusaha di Daerah Dungun,"katanya.  
22 May 23
594
Anak Terengganu Raih Emas ‘World Chef Championship'
Anak Terengganu Raih Emas ‘World Chef Championship'
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Anak kelahiran Kampung Jalan Tekukur Terengganu, Nazrul Hazel Mohd Nor telah melakar sejarah apabila meraih pingat emas dalam kejohanan World Chef Championship (WCC) (Pasta Challenge) baru-baru ini. Menurutnya, dia menyifatkan kejayaan itu sebagai impian yang menjadi realiti serta telah mengembalikan begitu banyak kenangan indah. “Kejohanan WCC itu telah berlangsung selama tiga hari bermula 18, 19 dan 20 Mei di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru. “Kejayaan saya memperoleh juara dalam kategori ‘Pasta Challenge' ini adalah kerana kelainan dari sudut hidangan, penyediaan dan persembahan pasta,” katanya ketika dihubungi oleh Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini. Tambah Nazrul, dia menggunakan dua warna pasta berbeza iaitu kuning dan hitam bagi menampakkan kelainan dan tarikan terhadap pasta itu. “Di samping, pelbagai olahan yang diletakkan dalam pastanya bagi menampakkan warna-warni dalam persembahan yang terdiri daripada makanan laut, sayuran dan pelbagai lagi,” jelasnya. Dia yang juga merupakan bekas Chef di Istana Terengganu telah mempunyai pengalaman yang luas dalam memasak aneka pasta. “Resepi pasta ini adalah melalui ilham saya ketika berada di Itali ketika lawatan kerja pada 10 tahun lepas. “Perasaan saya amat teruja dan tidak sangka dinobatkan sebagai juara sekali gus merupakan detik paling berharga bersama keluarga ketika berada di sana,” ujarnya.    
21 May 23
778