Artikel "Semasa" Terkini
Tempoh Kelulusan Permit Kempen Hanya Dua Hari
KUALA TERENGGANU, 30 Julai – Polis Terengganu akan memendekkan tempoh kelulusan permit bagi parti yang ingin mengadakan ceramah sepanjang tempoh kempen pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya kecil (PRK) di Terengganu kepada dua hari sahaja.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, tempoh permohonan itu disingkatkan berbanding selama lima hari sebagaimana ditetapkan sebelum ini.
“Saya percaya semua parti yang bertanding adalah parti-parti yang sudah lama dan memahami perundangan dalam negara untuk memastikan PRN berjalan lancar dan selesa tanpa sebarang insiden,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas membuat tinjauan di pusat penamaan calon Parlimen Kuala Terengganu dan Dewan Undangan Negeri Ladang di pekarangan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) di sini, hari ini.
Dalam perkembangan sama, beliau memberitahu kira-kira 2,200 anggota ditugaskan memantau dan mengawal keselamatan di 32 pusat penamaan calon seluruh negeri.
Katanya, hasil tinjauan di beberapa pusat penamaan di sekitar Kuala Terengganu dan Marang mendapati semua penyokong dan pemimpin parti mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
“Terima kasih kepada semua pihak yang telah memberi kerjasama baik sepanjang proses penamaan pagi ini. Kita berharap suasana baik ini akan berpanjangan hingga proses pengundian 12 Ogos depan.
“Ada 14 hari lagi sebelum hari pengundian, kita harap semua parti ikut garis panduan yang ditetapkan kerana pihak polis dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sudah beri taklimat panjang lebar mengenai peraturan yang ditetapkan,” ujarnya.
30 Jul 23
422
PAS Terengganu Tampil Calon Wanita Raih Pujian Ramai
KUALA TERENGGANU, 30 Julai – Keberanian PAS mengetengahkan calon wanita pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 di Terengganu mendapat pujian ramai.
Nurul Syuhada Abd Karim, 40, Kampung Tanjung berkata sudah tiba masanya wanita harus diberikan ruang untuk terlibat dalam proses membuat keputusan tertinggi dalam negeri mahupun negara.
“Kehadiran wanita dalam memimpin politik seharusnya dilihat sebagai pelengkap kepada kaum lelaki bukannya sebagai pesaing bagi memantapkan lagi organisasi politik.
“Usaha untuk mengupayakan wanita dalam parti dalam membuat keputusan perlu dilakukan dengan komitmen yang tinggi dan bersungguh-sungguh dan PAS telah membuktikannya,” katanya ketika ditemui pemberita.
Sementara itu, Salimah Ismail, 49, yang berasal dari Kampung Pasir Panjang berkata PRN DUN Ke15 kali ini amat berbeza daripada PRU terdahulu kerana rakyat diberi peranan sebagai tonggak untuk bersama-sama menentukan arah dan corak pentadbiran negeri bukan lagi sebagai pemerhati saja.
"Kami turut menilai semua aspek terhadap kemampuan calon dan parti sebelum membuat keputusan, walaupun calon wanita..jika layak apa salahnya," katanya.
Tambahnya lagi, dia juga mahu memilih calon dan parti yang mempunyai rekod cemerlang yang mendahului rakyat daripada kepentingan peribadi.
Terdahulu, Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Hussain Awang mengisytiharkan Zuraida Md Noor, 43, sebagai calon PAS di DUN Ladang di Dewan Tok Guru, Rusila.
Pengisytiharan itu menyaksikan Zuraida bakal berdepan dengan calon BN, Dato’ Mohd Sabri Alwi. pada PRN DUN Ke 15 pada 12 Ogos nanti.
30 Jul 23
147
Perebutan Kerusi DUN Kijal Diramal Paling Sengit
KEMAMAN, 29 Julai - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) N30 Kijal, menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara Parti Islam Se-malaysia (PAS) dan Barisan Nasional (BN).
Calon daripada PAS yang merupakan bekas Pengerusi Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah), Senator Datuk Razali Idris akan berhadapan calon BN, Datuk Seri Ahmad Said yang merupakan Pengerusi Ketengah sekarang.
Razali yang juga merupakan Ketua Bersatu Terengganu menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.10 pagi semalam
Manakala, Ahmad said yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri merangkap penyandang DUN Kijal menyerahkan borang penamaan pada jam 9.04 pagi.
Pegawai Pengurus Pilihanraya N30 Kijal, Hanum Isa@Ghazali secara rasmi mengumumkan dua calon yang bertanding itu tepat jam 10.20 pagi.
"Saya telah menyemak kertas-kertas penamaan dan setelah selesai disemak saya berpuas hati, memutuskan tiada yang ditolak.
"Dengan ini saya mengumumkan calon-calon disahkan bertanding dalam pilihan raya negeri N30 Kijal adalah seperti berikut.
"Pertama Razali Idris daripada parti PAS dan Kedua, Ahmad Said daripada BN," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Penamaan Calon N30 DUN Kijal bertempat di Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Sivik Kijal di sini semalam.
Proses penamaan calon bagi N30 Kijal berjalan lancar hasil kawalan ketat oleh pihak polis, RELA dan Jabatan Amal manakala penyokong kedua-dua parti bertanding berada pada jarak 25 meter daripada pagar pusat penamaan calon.
Kerusi DUN Kijal yang terletak di bawah Parlimen Kemaman mempunyai populasi 98 peratus pengundi Melayu manakala baki, dua peratus lagi adalah kaum Cina di mana pengundinya seramai 29,419 orang.
Razali yang berkelulusan Diploma Pengurusan Perniagaan dari Stamford College Kuala Lumpur mengenakan nama mesranya 'Tok Li' pada kertas undi di petak pertama dalam mengeratkan hubungannya dengan pengundi di Kijal.
Turut hadir di penamaan tersebut adalah bekas calon N30 Kijal yang lepas iaitu Ustaz Hazri Jusoh sebagai wakil calon bagi membantu kemenangan PAS di Kijal yang dijangka menjadi tumpuan penganalisa politik tanah air.
30 Jul 23
1274
Ghazali Taruhan PAS Tawan Bukit Besi
DUNGUN, 29 Julai - Ghazali Sulaiman sekali lagi dipertaruhkan PAS bagi menawan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi melawan Calon Barisan Nasional, Dato' Din Adam.
Kedua-dua mereka disahkan layak bertanding setelah diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Azrul Faiz Shairudin.
Pusat Penamaan Calon DUN Bukit Besi diadakan di Dewan Al-farabi, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) dengan tempoh masa diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi calon bertanding mengemukakan kertas penamaan calon masing-masing.
Terdahulu, Din menyerahkan borang pencalonan pada jam 9.10 pagi diikuti Ghazali pada jam 9.11 pagi.
Pertembungan dijangka sengit memandangkan sebelum ini Din pernah menjadi ADUN Bukit Besi selama dua penggal dari 2008-2013.
Manakala Ghazali hanya kalah tipis sebelum ini kepada calon BN, Roslee Daud pada Pilihan Raya Umum Ke-14 yang lalu dengan majoriti 46 undi.
Sebelumnya, kedua-dua calon diiringi ratusan penyokong yang memenuhi perkarangan Pusat Penamaan Calon.
Paling mencuri tumpuan adalah penyokong dari PAS yang paling ramai dengan 700 lebih mengiringi calon dengan perarakan sambil mengalunkan zikir munajat, selawat serta doa.
29 Jul 23
759
Lima Tahun Tidak Duduk Diam, Ghazali Yakin Diterima Rakyat
DUNGUN, 31 Julai - Kekalahan dalam penampilan pertama sebagai calon daripada PAS tidak mematahkan semangat Ghazali Sulaiman, sebaliknya sepanjang tempoh lima tahun beliau tidak berdiam diri dalam mengerakkan segala gerak kerja kebajikan untuk rakyat.
Selain itu katanya, tindakan segera yang diambil apabila berlaku bencana seperti ribut dan banjir menjadi nilai tambah untuk dirinya semakin dikenali oleh rakyat menjadikan dirinya optimis pada kali ini mampu menang di DUN Bukit Besi.
''Bermakna telah lama kita gerakkan strategi untuk menambat hari rakyat dan membawa mesej bahawa PAS adalah relevan untuk semua rakyat di sini.
''Semua penduduk saya utamakan tanpa mengira parti, jika ada yang berhadapan masalah atau petaka saya akan pastikan saya orang terawal yang sampai bagi menghulurkan bantuan.
''Pantang mendengar ada yang sakit, kita akan pergi menziarahi mereka dan mengenal pasti apa keperluan mereka apabila menderita sakit di mana kita menyediakan kerusi roda, katil pesakit dan sebagainya,''ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Pusat Proses Penamaan Calon bagi DUN Bukit Besi, di Dewan Al Farabi, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di sini, pada Sabtu.
Tambah beliau, selain bergerak aktif dalam menjalankan kerja-kerja kebajikan untuk rakyat beliau juga sentiasa memberi tumpuan pendidikan kepada anak-anak di DUN berkenaan.
''Antaranya kita mengadakan tuisyen rakyat secara percuma untuk mereka hampir setiap tahun serta meraikan mereka yang berjaya menyambung kemana-mana Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dengan mengadakan majlis.
''Dari situ saya berjaya menjalinkan hubungan baik dengan mereka, malah mereka datang berjumpa saya apabila pulang ke kampung semasa cuti semester, saya bagi mereka seperti seorang ayah.
"Tiada apa yang kita harapkan melainkan ingin melihat mereka ini berjaya dalam pelajaran bagi mengubah nasib keluarga,''ujarnya.
Dalam pada itu katanya, pengalaman menjadi Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi selama ini juga membantunya dalam melakukan perancangan apabila dipilih menjadi ADUN nanti.
''Fokus saya ingin menggalakkan anak muda melibatkan diri dalam bidang keusahawanan dan kalau dilihat pusat pelancongan di sini semakin terkenal, saya melihat ia memberi suatu impak yang positif kerana itu kita wujudkan 'kiosk' setakat ini kita telah bina dua iaitu di Pasir Raja dan juga di tempat perkelahan di Sungai Kelemin.
''Malah saya juga telah memperelokkan infrastruktur serta kemudahan di lokasi perkelahan ini dengan menaik taraf jalan melalui tempat ini, menyediakan tandas awam dan sebagainya kita bagi 'comel' sepanjang lima tahun ini,''ujarnya.
Tambahnya lagi,PN mampu melakar kejayaan cemerlang pada kali ini kerana yakin dengan gelombang anak muda serta rakyat yang telah melihat kerajaan ditadbir PAS adalah lebih baik berbanding sebelum ini.
''Kerana itu pada PRU peringkat parlimen kita mampu menang hampir 3,000 untuk DUN, melihat keadan semasa yang berlaku di peringkat nasional dan juga prestasi ditunjukkan kerajaan negeri selama ini saya merasakan majoriti itu akan bertambah,'' ujarnya lagi.
29 Jul 23
267
Rakyat Mahu Ahmad Samsuri Kekal di Ru Rendang
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 29 Julai - Rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang mahu Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar terus mewakili mereka di kawasan itu.
Zainun Mansor, 53, berkata Naib Presiden PAS itu perlu dikekalkan di DUN terbabit atas prestasi cemerlangnya dalam membela nasib rakyat.
"Rakyat setempat juga berharap supaya seluruh DUN di Terengganu ini dimenangi oleh PAS, 32 dibalas 0 untuk parti lawan," katanya ketika ditemui pemberita ketika proses penamaan calon di Pejabat Tanah dan Daerah Marang di sini hari ini.
Sementara itu, Hanim Sofia Mohd Zuhur, 25, berkata dia berharap agar Ahmad Samsuri berjaya mengekalkan kerusi itu pada 12 Ogos nanti.
"Saya juga menyeru pada anak muda dan perantau supaya undilah PAS dan baliklah mengundi kerana mengundi ini lima tahun sekali sahaja," katanya.
Terdahulu, perarakan calon PAS bagi DUN Ru Rendang bermula pada 8.45 pagi dengan kehadiran hampir tiga ribu penyokong.
Perarakan bermula di Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Ru Rendang Kampung Kijing sehingga ke Pejabat Tanah Daerah Marang.
Dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lepas, DUN Ru Rendang mempunyai lebih 25,999 pengundi dengan lebih 90 peratus daripada pengundi adalah melayu.
Ketika itu, Ahmad Samsuri telah berjaya menewaskan calon BN iaitu Dato' Nik Dir Nik Wan Ku dengan majoriti 6,028 undi.
29 Jul 23
316
Hanafiah Lawan Rahim Curi Tumpuan Di Chukai
KEMAMAN, 29 Julai - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) bakal menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Parti Islam Se-malaysia (PAS) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) 12 Ogos ini.
Penyandang DUN Chukai, Hanafiah Mat berkata pada pukul 10 tadi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima pencalonan parti PAS.
"Setelah diundi, saya yang mewakili parti PAS menduduki tempat kedua dalam kertas undian pada hari pilihan raya nanti," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Penamaan Calon DUN Chukai bertempat di Dewan Dato’ Sri Amar di sini hari ini.
Tambah Hanafiah, bagi pihak dirinya, keluarga dan rakan-rakan mengucapkan terima kasih kepada Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.
"Beliau memberi amanah kepada saya untuk bertanding bagi mengekalkan kemenangan di DUN ini.
"Insya-Allah dengan sokongan daripada semua marilah sama-sama kita mulakan gerak kerja berkempen pada hari ini sehingga 12 haribulan.
"Saya yakin di N31 DUN Chukai ini, kita dapat lagi mengulangi kemenangan PAS di sini," ujarnya.
Berdasarkan rekod, Hanafiah Mat memenangi DUN Chukai pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) menewaskan calon BN ketika itu, Dato’ Mohamad Awang Tera dengan majoriti 4,881 dalam pertembungan tiga pejuru.
29 Jul 23
367
Dr Khalil Tekad Pertahan Kemenangan
Oleh : Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 29 Julai - Calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi bertekad untuk mengekalkan kemenangan di DUN tersebut dalam Pilihan Raya Umum DUN.
Menurutnya, sepanjang sepenggal PAS memerintah Negeri Terengganu, telah banyak agenda pembangunan dan kebajikan dilaksanakan untuk rakyat.
"Insya-Allah, kita akan terus memacu pembangunan dan perubahan di Negeri Terengganu selepas ini.
"Sekarang adalah masa untuk bekerja bagi mempertahankan kemenangan.
"Bukan sahaja di DUN Batu Buruk, tetapi di seluruh DUN dalam Negeri Terengganu," kata Dr. Muhammad Khalil kepada pemberita.
Dr Khalil dilihat hadir ke Pusat Penamaan Calon di Kompleks Sukan Terengganu Equestrian Resort (TER) bagi menyerahkan borang penamaan calon pada jam 9.03 pagi tadi diiringi kira-kira 4,000 orang penyokong.
Beliau yang juga selaku penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di situ akan bertanding dua penjuru dengan calon Pakatan Harapan, Zamir Ghazali.
Proses penamaan calon tersebut berjalan dengan lancar tanpa sebarang provokasi daripada kedua-dua pihak yang bertanding.
29 Jul 23
255
Saingan Guru Dan Anak Didik Di Telemong, Bakal Sengit
HULU TERENGGANU, 29 Julai - Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Telemong menyaksikan pertandingan dua penjuru pada Pilihan Raya Umum (PRU) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 antara guru dan anak didik dalam politik.
Calon PAS, Zawawi Ismail, yang merupakan bekas ADUN Kuala Berang akan berhadapan penyandang empat penggal dari UMNO iaitu Datuk Rozi Mamat.
Rozi tiba di pekarangan Pusat Penamaan Calon di Dewan Sivik Telemong pada jam 8.50 pagi manakala Zawawi, tiba pada jam 9 pagi bagi proses penamaan calon PRU DUN.
Kehadiran Zawawi turut diiringi lebih 200 penyokongnya.
DUN Telemong mempunyai 21,480 pengundi, yang akan menunaikan tanggungjawab mereka di PRN 15 nanti.
29 Jul 23
2378
PRN15: Lebih 2,000 Penyokong Iringi Hanafiah Ke Pusat Penamaan Calon
KEMAMAN, 29 Julai – Lebih 2,000 penyokong hadir bagi memberi sokongan kepada Calon PAS, Hanafiah Mat ke Pusat Penamaan Calon (PPC) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chukai di sini.
DUN Chukai bakal menyaksikan pertembungan dua penjuru membabitkan calon daripada Parti Islam Se-malaysia (PAS) dan Barisan Nasional (BN).
Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon N31 Chukai, Ahmad Farhan Abd Wahab mengumumkan perkara tersebut di Pusat Penamaan Calon di Dewan Dato’ Sri Amar di sini.
“Bekas ADUN Chukai, Hanafiah Mat bertanding mewakili PAS manakala BN diwakili Dato’ Sri Mohamed Rahim Hussin.
“Terdahulu Calon BN, Rahim Hussin mengemukakan kertas penamaan calon pada jam 9.05 pagi manakala Calon PAS, Hanafiah Mat pada pukul 9.10 pagi,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Penamaan Calon bagi kedua-dua parti bertanding DUN Chukai bertempat di Dewan Dato’ Sri Amar di sini hari ini.
Hanafiah Mat, yang juga merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chukai berpakaian serba hijau tiba di Pejabat DUN Chukai pada jam 8.00 pagi yang disambut oleh para hadirin.
Sebelum memulakan perarakan, para penyokong mengalunkan zikir munajat serta doa yang diketuai oleh pemuda-pemuda DUN Chukai di sini.
Cuaca yang baik juga melancarkan lagi perjalanan perarakan jentera PAS bersama calon ke Pusat Penamaan Calon.
29 Jul 23
300