Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Mahu ECERDC Terus Berperanan Bangunkan Negeri
KUALA NERUS, 28 Oktober - Kerajaan Terengganu akan memastikan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) terus berperanan dalam memajukan negeri itu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata walaupun baru sekali mesyuarat itu dilaksanakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau berkata pihaknya berharap agar kerjasama itu membuahkan hasil untuk rakyat.
“Mesyuarat itu merupakan kali pertama diadakan selepas kerajaan baru dibentuk.
“Kerajaan negeri akan terus memberikan komitmen yang baik dalam ECERDC walau apa jua peranan," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini semalam.
Terdahulu Ahmad Samsuri berkata, pelbagai perkara yang dibincangkan dalam mesyuarat ECERDC tersebut antaranya berkaitan status terkini pelaburan.
“Serta projek-projek dalam pelaksanaan dan perancangan bagi pembangunan negeri-negeri Wilayah Ekonomi Pantai Timur.
“Doakan agar segala perancangan dan usaha ini memberi manfaat buat negeri dan rakyat Negeri Terengganu khususnya, insya-Allah,” ujarnya.
28 Oct 23
170
Wanita Jangan Malu Buat Pemeriksaan Kesihatan
KUALA NERUS, 28 Oktober - Golongan wanita mesti berani menangkis perasaan malu membuat pemeriksaan kanser payudara kerana diagnosis awal boleh mengurangkan risiko kematian.
Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata ia sangat penting untuk kaum wanita mengetahui risiko serta tanda awal mengenai kanser sekaligus mendapatkan rawatan segera.
Katanya, peratusan kanser payudara yang dikesan berada di peringkat tiga dan empat semakin meningkat, ia menunjukkan semakin ramai yang lewat membuat pemeriksaan awal.
"Oleh kerana itu, amat penting untuk para wanita mempunyai kesedaran yang lebih awal dengan membuat pemeriksaan dan saringan mamogram.
"Lebih-lebih lagi, seorang daripada 27 wanita berisiko untuk mengidap penyakit kanser ini," ujarnya.
Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Kempen Kesedaran Kanser Payudara anjuran Khairunnisa' bersama Breast Cancer Support Group (SAMO), Institusi Adaptasi Iklim dan Bioteknologi Marin Universiti Malaysia Terengganu( UMT) serta Pusat Kesihatan UMT di Auditorium Perpustakaan Sultanah Nur Zahirah, UMT di sini hari ini.
Tambahnya, kanser diperingkat awal juga kebiasaan lebih kecil dan boleh dirawat dengan mudah.
"Namun sekiranya dibiarkan kanser yang ada semakin membarah dan boleh membahayakan nyawa serta kos rawatan dan penjagaan juga meningkat," jelas beliau.
28 Oct 23
191
Terengganu Sokong Belia Pacu Langkah Memajukan Negeri
KUALA NERUS, 28 Oktober - Kerajaan negeri berharap persatuan-persatuan belia di Terengganu terus memacu langkah memajukan anak-anak muda tempatan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memberi komitmen untuk bersama-sama memajukan belia.
"Kita sangat terbuka untuk melaksanakan apa jua program untuk memperkasakan belia.
"Saya percaya, mereka telah melaksanakan apa yang terbaik dengan kapasiti yang ada, namun saya juga percaya mereka perlu meneroka lebih jauh supaya belia di Terengganu sampai bukan sahaja ke peringkat kebangsaan,tetapi juga antarabangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Perkampungan Belia Terengganu 2023 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan Belia) Kementerian Belia dan Sukan(KBS), Dr. Zainah Shariff.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad serta Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Anas Hazizul Muhamad.
Tambahnya, beliau maklum tentang pencapaian membanggakan persatuan-persatuan belia di Terengganu sebelum ini dan berharap ia diteruskan dengan lebih agresif.
Anugerah bagi kategori Pertubuhan Belia dimenangi oleh Persatuan Belia (MBFM) Felda Kerteh 3 yang membawa pulang hadiah RM10,000 beserta piala dan sijil.
Dalam festival yang berlangsung selama dua hari itu juga, pelbagai aktiviti diadakan seperti sukan, kebudayaan, kesukarelawan dan segmen keagamaan.
28 Oct 23
226
139 Peserta Boling Padang Berentap
KUALA NERUS, 28 Oktober - Seramai 139 peserta berentap dalam Kejohanan Boling Padang Peringkat Kebangsaan yang diadakan di Gong Badak di sini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata kejohanan tersebut terbahagi kepada dua kategori iaitu individu (single) dan berempat (fours).
“Mereka terdiri daripada 64 peserta bagi acara individu lelaki dan 44 peserta bagi individu wanita.
“Manakala, 18 pasukan bagi acara berempat lelaki dan 13 pasukan berempat wanita.
“Saya juga difahamkan kejohanan ini turut disertai mereka daripada kalangan pemain kebangsaan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini semalam.
Turut hadir Presiden Persekutuan Lawn Bowls Malaysia (PLBM), Datuk Awalan Abdul Aziz dan Pengarah Unit Pembangunan Ekonomi Negeri (UPEN) Terengganu, Datuk Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Dalam pada itu, Ahmad Samsuri turut mengucapkan tahniah kepada PLBM kerana berjaya memenangi satu pingat emas dan satu pingat gangsa di Kejohanan ‘World Bowls Championship’ 2023 baru-baru ini di Gold Coast, Australia.
“Pada kesempatan ini juga, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pemenang yang telah berjaya merangkul kejuaraan.
“Sudah pasti kemenangan ini datang bersama dengan ketekunan dan usaha yang keras sebelum daripada ini.
“Sudah menjadi adat pertandingan, ada yang menang dan ada juga yang kalah.
“Yang belum menang jangan pernah berputus asa, jadikan ia sebagai motivasi yang terbaik untuk kita perbaiki dimana kesilapan serta kelemahan pada kali ini untuk berjaya dengan cemerlang pada kejohanan yang mendatang,” ujarnya.
Sementara itu Ahmad Samsuri berkata, kejohanan boling padang itu bukan sekadar mengenai kemenangan semata-mata, tetapi untuk menyemai sikap semangat persaudaraan yang tinggi sesama peserta.
"Malah, menjadi pangkalan semangat serta kecemerlangan bakat bagi sukan boling padang ini, Insya-Allah," katanya.
28 Oct 23
207
Terengganu Fokus Pembangunan Dan Perancangan Wanita
BESUT, 27 Oktober - Kerjasama antara dua pihak penting bagi menjayakan program yang berfokuskan pembangunan dan perancangan wanita serta keluarga di negeri Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata, hubungan antara Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) dan portfolio Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional Negeri Terengganu amat penting bagi kaum wanita negeri ini.
"Kita perlu merancang pembangunan untuk wanita dan keluarga di Terengganu, contohnya macam mana nak jadikan wanita Terengganu wanita berilmu," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program merasmikan Program Seminar Urus Tadbir Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) di Manor Beach, pada semalam.
Menurut Zuraida, setiap agenda di bawah portfolio hendaklah dipastikan agar berjalan dengan baik.
"Bawah kita ada golongan bukan islam, jadi kita harus cari jalan terbaik untuk memastikan wanita Terengganu terus maju," ujarnya.
Selain itu jelasnya, peranan utama portfolio ialah bertanggungjawab menjayakan Terengganu sebagai negeri berkebajikan.
"Ahli Parlimen Marang, Tan Sri Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebut kita mesti adil, prihatin dan berkebajikan dalam setiap gerak kerja kita," jelasnya.
27 Oct 23
181
'Jangan Kibar Bendera Israel'
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober- Orang ramai di negeri ini dinasihatkan supaya tidak mengibar bendera Israel yang boleh mencetuskan kemarahan pelbagai pihak.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, mana-mana pihak yang dikesan melakukan kesalahan atau memainkan isu sensitif yang boleh menggugat keamanan dan ketenteraman awam boleh dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu tular di media sosial berkenaan gambar bendera Israel yang dikibarkan di sebuah premis perniagaan di Terengganu sejak Khamis lalu.
Berhubung kes pengibaran bendera Israel oleh seorang peniaga di Bukit Payong, Marang itu Mazli berkata, pihaknya sudah menyiapkan kertas siasatan yang akan diserahkan ke Pejabat Pendakwaan Negeri (PPN) Terengganu untuk tindakan lanjut.
"Kes disiasat mengikut tiga seksyen iaitu Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama 1963; Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana melakukan perbuatan dengan niat mengganggu keamanan serta Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya.
"Siasatan juga mendapati suspek memiliki lima rekod lampau bersabit dadah dan jenayah kekerasan," katanya.
25 Oct 23
396
Pesawat Terhempas, Terbakar di Teluk Ketapang Hanya Latihan
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Tragedi sebuah pesawat terhempas dan terbakar di pesisir pantai Teluk Ketapang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Mahmud (LTSM), di sini, hari ini hanyalah satu latihan kecemasan.
Pengurus Besar Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Pemadam Kebakaran Lapangan Terbang (AFRS), Muhammad Hidayat Ismail berkata latihan kecemasan melibatkan pelbagai aset kerajaan itu melibatkan kira-kira 500 kakitangan pelbagai agensi.
Katanya, 68 orang mahasiswa sebuah universiti awam turut menjayakan latihan sebagai mangsa dalam insiden tersebut.
“Tujuan kami mengadakan latihan amal ini adalah untuk menguji keberkesanan pelan kecemasan lapangan terbang LTSM, kecekapan komunikasi dan tindak balas semua agensi kerajaan termasuk Malaysia Airports Holding Berhad (Malaysia Airports).
“Memandangkan latihan tersebut julung-julung kali di adakan di luar pagar lapangan terbang, saya kira itu adalah satu kejayaan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media sempena Latihan Sekala Penuh (Full Scale Excersice) Amal Udara (EX-PENYU) 2023 di tempat kejadian di sini hari ini.
Turut hadir, Pengurus Besar LTSM, Mohd Zabidi Abdullah dan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din.
Katanya, matlamat utama diadakan latihan itu untuk menilai kecekapan seperti mana yang terdapat dalam Pelan Kecemasan Lapangan Terbang.
"Latihan ini juga untuk memperkukuh kesediaan dan daya tahan lapangan terbang dalam menguruskan sebarang krisis atau situasi kecemasan.
"Kita memberi tumpuan kepada respons untuk menguji kemahiran dan kecekapan setiap agensi yang terbabit semasa kemalangan pesawat luar lapangan terbang dan untuk menguji peralatan dan komunikasi sedia ada yang digunakan semasa insiden udara," jelasnya.\
25 Oct 23
748
Polis Tahan Wanita Rohingya, Dua Anak Aktif Pecah Rumah
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober- Polis Terengganu menahan seorang wanita warga Rohingya dan dua anaknya yang aktif melakukan kegiatan pecah rumah di sekitar daerah Kemaman, sejak awal tahun lalu.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, penahanan wanita berusia 33 tahun dan dua anak perempuannya berumur 13 serta 14 tahun kira-kira jam 7 petang kelmarin, adalah susulan laporan polis daripada seorang wanita yang memaklumkan rumahnya di Kampung Pengkalan Sir, Kemaman, dipecah masuk kira-kira jam 1 tengahari pada hari yang sama.
Katanya, perbuatan tiga beranak itu berjaya dirakam kamera papan kemuka (dashcam) milik jiran mangsa yang membolehkan pihak polis mengesan dan mengekori suspek yang menaiki kereta jenis Volkswagen sehingga ke kawasan Kampung Binjai, Kemaman.
“Kereta Volkswagen itu kemudian ditinggalkan di kawasan kampung dan hasil intipan selama tiga jam mendapati sebuah Perodua Kelisa berhenti berdekatan kenderaan pertama itu.
“Selepas berlaku kejar mengejar menyebabkan kenderaan kelisa yang dipandu suspek terbabas dan melanggar sebatang pokok.
“Hasil daripada operasi itu, kita telah merampas dua buah kenderaan iaitu kelisa dan Volkswagen, pelbagai barang kemas, wang tunai, dua utas jam tangan, 10 beg pelbagai jenis serta dua bilah senjata tajam dengan rampasan dianggarkan bernilai lebih RM100,000," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu, semalam.
Mazli berkata, wanita terbabit yang positif dadah jenis methamphetamine turut memiliki tiga rekod jenayah lampau dan dikehendaki polis bagi kes pecah rumah di Johor.
Katanya, penahanan tiga beranak itu berjaya menyelesaikan lima kes pecah rumah di Kemaman dan satu kes di Johor selepas suspek mengaku melakukan jenayah itu sejak Januari lalu.
"Kita percaya ada lagi dalang lain bersama tiga suspek ini dan siasatan lanjut sedang dijalankan berhubung perkara itu,” ujarnya.
Katanya, modus operandi mereka ialah memecah masuk pada waktu siang ketika pemilik rumah keluar bekerja, selain menggunakan nombor plat kenderaan palsu dan menukar nombor itu setiap kali melakukan jenayah.
"Suspek juga menyasarkan warga emas yang tinggal bersendirian. Suspek bawah umur akan mengumpan mangsa untuk keluar berbual-bual manakala rakan jenayahnya akan masuk ke rumah untuk menggeledah serta mencuri barangan berharga," katanya.
25 Oct 23
381
TFC Sasar Tiga Mata Jumpa Stallion Laguna Esok
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Pengendali Terengganu FC percaya skuadnya mampu mencatat keputusan positif berdepan kelab Filipina, Stallion Laguna FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), 4 petang esok.
Tomislav Steinbruckner berkata, TFC kini memiliki empat mata hasil satu kemenangan dan satu seri dalam dua perlawanan Piala AFC terdahulu.
“Kami mahu mendapatkan tiga mata, setakat ini TFC sudah ada kutipan mata yang baik ditambah lagi jika berjaya memungut mata penuh esok.
“Saya berharap pasukan saya dapat memberikan aksi bertenaga walaupun perlawanan dilangsungkan pada 4 petang dan ada beberapa pemain utama yang cedera,” katanya ketika sidang media pra-perlawanan di SSMZA hari ini.
Mengulas lanjut, Tomislav berkata beberapa pertukaran pemain mungkin akan dibuat berdasarkan status kecederaan dan kecergasan pemain.
“Kami berdepan dengan jadual yang padat, Liga Super, Piala Malaysia dan Piala AFC, kesemua perlawanan adalah penting dan mencabar.
“Pemain mana diturunkan akan ditentukan sebelum perlawanan berdasarkan sesi latihan terakhir nanti, saya berharap pemain yang diturunkan memberikan aksi terbaik,” ujarnya.
Beliau juga menagih sokongan para penyokong Terengganu agar dapat memenuhkan stadium meskipun waktu perlawanan dibuat pada waktu petang di hari bekerja.
“Saya faham ada penyokong yang masih bekerja pada waktu itu, namun saya berharap agar mereka yang berkelapangan boleh hadir memberikan sokongan.
“Sokongan mereka sangat penting sebagaimana yang mereka lakukan di Kuala Lumpur berdepan KL City dalam saingan Piala Malaysia tempoh hari, pengorbanan para penyokong memberikan semangat dan kita menang perlawanan itu,” jelasnya.
25 Oct 23
163
MAIDAM Galak Rakyat Salur Derma Palestin Melalui Masjid
KUALA TERENGGANU, 25 Oktober - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menggalakan orang ramai menyalurkan derma kepada penduduk Palestin yang dizalimi zionis Israel melalui tabung di setiap masjid di seluruh negeri.
Yang Dipertuanya, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, ia bagi memastikan tiada pihak cuba mengambil kesempatan mengaut keuntungan berhubung perkara itu.
Menurutnya, MAIDAM juga akan memastikan semua sumbangan akan disalurkan terus dan tepat kepada sasaran.
"Para penderma tidak perlu bimbang kerana kesemua hasil kutipan yang disumbang akan diserahkan sepenuhnya (tanpa apa-apa potongan) kepada kedutaan Palestin di negara ini.
"Ia kerana wang derma yang disalurkan melalui masjid ini perlu melalui pejabat agama atau MAIDAM di mana kita akan kumpul dan hantar sendiri kepada pihak kedutaan atau kerajaan Malaysia.
"Jadi mereka yang menderma melalui masjid atau surau ini Insya-Allah kira akan 100 peratus hantar ke sana (Palestin)," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Anugerah Insentif Pakej umrah bagi peserta tilawah, Hafazan al-Quran, azan dan kuiz saudara kita di sini, pada Selasa.
Jelas beliau, MAIDAM telah mengarahkan masjid di seluruh negeri memulakan kutipan tabung untuk didermakan kepada Palestin sejak minggu lepas.
Dalam pada itu, Shaikh Harun berkata, menjadi tanggungjawab setiap umat Islam untuk peka terhadap tragedi yang menimpa umat Islam di Palestin dan tidak hanya berpeluk tubuh tanpa melakukan sebarang tindakan.
Baru baru ini Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah melakukan siasatan pengumpulan derma oleh satu badan bukan kerajaan (NGO) untuk rakyat Palestin.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan dibuat pihaknya berhubung dakwaan salah guna kuasa membabitkan pengumpulan derma itu.
25 Oct 23
129