Artikel "Semasa" Terkini
Terengganu Perkukuh Kerjasama Ekonomi Dengan China
PUTRAJAYA, 31 Oktober –Terengganu telah mengadakan pertemuan dua hala dengan China bagi memperkukuhkan kerjasama ekonomi antara dua negara.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian Dan Teknologi Hijau, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, pihaknya telah menerima satu kunjungan hormat oleh delegasi Persekutuan Usahawan Belia Daerah Jiangsu ke Ibu Pejabat ECERDC, Menara Putrajaya Holdings Headquarters (PJH) di sini.
Menurut beliau, antara perkara yang dibincangkan dalam pertemuan itu berkaitan Projek ECRL (Laluan Kereta Api Pantai Timur) serta menaik taraf kawasan perindustrian bagi menarik minat pelabur serta peneroka baru.
“Selain itu, pihak kami juga menawarkan ruang dan peluang dalam pelbagai sektor kepada pelabur melalui 28 kawasan perindustrian bermula dari Besut sehingga ke Kemaman,” katanya dalam hantaran di laman facebook rasmi miliknya semalam.
Tambah Nurkhuzaini, pelbagai insentif dan pakej pelaburan yang bakal ditawarkan oleh kerajaan negeri.
"Termasuk melalui agensi Kerajaan Persekutuan seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) MIDA dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC)," jelasnya.
Beliau berkata, ia sekali gus membantu pelabur merealisasikan pembangunan di Malaysia.
“Terima kasih kepada semua pihak yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung pada persidangan kali ini.
“Semoga apa yang dibincangkan mampu kita realisasikan demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
30 Oct 23
304
Empat Graduan PHT Terima Anugerah Pengarah
HULU TERENGGANU, 30 Oktober – Seramai empat graduan Politeknik Hulu Terengganu (PHT) dianugerahkan sebagai pelajar cemerlang dengan menerima Anugerah Pengarah di Majlis Konveksyen PHT ke-9 bertempat di Dewan Batu Bersurat, Kampus Baharu PHT, Kuala Jeneris di sini semalam.
Pengarah PHT, Azahan Daud berkata penerima tersebut adalah Fatin Syazwani Ismail bagi Sesi I 2021/2022, Nur Ismie Mohammed Iskandar bagi Sesi II 2021/2022.
Sementara itu katanya, Muhammad Izrie Roslan penerima bagi Sesi I 2022/2023 manakala Siti Zawani Zakaria untuk Sesi II 2022/2023.
"Seramai 146 graduan diraikan di majlis itu dengan masing-masing menerima penganugerahan Diploma Pengurusan Pelancongan dan Diploma Akauntansi.
"Majlis Konvokesyen kali ini menyaksikan seramai 93 daripada graduan Jabatan Pelancongan dan Hospitaliti manakala 53 graduan lagi daripada graduan Jabatan Perdagangan layak menerima diploma masing-masing untuk sesi I 2021/2022 hingga sesi II 2022/2023," jelasnya dalam satu kenyataan media hari ini.
Menurut Azahan lagi, PHT merupakan institusi yang diberi pengiktirafan persijilan MS ISO 9001:2015, membuktikan bahawa institusi itu menawarkan perkhidmatan yang mencapai piawaian standard dan berkualiti.
"Berpaksikan tema konvokesyen pada kali ini, ‘Graduan TVET Sinergi Pemacu Pembangunan Negara, PHT akan terus mengorak langkah aktif dan proaktif bagi menuju dan melonjak menjadi sebuah penyedia pendidikan TVET yang berkualiti dan melahirkan graduan berkualiti dan seimbang serta bercirikan keusahawanan yang berdaya saing di peringkat global," katanya.
Tambah beliau, PHT bersama para pensyarah dan warga kerja akan terus memperkasa dan membudayakan bidang penulisan, penyelidikan dan inovasi (R&D) dengan memasuki pertandingan dan pembentangan di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
Jelasnya, rangkaian kerjasama bersama lebih 47 rakan industri dan agensi kerajaan mahupun swasta dengan jalinan COC berkaitan akan terus diperkukuhkan.
"Pihak industri antara lain berperanan dalam menjadikan kurikulum program pengajian yang ditawarkan oleh PHT sentiasa relevan dari semasa ke semasa dan mengikuti kehendak industri," jelasnya lagi.
30 Oct 23
419
Program ADUN Belia Lahirkan Generasi Pemimpin
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober- Program Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Terengganu yang telah melalui beberapa siri persidangan dilihat mampu melahirkan belia yang proaktif bagi mempersiapkan mereka sebagai pemimpin negeri mahupun negara pada masa hadapan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, berdasarkan bakat yang agak menyerlah di kalangan ADUN Belia, beliau yakin mereka berpotensi untuk bergerak lebih ke hadapan.
“Sebahagian di kalangan mereka cukup kompeten untuk menjadi pelapis kita, jadi saya menaruh harapan dan keyakinan semua di kalangan mereka ini proaktif dimana pun posisi yang mereka ada.
“Jadi hasrat kami di peringkat kerajaan negeri, pelapis-pelapis ini akan memiliki satu pengalaman istimewa yang sukar untuk diperolehi di tempat lain.
“Paling tidak, kalau mereka berpeluang untuk menjadi kepimpinan pada masa akan datang, samada bergelar wakil rakyat, senator dan seumpamanya mereka sudah memiliki satu ‘confident level’ yang cukup baik untuk melibatkan diri didalam setiap perbahasan mana-mana peringkat dan mereka menjadi generasi yang kompeten sebagai seorang ahli dewan,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan perasmian Persidangan Kedua Penggal kedua, ADUN Belia Terengganu Siri II 2021-2023 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, persidangan ini juga memberikan pendedahan serta pengalaman kepada ADUN Belia terpilih mengenai bagaimana peranan badan legislatif.
“Selari dengan objektif mewujudkan ADUN Belia itu sendiri iaitu untuk melahirkan generasi pelapis dan melahirkan bakal pemimpin yang mahir dalam berhujah dan mengutarakan pandangan.
“Apa yang mereka bahaskan dan hujah di dalam dewan ini akan dibuat rumusan oleh pihak TSIS sebelum dipanjangkan kepada saya (Exco yang bertanggungjawab untuk persidangan ADUN Belia Terengganu), kemudian kita akan bawa kepada pihak yang berwajib dibawah kelolaan kerajaan negeri untuk tindakan sewajarnya,” ujar beliau.
30 Oct 23
235
EPIC Terus Kempen Penanaman 100 Juta Pokok
KEMAMAN, 29 Oktober - Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC Berhad atau Kumpulan EPIC) menerusi anak syarikatnya, Konsortium Pelabuhan Kemaman Sdn Bhd (KPKSB) meneruskan sokongan kempen penanaman 100 juta pokok peringkat negeri.
Semalam anak syarikat EPIC itu telah menganjurkan program 'KPK Grow Grenn 2023- Tree Planting at East Whart' yang turut mendapat kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu dan melalui program berkenaan sebanyak 300 anak pokok spesies 'Kelat Paya' tetah ditanam di lokasi yang ditetapkan dengan bantuan 100 sukarelawan syarikat.
Pengurus Besar KPKSB, Ashari Mohamad berkata program berkenaan juga diadakan bagi meningkatkan kawasan liputan hijau di sekiutar Dermaga Timur kelolaan anak syarikat tersebut.
"Ia mencerminkan komitmen yang digalas bersama bagi merealisasikan aspirasi EPIC Berhad untuk mentransformasi pengoperasian dan pembangunan Pelabuhan Kemaman ke arah menjadikannya sebuah pelabuhan hijau," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program berkenaan yang diadakan di Dermaga Timur Pelabuhan Kemaman, semalam.
Turut hadir, Pengerusi KPKSB, Ahmad Amzad Mohamed @ Hashim.
Dalam pada itu, Amzad yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata pihaknya menyambut baik usaha yang dijalankan syarikat bagi mewujudkan lebih banyak kawasan liputan hijau sekali gus memupuk kesedaran akan tanggungjawab memelihara alam sekitar yang perlu digalas semua pihak.
"Dalam menjalankan perniagaan secara lestari dan mampan, kita bukanlah sekadar mencari keuntungan semata-mata, tetapi juga menyumbang tenaga dan usaha demi menjaga khazanah alam yang tidak ternilai harganya," ujar Amzad.
30 Oct 23
175
Kerajaan Siap Siaga Jika Berlaku Banjir Ketika SPM
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Kerajaan negeri bersiap siaga dengan membuat pelbagai persediaan berkaitan banjir bagi memastikan kelancaran pelajar yang akan menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak lama lagi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata SPM pada tahun ini dijangka pada bulan Januari 2024.
Katanya, terdapat jangkaan beberapa buah sekolah yang mungkin terjejas banjir.
"Namun, kita mendoakan supaya banjir tidak berlaku pada hari berkenaan kerana sangat mengganggu persiapan terutama para pelajar.
"Apapun kita akan buat persiapan yang sebaik mungkin bagi menghadapi banjir di negeri ini," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas Menyempurnakan Perasmian Pesta Buku @PPAT 2023 bertempat di Dewan Teater Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Ridzuan Hashim dan Pengarah PPAT, Norliza Ismail.
Turut berlangsung pada majlis berkenaan pelancaran Buku Ulama Terengganu Suatu Sorotan Edisi Baharu.
Tambah Satiful, berdasarkan pengalaman lepas, kerajaan negeri akan melaksanakan persiapan dengan lebih terperinci lagi.
Untuk rekod pada tahun 2022, seramai 319 calon SPM yang terjejas banjir di Terengganu dipindahkan ke sekolah lain yang sesuai untuk memastikan mereka dapat mengambil peperiksaan itu dengan lancar.
Sebanyak dua daerah terlibat iaitu tiga Sekolah di daerah Hulu Terengganu dan sebuah lagi di Kemaman.
29 Oct 23
258
Sasar 100,000 Pengunjung ke Pesta Buku Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Kerajaan negeri bersama pihak penganjur meletakkan sasaran seramai 100,000 orang pengunjung ke Pesta Buku Terengganu yang diadakan di Perpustakaan Awam Negeri di sini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato’ Satiful Bahari Mamat berkata program tersebut berlangsung selama lapan hari bermula 28 Oktober hingga 4 November 2023.
Katanya, pelbagai inisiatif yang disediakan oleh pihak penganjur yang melibatkan banyak aktiviti dan juga kehadiran figura terkenal tanah air.
“Antara figura terkenal tersebut iaitu Amin Idris, Sukor Ibrahim, Ain Maisarah Impiana dan ramai lagi yang masing-masing mempunyai slot khas.
“Turut mencuri tumpuan kunjungan pemain Terengganu Football Club (TFC) bertemu peminat pada hari ketiga karnival berlangsung,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika Sidang Media selepas Menyempurnakan Perasmian Pesta Buku @PPAT 2023 bertempat di Dewan Teater Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu (PPAT), Ridzuan Hashim dan Pengarah PPAT, Norliza Ismail.
Tambah Satiful, sejumlah 91 penerbit yang terdiri daripada 72 penerbit buku tempatan dan 19 penerbit luar, alat bantuan mengajar dan juga jualan alat tulis akan turut serta pada Pesta Buku ini.
“Pelbagai genre bahan bacaan yang dijual seperti novel, komik, buku pelajaran dan bahan bacaan umum dengan harga promosi yang berpatutan.
"Antara aktiviti menarik yang diadakan adalah pertandingan mewarna bagi pelbagai kategori, pertandingan Jigsaw Puzzle (pada waktu malam), pertandingan pakaian beragam dan banyak lagi," ujarnya.
Selain itu katanya, persembahan busking, jualan makanan daripada peniaga-peniaga food truck dan Bazar PPAT turut diadakan bagi memeriahkan lagi suasana.
Beliau berharap, agar segalanya berjalan dengan lancar serta mencapai sasaran yang diinginkan oleh pihak penganjur.
29 Oct 23
1161
Sultan Mizan Berangkat Sampaikan Hadiah Pertandingan Kuda Lasak
SETIU, 29 Oktober - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan menyampaikan hadiah Pertandingan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2023 bagi Acara 120 kilometer (km) Individu dan berkumpulan di Terengganu International Endurance Park (TIEP) Lembah Bidong di sini hari ini.
Keberangkatan Baginda turut diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah.
Ketibaan Baginda berdua disambut oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan isteri To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman, Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Nara Setia.
Penunggang Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa'ari dari State of Terengganu Endurance Team (STET) menjadi Johan Acara 120 km individu dan membawa pulang wang tunai RM18,480 beserta piala, medal dan barangan elektrik.
Naib Johan acara tersebut, Mohamad Adhwa Embong juga dari STET, yang menunggang kuda bernama Cha Magic membawa pulang RM14,840, sebuah piala, medal dan barangan elektrik.
Sementara tempat ketiga dimenangi oleh Lans Kopral Muhammad Aminuddin Ali dari Royal Kelantan Endurance memakai vest bernombor 14 dengan menunggang kuda bernama Wattle Tree Echo membawa pulang RM10,080, sebuah piala , medal dan barangan elektrik.
Bagi acara 120km berkumpulan pula Kumpulan STET terdiri dari penunggang Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa'ari, Mohamad Adhwa Embong, Muhammad Nurhan Fawwaz Mohd Nuhairi dan Mohammad Fuad Hashim mendapat johan dengan mencatat masa 22 jam 18 minit 56 saat membawa hadiah RM20,000, sebuah piala dan medal.
Manakala kumpulan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES) terdiri dari Sultan Mizan Zainal Abidin, Mohd Yunus Abdullah dan Osman Mohd Jaafar membawa pulang hadiah RM10,000, sebuah piala dan medal.
Kuda terbaik Kejohanan kali ini ialah Cha Magic ditunggangi oleh Mohamad Adhwa Embong dari STET memakai vest bernombor 16 dengan membawa pulang hadiah bernilai RM25,000.
Setiap peserta bagi kategori 120km mendapat hadiah RM4,000.
29 Oct 23
203
'Calon PAS PRK Kemaman Tunggu Keputusan Mesyuarat'
KUALA NERUS, 29 Oktober - Calon Parti Islam Se-Malaysia (PAS) bagi kerusi Parlimen Kemaman akan diputuskan secara bersama dalam mesyuarat parti.
Menteri Besar yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, buat masa sekarang pihaknya memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan.
“Jika saya komen kiri atau kanan, maka akan menyebabkan timbul pelbagai persepsi dan editor-editor akan wujudkan ‘tagline’ yang kontroversi.
“Keputusan calon tersebut akan diumumkan sendiri oleh Presiden PAS dalam tempoh jangka masa yang telah diberikan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Lawn Bowls Kebangsaan bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini semalam.
Tambah Ahmad Samsuri, mesyuarat pusat yang pertama adalah pada Isnin ini iaitu mesyuarat pertama selepas Muktamar diadakan.
“Saya tidak pasti mengenai agenda yang akan dibincangkan pada hari tersebut.
"Tetapi ada beberapa agenda seperti pelantikan Pesuruhjaya PAS Negeri-negeri dan AJK lantikan,” ujarnya.
Pada PRU15, wakil PAS, Che Alias Hamid memenangi kerusi Parlimen Kemaman dengan majoriti 27,179 undi.
Beliau mendapat 65,714 undi sekali gus menewaskan tiga calon lain termasuk bekas Menteri Besar yang mewakili BN, Datuk Seri Ahmad Said.
Dua lagi calon iaitu Rosli Ab Ghani (Pejuang) dan wakil Pakatan Harapan (PH), Hasuni Sudin.
PRK Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias pada 26 September lalu.
29 Oct 23
301
Terengganu Terus Perjuang Hak Royalti
KUALA NERUS, 28 Oktober – Kerajaan Terengganu terus berharap Kerajaan Persekutuan dapat melunaskan baki Dana Khas Kerajaan Persekutuan (DKKP) Petroleum kepada negeri ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya masih lagi berunding dengan kerajaan Persekutuan bagi tujuan berkenaan.
"Kerajaan masih lagi berunding supaya baki yang ada dapat diberikan sebagaimana biasa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup dan Penyampaian Hadiah Kejohanan Boling Padang (Lawn Bowls) Kebangsaan bertempat di Kompleks Sukan Negeri Terengganu di sini semalam.
Terdahulu, Ahmad Samsuri berkata Terengganu hanya menerima sebanyak RM405 juta bayaran dana khas (wang ehsan) daripada Kerajaan Persekutuan.
Bayaran tersebut dibuat dalam tempoh Disember 2022 hingga September 2023 dengan jumlah enam kali pembayaran.
Jumlah berkenaan adalah berbeza berbanding anggaran dana khas dalam belanjawan tahun 2023 iaitu lebih RM1.5 bilion dan tidak seperti tahun-tahun terdahulu.
28 Oct 23
1272
1,400 Berlari, Berbasikal Sebar Kepentingan Kesihatan Mental
KUALA TERENGGANU, 28 Oktober - Seramai 1,400 rakyat Terengganu menyertai Fun Run & Ride Mental Health 2023 yang berlangsung di Dataran parkir Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam program itu anjuran Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam (AKRAB) Pejabat Setiausaha Kerajaan Terengganu itu, aktiviti larian sejauh empat kilometer merentasi Jambatan Angkat Kuala Terengganu diadakan sebagai acara utama.
Selain itu, turut diadakan aktiviti berbasikal sejauh 45 kilometer dengan kerjasama Terengganu Cycling Team (TSG) Corporation.
Program disempurnakan dengan perasmian oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dan turut dihadiri Timbalan SUK (Pembangunan), Dato' Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Program Fun Run & Ride Mental Health 2023 diadakan sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia yang disambut setiap 10 Oktober.
Hari antarabangsa itu dikhususkan bagi pendidikan kesihatan mental di peringkat global serta advokasi dan kesedaran umum terhadap stigma sosial berkaitan isu tersebut.
28 Oct 23
142