lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Terengganu Garis Usaha Atasi Masalah Penceraian
Terengganu Garis Usaha Atasi Masalah Penceraian
KUALA TERENGGANU, 28 November- Fokus ketiga Belanjawan Terengganu 2024 iaitu 'Mensejahterakan Kehidupan Rakyat' perlu dilihat secara serius dalam memastikan negeri itu mampu melahirkan generasi masa hadapan berkualiti. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, elemen yang diterapkan seharusnya berupaya memberi nilai tambah kepada institusi kekeluargaan terutama membabitkan kes-kes penceraian di kalangan pasangan Muslim. "Dukacita, realiti menunjukkan kadar penceraian di negara ini meningkat dengan begitu ketara. Daripada 43,936 kes pada tahun 2021 kepada 62,890 kes pada tahun lalu dengan mencatatkan peningkatan 43.1 peratus. "Ia merupakan kadar tertinggi direkodkan sejak 2016 di mana perceraian pasangan Muslim meningkat 45.8 peratus iaitu 46,138 kes (2022) berbanding 31,650 pada tahun 2021. "Di Terengganu  pula, direkodkan sebanyak 6,565 kes membabitkan pasangan Muslim pada tahun 2020 sehingga Oktober 2021," katanya ketika membahaskanBelanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Jelasnya, ia merupakan angka yang besar dan wajar diberi perhatian. "Justeru, saya memandang serius kepada semua strategi yang terangkum dalam sebagai fokus ketiga untuk melahirkan generasi hadapan yang lebih berkualiti dan menambahkan keselesaan taraf hidup," katanya. Melalui fokus ini, Belanjawan Terengganu 2024 menggariskan beberapa pelaksanaan tertumpu kepada tema 'Pemantapan Institusi Keluarga'. Antara pelaksanaan yang diutamakan adalah program-program pasca perkahwinan serta perkhidmatan psikososial dan kesihatan mental pasangan.  
28 Nov 23
182
Terengganu Bakal 'Kehilangan' Penyu Belimbing
Terengganu Bakal 'Kehilangan' Penyu Belimbing
KUALA TERENGGANU, 28 November - Terengganu sedang berdepan dengan ancaman kepupusan  penyu belimbing apabila spesies itu sudah lama tidak mendarat dan bertelur di Rantau Abang, Dungun. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata seorang pakar diperlukan untuk membuat kajian atau cadangan bagi pemulihan semula sumber penyu belimbing di Rantau Abang. Beliau berkata, banyak faktor yang mempengaruhi kepupusan penyu belimbing antaranya perubahan ekosistem laut serta pantai akibat pencemaran dan pembangunan. "Selain itu, projek penetasan yang dibuat dahulu dipercayai menghasilkan hanya penyu betina kerana suhu pasir yang panas akan menghasilkan anak betina saja sekaligus tiada jantan penyu belimbing mendarat selepas lewat tahun 90-an. "Jadi, lupakan penyu belimbing sebaliknya menumpukan kepada penjagaan dan pemuliharaan sumber penyu agar yang masih banyak di pantai-pantai seluruh Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli (PAS-Rantau Abang) berkaitan apa yang terjadi kepada populasi penyu belimbing yang semakin pupus di Rantau Abang pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman di sini. Razali berkata,  pada tahun 60-an terdapat usaha untuk pembiakan spesis itu tetapi hanya sedikit anak penyu belimbing terhasil dan telurnya pula dimakan. "Malah, menurut pakar anak penyu mengambil masa lebih 30 tahun untuk matang namun hanya satu peratus yang berjaya hidup dan mencapai usia matang," katanya. Dalam masa sama, Razali berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM50,000 bagi membaikpulih kaunter hadapan di pusat penerangan Pemuliharaan Penyu (TTIC) Rantau Abang. Katanya, sebanyak RM300,000 juga diperuntukkan bagi menaiktaraf fasiliti untuk meningkatkan imej pelancongan serta penawaran perkhidmatan pelancongan yang lebih berkesan dan interaktif kepada pengunjung serta pelancong. "Promosi juga dibuat dengan mengetengahkan Rantau Abang, Pantai Batu Pelanduk dan Pantai Teluk Bidara dalam fun map pelancongan Terengganu bagi menonjolkan destinasi kepada pelancong atau dalam erti kata lain 'product visibility' ," katanya.  
28 Nov 23
824
Kakitangan Kerajaan Perlu Bergerak Seiring Capai Era Baharu Terengganu
Kakitangan Kerajaan Perlu Bergerak Seiring Capai Era Baharu Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November- Kakitangan kerajaan mestilah seiring dan fokus dengan hala tuju negeri bagi mencapai hasrat dan matlamat meneraju era baharu negeri Terengganu. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, jika kakitangan diberikan kepercayaan sebagai akar dalam menggerakkan perancangan sumber dan kebajikan yang diatur untuk rakyat, maka sudah pasti buah-buah (hasil) akan tumbuh dengan baik dan keindahan dapat dilihat dengan jelas. "Begitu juga sebaliknya, andai kepercayaan dirosakkan, tidak seiring dan tidak berfokus maka keindahan itu tidak dapat dilihat, bahkan memburukkan lagi negeri mahupun pokok yang diibaratkan sebagai contoh," katanya ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Tambahnya, sebuah negeri bukan sahaja memerlukan nakhoda yang hebat dan berwawasan untuk mendepani badai, tetapi dalam masa sama perlukan sokongan yang menghayati hasrat dan matlamat untuk menerajui era baharu Terengganu. "Para kakitangan ini tidak boleh lagi hanya selesa bekerja menyempurnakan rutin semata-mata. Bahkan, mereka  diharap dapat menyumbang sepenuh kemampuan demi mencapai kemajuan sejagat. "Saya penuh yakin kakitangan negeri Terengganu yang berada dalam bahtera ini merupakan individu yang telah terpilih dan memiliki kemampuan mapan, masakan tidak trend dan data pembangunan yang lepas menunjukkan prestasi yang baik," ujarnya. Oleh itu, beliau mengingatkan supaya pihak kerajaan tidak melakukan sebarang pertukaran jawatan dalam masa singkat sehingga mengganggu tugas dan fokus kakitangan, apatah lagi ketua-ketua jabatan yang sentiasa berfikir untuk merangka perancangan jangka masa panjang. "Walaupun dalam masa sama, kita tidak menafikan ada keperluan tertentu, tetapi pertukaran terlalu kerap boleh mencacatkan pembangunan dan kemajuan yang ingin dicapai. "Kepada kakitangan yang mencapai prestasi pula, haruslah diberi penghargaan," katanya.    
28 Nov 23
147
Tangani Penyalahgunaan Dadah Melalui Program Pembangunan Belia
Tangani Penyalahgunaan Dadah Melalui Program Pembangunan Belia
KUALA TERENGGANU, 28 November – Kerajaan negeri memberi penekanan kepada program pembangunan belia sebagai salah satu strategi utama dalam usaha menangani gejala penagihan najis dadah di kalangan generasi muda di Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata  antara program yang dilaksanakan ialah Program SKUAD Antidadah, Program Tomorrow's Leader, Program Sukses, Matang, Aktif, Rasional, Tanggungjawab (SMART) dan Program Masjid Angkat Daerah dalam usaha kerajaan negeri memberi pengetahuan serta kemahiran kepada golongan belia berisiko lingkungan umur 19-39 tahun supaya tidak terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah.  “Seramai 4,095 orang berdaftar di Negeri Terengganu di bawah SKUAD Antidadah ini. Ahli Jawatankuasa SKUAD Antidadah dan ahli akan diberi latihan bagi memastikan mereka mempunyai kemahiran dalam melaksanakan fungsi dan peranannya sebagai sukarelawan. “Program Tomorrow's Leader pula mensasarkan pelajar-pelajar di IPTA, IPTS, Institut Latihan, Institut Kemahiran, Politeknik dan Kolej Komuniti yang terpilih di seluruh daerah di Terengganu bagi memastikan pelajar dan warga IPT mempunyai pengetahuan, kesedaran dan kemahiran mengenai gaya hidup sihat tanpa dadah. “Manakala Program SMART mendedahkan golongan belia berisiko dengan pengetahuan, kesedaran dan maklumat tentang bahaya serta risiko penagihan dadah dan mewujudkan belia bebas dadah yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara,”ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk  berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor  dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Tambah Dr Muhammad Khalil lagi,  pelaksanaan program Keagamaan dan Kerohanian menggunakan Modul Takziyah An Nafs (AADK) di bawah Program Bimbingan Fardu Ain yang meliputi bab Orientasi, Akidah, Feqah, Al Quran, Akhlak dan Sirah diadakan di Masjid Angkat Daerah dan Pejabat AADK  “Program ini telah disusunkan jadual oleh Pegawai Pemulihan setiap daerah dan dilaksanakan oleh Guru Takmir setiap daerah dan Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam AADK sebanyak tiga hingga empat kali sebulan, "katanya.  
28 Nov 23
232
Laluan Basikal Teluk Ketapang Ke Kuala Ibai Dibuka Disember Ini
Laluan Basikal Teluk Ketapang Ke Kuala Ibai Dibuka Disember Ini
KUALA TERENGGANU, 28 November- Projek Pembinaan Laluan Basikal Teluk Ketapang ke Kuala Ibai akan dibuka kepada umum secara rasminya Disember ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim berkata, kemajuan projek yang menelan belanja RM4.2 juta termasuk kerja-kerja pengukuran setakat ini sudah mencapai 95 peratus. “Projek ini telah diberi milik tapak pada 20 Jun 2022 sehingga 13 ogos 2023. Namun demikian, terdapat tambahan masa dan projek dilanjutkan sehingga 11 November 2023. “Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) adalah pemilik laluan manakala Jabatan Kerja Raya (JKR) pula Pegawai Penguasa bagi projek tersebut,”katanya pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh ADUN Buluh Gading, Ridzuan Hashim yang ingin tahu apakah status perkembangan laluan berbasikal tersebut. Mengulas lanjut, Hishamuddin berkata, baki kerja adalah pembinaan tembok batu dan sistem bekalan elektrik untuk lampu jalan di laluan basikal itu. “Laluan basikal ini dijangka akan siap dan boleh digunakan pada pertengahan Disember ini. “Kita berharap laluan ini menjadi pilihan bagi pengguna basikal seluruh Terengganu,” ujarnya. Menurut beliau, perancangan kerajaan negeri adalah untuk menjadikan bumi Terengganu sebagai ‘Land Of Cyclist’ dan tentu sekali laluan berbasikal ini akan dikembangkan ke seluruh negeri ini. “Meskipun sedemikian, kita mengakui keadaan kewangan semasa dan ini adalah pilot pojek. “Kita akan melihat sambutan yang diberikan oleh pengguna basikal yang menggunakan laluan ini dan sekiranya positif kita akan kembangkan idea ini ke lokasi lain,” katanya. Mengulas mengenai apakah tindakan terhadap penyalahgunaan laluan tersebut, Hishamuddin berkata, pihak MBKT akan memainkan peranan untuk memantau laluan berbasikal itu apabila dibuka nanti.  
28 Nov 23
1041
Wanita Terengganu Akan Terus Diperkasa
Wanita Terengganu Akan Terus Diperkasa
KUALA TERENGGANU, 28 November – Kerajaan negeri dengan kerjasama Urus Setia Wanita Terengganu (USWA) melalui Dasar Wanita Terengganu sentiasa menambah baik strategi dan perancangan bagi memastikan penglibatan wanita secara optimum dan sistematik. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim berkata bagi merealisasikan lagi agenda pemerkasaan wanita di Terengganu, melalui USWA dan kerjasama agensi berkaitan beberapa program telah dirangka dan dirancang mengikut beberapa strategi. “Antaranya ialah penerapan budaya ilmu dalam kalangan wanita Terengganu, penjenamaan Sayyidatina Aisyah sebagai ikon wanita Terengganu, mendedahkan dan melengkapkan pelbagai kemahiran untuk peningkatan taraf hidup wanita, transformasi budaya hidup wanita Terengganu ke arah kesejahteraan, penubuhan Pusat Pembangunan Wanita Terengganu serta strategi melahirkan wanita Terengganu yang berakhlak mulia dengan nilai ketimuran.  “Program-proram yang di telah dilaksanakan dan bakal dilaksanakan berdasarkan strategi tersebut, antaranya ialah Persidangan Wanita Inspirasi Terengganu (WINTER), Karnival Orang Puang Terengganu, Suara Hati Wanita, Jelajah Untukmu Wanita, Wanita Terengganu Bertadarus, ‘Fitness Centre’ dengan tema "Wanita Sihat, Wanita Sejahtera” , pelaksanaan Hari Sayyidatina Aisyah dan Pembinaan Modul Sayyidatina Aisyah untuk rakyat Terengganu,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil  berkata demikian ketika menjawab soalan ADUN Manir, Hilmi Harun  dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas(Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Jelas Maliaman, pihaknya juga akan melaksanakan pelan strategik bagi melaksanakan dasar wanita kepada semua peringkat agensi dan badan berkanun. Tambahnya lagi, seiring dengan mercu tanda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) iaitu pelan pemberdayaan suri rumah Terengganu, beberapa strategi dibuat khusus buat golongan suri rumah. “Ia bagi memastikan golongan ini tidak tercicir dari agenda pemerkasaan wanita di negeri ini dilaksanakan melalui program Spa Percuma Suri Sejahtera, Konvensyen Suri Terengganu, Kelab Suri Sejahtera dan Bengkel Kemahiran Suri Terengganu,” ujar beliau.  
28 Nov 23
183
Terengganu Sedang Siapkan Pelan Tindakan Bandar Pintar
Terengganu Sedang Siapkan Pelan Tindakan Bandar Pintar
KUALA TERENGGANU, 28 November - Kerajaan negeri sedang menyediakan pelan tindakan bandar pintar melalui Jabatan Perancangan Bandar dan Desa negeri. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia melibatkan empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kemaman, Dungun dan Marang melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sedang melaksanakan kajian bandar pintar. "Matlamat kajian ini adalah bagi penyediaan dasar-dasar berkaitan dengan bandar pintar, selamat, bandar hijau serta bandar rendah karbon untuk dijadikan panduan utama serta hala tuju kepada agensi-agensi kerajaan negeri serta pihak-pihak berkepentingan yang lain. "Selain daripada itu juga, kerajaan negeri sangat komited dalam membangunkan bandar-bandar baharu seperti Kuala Terengganu City Centre (KTCC), Bandar Baru Bukit Besar, Bandar Baru Al-Wathiqu Billah Kuala Nerus, Bandar Baru Kijal dan Bandar Lestari Kuala Terengganu dengan menerapkan elemen-elemen perbandaran baharu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut katanya, penyediaan pelan tindakan itu turut melibatkan kerjasama antara unit 'smart city' Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Ibu Pejabat dengan jabatan dan agensi berkepentingan negeri. "Kajian 'blueprint' ini dilakukan secara 'in house' dan ia sangat penting bagi memastikan pembangunan bandar-bandar baharu yang akan mengambil kira elemen-elemen perbandaran baharu yang selari dengan hala tuju di peringkat nasional dan juga antarabangsa. "Dilaksanakan melalui peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM150,000 sedang berada di peringkat draf laporan awak dan akan dilaksanakan dalam tempoh sepuluh bulan," ujarnya. Dalam pada itu katanya, sesi soal selidik bagi mendapatkan pandangan awam, agensi serta pandangan pemain industri telah bermula pada 26 oktober sehingga 16 November yang lalu. "Bagi mendapatkan input terhadap cabaran dan perkhidmatan perbandaran serta tahap kesediaan daripada aspek penggunaan digital, kepuasan serta kefahaman berkaitan dengan bandar pintar. "Sesi libat urus bersama orang-orang awam, PBT, agensi negeri dan pihak-pihak berkepentingan lain juga akan turut dilaksanakan bagi mengenal pasti tahap kesediaan pelaksanaan bandar pinta melalui inisiatif yang sedang dirancang atau dalam pelaksanaan," katanya.
28 Nov 23
536
Jangan Terperangkap Dengan Budaya Politik Lama-Dr Sam
Jangan Terperangkap Dengan Budaya Politik Lama-Dr Sam
KUALA TERENGGANU, 27 November- Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri berpendapat, negara mahupun negeri tidak boleh bergerak ke hadapan sekiranya parti-parti politik masih lagi terperangkap dengan budaya politik lama. Katanya, sekiranya parti-parti politik yang ada tidak ‘update’ dengan perkembangan semasa dan masih lagi mengekalkan cara lama seperti politik permusuhan, kata mengata, fitnah dan sebagainya, mereka masih terperangkap dengan zaman itu. “Sebab itu saranan saya kita mencuba sebaik mungkin bagi pihak PAS untuk membawa budaya politik baru. “Soal ‘lawan’ kita yang masih lagi hendak peteh kaki itu kita hadapi je lah,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas sesi pembentangan Belanjawan 2024 sempena Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Sementara itu mengulas mengenai gerak kerja kempen, beliau yang juga calon PAS bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman menegaskan tetap mengambil langkah cermat sepanjang tempoh berkempen. “Saya sendiri tak pergi berkempen ke tempat-tempat yang sensitif seperti masjid, kedai makan dan lain-lain lokasi yang boleh dikategorikan salah di bawah akta pilihan raya,” katanya. Tambah Ahmad Samsuri, berbaki beberapa hari lagi tempoh berkempen, beliau optimis dengan sokongan rakyat kepada Perikatan Nasional (PN-PAS) mampu meraih kemenangan lebih besar pada PRK Kemaman 2 Disember ini.
27 Nov 23
189
Populasi Penyu Agar Terengganu Paling Tinggi Semenanjung Malaysia
Populasi Penyu Agar Terengganu Paling Tinggi Semenanjung Malaysia
KUALA TERENGGANU, 27 November – Populasi penyu agar yang terdapat di pantai-pantai seluruh Terengganu mempunyai bilangan tertinggi di semenanjung Malaysia. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan negeri akan memberi penumpuan yang lebih kepada penjagaan dan perlindungan sumber spesies penyu itu. Katanya, kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Terengganu (JPNT) telah melaksanaan pelbagai program bagi tujuan berkenaan. “Antaranya, program pendidikan penyu yang melibatkan pelajar-pelajar sekolah rendah dan menengah, program gotong-royong membersihkan pantai pendaratan penyu (sebelum musim pendaratan penyu) dan pelbagai lagi program yang dilaksanakan. “Ini bagi memastikan semua spesies penyu khususnya penyu agar sentiasa terpelihara daripada ancaman pupus,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu (Belanjawan 2024) di Wisma Darul Iman hari ini. Berkenaan soalan yang ditanya berkaitan populasi penyu belimbing yang kian pupus di negeri ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal itu berkata antara faktor kejadian tersebut berlaku kerana aktiviti perikanan di perairan negeri semasa musim bertelur pada sekitar tahun 80-an. “Kegiatan tersebut menyebabkan banyak ibu penyu belimbing itu mati," katanya. Selain itu, jantina anak penyu juga dipengaruhi oleh suhu panas dan sejuk di pasir tempat penyu bertelur namun maklumat tersebut saintis baru temui lewat tahun 90-an. Tambahnya lagi katanya, kumpulan penyu yang bersifat koloni sebagai contoh koloni asal di Rantau Abang yang tidak bercampur dengan koloni asalnya di luar negara. "Sekiranya pupus, maka tamat lah koloninya dan di Asia Tenggara koloni yang masih ada adalah Papua Barat dan Utara Sulawesi Indonesia. “Hingga sekarang, tiada seorang pun pakar yang membuat cadangan bagi pemuliharaan semula sumber penyu belimbing di Rantau Abang. "Barangkali, tiada contoh projek seumpama itu di dunia dan tiada pakar yang berilmu untuk tujuan berkenaan,” ujarnya.                              
27 Nov 23
382
Belanjawan 2024 Terengganu Garis 10 Sasaran Utama
Belanjawan 2024 Terengganu Garis 10 Sasaran Utama
KUALA TERENGGANU, 27 November- Kerajaan negeri menggariskan 10 sasaran dan strategi utama untuk diusahakan dan dicapai menerusi peruntukan belanjawan 2024. Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dalam situasi pertumbuhan global dan nasional diunjur menyederhana pada tahun 2023 dan 2024, KDNK Terengganu harus kekal mengembang antara 3.5 hingga 4.1 peratus. "Subsektor perdagangan borong dan runcit mesti diperkukuh dengan pelbagai inisiatif pengupayaan perniagaan dan pembangunan usahawan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan 2024 sempena Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini. Menurut beliau, kerajaan negeri turut mensasarkan untuk melahirkan lebih ramai usahawan baharu yang berjaya. "Sekurang-kurangnya 80 orang menerusi pemerkasaan program pembangunan usahawan dengan hasil jualan berjumlah sehingga RM4. 2 juta sekali gus menyediakan lebih 200 peluang pekerjaan. " Selain peluang dan penempatan pekerjaan perlu diselia dengan lebih bersepadu supaya kadar penganguran di negeri ini berada di paras sekitar 3.3 peratus hingga 3.6 peratus sahaja," ujarnya. Dalam pada itu katanya, industri pelancongan juga perlu diperkasa dengan kepelbagaian produk, ketersediaan kemudahan dan pemuliharaan bermacam-macam sumber untuk menarik 13.2 juta pelawat domestik termasuk 4.5 juta pelancong, iaitu 20 hingga 30 peratus lebih ramai berbanding tahun lalu. Katanya, rancangan dan usaha bagi menambah baik infrastruktur dan logistik di kesemua 28 kawasan perindustrian serta meneroka dan mengeksploitasi kelebihan di kawasan sempadan negeri dan stesen-stesen ECRL mesti dipergiatkan bagi merancakkan industri berorientasikan eksport dan domestik. “Hal ini penting supaya jumlah dan imbangan dagangan dapat ditingkatkan antara lima hingga tujuh peratus berbanding pada tahun 2022 untuk mencipta lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan ekosistem pelaburan yang lebih kompetitif,” jelasnya. Mengulas lanjut katanya, projek-projek kecil DUN perlu dilaksanakan mengikut senarai dan keutamaannya, spesifikasi dan jadual yang telah ditetapkan bagi memenuhi keperluan penduduk, menangani impak bencana dan memangkin pertumbuhan sosioekonomi setempat.  “Peruntukan yang disediakan mesti dioptimumkan sepenuhnya. Kemajuan projek- projek perumahan mampu milik juga mesti dipantau dan dikawal dengan lebih tegas supaya dapat disiapkan dan diagihkan pada waktu yang sepatutnya,” ujarnya. Sementara itu katanya, institusi keluarga mesti terus diperkukuh kerana ia adalah nadi kesejahteraan masyarakat.  “Usaha untuk meredakan kadar perceraian di bawah paras 1.5 bagi setiap 1,000 penduduk perlu lebih aktif, terutamanya melibatkan pasangan berumur antara 32 hingga 40 tahun.  “Selari dengan itu, ikhtiar untuk mengurangkan bilangan penyalahguna dan penagih dadah, bilangan kes jenayah indeks dan jenayah syariah juga mesti dipergiatkan menerusi program kesedaran, aktiviti penguatkuasaan dan tindakan undang-undang,” jelasnya lagi. Tambah beliau, menjelang Ogos tahun hadapan, atlet-atlet Terengganu mesti dipersiapkan fizikal, mental dan moral mereka ke tahap yang terbaik supaya dapat kembali merampas gelaran juara keseluruhan pada temasya SUKMA 2024 nanti.  Disamping itu, jelas beliau, rencana untuk menambah hasil cukai dan hasil bukan cukai sebanyak 10 peratus setahun mesti dilaksanakan dengan lebih strategik, agresif dan bersepadu.  Manakala katanya, semua jabatan dan agensi, badan berkanun dan pihak berkuasa tempatan perlu mencapai tahap kepuasan pelanggan melebihi 90 peratus dan 90 peratus aduan yang dikemukakan juga mesti diselesaikan dalam tempoh 15 hari bekerja. Katanya, semua sasaran dan strategi yang digariskan itu tidak terhad hanya untuk portfolio atau jabatan dan agensi tertentu sahaja. "Sebaliknya, pelbagai pihak mesti saling bekerjasama untuk menjayakannya termasuklah menggerakkan sepenuhnya potensi empat negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis menerusi gugusan SG4," ujarnya.
27 Nov 23
465