Artikel "Semasa" Terkini
Ibu Tunggal Terharu Dapat Pembelaan
MARANG, 29 November - Seorang ibu tunggal di Kampung Kubu, Azizah Samirah Setapa yang tinggal dalam keadaan ketakutan terharu apabila mendapat pembelaan sewajarnya daripada wakil rakyat.
Azizah berkata, rumahnya ditimpa pokok getah menyebabkan dia keluarga bimbang dengan keselamatan diri.
Namun dia bersyukur kerana tindakan pantas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menyebabkan mereka berasa lega.
"Insiden tragis ini berlaku di kawasan tersebut, mengakibatkan kerosakan terhadap atap rumah saya.
"Saya yang tinggal bersama beberapa anaknya yang lain, masih terkejut dengan kejadian yang menyebabkan keresahan dan kebimbangan dalam keluarganya," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini.
Menurut Azizah, kerosakan atap rumahnya tidak hanya menyebabkan mereka terdedah kepada cuaca, tetapi juga menimbulkan ketakutan dan kegelisahan dalam diri Azizah dan anak-anaknya.
Namun, jelasnya, Sulaiman Sulong telah memberi perhatian segera terhadap kejadian ini.
Ujar Sulaiman, pihaknya terus mengambil mengambil tindakan segera untuk memastikan bantuan diberikan dengan secepat yang mungkin kepada Azizah dan keluarganya yang terkesan.
"Diharap bantuan ini memberikan sedikit kelegaan kepada Azizah dan keluarganya yang sedang berhadapan dengan cabaran ini," katanya.
29 Nov 23
149
Lapangan Terbang Kerteh Mampu Bina Sumber Kekayaan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 29 November – Lapangan Terbang Kerteh berpotensi menjadi lokasi strategik untuk membina sumber kekayaan baharu negeri ini dalam bidang aeronautik (kajian penerbangan).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili berkata sektor penerbangan 'conventional' dan 'green aviation' boleh terus diteroka.
Katanya, beliau percaya kerajaan negeri telah mengenal pasti peluang baharu untuk dimajukan kawasan berkenaan.
“Komitment berterusan khususnya pihak petronas dan para pelabur perlu dalam memastikan hasrat tersebut dapat disempurnakan dengan lebih baik.
“Termasuk pengurusan pemindahan asset dan operasi dengan mengambil kira keupayaannya untuk terus membangun dan berdaya saing,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, semalam.
Tambah Ir Saiful, beliau berharap agar kerajaan dapat mengambil perhatian dalam menyelesaikan masalah berkaitan projek yang masih tidak dapat disiapkan dan terbengkalai seperti ‘Cove Kemasik’ dan Masjid Kampung Baru Kerteh.
“Projek 'Cove Kemasik' bertujuan untuk mendalamkan Kuala Kemasik bagi keselesaan dan keselamatan nelayan.
"Para nelayan setiap hari keluar dan masuk di kawasan tersebut termasuk melabuhkan bot-bot mereka," ujarnya.
Beliau berharap katanya, tindakan segera boleh dibuat seterusnya kerja-kerja mendalamkan kuala kemasik dapat dilaksanakan secepat mungkin
Di samping itu, bagi pembinaan Masjid Kampung Baru Kertih juga perlu kepada tindakan segera kerana dibimbangi berlaku kerosakan, 'vandalisme' dan sebagainya.
29 Nov 23
2724
'PAS Letak Dr Sam Untuk Jadi PM' - KJ
KUALA TERENGGANU, 29 November - Langkah PAS meletakkan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bukan semata-mata kerana ingin memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, tetapi merupakan usaha meletakkan Menteri Besar Terengganu itu sebagai Perdana Menteri Malaysia yang berkaliber pada masa akan datang.
Bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata ia juga merupakan satu agenda memperkenalkan kepada negara bahawa PAS memiliki calon teknokrat yang sangat layak.
Ujarnya, dengan penampilan sulung sebagai Ahli Parlimen nanti akan memberikan keyakinan kepada rakyat dalam negara ini melalui kewibawaannya.
"Apabila dia masuk Parlimen nanti diharapkan (dapat mematikan) segala kritikan terhadap PAS, Perikatan Nasional (PN) tidak reti cakap tentang polisi, teknikal, mengenai sains, soal infrastruktur dan sebagainya.
"(Di mana) dia akan menampilkan perbahasan yang menyebabkan orang kata (melihat), eh, boleh terimalah dia (Dr Sam) sebagai Perdana Menteri," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika bersiaran melalui podcast 'Keluar Sekejap', semalam.
Mengulas lebih lanjut, Khairy berpadangan bahawa langkah meletakkan Dr Ahmad Samsuri bukan langkah sembarangan sebaliknya PAS mahu membuktikan ada agenda besar untuk negara.
"Sebab itu langkah mencaturkan Dr Ahmad Samsuri adalah sesuatu yang sangat signifikan dan jangan kita ingat bahawa PAS letak Dr Sam kerana semata-matang hendak menang PRK Kemaman.
"Ini adalah satu langkah jangka masa panjang , suatu kenyataan (menzahirkan) hasrat untuk meletakkan calon Perdana Menteri daripada PAS," katanya.
29 Nov 23
784
Kerajaan Akan Terus Perkasa Wanita Terengganu
KUALA TERENGGANU – Kerajaan Negeri sedang mengukuhkan agenda pembangunan wanita yang bersesuaian dengan prinsip wanita mesra syariah melalui Dasar Wanita Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, langkah ini diambil untuk membolehkan kaum hawa keluar daripada kehidupan yang konvensional, merangkul potensi yang lebih luas, dan menyokong perkembangan holistik mereka.
“Kita mengakui Dasar Wanita Kebangsaan mempunyai satu dasar yang lengkap tetapi kita menambah baik lagi dengan menggarap Dasar Pembangunan Wanita negeri untuk menyesuaikan persekitaran yang ada di negeri Terengganu.
“Kita tengok dan lihat rata-rata wanita di negeri ini majoriti muslim jadi kita memperkasakan agenda pembangunan nilai-nilai wanita muslim di dalam Dasar Wanita negeri Terengganu supaya kaum hawa dapat keluar daripada kepompong biasa sama ada sukan, ekonomi dan sebagainya,” jelasnya.
Beliau yang juga ADUN Hulu Terengganu berkata demikian ketika menjawab soalan lisan oleh ADUN Manir dalam Sidang Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Kelima Belas (Sidang Belanjawan Terengganu) di Wisma Darul Iman, semalam.
Katanya, Kerajaan negeri menubuh Urus Setia Wanita Terengganu (USWa) sebagai satu unit tubuh bagi memperkasakan perlibatan wanita dalam pembangunan negeri dan negara.
“Beberapa strategi penerapan budaya ilmu dalam kalangan wanita Terengganu dan penjenamaan Syaidatina Aisyah sebagai ikon wanita Terengganu.
“Mendedahkan dan melengkapkan pelbagai kemahiran untuk meningkatkan taraf hidup wanita, transformasi budaya hidup wanita Terengganu kearah kesejahteraan serta penubuhan Pusat Pembangungan Wanita Terengganu.
“Dan juga strategi melahirkan wanita Terengganu yang berakhlak mulia serta nilai-nilai ketimuran dan integriti yang tinggi,” ujar Maliaman.
Tambah beliau, di peringkat Persekutuan, Jabatan Pembangunan Wanita yang berada di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Masyarakat telah melaksanakan fungsi pembangunan wanita di negeri Terengganu.
“Langkah ini dilaksanakan dengan memperkasakan sasaran kepada golongan wanita B40, ibu tunggal, usahawan wanita, dan pelajar sekolah serta universiti,” kata beliau.
Justeru itu, pelbagai aktiviti telah dijalankan untuk memperkasakan wanita dengan bertujuan agar mereka dapat menjalani kehidupan yang selamat di dunia dan akhirat.
29 Nov 23
155
TADC, MCT Meterai Perjanjian Bangunkan Rimbunan Kasih
Kuala Terengganu, 29 November - Jabatan Pertanian Terengganu, Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) dan MCT Agriculture Sdn BHd (MCTA) menandatangani perjanjian bagi Projek Rimbunan Kasih Rantau Abang, Dungun di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato' Tun Faisal Tun Abdul Razak dan Pegawai Daerah Dungun Jusman Ibrahim menyaksikan perjanjian tersebut.
Dr Azman berkata, Projek Rimbunan Kasih Rantau Abang merupakan projek pertanian di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Iris Corp Sdn Bhd (Iris) di atas tanah seluas 22.8 hektar dengan kemudahan 100 unit kediaman, 26 unit sistem perlindungan hujan dan 400 unit tangki perikanan.
Menurutnya projek tersebut bermula pada tahun 2015 dan telah ditamatkan pengoperasiannya pada tahun 2018.
Bagaimana pun jelasnya kerajaan negeri bertungkus lumus memulihkan semula projek tersebut pada tahun 2020.
"Satu Jawatankuasa Khas telah diwujudkan pada tahun 2020 dan melalui jawatankuasa tersebut, TADC telah dilantik sebagai operator untuk mengoperasikan projek pertanian di kawasan tersebut," ujarnya.
TADC katanya berkolaborasi dengan syarikat MCTA dalam pembangunan sektor pertanian dan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu sebagai rujukan bagi khidmat teknikal.
"Bagi Fasa pertama (Fasa 1), projek tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) secara fertigasi dibangunkan.
"Sebanykan RM3 juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih semula semua fasaliti di tapak," jelasnya lagi.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata pengeluaran MMT yang berjaya dihasilkan adalah sebanyak 15 matrik tan sebulan.
"Projek itu menjana seramai 25 orang pekerja pelbagai peringkat dan majoriti daripada mereka merupakan penduduk tempatan dari daerah Dungun dengan pendapatan sebanyak RM2,400 sebulan," ujarnya.
Projek itu akan dikembangkan perluasannya ke Fasa kedua (Fasa 2) dengan membangunkan sistem loT serta pembinaan 54 unit sistem perlindungan hujan (SPH) yang baru di atas tanah berkeluasan 30 ekar.
"Anggaran pelaburan yang terlibat adalah sebanyak RM33 juta dan anggaran pengeluaran hasil pula dijangka sebanyak 63 matrik tan sebulan dengan nilai RM441,000 sebulan," jelas beliau.
Selain itu katanya pembangunan Fasa 2 tersebut dijangka mampu menjana 60 peluang pekerjaan baharu merangkumi pelbagai peringkat dalam tempoh 20 tahun bermula dari tahun 2020 hingga 2043.
"Ladang itu mendapat persijilan myGAP pada tahun 2021 dan hasil pengeluaran dengan jenama Farmego juga dieksport ke Singapura dan Hong Kong," ujar lagi.
29 Nov 23
413
Terengganu Berpotensi Terima Pelancong Lebih Ramai
KUALA TERENGGANU, 28 November- Terengganu berpotensi menerima lebih ramai pelancong dalam tempoh Monsun Timur Laut (MTL) melalui pengecualian visa selama 30 hari kepada pelancong dari China dan India bermula 1 Disember ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, pengumuman itu disambut baik dan Terengganu bersedia menerima peningkatan jumlah pelancong ke negeri ini pada bila-bila masa.
"Ia dilihat berupaya mengubah persepsi pelancong yang sebelum ini melihat Terengganu tidak sesuai dikunjungi pada musim tengkujuh.
"Disebabkan bulan Disember musim tengkujuh di Terengganu dan persepsi pengunjung tidak sesuai untuk mereka ke sini pada waktu ini. Namun sebenarnya, kedatangan pelancong ke Terengganu sangat diperlukan ketika ini.
"Jadi, kita minta kerajaan persekutuan untuk promosikan juga musim tengkujuh dan (MTL) di Terengganu untuk dikunjungi oleh pelancong, " katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Katanya, kebanyakan pengusaha resort di pulau-pulau memutuskan untuk tidak beroperasi musim ini atas faktor keselamatan.
Bagaimanapun, katanya, terdapat pelbagai lagi destinasi menarik yang boleh dikunjungi oleh pelancong di Terengganu.
"Musim tengkujuh ini di laut sahaja dan di darat kita ada homestay dan macam-macam lagi untuk ditawarkan kepada pelancong seperti di Tasik Kenyir dan Setiu Wetland.
"Setiu Wetland juga ketika ini sedang menawarkan pakej 'Main Hujang' atau mandi hujan sehingga Februari tahun depan khusus untuk pengisian semasa musim monsun ini.
"Kedua-dua destinasi ini adalah amat sesuai untuk dilawati orang luar pada musim tengkujuh. Tasik Kenyir misalnya ada houseboat dan ia sesuai untuk pencinta dunia memancing sebab ketika ini ikan-ikan di sana 'galak' dan saya pasti ianya amat mengujakan para pemancing," katanya.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim ketika ucapan penggulungan pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2023 di Putrajaya mengumumkan pengecualian visa buat pelancong dari China dan India ke Malaysia.
Sebelum ini, negara-negara teluk seperti Arab Saudi, Bahrain, Kuwait dan Oman serta lapan lagi negara ASEAN turut dibenarkan lawatan bagi tujuan sosial, melancong dan perniagaan sehingga 30 hari.
28 Nov 23
220
Pelancongan Wadah Dakwah Terbaik Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November- Kerajaan negeri perlu mengambil peluang peningkatan pelancong ke negeri itu untu menjadikan sektor berkenaan sebagai wadah atau medan menjelaskan keindahan Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, slogan indah hidup bersyariat perlu diadun dalam merencana dan membangun aktiviti pelancongan di negeri tersebut.
"Sudah sedia maklum, negeri ini meletakkan imej islam sebagai rukun dalam pentadbiran negeri, justeru segala etika dan lunas perlulah terkait dengan dasar ini, bukan berkiblatkan laba semata-mata.
"Lantas, usaha menjadikan pelancongan sebagai salah satu wadah dakwah adalah satu pelunag yang diambil serius semua pihak.
"Segenap pihak perlu memainkan peranan sewajarnya tanpa menunggu disuruh, diarah bagi memastikan hasrat kerajaan negeri untuk melihat syariat Islam berdaulat di negeri ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.
Sebagai rekod, sektor pelancongan mencatatkan peningkatan ketara dengan kehadiran pelawat domestik sebanyak 175 peratus iaitu 10.23 juta orang berbanding 3.7 juta pada tahun 2021.
Sementara itu, bilangan pelancong asing meningkat daripada 1.14 juta kepada 3.69 juta dengan peningkatan 223.7 peratus.
28 Nov 23
140
Peratusan Keluar Mengundi PRK Kemaman Dijangka Tidak Lebih 80 Peratus
KUALA TERENGGANU, 28 November- Peratusan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman Sabtu ini dijangka tidak melebihi 80 peratus.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Terengganu, Dato' Razali Idris berkata, jumlah itu dilihat tidak banyak berbeza berbanding peratusan keluar mengundi yang direkodkan di kawasan itu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
"Saya jangka peratusan pengundi keluar mengundi tidak berubah tapi tidak lebih 80 peratus. Kita jangka ia kurang 80 peratus tetapi undian kita insya-Allah akan kekal, cuma kita nak pastikan pengundi yang tinggal di luar Parlimen Kemaman pulang mengundi.
"Kita sedang berusaha untuk pastikan mereka balik dan kita ramal berlaku pertambahan undian sekali gus mencapai sasaran kita majoriti 30,000, "katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Menyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Terengganu Ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Menurut Razali, jentera pilihan raya Perikatan Nasional (PN) telah bersiap siaga dengan semua kemungkinan yang akan berlaku disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu kerana Monsun Timur Laut (MTL) yang melanda Terengganu ketika ini.
"Kita doakan agar keadaan cuaca pada hari mengundi baik dan tidak hujan. Kalau hujan kita bersedia dengan pengangkutan jentera kita, kita telah kenalpasti mana-man pengundi yang terkesan dengan banjir.
"Persiapan di PPS (pusat pemindahan sementara) pun begitu hebat dan memuaskan. Saya telah melihat keseluruhan (persialan) terutama di DUN (Dewan Undangan Negeri) saya (DUN Kijal) semua PPS bersiap siaga dan jentera kita pun dah siap sedia untuk mengangkut mangsa-mangsa banjir yang juga pemilih, "katanya.
PRK Kemaman menyaksikan Pas mempertaruhkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu untuk menentang calon Barisan Nasional (BN) iaitu bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.
28 Nov 23
163
Adakan Munajat Agar PM Kembalikan Royalti Terengganu
KUALA TERENGGANU, 28 November - Rakyat negeri ini diseru mengadakan munajat dengan melakukan solat hajat dan berdoa agar Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim dilembutkan hati sekali gus memulangkan kembali hak royalti petroleum.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat mencadangkan perkara berkenaan dilakukan oleh rakyat negeri ini dan turut bersetuju jika diadakan satu Himpunan Munajat Perdana bagi memastikan hasil petroleum itu dikembalikan.
Di samping kerajaan negeri dipimpin Menteri Besar, Dato' Seri Ahmar Samsuri Mokhtar terus berusaha melakukan rundingan secara diplomasi dengan kepimpinan Kerajaaan Persekutuan.
"Saya percaya ini adalah cara yang terbaik kerana sebagai sebuah negara yang baik memiliki persefahaman antara kerajaan negeri dan pusat.
"Rakyat telah membuat keputusan untuk memilih ADUN (daripada PN-PAS) yang ada di dalam dewan ini, sudah tentu sewajarnya hasil negeri ini diberikan untuk memastikan perbelanjaan yang terbaik untuk rakyat.
"Tidak sepatutnya diambil untuk diurus tadbir melalui agensi pusat yang sebelum ini kecil tetapi sengaja dibesarkan (peranan) dan ini merupakan satu pengkhianatan amanah terhadap rakyat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi Perbahasan Ke Atas Enakmen Perbekalan pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke-15 (Bajet), di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Mengulas lebih lanjut mengenai majlis munajat bagi menuntut royalti, katanya doa merupakan senjata muslim yang dengannya boleh melembutkan hati manusia asalkan isi kandungannya adalah baik.
"Jadi tidak mustahil kalau seluruh rakyat Terengganu setiap kali sembahyang berdoa supaya Allah SWT buka pintu hati pemimpin kita, buka pintu-pintu hati Ahli Parlimen.
"Mungkin suatu masa kalau majoriti Ahli Parlimen kita meminta agar diberikan kebebasan mentadbir negeri dengan hasil bumi sendiri tidak mustali Perdana Menteri akur dan mengikut kehendak majoriti," katanya.
Terdahulu, ADUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail mencadangkan agar suatu Majlis Munajat Perdana diadakan khusus bagi melembutkan hati pemimpin untuk mengembalikan semula hak royalti Terengganu dengan kadar hasil yang sepatutnya diterima mengikut harga pasaran semasa bahan mentah itu.
28 Nov 23
268
PRK Kemaman : Polis Terima 6 Laporan
KUALA TERENGGANU, 28 November - Polis menerima enam laporan sepanjang kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, dan sebanyak lima kertas siasatan dibuka berkaitannya sepanjang 10 hari kempen berlangsung.
Ketua Polis Terengganu, Datuk Mazli Mazlan berkata, laporan pertama diterima polis pada 26 November pada 6.33 petang berkaitan hidangan makan malam yang disediakan secara percuma.
"Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Pilihan Raya (APR) 1954.
"Pada hari yang sama, satu lagi laporan polis dibuat pada 7.38 malam. Dalam laporan itu, pengadu mendapati pemberian makan dan cabutan bertuah ketika program yang berlangsung di buah restoran di Kemaman, kes disiasat mengikut Seksyen 8 APR 1954.
"Pada 7.24 malam hari yang sama, satu lagi laporan polis diterima polis membabitkan aduan menghidangkan makanan percuma yang juga disiasat mengikut APR 1954," katanya melalui satu kenyataan di sini, hari ini.
Tambah beliau, laporan seterusnya dibuat pada 7 malam 27 November lalu membabitkan kenyataan fitnah terhadap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan kes disiasat mengikut Seksyen 4 (A) APR 1954.
Katanya, satu lagi laporan dibuat membabitkan kes tidak puas hati terhadap seorang ahli politik dari Kemaman yang berebut kerusi ketika bergambar.
"Kes berkenaan sudah dirujuk kepada Majistret (atas budi bicara) dan kesemua laporan polis berkenaan di buat di Balai Polis Chukai,"ujarnya.
Sementara itu, beliau berkata bagi permohonan permit ceramah pula terdapat sebanyak 45 permohonan diluluskan bagi tempoh 18 hingga kelmarin.
Menurut Mazli lagi, pihaknya akan terus memantau aktiviti-aktiviti kempen calon dan parti-parti bertanding dalam PRK Kemaman itu.
"Ini termasuklah dengan tindakan pro aktif yang dijalankan dengan mensasarkan lawatan-lawatan ke markas-markas parti bertanding," ujarnya.
28 Nov 23
260