lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Kerajaan Laksana Enam Langkah Tingkat Peluang Kerja Buat Belia
Kerajaan Laksana Enam Langkah Tingkat Peluang Kerja Buat Belia
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Negeri melaksanakan enam langkah sebagai usaha untuk meningkatkan peluang pekerjaan kepada generasi muda terutamanya di daerah Besut. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, langkah itu antaranya mengemaskan penyebaran maklumat atau akses kepada peluang pekerjaan yang sesuai dengan kemahiran dan minat mereka. "Memberi fokus kepada usaha penempatan pekerjaan dalam peluang pekerjaan yang ditawarkan. "Melaksanakan program pemadanan pekerjaan di peringkat Daerah melalui program Karnival Kerjaya, siri Outreach Kesejahteraan Pekerjaan Rakyat di daerah. "Pembaikan program yang dijalankan secara bersasar bagi meningkatkan keberkesanan mencapai golongan sasaran, seperti dalam bidang TVET dan bagi golongan muda," jelasnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada semalam. Oleh itu, katanya, bagi membantu meningkatkan kebolehpasaran kerja, kerajaan negeri sedang merancang untuk meningkatkan tahap kemahiran rakyat yang sedang bekerja tanpa perlu melalui program latihan formal. "Menggalakkan pekerja dalam Sektor Tidak Formal (Gig) supaya menyertai pekerjaan sepenuh masa. "Meningkatkan tahap kemahiran rakyat yang sedang bekerja tanpa perlu melalui program latihan formal seperti Program Persijilan.  "Rakyat melalui kaedah Pengiktirafan Pencapaian Terdahulu (PPT)," ujarnya. Beliau menambah, sebanyak enam program pemadanan pekerjaan telah dilaksanakan di daerah Besut dalam tempoh tahun 2023 sehingga Mac 2024.
25 Apr 24
338
LPT3 : Terengganu Tunggu Repons Kerajaan Persekutuan
LPT3 : Terengganu Tunggu Repons Kerajaan Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 25 April - "Setakat ini, Jabatan Kerja Raya mengambil maklum berkenaan perancangan untuk pembinaan LPT3 dan menunggu keputusan Kerajaan Persekutuan untuk melaksanakannya, " ujar Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat. Beliau memaklumkan demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Riduan Mohamad Nor yang ingin tahu apakah usaha Kerajaan Negeri untuk lanjutan pembinaan LPT3 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini. Menurut beliau, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaksanaan kerja awalan bagi lebuh raya pantai timur (LPT3) dengan kos RM35 juta. "Skop kerja awalan yang terlibat adalah light detection and ranging (lidar survey), ground survey, soil investigation, environmental impact assessment (EIA) study, social impact assessment dan traffic study. "Kerja awalan ini telah siap pada Disember 2021," ujarnya. Katanya, pembentangan penuh laporan kerja awalan termasuk penentuan jajaran jalan yang muktamad dan anggaran kos projek kepada agensi pusat telah dibentangkan pada pertengahan 2022 untuk mendapatkan hala tuju dan seterusnya kelulusan pelaksanaan projek. Hanafiah berkata, pembinaan LPT3 melibatkan anggaran jarak laluan sejauh 122 kilometer (km) bermula di Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu dan tamat di Tunjong, Kota Baharu.
25 Apr 24
4945
Pembersihan Sampah di Aidilfitri Terima Respon Positif
Pembersihan Sampah di Aidilfitri Terima Respon Positif
KUALA TERENGGANU, 25 April - Pujian-pujian yang meluas di platform sosial, khususnya di Facebook, baru-baru ini menunjukkan kejayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dalam menjaga kebersihan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, para perantau yang pulang berhari raya memberikan penilaian positif terhadap tahap kebersihan tempat tersebut,  menyebabkan pengakuan terhadap kecemerlangan Exco dan seluruh PBT. "Saya ingin menyentuh tentang Titah Tuanku berhubung dengan peruntukan sebanyak RM78.9 juta kepada PBT untuk membiayai 97 zon kawasan perkhidmatan pembersihan awam dan kutipan sisa pepejal.  "Kita berharap peruntukan seperti ini akan terus dimanfaatkan oleh semua PBT memastikan kualiti kebersihan di tahap yang optimum sekaligus menarik kedatangan pelancong," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, pada semalam. Oleh itu, beliau turut mengucapkan tahniah kepada semua pihak yang berjaya menjaga kebersihan negeri ini. "Tanggungjawab menjaga kebersihan ini bukan sahaja terpikul ataupun terbeban di bahu pihak berkuasa PBT atau pemerintah sahaja. "Bahkan rakyat dan kita semua bertanggungjawab sebagai ejen kebersihan," tambah beliau.
25 Apr 24
130
Hadiah Cabutan Bertuah Menanti Pembayar Zakat Bulanan
Hadiah Cabutan Bertuah Menanti Pembayar Zakat Bulanan
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri melalui Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) menyediakan hadiah cabutan bertuah kepada pembayar zakat secara bulanan dalam kalangan rakyat negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata insentif yang menarik itu merupakan usaha kerajaan negeri bagi menggalakkan rakyat melakukan pembayaran zakat. "Selain itu, pemberian wakalah juga akan diberikan kepada pembayar zakat individu, perniagaan dan majikan untuk pengagihan sendiri kepada asnaf yang dikenalpasti (layak menerima bantuan). "Antara kemudahan lain yang disediakan oleh MAIDAM ialah mewujudkan Skim Khairat Kematian (Skim Al Hanan) kepada waris pembayar zakat yang telah meninggal dunia," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Ke Atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke -15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada semalam. Dalam pada itu, Khalil berkata bagi zakat galian, MAIDAM menerima bayaran melibatkan pembayar inidividu dalam skala kecil sahaja. "Berkait isu zakat petroleum, zakat galian ke atas minyak tidak dikenakan zakat kerana ia merupakan hasil kerajaan," ujarnya. Tegasnya, selama ini pihak MAIDAM sentiasa memperhebatkan usaha dakwah dalam mengalakkan orang Islam membayar zakat dengan mempergiatkan aktiviti dakwah secara bersemuka dan melalui platform media sosial. "Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti taklimat, lawatan ke premis-premis perniagaan serta mengadakan perjumpaan secara individu dengan peniaga dan usahawan selain memberi peringatan melalui teks khutbah," ujarnya.
25 Apr 24
220
Bekalan Air Bersih di Marang Terjamin
Bekalan Air Bersih di Marang Terjamin
KUALA TERENGGANU, 24 April – Kerajaan Negeri komited dalam memastikan bekalan air bersih yang mencukupi bagi penduduk di Marang dan sekitarnya.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, dengan tegas menyatakan bahawa pembangunan bekalan air bersih yang telah siap sepenuhnya di kawasan tersebut adalah bukti jelas komitmen Kerajaan Terengganu dalam meningkatkan kualiti hidup rakyatnya. “Setiap rakyat Terengganu hendaklah diberi peluang, dilayan dengan adil dan dihormati atas nilai-nilai dan kepercayaan mereka. “Dengan adanya akses yang lebih baik air bersih, penduduk Marang dan sekitarnya dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti serta meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan keluarga,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman semalam. Tambah Sulaiman, kejayaan ini tidak tercapai tanpa kerjasama dan sokongan pelbagai pihak termasuk kakitangan kerajaan, agensi yang berkaitan dan masyarakat setempat. “Semangat yang inginkan kejayaan dihayati oleh semua pihak adalah kunci kepada kejayaan pembangunan ini. “Terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana telah memberi keutamaan kepada keperluan asas rakyat,” ujarnya. Beliau berharap usaha ini dapat diteruskan bersama untuk kebaikan bersama sekali gus menjadi contoh teladan dalam menyediakan perkhidmatan berkualiti kepada rakyat.                  
24 Apr 24
154
Insentif Galakkan Bayar Zakat
Insentif Galakkan Bayar Zakat
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Negeri Terengganu menerusi Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sentiasa memperhebat usaha dakwah dalam menggalakkan orang Islam membayar zakat antaranya menyediakan pelbagai insentif.  Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menjelaskan institusi yang bertanggungjawab dalam urusan zakat itu menyediakan kemudahan-kemudahan serta insentif yang menarik.  "Antaranya pemberian wakalah kepada pembayar zakat individu, perniagaan dan majikan untuk pengagihan sendiri kepada asnaf yang dikenal pasti, cabutan bertuah kepada pembayar potongan zakat bulanan dan Skim Khairat Kematian (Skim Al-Hanan) kepada waris pembayar zakat yang telah meninggal dunia, " ujarnya.  Dr. Khalil berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Rakit, Shaifizi Ismail dalam Mesyuarat Pertama Penggal Kedua di Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu kali ke-15, di sini semalam.    Menurut Khalil, MAIDAM turut mempergiatkan aktiviti dakwah secara bersemuka serta melalui hebahan cetakan dan media sosial.  "Antara aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti taklimat, lawatan premis-premis perniagaan serta mengadakan perjumpaan secara individu dengan peniaga atau usahawan selain melalui teks khutbah.  "Bagi zakat galian pula, MAIDAM ada melaksanakan zakat galian yang mana setakat ini menerima bayaran melibatkan pembayar individu dan dalam skala kecil sahaja.  "Berkait isu zakat petroleum, zakat galian keatas minyak tidak dikenakan zakat kerana ianya merupakan hasil kerajaan, " jelasnya lagi.
24 Apr 24
66
Penubuhan JPKKP Persenda Rakyat
Penubuhan JPKKP Persenda Rakyat
KUALA TERENGGANU, 24 April - Idea-idea yang dikeluarkan oleh wakil Kerajaan Persekutuan hari ini mengenai penubuhan jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) telah menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk serta dianggap mempersendakan gaya hidup rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, rakyat turut menyuarakan rasa kecewa terhadap kerajaan persekutuan kerana dianggap tidak peka terhadap keperluan serta aspirasi rakyat. "Kerajaan PH BN telah mewujudkan pengasingan pengurusan di peringkat kampung dengan menubuhkan pengurusan baru iaitu JPKKP.  "Di peringkat Kerajaan Negeri, telah lama wujudnya JPKK lantikan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dapat dijaga dengan baik serta objektif tersebut tercapai," jelasnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada hari ini. Hanafiah turut menyoal, mengapa perlu ada dua entiti untuk satu tujuan dan matlamat yang sama. "Ini merupakan satu elemen dan anasir luar serta persepsi bagi memecah belahkan keharmonian hidup rakyat.  "Sebagaimana kita semua tahu, kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit akibat peningkatan kos sara diri yang kian meningkat," tambah Hanafiah lagi.
24 Apr 24
5621
Munajat Rakyat Kembalikan Royalti Akan Diteruskan
Munajat Rakyat Kembalikan Royalti Akan Diteruskan
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri akan meneruskan kembali program 'Munajat Rakyat Terengganu Kembalikan Royalti' setelah ia ditangguhkan pada Ramadan yang lalu. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, munajat itu merupakan usaha daripada pihak kerajaan yang tidak pernah berputus asa melakukan pelbagai cara bagi memastikan hak rakyat itu dikembalikan semula. Tegasnya, semua pihak perlu menyedari bahawa doa orang zalim tiada hijab (penghalang) antaranya dengan Allah SWT. "Insya-Allah, bila tiba masanya kita akan buat. Status kita pada ketika ini seumpama kereta yang duduk (berhenti) di lampu isyarat merah sebab tidak diberi laluan untuk berjalan. "Tetapi enjin tidak mati, insya-Allah bila tiba masa kita akan buat solat hajat bersama-sama," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkenaan program solat hajat secara berjemaah itu setelah ia ditangguhkan sebelum ini pada sesi penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN), di Wisma Darul Iman, di sini. Sementara menunggu tarikh baru pelaksanaan munajat perdana itu, Khalil berkata setiap rakyat Terengganu pada ketika ini bolehlah melazimi solat hajat secara bersendirian di atas kesedaran dalam diri masing-masing bahawa itu merupakan hak rakyat yang telah dinafikan secara zalim. "Menafikan hak petroleum Terengganu merupakan perkara yang paling zalim dan melanggar demokrasi, pelanggaran ini sangat serius jika tidak dibendung dan diperbetulkan kelak akan menghakis dan meruntuhkan nilai-nilai demokrasi dalam negara. "Dalam konteks ini ialah konsep federalisme dalam hubungan (Kerajaan Perseketuan) dengan negeri, zalim bukan sahaja disandarkan (dikaitkan) dengan pemerintahan 'dictatorship' bahkan pemerintahan demokrasi juga dikira zalim sekiraya meletakkan sesuatu tidak kena pada tempatnya. "Mereka beralasan mahu beri (royalti minyak) secara 'direct' kepada rakyat, jika begitu kenapa perlu diadakan pilihanraya? bukankah rakyat Terengganu telah memberi menberi mandat kepada (PAS) Perikatan Nasional untuk mentadbir negeri Terengganu, jelas ini satu pengkhianatan ke atas mandat rakyat," ujarnya.
24 Apr 24
124
Wujudkan Tukun Tiruan Garis Sempadan
Wujudkan Tukun Tiruan Garis Sempadan
KUALA TERENGGANU, 24 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof menyarankan kerajaan agar menekuni titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin agar program pembangunan tukun bergerak ke fasa mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu. "Saya juga suka untuk menasihatkan kerajaan agar menekuni hasrat Tuanku Sultan yang menitahkan projek program pembangunan tukun ini bergerak ke fasa seterusnya iaitu ke arah mewujudkan tukun tiruan garis sempadan dan pesisir pantai perairan Terengganu," katanya ketika membahas Titah Ucapan Ke bawah Duli Sultan Mizan dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke-15 di sini hari ini. Katanya dalam industri perikanan Terengganu, kejayaan dapat dilihat dari pendaratan ikan marin yang begitu ketara, hasil dari rintisan projek pembinaan tukun tiruan di perairan negeri.. Di samping itu menurutnya, dengan penobatan daerah Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Terengganu, kesan langsung dari inisiatif ini dapat dirasai oleh rakyat tempatan di daerah tersebut. Beliau juga menyentuh penyeludupan ternakan luar ke negeri Terengganu melalui Setiu yang telah merosakkan harga pasaran ternakan tempatan sekali gus menyebabkan jangkitan penyakit kepada ternakan berkenaan. Katanya, memandangkan daerah Setiu agak dekat dengan sempadan Malaysia-Thailand, ia memberi peluang kepada penyeludup ternakan luar ke negeri Terengganu. "Perkara ini bukan sahaja telah merosakkan harga pasaran ternakan, bahkan lebih teruk daripada itu telah memudaratkan ternakan tempatan yang menerima tempias jangkitan penyakit yang dibawa oleh ternakan seludup. "Oleh itu Langkap amat berharap kerajan negeri mengambil perhatian serius mengenai perkara ini,"ujarnya..
24 Apr 24
156
Kerajaan Persekutuan Digesa Matang Dalam Mentadbir
Kerajaan Persekutuan Digesa Matang Dalam Mentadbir
KUALA TERENGGANU, 24 April - Kerajaan Persekutuan digesa agar menunjukkan kematangan yang lebih tinggi dalam mentadbir negara, dengan mengutamakan kepentingan rakyat melebihi pertikaian politik tidak berfaedah. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, tindakan seperti membakar kelambu kerana nyamuk hanya akan membuang masa dan sumber yang boleh digunakan untuk perkara lebih penting. "Kerajaan Persekutuan sepatutnya menjadi lebih matang dalam sektor mentadbir negara di mana fahaman politik perlulah diketepikan. "Rakyat telah memilih dan hormatilah keputusan rakyat dan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) P040 yang lepas juga iaitu di Kemaman, rakyat Terengganu telah menghantar isyarat jelas. "Di mana rakyat telah memberikan kepercayaan penuh kepada pemerintahan PAS di Terengganu khususnya dan Perikatan Nasional (PN) amnya bagi mentadbir negeri ini dengan Keputusan 40-0," jelasnya. Beliau berkata demikian pada sesi Penggulungan Ke Atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke -15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada hari ini. Oleh itu, beliau berharap Kerajaan Negeri berusaha segala upaya untuk memastikan royalti minyak, iaitu hak rakyat, dikembalikan kepada rakyat dan Kerajaan Negeri Terengganu. "Kerajaan Negeri sentiasa memberikan kerjasama yang erat dengan agensi Kerajaan Persekutuan di peringkat negeri. "Namun demi kepentingan rakyat dan kelancaran memacu kerancakan pembangunan negeri, permintaan royalti minyak oleh Kerajaan Negeri dijadikan satu alasan kerjasama ini terganggu," katanya.  Justeru itu, beliau menyeru agar hubungan dengan kerajaan pusat perlu diperkasakan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri.
24 Apr 24
184