Artikel "Semasa" Terkini
Tiada UPSR, Pelajar Tak Minat Belajar
KUALA TERENGGANU, 28 April - Ketiadaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) telah mengakibatkan kurangnya minat pelajar dalam memahami dan menyerap ilmu dalam subjek-subjek akademik.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, keputusan Kementerian Pendidikan Malaysia memansuhkan UPSR mulai tahun 2021 telah menimbulkan kebimbangan di kalangan pelajar dan ibu bapa.
"Kita pernah bangkitkan dalam mesyuarat peringkat Menteri Pendidikan dan ini persoalan yang dibangkitkan oleh semua negeri.
"Bila berlaku tidak ada peperiksaan pelajar tidak mengambil cakna dalam memberi kekuasan dalam mata pelajaran yang sedia ada.
Kita nak melihat sejauh mana pelajar menguasai mata pelajaran yang kita tawarkan," jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Menurutnya, tahun 2024 merupakan tahun pertama diadakan UPSRi di Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI).
"Tahun ini tahun pertama kita bermula UPSRi untuk melihat prestasi pelajar.
"Kita buat saringan untuk sambung pengajian peringkat Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI).
"Tapi setakat ini kita lihat menjadi kesukaran (apabila UPSR dimansuhkan) dalam pemilihan pelajar untuk masuk IMTIAZ ataupun sekolah di bawah Jabatan Pendidikan Negeri dan mereka telah melihat keputusan Ujian Penilaian Kelas Kafa (UPKK)," ujarnya.
Beliau menambah, di Terengganu setakat ini, pelajar dalam beberapa ujian peperiksaan seperti SPM, STAM, dan sebagainya telah menunjukkan peningkatan yang memberangsangkan keseluruhannya, di mana pencapaian negeri setiap tahun mengatasi di peringkat kebangsaan.
"Berusaha untuk mencapai pencapaian keseluruhan bagi meningkatkan pencapaian dari peratus lulus ataupun layak memiliki sijil serta cuba untuk meminimakan peratus kegagalan.
"Itulah yang menjadi hasrat kita supaya mencapai 100 peratus lulus semuanya
"Apapun kita juga mengambil kira dan berusaha untuk mencapai peratus ataupun gred purata yang lebih baik daripada satu tahun ke satu tahun dan contohnya dalam pencapaian SPM bermula 2018 sehingga 2023," katanya.
Untuk rekod jelas beliau, pada tahun 2018 gred purata bagi negeri adalah 4.90, 4.69 (2019), 4.55 (2020), 4.72 (2021) dan 4.59 (2022).
"Gred purata yang menunjukkan prestasi keseluruhan semakin baik dan kita mengunjurkan pencapaian SPM 2023 lebih baik berbanding tahun 2022.
"Begitu juga pencapaian STPM yang kita melihat nilaian ndk semakin baik. Pada 2018, 2.99, 2019, 3.02, 2020, 3.03, 2021, 3.03 dan 2022, 3.04," katanya.
"Kita melihat Terengganu muncul satu-satu negeri yang mencapai PNGK 3.0 ke atas sejak tahun 2019," katanya.
28 Apr 24
384
Kaedah Bayaran Royalti Pelik Bebankan Kerajaan, Penjawat Awam
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Terengganu menyifatkan kaedah baharu pembayaran royalti petroleum yang ada ketika ini sebagai pelik, menyusahkan negeri dan membebankan penjawat awam di Putrajaya.
Mengambil satu contoh, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pembayaran berpilih (selective payment) kepada projek pembangunan atau perkhidmatan ini dibayar terus oleh Kerajaan Pusat kepada kontraktor di Negeri walaupun surat setuju terima dan dokumen kontrak adalah antara Kerajaan Negeri dan Kontraktor.
"Tetapi kami akur, kerana itulah pada ketika ini yang boleh menyelesaikan urusan pembayaran-pembayaran yang ada dinyatakan dalam Belanjawan Negeri.
"Kita juga sedar bahawa pelaksanaan kaedah sebegini hanya memberi bebanan kerja baharu kepada pihak Putrajaya dan Negeri, sedangkan semua tahu bahawa akaun kewangan Negeri akan tetap diaudit secara telus oleh jabatan berkaitan.
"Ini dibuktikan dengan dapatan Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) yang menjalankan kajian, mereka mengesahkan Terengganu sebagai kerajaan paling telus membentangkan belanjawan atau pengurusan kewangan berbanding negeri lain di Malaysia, di mana ketelusan tersebut adalah dinilai menerusi ‘Malaysia Open Budget Index’ (MyOBI)," tegas beliau.
Ahmad Samsuri berkata demikian dalam ucapan penggulungan Titah Ucapan Perasmian Ke Bawah Duli Sultan Mizan Zainal Abidin di Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua, Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu ke 15 di sini hari ini.
Menurut beliau, di sebalik bayaran secara pelik itu Kerajaan Persekutuan masih berhutang royalti petroleum dengan Terengganu sekurang-kurangnya RM700 juta untuk hasil 2023.
"Kerajaan Persekutuan telah membayar sejumlah RM802.2 juta daripada anggaran asal Kerajaan Negeri sebanyak RM1.52 bilion sebagai terimaan Kerajaan Negeri bagi tahun lalu.
"Daripada jumlah bayaran tersebut sebanyak RM651 juta adalah untuk emolumen, manakala RM109 juta adalah untuk 'deffered dan scheduled payment' (DSP), manakala RM42.1 juta pula adalah bayaran balik hutang Kerajaan Persekutuan," jelasnya.
Katanya lagi, untuk tahun 2024 Kerajaan Negeri menerima bayaran sebanyak RM301.7 juta berbanding anggaran terimaan sebanyak RM762 juta sebagai pemberian pertama tahun ini.
"Ini bererti bayaran tersebut masih kekurangan sebanyak RM461 juta, sehingga pemberian yang kedua pada bulan September nanti," jelasnya lagi.
Tambah Naib Presiden PAS itu, keadaan tersebut menimbulkan gangguan kewangan kepada Kerajaan Negeri secara mengejut kerana hasil petroleum ini adalah hak negeri yang diterima sejak sekian lama dan perancangan telah dibuat.
25 Apr 24
10709
NGO Serah Memo Desak MB Tuntut Kembalikan Royalti
KUALA TERENGGANU, 25 April - Sekretariat menuntut royalti Terengganu bersama dengan wakil ratusan gabungan badan bukan kerajaan (NGO) menyerahkan memorandum kepada Menteri Besar Terengganu hari ini sebagai gesaan supaya Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terus menuntut bayaran royalti (wang ihsan) daripada Kerajaan Persekutuan.
Menurut Ahmad Samsuri, memorandum tersebut adalah manifestasi daripada rasa tidak puas hati terhadap penindasan dan penafian hak yang dilakukan terhadap rakyat negeri ini.
"Pelbagai perkara telah dinyatakan disini tetapi saya belum teliti lagi.
"Insya-Allah kita akan melaksanakan langkah-langkah seterusnya untuk memastikan royalti Negeri Terengganu dapat kembali ke pangkuan negeri ini. Kita cuba dulu, InsyaAllah, " ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima memorandum yang diserahkan NGO Terengganu selepas persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Ketika disoal sampai bila kerajaan Terengganu hendak berdiplomasi dengan Kerajaan Persekutuan, Ahmad Samsuri berkata, setiap langkah mesti memerlukan strategi.
"Macam kita hendak naik atas rumah, kita tidak terus melompat atas rumah, ada tangga dia. Naik atas rumah pun buka tingkap dulu, pergi ke dapur tengok suasana dalam rumah, jadi panjang lagi perjalanan.
"Pun begitu saya rasa macam yang saya sebutkan sebelum-sebelum ini pun bahawa perkara seperti ini bukan sahaja tidak menyenangkan kerajaan negeri bahkan mendatangkan kesukaran kepada kerajaan pusat kerana terpaksa meneliti dan melayan desakan-desakan.
"Jadi kenapa tidak dikembalikan kepada keadaan yang asal sebelum ini supaya kita dapat hidup dalam keadaan lebih harmoni, tidak ada gangguan-gangguan yang dianggap oleh kerajaan pusat seperti ini. Dan kerajaan negeri pula dapat mengurus tabdir negeri dengan selesa, itu objektif utama, " jelas beliau.
Katanya, beliau optimis dan akan cuba dengan pelbagai cara termasuk seperti yang disebutkan dalam ucapan penggulungan bahawa kedatangan Perdana Menteri ke Negeri Terengganu untuk raya madani ini akan dimanfaatkan dengan sepenuhnya.
"Saya sentiasa sebut dari dulu sampai sekarang tidak menjadi objektif kita untuk berseteru atau mencari pasal dengan mana-mana pihak.
"Kita cuma hendak urus tadbir negeri dengan tenang dan baik dan memberi manfaat untuk rakyat. Sebarang masalah yang timbul kita akan tangani dengan pelbagai saluran yang ada, " ujarnya.
25 Apr 24
728
Kerajaan Persekutuan Peralat Akta Laut Nafi Royalti Petroleum
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan Persekutuan dilihat telah memperalatkan Akta Laut Wilayah 2012 untuk menafikan pembayaran royalti petroleum kepada Kerajaan Negeri Terengganu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia menjadi antara sebab Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu yang bersidang hari ini meluluskan usul menolak akta tersebut.
Jelasnya, akta berkenaan juga tidak menepati syarat seperti mana yang ditetapkan di dalam Perkara 2 (b) dan Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan.
"Perkara 2 (b) menyatakan bahawa undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu Negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan Negeri itu (yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat oleh Badan Perundangan Negeri itu) dan Majlis Raja-Raja.
"Sementara itu, Perkara 38 (4) Perlembagaan Persekutuan menyatakan bahawa tiada undang-undang yang secara langsung menyentuh keistimewaan, kedudukan, kemuliaan dan kebesaran Raja-Raja boleh diluluskan tanpa persetujuan Majlis Raja-Raja, " ujarnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, tindakan Kerajaan Persekutuan menyatakan negeri hanya berhak terhadap tiga batu nautika sebenarnya telah merampas hak kedaulatan negeri terutamanya yang berkait hasil mahsulnya.
"Ini menafikan hak negeri untuk menerokai sumber dan hasil melalui sempadan maritim negeri sekadar tiga batu nautika (5.5 kilometer) sahaja dari garis air surut wilayah Terengganu.
"Kerajaan Negeri merumuskan, penggubalan Akta ini adalah tidak mengikut perlembagaan dan telah memberikan beberapa implikasi negatif seperti menafikan hak negeri untuk meneroka sumber dan menikmati hasil di dalam kawasan wilayah negeri tersebut serta menyebabkan berlaku percanggahan dan konflik dengan akta-akta lain," ujar beliau.
Justeru tegas Ahmad Samsuri, Kerajaan Negeri dan seluruh rakyat Terengganu menolak Akta Laut Wilayah 2012.
Untuk rekod, negeri pengeluar minyak iaitu Sabah dan Kelantan turut menolak akta ini.
25 Apr 24
2352
Sidang DUN Terengganu Sebulat Suara Tolak Akta Laut
KUALA TERENGGANU, 25 April - Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu hari ini telah menolak Akta Laut Wilayah 2012 yang telah diluluskan pada tahun 2012 (Akta 750) atas asas mendapati Kerajaan Persekutuan mengambil peluang menafikan bayaran tunai petroleum Terengganu.
Usul penolakan terhadap akta dengan menghadkan sempadan setiap perairan negeri kepada tiga batu nautika tersebut dikemukakan oleh Nurkhuzaini Ab Rahman (PAS - Kota Putera) mendapat sokongan semua ahli dewan setelah dibahas oleh empat ahli dewan.
"Saya buka usul untuk disokong dan dipersetujukan. Maka dengan ini usul tersebut diluluskan,” kata Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Datuk Mohd Nor Hamzah.
Ahli Dewan Undangan Negeri Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili yang membahaskan usul berkenaan berkata, Akta 750 tidak boleh berkuatkuasa di mana-mana negeri di Malaysia dan Kerajaan Persekutuan tidak boleh sewenang-wenangnya mengambil alih pemilikan pelantar benua dan wilayah perairan setiap negeri tanpa persetujuan mereka.
“Ini kerana, ketika pembentangan Akta 750, Malaysia bukan lagi terikat di bawah Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu No.7 1969 dan tidak berada dalam keadaan darurat.
“Kita boleh rumuskan bahawa sebelum rang undang-undang seperti Akta 750 dapat dibentangkan dalam Dewan Rakyat atau Dewan Negara, kelulusan setiap negeri hendaklah diperolehi terlebih dahulu,” ujarnya.
Bagi ADUN Permaisuri, Mohd Yusop Majid yang turut sama membahaskan usul tersebut berkata akta itu adalah merupakan satu jawapan bersifat politik yang mengelirukan dan tersasar daripada fakta undang-undang dan sejarah.
"Isu royalti hasil petroleum ini sentiasa dimainkan mengikut musim dan ianya gagal dinokhtahkan secara jelas dan muktamad oleh Kerajaan Persekutuan. Maksud bermusim di sini ialah sekiranya kerajaan negeri diperintah oleh parti pembangkang, yang tidak sealiran dengan Kerajaan Persekutuan, lalu diambil tindakan menafikan pembayaran secara berjadual menurut Perjanjian 22hb Mac 1975 antara Petronas dan Kerajaan Terengganu.
“Oleh itu kita berpendapat bahawa perlu ada kesimbangan kuasa antara persekutuan dan negeri yang melibatkan persempadanan laut wilayah . Kerajaan Persekutuan tidak boleh dilihat terlalu tamak dalam menanda persempadanan laut wilayah negeri-negeri yang akhirnya segala hasil kekayaan sesebuah negeri disakau oleh Kerajaan Persekutuan, manakala kerajaan negeri hanya diberi hasil atas dasar belas ihsan semata-mata seumpama kerajaan negeri terpaksa melukut di tepi gantang, ujarnya.
Tambahnya, sesebuah negeri memerlukan 200 batu nautika atau lebih bagi tujuan kegiatan ekonominya sebagaimana pandangan Tun Salleh Abbas berkenaan Akta Pelanta Benua 1966.
Sementara itu, dua lagi pembahas usul yang terdiri daripada ADUN Bukit Tunggal, Zaharuddin Zahid dan ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat juga bersependapat Akta 750 bertentangan dengan Perkara (2) Perlembagaan Persekutuan dimana menyebut Parlimen boleh melalui Undang-Undang (b) mengubah sempadan mana-mana negeri tetapi undang-undang yang mengubah sempadan sesuatu negeri tidak boleh diluluskan tanpa persetujuan negeri itu yang dinyatakan melalui undang-undang yang dibuat Badan Perundangan Negeri itu dan Majlis Raja-Raja.
25 Apr 24
1293
Zuraida Gesa Pembaikan Cerun Flat Bukit Kecil Disegerakan
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Pembaikan runtuhan cerun berhampiran Flat Bukit Kecil perlu diambil langkah yang segera oleh pihak kerajaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor memohon pembaikan cerun dilaksanakan secepatnya oleh pihak berwajib, bukan sekadar siri lawatan dan tinjauan sahaja.
"Beberapa siri lawatan yang lain juga telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuklah lawatan dari pihak universiti awam untuk melakukan kajian berkaitan pembaikan cerun atau ‘slope repair research’," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, baru-baru ini.
Menurut Zuraida lagi, satu insiden runtuhan cerun telah berlaku pada malam 15 Disember 2022 di sekitar BLOK A, B dan E Flat Bukit Kecil.
"Kejadian yang telah berlaku hampir dua tahun lalu ini melibatkan 87 unit rumah kediaman dengan anggaran jumlah penduduk seramai 348 orang.
"Pada 16 Disember 2022 runtuhan kedua telah berlaku di lokasi yang sama. Runtuhan cerun ini berlaku adalah lanjutan daripada jumlah taburan hujan yang agak tinggi pada masa tersebut.
"Pelbagai agensi telah melawat tempat kejadian bermula pada tarikh 16 Disember 2022 iaitu Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Jabatan Kerja Raya (JKR) , Bomba dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)," ulasnya lagi.
25 Apr 24
219
Pemutihan Jeti Haram Langkah Pendek Majukan Pelancongan Setiu
KUALA TERENGGANU, 25 April - Kerajaan negeri kini dalam proses pemutihan jeti-jeti yang beroperasi tanpa kebenaran pihak berkuasa bagi memastikan pematuhan terutamanya dari aspek keselamatan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata ia merupakan antara rancangan jangka pendek Kerajaan Negeri untuk memajukan industri pelancongan di kawasan pantai dan pulau khususnya di daerah Setiu yang berdepan dengan masalah jeti bot untuk pelancong.
"Manakala rancangan jangka masa panjang adalah termasuk meneroka potensi bagi pengurusan jeti secara bersepadu untuk ke pulau- pulau peranginan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Mohd Yusop Majid (BERSATU-Permaisuri) yang ingin tahu apakah rancangan jangka pendek dan jangka panjang kerajaan negeri untuk memajukan industri pelancongan di kawasan pantai dan pulau khususnya di daerah Setiu yang berdepan dengan masalah jeti bot untuk pelancong-pelancong dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Sementara itu, mengenai isu muara cetek, Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia(JPS) telah melantik perunding dari ZNK Consult Sdn.Bhd bagi menjalankan Kajian Pemuliharaan Muara Sungai Merang, Daerah Setiu.
"Pihak JPS juga telah memohon kelulusan projek dibawah Rancangan Malaysia Ke-12 bagi pemuliharaan Muara Sungai Merang ini .
"Status terkini permohonan tersebut dalam tempoh pendekatan pengurusan nilai, peringkat kejuruteraan nilai dan peringkat semakan nilai yang perlu dilaksanakan oleh Kementerian," tambah beliau.
25 Apr 24
223
PITIH Akan Jadikan Terengganu Hab Pelaburan Hijau
KUALA TERENGGANU, 25 April- Kerajaan negeri merangka Pelan Induk Teknologi Hijau (PITIH) Negeri Terengganu 2024-2030 yang akan menjadikan Terengganu sebagai hab pelaburan hijau.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pelan tersebut dirangka bagi mencapai kelestarian alam sekitar Terengganu melalui kecekapan tenaga dan pengurusan air.
"Selain itu, PITIH juga dapat menjana pendapatan berskala industri kepada rakyat dan negeri menggunakan sumber hijau dan akan eksplorasi sumber hijau baharu Negeri Terengganu.
"Industri tenaga Terengganu juga akan memfokuskan kecekapan tenaga dan pengurusan air, penjanaan hidrogen hijau, pengkormesialan tenaga boleh baharu (TBB), pengurusan & pengkormesialan sisa hijau dan pengurusan karbon (karbon biru)," ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhamad Fakhruddin Tengku Md Fauzi yang ingin tahu perancangan kerajaan negeri untuk menjadikan Terengganu sebagai hab pelaburan hijau pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.
Katanya, Pelan Induk Teknologi Hijau (PITIH) Negeri Terengganu 2024-2030 akan dilancarkan bersama Dasar Pembangunan Pelaburan Perindustrian Negeri Terengganu pada Mei 2024 akan datang.
"Terdapat enam fokus utama dalam PITIH iaitu tenaga, perindustrian, pengangkutan, bangunan, sisa buangan dan air, " ujarnya.
25 Apr 24
1509
Dua Anak Syarikat Majukan Industri Ternakan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 25 April - Sebanyak dua anak syarikat kerajaan negeri (GLC) melibatkan diri dalam memajukan industri penternakan Negeri Terengganu iaitu Ladang Rakyat Terengganu Sdn Bhd (LRT) dan Terengganu Agrotech Development Corporation Sdn Bhd (TADC).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, LRT memulakan industri ternakan lembu pedaging pada tahun 2007 dengan jumlah populasi sebanyak 300 ekor dan jumlah populasi terkini adalah sebanyak 3,534 ekor.
Katanya projek khas pembasmian kemiskinan Negeri Terengganu (PPRT) Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) bermula tahun 2009 dengan populasi sebanyak 161 ekor dan jumlah semasa sebanyak 417 ekor.
"Projek ini menyumbang 50 peratus keuntungan kepada rakyat miskin negeri Terengganu melalui Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan jumlah yang disalurkan sehingga kini ialah RM184,539.38," ujarnya.
Dr Azman berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jertih, Dr Riduan Mohamad Nor dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Ke 15 di sini.
Dr Riduan dalam soalannya ingintahu setakat mana penglibatan GLC negeri dalam memajukan sektor penternakan Negeri Terengganu.
Dr Azman yang juga ADUN Jabi seterusnya berkata LRT juga program Skim Transformasi Usahawan Sektor Ternakan (TRUST) bermula tahun 2011 dengan jumlah populasi ternakan sebanyak 100 ekor dan populasi semasa adalah 362 ekor.
"Serahan sebanyak 100 ekor kepada penternakan-penternakan," katanya.
25 Apr 24
1305
Pusat Pemulihan Dadah Holistik Terima 270 Pelatih
KUALA TERENGGANU, 25 April - Pusat pemulihan dadah secara holistik di Perkampungan Darul Barakah (PDB), Marang telah menerima kemasukan pelatih seramai 270 pelatih mengikut fasa pengambilan bermula Jun 2021 sehingga sekarang.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, daripada jumlah tersebut seramai 48 orang pelatih telah berjaya mengikuti sehingga ke akhir program pemulihan yang telah dilaksanakan.
"Kesemuanya meneruskan program 'aftercare', iaitu telah bekerja dengan masyarakat sekeliling untuk pembentukan ekonomi saradiri dan keluarga.
"Antara pekerjaan yang diteruskan oleh pelatih yang berjaya ialah berdasarkan kemahiran dan pengalaman mereka, dalam bidang pertukangan rumah, perladangan ,pertanian dan pengimpalan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ghazali Sulaiman(PAS-Bukit Besi) yang ingin tahu berkenaan pusat pemulihan dadah secara holistik di bawah Kerajaan Negeri Terengganu dan berapakah bilangan peserta yang telah berjaya dipulihkan di Perkampungan Darul Barakah dan adakah terdapat cadangan penambahan tempat baharu bagi membina perkampungan’ oleh Kerajaan Negeri seperti Perkampungan Darul Barakah
dalam sesi soal lisan di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.
Menjawab tentang penambahan pusat baharu, Dr Muhammad Khalil berkata sehingga kini belum ada cadangan tempat baharu bagi perkampungan oleh Kerajaan Negeri.
"Untuk makluman, tanah PDB masih dalam proses penukaran pemilikan dan dalam proses pembayaran daripada Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) kepada Syankat Sri Miah," ujarnya.
25 Apr 24
285