Artikel "Semasa" Terkini
'Pintu Rumah Negeri Kami Sentiasa Terbuka' - Dr Sam
KUALA NERUS, 12 Mei - "Pintu rumah negeri kami sentiasa terbuka dalam memastikan hubungan yang baik berlangsung antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan demi Kesejahteraan Rakyat," ujar Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Ujarnya, selama ini apa yang diiltizamkan olehnya adalah memastikan hubungan antara kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan bertambah baik.
"Pintu rumah terbuka ini juga adalah gambaran keyakinan kami, bahawa hubunagn antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri seharusnya sentiasa positif dan bertambah baik seperti peribahasa Melayu ; tidak ada kusut yang tidak selesai, tidak ada keruh yang tidak jernih.
"Di masa yang sama, terbukanya rumah besar ini bukan bermakna rumah kami tidak bertuan, apabila sahaja rumah ini dikunjungi dan tetamu berada di depan pintu, maka berikanlah salam, insya-Allah salam akan disambut," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini, baru-baru ini.
Tambah Ahmad Samsuri, berbeza pandangan dan politik adalah lumrah namun matlamat sama di peringkat kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan perlu diutamakan agar rakyat tidak menjadi mangsa.
Namun, katanya perbezaan yang ada juga mesti mengikut garis panduan, kaedah dan adabnya.
"Sasaran, yang dibawa oleh Kerajaan Persekutuan, contohnya untuk menokhtahkan kemiskinan tegar di Malaysia termasuklah di Terengganu, merupakan antara satu hala tuju yang sama digariskan oleh pentadbiran kerajaan negeri.
"Begitu juga persamaan dalam usaha membawa pelabur, meningkatkan kecekapan tatakelola, pentadbiran yang berintegriti, meningkatkan kualiti hidup rakyat dan sebagainya.
"Seharusnya dalam keadaan sebegini, masa dan tumpuan kita dicurahkan pada membincangkan dan melunaskan persamaan ini daripada melebarkan perbezaan yang ada antara negeri dan Persekutuan, apatah lagi perbezaan tersebut adalah perbezaan partisan," katanya.
Justeru beliau yakin jika negara serta negeri ditadbir secara telus maka rakyat akan dapat lebih banyak manfaat.
"Saya yakin, jika kita tulus dan murni hati demi masa depan dan kesejahteraan rakyat secara bersama maka lebih banyak perkara yang dapat kita capai dalam kerangka semangat federalisme," ujarnya.
12 May 24
282
62 'Duyufurrahman' DUN Bukit Tunggal Dirai
Oleh : Muhammad Safwan Syakir Mohd Noor
KUALA NERUS, 12 Mei – Seramai 62 jemaah duyufurrahman (bakal tetamu Allah) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal dirai dalam majlis yang diadakan di Masjid Bukit Kandis Kuala Nerus di sini.
ADUN Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid turut berpeluang hadir bagi menyampaikan sumbangan berbentuk wang tunai serta cenderahati kepada para jemaah tersebut.
Katanya, selamat berangkat kepada insan-insan yang terpilih menjadi tetamu Allah SWT di bumi Mekah bagi menunaikan ibadah Haji pada tahun ini.
“Dalam melaksanakan perintah Allah ini, setiap halangan perlu ditangani dengan penuh sabar dan mengharapkan pertolongan-Nya.
“Bagi yang belum ada rezeki, sama-sama kita berterusan tetapkan niat untuk menjejakkan kaki ke sana bagi melunaskan kewajipan sebagai orang Islam,” katanya ketika majlis berkenaan kelmarin.
Tambah Zaharuddin, semoga segala amal ibadah yang akan dilaksanakan di sana diterima serta diberkati-Nya.
Beliau juga turut menekankan pentingnya menjalankan ibadah haji dengan penuh kesabaran dan kekhusyukan.
Majlis diakhiri dengan solat hajat bersama bagi memohon keberkatan dan diterimanya amalan mereka, di mana suasana kesyukuran dan harapan turut menyertai setiap doa yang dipanjatkan.
“Semoga perjalanan mereka ke Makkah diberkati oleh Allah SWT dan ibadah haji mereka diterima dengan sepenuhnya,” ujarnya.
12 May 24
262
KMI Diiktiraf Sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik Malaysia
KUALA TERENGGANU, 10 Mei- Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMI Healthcare) dinobat sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik di Malaysia pada acara berprestij GlobalHealth Asia-Pacific 2024.
Majlis yang berlangsung di JW Marriott Phuket Resort and Spa baru-baru ini dianjurkan sebagai meraikan kecemerlangan penyedia perkhidmatan kesihatan swasta di rantau Asia Pasifik.
Ketua Pegawai Eksekutif KMI Healthcare, Dr. Rayney Azmi Ali yang menerima anugerah penghargaan tersebut bagi pihak organisasi, merakamkan setinggi penghargaan diatas pengiktirafan KMI Healthcare yang dipilih sebagai antara penyedia perkhidmatan kesihatan swasta terbaik di Malaysia.
Menurut beliau, anugerah GlobalHealth Asia-Pacific bertujuan memberi pengiktirafan kepada hospital-hospital swasta yang secara konsisten membudayakan amalan penjagaan dan perkhidmatan perubatan yang cemerlang dan berdaya maju.
"Pengiktirafan KMI Healthcare sebagai Hospital Pakar Komuniti Terbaik merupakan medium bagi merealisasikan slogannya iaitu ‘Menerajui Kehidupan Sihat’ dan mengukuhkan kedudukannya dalam komuniti setempat sebagai Penyedia Perkhidmatan Kesihatan Pilihan yang Dipercayai," ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, prestasi KMI Healthcare terus cemerlang dalam menyediakan pelbagai perkhidmatan yang bersesuaian dengan keperluan pesakit.
"Beroperasi 24 jam sehari, rangkaian hospital KMI Healthcare menyediakan perkhidmatan mudah akses bagi penjagaan kesihatan yang berterusan.
"Sebagai sebuah Kumpulan rangkaian hospital swasta yang sedang pesat berkembang, KMI Healthcare kini beroperasi di lima buah hospital pakar komuniti iaitu, KMI Kuantan Medical Centre, KMI Kuala Terengganu Medical Centre, KM Taman Desa Medical Centre, KMI Kelana Jaya Medical Centre dan KMI Tawau Medical Centre, " ujarnya.
Tambah beliau, ciri utama pendekatan KMI Healthcare adalah penekanan terhadap keselesaan dan privasi pesakit.
"Hospital yang dibina khas turut menawarkan hanya bilik persendirian bagi tujuan keselesaan pesakit ketika berada di wad sekaligus mengurangkan risiko penularan jangkitan.
"Komitmen KMI Healthcare terhadap pengalaman pesakit juga terserlah melalui penerapan Hospital Mesra Ibadah, yang mengintegrasikan amalan keagamaan dalam aktiviti seharian, memastikan kesejahteraan emosi dan rohani pesakit, " jelasnya.
11 May 24
444
Dr Sam Bawa Keluhan Rakyat di Rumah Terbuka Madani
KUALA NERUS, 10 Mei - Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar membawa keluhan, pandangan dan harapan rakyat di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani peringkat negeri semalam.
Ujarnya, apa jua suara yang dilontarkan rakyat perlu diberikan perhatian oleh semua pihak sama ada pemimpin di peringkat kerajaan negeri mahupun persekutuan.
"Saya rumuskan keluhan rakyat ini dengan kata kunci 'impian kita semua', adalah menjadi impian kita untuk negara dan negeri ini akan terus mencapai kemajuan bertunjangkan keharmonian dan perpaduan antara rakyat yang pelbagai.
"Impian kita, negara dan negeri ini lebih aman dengan menjunjung politik matang yang menoktahkan pengalaman 'Politik MachiaVelli', politik fitnah, politik dendam dan dikriminasi, (juga) impian kita negara ini yang bermula dari Perlis hingga ke Sabah rakyatnya mendapat perhatian yang saksama, tanpa dibaluti warna yang berbeza dan menyisihkan.
"Impian kita, pengalaman dan semangat federalisme yang termaktub kukuh dalam perlembagaan, terus mengakrab dan mempererat, bukan merosak dan menjarak hubungan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2024 yang dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim di Perkarangan Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus, di sini.
Turut hadir, Ketua Setiausaha Negara, Mohd Zuki Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja.
Ahmad Samsuri berkata, adalah menjadi impian setiap rakyat agar pemimpin negara dan negeri saling kuat memperkuat.
"Laksanakan amanah dipundak masing-masing dengan penuh integriti, agar kita semua dipertemukan semula di Syurga-Nya nanti.
"Saya percaya inilah impian kita semua yang perlu kita capai, demi 'Malaysia Sejahtera'," ujarnya.
10 May 24
381
Sultan Mizan Berkenan Nikmati Santapan Bersama Warga Istimewa, Fakir Miskin
KUALA TERENGGANU, 9 Mei- Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan berangkat ke majlis santapan bersama warga istimewa dan fakir miskin sempena sambutan ulang tahun ke-62 hari keputeraan baginda di Istana Syarqiyyah, di sini, hari ini.
Keberangkatan baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah serta Yang Di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin dan paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Hadir sama Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim.
Pada majlis tersebut, baginda turut berkenan menyampaikan sumbangan wang tunai kepada 400 penerima.
Penerima melibatkan 100 asnaf fakir miskin yang berdaftar di bawah Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam), 200 Orang Kelainan Upaya (OKU) bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat dan 100 golongan ibu tunggal bawah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu.
09 May 24
1474
Kenaikan Gaji: Terengganu Tunggu Perincian Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 9 Mei - Kerajaan Terengganu menunggu perincian rasmi daripada kerajaan Persekutuan sebelum mengumumkan pelarasan gaji membabitkan kakitangan awam negeri itu.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menjelaskan, setakat ini kenaikan gaji tersebut hanya diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1 Mei lalu.
"Kita tidak dapat maklumat teliti lagi daripada kerajaan Pusat.
"Kita akan lihat dahulu perincian daripada kerajaan pusat, sebab bercakap tanpa perincian menyukarkan kita membuat tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Perhimpunan Kontinjen SUKMA Terengganu 100 Hari Menjelang SUKMA XXI, Sarawak 2024 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dr. Samsuri memberitahu, kerajaan Terengganu akan melakukan kajian penyelarasan gaji setelah mendapat perincian kenaikan gaji berkenaan.
"Kita tengok dulu (perincian kenaikan gaji), baru kita tengok langkah yang kita akan buat," ujarnya.
Terdahulu, Perdana Menteri mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini.
09 May 24
617
Penghuni ‘Tirai Besi’ Terharu Hasil Tenunan Songket Diiktiraf
MARANG, 8 Mei – “Kami hanya penghuni penjara, tetapi hasil kerja kami diiktiraf dan ia satu penghormatan buat kami,” itu antara luahan salah seorang penghuni tirai besi yang mahir dalam tenunan songket.
Rashid (bukan nama sebenar),33, berkata dia bersyukur dengan anugerah kebolehan menenun yang diberikan Allah dan dalam tempoh tujuh tahun belajar di Bengkel Songket Penjara Marang, dia mampu meraih kemahiran walaupun masih perlu banyak belajar untuk menjadi penenun berkemahiran tinggi.
“Tidak pernah terlintas mahu menceburi bidang tenunan yang lebih sinonim dengan wanita, tetapi saya mula meminati bidang ini selepas empat bulan mempelajarinya.
“Lebih membanggakan apabila songket bernilai ribuan ringgit itu dibeli dan digunakan orang kenamaan,” katanya yang kini sedang menjalani hukuman 15 tahun penjara.
Tambah Rashid lagi, hasil tenunan songketnya pernah menjadi pilihan Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar dan Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Dengan kepercayaan itu membuatkan dia berusaha sedaya upaya menghasilkan produk tenun yang terbaik.
"Bebas nanti saya tidak teragak-agak untuk meneruskan tenunan ini sebagai punca pendapatan berdasarkan permintaan yang sedia ada termasuk sudah mempunyai pelanggan tetap,” ujarnya lagi.
Sementara itu, bagi Karim (bukan nama sebenar),35, yang hanya berbaki hukuman penjara dalam tempoh 10 bulan lagi berkata Penjara Marang kini bukan sekadar tirai besi yang menempatkan banduan, tetapi turut melahirkan tenaga kerja mahir dalam bidang tenunan songket sejak 2004.
“Saya mengambil masa empat tahun untuk menguasai ilmu tenunan songket dengan bantuan kakitangan dan pegawai di penjara ini.
“Saya cukup berbangga dan teruja dengan kepercayaan yang diberikan pelbagai pihak kepada kami walaupun bergelar banduan,” ujarnya.
Katanya, sejak menyertai bengkel tenunan itu, ia mengajar dirinya untuk bersikap sabar yang secara tidak langsung juga mencetuskan rasa keinsafan dan penyesalan terhadap kesalahan yang dilakukan dahulu.
Dia yang mula menjalani hukuman pada 2017 berkata, ilmu kemahiran tenun yang dipelajari di penjara akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk menjalani hari-hari biasa selepas dibebaskan kelak.
08 May 24
266
Songkok Tradisional Mungkin Lenyap
KUALA TERENGGANU, 8 Mei - Satu-satunya pengusaha songkok yang masih mengekalkan pembuatan penutup kepala menggunakan kaedah tradisional bimbang warisan tradisi itu akan lenyap.
Adnan Hussin yang sudah 40 tahun berkecimpung dalam pembuatan songkok berharap kerajaan Negeri Terengganu melakukan sesuatu untuk menarik minat bakat-bakat muda.
"Di samping itu kerajaan boleh mewujudkan galeri kraf di Muzium yang menjadi tumpuan pelancong-pelancong di dalam dan luar negeri.
"Di galeri itu diadakan kelas-kelas jahitan songkok, tenunan songket dan melukis batik Terengganu untuk menarik minat generasi muda kepada seni budaya Terengganu," katanya.
Beliau yang ditemui oleh pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di kedainya di Losong hari ini.
Beliau yang merupakan generasi ketiga pembuat Songkok Warisan mula berkecimpung setelah kematian ayahnya Hussin Mahmud."Saya harap adalah pelapis untuk meneruskan seni jahitan songkok ini," katanya yang menerima tempahan songkok kerabat diraja dan exco-exco kerajaan.
08 May 24
284
ECRL Bakal Lonjak Perkembangan Pelabuhan Kemaman, EPIC
KUALA TERENGGANU, 8 Mei – Anak syarikat kerajaan negeri, EPIC Berhad sedang merancang secara terperinci bagi membesarkan Pelabuhan Kemaman untuk mengeksploitasi potensi yang dibawa oleh Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di kawasan tersebut.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Ts Muhtar Suhaili berkata pembesaran itu dijangka memberikan pelbagai manfaat kepada kawasan sekitar, termasuk peningkatan perdagangan dan peluang ekonomi yang lebih baik.
Katanya, projek jajaran sisihan laluan (spurline) Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah salah satu projek utama EPIC Berhad.
“Landasan keretapi ECRL akan berakhir di dalam Pelabuhan Kemaman. Ini membolehkan kargo-kargo dihantar terus ke pelabuhan dan tiada 'double handling'.
“Faktor ini akan menarik minat pelabur-pelabur yang di sekitar Pelabuhan Kemaman, Terengganu dan negeri-negeri lain untuk menggunakan Pelabuhan Kemaman,” katanya ketika ditemubual Urus Setia Penerangan Darul Iman.
Tambah Muhtar, EPIC juga mempunyai tanah-tanah di sekitar kawasan pelabuhan yang boleh digunakan oleh perniagaan-perniagaan yang akan memanfaatkan perkhidmatan ECRL sepenuhnya.
Menurutnya, pihaknya sedang berbincang dengan pelabur yang berpotensi menggunakan tanah tersebut, termasuk pelabur dari dalam dan luar negara.
“EPIC juga dalam proses menaiktaraf fasiliti-fasiliti dalam Pelabuhan untuk melengkapkan keperluan ECRL seperti pembelian kren-kren baharu yang khusus untuk kontena ECRL, membesarkan kawasan terbuka untuk disewa oleh pengguna ECRL.
“Dengan adanya kren-kren baharu setelah terpasang kesemuanya pada 2026, kapasiti pelabuhan akan ditingkatkan dari 4 juta tan metrik (MT) setahun pada masa kini ke 12 juta tan metrik (MT),” ujarnya.
Muhtar berkata, setelah siapnya projek pembesaran pelabuhan yang dijangka pada tahun 2029, kapasiti pelabuhan akan terus meningkat ke 30 juta tan metrik (MT) setahun.
08 May 24
1143
Sultanah Nur Zahirah Lawat Bengkel Songket di Penjara Marang
MARANG. 7 Mei - Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke Bengkel Songket dan Galeri Pameran Songket di Penjara Marang di sini, hari ini.
Baginda tiba di Kompleks Penjara Marang pada 11 pagi dan meluangkan masa hampir dua jam bagi melihat pameran dan tenunan yang dihasilkan banduan di penjara itu.
Turut berangkat mengiringi baginda, paduka anakanda, Yang Amat Mulia Tengku Puteri Daulath Raja.
Keberangkatan tiba baginda turut diiringi isteri Menteri Besar Terengganu, Toh Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman.
Turut menyambut ketibaan baginda, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Maliaman Kassim dan isteri serta isteri Setiausaha Kerajaan Terengganu,Toh Puan Seri Nor Zaini Abd Latif.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor.
Sultanah Nur Zahirah turut berkenan beramah mesra dengan para banduan yang merupakan penenun songket di bengkel penjara Marang.
07 May 24
213