lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

100 Produk Usahawan Terengganu Terbang ke Indonesia
100 Produk Usahawan Terengganu Terbang ke Indonesia
KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Kerajaan negeri bersama 20 usahawan telah terbang ke Indonesia bagi memasarkan 100 produk yang dikenal pasti memiliki potensi besar untuk dikembangkan dan mendapat sambutan yang baik dari negara republik itu. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, segala produk yang dibawa untuk dipasarkan ke negara terbabit sehingga 16 Mei telah memenuhi syarat persijilan halal serta berkualiti. Katanya, delegasi kerajaan negeri ke Indonesia itu merupakan kesinambungan setelah syarikat dari negara terbabit PT Larra World telah mengadakan kunjungan ke negeri ini. "Sebelum ini hanya membabitkan sembilan usahawan yang telah pun berjaya memasarkan produk mereka ke Indonesia. "Jadi pada kali ini kita akan pasarkan lebih banyak produk kita ke sana bagi mengembangkan lagi potensi bagi menembusi pasaran Indonesia sebagaimana yang kita maklum rakyatnya 10 kali ganda lebih ramai daripada kita yang menjadikan pasaran terbuka luas," ujarnya. Beliau berkata demkian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di Majlis Penutup Program Kelestarian Usahawan Digital Terengganu, di sini, baru-baru ini. Ariffin berkata, produk dari negeri ini tidak mengalami kesukaran untuk mendapat tempat di hati rakyat Indonesia seperti Keropok Lekor, Nasi Dagang malah katanya Sardin Pertima juga diyakini berpotensi untuk mendapat sambutan positif. "Hasrat kita bukan sahaja mahu produk kita berada di pasaran Asia Tenggara tetapi ke negara-negara lain termasuk Timur Tengah. "Saya yakin setelah berjaya menembusi pasaran luar ini usahawan kita akan berkembang lebih maju," ujarnya.
15 May 24
1118
TDM Lancar Pelan Antirasuah Organisasi
TDM Lancar Pelan Antirasuah Organisasi
KUALA TERENGGANU,14 Mei- TDM Berhad telah melancarkan Pelan Antirasuah Organisasi (OACP) TDM Berhad 2024-2026 bagi mendokong usaha pemantapan governans, integriti dan antirasuah dalam satu majlis yang diadakan di Duyong Marina & Resort, semalam. Pengarah Eksekutif TDM Berhad, Najman Kamaruddin berkata, TDM mengorak langkah merealisasikan pelan tersebut melalui empat teras strategik iaitu memacu pertumbuhan ekonomi dan mengoptimum keuntungan selain memantapkan peranan dan imej. “Juga meningkatkan kualiti dan memperkasakan sistem penyampaian serta memantapkan pengurusan organisasi dan pembangunan modal insan di dalam peningkatan sistem penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap dan berintegriti. “Dengan adanya Pelan OACP ini, TDM berupaya menghadapi cabaran yang lebih tinggi dalam meneruskan visi bagi meneraju, menjana dan menyumbang pembangunan sosio ekonomi negeri,” ujarnya dalam satu kenyataan. Mengulas lanjut katanya, pelan OACP ini merupakan satu dokumen dasar antirasuah di peringkat organisasi yang mencerminkan kesungguhan TDM dalam membanteras segala bentuk aspek rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa disamping membudayakan amalan berintegriti dalam operasi harian Kumpulan TDM. Menurut beliau, pelancaran Pelan OACP TDM Berhad 2024-2026 merupakan rentetan daripada Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023.  “Baru-baru ini pada 7 Mei 2024, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah melancarkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) 2024-2028.  “NACS yang menggantikan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) 2019-2023, merupakan komponen penting yang menggariskan strategi-strategi teras secara menyeluruh dalam usaha pencegahan rasuah di Malaysia. Ia memberi fokus terhadap keberkesanan usaha pencegahan rasuah, selain meningkatkan tatakelola dan integriti dalam pentadbiran perkhidmatan awam serta syarikat berkaitan kerajaan,” ujarnya.  
14 May 24
252
350 Pek Nasi Arab Hargai Pekerja Kebersihan
350 Pek Nasi Arab Hargai Pekerja Kebersihan
Oleh : Siti Mariam Jusoh  KUALA NERUS, 14 Mei - Persatuan Kebajikan Prihatin Mardhiah Seberang Takir (PRIMAS) telah mengedarkan 350 pek nasi Arab sebagai menghargai pengorbanan pekerja kebersihan.  Sambil menyifatkan mereka sebagai 'pahlawan', penasihatnya, Jamaliah Abdullah berkata tanpa mereka pastilah Negeri Terengganu dalam keadaan kotor dipenuhi sampah sarap.  "Kita berkongsi rezeki dengan mereka yang bertugas di DUN Seberang Takir bermula dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) sehingga ke Jambatan Angkat Kuala Terengganu," katanya.  Program itu turut disertai isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Nik Aini Nik Soh . Lokasi pembahagian dipecahkan kepada empat kumpulan mengikut zon-zon dengan 20 orang sukarelawan PRIMAS. "Di samping itu  kek  turut dihadiahkan kepada ketua-ketua unit petugas pembersihan.  "Selain itu, pek yang juga disertakan air mineral diagihkan juga kepada  pengawal keselamatan  dan 'cleaner' di sekolah -sekolah  dan juga masjid-masjid," jelasnya.  Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang terlibat dan berharap program seumpama itu dapat diadakan lagi.  "Insya-Allah kita akan jadikan program tahunan, kita telah bermula pada tahun lepas,  "Alhamdulillah sambutan dari penyumbang amat mnggalakkan, sehingga kami dapat menambah bilangan pek pada tahun ini dan dapat mengagihkannya kepada lebih  ramai penerima," jelasnya.
14 May 24
278
'Mini Carnival World Lupus Day' Dijangka Tarik Lebih 500 Peserta
'Mini Carnival World Lupus Day' Dijangka Tarik Lebih 500 Peserta
KUALA TERENGGANU, 14 Mei – Dijangka seramai lebih 500 peserta akan menyertai program 'Mini Carnival World Lupus Day' yang dijadualkan berlangsung di Kampung Budaya Terengganu (KBT) Kompleks Muzium Negeri pada 18 Mei, Sabtu ini. Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata peserta tersebut terdiri daripada pesakit dan keluarga mereka, doktor, jururawat dan juga orang awam. Katanya, program itu merupakan anjuran bersama Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Persatuan SLE Malaysia Kumpulan Sokongan Terengganu. “Ini merupakan satu program yang cukup bermakna bagi Jabatan Pelancongan Negeri kerana ia menunjukkan bahawa semua golongan boleh terlibat dalam aktiviti pelancongan, tidak kira latar belakang atau kedudukan mereka. “Program ini juga bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang Penyakit Sistemik Lupus Eritematosus (SLE) di kalangan orang ramai, serta memastikan bahawa golongan ini tidak terpinggir dan dapat bersama-sama dengan masyarakat lain dalam aktiviti seharian,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Sidang Media Program 'Mini Carnival World Lupus Day' bertempat di Laman Singgahsana, Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri di sini hari ini. Turut hadir, Pengurus Besar Kampung Budaya Terengganu, Ahmad Fathil Abd Ghani, Pengerusi Persatuan SLE Malaysia Kumpulan Sokongan Terengganu, Rohafiza Abdullah dan Penasihat Persatuannya, Dr Siti Mariam Ab Rahim. Tambah Ridzwan, penyakit tersebut tidak memudaratkan orang lain, oleh itu, penting untuk memberi pendedahan kepada orang ramai mengenai penyakit SLE.  Seiring dengan itu, dalam masyarakat kita, adalah lumrah untuk timbul pelbagai andaian apabila tidak pernah dengar tentang sesuatu penyakit. Tambahnya lagi, persepsi mereka boleh diperbetulkan melalui program yang akan dilaksanakan pada Sabtu ini. “Kami mengucapkan terima kasih atas pemilihan Kampung Budaya sebagai lokasi untuk program ini yang merupakan 'healthy tourism' dengan pelbagai aktiviti menarik yang dirancang bermula dari awal pagi sehingga 2 petang. “Keterlibatan Kampung Budaya Terengganu sebagai lokasi untuk program ini dapat membantu mempromosikan pusat tersebut sebagai warisan seni dan budaya untuk negeri ini," jelasnya. Jelasnya lagi, kawasan tersebut juga menjadi lokasi penempatan beberapa produk pelancongan negeri Terengganu. Sementara itu, Pengarah Program, Rohafiza Abdullah, menyatakan bahawa antara acara menarik yang akan dihadiri peserta termasuklah pertandingan explorace, aktiviti mewarna batik, dan pelbagai lagi.  “Pengisian tersebut memberi tumpuan kepada pengetahuan berkaitan penyakit SLE, sementara pertandingan explorace yang dianjurkan juga memberikan pemahaman tentang penyakit tersebut. "Pada hari program, semua peserta berpeluang untuk bertemu dengan doktor pakar secara langsung untuk bertanya mengenai penyakit tersebut, termasuk kesannya jika tidak dirawat, panduan rawatan, dan lain-lain," ujarnya.    
14 May 24
195
KMI Healthcare Lancar Perkhidmatan Ortopedik di Tawau
KMI Healthcare Lancar Perkhidmatan Ortopedik di Tawau
TAWAU, 13 Mei – KMI Tawau Medical Centre (“KMI Tawau”), salah sebuah rangkaian hospital milik Kumpulan Medic Iman (“KMI Healthcare”) di bawah anak syarikat kerajaan Terengganu, secara rasminya melancarkan perkhidmatan ortopedik pada kelmarin. Pengarah KMI Tawau, Anuar Ali berkata pelancaran tersebut menandakan hospital KMI Tawau telah berkembang terutamanya dalam pengendalian rawatan yang berkualiti bagi merealisasikan slogan syarikat iaitu ‘Menerajui Kehidupan Sihat’. “Antara rawatan yang ditawarkan oleh perkhidmatan Ortopedik KMI Tawau adalah prosedur invasif minimal, pembedahan sukan, pembedahan tulang belakang, artroplasti, pembetulan kecacatan anggota badan, masalah tangan, kaki, dan buku lali. “Kami juga menyediakan penjagaan luka, ubat regeneratif, pengurusan trauma dan patah tulang serta pengurusan kesakitan,” katanya ketika merasmikan program berkenaan. Tambah Anuar, bagi menyokong perkhidmatan Ortopedik di KMI Tawau, sistem pengimejan C-arm telah diperoleh bagi membantu dalam pengendalian rawatan yang lebih cekap dan berkesan.  Menurutnya, peranti C-arm ini menyediakan pengimejan masa nyata dan mengurangkan pendedahan radiasi bagi membantu pesakit pulih dengan lebih cepat serta rawatan yang dilakukan adalah lebih tepat. Jelasnya lagi, bagi menjamin keselamatan pesakit dan kakitangan perubatan, model ini mempunyai penjana frekuensi harmonik (Harmonic Frequency Generator atau HFG) yang berkuasa dan tiub pusingan dengan pendedahan sinar-X berdos rendah. “Perkhidmatan Ortopedik di hospital ini telah bermula pada Julai 2023 dan teknologi C-arm secara rasminya telah digunakan pada Disember 2023. "Perolehan dari perkhidmatan Ortopedik telah meningkat sebanyak 135% pada suku keempat 2023 berbanding suku ketiga tahun yang sama," ujarnya. Sementara itu, Pengurus Besar KMI Tawau, Zainulalim Samsudin dalam kenyataannya berkata, KMI Tawau komited dalam memperkembangkan perkhidmatan disiplin perubatan bagi merealisasikan reputasi penjagaan kesihatan bermutu di Tawau.  “KMI Tawau akan sentiasa berusaha untuk memberi perkhidmatan professional kepada pesakit dan selaras dengan misi syarikat iaitu menyediakan penjagaan yang selamat dan berkualiti kepada pelanggan. “Pada suku keempat 2026, pembangunan blok baru sebanyak enam tingkat akan dijangka siap di KMI Tawau dengan penempatan katil sebanyak 52 buah dilengkapi dengan pelbagai kemudahan baharu serta teknologi terkini,” katanya.          
13 May 24
335
Perlis Tawar Biasiswa Kepada Anak Terengganu Belajar di KUIPs
Perlis Tawar Biasiswa Kepada Anak Terengganu Belajar di KUIPs
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Kerajaan Negeri Perlis menawarkan biasiswa kepada lima anak Terengganu untuk menyambung pengajian di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Exco Hal Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis, Muhammad Azmir Azizan berkata, tawaran tajaan penuh kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia itu telah diperkenankan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Raja Muda Perlis (Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail). “Jumlah tajaan sepanjang pengajian samada di peringkat diploma ataupun ijazah adalah sebanyak RM34,000 untuk setiap pelajar. “Di samping itu, mereka turut diberikan elaun sara hidup pelajar sebanyak RM300 setiap bulan,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada pertemuan beliau bersama Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut katanya, kriteria pemilihan pelajar akan diuruskan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM).  
13 May 24
240
Kunjungan Exco Perlis Bincang Pemerkasaan Syariah
Kunjungan Exco Perlis Bincang Pemerkasaan Syariah
KUALA TERENGGANU, 13 Mei- Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi menerima kunjungan Exco Hal Ehwal Agama, Pendidikan, Pembangunan Insan, Industri Halal dan Penerangan Perlis, Muhammad Azmir Azizan bersama agensi dibawah portfolionya di Wisma Darul Iman, hari ini. Muhammad Khalil memaklumkan, pelbagai perkara dibincangkan dalam pertemuan tersebut bagi memperkukuhkan lagi hubungan dua hala antara Terengganu dan Perlis. “Banyak yang diutarakan berkisar tentang pemerkasaan syariah khususnya melibatkan undang-undang syariah Islam. “Antaranya, bagaimana kita hendak memperkasakannya apabila berdepan dengan cabaran semasa khususnya pasca keputusan Mahkamah Persekutuan yang berpihak kepada kes Nik Elin yang menyatakan bahawa Dewan Undangan Negeri Kelantan tidak berhak untuk meluluskan enakmen jenayah syariah. “Jadi perkara itu penting kerana kita mahu masyarakat faham tentang apa yang berlaku,” ujarnya kepada pemberita selepas pertemuan tersebut. Katanya, agensi berkaitan juga diminta supaya berhubung antara satu sama lain bagi memperkemaskan lagi hubungan antara kedua-dua negeri. Sementara itu, Muhammad Azmir berkata, tujuan pihaknya mengadakan kunjungan ke Negeri Terengganu adalah untuk bertukar-tukar pandangan khususnya antara agensi dibawah portfolio yang sama di kedua-dua negeri. “Dalam pertemuan ini ada sesi soal jawab bagi kita dapatkan input-input yang boleh kita bawa balik ke Perlis untuk dicontohi atau dilaksanakan,” ujarnya.  
13 May 24
205
Sultan Terengganu Rasmi Hospital Sultan Zainal Abidin
Sultan Terengganu Rasmi Hospital Sultan Zainal Abidin
KUALA NERUS, 12 Mei - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan mencemar duli merasmikan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini. Memulakan pembinaan sejak tahun 2014, HoSZA merupakan hasil hasrat dan titah Sultan Mizan. Ia diserahkan kepada UniSZA pada tahun 2022. HoSZA kini telah membukakan beberapa perkhidmatan termasuk Klinik Perubatan Am dan memiliki fasiliti seperti Klinik Pakar, Jabatan Kecemasan serta 200 katil buat fasa pertama. Terdahulu, Keberangkatan tiba Baginda diiringi Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Tengku Puteri Daulath Raja pada jam 11.20 pagi. Keberangkatan tiba Baginda disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Setiausaha Kerajaan Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja serta Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato' Mohd Nor Hamzah. Turut menyambut keberangkatan tiba ialah, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud, Naib Canselor UniSZA, Dato' Dr Fadzli Adam dan seluruh pengurusan universiti berkenaan. Acara dimulakan dengan bacaan doa oleh Dato' Mufti Terengganu, Dato' Dr Mohamad Sabri Haron dan kemudian diteruskan dengan persembahan ucapan oleh Dr. Fadzli dan Dr Samsuri kepada tetamu yang hadir. Sultan Mizan diiringi Yang di-Pertuan Muda Terengganu kemudian berkenan mencemar duli menandatangani plak perasmian sebagai simbolik pelancaran. Sultan Mizan turut berkenan menerima menyaksikan UniSZA memeterai kerjasama strategik bersama Institut Jantung Negara (IJN) dan PERKESO. Seterusnya, Sultan diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Tengku Puteri Daulath Raja berkenan melawat ruangan HoSZA. Baginda diiringi Sultanah Nur Zahirah bersama Yang di-Pertuan Muda Terengganu serta Tengku Puteri Daulath Raja berangkat pulang pada kira-kira jam 1.30 petang.  
12 May 24
1039
Tiada Bola Malam Jumaat, Terengganu ‘Terkejut’ Dengan AFF
Tiada Bola Malam Jumaat, Terengganu ‘Terkejut’ Dengan AFF
KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Terengganu ‘terkejut’ dengan komitmen Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) yang tidak mengadakan perlawanan bola sepak membabitkan Terengganu FC di negeri itu pada malam Jumaat sebagai menghormati dasar kerajaan negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul karim berkata, pihaknya menghargai maklum balas AFF yang bersetuju mematuhi Garis Panduan Hiburan, Persembahan Kebudayaan, Pelancongan dan Sukan Negeri Terengganu. Katanya, walaupun ia permintaan yang agak kerdil, tetapi ia sangat besar ertinya buat rakyat Terengganu. “Sebagaimana yang telah maklum, Terengganu FC dan KL City dipilih mewakili negara bagi menghadapi saingan Kejohanan Kelab Asean, Shopee Cup. Ia merupakan satu peluang yang sangat baik untuk pasukan beraksi dan sekali gus sebagai satu penghormatan buat Terengganu FC. “Apa yang menarik, sewaktu sesi lawatan delegasi AFF ke Terengganu pada 19 Mac 2024, pihak Terengganu FC telah kongsikan maklumat berkenaan polisi Kerajaan Negeri melalui  yang tidak membenarkan acara berbentuk hiburan diadakan pada malam Jumaat kerana ia dikhaskan sebagai waktu tenteram masyarakat.  “Ia dimaklumkan oleh pihak TFC bagi memberikan kemudahan kepada pihak penganjur untuk menyusun jadual perlawanan selepas ini seandainya membabitkan Terengganu sebagai tuan rumah,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Mengulas lanjut, Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Terengganu itu berkata, sebaik sahaja penjelasan polisi itu diberikan kepada pihak AFF, penganjur kemudiannya berkongsi satu ’Special Provision’ yang diberikan kepada Terengganu sempena Shopee Cup.  “Sejujurnya, kami tidak menjangkakan AFF mengambil serius dan sangat menghormati permintaan Terengganu sehingga ia ditayangkan secara langsung dalam sesi taklimat sewaktu undian pada hari kelmarin di Ho Chi Minh City. “Semua pasukan yang terlibat juga memahami dan memberikan respon yang sangat baik atas permintaan ini. Agenda sukan sebenarnya sangat menyatukan sekalipun berlainan agama dan bangsa.  “Sekali lagi, dirakamkan ucapan terima kasih kepada pihak AFF dan Shopee sebagai penganjur dan penaja utama atas penghormatan yang diberikan kepada Terengganu,” tambah Hishamuddin.
12 May 24
13544
MAIDAM Jalin Kerjasama Dengan Dua Syarikat Takaful
MAIDAM Jalin Kerjasama Dengan Dua Syarikat Takaful
KUALA TERENGGANU, 12 Mei – MAIDAM menerusi anak syarikatnya, MAIDAM Property Sdn Bhd (MPSB) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Grand Gosh Group (M) Sdn Bhd dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad (HLMT) bagi memperluaskan kerjasama dalam sektor perniagaan takaful. Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata pihaknya berbesar hati menjadi tuan rumah pada majlis berkenaan. “Langkah yang diambil oleh MAIDAM ini bertujuan bagi memberikan peluang kepada masyarakat Terengganu untuk memilih dengan bijak dalam mendapatkan perlindungan takaful yang terbaik.  “Malah, ia juga seiring dengan hasrat kerajaan negeri untuk memperbanyakkan produk yang mematuhi hukum syarak,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman MoU Perniagaan Takaful Antara Maidam Property SDN BHD, Grand Gosh (M) SDN BHD dan Hong Leong MSIG Takaful Berhad bertempat di Dewan Gamelan 3, Hotel Primula Beach Resort di sini semalam. MoU ditandatangani oleh Pengurus Besar MPSB, Wan Farid Imran Wan A. Latif, bersama Ketua Pegawai Eksekutif Grand Gosh, Saiful Nizam Shaikh Aladdin, dan Ketua Pegawai Eksekutif HLMT, Mohd Asri Omar. Majlis turut disaksikan oleh Yang Dipertua MAIDAM merangkap pengerusi Lembaga Pengarah MPSB serta turut dihadiri oleh Lembaga Pengarah dan pengurusan tertinggi MPSB serta pegawai-pegawai daripada Grand Gosh dan HLMT. Dengan termeterainya memorandum ini, MPSB akan menjalankan aktiviti perniagaan baharu iaitu dalam bidang takaful dan mengadakan kerjasama strategik dengan Grand Gosh dan HLMT. Sekali gus, memperkenalkan, mempromosikan serta memasarkan pelan-pelan Takaful dari HLMT yang sedia ada antaranya i-Flexi Protect, i-Heritage Protector, i-Kudrat, i-Care Hasanah Privilege, i-AcciPlus atau pelan-pelan baharu yang akan dilancarkan oleh HLMT dari semasa ke semasa. Tambah Shaikh Harun, pihaknya berharap supaya kolaborasi antara MPSB bersama Grand Gosh dan HLMT memberi manfaat yang besar untuk masyarakat Terengganu dan ia tidak terhenti hanya setakat produk Takaful semata-mata.  “Semoga selepas ini ada langkah-langkah susulan daripada kedua-dua pihak untuk mengadakan kolaborasi dalam skala yang lebih besar bagi kepentingan rakyat negeri ini,” ujarnya.  
12 May 24
1015