Artikel "Semasa" Terkini
Sekolah di Terengganu Mulakan Pembelajaran Dengan Bacaan Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan melancarkan Program Al-Quran Di Hati iaitu program bacaan al-Quran oleh guru dan murid sebelum bermula sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di sekolah.
Ia merupakan program anjuran Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu menerusi agenda Peneraju Transformasi Pendidikan (PTP) yang menjadikan program tersebut sebagai agenda utama pendidikan Terengganu bagi melahirkan murid yang cintakan kalam Allah.
Majlis pelancaran diadakan di Sekolah Kebangsaan Serada yang telah dipilih sebagai sekolah rintis bagi pelaksanaan program tersebut, hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar; Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nara Setia; Ahli Dewan Pangkuan Diraja, Dato’ Shaikh Harun Shaikh Ismail serta Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Jelani Sulong.
Sebelum itu, Raja Muda Terengganu turut berkenan melawat murid-murid yang sedang mengikuti kelas al-Quran di sekolah terbabit.
Sementara itu, Jelani dalam ucapannya berkata, program yang bermula tahun lepas itu akan diperkasakan ke seluruh sekolah di Terengganu mulai tahun ini.
“Ia akan membabitkan murid darjah satu hingga enam di 352 buah sekolah rendah dan pelajar tingkatan satu hingga tiga bagi 154 sekolah menengah.
“Selain membudayakan pembacaan al-Quran pada setiap hari, kita mahu memastikan murid-murid celik al-Quran selepas tamat tahun enam di sekolah rendah,” ujarnya.
Menurutnya, semua warga pendidikan Negeri Terengganu dimohon meneruskan gerak kerja bagi memastikan fokus pengukuran PTP terutama penekanan kepada celik al-Quran dapat direalisasikan.
“Fokus celik al-Quran ini perlu seiring dengan fokus-fokus lain iaitu, fokus akademik, solat bestari, sahsiah terpuji, kemenjadian kokurikulum, kejituan sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dan keberkesanan kepimpinan.
“Insya-allah dengan gerakan berfokus yang kita adakan ini iaitu program al-quran di hati akan mewajahkan hasrat kita bersama bagi melahirkan murid yang cintakan al-Quran,” katanya.
Mengulas lanjut katanya, program al-Quran di hati dilaksanakan setiap hari persekolahan pada jam 7.30 pagi hingga 7.45 pagi di kelas masing-masing.
“Bacaan alquran akan diketuai oleh murid turus dan diikuti oleh murid-murid lain serta dibimbing oleh dua orang guru bagi setiap kelas, satu muka surat akan dibaca setiap hari beserta terjemahan ayat dan bacaan murid akan direkodkan setiap hari dalam rekod pencapaian al-Quran,” jelasnya.
Jelani berkata, program tersebut diharapkan bukan sahaja dapat melahirkan generasi yang celik al-Quran, malah dapat melahirkan generasi soleh, pintar, rabbani dan murabbi.
26 Aug 24
2537
Terengganu Lokasi Terbaharu Nomad Digital di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos- Terengganu terpilih sebagai lokasi keenam hub DE Rantau atau penginapan yang diperakui sebagai gaya hidup nomad digital bagi menggalakkan mobiliti profesional digital dan pelancongan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris, berkata inisiatif yang diterajui Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) itu bakal menarik lebih ramai komuniti ‘digital nomad’ (nomad digital) menjadikan Terengganu sebagai pejabat atau rumah kedua mereka.
Menurutnya, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan pemilihan Terengganu sebagai hub nomad digital kerana pelbagai usaha telah dilakukan untuk mendapatkan status tersebut.
”Bukan sekali jumpa tetapi beberapa kali, saya memberi gambaran bahawa Terengganu ini sangat sesuai untuk dijadikan hub atau satu destinasi kepada digital nomad sebab kita mempunyai ekosistem yang sangat baik.
“Kita punyai pulau-pulau yang sangat indah dan cantik, Tasik Kenyir yang hebat, pelbagai pilihan makanan tradisional, warisan yang cukup kuat untuk kita sertai nomad digital.
“Dan saya sangat bangga pada hari ini kerana ia direalisasikan dengan MDEC, Kementerian Digital dan mungkin kita akan adakan perbincangan seterusnya dari semasa kesemasa untuk pastikan ada pertambahan nomad digital ke Terengganu,”ujarnya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis pelancaran program de rantau@Terengganu di Laman Singgahsana, Kampung Budaya Terengganu, Kompleks Muzium Negeri Terengganu, di sini hari ini.
Mengulas mengenai bagaimana de rantau@Terengganu mampu mempengaruhi pertambahan kehadiran pelancong ke Terengganu, Razali berkata penilaian itu akan dibuat selepas beberapa bulan program itu dilaksanakan.
“Saya yakin nomad digital akan memberi ruang promosi negeri Terengganu ke seluruh dunia dan jika promosi berjaya, pelancong akan datang ke Terengganu sebagai destinasi wajib.
“Dan saya jangkakan beberapa peratus lagi pertambahan kehadiran pelancong selepas program hari ini...kita akan tengok ‘Return on Investment’ selepas dua tiga bulan nanti tentang kehadiran pelancong,”ujarnya lagi.
Tambah Razali, berdasarkan data sehingga Jun 2024, Terengganu antara negeri tumpuan dengan merekodkan seramai 5.2 juta pelawat melebihi sasaran awal iaitu 4.5 juta bagi setahun..
"Menjelang akhir tahun kerajaan negeri mensasarkan seramai 7 hingga 8 juta pelancong berkunjung ke Terengganu.
“Sasaran ini juga berdasarkan Terengganu sebagai hub nomad digital terbaharu dan saya letak pertambahan sehingga 40 peratus selain program sepanjang Monsun Timur Laut nanti,”kata beliau.
26 Aug 24
700
Persatuan Renang Hantar Penerjun Wanita Islam Tanpa Kebenaran
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Penyertaan atlet terjun wanita islam dalam Sukan Malaysia (SUKMA) dihantar oleh Persatuan Renang Amatur Terengganu tanpa pengetahuan dan kebenaran Kerajaan Negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim menegaskan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) mengesahkan penyertaan itu dihantar persatuan di bawah perbelanjaan sendiri dengan memohon kuota Terengganu.
"Penyertaan wanita islam dalam kejohanan itu berada di luar pengetahuan pihak saya.
"Kerajaan Negeri berpegang kepada kod etika berpakaian atlet muslim ketika bersukan yang telah dikeluarkan oleh pihaknya sebelum ini," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Jelas beliau lagi, Persatuan Renang Amatur Terengganu telah melakukan kunjungan hormat kepadanya pada 5 Jun 2024 untuk memohon pelepasan agar atlet terbabit dibenar bertanding di SUKMA 2024 dalam acara itu.
"Waktu itu juga saya telah tegaskan Kerajaan Negeri tidak dapat membenarkan sama sekali kerana bercanggah dengan garis panduan yang telah diperkenalkan sekalipun atlet bukan berasal dari Terengganu jika dia seorang muslim.
"Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri mempertimbangkan kebenaran untuk atlet bukan Islam bagi acara ini.
"Penegasan awal kepada pihak MSNT adalah supaya tiada atlet wanita Terengganu dan Muslim yang menyertai acara tersebut kerana pakaian atlet wanita dalam acara tersebut tidak mematuhi kod etika yang telah ditetapkan sekalipun atlet berkenaan bukan berasal dari Terengganu," katanya.
Tambah Hishamuddin, pihaknya telah meminta pihak pengurusan MSNT untuk menyediakan laporan lengkap berkaitan dengan penyertaan atlet wanita terbabit.
"Kita juga akan memanggil pihak persatuan serta MSNT untuk memberikan penjelasan terperinci dalam masa terdekat.
"Tindakan selanjutnya akan dibuat setelah selesai sesi pendengaran oleh pihak persatuan," jelasnya.
Beliau juga menghargai semua pihak yang prihatin dengan isu tersebut.
"Harapnya tiada lagi kedengaran, Kerajaan Negeri Terengganu mendiskriminasikan wanita. Malah sebenarnya, sentiasa berusaha memartabatkan maruah kaum wanita muslim.
"Dalam masa yang sama, Kerajaan Negeri Terengganu tidak menghalang pengamalan berpakaian kaum bukan Islam," katanya.
25 Aug 24
735
25,181 Pemohon Dapat Kerja Melalui MyFutureJobs Sejak 2020
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos - Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) negeri Terengganu merekodkan sebanyak 25, 181 penempatan menerusi program kerjaya yang dijalankan sepanjang tahun 2020 sehingga 5 Ogos 2024.
Pengarah PERKESO negeri, Farihah Che Husin berkata, berdasarkan perangkaan portal MYFutureJobs bagi tempoh 2023 sehingga Julai 2024, terdapat 1,755 kekosongan jawatan yang masih aktif di Terengganu.
Justeru itu, beliau menyeru orang ramai terutama golongan belia merebut peluang yang disediakan bagi mendapatkan pekerjaan di pelbagai sektor dalam dan luar Terengganu.
“Program penempatan pekerjaan melalui Portal MYFutureJobs tidak hanya membantu individu yang menganggur atau para graduan sahaja tetapi turut melaksanakan padanan pekerjaan berdasarkan kelayakan dan kemahiran pencari kerja.
”Penganjuran program kerjaya sejajar dengan hasrat kerajaan bagi mengurangkan kadar pengangguran yang menjadi matlamat PERKESO dalam menyediakan peluang pekerjaan kepada semua golongan masyarakat termasuk golongan rentan,”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di Karnival MYFutureJobs 'Tiada Yang Terpinggir' negeri Terengganu 2024 di KTCC Mall, di sini hari ini.
Sepanjang dua hari karnival itu berlangsung, pelbagai jawatan ditawarkan oleh 65 syarikat dari pelbagai sektor dan industri bermula Pembantu Am sehingga kumpulan profesional dan berkemahiran tinggi serta penawaran gaji sehingga RM6,000.
Menurutnya, karnival kerjaya kali ini juga mendapat penyertaan daripada beberapa agensi kerajaan serta badan berkanun.
"Buat julung kalinya Tentera Udara DiRaja Malaysia dan Tentera Laut DiRaja Malaysia turut terlibat dalam karnival ini dengan menawarkan 700 kekosongan bagi jawatan Perajurit Muda,”katanya lagi.
Mengulas lanjut, Farihah memaklumkan berdasarkan rekod sehingga jam 12 tengahari, seramai 1,017 orang telah berjaya ditawarkan pekerjaan dan kemudian temuduga kedua pada hari kedua karnival berlangsung.
25 Aug 24
230
Penggabungan Tiga Bank Perlu Pandangan Pelbagai Pihak - Amzad
KUALA TERENGGANU, 25 Ogos- Kerajaan perlu bersikap telus dan mendengar pandangan pelbagai pihak berhubung cadangan penggabungan tiga bank utama negara iaitu Bank Pembangunan, SME Bank dan EXIM Bank.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Dato’ Ahmad Amzad Hashim berkata, rundingan terbuka dengan pihak berkepentingan termasuk Persatuan Pengusaha Pencetakan Melayu Malaysia (PPPMM), Dewan Perniagaan Usahawan Kecil Malaysia (DPUKM) dan wakil-wakil perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) sangat penting sebelum sebarang keputusan dilakukan.
“Cadangan ini bukan sahaja bakal memberi kesan buruk kepada PMKS yang menjadi tulang belakang ekonomi negara, tetapi juga mengancam masa depan ribuan usahawan kecil dan sederhana yang bergantung kepada sokongan institusi kewangan ini.
“Rakyat telah menyuarakan kegelisahan mereka kepada saya, dan saya berpandangan bahawa kebimbangan ini sangat berasas,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Beliau memaklumkan, baru-baru ini Presiden Dewan Perniagaan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (DPUKM), Norsyahrin Hamidon, menyatakan bahawa lebih 25,000 PMKS mungkin terjejas akibat penggabungan ini.
“Ini bukan satu angka yang boleh kita abaikan. Jika kerajaan meneruskan langkah ini tanpa kajian dan perbincangan yang teliti, kita bakal melihat kemusnahan sektor yang selama ini menjadi nadi kepada pembangunan ekonomi Malaysia.
“Pertama sekali, kita perlu faham bahawa setiap bank yang dicadangkan untuk digabungkan ini memainkan peranan penting dalam menyokong kluster perniagaan yang berbeza.
“SME Bank, sebagai contoh, memberikan fokus kepada pembiayaan PMKS, manakala EXIM Bank menyokong syarikat-syarikat yang terlibat dalam eksport,” ujarnya.
Katanya, jika penggabungan tersebut berlaku dikhuatiri bahawa mandat asal bank-bank ini akan hilang dan fokus utama mungkin beralih kepada keuntungan semata-mata dan mengabaikan keperluan sebenar usahawan kecil dan sederhana.
25 Aug 24
925
Karnival MYFutureJobs Sedia 4,300 Peluang Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 24 Ogos - Sebanyak 4,300 peluang pekerjaan termasuk kira-kira 10 peratus daripadanya terbuka kepada golongan orang kurang upaya (OKU) membabitkan 65 syarikat dari pelbagai sektor dan industri pada Karnival Kerjaya MyFutureJobs 'Tiada Yang Terpinggir' 2024 negeri Terengganu yang sedang berlangsung di KTCC Mall hari ini dan esok.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, program itu dijangka dikunjungi lebih 5,000 pencari kerja di seluruh negeri di samping menarik kehadiran pengunjung khususnya golongan suri rumah dan wanita serta badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan.
Menurutnya, sambutan yang diterima amat memberangsangkan kerana dalam tempoh tiga jam sahaja, karnival tersebut telah dikunjungi lebih 700 pengunjung untuk sesi pagi hingga tengahari.
"Daripada jumlah itu, 73 pengunjung telah berjaya mendapat pekerjaan yang sesuai dengan mereka manakala 268 pengunjung lagi layak untuk menghadiri temuduga yang seterusnya.
"Kerajaan negeri optimis lebih ramai pengunjung yang akan memiliki pekerjaan yang mereka idamkan selama karnival ini berlangsung hingga petang esok," katanya kepada pemberita selepas melakukan sesi walkabout di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara kekosongan jawatan terbesar yang ditawarkan ialah dalam sektor pembuatan iaitu 762 kekosongan, pentadbiran awam dan pertahanan (700), pengangkutan dan penyimpanan (500), perdagangan borong dan runcit (419) serta kewangan, insurans dan takaful (310).
"Antara majikan yang terlibat Tentera Udara Diraja Malaysia, Tentera Laut Diraja Malaysia, Sogo (K.L) Department Store, KTCC Mall, Puspakom Sdn Bhd, Malaysia Rail Link, Agro Bank dan banyak lagi.
"Pelbagai aktiviti perkhidmatan pekerjaan disediakan secara percuma akan turut diadakan sepanjang karnival antaranya penyediaan resume, pendaftaran portal MYFutureJobs serta bimbingan dan nasihat kerjaya," katanya.
Justeru itu, beliau menyeru orang ramai terutama golongan belia merebut peluang yang disediakan bagi mendapatkan pekerjaan di pelbagai sektor dalam dan luar Terengganu.
24 Aug 24
195
Ahmad Samsuri Terima Gelaran Ir
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Di sebalik cabaran dan rintangan politik, pemimpin nombor satu Terengganu, Dato Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dianugerahkan gelaran profesional kejuruteraan 'Ir' iaitu kelayakan tertinggi bagi profesion kejuruteraan di Malaysia.
Menteri Besar Terengganu itu berkata walaupun menjawat tugas eksekutif tertinggi di negeri ketika ini, ia bukan penghalang dan beliau tetap berusaha menjalani proses untuk menjadi jurutera profesional sebagai satu motivasi diri sendiri untuk lebih baik di masa depan.
"Cabaran akan tiba untuk menguji kita, itulah yang membezakan sama ada kita mampu menjadi yang terbaik atau tidak.
"Selepas puluhan tahun berlalu, hari ini saya menerima keputusan permohonan saya sebagai ‘Professional Engineer - atau Ir.’ selepas selesai menjalani proses yang sepatutnya di Lembaga Jurutera Malaysia (Board of Engineers Malaysia) sebagaimana di bawah REGISTRATION OF ENGINEERS ACT 1967, REGISTRATION OF ENGINEERS REGULATIONS 1990 (REGULATION 19), " ujarnya dalam satu hantaran di facebook rasminya, hari ini.
Menurutnya, ketika berada di darjah satu Sekolah Kebangsaan Pusat Jerteh, Besut, di minggu pertama persekolahan pada bulan Januari 1977, beliau memilih cita-cita sebagai 'engineer' pada usia kecil.
"Alhamdulillah, dengan rasminya turut bersama dengan keluarga jurutera profesional di Malaysia yang bilangannya hampir 8,000 orang ketika ini.
"Ini menjadi motivasi kepada semua anak-anak yang masih di alam persekolahan atau universiti untuk teruskan berusaha memajukan diri," ujarnya yang terus mendapat tempat dan menjadi kesayangan orang ramai.
22 Aug 24
1220
Terengganu Juara Bertahan KESSUMA 2024
KUALA NERUS, 22 Ogos - Kontinjen Terengganu terus mengungguli Kejohanan Sukan Sekolah-Sekolah Menengah Agama Malaysia (KESSUMA) Peringkat Kebangsaan kali ke-23 tahun 2024 apabila dinobatkan juara keseluruhan sekaligus mengekalkan kemenangan untuk dua tahun berturut-turut.
KESSUMA yang berlangsung mulai 19 hingga 22 Ogos 2024 di Universiti Malaysia Terengganu dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UNISZA), menyaksikan penyertaan dari 12 negeri dengan keseluruhan kontinjen melebihi 2,200 peserta
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Datuk Satiful Bahari Mamat berkata, kerajaan negeri berpuas hati atas kecemerlangan yang dipamerkan oleh peserta kontijen dan kejayaan yang telah diraih pada kali ini.
“Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian, di semua peringkat bermula dari peringkat sekolah, daerah, negeri sehinggalah di peringkat kebangsaan atas kejayaan penganjuran KESSUMA.
“Tahniah kepada tuan rumah kerana menjuarai KESSUMA kali ini dengan tiga pingat emas, satu perak dan empat gangsa sekaligus melakar kejayaan dalam mempertahankan kejuaraan dua tahun secara berturut-turut dan berharap meneruskannya untuk tahun depan di Kedah,”ujarnya kepada pemberita.
KESSUMA merupakan aktiviti tahunan bagi pelajar Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) dan Sekolah Menengah Agama Rakyat (SMAR) serta Sekolah Menengah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) yang bernaung di bawah Jawatankuasa Penyelarasan Pendidikan Islam Kebangsaan (JPPIK).
22 Aug 24
9408
14,457 Penjawat Awam Terengganu Bakal Naik Gaji
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Pelarasan gaji untuk kira-kira 14,457 penjawat awam negeri Terengganu akan dilaksanakan seperti kenaikan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, berkata kadar kenaikan dibuat sama seperti jumlah dilaksanakan kepada penjawat awam Persekutuan.
Menurutnya, sejak dulu lagi, Terengganu tidak pernah gagal untuk mengikut Pekeliling berkaitan dengan pelarasan gaji kepada penjawat awam.
"Bermula dengan pelarasan gaji daripada Skim Gaji Kabinet kepada Skim Saraan Baru, Skim Saraan Malaysia hingga lah sekarang.
"Cuma kebiasaannya, kerajaan akan memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada mahu mengikut skim baharu atau nak kekal skim lama..., jadi kena tengok Pekeliling dahulu," katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut, Tengku Farok berkata, kenaikan gaji penjawat awam perlu dipandang dari sudut yang positif kerana pelarasan kali terakhir yang dilakukan ialah lebih 10 tahun lalu.
"Mengambil kira situasi ekonomi semasa, kenaikan gaji penjawat awam adalah wajar dilaksanakan dan serentak itu, mereka perlu memberi perkhidmatan yang cemerlang kepada rakyat pelbagai lapisan," katanya.
Ditanya sama ada kerajaan negeri sudah bersedia dengan implikasi kewangan susulan pelarasan gaji penjawat awam tersebut, Tengku Farok optimis untuk Terengganu berusaha mencari sumber kewangan untuk menampung kenaikan tersebut.
Pada 16 Ogos lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan Kumpulan Pengurusan & Profesional.
Anwar yang juga Menteri Kewangan turut mengumumkan pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT), dengan pelaksanaan pemberian pelarasan gaji itu akan dilakukan secara berfasa iaitu pada 1 Disember 2024 bagi Fasa 1 dan 1 Januari 2026 untuk Fasa 2.
22 Aug 24
2761
Terengganu Gagal Jinakkan Juara Liga Kemboja
KUALA TERENGGANU, 21 Ogos - Hasrat skuad Terengganu FC untuk meraih tiga mata penuh pada aksi sulung saingan ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shopee 2024/25 tidak kesampaian selepas gagal menjinakkan Juara Liga Kemboja sebentar tadi.
Turun dengan semangat yang tinggi setelah membuat persiapan rapi berminggu-minggu tidak cukup untuk anak-anak buah Tomislav Steinbruckner melakar kejutan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.
Terengganu walau bagaimanapun bermula garang dengan asakan awal ke kubu Svay Rieng FC, rembatan padu Mohd Ubaidullah Shamsul pada minit ke-6 hampir membuahkan hasil namun ditangkap kemas penjaga gol lawan.
Tersentak dengan serangan tuan rumah, Svay Rieng memperkemaskan permainan dengan serangan-serangan pantas ke kawasan Terengganu.
Usaha pelawat membuahkan hasil selepas gol yang dicari akhirnya tiba, 'placing' Gabriel Silva ke sudut kiri gawang selepas menerima hantaran cantik rakannya pada minit ke-12 meletakkan kedudukan 1-0.
Terkedu dengan jaringan itu, Terengganu cuba mengatur semula permainan dengan pergerakan lebih teratur.
Namun, semangat itu gagal diterjemahkan dengan jaringan sebaliknya dihukum dengan gol kedua Svay Rieng pada minit ke-14.
Kelekaan barisan pertahanan Terengganu membawa padah apabila pemain import pelawat, Pablo Agusto meledak untuk memberi kelebihan dua gol.
Terengganu cuba bangkit, tetapi ketumpulan penyudah menjadi duri dalam daging.
Pelawat yang mencari gol ketiga turut mendapat peluang keemasan, termasuk percubaan pada minit ke-30 oleh Agusto, namun dinafikan palang gol.
Kedudukan 2-0 kekal sehingga tamat separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Tomislav membuat pertukaran dengan mengeluarkan Shahrulnizam Roshasni dan memasukkan Matthew Steenvoorden.
Perubahan pemain itu tampak berkesan dan memberi tonik baru kepada pasukan apabila Terengganu berjaya mendapatkan gol pertama.
Jaringan pada minit ke-55 itu tercipta hasil kawalan bola menarik Ubaidullah yang memperdaya dua pemain lawan sebelum menolak bola tersebut kepada Manuel Ott.
Ott yang tidak dikawal, tenang menendang bola masuk gol sudut kanan penjaga gol sekali gus merapatkan kedudukan 2-1.
Perlawanan terus berlangsung rancak dengan kedua-dua pasukan saling berbalas serangan.
Dalam keghairahan Terengganu menyerang, Svay Rieng berjaya mencuri bola dan melakukan serangan balas pada minit ke-86.
Min Ratanak yang menerima bola tersebut melakukan rembatan di hadapan kotak penalti Terengganu dan gagal dihalang Suhaimi Hussin sekali gus memberi kelebihan 3-1 buat pelawat.
Ketika perlawanan hampir berkesudahan dengan skor 3-1, Terengganu mendapat sepakan penalti selepas pemain gantian, Chijioke dijatuhkan dalam kotak penati oleh penjaga gol lawan.
Safawi yang mengambil sepakan tersebut tidak mempunyai masalah untuk menjaringkan gol kedua buat Terengganu.
Namun ia sudah terlewat buat pasukan tuan rumah untuk bangkit, kedudukan 3-2 kekal hingga wisel penamat.
21 Aug 24
504