lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Sambutan Kemerdekaan DUN Cukai Semarak Semangat Patriotisme
Sambutan Kemerdekaan DUN Cukai Semarak Semangat Patriotisme
KEMAMAN, 28 Ogos - Sambutan Hari Kemerdekaan Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai yang diadakan bersempena dengan Bulan Kebangsaan 2024 menjadi platform terbaik untuk menyemarakkan semangat patriotisme dan rasa cinta kepada negara dalam kalangan komuniti di sini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat berkata pelbagai aktiviti akan diadakan termasuk Malam Ambang Merdeka. "Kami akan mengadakan pelbagai acara yang boleh melibatkan ahli keluiarga dan juga sukan. "Dalam masa sama, kami telah menyediakan pelbagai hadiah menarik untuk cabutan bertuah. "Justeru itu, kami menyeru kepada seluruh masyarakat di daerah ini dan sekitarnya untuk hadir beramai-ramai bagi sama-sama memeriahkan program yang kami adakan ini," katanya yang juga merupakan Pengerusi Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat Negeri Terengganu. Untuk makluman, program tersebut akan berlangsung selama tiga hari bermula 29, 30 dan 31 Ogos. Pelbagai acara yang diadakan seperti Forum Bicara Merdeka, Pertandingan Mewarna, Pertandingan Sajak, Busana Cilik Merdeka, Kejohanan Penalti, Persembahan Silat, Pertandingan Basikal Berhias, Persembahan Pentas dan lain lain. Forum Bicara Merdeka pula akan menampilkan tetamu istimewa iaitu Saiful Apek, Pencetus Ummah (PU) Rahmat, Pencetus Ummah (PU) Amin dan Syed Norhisyam Tuan Padang.    
28 Aug 24
422
SMK Bukit Sawa Cipta Sejarah, Juara 'Youth Aerospace Award at MyAero 2024'
SMK Bukit Sawa Cipta Sejarah, Juara 'Youth Aerospace Award at MyAero 2024'
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos- Hasil usaha tujuh pelajar bersama seorang guru dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Sawa, Marang berjaya membuahkan hasil apabila menjadi juara  dalam 'Youth Aerospace Award at MyAero 2024' yang berlangsung di Kuala Lumpur baru-baru ini. Berdepan persaingan daripada sekolah-sekolah lain , pasukan  SMK Bukit Sawa  berjaya menarik perhatian juri melalui produk inovasi mereka,  iaitu reka bentuk sayap 'Expandable Wingtip with Winglet' untuk kegunaan pesawat peninjau tanpa pemandu. Guru pembimbing, Badrul Hisyam Zakaria berkata rekaan tersebut boleh meningkatkan keupayaannya untuk terbang lebih lama di udara dan meningkatkan jarak penerbangan untuk melengkapkan sesuatu misi “Pasukan kami  menjadi johan peringkat Kebangsaan dalam kategori 'Innovate, Design and Visualise' dalam pertandingan berprestij itu dan  membolehkan SMK Bukit Sawa membawa pulang hadiah wang ringgit bernilai RM1,000 dan trofi.  "Kemenangan ini adalah bukti kecemerlangan dan keupayaan pelajar dari sekolah kategori luar bandar untuk sama-sama bersaing di peringkat kebangsaan yang diwakili sekolah hebat termasuk Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Berprestasi Tinggi dari seluruh negara,”ujarnya kepada pemberita. Menurutnya, sekolah juga memenangi pakej Program Pemerkasaan STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik) & TVET (Latihan Teknikal dan Vokasional) berkaitan aero angkasa oleh industri dan institusi pendidikan di sekolah pada sesi pembelajaran tahun 2025. Inovasi tersebut adalah hasil usaha tujuh pelajar bersama seorang lagi guru, Noor Azmi Sulaiman yang dimulakan sejak Julai 2024 melalui pertandingan 'My Aero STEM Quest Innovate, Design and Visualise; Wing Design and Wind Tunnel Design'. Mengulas lanjut, beliau berkata, SMK Bukit Sawa telah mendapat tajaan daripada Terengganu Incorporated (TI) Sdn Bhd sejak tahun 2023 untuk memastikan program pembelajaran STEM dan pendidikan awal aeroangkasa yang berimpak tinggi dapat dijalankan di sekolah tersebut. Tambahnya, tajaan tersebut membolehkan pihak sekolah pergi lebih jauh dalam program inovasi bagi melahirkan pakar-pakar dalam bidang tersebut. "Kami teruja dengan kemenangan ini dan berharap agar lebih ramai pihak industri dan korporat dapat menyokong dan menaja program aeroangkasa di peringkat awal pendidikan. "Usaha ini penting untuk menarik lebih ramai minat pelajar dan seterusnya membolehkan mereka meneroka bidang aeroangkasa negara pada masa akan datang," katanya.
28 Aug 24
814
Fokus Lahirkan Bakat Muda Seni Silat
Fokus Lahirkan Bakat Muda Seni Silat
Fokus Lahirkan Bakat Muda Dalam Seni Silat MARANG, 27 Ogos - Pertubuhan Seni Silat Gayong Jati Malaysia (PSSGJM) Gelanggang Awam Marang yakin mampu melahirkan bakat-bakat muda dalam seni silat sekali gus mengekalkan tradisi warisan itu. Pengerusinya, Cikgu Suhadi Mohd berkata majlis Ujian Kenaikan Bengkung yang diadakan baru-baru telah memperlihatkan komitmen yang tinggi daripada orang muda.  Katanya, program melibatkan 86 orang (79 Bengkung Pra Putih Cula 1, 7 Bengkung Hijau) daripada Gayong Jati Marang dan 15 orang daripada Gayong Jati Kuala Nerus itu disifatkan sangat berjaya. “Peserta yang diberi kenaikan bengkung inilah yang akan menggantikan kami di masa depan, mereka ini bakat baru yang juga bakal menggembangkan lagi seni silat gayong,” katanya. Sementara itu, Ketua Waris Lembaga Adat PSSGJM, Mohd Zakaria Muda berkata, hasil yang dikecapi pertubuhan selama melatih peserta terbabit cukup membanggakan. Ujar beliau, silat bukan sahaja digunakan sebagai satu seni untuk mempertahankan diri tetapi juga dijadikan sebagai satu aktiviti untuk meningkatkan jati diri terutamanya bagi anak muda. “Saya berharap anak muda akan diberi pendedahan lebih lagi berkaitan silat dan akan diperluaskan lagi agar warisan kita dapat terus terpelihara “Usaha ini harus diteruskan untuk generasi akan datang, penganjuran program seperti ini membuktikan seni silat tidak akan mati bahkan sentiasa ada pelapis baru. “Kita mengharapkan seni silat akan terus berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.  
27 Aug 24
414
TTI Perkenalkan Dua Feri Crystal Cruise Sempena Kemerdekaan
TTI Perkenalkan Dua Feri Crystal Cruise Sempena Kemerdekaan
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Pihak Taman Tamadun Islam telah melakukan gimik memperkenalkan dua buah feri 'Crystal Cruise' sempena sambutan hari Kebangsaan pada program Sunset Cruise Perarakan Jalur Gemilang semalam.. Dalam acara yang dianjurkan oleh TTI itu, dua buah feri itu diiringi oleh 25 buah jetski yang mengibarkan bendera Jalur Gemilang. Pengurus Besar TTI, Mohd Fadhil Wahab berkata, program yang diadakan bukan sahaja membangkitkan semangat kemerdekaan di kalangan rakyat setempat tetapi ia juga bagi mendedahkan kepada rakyat Terengganu tentang perkhidmatan dan produk pelancongan yang ada untuk dinikmati semua. "Sekarang ini salah satu kempen yang kita buat sempena merdeka ini ialah menaiki Feri Crystal Cruise sempena merdeka ini di mana kita tawarkan pakej 'Sunset Cruise', 'Night Cruise' makan atas bot dan sebagainya. "Kita buka peluang kepada semua pelancong sama ada dari dalam ataupun luar untuk merasai sendiri pengalaman berada di atas feri ini, ia menawarkan pemandangan yang indah sepanjang menyelusuri Sungai Terengganu dengan harga semua orang akan mampu. "Dapat melihat bandar Terengganu dari atas feri dan kita akan berhenti di Jambatan Angkat bagi merasai pengalaman melihat matahari terbenam atau suasana malam," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di sini, semalam. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Husaimi Hussin,Pengarah Jabatan Pelancongan negeri Ahmad Ridzwan Abdul Rahman. Di samping ia turut dihadiri, Pengurus-Pengurus Besar Kumpulan PMINY, wakil Jabatan kerajaan dan GLC serta Pengiat Pelancongan. Dalam pada itu, Husaimi yang juga merupakan Pengerusi TTI menyeru orang ramai untuk hadir bagi menyemarakkan aktiviti pelancongan di TTI sempena bulan kemerdekaan yang bakal disambut. "Sebenarnya banyak lagi program-program yang akan dilaksanakan bagi dipersembahkan kepada pelancong yang bakal mengunjungi TTI ini. "Jadi jangan lepaskan peluang, kita pakat mari ramai-ramai ke sini," ujarnya. Untuk makluman sempena menjelang kemerdekaan TTI juga akan menganjurkan TTI Merdeka Camping yang berkonsepkan riadah bersama keluarga dengan pelbagai aktiviti menarik telah diaturkan. Antaranya, pertunjukan bunga api, pertandingan basikal berhias merdeka, cekoh durian dan sebagainya lagi.  
27 Aug 24
395
Kontrak Pengusaha Kantin Akibatkan Keracunan Makanan Tidak Disambung
Kontrak Pengusaha Kantin Akibatkan Keracunan Makanan Tidak Disambung
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos - Kontrak pengusaha kantin di sebuah sekolah berasrama penuh (SBP) di Kuala Nerus yang terpalit dengan isu keracunan makanan melibatkan sekumpulan pelajar baru-baru ini tidak akan disambung. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Jelani Sulong berkata, pengusaha kantin terbabit hanya dibenarkan beroperasi sehingga kontraknya berakhir November ini. Katanya, pengusaha tersebut ada mengemukakan permohonan untuk menyambung kontrak selama setahun lagi. “Tetapi apabila diambil kira dari segi perkhidmatan beliau, dalam keadaan yang tidak mengizinkan ini bermakna perkhidmatan tersebut akan tamat hujung tahun ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Pelancaran Al-Quran Di Hati yang disempurnakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Sekolah Kebangsaan Serada, semalam. Mengulas lanjut katanya, walaupun isu keracunan makanan membabitkan pelajar dikendalikan unit asrama penuh tetapi siasatan dilakukan mendapati berlaku kecuaian pengusaha kantin sehingga menyebabkan kes keracunan makanan. "Apa pun semua sudah balik ke sekolah semula dan telah selesai. Kita juga menunggu hasil siasatan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk mengesahkan keracunan makanan tersebut. "Kita juga akan hantar surat kepada sekolah-sekolah agar sentiasa bersiap-sedia dalam hal ini dan memberi perhatian yang teliti kepada pengusaha kantin supaya kejadian seperti ini tidak lagi berulang,” katanya.  
27 Aug 24
205
Bisa Nelson Bonilla Ditagih Kembalikan Kekuatan TFC
Bisa Nelson Bonilla Ditagih Kembalikan Kekuatan TFC
KUALA NERUS, 27 Ogos - Bisa pemain import baharu Terengganu FC (TFC), Nelson Bonilla ditagih bagi memperkuatkan kembali jentera serangan skuad penyu sekali gus menceriakan kembali peminat setia pasukan itu. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, prestasi sang penyu diharap dapat ditingkatkan semula penyerang itu selepas ketiadaan  Ivan Mamut yang mengalami kecederaan panjang. Ujarnya, ketiadaan penyerang telah menjadi faktor TFC tidak mampu beraksi cemerlang sebagaimana yang dikemukakan oleh Ketua Jurulatih, Tomislav Steinbruckner. "(Sebelum ini) 'coach' telah mengemukakan beberapa nama dan telah dibawa ke Jawatankuasa Teknikal dan Pemiilihan melibatkan semua pihak kejurulatihan dan pengurusan. "Tetapi sifat pemain ia agak subjektif walaupun prestasi sebelum ini di kelab asal bagus namun sewaktu datang berlaku sebaliknya. "Apa yang kita harapkan 'striker' yang kita ambil ini, Nelson Bonilla mampu menterjemahkan prestasi yang sama seperti dia beraksi di liga Thailand," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, di  pejabat Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) semalam. Mengulas lebih lanjut, adalah menjadi harapan agar peminat tidak putus asa untuk terus memberikan sokongan yang padu buat TFC kerana masih berada dalam kedudukan yang baik pada saingan Liga Super. "Berada di tangga ketiga tidaklah terlalu teruk, kita juga tidak mencatatkan lagi kekalahan di laman sendiri melaikan tempoh hari ketika berhadapan Svay Rieng FC dalam saingan ASEAN Club Championship (ACC) Piala Shoope 2024/25 dengan kekalahan 3-2." katanya.
27 Aug 24
384
33,300 Anak Benih Dilepaskan, Tingkat Hasil Tangkapan
33,300 Anak Benih Dilepaskan, Tingkat Hasil Tangkapan
Oleh: Fauzi Mat Adam Marang, 27 Ogos- Program pelepasan benih ikan berupaya meningkatkan sumber perikanan semulajadi sekali gus memberi manfaat ekonomi jangka panjang kepada penduduk kampung. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, sebagai inisiatif memulihara sumber perikanan sungai dan memperkayakan biodiversiti akuatik, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pengkalan Berangan dengan kerjasama Jabatan Perikanan Daerah Marang telah melepaskan 33,300 benih ikan di sungai kampung berkenaan. "Program ini bukan sahaja untuk menambah stok ikan di sungai, tetapi juga sebagai usaha untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan menjaga ekosistem air tawar yang berharga ini. “Sebanyak 33,300 benih ikan pelbagai spesies seperti siakap, baung, ikan baung serta udang udang galah telah dilepaskan ke dalam sungai tersebut.  “Benih-benih ikan ini diharapkan dapat membiak dan menyumbang kepada peningkatan hasil tangkapan bagi komuniti setempat di masa akan datang,” ujarnya. Katanya, inisiatif tersebut juga bertujuan memulihkan populasi ikan di sungai-sungai tempatan yang telah terjejas akibat aktiviti pembangunan dan pencemaran. “Dengan adanya program perlepasan benih ikan seperti ini, kita dapat memastikan kelangsungan ekosistem sungai serta menyediakan sumber pendapatan tambahan kepada penduduk melalui aktiviti perikanan. “Ini juga selari dengan hasrat kerajaan negeri untuk membangunkan sektor perikanan secara mampan,” katanya. Sementara itu, Pengerusi JPKK Pengkalan Berangan, Suhaimi Mohamad berkata, pihaknya sentiasa bersedia untuk terus bekerjasama dengan jabatan-jabatan kerajaan dalam usaha meningkatkan taraf hidup penduduk kampung. “Program seperti ini sangat bermakna kepada penduduk tempatan. Kami akan terus menyokong inisiatif yang dapat membawa manfaat kepada komuniti, termasuklah dalam bidang perikanan dan pertanian,” ujarnya.  
27 Aug 24
132
Yang di-Pertuan Muda Terengganu Berkenan Turun Bersihkan Pantai
Yang di-Pertuan Muda Terengganu Berkenan Turun Bersihkan Pantai
KUALA TERENGGANU, 27 Ogos- Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin mencemar duli berkenan merasmikan Program Pembersihan Pantai Batu Buruk, hari ini. Keberangkatan tiba Tengku Muhammad Ismail pada jam 9.00 pagi diiringi Tengku Sri Setia Mahkota Raja, disambut Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir Dr  Ahmad Samsuri Mokhtar dan sebahagian Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta pegawai-pegawai kanan kerajaan. Majlis dimulakan dengan alunan doa dari Dato' Mufti Terengganu, Sahibus Samahah Dato' Dr. Mohamad Sabri Haron dan persembahan ucapan oleh Ahmad Samsuri.  Dalam majlis anjuran Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dan syarikat swasta, MS Citajaya Sdn Bhd itu, Raja Muda Terengganu berkenan 'turun padang' untuk sama-sama membersihkan Pantai Batu Buruk bersama masyarakat dan badan bukan kerajaan antaranya Geng Plastik Ija. Tengku Muhammad Ismail berangkat pulang pada sekitar jam 10.00 pagi diiringi Tengku Sri Setia Mahkota Raja sebelum majlis bersurai.  
27 Aug 24
416
Terengganu Selaras Kenaikan Gaji Ikut Persekutuan
Terengganu Selaras Kenaikan Gaji Ikut Persekutuan
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos- Kerajaan Terengganu akan mengikut jejak langkah kerajaan Persekutuan untuk menyelaras semula kenaikan gaji kira-kira 14,457 penjawat awam di negeri ini. Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja dalam satu kenyataan baru-baru ini. “Sudah ada kenyataan dari Setiausaha Kerajaan Negeri berkaitan peyelarasan gaji dan kita akan follow (ikut) penyelarasan gaji itu, sekarang ini kita sedang berbincang dengan pihak kementerian kewangan tentang langkah selanjutnya,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelarasan gaji penjawat awan di negeri ini susulan kenaikan gaji yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Program Pelancaran Al-Quran Di Hati yang disempurnakan Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Sekolah Kebangsaan Serada, hari ini. Dalam pada itu katanya, perincian lanjut mengenai penyelarasan gaji bagi penjawat awam berjawatan kontrak akan dimaklumkan kemudian. “Sebab kita kena tengok kos keseluruhan dan bagaimana perundingan kita dengan pihak kementerian kewangan,” katanya. Ketika ditanya adakah penyelarasan gaji akan menjejaskan kewangan negeri beliau menafikan perkara tersebut. “Sekiranya itu (penyelarasan gaji) dimasukkan ke dalam emolumen yang sepatutnya dibayar oleh kerajaan negeri dan diambil oleh wang tunai petroleum sepatutnya tidak ada apa-apa masalah,” jelasnya. Terdahulu dalam satu kenyataan kepada media, Tengku Seri Bijaya Raja memaklumkan, pihaknya akan mengumumkan kenaikan gaji tersebut berdasarkan pekeliling yang akan dikeluarkan kelak. Katanya, Terengganu tidak pernah gagal untuk mengikut Pekeliling berkaitan dengan pelarasan gaji kepada penjawat awam. "Bermula dengan pelarasan gaji daripada Skim Gaji Kabinet kepada Skim Saraan Baru, Skim Saraan Malaysia hinggalah sekarang. "Cuma kebiasaannya, kerajaan akan memberi pilihan kepada penjawat awam sama ada mahu mengikut skim baharu atau nak kekal skim lama..., jadi kena tengok Pekeliling dahulu," ujarnya.  
26 Aug 24
378
Persatuan Renang Mohon Maaf Hantar Penerjun Wanita Muslim
Persatuan Renang Mohon Maaf Hantar Penerjun Wanita Muslim
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Persatuan Renang Amatur Terengganu (PRAT) tampil memohon maaf atas kesilapan menghantar penerjun wanita beragama Islam ke kejohanan Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak baru-baru ini tanpa pengetahuan Exco Kerajaan Negeri  Presiden PRAT,  Dato' Toh Chin Yaw berkata, pihaknya bertanggungjawab penuh terhadap isu yang menimbulkan rasa kurang senang dalam masyarakat itu. “Sebelum ini kita telah banyak kali berjumpa dengan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dan berbincang tentang syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan negeri. “Dalam pertemuan sebelum ini juga, kita memohon untuk menghantar atlet-atlet ini ke SUKMA, kerana mereka telah lama berlatih dan menyertai kejohanan di luar negara melalui persatuan. “Tetapi untuk SUKMA ini kita hantar atlet melalui inisiatif PRAT sendiri dengan peruntukan dan tanggungan persatuan serta ibu bapa atlet tersebut,” katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya di pejabat MSNT hari ini. Mengulas lanjut Chin Yaw berkata, Kerajaan Negeri sentiasa memberi peringatan mengenai pakaian dalam sukan terbabit apabila melibatkan atlet muslim. “Kami salah faham tentang isu kod pakaian, kami ingat ia biasa sahaja kerana ia diseragamkan di peringkat antarabangsa dalam mana-mana kejohanan, sehinggalah ia menjadi isu baru kami sedar kesilapan kami. “Pengurus pasukan selalu berbincang dengan Exco Kerajaan Negeri dan isu mengenai pakaian sering ditekankan, kami fikir pakaian yang telah ditetapkan badan renang negara dan dunia itu tiada masalah,” katanya. Sementara itu, Pengurus Sukan Terjun, Foo Wai Choo mengakui Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO sudah melarang pihaknya menghantar atlet wanita beragama Islam ke SUKMA kerana menyalahi kod etika pakaian. “Selepas ini kami akan cuba untuk mencari bakat daripada kalangan bukan Islam sebagaimana dibenarkan Kerajaan Negeri,” katanya. Dalam pada itu, Hishamuddin berkata, pihaknya tidak menghalang sekiranya atlet dalam sukan terbabit disertai bukan Islam. “Bahkan atlet berkenaan turut akan diletakan dalam program pembangunan sukan Terengganu, kerajaan akan beri sokongan. “Dalam isu yang telah tular sehari dua ini kita berharap agar semua pihak tidak 100 peratus menyalahkan persatuan, isu ini ada hikmahnya, kita boleh melihat rakyat menyokong penuh garis panduan sukan yang diperkenalkan kerajaan negeri. “Ia sangat berbeza dengan SUKMA 2022 dahulu. Kita dikecam sewaktu kerajaan tidak membenarkan atlet wanita islam sertai gimnastik, sekarang dikecam kerana didakwa menghantar atlet wanita islam sertai acara terjun. Jadi yang lemah kita perbaiki, yang baik kita teruskan,” jelasnya. Terdahulu, seorang pemimpin parti politik berkepentingan mendakwa Kerajaan Terengganu menghantar atlet wanita muslim bagi menyertai acara terjun di SUKMA.
26 Aug 24
4240