lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Sultan Terengganu Titah Perkasakan Program Pupuk Akhlak Mulia Anak Muda
Sultan Terengganu Titah Perkasakan Program Pupuk Akhlak Mulia Anak Muda
KUALA NERUS, 16 September - Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin menitahkan agar program memupuk akhlak mulia dan sahsiah terpuji kalangan anak muda di negeri ini diperkasakan. Baginda bertitah, usaha perlu dilakukan melalui institusi pendidikan agama bagi menyediakan ruang yang mencukupi untuk pembelajaran ilmu agama yang komprehensif dan mendalam.  "Masjid dan surau bukan sahaja dijadikan tempat beribadat tetapi juga pusat pendidikan dan pembentukan akhlak. "Program-program seperti kelas agama, kuliah maghrib dan kem ibadah harus diperbanyakkan dan diperkuatkan. "Sebagai contoh, Program Sijil Pengajian Agama Islam Terengganu (SPAIT) yang telah dilaksanakan di masjid-masjid terpilih di negeri Terengganu menjadi platform terbaik kepada rakyat untuk mengikuti pengajian agama secara berstruktur dan tersusun," titah baginda. Baginda bertitah demikian ketika berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Terengganu, di Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di sini, hari ini.  Keberangkatan tiba baginda mencemar duli merasmikan majlis tersebut turut diiringi, Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah bersama paduka anakanda, Yang Dipertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail.  Terdahulu keberangkatan tiba baginda berdua disambut Menteri Besar Terengganu, Dato'  Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.  Dalam pada itu, baginda turut berharap agar program memperkasakan akhlak rakyat seperti SPAIT  dapat diperluaskan lagi dan merangkumi seluruh masjid kerajaan di  Terengganu pada masa akan datang. "Bersempena sambutan Maulidur Rasul pada kali ini juga, Beta mendoakan semoga kita semua dirahmati dan diberi taufik oleh Allah SWT. "Semoga apa yang dilaksanakan ini akan menjadi asbab untuk kita mendapat syafaat besar Rasulullah SAW hari akhirat nanti, insya-Allah," titah baginda. Sementara itu, baginda turut berkenan menyempurnakan penyampaian hadiah kepada pemenang-pemenang perarakan bersempena Sambutan Maulidur Rasul kali ini.  
16 Sep 24
299
'Jadikan Aktiviti Kebajikan Sebagai Pengisian RXZ Members' - Dr Sam
'Jadikan Aktiviti Kebajikan Sebagai Pengisian RXZ Members' - Dr Sam
KUALA NERUS, 16 September - Penganjur RXZ Members dicadang agar menjadikan aktiviti kebajikan sebagai pengisian program agar ia lebih bermakna. Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pelbagai aktiviti boleh dilakukan agar ia meninggalkan kesan sekali gus akan mendiamkan pihak yang suka melakukan tohmahan negatif terhadap peserta RXZ Members. "Antara perkara yang boleh dijadikan pengisian seperti membersihkah masjid, street dakwah, bergotong royong bersama dengan komuniti setempat, street dakwah dan pelbagai lagi. "Melalui aktiviti positif yang dilakukan akan mendatangkan kebaikan kepada diri masing-masing sekali gus menghakis persepsi negatif," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutup Program RXZ Members, di Litar Permotoran Gong Badak, di sini, kelmarin. Mengulas lebih lanjut, Ahmad Samsuri merakamkan penghargaan terima kasih di kepada seluruh pihak masjid di negeri ini yang telah memberikan layanan begitu baik kepada para peserta serta membenarkan masjid dijadikan tempat tidur dan berehat malah ada yang turut menyediakan makanan. "Selepas ini para peserta akan pulang, saya nasihatkan agar jaga keselamatan diri beri kerjasama kepada pihak berkuasa (polis). "Perjalanan yang jauh sudah tentu memakan masa yang lama, ambil masa untuk berhenti rehat dna jangan lupa untuk solat," katanya.  
16 Sep 24
281
SG4: Hasil Sedia Ada Kekal Selaras Undang-Undang Negeri
SG4: Hasil Sedia Ada Kekal Selaras Undang-Undang Negeri
KUALA TERENGGANU, 15 September – Empat kerajaan negeri iaitu Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis (SG4) akan terus menikmati aliran pendapatan sedia ada dan yang akan datang berkaitan dengan tanah, mineral dan sumber lain milik setiap kerajaan negeri di bawah undang-undang dan peraturan sedia ada melalui penubuhan SG4 Group Sdn Bhd (SG4SB). Ketua Pegawai Eksekutif TSIS merangkap Ketua Sekretariat SG4, Prof. Madya Dr. Mohd Hanif Yaacob berkata ini termasuk tribute, royalti, premium dan lain-lain jenis pendapatan yang perlu dibayar terus kepada kerajaan negeri oleh setiap syarikat pengusaha. Menurutnya, keadaan itu tidak jauh beza dengan struktur sedia ada di mana setiap kerajaan negeri menerima bayaran di atas secara terus melalui Perbendaharaan Negeri walaupun jika sesuatu projek itu dilaksanakan oleh GLC Negeri, atau mana-mana syarikat swasta atau perusahaan daripada mana-mana pihak. “Bayaran lain mungkin termasuk satu peratusan tambahan yang dipersetujui di mana setiap Kerajaan Negeri terima di atas bayaran royalti sedia ada berdasarkan jumlah input sumber yang dibekalkan oleh setiap negeri di dalam penjanaan aliran hasil  yang dijalankan oleh SG4SB. “Model ini boleh disamakan dengan hasil minyak di mana negeri seperti Terengganu atau Kelantan menerima bayaran royalti berdasarkan peratusan input atau sumber minyak yang dijana daripada negeri-negeri ini.  “Peratusan pembayaran royalti throughput hendaklah ditentukan berdasarkan persetujuan bersama empat negeri,”ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.  Katanya,  selepas mengambil kira pembayaran-pembayaran di atas kepada empat kerajaan negeri, dan kos-kos operasi SG4SB, akan ada keuntungan yang boleh diagihkan sebagai bayaran dividen kepada setiap kerajaan negeri (ataupun kepada syarikat korporat mewakili setiap kerajaan negeri yang memegang saham dalam SG4SB), berdasarkan pegangan ekuiti masing-masing 25 peratus. Tambahnya, peranan GLC sedia ada di setiap negeri tidak akan  terjejas dalam  meneruskan peranan sedia ada dalam menjalankan inisiatif pelaburan dan projek pembangunan di setiap Negeri.  “Ini juga termasuk  syarikat dan kontraktor tempatan yang akan terus menjalankan perniagaan dan melaksanakan projek di setiap negeri.  Bahkan, syarikat GLC negeri-negeri ini dialu-alukan untuk turut menyertai usahaniaga perniagaan yang diterokai SG4SB. “Namun disana, terdapat projek yang berskala besar dan berkepentingan strategik dengan cabaran teknologi tertentu yang memerlukan empat kerajaan negeri bekerjasama untuk menarik pelabur yang bereputasi dan mencapai faedah-faedah yang dinyatakan,”ujarnya. Menurut beliau, salah satu satu contoh adalah berkaitan dengan cadangan pelaburan yang berkaitan dengan NR-REE, di mana SG4SB perlu bekerjasama rapat dengan GLC-GLC dan agensi-agensi di empat kerajaan negeri ini.  “Ini akan memberikan empat kerajaan negeri melalui SG4SB kedudukan perundingan yang lebih baik dan syarat yang lebih baik diharapkan dengan pihak pelabur yang berpotensi.  “Begitu juga, pihak pelabur akan merasa lebih beruntung kerana ia menikmati jumlah deposit atau  rizab yang lebih besar yang boleh bertahan untuk lebih banyak tahun pengoperasian bagi membolehkan pelaburan bernilai jutaan/bilion ringgit dapat dilaksanakan dengan pulangan kewangan yang menguntungkan kepada kedua-dua pihak pelabur dan SG4SB, serta akhirnya kepada empat kerajaan negeri,” jelasnya. Dr Mohd Hanif juga berkata terdapat juga projek-projek di dalam negeri tertentu yang memerlukan bantuan, kepakaran dan sumber daripada Negeri SG4 yang lain. “Ini termasuk, sebagai contoh, projek berasaskan pertanian  yang memerlukan kawasan tanah yang luas yang tidak mampu disediakan oleh hanya satu negeri.  “Oleh itu, SG4SB boleh bekerjasama dengan pelabur dan GLC atau agensi daripada tiga negeri SG4 yang lain dengan model perniagaan tertentu yang akan dipersetujui bersama oleh semua pemegang taruh,”tambahnya.
15 Sep 24
262
Projek Lada Hitam Memasuki Fasa Bina Kilang
Projek Lada Hitam Memasuki Fasa Bina Kilang
KUALA TERENGGANU, 15 September- Pembangunan projek lada hitam Mc Cormick di Lembah Bidong, Setiu telah memasuki fasa pembinaan kilang. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perladangan, Komoditi dan Pembangunan Luar Bandar Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, perluasan kawasan ladang juga sedang dibangunkan secara berfasa sehingga mencapai keseluruhan keluasan 600 hektar. “Hampir 400 orang anak Terengganu sedang bekerja di sini, menjadi sebahagian dari kejayaan projek berskala mega ini. “Ia suatu indikator bahawa anak Melayu Terengganu mempunyai kualiti yang mampu memenuhi standard kerja sebuah syarikat antarabangsa seperti Mc Cormick,” ujarnya dalam satu hantaran di laman facebook rasminya. Mengulas lanjut katanya, semasa perancangan projek sedang disusun, Kerajaan Negeri meletakkan syarat supaya pihak pelabur membina sebuah kilang pemprosesan sebagai sebahagian dari komponen projek.  “Dengan wujudnya kilang, jumlah peluang pekerjaan dapat ditingkatkan serta pemindahan teknologi akan berlaku.  “Adalah satu kerugian andai produk keluaran negeri kita hanya dieksport sebagai bahan mentah bagi diproses di tempat lain,” ujarnya.
15 Sep 24
4778
Polis Sahkan Terima Laporan Peserta RXZ Members Diperdaya Scammer
Polis Sahkan Terima Laporan Peserta RXZ Members Diperdaya Scammer
KUALA NERUS, 15 September- Ketua Polis Negeri Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin mengesahkan bahawa pihaknya menerima laporan peserta RXZ Members diperdaya 'scammer'. Ujarnya, terdapat empat laporan daripada peserta program permotoran terbesar itu diperdaya oleh pihak yang menawarkan penginapan inap desa yang tidak wujud. "Tahun ini tiada kes kecurian motor dilaporkan berlaku namun kali ini cuma kita dapat laporan kes 'scammer' menawarkan homestay (yang tidak wujud).  "Ada empat kes yang berlaku dan pihak telah diperdaya itu kita nasihatkan dia buat laporan bagi pihak kita melalukan siasatan yang terperinci," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menghadari perasmian penutup program RXZ Members di Litar Permotoran Negeri Gong Badak, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Khairi berkata secara keseluruhanya pihaknya berpuas hati dengan penganjuran program berkenaan dengan keadaan terkawal cuma masih ada segelintir peserta yang gagal mematuhi undang-undang. "Sepanjang pemerhatian sebilangannya masih tiada ada 'side mirror' kiri dan kanan. " Masih ada lagi yang memakai ekzos bising, dari sudut yang lain tidak begitu ketara," ucap beliau. Sementara itu katanya, pihaknya setakat ini tidak menerima sebarang laporan ada pserta RXZ Members yang terlibat dalam kemalangan.  
14 Sep 24
595
Dr Sam Sekali Lagi Curi Tumpuan Bawa RXZ
Dr Sam Sekali Lagi Curi Tumpuan Bawa RXZ
KUALA NERUS, 14 September - Hari ini sekali lagi Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mencuri tumpuan apabila menunggang motosikal RXZ. Beliau menunggang motosikal Yamaha RXZ itu sejauh 15 kilometer (KM) bermula dari Kediaman Seri Setia hingga ke Tapak Program RXZ Members 6.0 di Litar Permotoran Negeri Gong Badak. Pada kali ini sambutan terhadap program berkenaan mendapat sambutan yang sangat luar biasa apabila menerima kehadiran mencecah 80,000 melibatkan peserta dari seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak. Program berkenaan dijangka akan berakhir pada jam 6.30 petang.  
14 Sep 24
671
10 Projek Berimpak Tinggi Dalam Draf Rancangan Tempatan Hulu Terengganu
10 Projek Berimpak Tinggi Dalam Draf Rancangan Tempatan Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 13 September - Sebanyak 111 cadangan pembangunan dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu, Terengganu 2035 (Penggantian) bernilai RM14.08 bilion yang akan dilaksanakan dalam tempoh 11 tahun. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata ia membabitkan 10 projek berimpak tinggi bernilai RM11.29 bilion, 59 projek 'enabler' berjumlah RM2.39 bilion dan 42 projek 'quick win' bernilai RM387.57 bilion. Menurutnya, antara projek berimpak tinggi yang berada di dalam RT ialah cadangan Ladang Solar Terapung di Tasik Kenyir yang akan dimulakan dalam tempoh enam bulan akan datang. "Tasik Kenyir sebagai sumber ekonomi melalui eko pelancongan serta potensi tenaga hijau yang boleh dimanfaatkan selari dengan hasrat serta hala tuju Menteri Besar Terengganu untuk tidak bergantung kepada minyak dan gas serta beralih ke tenaga boleh diperbaharui. "Sehubungan itu, kerajaan negeri telah memulakan langkah yang proaktif melalui Ladang Solar Terapung untuk meningkatkan pendapatan negeri dan daerah Hulu Terengganu," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Hulu Terengganu, Terengganu 2035(Penggantian)di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT) di sini semalam. Tambahnya, antara projek berimpak tinggi lain yang berada di dalam DRTDHT adalah menaik taraf jalan raya antara Tasik Kenyir ke Aring hingga sempadan Kelantan, selain membangunkan Pusat Pemindahan Kekal Bencana(PPKB). "Ia juga melibatkan pembaharuan semula Bandar Kuala Berang dan pembangunan bandar Domitri Ajil dan beberapa lagi projek HIP," ujarnya. Justeru itu, beliau menyeru seluruh penduduk daerah Hulu Terengganu khususnya pemimpin masyarakat untuk mengambil peluang sama-sama mengemukakan maklumbalas dan termasuk orang awam membuat semakan di kaunter semakan dalam tempoh empat minggu ini. Tambah Wan Sukairi, kerajaan negeri sentiasa memberikan komitmen yang tinggi bagi penyediaan Rancangan Pemajuan di seluruh Terengganu. "Setiap tahun kita menyalurkan peruntukan pembangunan khusus bagi menampung kos penyediaan Rancangan Pemajuan kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Terengganu (PLANMalaysiaTerengganu) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berkaitan bagi RT yang telah tamat tempoh perancangan," ujarnya.
13 Sep 24
1593
Kerajaan Negeri Salur RM2.59 Juta Elaun Guru Al-Quran
Kerajaan Negeri Salur RM2.59 Juta Elaun Guru Al-Quran
KUALA TERENGGANU, 12 September - Kerajaan Negeri akan menyalurkan peruntukan sebanyak RM2.59 juta kepada Yayasan Islam Terengganu (YIT) pada minggu hadapan untuk diagihkan kepada guru-guru al-Quran. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bayaran itu adalah elaun mengajar bagi bulan Januari hingga Ogos tahun ini. "Kos itu melibatkan 1,380 guru di seluruh Terengganu dengan jumlah keseluruhan sebnyak RM440,000 bagi setiap bulan," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini. Jelas Dr Muhammad Khalil lagi, bagi bayaran untuk bulan berikutnya, peruntukan bagi tujuan tersebut akan disalurkan seperti biasa pada setiap bulan. "Jadi insya-Allah tidak akan timbul lagi masalah bayaran lewat atau tertangguh. "Kelewatan yang berlaku adalah disebabkan masalah bayaran royalti di peringkat Persekutuan. "Tahun-tahun sebelum ini masalah agihan elaun kepada guru-guru tidak berlaku kerana wang royalti disalurkan seperti biasa dan tanpa sebarang kaedah yang menyulitkan," jelasnya.
12 Sep 24
2137
Untung Tiga Tahun Berturut-turut, Terengganu Inc Sasar Pendapatan RM1.8 Bilion
Untung Tiga Tahun Berturut-turut, Terengganu Inc Sasar Pendapatan RM1.8 Bilion
KUALA TERENGGANU, 12 September - Selepas merekodkan prestasi memberangsangkan selama tiga tahun berturut-turut, syarikat pelaburan induk strategik Kerajaan Terengganu, Kumpulan Terengganu Inc menyasar pendapatan sebanyak RM1.8 bilion pada tahun ini. Menteri Besar, Datuk Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, sasaran itu ditingkatkan 24 peratus iaitu RM358 juta lebih tinggi berbanding tahun lalu susulan pencapaian keseluruhan kumpulan tersebut menunjukkan peningkatan bermula dari tahun 2018. “Pendapatan pada tahun 2018 adalah sebanyak RM964 juta dan pada tahun 2023 telah meningkat kepada RM1.5 bilion, peningkatan 58 peratus.  “Pada tahun 2018, kerugian sebelum cukai sebanyak RM43 juta telah bertukar kepada keuntungan sebelum cukai sebanyak RM78 juta pada tahun 2021, RM76 juta 2022 dan RM46 juta pada 2023. “Bagi tahun 2024 ini, Kumpulan Terengganu Inc menyasarkan pendapatan sebanyak RM1.8 bilion dengan keuntungan sebelum cukai dianggarkan akan mencecah RM100 juta,” kata pengerusi syarikat induk pelaburan milik kerajaan negeri itu.  Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis makan malam sempena Program Latihan Korporat Lembaga Pengarah Syarikat Kumpulan Terengganu Inc, di Kuala Terengganu, kelmarin. Bergerak ke hadapan, Terengganu Inc telah dan akan mengambil beberapa langkah signifikan untuk memastikan keuntungan tersebut berterusan. “Antaranya kita akan mengurangkan kebergantungan kepada tanaman kelapa sawit dengan tidak menambah kawasan tanaman baharu. Terengganu Inc akan memperkenalkan langkah penambahbaikan dalam operasi dan peningkatan kecekapan di ladang sedia ada. “Kita juga bersungguh-sungguh mengusahakan program Carbon Credit unntuk menjana hasil baharu kepada kerajaan. Setakat ini Terengganu Inc telah mengadakan perbincangan dengan PETRONAS dan kita dalam proses mewujudkan dua projek rintis dalam merealisasikan sumber pendapatan baharu,” katanya. Jelas Ahmad Samsuri lagi, sektor penjagaan kesihatan juga sedang dikembangkan susulan kadar pertumbuhan yang tinggi sejak tiga tahun lalu. “Pendapatan dijangka mencecah RM900 juta pada 2030 berbanding lebih RM300 juta yang dicatatkan ketika ini. “Selain itu, ada satu projek bernilai RM1.5 bilion yang boleh dilaksanakan oleh syarikat berkaitan kerajaan (GLC)…yang saya tidak boleh sebut lagi. Insya-Allah mempunyai potensi yang tinggi untuk memperoleh projek berkenaan,” katanya. Tambah beliau, jika semua berjalan lancar, ia akan melonjakkan prestasi dan keuntungan Terengganu Inc sekali gus memberi banyak manfaat kepada rakyat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
12 Sep 24
1183
Negeri SG4 Sepakat Jadi Negeri Mesra Pendidikan Agama Rakyat
Negeri SG4 Sepakat Jadi Negeri Mesra Pendidikan Agama Rakyat
KUALA TERENGGANU, 11 September - Empat buah negeri  SG4 Terengganu, Kelantan, Kedah dan Perlis sepakat untuk menjadi negeri yang mesra dengan pendidikan agama rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, perkara itu telah disepakati dalam pertemuan kemuncak SG4 baru-baru ini. "Dalam pertemuan itu antara yang menjadi tumpuan adalah menjadikan empat buah negeri ini sebagai negeri yang mesra dengan pendidikan agama rakyat. "Supaya semua institusi agama yang dibangunkan secara persendirian yang dimiliki masyarakat membabitkan tahfiz, sekolah rendah Islam, koleh dan sebagainya untuk diberikan tumpuan dengan memberi sokongan dan dokongan semampu yang kita dapat. "Supaya institusi pendidkan agama ini akan sama-sama dapat berdiri tinggi dan sama-sama berusaha untuk memperkasakannya," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada ketika menyempurnakan perasmian Majlis Multaqa Badan Pengelola Institusi Pendidikan Islam Negeri Terengganu 2024, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata sejak 2018 kerajaan negeri sentiasa memberi tumpuan kepada sekolah agama rakyat ini agar tidak terpinggir dalam memastikan ia berupaya untuk memenuhi permintaan ibu bapa yang menjadikan sekolah agama sebagai alternatif terbaik. "Kita sama berusaha untuk mememnuhi permintaan ibu bapa yang memberikan kepercayaan untuk menghantar anak mereka ke pusat pengajian agama dengan pelbagai pilihan yang ada dalam memastikan generasi yang terbaik dan beriman akan dapat dilahirkan selaras dengan Terengganu yang dikenali sebagai 'Darul Iman'," ucap beliau. Dalam pada itu katanya kesedaran ibu bapa di Terengganu terhadap pendidikan agama sangat tinggi sehingga Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) sentiasa menjadi rebutan. "Kita sangat menitikberakan soal ini sehingga kita memberikan keutamaan dan berjanji bagi mewujudkan SRIDI di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang ini yang dah tebrina 12 dari 32. "Sekarang ini kita ke araha mewujudkan Sekolah Menengan Agama Islam Darul Iman (SMIDI). "Dengan permintaan yang tinggi menunjukkan bahawa kesedaran dalam kalangan masyarakat sangat baik dan akan membawa perkembangan pendidikan berorientasikan Islam semkain berkembang maju,"ujarnya.  
11 Sep 24
125