lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

Gelaran Ir Bukan Untuk Diri Saya - Ahmad Samsuri
Gelaran Ir Bukan Untuk Diri Saya - Ahmad Samsuri
KUALA TERENGGANU, 19 September - Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata gelaran Ir (Kejuruteraan Profesional) yang diperolehinya sejak bulan lalu, adalah bukan untuk diri sendiri. “Ramai kawan berbicara tentang pencapaian gelaran Jurutera Profesional, saya kata ini bukan tentang diri sendiri sahaja, tetapi untuk tujuan motivasi, nak tunjukkan kepada generasi baharu, terutama kepada mereka yang masih berada di dalam sistem pengajian, sama ada di peringkat menengah, ijazah, masters, mahupun PhD,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu 2023 (kali ke- 43) & Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM dan STAM di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam baru-baru ini. Ahmad Samsuri juga mengingatkan para pelajar supaya kekal bermotivasi dan sentiasa bersedia dengan apa jua cabaran dan dugaan yang bakal dihadapi. “Saya percaya kita akan bertemu dengan pelbagai cabaran dan ujian tak kira di mana berada sama ada di sekolah atau pun universiti, apabila tamat kita akan berdepan dengan dugaan alam pekerjaan pula, semua ini memerlukan semangat kuat dan kental, supaya kehidupan kita berjalan dengan baik. “Saya terinspirasi dari kata-kata lagenda tinju dunia Muhammad Ali, tidak ada salahnya jika ditumbuk dan jatuh dalam perlawanan, tapi rasalah bersalah andai jatuh tapi tidak bangun-bangun, jatuh itu bukan bermakna kita kalah. “Kita juga harus mempunyai objektif dan matlamat dalam kehidupan, supaya sasaran sijil paling tinggi itu dapat kita capai dengan jayanya,” katanya.
18 Sep 24
6681
Terengganu Komited Pulihara Seni Warisan Gamelan dan Rodat
Terengganu Komited Pulihara Seni Warisan Gamelan dan Rodat
KUALA TERENGGANU, 18 September - Kerajaan negeri terus komited memulihara seni warisan tradisional seperti gamelan dan rodat agar tidak lenyap ditelan zaman. Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, kerajaan negeri melalui Jabatan Pelancongan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan, melaksanakan inisiatif penting bagi memastikan seni warisan ini sentiasa diarus zaman dan diwarisi generasi muda. "Jabatan Pelancongan dan juga Pendidikan berusaha bagi pinjam alat gamelan berharga RM25, 000 hingga RM30, 000 satu set kepada empat sekolah yang terpilih untuk mereka mempelopori seni gamelan. "Sebagai satu usaha di peringkat negeri untuk kita lihat seni warisan gamelan tidak hilang," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Memorandum Persefahaman (MoU) Peminjam Alat Muzik Gamelan Melayu antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, pada semalam. Tambah beliau, inisiatif itu bertujuan memperkenalkan dan memperluaskan seni gamelan dalam kalangan pelajar, selain memastikan seni tradisional tersebut terus dipelihara. "Inilah usaha daripada kerajaan negeri di mana kita bukan sahaja memberikan peralatan, tetapi juga akan membimbing pemuzik-pemuzik gamelan.  "Pada masa yang sama, kita ingin menghidupkan kembali tarian gamelan itu sendiri, yang saya kira, jika tidak diusahakan sekarang, suatu hari nanti seni tersebut mungkin akan lenyap begitu sahaja," ujarnya. Katanya lagi, terdahulu beberapa sekolah telah menerima bantuan dalam bentuk tenaga pengajar sahaja, namun kali ini kerajaan negeri memberi pinjaman peralatan, dan ia merupakan kali pertama peralatan tersebut diberikan kepada empat buah sekolah terpilih. "Sebenarnya usaha ini kita buat dua tahun lepas cuma untuk perolehan alatan kena cari  sampai ke Indonesia, makan masa sikit untuk tempahan. "Kita tidak mampu memberikan peralatan kepada semua sekolah, jadi kami mengharapkan kerjasama dengan Jabatan Pendidikan Daerah dan pengetua sekolah untuk memanfaatkan peralatan yang ada di sekolah-sekolah terpilih. "Sekolah-sekolah berdekatan boleh mengambil peluang seterusnya akan membantu mengembangkan seni gamelan di sekolah-sekolah lain," katanya. Justeru itu, beliau berharap produk seni gamelan dan rodat ini dipulihara agar ia tidak pupuk ditelan dek zaman. "Insya Allah kalau kita ada peruntukan lagi mungkin boleh tambah lagi. "Saya mengucapkan terima kasih kepada Jabatan Pendidikan melalui Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, yang difahamkan sedang giat menghidupkan semula seni rodat dan merupakan antara sekolah yang memulakan inisiatif ini," tambahnya.
18 Sep 24
303
Program Komuniti DUN Bukit Payung Dapat Sambutan Hangat
Program Komuniti DUN Bukit Payung Dapat Sambutan Hangat
KUALA TERENGGANU, 18 September - Program Komuniti DUN Bukit Payong (PROKOM@DBP) yang berlangsung di Dataran Padang Bola Sepak Kampung Atas Tol kelmarin mendapat sambutan yang amat menggalakkan. Program yang dianjurkan sempena sambutan N18 Sejahtera berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti. Acara dimulakan dengan perarakan maulidur rasul diikuti dengan persembahan silat serta persembahan nasyid dari kumpulan Soutul Muhibbin yang memukau hadirin. Selain itu, pertandingan hafazan, azan, serta acara sukan rakyat seperti tarik tali turut memeriahkan suasana. Antara yang paling mendapat perhatian ialah sesi bicara cinta Rasul & Qasidah yang penuh penghayatan serta gol soccer untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 7 tahun, yang memberikan kegembiraan kepada anak-anak kecil. Pameran agensi kerajaan dan sukaneka wanita juga tidak ketinggalan menyemarakkan lagi program ini. Program ini turut dimeriahkan dengan jamuan rakyat serta penyampaian hadiah cabutan bertuah, hadiah utama berupa pakej percutian dua hari satu malam (2H1M) menjadi tumpuan utama peserta yang menanti dengan penuh debaran. Dengan tema 'N18 Sejahtera' program ini berjaya mencapai matlamatnya untuk merapatkan silaturahim di kalangan penduduk setempat serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam suasana penuh harmoni. ADUN Bukit Payung, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, beliau berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang, dengan pengisian yang lebih mantap dan bermanfaat buat komuniti setempat.
18 Sep 24
250
Lebih 50 Menu Ditawarkan, The Syrup Vs Soda Janjikan Pelanggan Boleh Kenyang Sampai Esok!
Lebih 50 Menu Ditawarkan, The Syrup Vs Soda Janjikan Pelanggan Boleh Kenyang Sampai Esok!
KUALA TERENGGANU, 18 September –Pernah tak rasa nak makan banyak-banyak sebab teringin sangat makanan tu? Tercari-cari restoran yang menghidangkan pelbagai menu dengan harga berpatutan dengan saiz hidangan yang banyak ? Jom ke The Syrup Vs Soda yang menawarkan lebih 50 sajian yang pasti memenuhi citarasa anda dengan harga berpatutan dari menu klasik hingga pilihan moden yang menggoda. Pengusahanya, Wan Noor Elya Wan Rezali, 38, berkata, dia menjanjikan keunikan dan keenakan hidangan Barat dan Melayu yang pasti tidak mengecewakan dan bagi penggemar masakan berkenaan mereka juga akan teruja dengan saiz hidangan ditawarkan. Menurutnya, keistimewaan hidangan di The Syrup Vs Soda bukan saja terletak pada saiz hidangan yang besar dan gaya penyediaan yang kreatif, tetapi turut dijual pada harga berpatutan. “Ini menyebabkan restoran ini sering menjadi tumpuan orang muda selain golongan berkeluarga kerana konsep kami adalah mementingkan kepuasan pelanggan. “Menu ditawarkan bermula dengan harga RM15 hidangan biasa sehingga RM90.00  untuk hidangan nasi goreng Wagyu dan yang pastinya anda pulang kekenyangan,” katanya. Ibu kepada tiga anak itu berkata antara menu paling diminati dan laris  adalah nasi goreng kambing, nasi goreng paru bersama petai, nasi goreng tomyam, pasta itik salai, burger dan semestinya air sirap soda resipi rahsia keluarganya. “Contohnya nasi goreng paru bersama  petai adalah warisan nenek moyang saya  dari Indonesia yang saya cuba bawa untuk pelanggan mencubanya… hasilnya kini menjadi antara menu ‘top seller’ di sini. “Begitu juga dengan minuman yang ditawarkan, semuanya dihasilkan dengan teliti bagi kepuasan pelanggan.Sirap yang digunakan pula adalah kegemaran kami sekeluarga sejak turun temurun,” ujarnya yang turut dibantu suami tersayang, Mohd Shafiq Jamaludin, 34.  Graduan Pengurusan Kulinari dari International Management Institute (IMI) Switzerland dan Kolej Damansara Utama itu berkata, pemilihan menu dilakukan secara teliti dan turut mengadakan sesi perbincangan bersama pihak pengurusan bagi memastikannya mampu menarik pelanggan untuk mencubanya. Terletak di pusat bandar raya Kuala Terengganu, The Syrup Vs Soda yang beroperasi dari pukul 4.30 petang hingga 11.30 malam kini mempunyai 30 kakitangan yang punyai kelebihan dalam bidang masing-masing.  Sebahagian chef masakan juga  berpengalaman luas dalam bidang penyediaan makanan di hotel-hotel terkemuka seluruh negara serta mempunyai kelulusan dalam bidang kulinari, untuk melancarkan lagi operasi restoran. Wan Noor Elya berkata dia kini mempunyai perancangan untuk menambahbaik restorannya dari segi menu dan membuka kedai yang lebih besar dan selesa di lokasi baharu demi kepuasan pelanggan yang datang menikmati hidangan di The Syrup Vs Soda dalam masa terdekat.  
18 Sep 24
456
Nelayan Terengganu Tarik Nafas Lega, Muara Sungai Ibai Kini Dalam Proses Pemulihan
Nelayan Terengganu Tarik Nafas Lega, Muara Sungai Ibai Kini Dalam Proses Pemulihan
KUALA TERENGGANU, 18 September – Nelayan di sekitar Muara Sungai Ibai di sini kini boleh menarik nafas lega apabila projek pemulihan muara tersebut sedang giat dilaksanakan.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata usaha ini bertujuan untuk menyelesaikan masalah lama yang membelenggu kehidupan nelayan, terutamanya yang bergantung kepada laluan muara tersebut untuk keluar ke laut mencari rezeki. “Projek ini merupakan hasil daripada aduan yang diterima daripada lebih 150 orang nelayan yang menggunakan muara Sungai Ibai setiap hari.  “Projek tersebut juga tidak hanya memberi manfaat kepada nelayan di Batu Buruk tetapi juga nelayan dari kawasan sekitar seperti Alor Limbat dan Rengas, memandangkan sungai ini mengalir hingga ke Sungai Derhaka,” katanya kepada pemberita baru-baru ini. Tambah Dr Khalil, pihaknya menerima banyak aduan daripada nelayan-nelayan yang menghadapi kesukaran akibat kedalaman muara yang tidak memadai, terutamanya ketika air surut. “Masalah ini menyebabkan mereka terpaksa mengangkat perahu di tempat-tempat tertentu bagi membolehkan bot mereka keluar ke laut. “Dengan pemulihan ini, kedalaman muara akan ditingkatkan sehingga 2.2 meter semasa air paling surut, yang memadai untuk bot-bot nelayan kecil. “Projek pemulihan ini dijangka siap sepenuhnya pada tahun 2026, dengan kemajuan kerja kini berjalan lebih awal daripada jadual asal,” ujarnya.
18 Sep 24
903
Terengganu Sasar 16 Kumpulan Gamelan dalam Lima Tahun
Terengganu Sasar 16 Kumpulan Gamelan dalam Lima Tahun
KUALA TERENGGANU, 18 September - Terengganu menyasarkan pembentukan sekurang-kurangnya 16 kumpulan gamelan dalam tempoh lima tahun sebagai usaha memperkasa seni warisan gamelan di negeri ini. Pengarah Pelancongan Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, inisiatif itu bermula dengan penyerahan peralatan gamelan secara pinjaman kepada empat buah sekolah bertujuan memastikan kesinambungan program gamelan serta melahirkan lebih ramai penggiat seni tempatan. "Setakat ini, hanya tiga kumpulan gamelan yang aktif di Terengganu. "Sasaran kita adalah untuk mewujudkan sekurang-kurangnya dua kumpulan bagi setiap daerah, menjadikan keseluruhannya 16 kumpulan di lapan daerah. "Jadi sebab itu pada permulaan ini inisiatif kita ialah berkolaborasi dengan 17 buah sekolah bagi mengembangkan dari segi muzik gamelan juga tarian," jelasnya. Beliau berkata demikian dalam Sidang media selepas program Memorandum Persefahaman (MoU)  Peminjam Alat Muzik Gamelan Melayu antara Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu dan Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu di Dewan Jamuan, Tingkat 18, Wisma Darul Iman, pada semalam. Menurutnya, beliau turut menjelaskan bahawa Jabatan Pelancongan Terengganu akan menyediakan tenaga pengajar bagi memastikan program ini berjalan lancar. "Jadi target dalam lima tahun kita dapat melahirkan lebih ramai penggiat dalam seni warisan gamelan negeri Terengganu. "17 buah sekolah, satu buah sekolah lebih kurang 20 orang. Tetapi ada sekolah yang bilangan peserta 15-20 orang bergantung pada institusi.  "Dan sekolah ini juga sentiasa berkembang contohnya Sekolah Kubang Ikan pada peringkat awalnya kalau tak silap saya sembilan orang tapi sekarang ada dalam 15 orang," ujarnya. Beliau menambah, program ini mendapat sambutan yang sangat baik, bukan sahaja daripada pelajar tetapi juga ibu bapa. "Sebenarnya kita telah melaksanakan kolaborasi dengan sekolah dua tahun yang lepas dan lima tahun yang saya letak bermula pada tahun inilah.  "Yang akan datang ini di bawah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) melibatkan lebih 10 buah sekolah dan ada dua kategori muzik dan tarian," tambah beliau. Justeru itu, beliau menyeru pihak yang terbabit agar terus mematuhi garis panduan yang ditetapkan oleh kerajaan negeri demi memastikan warisan gamelan ini terus berkembang dan terpelihara. "Jadi Kita sama-sama mengikuti garis panduan yang telah ditetapkan kerajaan negeri," tambah beliau lagi. Bagi tarian gamelan, beliau menjelaskan bahawa polisi kerajaan negeri hanya membenarkan pelajar wanita berusia 12 tahun ke bawah untuk terlibat, sesuai dengan garis panduan yang ditetapkan.
17 Sep 24
183
Terengganu Dipuji Rakyat Luar Negeri
Terengganu Dipuji Rakyat Luar Negeri
KUALA TERENGGANU, 17 September - RXZ Members telah tiga hari melabuhkan tirai, namun kisah di sebalik program tersebut masih belum berakhir. Di media sosial, rata-rata peserta dan masyarakat luar kagum dengan rakyat serta suasana Terengganu yang disifatkan lain daripada yang lain. Melalui perkongsian seorang peserta RXZ Members yang dikenali sebagai Makmalbundle di akaun TikTok, dia teruja melihat sikap murah hati rakyat Terengganu. “Bermula dari hari pertama kami sampai, ramai penduduk tempatan belanja kami makan, kemudian ada kedai tawarkan makanan percuma kepada kami. “Kami segan, niat kami nak ‘support’ rakyat Terengganu meniaga, tetapi mereka pula yang ‘support’ dan dapat layan macam tu, waktu malam ada lagi yang jemput makan, kami sangat bersyukur,” katanya. Sementara itu, seorang lagi peserta dari Johor, Ariffin Ramlan berkata, layanan diterima daripada masyarakat Terengganu sangat luar biasa. “Kami dari Johor sampai ‘homestay’ pagi, apabila masuk ‘homestay’ tiba-tiba ada orang kampung tak putus-putus hantar buah-buahan, macam dah lama kenal kami,” katanya di ruangan komen. Dalam pada itu, menerusi satu lagi perkongsian di TikTok Shell-RR Paka Point, pengguna Hafiz90 berkata, sifat rakyat Terengganu memang semula jadi suka meraikan tetamu. “Tak boleh dinafikan orang Terengganu baik-baik dan tidak memilih, walaupun baru kenal, tapi macam dah lama  kenal," katanya. Tambah The Cactus Homestay dari johor pula, selain kebaikan orang Terengganu, keenakan makanan juga menjadi faktor masyarakat luar menyukai Terengganu. “Orang Terengganu baik ‘belake’, makan pula sedap-sedap, tambah lagi satu Terengganu memang negeri cantik,” katanya.
17 Sep 24
13389
Huffaz Al-Quran Antara 105 Penerima Biasiswa Petronas
Huffaz Al-Quran Antara 105 Penerima Biasiswa Petronas
KUALA TERENGGANU, 16 September - Petronas menaja seramai 105 anak Terengganu cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi di bawah Program Penajaan Pendidikan PETRONAS (PESP) pada tahun ini. Salah seorang penerima, bekas pelajar Sekolah Kebangsaan Menengah IMTIAZ Yayasan Kuala Terengganu, Aleeya Raihanah Roslan, 18, bukan sahaja memperoleh keputusan SPM semua A, malah berstatus hafizah Al-Quran pada umur 16 tahun dan juga dinobatkan sebagai Tokoh Ulul Albab. Berkongsi cerita, anak kelahiran Bukit Payong, Manir itu pernah hampir putus asa kerana tidak mampu mengimbangkan masa untuk akademik dan hafaz Al-Quran.   Katanya, selain itu masalah kewangan setiap bulan adalah biasa buat dirinya yang membesar dibawah jagaan nenek. "Pernah bertahan dengan RM3 sahaja sebulan menjadi perkara biasa kerana situasi kewangan ibu yang merupakan seorang guru di Sekolah Kebangsaan Rendah Serada Terengganu. "Rutin berpuasa pada setiap hari Isnin dan Khamis serta tidak menghampiri kantin ataupun koperasi adalah antara cara-cara saya mengawal perbelanjaan," ujarnya. Aleya dan ibunya, kini mampu mengukir senyuman apabila dia terpilih mendapat tajaan PESP dan bersedia mengubah kehidupan mereka sekeluarga apabila berjaya kelak. Anak sulung daripada empat beradik itu sedang melakukan persediaan pembelajaran ijazah kewangan di Kolej Yayasan UEM (KYUEM) sebelum menyambung pelajarannya di United Kingdom yang ditawarkan oleh PETRONAS.  Sementara itu, Muhammad Farid Latif yang merupakan bekas pelajar Sekolah Berintegrasi Batu Rakit, berjaya menghafaz 30 juzuk empat bulan sebelum menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia 2023. Dia berasal dari Bandar Almuktafi Billah Shah, Dungun Terengganu kini menyambung pengajian di Universiti Tekonologi PETRONAS (UTP) di dalam bidang Kejuruteraan Mekanikal.  Anak Bongsu dari tujuh  beradik itu berkata sejak kecil dia tertarik dengan kerja bapanya yang merupakan pembantu jurutera mekanikal di JKR Kuala Terengganu. "Saya masih ingat semasa ayah menyelia projek jambatan di Tasik Kenyir saya menjadi semakin berminat dengan bidang tersebut. "Minat semakin mendalam apabila terpilih menyertai program Unlocking True Potentital di Universiti Teknologi PETRONAS pada 2023.  "Dari situ minat terhadap bidang mekanikal makin bertambah melihat robotik," ujarnya. Terdahulu, Petronas mengumumkan penajaan biasiswa bernilai RM320 juta buat 600 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 dari seluruh negara. Pengerusi PETRONAS Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata pemilihan dibuat daripada 5,847 pemohon, yang mana penerima dinilai berdasarkan kecemerlangan akademik, potensi kepimpinan dan penglibatan aktif mereka dalam aktiviti kokurikulum. "Para penerima biasiswa akan melanjutkan pelajaran mereka di universiti tempatan dan antarabangsa terkenal termasuk di Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Korea Selatan dan Jepun," ujarnya. Dalam pada itu, daripada jumlah keseluruhan penerima , 105 adalah pelajar dari Terengganu yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023.
16 Sep 24
613
Terengganu Anjur Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
Terengganu Anjur Pelbagai Program Sempena Sambutan Maulidur Rasul
KUALA NERUS, 16 September - Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai program dalam usaha untuk menyemarakkan sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M di Terengganu. Menteri Besar, Datuk Seri Ir.Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata pihaknya telah merancang dan melaksanakan pelbagai program bertujuan untuk memperkasa intelek dan meningkatkan kesejahteraan jiwa masyarakat.  "Kita akan meneruskan pendekatan dakwah yang lebih bertenaga  melalui penyampaian ilmu dan tarbiyah, serta menggunakan pendekatan yang lebih menyeluruh dan berkesan melibatkan segenap lapisan masyarakat. "Selain program-program yang dirancang oleh pihak kerajaan sepanjang bulan Rabi’ul Awwal ini, saya percaya pelbagai pihak akan turut menganjurkan pelbagai aktiviti dalam menyemai rasa kasih dan cinta pada Nabi SAW," ujarnya ketika berucap di Majlis Sambutan Maulidur Rasul 1446 Hijrah peringkat negeri di Stadium Tertutup Gong Badak di sini hari ini. Terdahulu, Sultan Mizan dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah tiba di Stadium Tertutup Gong Badak di sini bagi menyempurnakan perasmian Sambutan Maulidur Rasul peringkat negeri  dengan diiringi Ahmad Samsuri bersama barisan kepimpinan kerajaan negeri. Turut berangkat, Raja Muda Terengganu Tengku Muhammad Ismail. Sambutan Maulidur Rasul peringkat Terengganu pada Isnin disertai seramai 1,888 peserta daripada 59 kontinjen. Perarakan sempena kelahiran junjungan Baginda Nabi Muhammad SAW itu bermula dari padang sintetik Kampung Tok Jiring sehingga ke Stadium Tertutup di sini dengan jarak 3.4 kilometer (km).
16 Sep 24
246
1,888 Sertai Perarakan Maulidur Rasul di Terengganu
1,888 Sertai Perarakan Maulidur Rasul di Terengganu
KUALA NERUS, 16 September -  Seramai 1,888 peserta membabitkan 59 kontinjen menjayakan perarakan sejauh kira-kira empat kilometer sempena Sambutan Maulidur Rasul 1446H/2024M Peringkat Negeri, hari ini. Sambutan bermula jam 8 pagi diketuai Setiausaha Kerajaan negeri, Tengku Seri Bijaya Raja. Turut menyertai perarakan, barisan Exco negeri, pegawai kanan kerajaan dan ketua-ketua jabatan. Sambutan bermula dari padang bola sintetik di Kampung Tok Jiring ke Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, di Kuala Nerus. Perarakan turut melibatkan agensi kerajaan, swasta, Badan bukan Kerajaan (NGO), sekolah, IPT serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Sepanjang perarakan peserta membawa sepanduk melambangkan kecintaan kepada Rasulullah SAW sambil berselawat. Dalam perarakan berkenaan, sebanyak lima kategori dipertandingkan iaitu Perarakan Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Negeri, Jabatan Kerajaan dan Badan Berkanun Persekutuan, Pasukan Sekolah Menengah dan Institusi Pengajian Tinggi, Syarikat-syarikat Swasta serta NGO dan JPKK.  
16 Sep 24
1444