Artikel "Semasa" Terkini
Seluruh Jeti Dibaik Pulih Sebagai Persediaan Tahun Melawat Terengganu 2027
SETIU, 24 September - Kerajaan negeri mengambil langkah membaik pulih jeti serta memperbaiki segala kerosakan sebagai persediaan awal bagi menyambut tahun melawat Terengganu 2027.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ketika ini semua jeti di setiap pulau di negeri ini sedang dianalisa serta sebahagiannya telah pun selesai bagi menentukan kos perbelanjaan.
"Ini antara struktur terawal kita hendak buat sebelum kita melancarkan tahun melawat Terengganu pada 2027 dan sekarang kita akan bawa ke peringkat Kerajaan Persekutuan untuk mendapat kelulusan.
"Membaik pulih jeti ini adalah sangat penting kerana ia menjadi pemula untuk pelancong datang ke pulau begitu juga dengan insinerator, kita telah melihat untuk memastikan ia berfungsi dengan baik bagi memulihkan sampah yang akhirnya akan bertukar menjadi baja.
"Jadi isu longgokan sampah tidak berlaku dan tidak pelu lagi bawa balik sampah ke darat," ujarnya kepada pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman, selepas mengadakan lawatan kerja ke Pulau Redang, di sini, semalam.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Mengulas lebih lanjut, Razali berkata setiap pulau juga akan diwujudkan hentian rehat untuk pelancong singgah.
"Sementara pelancong hendak balik ke darat ataupun menunggu kenderaan untuk ke hotel akan ada kemudahan seperti tandas, surau serta pentas kencil yang akan mempersembahkan kesenian dan kebudayaan negeri Terengganu bagi memastikan kunjungan pelancong lebih ramai dan meriah," katanya.
Dalam pada itu beliau menzahirkan perasan puas hati apabila fasa pertama rancangan mahu mengantikan masjid lama yang tidak digunakan lagi dengan surau dan hentian rehat berjalan dengan baik.
"Sebelum ini kita telah bersetuju dengan peruntukan sebanyak RM23,000 bagi membersihkan dan merobohkan masjid lama ini.
"Tadi kita telah lihat perobohan sedang berlaku walaupun belum siap sepenuhnya dan 'progress' sedang berjalan dan insya-Allah pada tahun hadapan kita akan lakukan fasa seterusnya untuk baik pulih dan melalukan pembangunan baru untuk hentian rehat," ujarnya.
25 Sep 24
1050
Peruntukan Segera RM100,000 Atasi Pencemaran Air Takungan Pulau Redang
SETIU, 25 September - Kerajaan negeri bersetuju meluluskan segera peruntukan sebanyak RM100,000 melalui Majlis Bandaraya Kuala Terengganu bagi menyelesaikan isu pencemaran air kolam semula jadi di Pasir Panjang, Pulau Redang.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, ia adalah penyelesaian untuk jangka masa pendek agar tidak mencacatkan keindahan Pulau Redang yang sentiasa menjadi daya tarikan pelancong untuk berkunjung.
Katanya, kerja-kerja pembersihan awal sebelum ini telah dilakukan dan ada hasil daripada lawatan kali pertama pada dua bulan yang lepas.
"Kita lihat 40 peratus telah berjalan dengan baik dan kita dapati bahawa air yang kotor ini datang daripada sekitar resort di sini, jadi ada beberapa perkara lagi yang perlu dilakukan.
"Insya-Allah pada tahun hadapan kita akan pastikan kolam tersebut tidak akan tercemar lagi dan air kolam yang bertakung itu bersih serta tidak akan berbau lagi itu untuk jangka masa pendek.
"Kalau untuk jangka masa panjang kita akan bincang untuk beberapa fasa lagi bagi memastikan semua takungan air buangan ini akan dapat disalurkan dengan baik dan sempurna ke laut," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja, di Pulau Redang di sini, hari ini.
Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman.
Dalam pada itu, Razali berkata perkara yang menjadi keutamaan kepada pihak kerajaan adalah mendidik pengusaha supaya menghargai dan menjaga keindahan yang ada.
"Saya ada nampak sampah dibuang merata-rata, orang Pulau Redang mengadu dia kata kerajaan tidak ambil langkah selesaikan isu sampah ini sedangkan insinerator telah ada untuk mengatasi masalah longgokan sampah
" Tetapi hari ini saya lihat dengan mata sendiri sampah dibuang begitu sahaja oleh pengusaha sekitar.
"Jadi saya telah mengarahkan Datuk Bandar supaya saman pihak tidak bertanggungjawab ini, sebab mereka berduit bukan orang kampung, kita tahu sebab ada 'sign' di situ datang dari resort seolah-olah tanah itu dia punya sedangkan itu adalah tanah kerajaan," ujarnya.
25 Sep 24
230
Pasar Berkat, Usaha Bantu Peniaga dan Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 26 September - Penganjuran Pasar Berkat memberi peluang kepada peniaga-peniaga untuk menjual barangan dengan harga berpatutan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Arifin Deraman berkata, pada program yang diadakan di Masjid Jamek Pengadang Baru itu, peniaga dapat menawarkan harga lebih murah dan memberi lebih manfaat kepada masyarakat setempat.
"Ayam RM10 seekor, daging pula sekilogram RM28 dan peniaga makanan juga kita minta hadir untuk memeriahkan pasar.
"Harga kurang? Ada beberapa cara antaranya kita berbincang dengan para peniaga untuk mendapatkan harga terbaik misalnya jualan ikan bagi memberikan sokongan kepada masyarakat.
"Saya juga melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) ada memberikan sumbangan dengan sejumlah wang kerana tanpa sokongan, agak sukar menurunkan harga dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu meninjau suasana di Pasar Berkat DUN Alor Limbat, semalam.
Program berkenaan dianjurkan Persatuan Pekerja dan Pengguna Kuala Terengganu (PEKA) dengan kerjasam pihak DUN dan masjid kini semakin mendapat permintaan di kalangan masyarakat setempat.
Ariffin menambah, pihaknya akan berusaha memenuhi permintaan rakyat di daerah lain selepas ini dalam usaha menyebar luas medium untuk membantu para peniaga dan pembeli tempatan.
25 Sep 24
161
GISB : Satu Trauma dan Pelakunya Perlu Dihukum
KUALA TERENGGANU, 24 September - Seorang warga emas, Christine Rohani Longuet, 81, berkongsi cerita bagaimana dia menyelamatkan anak dan cucunya daripada terus terperangkap dalam gerakan Global Ikhwan Services and Business (GISB) Holding yang dahulunya dikenali sebagai Al-Arqam.
Dia yang kini menetap di Pulau Duyung mengakui tentang pendedahan cucunya yang juga pempengaruh Tik Tok, Sabrina Bolivar mengenai GISB adalah benar berdasarkan pengalaman hidupnya.
Menurutnya, apa yang berlaku dalam GISB adalah sangat menyedihkan hingga meninggalkan banyak trauma kepada anak dan cucunya.
"Apa yang saya boleh katakan ialah ketika itu berlaku satu bentuk pengabaian yang serius terhadap wanita dan kanak-kanak dalam gerakan tersebut dan pelaku mesti diberi hukuman setimpal.
"Kalau boleh, biarlah lebih ramai yang tampil ke depan menceritakan pengalaman mereka bersama GISB seperti mana yang dilakukan cucu saya, Sabrina.
“Dia berani kerana menceritakan pengalamannya yang berlaku sekitar tahun 1980-an dan saya percaya dia hanya mahu meluahkan kesedihan dan menghentikan simpati orang ramai terhadap GISB dengan apa yang berlaku ketika ini," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya dekat Pulau Duyong di sini semalam.
Rohani turut meminta agar lebih ramai individu dapat tampil bagi menceritakan pengalaman mereka bersama GISBH seperti mana yang dilakukan oleh cucunya.
Tangkap layar pendedahan pengalaman Sabrina Bolivar di TikTok
Terdahulu, Sabrina yang menetap di Paris membuat pendedahan mengejutkan mengenai ibunya, yang menjadi isteri keempat salah seorang ahli tertinggi GISB (dahulu dikenali sebagai Al-Arqam).
Menurut Sabrina, beliau melihat banyak pengabaian yang berlaku kepada ibunya semasa berada dalam organisasi tersebut sebelum diselamatkan oleh neneknya itu.
Bercerita lanjut, Rohani berkata, dia menyelamatkan anak dan cucunya dari sebuah rumah di Sungai Penchala, Selangor sekitar tahun 1980-an.
Menurutnya, dia melihat ada sesuatu yang tidak kena dalam sistem kekeluargaan yang diamalkan gerakan tersebut selepas anak memilih untuk berkahwin dengan salah seorang ahlinya.
“Kebajikan anak dan cucu saya terabai menyebabkan saya berusaha keras mendapatkan bantuan kerajaan kerana tidak mahu mereka terus terperangkap dalam gerakan tersebut.
"Alhamdulillah, tindakan saya sangat tepat kerana setelah keluar dari tempat itu, semua cucu telah mendapat pendidikan sempurna dan kini bahagia dengan keluarga kecil masing-masing,”ujarnya yang petah bertutur dalam dialek Terengganu.
Rohani yang bakal menerima Ijazah Kedoktoran dalam bidang Etnobotani dari Universiti Malaysia Terengganu (UMT) turut berkata mana-mana pihak terutama wanita dan kanak-kanak ditindas kerana mereka sepatutnya diberi pilihan untuk hidup bebas seperti insan biasa.
24 Sep 24
884
MAIDAM Sedia Bantu Anak-Anak GISB
KUALA TERENGGANU, 24 September - Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sedia menyalurkan bantuan dalam bentuk pendidikan dan kemahiran kepada anak-anak yang diselamatkan dari premis dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISB).
Yang Dipertua MAIDAM, Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail menyatakan bantuan selayaknya akan diberikan jika memenuhi kriteria yang ditetapkan MAIDAM untuk membantu mereka memulakan hidup baharu.
"Kalau anak-anak yang istimewa dan berkeperluan khas itu biasanya dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Namun, kita tak akan abaikan, kita boleh bekerjasama jika kanak-kanak ini termasuk dalam golongan asnaf.
"Apa yang penting ialah mereka perlu insaf dahulu dan kemudiannya kita pertimbangkan bantuan (pendidikan, kemahiran, perniagaan) agar mereka boleh berdikari semula," katanya
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Perasmian Sambutan Jubli Emas 50 Tahun Yayasan Islam Terengganu di Dewan AlFateh, Tingkat 4, Menara Yayasan Islam, di sini hari ini.
Sementara itu, premis perniagaan dipercayai milik Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) di bandar raya ini telah ditutup sejak Jumaat lalu.
Premis itu membabitkan restoran di Jalan Sultan Zainal Abidin serta sebuah kedai bakeri di Wisma Khaleeda, Jalan Tengku Mohamad dekat Gong Badak, Kuala Nerus.
Tambah Shaikh Harun, hasil pemantauan yang dilakukan dengan Polis Diraja Malaysia mendapati tiada anak-anak pengikut GISB (yang terabai) berada di Terengganu.
"Semua premis yang dikaitkan dengan GISB di Terengganu kini telah dikosongkan dan hasil serbuan pihak berkuasa tidak menemui mana-mana individu di premis tersebut," katanya.
Dalam masa sama, kerajaan negeri menunggu keputusan rasmi daripada Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam (MKI) sebelum memuktamadkan sebarang tindakan ke atas premis perniagaan milik GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
24 Sep 24
472
Terengganu Negeri Pertama Guna S@MPAI
KUALA TERENGGANU, 24 September- Terengganu menjadi negeri pertama menggunakan Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) yang bakal dipasang di 32 Pusat Khidmat Masyarakat(PKM) dan dikawal secara berpusat oleh T-HRDC selepas dilancarkan secara rasmi semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, S@MPAI merupakan satu bentuk penyampaian maklumat dengan cara yang lebih menarik (grafik) dan akan dikemaskini secara harian.
”Ia akan mendekatkan jurang antara pencari kerja dengan peluang kerjaya melalui penyampaian melalui beberapa saluran S@MPAI melalui beberapa saluran, medium untuk sampai ke kumpulan sasaran.
”Contohnya, media sosial kita akan menggunakan medium facebook, TikTok dan Instagram bagi golongan remaja serta aplikasi perbualan melalui group whatapps dan telegram untuk golongan dewasa.
”Sementara itu, kita akan menggunakan paparan digital melalui skrin S@MPAI bagi mereka yang berumur dan kurang pendedahan medial sosial,”ujarnya.
Dalam masa sama, beliau berkata sebanyak 32 DUN terlibat dalam program Le Tour De' Grassroots T-HRDC yang melibatkan 1046 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK)
Menurutnya, melalui program tersebut, sebanyak 31 kumpulan whatsapp dengan lebih 900 orang bersama PKM dan JPKK untuk tujuan penyampaian maklumat dengan lebih efektif.
”Ia bagi menjalinkan libat urus PKM, IMITS dan JPKK selaku pemegang taruh kumpulan akar umbi (rakyat) dan memperkenalkan T-HRDC serta agenda pekerjaan negeri Terengganu
”Selain itu, mewujudkan saluran komunikasi agar segala maklumat dapat disampaikan kepada rakyat melalui PKM, IMITS dan JPKK serta mengumpul data pencari kerja sekitar DUN (pendaftaran Rakan THRDC),”katanya lagi.
Tambahnya, ia juga mendapat kerjasama dari PKM, IMITS dan JPKK untuk menjayakan segala usaha dan gerak kerja berkaitan agenda pekerjaan.
24 Sep 24
4753
'Le Tour De' Grassroots Himpun 1,046 JPKK Sebar Peluang Kerja
KUALA TERENGGANU, 24 September- Program Le Tour De' Grassroots berjaya menghimpunkan 1,046 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam usaha menyebar luas peluang pekerjaan di negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, program anjuran Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC) itu melibatkan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan menjalinkan libat urus antara pusat khidmat masyarakat, JPKK dan pihak-pihak berkenaan di peringkat DUN.
"Ia salah satu usaha memperkenalkan T-HRDC serta agenda kerajaan negeri dalam mewujudkan peluang pekerjaan khususnya kepada anak-anak muda.
"T-HRDC mengadakan pelbagai kaedah antaranya mengumpulkan 1,046 JPKK untuk memaklumkan peluang-peluang pekerjaan di negeri terengganu.
"Ia sebagai mewujudkan saluran komunikasi agar segala maklumat dapat disampaikan kepada rakyat melalui rangkaian tersebut selain mengumpul data pencari kerja sekitar DUN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Le Tour De' Grassroots siri terakhir di Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) DUN Alor Limbat, semalam.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif T-HRDC, Aminudin Omar, dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pembangunan Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Azmi Awang.
Tambah Ariffin, dalam program berkenaan turut diadakan proses temuduga syarikat telekomunikasi TM One selain pelancaran Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) bagi mendekatkan jurang antara pencari kerja dengan peluang kerjaya.
"Hari ini kita ada temuduga TM One yang berpusat di Medan Jaya, Marang dengan penawaran lebih 350 peluang pekerjaan," ujarnya.
24 Sep 24
217
TESDEC Perkasa Pendidikan Kemahiran dan Keusahawanan Berteraskan Islam
KUALA TERENGGANU, 23 September – Terengganu Skills Development Centre Berhad (TESDEC) terus komited dalam membangunkan kemahiran anak-anak muda dan belia lepasan sekolah dengan pendekatan menyeluruh, tanpa mengabaikan asas pengajian Islam.
Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, dalam usaha ini, subjek pengajian Islam telah dijadikan subjek umum di TESDEC, sejajar dengan keperluan Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan Lembaga Teknologis Malaysia (MBOT).
“Malah Kolej TESDEC juga menawarkan Diploma Pelancongan (Haji dan Umrah) kepada lepasan Sijil pelajaran Malaysia (SPM) dan pengajian Islam menjadi sebahagian subjek teras khususnya dalam hal ehwal haji dan umrah (fiqh lelaki dan wanita),” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Memorandum Perjanjian Persefahaman Tenaga Hijau Dan Efficiency Management Di Antara TESDEC Services Sdn.Bhd. dengan Alka System Sdn.Bhd di Permai Hotel pada semalam.
Menurutnya, pihak TESDEC kini sedang menjalinkan kerjasama dengan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) bagi menyediakan peluang keusahawanan kepada graduan.
“Kami sedang jalinkan hubungan dengan YPU bagi mencipta nilai kepada lepasan TESDEC supaya kemahiran menjana pendapatan melalui keusahawanan.
“Keusahawanan berasaskan kemahiran ini menjadi pilihan kepadagraduan TESDEC sama ada untuk terus menyertai pasaran kerja dengan bekerja di mana-mana syarikat ataupun industri berkaitan kemahiran mereka.
“Dan juga boleh membuka perniagaan mereka sendiri setelah mendapat khidmat nasihat, latihan dan sokongan dana dari Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) atau pun agensi, badan penajaan, pendanaan keusahawanan seperti MARA, SMECorp, Yayasan Peneraju, dan lain-lain agensi,” tambah beliau lagi.
23 Sep 24
155
Meterai Perjanjian Bersejarah dalam Tenaga Hijau dan Kecekapan Tenaga
KUALA TERENGGANU, 22 September - Memorandum Perjanjian Tenaga Hijau adalah lambang kepercayaan terhadap tenaga yang diperbaharui sebagai jalan utama dalam mengurangkan pelepasan karbon dan mengurangkan pergantungan kepada bahan bakar fosil.
Ketua Pegawai Eksekutif TESDEC Berhad, Mohd Iskandar Muhammad Aziz berkata, kerajaan negeri berusaha sedaya upaya untuk mencapai matlamat tenaga hijau dan kecekapan tenaga yang mampan.
“Tenaga hijau dan kecekapan tenaga adalah dua aspek kritikal yang saling melengkapi.
"Tenaga hijau menawarkan kita alternatif yang lestari, manakala kecekapan tenaga memastikan penggunaan tenaga dilakukan secara optimum, mengelakkan pembaziran, dan menyumbang kepada pengurangan jejak karbon,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Memorandum Perjanjian Persefahaman Tenaga Hijau Dan Efficiency Management di antara TESDEC Services Sdn.Bhd. dengan Alka System Sdn.Bhd di Permai Hotel pada hari ini.
Menurutnya, penggunaan sumber seperti tenaga solar, angin, dan hidro memberikan keyakinan bahawa masa depan tenaga hijau akan menjadi cerah.
“Hari ini adalah satu detik yang amat berharga dan bersejarah menyaksikan majlis penandatanganan Memorandum Perjanjian (MOA) mengenai Tenaga Hijau dan Memorandum Persefahaman (MOU) dalam Pengurusan Kecekapan Tenaga di Negeri Terengganu.
“Memorandum Persefahaman mengenai Pengurusan Kecekapan Tenaga pula adalah langkah strategik yang membolehkan kita menerapkan budaya kecekapan dalam penggunaan tenaga.
“Ini tidak hanya menjimatkan kos, tetapi juga meningkatkan produktiviti dan daya saing dalam industri,” katanya.
Justeru itu, beliau berharap perjanjian pada hari ini bukan sekadar di atas kertas, tetapi suatu simbol dedikasi dalam memperjuangkan kemapanan tenaga untuk masa hadapan.
“Sebagai sebuah syarikat yang bertanggungjawab, kami menyedari pentingnya bekerjasama dengan semua pihak kerajaan, industri, dan masyarakat.
“Ini adalah tugas kita bersama untuk memastikan generasi akan datang mewarisi dunia yang lebih bersih dan hijau,” tambahnya.
22 Sep 24
246
Kerjasama TESDEC dan ALKA Perkukuh Penggunaan Tenaga Lestari di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 September - Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Solar dan Kecekapan Tenaga antara TESDEC Services Sdn. Bhd. (TSSB) dan Alka System Sdn. Bhd. (ALKA) satu langkah penting dalam usaha memperkukuh penggunaan tenaga lestari di Malaysia, khususnya di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Alka System Sdn. Bhd., Ts. Ir. Mohd Ferdus Abdul Kadir, menyatakan bahawa projek solar itu bukan sahaja membantu mengurangkan jejak karbon negara.
Menurutnya, ia turut menyumbang kepada pencapaian sasaran kerajaan untuk memperoleh 31 peratus penjanaan tenaga daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang tahun 2025.
“Kolaborasi antara ALKA dan TSSB bagi projek solar ini adalah di bawah program Net Energy Metering 3.0 (NEM) yang dikendalikan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA), di mana program ini terbahagi kepada tiga kuota: NEM Rakyat (Perumahan), NEM Gomen (Entiti Kerajaan), dan NOVA (Industri).
“Kuota NEM Rakyat telah pun tamat pada minggu lalu, manakala baki kuota bagi NEM Gomen adalah 44 MWac dan NOVA berbaki 108 MWac.
“Oleh itu, ALKA berbesar hati bekerjasama dengan TSSB untuk merealisasikan projek solar di bangunan kerajaan dan komersial,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Tenaga Hijau dan Pengurusan Kecekapan Tenaga antara TESDEC Services Sdn. Bhd. dan Alka System Sdn. Bhd. di Permai Hotel, hari ini.
Selain projek solar, kedua-dua syarikat turut bekerjasama dalam Program Kecekapan Tenaga yang dilaksanakan di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST), yang bertujuan menilai penggunaan tenaga di bangunan komersial dan industri serta mengenal pasti peluang untuk penjimatan tenaga.
“Majlis menandatangani perjanjian hari ini membuktikan komitmen kedua-dua syarikat untuk terus meneroka dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang lebih efisien dan mesra alam,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TESDEC Services atas kepercayaan yang diberikan, dan berharap kerjasama ini akan membawa impak positif kepada negeri Terengganu serta menyumbang kepada kemajuan tenaga lestari di Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat menyediakan penyelesaian inovatif yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan persekitaran kita,” katanya.
Beliau berharap kerjasama ini akan memberi manfaat kepada masyarakat, negeri Terengganu, dan persekitaran, serta berharap agar projek ini berjalan lancar dan membawa perubahan positif.
22 Sep 24
818