lightning-solid
Berita :

Artikel "Semasa" Terkini

TDM Berhad Santuni Lebih 130 Asnaf di DUN Ajil
TDM Berhad Santuni Lebih 130 Asnaf di DUN Ajil
KUALA TERENGGANU, 26 September- TDM Berhad (TDM atau Kumpulan) menyantuni lebih 130 asnaf Ajil melalui program TDM Bersama Masyarakat dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil.  Pengarah Eksekutif TDM,  Najman Kamaruddin,  berkata, jumlah sumbangan  diperuntukan sebanyak RM20,000 di mana setiap penerima akan menerima bantuan  berupa wang tunai dan barangan keperluan harian.  Menurutnya, program itu adalah adalah sebahagian daripada komitmen berterusan syarikat terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) selaras dengan objektif program untuk mendekati masyarakat dan membantu mereka yang memerlukan, 'Ini adalah salah satu cara kami berkongsi rezeki dan memberi kembali kepada masyarakat.  "Komitmen kami ini sebagai bukti syarikat yang bukan sahaja berfungsi sebagai entiti perniagaan, tetapi juga memainkan peranan aktif dalam pembangunan komuniti, khususnya di negeri Terengganu," ujarnya dalam satu kenyataan hari ini. Majlis perasmian tersebut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim di Dewan Sivik Ajil, Hulu Terengganu semalam. Turut hadir, pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) Zon Tengah, Fakhrul Islam Yaacob dan Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Che Mat. Tambah Nazman, sumbangan tersebut mampu meringankan beban penerima serta memperkukuhkan hubungan antara TDM dan komuniti setempat.  Jelas beliau, sebagai syarikat yang beroperasi di negeri Terengganu, TDM sentiasa komited untuk memastikan kesejahteraan masyarakat di sekitar kawasan operasi mereka sentiasa diutamakan. "Keprihatinan terhadap kebajikan penduduk setempat bukan sahaja dilihat sebagai tanggungjawab sosial, tetapi juga sebagai usaha kami untuk menyokong aspirasi kerajaan negeri Terengganu dalam membangunkan masyarakat yang inklusif dan sejahtera. "Di masa hadapan, TDM akan terus mempergiatkan usaha dalam membantu komuniti setempat melalui program-program CSR yang mampan," ujarnya.
26 Sep 24
359
Terengganu Sasar Lebih 500 Pemilikan Pensijilan Halal Menjelang 2025
Terengganu Sasar Lebih 500 Pemilikan Pensijilan Halal Menjelang 2025
KUALA NERUS, 26 September – Kerajaan negeri menyasarkan lebih 500 syarikat dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang beroperasi di negeri ini memperoleh pensijilan halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menjelang 2025. Pengerusi Jawatankuasa  Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, berdasarkan statistik yang diperoleh seramai 300 pemegang sijil halal di Terengganu sehingga kini yang berdaftar dengan JAKIM. Justeru itu, pihaknya menyasarkan peningkatan usaha persijilan halal terutama bagi produk makanan di negeri ini supaya dapat mempertingkatkan pasaran eksport negeri membabitkan kluster makanan dan minuman. “Terengganu agak ketinggalan dalam isu sijil halal ini kerana ada yang beranggapan apabila Terengganu 99 peratus adalah muslim, jadi peniaga-peniaga produk merasakan tidak perlu persijilan hala. “Contohnya peniaga keropok, yang merasakan tidak perlu sijil halal tersebut kerana mereka kata produk yang dihasilkan sudah halal, bersih  dan orang melayu di Terengganu pula tidak timbul isu halal ketika membeli produk keropok,”ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan East Coast Halal Business Opportunities Seminar di Raia Hotel & Convention Centre, Gong Badak, di sini hari ini. Tambahnya, usaha untuk memberi kesedaran kepada usawan tentang kepentingan persijilan halal menjadi satu cabaran kepada kerajaan negeri kerana  kesedaran berhubung sijil dan logo halal JAKIM dalam kalangan uasahawan di negeri itu masih rendah. Katanya perakuan sijil halal terhadap sesuatu produk amat penting sekiranya para pengusaha mahu melebarkan sayap produknya ke luar negara terutama ke negara-negara Islam. “Sekiranya usahawan tiada sijil halal, mereka akan sukar untuk memasarkan produk mereka, terutama jika mahu menembusi pasaran ke negara-negara Islam. “Kita kena tambahkan usaha kita untuk persijilan halal ini kerana ianya telah menjadi satu tarikan untuk mana-mana negara di dunia ini yang memerlukan sijil halal tersebut untuk bahan makanan, jadi kita merasakan bahawa mungkin pelanggan-pelanggan akan merasa lebih terjamin daripada segi kebersihannya dan negara kita tidak terkecuali daripada segi ini,”ujarnya lagi. Jelas Ariffin, pihaknya melaksanakan beberapa langkah untuk menarik lebih ramai usahawan Terengganu  memohon pensijilan halal daripada badan itu dengan mengadakan program kesedaran, bengkel, khidmat nasihat (pemudah cara) dan lain-lain lagi. “Antara tindakan segera yang perlu diambil oleh Kerajaan Negeri sebagai projek perintis (pioneer project) ialah dengan menubuhkan Majlis Halal Terengganu (MHT) yang akan dipengerusikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. “MHT akan membantu memperkasa penyelarasan pensijilan Halal Malaysia bersama antara JAKIM dengan JHEAT selaku badan berautoriti utama dalam pengurusan halal negeri termasuk menjadi pusat rujukan, pengiktirafan, penarafan dan khidmat nasihat berkaitan pensijilan halal,”katanya.  
26 Sep 24
343
Tertarik Dengan Tawaran Antara Punca Terpedaya Penipuan 'Scammer'
Tertarik Dengan Tawaran Antara Punca Terpedaya Penipuan 'Scammer'
KUALA TERENGGANU, 26 September - Akibat mudah terpengaruh dengan sesuatu yang ditawarkan antara punca seseorang  individu itu menjadi mangsa jenayah penipuan (scam). Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, pihaknya menerima purata lima hingga enam laporan setiap hari membabitkan jenayah 'scammer' di daerah ini. "Ia merupakan aktiviti jenayah terancang dan merupakan satu ancaman teruk terutamanya dalam daerah ini. "Disebabkan itu, kita sentiasa mengadakan perbincangan, perjumpaan dan mengadakan kobalorasi dengan pelbagai pihak dan masukkan slot berkaitan dengan ' scammer' pada setiap program yang dianjurkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat tentang ancaman 'scammer'," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Tanggungjawab Sosial  Amanah Raya Berhad Dan PDRM Bersama Nelayan Kawasan Kuala Terengganu Utara & Selatan di Dewan Akademi Perikanan, Chendering di sini, hari ini. Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Amanah Raya Berhad, Ahmad Feizal Sulaiman Khan. Mengulas lanjut katanya, bentuk penipuan paling tinggi di daerah Kuala Terengganu adalah melibatkan pelaburan tidak wujud. "Walaupun kesedaran orang ramai semakin meningkat tetapi seperti yang kita sedia maklum penggunaan media sosial bukan setakat kanak-kanak sahaja tetapi turut popular di kalangan orang dewasa seperti Telegram, Tiktok dan sebagainya. "Mereka mempunyai perasaan ingin mencuba dan melihat apa yang ditawarkan menyebabkan mereka mudah terperangkap dengan aktiviti 'scammer'," ujarnya. Katanya, walaupun telah diberi amaran, peringatan tetapi masih ada lagi yang menjadi mangsa dan mereka bukan hanya dalam kalangan masyarakat biasa, malah penjawat awam turut terjerat.
26 Sep 24
231
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Diperluas ke 32 DUN
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Diperluas ke 32 DUN
KUALA TERENGGANU, 26 September - Program Indahnya Hidup Bersyariat bakal dilaksanakan di 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) bermula tahun depan. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, program-program tersebut menterjemahkan usaha pihak kerajaan negeri yang tidak pernah berhenti meninggikan syiar Islam di bumi Darul Iman ke peringkat akar umbi. Menurutnya, satu bajet telah diluluskan dalam mesyuarat Exco bagi melaksanakan program tersebut dalam bentuk karnival dengan pelbagai pengisian dakwah dan islamiah. "Jadi dalam program ini kita akan 'highlight' bahawa syariat dalam islam  ini satu syariat yang indah, bukan sahaja tentang hudud dan qisas tapi merangkumi semua aspek termasuk keluarga, pendidikan anak-anak, hiburan mengikut cara Islam dan lain-lain lagi. “Garapan dan impak daripada ‘Indahnya Hidup Bersyariat’ diharapkan bakal menterjemahkan suasana beragama dan penghayatan undang- undang Islam dalam setiap golongan dan lapisan masyarakat," katanya ketika ditemui pemberita di Wisma Darul Iman, di sini hari ini. Tambahnya lagi, program  berkenaan diadakan untuk menzahirkan manifestasi kerajaan negeri bagi menonjolkan usaha membangun serta membentuk modal insan kalangan rakyat secara holistik dan komprehensif.
26 Sep 24
273
Fatwa Ajaran Sesat, MKI ke-125 di Terengganu Jadi Tumpuan
Fatwa Ajaran Sesat, MKI ke-125 di Terengganu Jadi Tumpuan
KUALA TERENGGANU, 26 September - Mesyuarat Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) Kali ke-125 di Terengganu menjadi tumpuan seluruh Malaysia pada kali ini lebih-lebih ketika isu GISBH masih belum reda. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, melalui MKI penyelarasan daras-dasar Islam di seluruh negara akan dapat dicapai. "Keputusan yang diambil dalam mesyuarat ini membantu menyatukan pandangan dan amalan antara negeri-negeri, sekali gus mengurangkan perbezaan dalam pelaksanaan hukum. "Mesyuarat ini juga turut menyediakan platform bagi membincangkan isu-isu semasa yang dihadapi oleh umat Islam di Malaysia.  "Isu-isu seperti fatwa ajaran sesat, hukum hakam dan cabaran sosial ekonomi yang berkaitan dengan Islam dapat dibincangkan secara mendalam untuk mencari penyelesaian yang sesuai," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis ukhwah dan Mahabbah (Majlis Makan Malam) Sempena Meyuarat MKI Kali Ke-125, di Elysium, Menara Utara, KTCC Drawbridge, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Muhammad Khalil berkata melalui kerjasama kerajaan negeri dan MKI tersebut secara tidak langsung ia turut mengiktiraf sumbangan dan komitmen kerajaan negeri dalam memajukan hal ehwal agama Islam. "Ini akan mengalakkan kerajaan negeri untuk terus aktif dalam menyokong program-program keagamaan dan pembangunan Islam. "Secara kesluruhannya, Mesyuarat Jawatankuasa MKI Kali Ke-125 yang diadakan dengan kerjasama kerajaan negeri ini adalah sangat penting dalam memastikan isu-isu agama ditangani dengan efektif, dasar-dasar Islam diselaraskan dengan baik. "Serta pembangunan agama Islam dapat dijalankan dengan komprehensif dan berkesan," ujar beliau. Tambah beliau, umat Islam hari ini perlu menyedari bahawa kebersamaan dan perpaduan merupakan kunci kepada kejayaan dan kesejahteraan ummah. "Oleh itu, marilah kita terus memupuk semangat kerjasama dan saling membantu dalam setiap aspek kehidupan kita. "Dengan adanya kerjasama yang erat antara semua pihak, kita pasti dapat mengatasi segala cabaran dan rintangan yang mendatang," katanya.  
26 Sep 24
1137
Imtiaz Terengganu Sasar Saingi Pelajar Antarabangsa
Imtiaz Terengganu Sasar Saingi Pelajar Antarabangsa
KUALA NERUS, 25 September - Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu menyimpan hasrat dan sasaran yang besar untuk bersaing dan duduk setaraf dengan pelajar antarabangsa dalam bidang akademik. Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham percaya dengan kualiti para pelajar Imtiaz dan yakin bakal setaraf dengan mahasiswa antarabangsa dalam beberapa tahun lagi. “Saya agak terkejut dan kagum dengan kemampuan dan kebolehan pelajar tingkatan 1, jika 6 bulan perkembangan seumpama ini, kita yakin dalam masa 4 tahun setengah lagi, mampu bersaing dengan mereka di peringkat antarabangsa, itulah objektif sebenar penubuhan sejak 20 tahun lepas. “Kita nak para pelajar di sini bukan hanya mampu menghafal Al-Quran, bahkan mahu mereka cemerlang dalam bidang akademik, supaya dapat bersaing dan duduk semeja dengan pelajar dari Universiti hebat dunia seperti Oxford, Cambridge Universiti atau setarafnya,” ujarnya. Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penutupan Program Khas Asasi Ulul Albab, Sekolah-sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu tahun 2024, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam Tambah Mohd Azmi, beliau yakin dengan kemampuan para guru untuk melatih dan mendidik pelajar dengan sistem ciptaan sendiri supaya menepati kejayaan yang disasarkan. “Yakin dengan modul sendiri yang mampu memperkuatkan pelajar, permulaan 6 bulan pertama ini, kita berikan asas bagaimana untuk menjadi pelajar cemerlang. “Semasa mula penubuhan dahulu, banyak sekolah luar datang untuk belajar dari Imtiaz, sekarang ada antara mereka mampu bersaing dan melebihi kita, itu tidak menjadi masalah, harapan Imtiaz supaya tidak ketinggalan dan sentiasa maju ke hadapan," katanya. “Jika perlu adakan lawatan untuk tujuan pembelajaran dan tambah nilai pada Imtiaz, perlulah pergi ke Universiti yang lebih hebat supaya boleh belajar dari mereka. Jika nak jadi cerdik, mesti berkawan dengan orang cerdik, pemilihan kawan sangat penting untuk mencapai tujuan kejayaan. “Sama-samalah kita berganding bahu supaya melahirkan teknokrat yang mampu menguasai pengetahuan arus perdana berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah untuk kesejahteraan Negeri Terengganu di masa akan datang," katanya.
26 Sep 24
674
Khidmat Malaysia Terengganu Hantar 150 Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir di Kedah
Khidmat Malaysia Terengganu Hantar 150 Sukarelawan Bantu Mangsa Banjir di Kedah
KUALA TERENGGANU, 26 September - PAS Terengganu menerusi badan Khidmat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) akan menghantar 150 sukarelawan bagi membantu mangsa-mangsa banjir di Kedah. Pengerusi Khidmat Malaysia negeri, Hanafiah Mat berkata, kesemua sukarelawan itu dijadualkan berbakti selama tiga hari di negeri jiran iaitu di kawasan Pokok Sena yang paling terjejas akibat banjir bermula hari ini. Katanya, ini termasuk sumbangan kewangan sebanyak RM50,000 kepada PAS Kedah bagi melancarkan proses bantuan kepada mangsa banjir. "Saat bencana seperti ini, bantuan tenaga kerja amat diperlukan bagi membersihkan rumah mangsa banjir yang terjejas di samping menyampaikan sumbangan keperluan asas. "Mereka (sukarelawan) akan menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir termasuk membersihkan rumah-rumah, membaiki kembali rumah yang rosak dan menukar minyak silinder," katanya kepada pemberita. Tambah Hanafiah, pihaknya juga akan membawa barang keperluan asas seperti toto (200), selimut (200 helai) dan bantal (200 biji) yang bernilai RM16,000 bagi keperluan mangsa banjir. Menurutnya, ia merupakan hasrat Terengganu bagi mengurangkan bebanan kerajaan negeri yang terlibat dalam mendepani musibah banjir yang tidak dijangka itu.
26 Sep 24
234
Lebih RM4.2 Juta Diperuntukkan Hadapi Banjir di Terengganu
Lebih RM4.2 Juta Diperuntukkan Hadapi Banjir di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 26 September - Lebih RM4.2 juta diperuntukkan oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri bagi persediaan menghadapi banjir di Terengganu pada tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar (Pengurusan Bencana), Hanafiah Mat berkata, daripada jumlah itu, sebanyak RM2.2 juta ialah daripada kerajaan Persekutuan manakala RM2.038 juta lagi dari kerajaan negeri. “Peruntukan berkenaan bagi pembelian bahan mentah dan makanan serta keperluan lain seperti tikar, toto, selimut, tuala, kain batik dan kain pelikat kepada mangsa banjir. "Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menempatkan bekalan bencana di Depoh Simpanan Keperluan Bencana (DSKB) di Marang, 10 mini depoh dan 152 pangkalan hadapan yang terdapat di seluruh negeri mulai awal bulan depan.  “Keutamaan akan diberikan di kawasan yang berisiko terputus hubungan seperti Pulau Redang, Kuala Nerus dan Pulau Perhentian, Besut,”ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di Wisma Darul Iman di sini. Katanya, JKM menyediakan sebanyak 590 pusat pemindahan sementara (PPS) yang boleh menampung seramai 147,590 mangsa banjir tahun ini. Hanafiah yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bencana negeri berkata, pihaknya sudah membuat latihan dan persiapan rapi untuk menghadapi fenomena musim monsun timur laut  berikutan ramalan musim tengkujuh akan berlaku lebih awal kali ini. "Saya difahamkan semua agensi di bawah Jawatankuasa Bencana Negeri sudah melakukan persiapan menghadapi banjir bagi memastikan operasi menyelamat dan memindahkan mangsa yang terjejas berjalan lancar. "Antara persiapan awal dilakukan adalah mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Bencana Daerah dan latihan simulasi banjir di peringkat daerah masing-masing telahpun dilaksanakan baru-baru ini,"ujar beliau.
26 Sep 24
714
Dr Sam Mahu Ubah Pemikiran ‘Selesa’ Rakyat
Dr Sam Mahu Ubah Pemikiran ‘Selesa’ Rakyat
KUALA TERENGGANU, 25 September - Menteri Besar Terengganu mahu merubah pemikiran rakyat termasuk penjawat awam di negeri ini agar tidak cepat berpuas hati, sentiasa berasa selesa dan kurang motivasi untuk mencipta pencapaian yang lebih tinggi.  Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, walaupun usaha itu agak sukar, beliau kekal fokus dengan tujuan tersebut demi masa depan Terengganu. Katanya, kewujudan faktor pendesak mampu mempercepatkan proses itu berlaku sebagaimana di Jepun yang berjaya mengangkat pemikiran rakyat ke tahap lebih tinggi apabila tewas dalam peperangan. “Inilah fokus utama yang kita nak buat, (bukan kita tak nak buat langsung) bangunan atau menara tinggi, tetapi kalau kita buat menara cantik-cantik macam Menara Eiffel, mungkin adalah sedikit keuntungan buat kerajaan, tetapi kebahagiaan rakyat hanya seketika. “Kita mahu mengangkat pemikiran rakyat, kerana peningkatan pemikiran rakyat bukan hanya meletakkan negeri ke tahap berbeza, tetapi seluruh rakyat turut akan merasai ‘keuntungan’ itu,” katanya dalam Program Townhall Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) di Duyong Marina Resort, di sini, baru-baru ini. Beliau berkata demikian apabila ditanya mengenai perkara yang paling ingin dibuat tetapi sukar dilaksanakan selama menjadi Menteri Besar selama hampir dua penggal. Jelas Ahmad Samsuri lagi, contoh perubahan minda yang mahu dilakukan adalah seperti dalam sektor perniagaan. “Berdasarkan pemerhatian dan tinjauan saya ke dalam masyarakat, ramai peniaga mudah berasa selesa atau ‘cukup dengan apa yang ada’. “Sebelum ini saya pernah singgah di kedai nasi lemak untuk membeli sarapan, tetapi apabila sampai sekitar 7.30 hingga 8 pagi nasi sudah habis. “Kemudian saya tanya buat berapa bungkus, peniaga kata buat 50 bungkus sahaja setiap hari, saya kata kenapa tak buat lebih kalau nasi laku, boleh untung lagi, peniaga itu menjawab, dah biasa buat 50 bungkus. “Inilah contoh minda yang perlu diubah supaya menjadi lebih baik dan akhirnya memberi banyak manfaat kepada rakyat serta masyarakat termasuk dalam perkara-perkara lain,” katanya
25 Sep 24
388
Penganjur Jangan Anjur Aktiviti 'Tersembunyi'
Penganjur Jangan Anjur Aktiviti 'Tersembunyi'
SETIU, 25 September - Mana-mana penganjur sebarang program termasuk yang ingin mengadakan aktiviti membabitkan himpunan diingatkan agar tidak menyembunyikan acara tertentu daripada pengetahuan pihak kerajaan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan. Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, sikap penganjur menyembunyikan agenda program mengakibatkan berlakunya perkara yang tidak diingini sehingga orang ramai tidak senang dengan apa yang berlaku. Ujarnya, adalah penting untuk pihaknya mengetahui secara terperinci mengenai konsep dan aturcara setiap program yang ingin diadakan seperti konsert atau persembahan pentas. "Saya sebelum ini dah bercakap kepada mana-mana penganjur yang hendak buat apa-apa pun aktiviti di Terengganu, ia mesti melalui proses dan ia tidak akan ambil masa yang lama. "Contoh terbaik adalah bagaimana kita meluluskan program 'Jom Heboh' tengok macam mana dengan aktiviti persembahan ketika ia diadakan di Terengganu mengikut segala prosedur dan garis panduan hiburan yang telah ditetapkan setelah mengetahui dengan jelas segala penerangan yang kita berikan barulah ia diadakan serta dipromosikan secara besar-besara, "Kerana ada pihak penganjur yang belum datang berjumpa dan berbincang dengan pihak kita telah mengadakan promosi terlebih dahulu bahawa mereka akan mengadakan program di Terengganu, akibatnya netizen akan lihat promosi yang diadakan itu dia menyatakan bahawa kita dah lulus, sedangkan belum lulus dan tiada sebarang perbincangan," ujarnya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan lawatan kerja di Pulau Redang, di sini semalam. Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Pengarah Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abdul Rahman. Mengulas lebih lanjut, Razali berkata pihak kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan sebarang pelanggaran garis panduan yang telah ditetapkan. "Kita juga tidak akan teragak-agak untuk bertindak keras jika ada penganjuran program atau hiburan tanpa melalui kita sebagaimana kita pernah bertindak terhadap Parti Aloha sebelum ini, kita akan saman semaksima mungkin. "Namun ia bukan cara untuk menambahkan pendapatan kita tetapi ia merupakan peringatan agar mana-mana pihak dapat mengikuti SOP yang ada di negeri ini," ujarnya.
25 Sep 24
399