Artikel "Semasa" Terkini
Suara Transformasi, Terbitan UKOM Tawar Hadiah Telefon Bimbit
Akhbar rasmi kerajaan negeri terbitan Unit Komunikasi Negeri Terengganu, Suara Transformasi kini menawarkan hadiah istimewa kepada pemenang utama bulanan, berupa sebuah telefon bimbit bagi peraduan “CARI DAN MENANG ” menerusi ruangan peraduan setiap bulan, mulai Januari 2018. Pertandingan yang dicetak pada muka surat enam memberi peluang kepada pembaca menghantar penyertaan ke alamat yang disertakan sebelum 25 Januari ini pada setiap bulan dan dibuka sepanjang tahun 2018 ini.Selain itu, pelbagai informasi terkini mengenai pembangunan dalam negeri , sukan, pelancongan dan sebagainya boleh dibaca oleh semua golongan masyarakat.Iklan jawatan kosong dan temuduga terbuka juga diterbitkan di dalam akhbar ini bagi memudahkan rakyat Terengganu yang sedang mencari kerja di pelbagai sektor perkhidmatan dan pengurusan negeri.Sehubungan itu, orang ramai boleh mendapatkan naskhah akhbar ini secara percuma di Unit Komunikasi Negeri Terengganu (Jalan Pejabat , Kuala Terengganu), masjid-masjid mukim, pejabat Penyelaras DUN, pejabat-pejabat kerajaan negeri dan Persekutuan.
22 Jan 18
134
GPMS Terengganu Perkasakan Tulisan Jawi Melalui Minit Mesyuarat
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)Negeri Terengganu berjaya memperkasakan penggunaan tulisan jawi melalui minit mesyuarat supaya selari dengan negeri anjung ilmu dan Transformasi Terengganu Baharu (TTB).Pengerusinya Tengku Haphiz Tengku Putera berkata, sudah tiba masanya generasi muda bertindak dan secara realitinya ialah, tulisan jawi ini mesti diperkasakan dan dihidupkan kembali.Jelasnya lagi,sebahagian besar generasi hari ini boleh dikatakan sudah buta jawi dan yang boleh membacanya pula secara merangkak-rangkak dan terpaksa dibantu oleh mereka yang mahir."Bagaimana kaedahnya...kita semualah yang perlu memikirkannya kerana kalau kita tidak memulakannya maka kepada siapa yang mahu kita harapkan?.“Sebab itu,pihak GPMS telah mulakan semula walaupun sudah terlewat, tetapi sekurang-kurangnya mereka (orang muda) boleh baca serta faham apabila kita gunakannya dalam minit mesyuarat."Pada mulanya agak sukar juga untuk diterima dan difahami tetapi kami garapkan dalam jati diri ahli jawatankuasa bahawa ini adalah identiti jati diri Melayu, tanpa jawi tiada Melayu .Alhamdulillah ianya diterima baik sehingga sekarang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya di Kuala Berang,hari ini.Sehubungan itu juga,Tengku Haphiz mahu kerajaan melihat semula perkara itu supaya secara tidak langsung dapat mendidik anak muda mengenali tulisan jawi.“Jangan pisahkan Melayu dengan jawi dan kita perlu bertindak segera kerana jawi adalah identiti sebenar Melayu. Sepanjang pemerhatian saya banyak papan tanda terutama di pusat rekreasi diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sahaja."Ini adalah khazanah melayu lama,kalau kita orang muda tidak cuba perkasakannya...siapa lagi yang tinggal untuk menjaga peninggalan nenek moyang yang terdahulu,"kata Tengku Haphiz.
22 Jan 18
383
Kesedaran Elak Guna Polisterin Mulai Februari ini
Zainal menunjukan barangan terpakai yang berjaya dikumpul. Foto Zulkifli Putra Kempen kesedaran penggunaan polisterin bakal dikuatkuasakan di semua premis makanan dan kafe di bangunan kerajaan serta pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini berkuatkuasa Februari ini.Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Zainal Abidin Hussin berkata pihaknya akan mengedarkan notis kepada semua pengusaha dalam tempoh terdekat sebagai usaha menggunakan alternatif lain bagi membungkus makanan.Katanya, langkah itu merupakan fasa pertama di Terengganu dan bakal dimulakan oleh Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri dalam usaha mengurangkan penggunaan produk itu yang pastinya sukar diurai dan memberi kesan kepada alam sekitar.“Larangan penggunaan polisterin akan diperluaskan secara menyeluruh ke semua premis makanan di negeri ini termasuk bangunan swasta pada fasa seterusnya,”katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Kitar Semula sempena Program Pemerkasaan Amalan Reduce, Reuse, Recyle (3R) di perkarangan Wisma Darul Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Hadir sama Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) cawangan Terengganu, Sharudin Hamid.Zainal turut memberitahu, melalui program itu, setiap penjawat awam di Wisma Darul Iman digalakkan membawa barangan terpakai untuk dijual kepada pengusaha barangan terpakai. “Setiap kilogram barangan akan dikira dan dinilai untuk meraih hadiah di mana bagi kategori jabatan yang berjaya mengumpul barangan plastik, kertas atau lain-lain terbanyak masing-masing layak memperoleh wang tunai RM2,000.“Manakala bagi kategori indiviidu bakal menerima wang tunai sekali ganda daripada nilai barangan yang dijual atau maksimum RM1,000. Keputusan pemenang akan diumumkan dalam Majlis Perhimpuan Bulanan Warga WDI,”katanya.Menurut Zainal, pihaknya menetap hari Isnin minggu pertama dan isnin minggu terakhir pada setiap bulan bagi memudahkan penjawat awam dan orang ramai menghantar barangan terpakai di perkarangan WDI.“Pertandingan seumpama ini akan diperluaskan ke jabatan lain dan PBT di seluruh Terengganu sebagai galakan menjaga kebersihan persekitaran kerja,”katanya.
21 Jan 18
55
Kemaman Kekal Jadi Kubu UMNO
Ribut dalam cawan yang melanda Kemaman, Terengganu beberapa tahun yang lepas cuba diambil kesempatan oleh beberapa pihak. Mungkin mereka lupa bahawa ribut dalam cawan tersebut telah menjadikan air tersebut semakin mesra dan akrab.Pembangkang dilihat cuba memanaskan keadaan di Kemaman menjelang pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) yang bakal berlangsung bila-bila masa saja lagi. Semalam, portal pro pembangkang cuba meniup angin kesangsian ke dalam kancah politik Negeri Terengganu yang dilihat semakin mengukuh dan stabil. Mereka membuat berbagai andaian dan tuduhan tidak berasas berkenaan negeri tersebut dengan harapan ianya akan menganggu suhu politik Terengganu.Dalam masa yang sama mereka cuba menutup bagaimana pakatan harapan diketuai DAP telah menghancurkan Selangor dan Pulau Pinang. Kedua-dua negeri tersebut yang pada mulanya merupakan antara negeri termaju di Malaysia bertukar menjadi antara negeri yang menanggung hutang yang tinggi. Selangor dan Pulau Pinang juga kini menjadi negeri yang penuh dengan masalah banjir kilat, rasuah, salah guna kuasa dan lain-lain lagi.Datuk Seri Ahmad Said yang sinonim dengan Kemaman telah menegaskan beberapa bulan yang lalu bahawa beliau mahu melupakan semua sejarah silam dalam kerjaya politiknya dan menyeru semua pihak tidak mengungkit cerita lama.Ketua UMNO Bahagian Kemaman itu, berkata beliau juga tidak menyimpan dendam kepada sesiapa dan berikrar terus setia dengan UMNO, walaupun mengakui didatangi pelbagai tawaran menarik daripada pembangkang yang mahu memancing sokongannya.Ahmad Said yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Kijal berkata, yang lebih penting sekarang ialah persediaan untuk menghadapi PRU14 yang disifatkan sebagai penentu hidup mati UMNO.Malah Ahmad Said berkata, beliau menghormati rakan seperjuangannya Menteri Besar yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Terengganu, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan enggan lagi menyebut perkara yang sudah berlaku.Apabila Ahmad Said telah berikrar setia bersama UMNO maka suhu politik Kemaman kini berada dalam keadaan yang sangat stabil. Oleh itu, Kemaman masih lagi kubu kuat UMNO. Namun seperti biasa pembangkang tetap akan menyebarkan khabar-khabar angin yang tidak berasas.-PRU14.TV
21 Jan 18
38
50 Peratus Kuota Kediaman Untuk Orang Melayu
Mohd Jidin bersama peserta Seminar Pembangunan Srata, di Sumai Hotel, Kuala Terengganu, Foto Harish Fadzillah Kassim.Kerajaan melalui Dasar Perumahan Negeri menetapkan kediaman yang mempunyai lebih 200 unit akan tertakluk kepada penetapan kuota orang Melayu iaitu sebanyak 50 peratus bagi menggalakkan pembinaan kediaman berstrata.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesejahteraan Bandar Negeri, Dato Mohd Jidin Shafee berkata, bagaimanapun, pembangunan kurang daripada 200 unit pula tidak dikenakan penetapan kuota orang Melayu.Katanya, dasar itu ditetapkan bagi pembangunan perumahan swasta di atas tanah yang berkeluasan kurang tiga hektar."Pihak berkuasa tempatan (PBT) dan negeri juga perlu didedahkan lebih banyak maklumat berkenaan pembangunan hartanah berstrata kerana ianya agak kompleks. Malah, PBT dan kerajaan juga hendaklah bersedia menjadi pemudah cara yang terbaik supaya pembangunan negeri menjadi lebih pantas dan memberi manfaat kepada rakyat.“Selain itu, rakyat di negeri ini harus dididik agar bersedia dan patuh kepada peraturan serta garis panduan terutamanya berkenaan bayaran caj perkhidmatan bulanan bagi kediaman berstrata supaya bangunan dapat diselenggara dengan baik dan mengikut jadual,”katanya.Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Pembangunan Srata, di Sumai Hotel, Kuala Terengganu, hari ini.Mohd Jidin berkata, kerajaan negeri memberi keutamaan pembangunan hartanah kediaman bersrata di kawasan bandar memandangkan kekurangan tanah untuk pembangunan selain menjadi 'trend pembangunan' di Pantai Barat. “Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) perlu memainkan peranan kerana memiliki pengetahuan, keupayaan dan pengalaman dalam pembangunan tanah kediaman bersrata,” katanya.Pengerusi REHDA Terengganu, Mohamad Hishamudin Muda berkata, pembangunan hartanah berstrata di Terengganu masih agak kurang berbanding negeri di Pantai Barat.Katanya, bagi pihak pemain industri, terdapat pelbagai cabaran yang harus dilalui bagi membolehkan sesuatu pembangunan berstrata itu berjaya. "Pihak konsultan juga perlu mengambil serius setiap perubahan kehendak dalam garis panduan dan akta agar tidak memberi implikasi negatif terhadap pembangunan sesebuah projek. "Bagi pihak kerajaan dan agensi yang terlibat pula, bantuan dan sokongan berterusan amatlah diperlukan oleh pemain industri," katanya.
20 Jan 18
74
Ghazali Sertai Kawat Ziarah 'Pok Him Bernama'
Program Ziarah Kasih yang digerakkan Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia & Tugas-Tugas Khas Negeri, Ghazali Taib apabila turun padang menyertai kunjungan ke rumah bekas wartawan sambilan Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Biro Terengganu yang uzur, Ibrahim Bakar, hari ini.Ibrahim, 74, dikenali sebagai Pok Him di kalangan rakan media, tinggal bersama isteri, Zainu Zakaria, 60, di Kampung Ladang Sekolah, Kuala Terengganu menghidap pelbagai penyakit dan terbaru, menghidap sakit buah pinggang serta sentiasa berulang alik ke hospital untuk mendapatkan rawatan susulan.Beliau memulakan karier sebagai wartawan sambilan dengan Bernama sejak 1973 dan sudah berkhidmat di bawah 13 ketua biro.Ghazali yang juga ADUN Ajil turut menyampaikan sumbangan peribadi kepada Pok Him manakala Kawat menyerahkan barangan keperluan harian.Timbalan Presiden Kawat, Ahmad Syafri Husnaini Mohamed berkata, ziarah dan sumbangan oleh ahli Kawat adalah tanda ingatan rakan media sebelum ini sentiasa bekerjasama dalam memastikan profesion pengamal media di pandang tinggi dan penting dalam pembangunan negeri dan juga modal insan.
20 Jan 18
249
Telemovie Kebaya Mek Hwa Papar Budaya, Perpaduan Di Terengganu
Sabri ketika menjayakan penggambaran telemovie Kebaya Mek Hwa di Perkampungan Cina. Telemovie `Kebaya Mek Hwa' mampu menonjolkan keunikan kehidupan masyarakat peranakan Cina dan Melayu di pelbagai lokasi menarik di Terengganu apabila bersiaran di slot cerekarama TV3 sempena Tahun Baru Cina tidak lama lagi.Pada masa sama, drama yang berdurasi kira-kira dua jam itu mampu memupuk semangat perpaduan kerana menggabungkan barisan pelakon Cina dan Melayu seperti Pauline Tan sebagai May, Syazwan Zulkifli (Dani), Wan Hanafi Su (Pok Mat tukang bot) dan Sulaiman Yassin memegang watak nelayan yang dikenali sebagai Awang.Tiga lokasi utama iaitu Perkampungan Cina, Jalan Bandar, perusahaan bot di Pulau Duyong (Kuala Terengganu) dan perkampungan nelayan di Jambu Bongkok, Bukit Payung (Marang) menjadi pilihan penggambaran sesuai dengan jalan cerita dan keindahan lokasi yang menjadi tumpuan pelancong ke Terengganu.Pengarah Drama, Sabri Yunus berkata, pihaknya memilih Terengganu sebagai lokasi penggambaran kerana menyedari pelbagai keunikan budaya masyarakat peranakan Cina yang dikenali dengan panggilan Mek dan Awang serta keakraban kaum itu dengan budaya dan masyarakat Melayu sendiri.“Mek dan Awang di sini menggemari pelbagai makanan Melayu, terutama nasi dagang dan keropok lekor dan pelbagai menu tradisional lain, selain gemar mengenakan pakaian tradisional baju kebaya.“Semua adat, budaya dan warisan itu akan dipaparkan dalam Kebaya Mek Hwa yang menggunakan hampir 85 loghat Terengganu dan dilakon oleh 15 individu dan 10 orang daripadanya adalah anak jati Terengganu,”katanya.Sabri berkata demikian kepada Teganukita ketika penggambaran telemovie itu, di Perkampungan Cina, Jalan Bandar, Kuala Terengganu, hari ini.Sementara itu, Penulis Skrip telemovie berkenaan, Mohd Syukri Mohd Sidek yang dikenali Joe Sidek berkata, naskhahnya itu nanti akan menonjolkan keistimewaan dan amalan harian masyarakat peranakan Cina Terengganu yang jarang dipertontonkan kepada umum apatah lagi dalam bentuk telemovie.“Antara yang akan ditonjolkan adalah golongan ini gemar berbaju kebaya atau dipanggil 'Baju Kebaya Potong Kot' dan kain batik jawa bagi perempuan manakala lelaki memakai kain pelekat dan baju pagoda selain kemeja apabila keluar rumah, selain fasih bertutur loghat Terengganu,”katanya.
20 Jan 18
1457
Elak Kongsi Masalah Rumah Tangga Di Media Sosial
Pengguna internet dinasihatkan melayari internet secara bijak dan bertanggungjawab dengan tidak menjadikan media sosial sebagai alternatif untuk menyelesaikan masalah peribadi termasuk berkongsi kisah rumah tangga.Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Dato' Seri Jailani Johari berkata, sekiranya tidak digunakan secara bertanggungjawab, tidak mustahil tindakan itu akan menimbulkan masalah termasuk menjadi faktor kepada keruntuhan rumah tangga."Kajian menunjukkan setiap hari netizen menghabiskan masa kira-kira empat jam di internet dan mungkin ada yang di luar sana sedang melihat untuk mengambil peluang sekiranya mereka ini tersilap memuat naik status."Sebab itu saya nasihatkan apa-apa masalah, sila rujuk pakar dan bukannya menjadikan media sosial sebagai tempat untuk menyelesaikannya termasuklah masalah keluarga yang mungkin timbul apabila orang berkongsi berita yang tidak ada kesahihannya."Kita banyak medium, jadi cari lah orang yang sesuai ataupun orang yang berautoriti untuk kita membicarakan masalah peribadi kita. Kita mesti periksa setiap masa, siapa yang berautoriti untuk memberi pandangan dan nasihat bagi menyelesaikan masalah kita," katanya.Jailani berkata demikian kepada pemberita di Program NBOS-CTU Penyelenggaraan Rumah & Bantuan Insan Terpilih Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Terbuka Kampung Landas, Hulu Terengganu, hari ini.Beliau juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memeriksa maklumat atau berita yang mereka perolehi melalui media sosial."Apa pun platform yang anda gunakan untuk mendapatkan maklumat, sama ada dalam talian atau luar talian, pastikan anda menyemaknya dengan pihak berkuasa dan tidak sewenangnya berkongsi dengan pihak ketiga," ujarnya lagi.Jailani berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Ketua Hakim Syarie Terengganu Wan Mohd Zakri Wan Mohd baru-baru yang menyatakan media sosial juga turut menjadi antara faktor yang menyebabkan perceraian.Dalam kenyataan tersebut Wan Mohd Zakri berkata trend penggunaan aplikasi seperti WhatsApp dan Facebook boleh mengundang kepada keraguan pasangan yang secara tidak langsung mendorong kepada perbuatan curang apabila perhubungan biasa bertukar menjadi perhubungan mesra.Beliau mengakui adanya isu berkaitan terutama facebook dan whatsApp yang menyebabkan berlaku salah faham suami isteri sehingga membawa kes itu ke mahkamah seterusnya menyumbang kepada faktor yang membawa penceraian.
20 Jan 18
45
Lebih 165 Ribu Penduduk Pedalaman Boleh Nikmati Internet Tahun Ini
Lebih 165,000 penduduk luar bandar bakal mendapat akses perkhidmatan internet, siaran televisyen dan radio menerusi 52 program Menghubung dan Menyatu (CTU) yang disasarkan di seluruh negara pada tahun ini.Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Dato' Seri Jailani Johari berkata, kerajaan akan membangunkan infrastruktur seperti menara telekomunikasi, capaian internet yang lebih tinggi dan penyiaran digital yang mampu memberi manfaat kepada rakyat."Sehingga hari ini, sebanyak 78 Program CTU dilaksanakan di seluruh Malaysia yang memberi manfaat berterusan kepada 403,000 rakyat di kawasan pedalaman."Manakala sebanyak 38 menara telekomunikasi telah dibina dan 460 alat penyiaran satelit telah diedarkan di bawah pendekatan digitising, " kata Jailani.Beliau berkata demikian kepada pemberita di Program NBOS-CTU Penyelenggaraan Rumah & Bantuan Insan Terpilih Parlimen Hulu Terengganu di Dewan Terbuka Kampung Landas, hari ini.Turut hadir Ketua Setiausaha, Kementerian Komunikasi dan Multimedia,Tan Sri Dr Sharifah Zarah Syed Ahmad Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Dato' Ibrahim Abdul Rahman dan Ahli Dewan Undangan Negeri Ajil, Ghazali Taib.Tambah Jailani lagi, projek baik pulih rumah daif dan pemberian bantuan kepada penduduk golongan miskin di Parlimen Hulu Terengganu yang dilaksanakan pada hari ini adalah antara projek yang dirancang sejajar dengan hasrat kerajaan untuk merakyatkan penyampaian perkhidmatan komunikasi.Katanya, kedua-dua komponen itu amat penting bagi mewujudkan masyarakat bermaklumat dan terhubung serta meningkatkan taraf hidup penduduk."Pada hari ini peruntukan sebanyak RM400,000 diberikan bagi kerja-kerja baik pulih rumah daif di kawasan Parlimen Hulu Terengganu melibatkan sebanyak 40 buah rumah yang dikategorikan sebagai rumah daif."Di samping itu, hari ini kita juga meraikan seramai 200 orang anak-anak yatim dan 200 orang ibu tunggal yang mana setiap mereka akan diberi sedikit sumbangan berupa wang tunai dan juga barangan keperluan harian, " ujarnya.Menurutnya, ia adalah merupakan sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam menangani kos sara hidup rakyat dan selaras dengan objektif program CTU untuk merakyatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat negara ini.
19 Jan 18
60
Pengamal Media Konvensional Diingatkan Patuhi Etika
Para pengamal media konvensional atau media sosial di negara ini diingatkan sentiasa mematuhi etika kewartawanan dalam menghasilkan bahan berita dan bukannya untuk populariti di atas kesusahan orang lain.Timbalan Menteri Komunikasi Dan Multimedia, Dato' Seri Jailani Johari berkata, itu merupakan etika kewartawanan yang perlu dipatuhi oleh pengamal media bukan sahaja untuk menjual bahan berita tetapi harus memastikan berita yang dikeluarkan itu maklumat sahih, tepat dan benar."Mereka yang ingin menjadi wartawan biasanya akan mengikuti kursus kewartawanan dan inilah salah satu cabaran untuk mereka yang ingin terlibat dalam bidang kewartawanan secara konvensional atau arus media baru dalam penghasilan berita."Kita dapat lihat mereka yang terlibat dalam media konvensional biasanya didedahkan dengan pengalaman, latihan dan sebagainya. Oleh itu, gunakan peluang pembelajaran yang mereka dapat untuk mengeluarkan kenyataan atau berita tepat, benar dan sahih."Jika mereka ini boleh dikatakan lebih kurang sama dengan wartawan 'mee segera', kita harap perkara seperti ini dihapuskan kerana apa sahaja yang dinyatakan di dada akhbar secara konvensional atau atas talian...punyai pengaruh dan kesannya kepada pembaca di luar sana," katanya kepada pemberita di Majlis Perlepasan Konvoi Puteri Hulu Terengganu ke Program Pelancaran Sahabat Puteri BN "AZALEA 2018" di Dataran Kuala Berang, malam tadi.Jailani berharap mana-mana yang berminat untuk menjadi wartawan haruslah melalui proses yang disediakan dan untuk wartawan media secara atas talian juga harus didedahkan dengan latihan mengikut etika kewartawanan."Ini yang harus ditekankan kerana sebagai wartawan yang bagus, kita bukan sahaja buat berita untuk mencari keuntungan tetapi juga memberi maklumat kepada mereka yang berada di luar sana yang memang dahagakan maklumat setiap hari tanpa mengira waktu,"ujarnya
19 Jan 18
48