Artikel "Politik" Terkini
Dr. Sam Persoal Integriti Pelantikan Hakim, Desak Tindakan Segera PM
KUALA TERENGGANU, 8 Julai – Isu pelantikan hakim yang didakwa tidak mengikut prosedur wajar ditangani dengan tindakan segera dan tegas oleh Kerajaan Persekutuan bagi memelihara integriti sistem pentadbiran negara.
Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa perkara yang dibangkitkan oleh mantan Menteri Ekonomi, Dato’ Seri Rafizi Ramli baru-baru ini bukan sesuatu yang baharu kerana ia telahpun disentuh lebih awal oleh Ketua Whip Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
“Saya rasa apa yang dibangkitkan oleh YB Rafizi semalam sebenarnya telah pun disentuh sebelum ini di peringkat Perikatan Nasional.
“Mesejnya jelas. Kerajaan perlu ambil tindakan segera untuk selesaikan masalah ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2025 di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.
Ahmad Samsuri turut memetik beberapa perkembangan terbaru yang menunjukkan berlaku pelanggaran tatacara, termasuk mesyuarat penting yang dijalankan tidak mengikut tempoh atau garis panduan yang sah.
“Apa yang berlaku sehari dua ini, termasuk mesyuarat yang tidak mengikut tempoh, adalah perkara yang perlu diambil serius. Saya rasa itu perkara yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Dalam hal ini, katanya, cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) adalah langkah paling besar dan mungkin paling berkesan untuk memastikan pelantikan dilakukan mengikut lunas perlembagaan dan tatacara yang betul.
“Sama ada kita setuju atau tidak, saya rasa RCI adalah satu-satunya jalan untuk menyelesaikan isu ini dan yang paling penting sekarang adalah memastikan pelantikan itu dibuat mengikut tatacara,” jelasnya.
Tegasnya lagi, Kerajaan Persekutuan khususnya Perdana Menteri perlu menunjukkan komitmen dalam menangani perkara ini agar rakyat tidak hilang keyakinan terhadap sistem pentadbiran negara.
“Kita tengok apa yang dibangkitkan oleh Rafizi Ramli semalam, saya rasa pada tahap ini macam-macam perkara sedang berlaku.
“Jadi, kena ada tindakan serius daripada pihak kerajaan, terutama Perdana Menteri (PMX),” tambah beliau lagi.
08 Jul 25
186
Proses Pemulihan Abdul Hadi Luar Biasa
KUALA TERENGGANU, 23 Jun - Keadaan kesihatan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang sedang menjalani prosedur rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) ketika ini menunjukkan perkembangan positif.
Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, doktor yang merawat beliau memaklumkan proses pemulihan agak luar biasa dan cepat.
“Saya pun dah melawat Tuan Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) dan saya amat teruja sebenarnya melihat prosedur yang dijalaninya berjalan dengan lancar dan proses ‘recovery’ sangat cepat dan insya-Allah beliau mampu untuk ‘come back’ dengan kerja beliau selepas ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai tahap kesihatan Presiden PAS itu selepas Majlis Perasmian East Coast Energy 2025 yang disempurnakan oleh Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin di Dewan Konvensyen, Taman Tamadun Islam, di sini, hari ini.
Terdahulu, Abdul Hadi dilaporkan menjalani prosedur rawatan di IJN selepas dimasukkan ke pusat rawatan berkenaan beberapa hari lalu.
Ketika ditanya mengenai perkara berkenaan (rawatan di IJN) yang seolah-olah dirahsiakan sebelum ini beliau menafikan dan memaklumkan ia lebih kepada memberi ruang kepada proses rawatan dan pemulihan Tuan Guru.
“Saya rasa dua atau tiga hari sebelum jalani prosedur, anak Tuan Guru, Dr. Muhammad Khalil ada membuat kenyataan memohon kita semua berdoa dan sebagainya.
“Jadi bukan rahsia, tapi berilah ruang untuk proses pemulihan beliau dengan lebih cepat sebab bila prosedur di hospital ini kalau ada tidak kena cara akan berlaku jangkitan dan sebagainya.
“Dengan keadaan usia Tuan Guru kita kena meminimakan segala kemungkinan-kemungkinan yang menganggu proses pemulihan,” jelas beliau.
23 Jun 25
429
SST : Shahidan Minta PM Bersumpah
SETIU, 22 Jun - Ahli Parlimen Arau, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim meminta Perdana Menteri Malaysia, Dato' Seri Anwar Ibrahim bersumpah bahawa kadar Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) tidak akan menaikkan harga barangan.
Katanya, kegagalan seorang pemimpin menunaikan janji, khususnya yang dibuat secara terbuka adalah sesuatu yang amat tidak wajar kerana mencerminkan kelemahan integriti kepimpinan.
Ujar beliau, seorang pemimpin sepatutnya menunjukkan teladan baik dengan berpegang teguh kepada janji, bukannya menjadikan isu sebagai modal politik semata-mata.
"Perdana Menteri (PMX) perlu bersumpah dengan nama Allah bahawa tiada sebarang kenaikan harga barang berkaitan pelaksanaan kenaikan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan bermula 1 Julai ini.
"Jika tidak, ia hanya tinggal janji kosong kerana kita perlu bertanggungjawab dari sudut hukum," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Setiu kali ke-47 di Dewan Sungai Tarom, Bandar Permaisuri, pada semalam.
Menurut beliau, dalam Islam janji adalah amanah dan tidak boleh dimain-mainkan.
“Kalau orang Islam sendiri berani buat janji secara terbuka, tetapi tidak tunaikan itu amat mengecewakan.
“Nanti orang bukan Islam pun tak akan hormat pada kita. Orang Islam sendiri pun sudah tidak peduli. Bersumpah, Anwar, tak jadi (laksanakan),” tegas beliau.
Mengulas isu kemungkinan pelaksanaan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), beliau melahirkan kebimbangan bahawa kerajaan mungkin menggantikannya dengan pelaksanaan SST secara menyeluruh, walaupun sebelum ini menolak GST atas alasan ia membebankan rakyat.
"Kalau kerajaan melaksanakan GST secara menyeluruh, maka SST ini akan digantikan sepenuhnya, jika itu yang cuba dipertahankan mereka.
"Seluruh dunia menggunakan GST, tetapi sekarang mereka mungkin kata mahu perkenalkannya secara berperingkat atau ditangguhkan dahulu.
"Saya pun tak pasti, apa sebenarnya yang dimaksudkan 'General Service Tax' atau 'Goods and Services Tax'?" soalnya secara sinis.
22 Jun 25
105
Prestasi PAS Kini Terbaik, Mengapa Nak Tukar Presiden?
BESUT, 17 Jun - "Prestasi PAS sekarang adalah antara yang terbaik, kenapa perlu tukar Presiden," itu lontaran suara Naib Presiden Parti Islam SeMalaysia (PAS), Dato' Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ketika ditanya tentang kewajaran Tan Sri Abdul Hadi Awang berundur dari jawatan presiden parti berkenaan berikutan keadaan kesihatannya.
Menurut Dr. Samsuri, buah fikir dan kepimpinan Ahli Parlimen Marang itu masih diperlukan.
"Tidak timbul persoalan itu (undur diri), semua ahli di pelbagai peringkat semuanya mendoakan kesihatan Tuan Guru (Abdul Hadi) supaya dapat terus kembali seperti biasa dan tentunya paling penting kepimpinan dan pemikiran Tuan Guru itu dapat memberi semangat kepada kami dari segi gerak kerja.
"Dalam PAS, perjuangan adalah bukan politik semata-mata tetapi mencakupi lebih daripada itu lagi.
"Tuan Guru masih sangat diperlukan, lihatlah dalam ucapan saya (sebelum ini) bahawa prestasi terbaik sehingga PAS muncul sebagai sebuah parti yang paling besar dalam negara memenangi kerusi di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen iaitu hampir 200 orang adalah di zaman Tuan Guru, mengapa pula apabila berada dalam keadaan cemerlang kita mahu memikirkan benda yang bukan-bukan pula?.
"Tentulah kita mengharapkan suapaya momentum yang sedia ada dibawa oleh Tuan Guru ini dapat diteruskan," katanya ketika ditemui pemberita dalam sesi ziarah bertemu keluarga Muhammad Mustaqim Rosde, di Kampung Telaga Nibong, Jerteh hari ini.
Mustaqim merupakan salah seorang daripada 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang terkorban dalam tragedi nahas bas sewa khas di Gerik, Perak, 9 Jun lalu.
Dr Samsuri yang juga Menteri Besar Terengganu turut menziarahi keluarga 14 pelajar yang turut terkorban dalam peristiwa itu.
"Ziarah ini sebagaimana sedia maklum adalah kesinambungan santunan daripada kerajaan negeri bermula dari Gerik lalu.
"Semua pihak ada peranan masing-masing. Ini adalah tempoh yang sangat penting dalam dua minggu ini bagi meredakan tekanan psikologi keluarga dan melihat di mana kerajaan negeri boleh memberi bantuan kepada semua keluarga yang terlibat.
"(Setakat ini), sumbangan telah selesai, ada yang disampaikan lebih awal oleh Yang Berhormat (YB) kawasan dan kita melengkapkanlah, kita juga sangat mengalu-alukan sumbangan dari pihak-pihak di luar atau mana- mana organisasi yang diharap boleh memberi satu suntikan motivasi kepada ahli keluarga," katanya.
17 Jun 25
167
MB Terengganu Undur Diri
MARANG, 14 Jun – Dalam detik penuh emosi, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini mengumumkan pengunduran dirinya sebagai Yang Dipertua (YDP) PAS Kawasan Marang dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang kali ke-41, yang berlangsung di Rusila.
Langkah ini menandakan satu perubahan besar dalam landskap kepimpinan PAS kawasan bersejarah itu, yang telah sekian lama dipimpin oleh Ahmad Samsuri dengan penuh komitmen dan wibawa.
"Saya undur kerana yakin sudah tiba masanya untuk individu lain menyambung perjuangan.
"Kepimpinan ini bukan milik individu, ia milik jamaah,” ujar beliau.
Mohd Nor menyapa Dr. Sam di Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang.
Sebagai langkah penyusunan strategik saf kepimpinan, Timbalan YDP PAS Kawasan Marang, Dato' Mohd Nor Hamzah, diumumkan sebagai pengganti rasmi dan kini menggalas tanggungjawab sebagai YDP yang baharu selepas menang tanpa bertanding (MTB).
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia dan Hal Ehwal Pengguna Negeri, Dato' Ariffin Deraman dipilih sebagai Timbalan YDP, juga MTB.
Di samping itu, jawatan Naib YDP, dipangku Wan Zuki Wan Ismail, selepas diumumkan MTB.
14 Jun 25
15286
"Tiada Sebab Perlu Tukar Presiden PAS" – Dr. Sam
MARANG, 14 Jun – Menteri Besar Terengganu yang juga Naib Presiden PAS, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa, isu pertukaran Presiden PAS tidak pernah timbul dalam kalangan kepimpinan parti.
Jelas beliau, isu itu hanyalah mainan pihak musuh untuk menggugat keyakinan ahli parti serta rakyat.
Ahmad Samsuri berkata, Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah membuktikan kepimpinan yang unggul dengan merangka strategi yang membawa kemenangan besar kepada parti dalam beberapa siri pilihan raya yang lalu.
"Tidak timbul langsung soal nak tukar Presiden. Presiden inilah yang telah mengatur strategi kemenangan besar PAS.
"Isu ini sengaja dimainkan musuh untuk mencetuskan kekeliruan dan melemahkan kesatuan dalam parti," katanya ketika berucap di Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Marang di Rusila hari ini.
Menurutnya, PAS kekal teguh dengan struktur kepimpinan yang berteraskan prinsip wala’ dan syura serta sentiasa berusaha memperkukuh perjuangan Islam dalam kerangka demokrasi berperlembagaan.
Ahli Parlimen Kemaman itu turut mengingatkan ahli dan penyokong agar tidak mudah terpedaya dengan naratif luar yang berniat memecah-belahkan kesatuan jemaah.
"Kita kena fokus pada agenda dakwah dan pentadbiran yang beramanah. Jangan terperangkap dengan permainan musuh yang hanya mahu melihat kita berpecah," tambah beliau.
PAS sebelum ini mencatat kejayaan besar termasuk menyapu bersih kerusi DUN di negeri itu serta menjadi tulang belakang Perikatan Nasional dalam blok pembangkang Parlimen Malaysia.
Terdahulu, ada segelintir pihak dan media yang cuba memainkan isu kononnya Abdul Hadi akan berundur sebagai Presiden PAS.
14 Jun 25
532
Ahli Parlimen Besut Bidas PM Tangguh Kes Yusoff Rawther
BESUT, 14 Jun – Ahli Parlimen Besut merangkap Ketua Portfolio Undang-Undang Blok Pembangkang, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memohon penangguhan perbicaraan kes sivil berkaitan dakwaan serangan seksual terhadap Muhammad Yusoff Rawther.
Menurut beliau, permohonan tersebut menimbulkan persoalan serius terhadap integriti dan ketelusan kepimpinan negara, serta mengundang persepsi berlakunya campur tangan politik dalam institusi kehakiman.
“Sebagai Perdana Menteri, beliau seharusnya menjadi teladan dalam menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang.
“Tindakan menangguhkan perbicaraan bukan sahaja mencetuskan persepsi negatif, malah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap sistem kehakiman yang sepatutnya bebas dan adil,” ujarnya dalam kenyataan media semalam.
Che Mohamad turut menegaskan bahawa langkah tersebut bercanggah dengan semangat reformasi institusi yang sering dilaungkan oleh Perdana Menteri sendiri, selain memberi gambaran seolah-olah wujud layanan istimewa kepada pemimpin berkedudukan tinggi.
Tambah beliau, rakyat Malaysia berhak mendapatkan keadilan melalui proses kehakiman yang telus, serta bebas daripada sebarang pengaruh politik.
“Perdana Menteri perlu menghormati proses mahkamah dan berhenti daripada terus mencari alasan untuk menangguhkan perbicaraan kes bersama Muhammad Yusoff Rawther ini,” katanya lagi.
Perikatan Nasional, jelas beliau, akan terus memantau rapat perkembangan kes ini dan menyeru institusi kehakiman supaya mempertahankan kebebasan serta integriti sistem perundangan negara daripada sebarang tekanan politik.
Beliau menegaskan akan terus memperjuangkan prinsip keadilan dan ketelusan dalam sistem kehakiman negara demi memastikan kepercayaan rakyat terhadap institusi negara terus terpelihara.
13 Jun 25
180
PM Diselar Kerana Jawapan ‘Sambil Lewa’ Isu PETRONAS
KUALA TERENGGANU, 10 Jun – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim meluahkan rasa kecewa terhadap kenyataan Perdana Menteri yang didakwa sambil lewa berhubung isu pemberhentian 5,000 pekerja kontrak PETRONAS.
Menurut beliau, kenyataan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meremehkan isu itu dengan menyatakan bahawa mereka hanyalah pekerja berstatus kontrak mencerminkan sikap kurang empati terhadap nasib rakyat yang terjejas.
“Saya cukup kecewa dengan jawapan sambil lewa seorang Perdana Menteri berhubung rancangan PETRONAS berhentikan 5,000 pekerja dengan menyebut mereka ini berstatus kontrak.
“Nada jawapan beliau seolah-olah tiada empati bahawa 5,000 orang pekerja berkenaan adalah rakyat kita, ada keluarga yang bergantung hidup,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut mempersoalkan sama ada inilah pandangan sebenar kerajaan terhadap semua penjawat kontrak yang mudah dikorbankan apabila berlaku krisis atau penstrukturan syarikat.
Ahmad Amzad turut mengingatkan bahawa majoriti petugas sektor kesihatan negara, termasuk pegawai perubatan dan doktor pelatih, juga kini berstatus kontrak.
Kenyataan itu dilihat terus relevan ketika umat Islam di seluruh negara menyambut Aidiladha hari ini, apabila erti sebenar pengorbanan seharusnya turut merangkumi penghargaan kepada mereka yang saban hari berkorban tenaga dalam pembangunan negara termasuk golongan pekerja kontrak yang sering terpinggir.
10 Jun 25
149
Tarif Tinggi AS Jejas Ekonomi Negara, Kerajaan Digesa Perluas Dagangan Baharu
KUALA LUMPUR, 6 Mei – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh menyuarakan kebimbangan terhadap tindakan Amerika Syarikat (AS) yang mengenakan tarif import tinggi ke atas Malaysia, yang disifatkannya sebagai satu bentuk tekanan yang mampu menggugat kestabilan ekonomi negara.
Beliau berkata demikian ketika Mengulas mengenai isu perdagangan antarabangsa dalam Mesyuarat Khas Penggal Keempat Parlimen Kelima Belas semalam.
Menurut beliau, kadar tarif yang dikenakan oleh AS ke atas produk Malaysia kini mencecah 24 peratus, jauh lebih tinggi berbanding Filipina (17 peratus) dan Singapura (10 peratus).
Jelasnya, situasi ini sebagai serius dan memerlukan tindakan segera daripada kerajaan.
“Ekonomi kita menjadi tidak menentu apabila tarif dikenakan terlalu tinggi. Ini satu bentuk tekanan yang memerlukan tindakan balas yang proaktif dari kerajaan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan keperluan Malaysia untuk memperluaskan pasaran dagangan dengan rakan dagang baharu bagi mengurangkan kebergantungan terhadap AS yang kini menyumbang lebih 40 peratus kepada jumlah perdagangan negara.
Che Mohamad Zulkifly turut mempersoalkan sejauh mana inisiatif rundingan perdagangan baharu telah digerakkan serta negara-negara mana yang telah terlibat setakat ini.
Katanya lagi, antara sektor utama yang terkesan dengan tarif tinggi ini termasuk sektor elektrik dan elektronik (E&E), getah, minyak sawit dan bahan kimia.
Beliau turut memberi amaran bahawa sektor semikonduktor, yang menyumbang hampir 20 peratus kepada eksport E&E negara, juga berpotensi menjadi sasaran tarif pada masa akan datang.
“Kita tak boleh tunggu sehingga semuanya dikenakan tarif. 'Prevention is better than cure'. Kita perlu bersedia dari sekarang dan cari rakan dagangan strategik yang baharu,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Besut itu turut menyentuh ketidaktentuan dasar ekonomi dalam negara termasuk peluasan skop Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta kenaikan tarif elektrik yang belum dijelaskan sepenuhnya.
Tambahan pula, pelaksanaan subsidi bersasar yang dijangka bermula pertengahan tahun ini turut menambah kebimbangan rakyat terhadap beban kos sara hidup yang semakin meningkat.
Beliau turut mencadangkan agar dasar import negara dikaji semula supaya selari dengan kapasiti pengeluaran dalam negara.
“Kalau tarif kita terlalu tinggi, mereka tidak akan beli. Kita juga terlalu banyak bergantung kepada import.
"Bila kita kurangkan import tanpa cukup pengeluaran dalam negara-pertanian, perkilangan – kita akan hadapi masalah besar. Ini perlu diberi perhatian segera,” jelasnya.
06 May 25
129
Fitnah Hina Agong: ADUN Sura Hasrat Heret Zulqarnain Ke Mahkamah
DUNGUN, 29 April - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin hari ini berhasrat mengambil tindakan undang-undang terhadap seorang peguam, Zulqarnain Lukman, berikutan tuduhan liar yang mengaitkannya dengan penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Menurut Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, tuduhan tersebut disifatkan sebagai sangat berat, tidak berasas, bersifat jahat dan berunsur niat buruk (mala fide).
"Zulqarnain Lukman secara terbuka telah mengeluarkan kenyataan yang menggambarkan seolah-olah saya menghasut rakyat untuk mengurangkan kepercayaan terhadap institusi Raja-Raja Melayu. Sedangkan kenyataan asal saya langsung tidak menyentuh, apatah lagi menghina mana-mana Raja atau institusi DiRaja," tegas beliau dalam satu kenyataan rasmi hari ini.
Dr Tengku Muhammad turut menyatakan bahawa tuduhan tersebut mencemar reputasinya sebagai wakil rakyat, selain cuba mencetuskan persepsi buruk dan fitnah ke atas dirinya secara peribadi dan politik.
"Saya kini sedang mengambil langkah undang-undang terhadap Zulqarnain Lukman atas kenyataan liar ini. Jangan gunakan gelaran 'pakar perlembagaan' untuk membuat tuduhan sewenang-wenangnya dan membawa persepsi jahat kepada sesiapa," tambahnya.
Beliau juga menegaskan bahawa semua pihak bertanggungjawab memelihara institusi Raja-Raja Melayu, tetapi menfitnah sesama rakyat atas nama mempertahan institusi Raja jelas merupakan tindakan yang tidak bertanggungjawab.
"Saya akan terus bercakap tentang kebenaran dan keadilan untuk rakyat. Saya tidak akan tunduk kepada taktik ugutan fitnah seperti ini," katanya.
Terdahulu, kenyataan Zulqarnain diterbitkan dalam portal berita Malaysiakini bertajuk 'ADUN Sura didakwa hasut rakyat kurangkan kepercayaan pada Agong' yang disiarkan pada jam 4.00 petang, semalam.
Zulqarnain di halaman Facebook peribadinya hari ini pula, dilihat seakan-akan menyambut baik hasrat Dr. Fakhruddin dengan hantaran 'Orang menjual kita membeli'.
29 Apr 25
670