Artikel "Pertanian" Terkini
180 Nelayan DUN Sura Terima Bantuan One Off
DUNGUN, 25 Januari - Seramai 180 orang nelayan yang terjejas teruk akibat musim tengkujuh dapat menarik nafas lega selepas menerima bantuan kewangan dan barang keperluan harian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata bantuan berkenaan dilaksanakan bagi meringankan beban golongan nelayan yang tidak dapat mencari rezeki di musim Monsun Timur laut atau dipanggil musim tengkujuh.
"Walaupun kita menghadapi kekangan yang pelbagai, kita di peringkat DUN Sura berjaya melaksanakan satu inisiaitif membantu golongan yang memerlukan khususnya, hari ini bantuan disalurkan kepada para nelayan yang menghadapi kesukaran untuk turun kelaut mencari rezeki," kata sewaktu berucap di Majlis Sumbangan Bantuan Nelayan Peringkat DUN Sura, semalam.
Jelasnya, bantuan tersebut merupakan hasil kerjasama dengan sebuah anak syarikat Negeri Terengganu yang menzahirkan sokongan untuk membantu golongan nelayan di DUN Sura.
"Bantuan ini merupakan sumbangan daripada Yayasan Islam Terengganu KETENGAH Perwira," tambahnya.
Dr Tengku Muhammad Fakhruddin turut merakamkan ucapan terima kasih kepada YIT Ketengah Perwira atas sumbangan yang disalurkan.
Turut hadir, Pengerusi YIT Ketengah Perwira, Wan Hapandi Wan Nik.
24 Jan 24
137
78 Ekor 'Kambing Haram' Ditangkap
KUALA TERENGGANU, 14 Disember- Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Negeri Terengganu merampas 78 ekor kambing disyaki diseludup secara haram dari negara jiran, dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, bermula dengan pemantauan unit penguatkuasa JPV Negeri Terengganu di sekitar sempadan Kelantan-Terengganu, JPV telah mengekori sebuah lori selama kira-kira sejam sebelum tangkapan dibuat di Jalan Penarik, Setiu.
"78 ekor kambing dirampas tiada sebarang dokumen dan permit pemindahan dianggarkan bernilai sekitar RM100 ribu. Kambing-kambing ini dibungkus dalam guni dan semua hasil tangkapan dibawa ke JPV Negeri Terengganu serta akan disiasat di bawah seksyen 36 Akta Binatang 1953.
"Berdasarkan keterangan daripada pemandu lori dan kelindan dalam siasatan awal, kambing-kambing itu dipercayai untuk dipasarkan di sekitar beberapa negeri tetapi tidak dinyatakan secara jelas destinasi terakhir akan dibawa. Ia bukan dipasarkan dalam negeri Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media di ibu pejabat JPV Negeri Terengganu, tengah malam tadi.
Hadir sama, Pengarah JPV, Dr Anun Man dan Ketua Bahagian Penguatkuasa, Mohd Shahihan Mohd Tahar.
Menurut Dr. Azman, tangkapan tersebut merupakan kes ke-12 tangkapan kambing yang disyaki diseludup pada tahun 2023 dengan jumlah keseluruhan sebanyak 521 ekor kambing melibatkan nilai kira-kira RM1.1 juta.
"Fenomena kambing viral dengan harga murah yang berleluasa ketika ini merupakan satu perkara yang sangat membimbangkan kerana masyarakat kita hanya melihat pada harga kambing tanpa mengambil kira ia dibawa melalui beberapa sempadan antarabangsa tanpa sebarang pemeriksaan kesihatan dan proses kuarantin.
"Pemeriksaan kambing yang telah disembelih mendapati banyak organ yang telah mengalami kerosakan buah pinggang, paru-paru dan hati yang memberi simptom bahawa kambing ini berdepan dengan masalah non tuberculosis.
"Kita sangat bimbang sekiranya penyakit ini dikategorikan sebagai zoonotik iaitu penyakit pada binatang yang boleh berjangkit kepada manusia," ujarnya.
Beliau turut berharap supaya rakyat melihat perkara berkenaan dengan sedikit kesedaran.
"Jangan hanya lihat harga murah sehingga merisikokan diri dan keluarga kita untuk memakan produk dari haiwan yang tidak dijamin kesihatannya.
"Bagi pihak kerajaan negeri, syabas dan tahniah saya ucapkan kepada unit penguatkuasa JPV melaksanakan penguatkuasaan undang-undang sehingga kes-kes penyeludupan kambing dari negara jiran semakin berkurang dan kesedaran masyarakat meningkat
"Sebulan lepas, unit sama telah merampas lebih 9,000 kilogram daging babi yang tidak mempunyai permit sembelihan yang sah, juga disyaki dibawa masuk dari negara jiran dan telah dilupuskan.
14 Dec 23
251
Terengganu Kawal Padi Dijual Keluar
KUALA TERENGGANU, 30 November - Terengganu menjadi satu-satunya negeri yang mengawal hasil padi daripada dijual keluar dengan kerjasama Syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, tindakan tersebut diambil adalah disebabkan hasil padi tidak mencukupi dalam kalangan pengilang tempatan dalam negeri.
Ujarnya, tindakan tersebut adalah melalui Jawatankuasa Padi Negeri Terengganu yang dipengerusikan beliau melibatkan semua jabatan, agensi dan badan berkaitan dalam kluster padi di negeri ini.
"Berdasarkan justifikasi ini, kerajaan negeri melalui bahagian Kawalselia Padi Beras negeri melaksankan beberapa langkah kawalan (antaranya) arahan pembekuan semua permit pemindahan padi keluar dari Terengganu.
"Sebaran pemindahan padi tanpa permit adalah merupakan satu kesalahan boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994.
"Bernas tidak akan membayar subsidi harga padi kepada petani yang menghantar hasil padinya ke kilang padi di negeri lain," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed, pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama, Dewan Undangan Negeri (DUN), Kelima Belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, hari ini.
Tambah Dr Azman, selain itu bahagian Kawalselia Padi dan Beras turut menjalankan rondaan dan pemeriksaan berkala di sempadan.
"Bagi memastikan tiada pelanggaran arahan dan kesalahan dilakukan dan membuat pemeriksaan bagi memastikan harga lantai belian padi RM1,300 per tan di kilang-kilang dalam negeri mengikut ketetapan harga kawalan yang ditetapkan," ujarnya.
30 Nov 23
751
Program Pertanian Bandar Perkukuh Fungsi Masjid
KUALA TERENGGANU, 29 November - Program pertanian fertigasi dan hidroponik yang dilaksanakan pihak masjid berjaya mengukuhkan serta mengembangkan lagi institusi itu sebagai pusat aktiviti masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, Masjid Pengkalan Berangan, Marang antara contoh yang berjaya dengan projek pertanian fertigasi.
"Kerajaan mengajak pengurusan masjid dan ahli kariah agar memanfaatkan tanah atau ruang kosong dalam kawasan masjid dengan aktiviti pertanian yang mana kaedah fertigasi atau hidroponik antara sistem pertanian bandar yang sesuai dipraktikkan.
"Dilaksanakan dibawah Program Pertanian Bandar, peruntukan disediakan kerajaan bagi kategori Individu adalah sebanyak RM500, usahawan (RM5,000), komuniti (RM20,000) dan institusi (RM10,000)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membuat penggulungan Perbahasan ke Atas Enakmen Pebekalan 2024 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu yang telah merintis Program Pasar Tani Masjid di Masjid Sentul Patah, Marang.
"Ia sangat berkesan ke arah mempelbagaikan masjid sebagai pusat sosioekonomi penduduk setempat.
"Ia selaras dengan galakan kerajaan negeri supaya masjid sebagai pusat pengumpulan hasil tani dalam memperkasakan fungsi institusi masjid," katanya.
29 Nov 23
162
TADC, MCT Meterai Perjanjian Bangunkan Rimbunan Kasih
Kuala Terengganu, 29 November - Jabatan Pertanian Terengganu, Terengganu Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC) dan MCT Agriculture Sdn BHd (MCTA) menandatangani perjanjian bagi Projek Rimbunan Kasih Rantau Abang, Dungun di Wisma Darul Iman di sini semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan) Dato' Tun Faisal Tun Abdul Razak dan Pegawai Daerah Dungun Jusman Ibrahim menyaksikan perjanjian tersebut.
Dr Azman berkata, Projek Rimbunan Kasih Rantau Abang merupakan projek pertanian di bawah Jabatan Perdana Menteri yang dipertanggungjawabkan kepada Iris Corp Sdn Bhd (Iris) di atas tanah seluas 22.8 hektar dengan kemudahan 100 unit kediaman, 26 unit sistem perlindungan hujan dan 400 unit tangki perikanan.
Menurutnya projek tersebut bermula pada tahun 2015 dan telah ditamatkan pengoperasiannya pada tahun 2018.
Bagaimana pun jelasnya kerajaan negeri bertungkus lumus memulihkan semula projek tersebut pada tahun 2020.
"Satu Jawatankuasa Khas telah diwujudkan pada tahun 2020 dan melalui jawatankuasa tersebut, TADC telah dilantik sebagai operator untuk mengoperasikan projek pertanian di kawasan tersebut," ujarnya.
TADC katanya berkolaborasi dengan syarikat MCTA dalam pembangunan sektor pertanian dan Jabatan Pertanian Negeri Terengganu sebagai rujukan bagi khidmat teknikal.
"Bagi Fasa pertama (Fasa 1), projek tanaman Melon Manis Terengganu (MMT) secara fertigasi dibangunkan.
"Sebanykan RM3 juta telah dibelanjakan untuk membaikpulih semula semua fasaliti di tapak," jelasnya lagi.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata pengeluaran MMT yang berjaya dihasilkan adalah sebanyak 15 matrik tan sebulan.
"Projek itu menjana seramai 25 orang pekerja pelbagai peringkat dan majoriti daripada mereka merupakan penduduk tempatan dari daerah Dungun dengan pendapatan sebanyak RM2,400 sebulan," ujarnya.
Projek itu akan dikembangkan perluasannya ke Fasa kedua (Fasa 2) dengan membangunkan sistem loT serta pembinaan 54 unit sistem perlindungan hujan (SPH) yang baru di atas tanah berkeluasan 30 ekar.
"Anggaran pelaburan yang terlibat adalah sebanyak RM33 juta dan anggaran pengeluaran hasil pula dijangka sebanyak 63 matrik tan sebulan dengan nilai RM441,000 sebulan," jelas beliau.
Selain itu katanya pembangunan Fasa 2 tersebut dijangka mampu menjana 60 peluang pekerjaan baharu merangkumi pelbagai peringkat dalam tempoh 20 tahun bermula dari tahun 2020 hingga 2043.
"Ladang itu mendapat persijilan myGAP pada tahun 2021 dan hasil pengeluaran dengan jenama Farmego juga dieksport ke Singapura dan Hong Kong," ujar lagi.
29 Nov 23
403
Petani Terkesan Banjir Diarah Buat Aduan
KUALA TERENGGANU, 26 November – Para petani yang terkesan dengan bencana banjir diminta membuat aduan kepada jabatan berkaitan beserta laporan polis mengenai kerugian hasil pertanian mereka bagi memudahkan kerajaan negeri menyalurkan bantuan bersesuaian termasuk dari tabung bencana pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata ianya susulan beberapa daerah terlibat dengan kemusnahan hasil pertanian kerana banjir termasuk di daerah Besut.
Katanya, beliau tidak menafikan berlakunya kemusnahan dan kerosakan kepada kebun, ladang, sawah dan sektor akuakultur maka kerajaan negeri akan pertimbangkan untuk memberi bantuan kepada mereka terlibat.
“Semua petani dan penternak diarah membuat laporan kepada jabatan berkaitan dan laporan polis untuk sebahagiannya kita (kerajaan negeri) pertimbangkan (untuk salurkan bantuan) di bawah Tabung Bencana Pertanian Negeri Terengganu dan sebahagian lagi kita akan angkat kepada Kerajaan Persekutuan.
"Namun sehingga kini, kerajaan negeri belum lagi mendapat data yang lengkap berhubung dengan kemusnahan hasil tanaman pertanian tersebut dan anggaran kerugian belum lagi diperhalusi," ujarnya.
Beliau berkata demikian di sidang media selepas merasmikan Hari Pertanian Bandar @Tranung Jabatan Pertanian Negeri Terengganu di sebuah hotel di sini semalam.
Turut hadir di sidang tersebut, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Ustaz Hilmi Harun dan Pengarah Pertanian Negeri, Dato' Zulkepli Amin Mat Jusoh.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata beliau dan Dato’ Zulkepli Amin turun padang untuk meninjau sendiri kesan banjir terhadap tanaman penduduk baru-baru ini termasuk tanaman padi di daerah Besut.
Menurutnya, kawasan penanaman padi terjejas berlaku di beberapa skim pengairan (SP) di daerah itu termasuk SP Bukit Jeruk dan SP Gong Macang yang melibatkan lebih daripada separuh padi yang belum dituai telah musnah.
Tambah Dr Azman lagi, kerajaan negeri juga belum dapat mengenalpasti kerugian hasil pertanian di daerah lain yang turut dilanda banjir baru-baru ini.
“Semua petani dan penternak terlibat akan dikenalpasti dan kerugian tanaman dan ternakan mereka akan diperhalusi,” ujarnya .
27 Nov 23
116
Air Mata Gugur Saat Terima Hak Milik Tanah
SETIU, 10 November - Linangan air mata membasahi pipi penerima dokumen hak milik tanah, Rohaya Mat Salleh, 41, selepas cita-citanya untuk memiliki tanah tercapai.
Ibu tunggal dari Kampung Bintang Bandar Permaisuri itu berkata, dia sudah lama berusaha untuk memiliki tanah tetapi baru sekarang memperolehnya daripada kerajaan negeri.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana mengurniakan tanah yang selama ini saya inginkan," jelasnya kepada media.
Dia berkata demikian selepas majlis penyerahan Dokumen Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi tapak rumah dan pertanian di Dewan Serbaguna MDS Sungai Tarong di sini semalam.
Rohaya menangis dalam kegembiraan apabila hasrat memiliki tanah tercapai di bawah pemerintahan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
Turut menyokong kenyataan Rohaya adalah, Safie Hussin, 43, buruh binaan dari Kampung Alor Serdang dan Muhammad Ridhwan Othman, 29, mekanik dari Kampung Alor Pasir Bintang masing-masing dari Bandar Permaisuri.
Menurut Rohaya, dia berjanji akan berusaha membina rumah di atas tanah tersebut bagi menyahut seruan kerajaan agar tidak menjadikan tanah itu sebagai tanah terbiar
Terdahulu, seramai 418 penduduk di daerah ini menerima dokumen hak milik RTB bagi tapak rumah dan pertanian.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata daripada jumlah itu seramai 271 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan DUN Langkap (147).
"Jumlah penerima tersebut antara yang terbesar diagih dalam satu kawasan (di Daerah Setiu)," katanya.
Menurut beliau, banyak lagi urusan pemberian tanah belum selesai diagihkan kepada rakyat Terengganu.
"Urusa tersebut akan diselesaikan berperingkat dan berterusan dari semasa ke semasa.
"Kerajaan Terengganu yang memikul amanah akan menguruskan perkara ini dengan seadilnya dan harapan kerajaan kepada rakyat supaya tanah ini dimakmur dan dimajukan setelah mendapat geran hak milik, sesuai dengan syarat tanah yang diberikan," ujarnya.
Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, jika syarat tanah untuk pertanian, rakyat diharapkan supaya memajukan tanah itu untuk mendokong visi dan hala tuju kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pengeluar makanan.
"JIka syarat tanah untuk tapak rumah, bangunkanlah rumah di atas tanah berkenaan dengan kadar sederhana supaya tanah itu tidak dikategorikan sebagai tanah terbiar," ujarnya lagi.
10 Nov 23
559
TDM Nafi Buang Staf Tempatan, Ganti Pekerja Asing
KEMAMAN, 20 Oktober - TDM Plantation Sdn Bhd menafikan syarikat itu menamatkan kontrak pekerja tempatan dan menggantikannya dengan pekerja asing.
Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Hamdan Ibrahim, dengan tegas berkata, TDM Plantation tidak bertindak tergesa-gesa sebaliknya telah menangguhkan tindakan itu sehingga masalah dihadapi pihak kontraktor diselesaikan.
“Kita telah memberi peluang kepada kontraktor sejak setahun lalu untuk memperbaharui kontrak mereka setiap tiga bulan.
"Langkah ini memberi peluang kepada kontraktor untuk mengatasi masalah yang berkaitan dengan pekerja, seperti yang ditetapkan dalam undang-undang buruh.
"Ia juga membolehkan mereka untuk mendaftarkan pekerja dan membuat caruman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan bekas pekerja Ladang Air Putih, Kemaman di Balai Raya Kampung Teladas dekat sini kelmarin.
Menurut Hamdan, TDM sentiasa menekankan komitmen terhadap pematuhan undang-undang buruh dan kebajikan pekerja tempatan.
"Kami juga menganggap penting untuk menjaga hubungan yang baik dengan kontraktor mereka dalam usaha mencapai penyelesaian yang adil dan berpatutan terhadap isu-isu pekerja.
"Dalam masa yang sama, kami berharap bahawa pelanjutan kontrak dan kerjasama dengan kontraktor akan membawa kepada penyelesaian yang memuaskan bagi semua pihak yang terlibat dalam isu ini," katanya.
20 Oct 23
121
Kariah Masjid Sepakat Tanam Padi
MARANG, 17 Oktober - Koperasi Kariah Masjid Tebakang (KOMIT) menggerakkan usaha menanam Padi Darat untuk menampung keperluan sebagai solusi mengukuhkan keterjaminan makanan di negeri ini.
Pengerusi Ahli Lembaga KOMIT, Senator Hussin Ismail berkata, usaha itu digerakkan secara bersepadu bersama Yayasan Amal Malaysia di atas tanah wakaf milik Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang disewa dengan bayaran RM1,000.
"Walaupun koperasi ini masih baru ditubuhkan setahun setelah didaftarkan pada Novermber tahun lepas dengan memiliki peserta seramai 70 orang.
"Kami cuba sedaya upaya menjadikannya sebagai satu satu program sara diri atau kendiri khusus untuk masyarakat luar bandar dan di kampung-kampung sebagai solusi alternatif terhadap keresahan yang dihadapi rakyat pada hari ini.
"Isu yang sangat besar dibicangkan di seluruh dunia sekarang bahawa bekalan beras dan isu keterjaminan makanan akan semakin meruncing menjelang tahun 2025," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Perasmian KOMIT dan Pelancaran Tanaman Padi Darat Sara Diri Bersama Yayasan Amal Malaysia, di sini, hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim dan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, Ariffin Deraman.
Sementara itu Ariffin berkata, KOMIT telah memulakan langkah yang sangat baik dan perlu menjadi contoh kepada kariah masjid yang lain untuk turut menubuhkan koperasi komuniti berasaskan pertanian.
"Hendak tubuhkan koperasi komuniti seumpama ini minimum hanya perlu ada lima orang.
"Syabas dengan kejayaan KOMIT yang berjaya mengerakkan usaha alternatif keterjaminan makanan bagi menampung keperluan rakyat negeri ini terhadap bekalan beras dan mengurangkan kebergantungan beras yang diimport," katanya.
17 Oct 23
577
Permohonan Rumah Untuk Nelayan Dibuka
KUALA TERENGGANU, 1 Oktober - Kerajaan negeri kini membuka permohonan rumah untuk para nelayan di Terengganu memiliki rumah.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, Projek Perumahan Semula Nelayan (PSN) di dua daerah iaitu di Beting Lintang, Besut dan Pulau Sekepeng, Kemaman itu hampir siap seoenuhnya.
"Harga kos hampir RM150,000 tapi kerajaan bagi kepada rakyat (nelayan) dengan harga RM54,000 sahaja. Bakinya kerajaan atau subsidi.
"Projek dengan biaya kerajaan negeri hampir RM20 juta dan dibantu kerajaan Persekutuan RM13 juta tidak termasuk kos tanah yang diberi percuma oleh kerajaan negeri," ujarnya melalui hantaran di facebook rasminya baru-baru ini.
Justeru katanya, bagi mana-mana nelayan yang berminat untuk memiliki rumah tersebut boleh mendapatkan borang permohonan melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) di tempat masing-masing.
"Antara syaratnya ialah rakyat Terengganu berusia 21 tahun ke atas, mempunyai kad nelayan dari Jabatan Perikanan, menjadi ahli PNK.
"Belum pernah memiliki rumah kediaman atau rumah terlalu uzur dan belum pernah memiliki tanah pemberian kerajaan," ujarnya.
Katanya, pojek itu telah dipecah tanah oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri Pertanian, Dr Ronald Kiande kira-kira dua tahun lepas.
01 Oct 23
2445