lightning-solid
Berita :

Artikel "Pertanian" Terkini

Sektor Pertanian Sasar Sumbang KDNK 12 Peratus
Sektor Pertanian Sasar Sumbang KDNK 12 Peratus
KUALA TERENGGANU, 20 Februari – Kerajaan Terengganu menyasarkan sektor pertanian menyumbang 12 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) menerusi Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim menegaskan target itu bukan sekadar angka, tetapi realistik berdasarkan kejayaan pelaksanaan PSPT 2019-2023. "Pada 2018, sektor pertanian negeri berada di tahap negatif dengan KDNK -2.5 peratus, Sektor pertanian bukan setakat tidak mampu menyumbang malah menjadi beban kepada negeri serta tiada perancangan hala tuju yang jelas. "Tahun 2019 iaitu tahun pertama perlaksanan PSPT 2019-2023, KDNK Pertanian meningkat kepada 6 peratus dan menyumbang 8.4 peratus kepada KDNK negeri.  "Ia bukan suatu kejayaan yang besar, tetapi kita telah menukar kegagalan menjadi sedikit kejayaan,” katanya. Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran PSPT 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) di sini semalam. Menurut beliau, meskipun Terengganu tidak mempunyai ‘exit and entry point’ untuk eksport produk pertanian, tetapi hasil buah-buahan tempatan serta hasil laut telah menembusi pasaran antarabangsa.  "Sebenarnya hasil pertanian negeri kita seperti Melon Manis Terengganu, tembikai, nenas, hasil laut dan hasil akuakultur seperti kerapu hibrid dan siakap memasuki pasaran eksport.  "Cuma ia dieksport melalui pelabuhan dan lapangan terbang antarabangsa yang berada di negeri lain, maka angka KDNK dapatlah kepada negeri-negeri tersebut," jelasnya. Menurut Azman, sebanyak 56 daripada 58 program dalam PSPT 2019-2023 telah berjaya dilaksanakan dengan kadar kejayaan 96.5 peratus.  "Sejak pelaksanaannya, KDNK pertanian meningkat kepada 6 peratus pada 2019 dan mencapai 7.4 peratus pada 2023, walaupun berdepan cabaran seperti pandemik COVID-19 dan banjir besar. "Dengan pencapaian ini, kerajaan negeri yakin sasaran 12 peratus dalam PSPT 2024-2030 mampu direalisasikan, sekali gus memperkukuh sektor pertanian sebagai pemacu ekonomi Terengganu," ujarnya.
20 Feb 25
169
Pertanian Terengganu Fokus Lima Teras Utama
Pertanian Terengganu Fokus Lima Teras Utama
KUALA TERENGGANU, 19 Februari – Pelan Strategik Pertanian Terengganu (PSPT) 2024-2030 menjadi mercu tanda baharu dalam landskap sektor pertanian negeri ini.  Dengan lima teras utama yang digariskan, kerajaan negeri optimis mampu melonjakkan pertanian ke tahap lebih moden, cekap dan berdaya saing. Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar menegaskan bahawa PSPT kali ini lebih berfokus dan sistematik.  “Kita bukan hanya merancang, tetapi memastikan setiap strategi dilaksanakan dengan penuh komitmen.  "Fokus utama termasuk pemodenan dan pendigitalan pertanian, pembangunan rantaian nilai dan pemasaran, serta kelestarian dan pemuliharaan sumber asli,” katanya. Beliau berkata demikian ketika  merasmikan Pelancaran PSPT 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman (WDI) hari ini. Turut berkenan mencemar duli berangkat menyaksikan Majlis Perasmian PPST 2024-2030, Yang di-Pertuan Muda Terengganu, Tengku Muhammad Ismail Sultan Mizan Zainal Abidin, hadir sama Pegawai Kewangan negeri, Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim Tambah beliau, kesejahteraan petani dan agropreneur turut diberi penekanan, selain memastikan pentadbiran dan tadbir urus sektor pertanian dilaksanakan dengan penuh integriti.  "Sebenarnya, Kejayaan PSPT 2024-2030 ini tidak hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, tetapi memerlukan penglibatan dan kerjasama semua pihak termasuk sektor swasta, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), serta masyarakat petani secara keseluruhannya," jelasnya. Menurut Ahmad Samsuri, dalam usaha mempercepatkan impak, teknologi moden seperti analitik data dan sistem pengairan pintar akan diperkenalkan secara menyeluruh.  "Fokus yang dibangunkan dalam pelan strategik ini secara asasnya mengambil kira perkembangan teknologi dalam sektor pertanian. Inovasi teknologi ini akan meningkatkan lagi kecekapan pengeluaran hasil pertanian.   "Perancangan secara menyeluruh juga perlu ditingkatkan untuk memastikan para petani dapat mengamalkan pertanian lestari dengan penggunaan baja organik, kawalan biologi dan kaedah mesra alam.  "Dengan pendekatan pelan tersebut, Terengganu yakin dapat meningkatkan hasil pertanian tanpa menjejaskan kelestarian alam dan perolehi hasil secara maksima," ujarnya.
19 Feb 25
385
Terengganu Sedia Hadapi Kekurangan Bekalan Kelapa Menjelang Puasa
Terengganu Sedia Hadapi Kekurangan Bekalan Kelapa Menjelang Puasa
KUALA TERENGGANU, 19 Februari - Kerajaan negeri bersedia mengatasi masalah bekalan kelapa yang dijangka berkurang menjelang Ramadan tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Terengganu, Dr. Azman Ibrahim berkata jangkaan kekurangan bekalan bahan mentah itu turut akan menyebabkan berlakunya kenaikan harga. “Kelapa mungkin ada sedikit kekurangan bekalan sebab pokok kelapa ia akan melalui satu tempoh di mana ia tidak akan mengeluarkan mayang (tidak berbunga atau berbuah). “Jadi boleh dikatakan, secara umumnya pada bulan puasa ini kita menjangkakan bekalan kelapa muda ataupun kelapa santan akan mengalami sedikit penurunan. “Dan dengan sendirinya situasi ini bakal menyebabkan berlakunya peningkatan harga untuk kelapa,” katanya. Dr. Azman berkata demikian kepada pihak media selepas merasmikan program siri ketiga ‘EPIC Back to School 2025’ di Pasar Raya Zon Ria, Jerteh, baru-baru ini. Namun, beliau menjelaskan bahawa anak syarikat kerajaan negeri, Golden Pharos Berhad (GBP) telah melaksanakan usaha awal bagi mengatasi kekurangan bekalan bahan mentah itu yang telah bermula sejak awal tahun lagi. “Anak syarikat negeri, Golden Pharos Berhad telah menjalankan usaha bagi isu ini dengan mengimport kelapa dari Indonesia untuk mengimbangi sumber bekalan. “Tapi harga santan di pasaran mungkin masih ada sedikit ‘trend’ kenaikan harga disebabkan oleh permintaan yang agak tinggi buat masa ini. Untuk rekod, GPB menerusi anak syarikatnya GP Plywood Sendirian Berhad telah menerima kira-kira 30 tan bekalan kelapa daripada pembekal utama pada bulan Januari yang lalu bagi mengatasi krisis tersebut. Dalam pada itu, beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Jabi juga menyatakan bahawa tiada gangguan bekalan dan kenaikan harga bagi sumber keperluan asas lain. “Setakat ini Alhamdulillah, bekalan sumber keperluan asas kita terkawal dan pada tahun ini kita tidak ada satu bencana besar yang memberikan satu impak kepada sektor pengeluaran makanan kita. “Dari apa yang saya nampak, ia berjalan seperti biasa dan keperluan ini kita tidak hadkan kepada negeri sahaja kerana ada barang-barang keperluan negeri Terengganu yang dihantar ke negeri lain dan keperluan dari negeri lain masuk ke Terengganu mengikut permintaan semasa. “Maka, setakat ini kita tengok dari segi harga, biasa sahaja, tiada sebarang lonjakan,” tambahnya.  
19 Feb 25
305
RM700 Ribu Baiki Reban Ayam
RM700 Ribu Baiki Reban Ayam
KUALA TERENGGANU, 3 Februari - Sebanyak RM700,000 dana bantuan telah disalurkan Kementerian bertujuan untuk membaik pulih Reban Ayam Baroh Masin Hulu Besut. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi Negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, projek kompleks reban tertutup yang telah dibina pada tahun 2005 itu telah dibiarkan terbengkalai. “Reban Ayam Baroh Masin Hulu Besut merupakan aset milik Kerajaan Negeri yang dibina dengan kos jutaan ringgit. Terbiar rosak begitu sahaja tanpa memberi manfaat kepada sesiapa. “Alhamdulillah, kita ikhtiar dapatkan dana untuk baiki dan majukan kembali. Terima kasih kepada KPKM yang menyalurkan dana lebih RM700 ribu untuk pembaikian dan naik taraf reban ayam ini,” beliau berkata demikian dalam satu hantaran Facebook rasminya, baru-baru ini.  Menurut penyata rasmi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, mesyuarat kedua penggal persidangan pertama DUN kelima belas 2023, kompleks reban ayam tertutup di Baroh Masin Hulu Besut itu telah dikelola oleh tiga pengusaha berasingan iaitu TD Poultry, Syarikat Jahasrat Farming dan anak syarikat kerajaan negeri Terengganu, Agrotech Development Corp Sdn Bhd (TADC), sebelum ini. Namun, kerugian yang berpunca daripada masalah kecurian dan masalah kelengkapan dengan anggaran melebihi RM200,000 yang terpaksa ditampung oleh pengusaha-pengusaha itu jelas terlalu tinggi menyebabkan mereka menarik diri daripada meneruskan projek tersebut. Justeru itu, Dr. Azman berharap dengan bantuan yang telah disalurkan oleh KPKM tersebut bakal dapat menyelesaikan kemelut yang dihadapi oleh kerajaan negeri untuk memulihkan aset negeri yang melibatkan kos jutaan ringgit dalam pembinaannya. Dalam masa sama, beliau turut telah mengumumkan bahawa pihaknya telah memilih pengusaha baru dengan harapan ia bakal dapat memanfaatkan aset yang dibiarkan terbiar itu dengan sepenuhnya. “Insya-Allah sebuah syarikat tempatan yang berpengalaman dan berdaya saing telah diberikan peluang sebagai operator baru yang akan mengoperasikan reban tertutup ini dalam masa terdekat,” katanya.
03 Feb 25
1854
Bancian Pertanian Perlu Lebih Kerap Untuk Data Tepat
Bancian Pertanian Perlu Lebih Kerap Untuk Data Tepat
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Kerajaan negeri menegaskan keperluan untuk melakukan bancian pertanian dengan lebih kerap perlu diletakkan sebagai satu keutamaan bagi memastikan data yang diperoleh benar-benar menggambarkan prestasi semasa.   Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, data bancian pertanian terakhir pada tahun 2005 hanya bergantung kepada jabatan dan agensi berkaitan, menyebabkan maklumat yang diperoleh tidak menyeluruh. “Dalam beberapa siri perbincangan bersama Jabatan Perangkaan Malaysia atau DOSM, saya selalu memberikan pandangan supaya DOSM melakukan beberapa penambahbaikan, “Supaya data-data dan statistik yang diperolehi dan dianalisa dengan lebih terperinci agar dapat menggambarkan situasi sebenar di lapangan. “Ia bukan bermaksud bahawa data DOSM sebelum ini tidak tepat tapi masih banyak ruang yang boleh dimurnikan," katanya. Dalam usaha yang sama, beliau telah menyambut baik inisiatif Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) yang melaksanakan semula Banci Pertanian pada tahun 2024. Untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai prestasi sebenar pertanian negara, Dr. Azman turut mencadangkan supaya KDNK sektor pertanian dikaji semula dengan mengasingkan subsektor yang tidak berkait secara langsung. “Ada empat subsektor utama yang dikira dalam KDNK Sektor pertanian iaitu subsektor tanaman, subsektor perikanan, subsektor ternakan dan subsektor perhutanan dan pembalakan.   “Bagi subsektor tanaman termasuk juga di dalamnya tanaman komoditi seperti kelapa sawit,” tambahnya. Menurut beliau, sektor kelapa sawit sepatutnya berada di bawah kementerian berbeza dan bukan sebahagian daripada tanaman makanan kerana ia memberi kesan besar kepada KDNK pertanian walaupun realitinya sektor pertanian lain berkembang.   “Saya mencadangkan supaya KDNK Sawit diasingkan dari KDNK Pertanian kerana sawit dan pertanian diuruskan oleh dua kementerian berbeza. “Sawit juga tidak dikira sebagai tanaman makanan. Dalam konteks Terengganu, ladang sawit meliputi kira-kira 70 peratus dari kawasan bertanam. “Apa sahaja kenaikan dan penurunan yang berlaku kepada sektor sawit akan memberikan kesan besar kepada KDNK Pertanian. Dalam pada itu, beliau juga menyuarakan ketidaksetujuannya terhadap penyatuan sektor perhutanan dan pembalakan dengan sektor pertanian dalam pengiraan KDNK. Hal ini kerana, penyatuan sektor-sektor tidak berkaitan itu dilihat sebagai satu pemangkin yang turut mempengaruhi bacaaan akhir hasil bancian. “Portfolio Pertanian Terengganu tak ada sebarang bidang kuasa dengan Jabatan Perhutanan. Orang Jabi kata, bukan kerja ‘ambo’ (saya). “Jika banyak tebang balak maka KDNK akan naik. Kurang tebang balak maka KDNK turun,”ujarnya. Dr. Azman berharap bancian yang lebih kerap dan pemisahan data yang lebih spesifik dapat membantu kerajaan dalam merangka dasar yang lebih tepat bagi memajukan sektor pertanian negara.  
02 Feb 25
94
Tempoh Pajakan TKPM Dikurangkan Kepada 3 Tahun
Tempoh Pajakan TKPM Dikurangkan Kepada 3 Tahun
KUALA TERENGGANU, 29 Januari – Kerajaan negeri Terengganu telah memperkenalkan dasar baharu bagi pajakan tanah di Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) dengan mengurangkan tempoh pajakan daripada 21 tahun kepada hanya 3 tahun. Langkah ini bertujuan memastikan tanah pertanian dimanfaatkan sepenuhnya dan tidak terbiar tanpa dimajukan. Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri Terengganu, Dr. Azman Ibrahim, peserta yang menerima pajakan kini dikehendaki memasuki tapak dalam tempoh tiga bulan selepas perjanjian ditandatangani. Katanya, sekiranya gagal, peserta lain akan menggantikan mereka bagi memastikan tanah tidak terbengkalai. “Buat apa bagi tempoh lama atas kertas, tetapi di lapangan tanah penuh semak samun? “Kalau berjaya, kita sambung lagi, kalau gagal, kita beri peluang kepada yang lebih berdaya saing,” katanya dalam satu hantaran Facebook rasminya. Beliau turut menjelaskan bahawa kadar sewa tanah TKPM di Terengganu adalah paling murah di Malaysia, hanya RM250 setahun bagi setiap hektar. Selain itu, kerajaan negeri turut memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur asas seperti jalan pertanian dan sistem saliran bagi memastikan tanah yang diwartakan sebagai TKPM dapat dimajukan sepenuhnya. “Prinsip kerja yang paling asas ialah kenali punca sesuatu permasalahan dan selesaikan isu dari puncanya. Maka inilah yang kita telah buat. Cari peruntukan dan bangunkan infrastruktur. “Kemudian masukkan peserta yang memenuhi kriteria dan mampu berdaya saing," tambahnya.  
29 Jan 25
258
RMK13: Terengganu Pacu Keterjaminan Makanan, ECRL Jadi Pemangkin Logistik
RMK13: Terengganu Pacu Keterjaminan Makanan, ECRL Jadi Pemangkin Logistik
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Dalam usaha mencapai keterjaminan makanan yang mampan, Kerajaan Negeri Terengganu merangka strategi holistik di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), termasuk memanfaatkan kelebihan infrastruktur East Coast Rail Link (ECRL) bagi mengukuhkan rantaian bekalan pertanian. Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia, berkata sektor pertanian menjadi tunjang utama dalam memastikan keterjaminan makanan negeri.  "Kami komited meningkatkan pengeluaran melalui pertanian komersial dan teknologi moden bagi mencapai kadar self-sufficient rate (SSR) yang lebih tinggi.  "ECRL pula akan menjadi laluan strategik untuk mengangkut hasil pertanian dengan lebih pantas dan efisien ke pasaran domestik dan antarabangsa,” katanya ketika Sesi Libat Urus RMK13, di Primula Beach Hotel, di sini baru-baru ini. Turut bersama, Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi; Dato’ Nor Azmie Diron, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu; Dato' Mohd Nor Hamzah, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham. Menurut Nara Setia, ECRL yang menghubungkan kawasan Pantai Timur dengan pusat ekonomi di Pantai Barat, membuka peluang besar bagi petani Terengganu untuk memperluas pasaran mereka.  "Dengan jaringan logistik yang lebih baik, hasil pertanian seperti padi, sayur-sayuran, dan hasil laut dapat dihantar ke destinasi dalam masa lebih singkat, sekali gus meningkatkan daya saing produk tempatan,” jelas beliau. Selain itu menurut beliau, Kerajaan Negeri turut memberi penekanan terhadap pembangunan sistem pengairan moden dan pengurusan risiko bencana.  "Kami memahami bahawa banjir sering menjejaskan produktiviti pertanian.  "Oleh itu, langkah seperti sistem saliran tahan lasak dan perlindungan tanah pertanian akan diperkenalkan," tambahnya. Nara Setia juga mengakui pentingnya kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan pelabur swasta untuk menjayakan visi ini.  "Dengan sokongan dana, teknologi, dan infrastruktur seperti ECRL, kami yakin Terengganu mampu menjadi hab keterjaminan makanan yang bukan sahaja memenuhi keperluan negeri tetapi juga negara," katanya penuh optimis. Beliau turut menegaskan bahawa peluang pelaburan dalam sektor logistik pertanian kini terbuka luas.  "ECRL membuka pintu kepada pelabur untuk membina kemudahan pengedaran, gudang simpanan sejuk, dan pusat pemprosesan makanan.  "Ini akan membantu mengurangkan pembaziran hasil dan meningkatkan nilai tambah produk pertanian. "Terengganu kini berada di landasan kukuh untuk memacu keterjaminan makanan sekaligus mengukuhkan kedudukannya sebagai negeri ekonomi berdaya tahan di Malaysia," ujarnya.
27 Jan 25
209
NACCOL Janji Selesai Isu Beras Dalam 3 Bulan, Realistik atau Retorik? - Dr Azman
NACCOL Janji Selesai Isu Beras Dalam 3 Bulan, Realistik atau Retorik? - Dr Azman
KUALA TERENGGANU, 23 Januari - Kenyataan Ketua Task Force Pemantauan Kluster Makanan (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz, yang percaya beliau dapat menyelesaikan masalah padi dan beras dalam tempoh tiga bulan, menimbulkan persoalan.  Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim, meluahkan keraguan terhadap cadangan NACCOL tersebut.  Menurut beliau, masalah padi dan beras bukanlah isu yang boleh diselesaikan dalam masa yang singkat. "Isu ini bukan sesuatu yang boleh selesai dalam tiga bulan sahaja.  "Ia melibatkan kenaikan kos yang memberi kesan mendalam kepada pesawah, dan kita perlukan lebih daripada sekadar janji kosong untuk menanganinya,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Rabu. Azman tidak menafikan kesan besar yang ditanggung oleh sektor pertanian akibat kenaikan harga diesel yang melambung tinggi. "Kesan berantai kenaikan kos yang ditanggung oleh pesawah akibat kenaikan harga diesel memang tidak dapat dinafikan.  "Kos bajak sawah, kos meratakan sawah, kos jentuai, kos tambang lori dan lain-lain semuanya telah naik, yang jatuh hanyalah air mata petani,” tambahnya dengan nada sinis. Menurut Azman, mereka yang tidak memahami kesulitan pesawah ini hanya boleh berbicara dari pejabat berhawa dingin tanpa pernah merasai realiti mereka yang bekerja keras di sawah. Azman turut mengusulkan supaya harga lantai padi dinaikkan dari RM1,300/tan kepada harga yang lebih wajar antara RM1,500 hingga RM1,800/tan. "Peningkatan harga padi sudah tentu akan memberi kesan kepada harga beras, tetapi itu lebih baik berbanding beras tempatan yang disamar menjadi beras import dan dijual lebih mahal. "Rakyat akan lebih menerima sedikit kenaikan harga beras demi menjaga kualiti dan kelestarian padi tempatan,” jelasnya. Azman juga mengingatkan bahawa Kerajaan Negeri Terengganu telah mengambil langkah-langkah konkrit, seperti membuka sekatan penjualan padi agar pesawah dapat menjual padi mereka ke kilang yang menawarkan harga tertinggi.  "Sekarang harga padi di Terengganu sudah naik ke RM1,550/tan," ujarnya. Beliau turut menegaskan bahawa NACCOL tidak mempunyai kuasa untuk mengawal atau menguatkuasakan undang-undang berkaitan padi.  "NACCOL tidak ada punca kuasa berkaitan kawalan dan penguatkuasaan fungsi kawal selia.  "Itu adalah bidang kuasa Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)," jelasnya. Azman turut mempersoalkan mengapa masalah yang sudah jelas di hadapan mata masih tidak ada penyelesaian yang konkrit.  "Ada kepentingan pihak tertentu yang ingin dilindungi sehingga KPKM hilang keupayaan untuk bertindak?" soalnya.
23 Jan 25
182
Terengganu Rancang Labuh 140 Tukun Tiruan
Terengganu Rancang Labuh 140 Tukun Tiruan
KUALA TERENGGANU, 13 Januari - Kerajaan negeri dalam perancangan untuk merancakkan lagi sektor perikanan di negeri tersebut dengan melabuhkan 140 unit tukun tiruan pada tahun 2025. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, setiap daerah kecuali Hulu Terengganu akan diperuntukkan 20 unit tukun tiruan pada tahun ini. “Bagi tahun 2025, kita (kerajaan negeri) target untuk melabuhkan 20 unit tukun tiruan bagi setiap daerah kecuali Hulu Terengganu. “Bermakna kita akan melabuhkan 140 unit tukun dengan peningkatan 40 unit ketimbang 100 unit pada tahun 2024. Beliau berkata demikian dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya, semalam. Dalam usaha yang sama, sebanyak 1,579 unit tukun tiruan telah dilabuhkan oleh kerajaan negeri dengan peruntukan berjumlah  RM13 juta, bermula sejak tahun 2006 sehingga tahun lepas. Dalam pada itu, beliau yang juga ahli dewan undangan (ADUN) Jabi, turut menjelaskan bahawa sektor perikanan air tawar juga akan diberikan insentif bagi memenuhi keperluan nelayan darat di kawasan Hulu Terengganu.     “Hulu Terengganu walaupun ada Pantai Ali, tapi kita tak dapat nak labuh tukun. “InsyaAllah, kita ganti dengan program pelepasan benih anak ikan ke sungai dan tasik sebagai sumber rezeki nelayan darat,” tambah beliau. Untuk makluman, Terengganu juga termasuk antara negeri yang berada di kedudukan teratas dalam pengeluaran benih ikan, menghampiri satu billion ekor pada tahun 2020.
13 Jan 25
308
Terengganu, Persekutuan Sepakat Rangka Kerjasama Strategik Pertanian
Terengganu, Persekutuan Sepakat Rangka Kerjasama Strategik Pertanian
KUALA LUMPUR, 8 Januari – Kerajaan Terengganu terus meningkatkan jalinan bersama Kerajaan Persekutuan bagi membentuk dan merangka pelan kerjasama yang strategik. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Keterjaminan Makanan Dan Komoditi Negeri Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata usaha ini diteruskan demi kelangsungan dan keterjaminan makanan negara yang amat penting. "Kerajaan Persekutuan ada dana, Terengganu pula mempunyai tanah, air, perancangan strategik dan kumpulan yang siap bekerja. Maka kita perlu bekerjasama demi memperkukuhkan program keterjaminan makanan negara," katanya. Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan kunjung hormat Kerajaan Negeri Terengganu kepada Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di Bilik Mesyuarat Wawasan Galeria Putrajaya. Tambah Dr. Azman, Terengganu sentiasa bersedia memberikan kerjasama dan hasil perbincangan bakal dimanfaatkan kepada rakyat khususnya petani, penternak dan nelayan. "Petang ini, delegasi Kerajaan Negeri Terengganu mengadakan pertemuan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Isham Ishak serta pegawai-pegawai kanan kementerian. "Banyak perkara berkaitan program dan projek-projek keterjaminan makanan yang dibincangkan serta diambil kata sepakat dalam rangka membentuk kerjasama strategik Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri. Doakan semoga segalanya dipermudahkan Allah," ujarnya.
09 Jan 25
644