lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

'Jangan Ganggu PASTI' - ADUN Sura
'Jangan Ganggu PASTI' - ADUN Sura
KUALA TERENGGANU, 19 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi, memberi amaran keras terhadap pihak tertentu yang cuba mengganggu atau mempolitikkan institusi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI). Beliau menegaskan bahawa PASTI adalah milik rakyat yang berjasa besar dalam pendidikan awal kanak-kanak.  “PASTI telah memainkan peranan penting dalam menyediakan pendidikan awal berkualiti dengan kos rendah, terutama di saat sistem pendidikan prasekolah negara menghadapi pelbagai kekangan. “Setiap sekolah rendah hanya ada dua kelas prasekolah berbanding lima atau enam kelas untuk Tahun Satu, ini jelas menunjukkan kelompongan dalam sistem pendidikan awal kita. PASTI wujud sebagai alternatif untuk mengisi jurang ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan Terengganu 2025 pada Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) kelima belas (Bajet) di Wisma Darul Iman, disini, hari ini. Tengku Fakhruddin menegaskan bahawa PASTI menjadi pilihan rakyat kerana beberapa faktor utama. “Kenapa PASTI menjadi pilihan? Kosnya rendah, silibusnya berkualiti, dan asas agama diajar dengan baik.  “Pelajar yang keluar dari PASTI sudah tahu solat dan doa harian, malah ramai anak-anak orang UMNO pun dihantar ke PASTI kerana kualitinya. “PAS bukan sekadar parti politik, tetapi sebuah gerakan masyarakat yang memperjuangkan keadilan sosial, ekonomi, dan pendidikan,” jelasnya. Beliau turut berkongsi kisah bagaimana PASTI dibangunkan melalui hasil kutipan derma rakyat. "Guru-gurunya pula sanggup berkhidmat dengan penuh keikhlasan tanpa mengharapkan imbuhan besar. “Saya sendiri adalah alumni PASTI kampung Kuala Dungun. Institusi ini berjasa besar membentuk generasi yang memahami asas agama dan nilai moral,” tambahnya. Dalam pada itu, ADUN Sura turut mengecam pihak tertentu yang cuba mempolitikkan pendidikan, termasuk usaha menghalang perkembangan PASTI. “Jangan sesekali menjolok sarang tebuan, PASTI adalah milik rakyat, dibina oleh rakyat, dan guru-gurunya rakyat negeri ini. Jika PASTI diganggu, kami pemuda-pemuda Islam Terengganu tidak akan berdiam diri,” tegasnya. Beliau menyeru semua pihak agar meletakkan keutamaan pada pendidikan dan tidak menjadikannya mangsa perbezaan politik. “Pendidikan awal adalah asas kepada pembangunan negeri, jangan jadikan institusi seperti PASTI mangsa politik sempit, kita semua bertanggungjawab memastikan generasi muda negeri ini  mendapat pendidikan terbaik,” katanya.
19 Nov 24
9771
Tuisyen Rakyat DUN Sura Suntik Semangat 200 Calon SPM
Tuisyen Rakyat DUN Sura Suntik Semangat 200 Calon SPM
DUNGUN, 18 November – Seramai 200 orang pelajar menyertai Program Tuisyen Rakyat menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dianjurkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura selama dua hari di SM Imtiaz Dungun. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin menyatakan rasa syukur atas kejayaan program tersebut dan menekankan betapa pentingnya inisiatif itu dalam memastikan pendidikan anak-anak di DUN Sura terus diberi perhatian serius. “Alhamdulillah, program Tuisyen Rakyat ini berjalan lancar dengan sokongan daripada kerajaan negeri. Program ini melibatkan lima buah sekolah iaitu SMK Sultan Omar, SMK Seri Dungun, SMK Sura, SMK Kompleks Padang Jambu, dan SMA Sultan Ismail Dungun dengan setiap sekolah menghantar 40 orang pelajar SPM , 20 pelajar elit dan 20 pelajar sederhana,” jelasnya ketika ditemui pemberita. Dr. Tengku Fakhruddin turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Terengganu yang telah memperuntukkan dana sebanyak RM10,000 bagi setiap DUN untuk melaksanakan program-program pendidikan seperti ini. Menurutnya, dana tersebut digunakan untuk memastikan program seperti Tuisyen Rakyat dapat dijalankan dengan sempurna disamping menyediakan pelajar dengan fasiliti terbaik dan pengajaran yang berkualiti. “Usaha ini adalah untuk memastikan pendidikan anak-anak terus menjadi tonggak utama dalam membentuk masa depan mereka," tambahnya.   Berbaki lebih 40 hari sahaja lagi menjelang SPM, beliau berharap program Tuisyen Rakyat dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar dalam meningkatkan pencapaian akademik mereka. “Kami berharap pelajar yang menyertai program ini dapat memanfaatkan setiap sesi dengan baik dan membuat persiapan yang terbaik menjelang peperiksaan. Insya-Allah, usaha ini akan membuahkan hasil yang positif dan memberi manfaat besar untuk kejayaan mereka," katanya.  
17 Nov 24
161
Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
Pendebat Terbaik Bahasa Arab Terima Anugerah Khas EXCO Pendidikan
KUALA TERENGGANU, 13 November - Penerima Anugerah Khas EXCO Pendidikan, Wan Amzar Izzuddin bukan sahaja pernah mencipta nama di pentas dunia sebagai peserta terbaik Kejohanan Debat Bahasa Arab Sekolah-Sekolah Antarabangsa di Qatar malah merupakan pelajar cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia. Dia merupakan antara 120 orang  yang diraikan  dalam Majlis Hafl Al-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM 2023  peringkat negeri Terengganu . Anak kepada  pasangan guru , Wan Mohd Azlan Wan Ahmad  dan  Rubiha Ali, berjaya merangkul 11A dalam SPM baru-baru ini melahirkan rasa syukur dengan kejayaan yang dikecapinya itu dan merakamkan penghargaan kepada kedua ibu-bapanya. "Di sebalik kejayaan ini sudah tentu adanya kedua orang tua saya yang mendidik saya sejak dari kecil dan memberikan pendedahan bagaimana menjadi seseorang yang berjaya. "Tiada dilupakan guru-guru yang mengajar saya di Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) yang telah mentarbiad diri ini serta pihak-pihak pentadbiran sekolah khususnya kepada Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JAPINT)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menerima anugerah tersebut pada majlis berkenaan di Dewan Utama, Al-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) di sini, semalam. Anak kelahiran Jerteh itu berkata dia kini  masih lagi belajar di SMAASZA dan akan menghadapi Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) pada tahun hadapan turut menjadikan kejayaan di peringkat SPM itu menjadi pencetus semangat untuknya sekali lagi berusaha menjadi pelajar terbaik. "Kini saya masih memikirkan sama ada untuk menyabung pengajian di luar negara ataupun dalam negara. "Saya menyimpan cita-cita untuk menjadi seseorang yang memiliki kepakara dalam bidang undang-undang sivil ataupun syariah bagi memastikan syariat Islam yang syumul dapat ditegakkan di dalam negara," katanya. Sementara itu katanya, peluang terpilih menjadi ADUN Belia Negeri Terengganu mewakili DUN Kota Putera membantunya untuk memastikan apa yang didebatkan setiap kali menyertai pertandingan debat dapat dipraktikkan di lapangan. "Saya juga terlibat aktif dalam Pertubuhan Bukan kerajaan (NGO) Sahabat Sejahtera yang meurpakan pihak bertanggungjawab dalam mengerakkan dakwah dalam kalangan belia dan beliawanis di negeri ini," katanya. Untuk rekod, antara pencapaian lain yang cukup membanggakan diterima olehnya ialah menjadi Tokoh Pendidikan Ulul Albab Daerah Besut juga meraih gelaran Speaker Terbaik di International School Debating Competition 2023 di Doha dan Syed Abdul Rahman Al-Junied Arabic Championship pada tahun ini di Singapura.  
13 Nov 24
618
Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
Kerajaan Negeri Utamakan Pendidikan Selari Teras Induk PITAS 2030
KUALA NERUS, 13 November - Bidang pendidikan sentiasa menjadi fokus utama kerajaan negeri dan ia selari dengan salah satu teras Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS2030) yang memfokus pembangunan insan melalui pemantapan pendidikan. Pengerusi Jawatankuasa pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, ia terbukti dengan penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dan Sekolah Menengah Darul Iman (SMIDI). Katanya, pembangunan islam berteraskan prinsip Islam akan melahirkan masyarakat yang intelek dan berdaya saing perlu diyakini. "Saya juga berharap agar seluruh warga Sekolah Menengah Agama Negeri Terengganu termasuk Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, pengurusan sekolah dan guru-guru akan dapat terus memanfaatkan segala peluang yang ada bagi bekerjasama dan berusaha dengan lebih tekad. "Dengan tekad yang bulat dan semangat yang teguh, kita mampu memastikan sekolah di negeri ini akan terus melakar kejayaan dalam pelbagai bidang, sama ada akademik, ko-kurikulum mahupun bidang lain yang akan mengangkat nama Terengganu di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Hafl Al-Takrim Pelajar Cemerlang SPM, STAM dan STPM Tahun 2023 di Dewan Utama, Al-Riyadah Residence, Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), di sini, semalam. Menurut Satiful, majlis yang diadakan itu merupakan satu penghargaan yang amat bermakna meraikan kejayaan 120 orang pelajar yang mencatat keputusan paling cemerlang di dalam peperiksaan terbabit. "Kita mengiktiraf kejayaan dan kecemerlangan anak-anak pelajar yang telah berusaha gigih dalam pelajaran mereka. "Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada semua pelajar yang menerima penghargaan pada hari ini. "Kejayaan ini bukan sahaja hasil usaha pelajar yang tidak pernah putus asa tetapi juga berkat doa ibu bapa serta bimbingan guru-guru yang tidak pernah jemu mendidik dan membimbing," ujarnya.
13 Nov 24
495
Norimrana, Nesalata Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA
Norimrana, Nesalata Penerima Anugerah Pelajaran Diraja UniSZA
KUALA NERUS, 11 November- Norimrana Mujahid Ali, 24, dipilih sebagai penerima  Anugerah Pelajaran Diraja dalam Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Graduan Ijazah Sarjana Muda Perakaunan dengan Kepujian itu berjaya mencapai Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.82. Selain Norimrana, turut menerima Anugerah Pelajaran Diraja ialah Nesalata A/P Gunasekaran,24, iaitu graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Bioperubatan dengan Kepujian bersama pencapaian PNGK 3.71. Norimrana berkata, beliau menanam tekad dari awal untuk merebut angerah tertinggi universiti itu untuk dihadiahkan kepada kedua ibu bapanya. Katanya, bapa, Mujahid Ali Mohd Shafi, 58, seorang penjaja kecil manakala ibunya, Siti Noor Omar, 48, hanya suri rumah dan pengiktirafan yang diterimanya pada hari ini bukti kesungguhannya untuk mengubah nasib keluarga. "Disebabkan kedua ibu bapa saya bukan orang yang berpendidikan (buta huruf), nak baca tulis pun tidak pandai, ia menjadi pembakar semangat kepada saya untuk belajar bersungguh-sungguh. "Dengan kejayaan ini, ia merupakan hadiah terindah buat ibu bapa saya sekali gus membuktikan bahawa walaupun dibesarkan dalam keluarga yang serba kekurangan namun ia bukan penghalang untuk seseorang itu meraih kecemerlangan dalam pendidikan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang pertama Majlis Idul Ilmi (Istiadat Konvokesyen) Ke-16 UniSZA di sini, semalam. Norimrana berkata, untuk mencapai kejayaan tersebut bukanlah sesuatu yang mudah kerana memerlukan banyak pengorbanan. “Antara cabaran yang saya lalui adalah terpaksa memulakan pengajian semester pertama dan kedua secara dalam talian kerana kekangan pandemik Covid-19 ketika itu yang menghalang pembelajaran secara bersemuka. “Sepanjang empat tahun belajar di UniSZA, saya juga jarang balik ke kampung di Tumpat ketika cuti semesta sebab mahu memberi tumpuan terhadap pelbagai aktiviti kokurikulum dan sukan di universiti,” ujar anak ketiga dari lima beradik itu yang kini bekerja sebagai akauntan di sebuah syarikat terkemuka di ibu negara. Sementara itu, Nesalata A/P Gunasekaran pula berkata, berbekalkan kecemerlangan yang diraihnya itu, beliau berhasrat melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi sehingga Doktor Falsafah (PhD).  
11 Nov 24
277
225 Pelajar Terima Sumbangan Ke IPT
225 Pelajar Terima Sumbangan Ke IPT
BESUT,10 November - Seramai 225 pelajar telah menerima sumbangan bagi membantu meringankan beban mereka yang berjaya melanjutkan pengajian tinggi ke Institut Pengajian Tinggi Awam atau swasta (IPTA/IPTS). Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, berkata inisiatif diberikan itu sebagai peransang agar kesemua mereka yang akan menyambung pengajian tinggi itu bersungguh-sungguh menimba ilmu di menara gading. "Pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah. Saya berharap agar semua pelajar dapat menggunakan peluang ini dengan sebaik-baiknya dan terus berusaha mencapai kejayaan," katanya. Beliau berkata demikian selepas menyerahkan sumbangan tersebut kepada para penerima sumbangan tersebut di Dewan Sivik Kampung Baharu, di sini, baru-baru ini. Ujarnya, walaupun ada pelajar yang tidak hadir kerana telah memulakan pengajian namun bantuan itu tetap diberikan melalui ibu bapa mereka. "Saya memohon maaf diatas kelewatan sumbangan ini dan juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada semua penerima atas pencapaian cemerlang dan berharap agar sumbangan ini akan dapat meringkan beban kewangan. "Serta menjadi pendorong untuk mencapai lebih banyak kejayaan pada masa akan datang," ujarnya. Dalam pada itu Salah seorang penerima sumbangan, Ahmad Ikram Zulkefli, yang bakal melanjutkan pengajian dalam bidang Pendidikan Islam di University Sains Islam Malaysia (USIM) berkata sangat menghargai sumbangan yang diberikan itu. "Saya amat berterima kasih kepada Azbi Salleh atas sumbangan ini. Ia benar-benar membantu saya dan keluarga dalam persediaan melanjutkan pengajian. Saya akan berusaha untuk mencapai kejayaan demi membanggakan keluarga dan masyarakat,"katanya.  
11 Nov 24
174
Festival Kaligrafi Islam Kebangsaan Kembali Martabatkan Seni Khat
Festival Kaligrafi Islam Kebangsaan Kembali Martabatkan Seni Khat
KUALA TERENGGANU, 4 November – Festival kaligrafi Islam yang diadakan di Terengganu mampu mengembalikan martabatkan seni khat di negara ini. Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), Lothman Awang berkata, program ini selaras dengan hasrat kerajaan untuk melihat  warisan khat terus diperkasakan di Terengganu. Katanya, ia juga memberi ruang kepada orang ramai menonjolkan bakat serta menyemarakkan minat generasi muda terhadap seni tulisan Islam yang kian dilupakan. “Objektif utama festival ini ialah memberi ruang dan peluang kepada murid-murid sekolah untuk menyerlahkan bakat serta kemampuan mereka melalui pertandingan yang dianjurkan. “Di samping menghargai kesenian Islam iaitu tulisan khat supaya tidak luput ditinggal zaman dan mengenalpasti pelapis yang setaraf dengan penulis-penulis antarabangsa,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di Festival Kaligrafi Islam Terengganu Peringkat Kebangsaan 2024 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam, pada hari ini. Menurutnya program tersebut merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) dengan kerjasama Persatuan Seni Khat Terengganu (PIKAT). Katanya, seramai 245 orang penyertaan dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak menyertai festival itu. Ujarnya, pertandingan berkenaan membabitkan tiga kategori iaitu penulisan khat spontan terbuka dewasa, penulisan khat spontan rendah dan menengah serta penulisan karya siap khat kanvas dan khat batik. “Cetusan idea festival ini pada tahun ini adalah dicetuskan oleh Exco Kerajaan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat sendiri supaya diadakan bagi kita menghidupkan kembali aktiviti ataupun penghayatan seni khat terutama di kalangan masyarakat di seluruh Malaysia. “Pengisian program kali ini ialah kita jemput pakar dari Arab Saudi dalam slot Bengkel Khat Thuluth yang disampaikan oleh Al Mukarram Tn. Abd. Abd Al-Majid Muhammad Abdullah Al-Ahdal dan sebelah petang kita ada bengkel iaitu kaligrafi khat Arab-China,” ujarnya. Beliau menambah, karnival ini merupakan kali ketiga diadakan di peringkat kebangsaan dan selepas 2012 dan pada tahun 2014. Negeri Terengganu juga jelasnya pernah menjadi tuan rumah di peringkat antarabangsa.  Lothman menambah, bagi menarik minat generasi muda terhadap seni khat, JPINT dalam usaha menubuhkan kelab kaligrafi di Sekolah Rendah dan Menengah di bawah pentadbiran mereka, termasuk di 12 buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI).  “Sekarang ini kita ada lebih kurang 12 buah Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) akan memperkenalkan di kalangan  anak-anak pelajar  yang masih di sekolah rendah untuk tanam  minat mereka dari segi khat," katanya. Tambah Lothman lagi, JPINT akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain termasuk Muzium Negeri Terengganu, SUK, dan jabatan-jabatan berkaitan untuk memperkenalkan seni khat kepada masyarakat umum. “Mungkin selepas daripada ini perancangan JPINT akan mengadakan kerjasama dengan agensi-agensi luar terutama dengan pihak sekolah melalui pejabat Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan juga melalui agensi-agensi yang melibatkan masyarakat luar," katanya.
04 Nov 24
399
MTT Perkenal Kursus Untuk OKU Penglihatan Bina Kemahiran
MTT Perkenal Kursus Untuk OKU Penglihatan Bina Kemahiran
KUALA TERENGGANU, 3 November – Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah (MTT) Darul Iman memperkenalkan kursus khas bagi Orang Kelainan Upaya (OKU)  melalui Markaz Tahfiz OKU Masalah Penghilatan (MTOKUMP-MTT) demi memberi peluang kemahiran buat golongan terbabit. Seorang tenaga pengajar, Mohammad Ifram Abdul Rahman, 24 berkata, program tahfiz khusus OKU penglihatan itu mengfokuskan potensi mereka dalam bidang agama dan kemahiran vokasional, sekali gus membuka ruang interaksi lebih dekat dengan masyarakat. “Kita nak orang yang buktikan orang yang bermasalah penglihatan ini bukan tak boleh buat apa-apa. Kita nak mereka keluar ke dalam masyarakat sekali gus membuktikan mereka boleh berbakti kepada masyarakat. "Kita mahu melahirkan pelajar yang bukan sahaja cekap dalam ilmu al-Quran, tetapi juga mampu memberi manfaat kepada masyarakat sebagai imam atau bilal,” jelasnya. Beliau yang telah menjadi tenaga pengajar selama tiga tahun berkata demikian ketika ditemui pihak media di perkarangan MTT baru-baru ini. Menurutnya, program itu turut memberikan peluang kepada golongan cacat penglihatan berumur antara 18 hingga 23 tahun untuk mendalami al-Quran, termasuklah menghafal kesemua 30 juzuk. Katanya, setakat ini terdapat tujuh orang  pelajar yang belajar dari 9 pagi sampai pukul lima petang.   “Di samping mereka belajar Braille selepas pandai kita bagi hafal Al-Quran pula, dari juzuk satu sampai 30.  Memang target kita nak suruh mereka jadi hafiz," ujarnya. Selain aspek pengajian agama katanya, pelajar tahfiz ini juga dilatih dalam bidang refleksologi sebagai salah satu cara untuk berdikari.   Beliau menambah, kebolehan refleksologi ini diperoleh melalui latihan di kolej vokasional di Johor, dan pada bulan November ini, satu pusat refleksologi akan dibuka di premis tahfiz tersebut. “Kami akan membuka perkhidmatan urutan setiap hujung minggu bagi memanfaatkan kemahiran yang mereka miliki, sambil memberi mereka ruang untuk berinteraksi dengan masyarakat. “Di samping mereka belajar pada hari biasa, Jumaat Sabtu itu mereka boleh membuka perkhidmatan mengurut dan kita akan hebahkan tempat mengurut di sini,” ujarnya lagi.  
03 Nov 24
185
Karnival Tarik Minat Pelajar Tahfiz Dalam Bidang Sains
Karnival Tarik Minat Pelajar Tahfiz Dalam Bidang Sains
KUALA TERENGGANU, 29 Oktober - Penganjuran program Hari Kokurikulum dan Rehlah Sains buat julung kali di adakan di Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT), Tok Jiring bertujuan menarik dan memperkukuhkan minat pelajar tahfiz dalam bidang sains dan teknologi. Menurut Ketua Sektor Akademik MTT, Nor Effendi Mahyiddin berkata, acara yang diadakan pada hari ini adalah  kerjasama Pusat Sains Negara Terengganu (PSNT) dan Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT). "Alhamdulillah ini merupakan kali pertama kita diberi peluang berkolaborasi dengan pihak PSNT untuk menarik minat orang ramai terutama pelajar tahfiz dalam bidang sains. "Apabila ada program macam ini ia membuka satu ruang kepada pelajar untuk mereka mengenali bidang sains dengan lebih menarik,"  jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di perkarangan MTT, pada hari ini. Menurutnya, program itu menyediakan pelbagai aktiviti interaktif bagi memberi peluang kepada pelajar tahfiz untuk mendalami ilmu sains melalui pameran alat-alat sains oleh PSN, termasuk gerai pameran atom negara dan bas pameran sains. Selain itu katanya, aktiviti lain seperti kereta lumba tenaga suria dan permainan menggunakan tenaga belon turut menarik minat pelajar untuk memahami konsep sains dengan lebih dekat serta pencerapan matahari yang dikelolakan oleh  Jabatan Mufti Negeri Terengganu "Di samping itu, kita ada juga gerai kerjaya pendidikan iaitu melibatkan TATI, pusat Darul Quran Terengganu dan kolej-kolej yang memberi maklumat lanjut berkenaan pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," ujar beliau. Sementara itu ujarnya, terdapat pelajar OKU buta yang mengikuti pendidikan tahfiz di MTT, dengan tujuh pelajar  yang kini berdaftar di sana. "Kita ada juga OKU buta dan di sekolah ini, ada hafazan tahfiz untuk orang buta dan kalau yang berminat boleh daftar. "Biasa digemburkan apabila dengar berkenaan sekolah tahfiz hanya dengan belajar dan menghafaz Al Quran. "Di sini kita nak terapkan pelajar kita supaya meminati sains dan alhamdulillah sekolah kita ada sains tulen," kata Effendi. Di samping itu, Klinik Al-Fatihah turut disediakan secara percuma kepada orang ramai yang ingin memperbetulkan Al Fatihah. Justeru itu, beliau berharap, program sebegini diadakan setiap tahun supaya memberi peluang yang lebih meluas kepada para pelajar dan kepada sekolah berdekatan menaruh minat dalam dunia sains.
29 Oct 24
96
Kembar Yatim Raih Ijazah Kelas Pertama, Hargai Sokongan Nenek
Kembar Yatim Raih Ijazah Kelas Pertama, Hargai Sokongan Nenek
KEMAMAN, 20 Oktober -  Sepasang kembar yatim piatu, Siti Nur Masmera Dalina Muhammad Yusof dan Siti Nur Mastika Dalina Muhammad Yusof berjaya menamatkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam Bachelor Of Manufacturing Engineering Technology (Tooling) With Honurs dengan cemerlang di UC TATI. Kejayaan kedua-dua mereka lebih manis apabila menerima Ijazah Kelas Pertama dengan pencapaian akademik yang luar biasa. Kedua-dua mereka telah dijaga dan dibesarkan oleh nenek, Wan Zaharah Ahmad yang sentiasa memberikan sokongan serta bimbingan. Pengorbanan itu menjadi pendorong utama kejayaan mereka berdua yang telah kehilangan ibu bapa ketika berusia 15 tahun. Siti Nur Masmera berkata, tidak pernah terlintas dalam fikirannya akan memperolehi kejayaan cemerlang dengan meraih ijazah kelas pertama dan menyifatkan ia merupakan penghargaan yang amat bermakna. "Segala yang kami capai adalah hasil daripada sokongan tidak berbelah bahagi daripada nenek kami, Wan Zaharah dan juga melalui bantuan Biasiswa Asasi daripada UC Tati dan juga dana kewangan daripada Yayasan Terengganu dan MAIDAM (bantuan awal pengajian dan dermasiswa)," ujarnya. Dia berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Konvokesyen Ke-24 UC TATI, di sini, semalam. Sementara itu, Siti Nur Mastika pula berkata, rahsia kejayaan mereka adalah saling memberi semangat di antara satu sama lain untuk berjaya. "Walaupun banyak cabaran yang terpaksa kami hadapi dan tempuhi kerana kami sedar bahawa pendidikan adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada kitaran kesusahan," ujarnya. Dalam pada itu kejayaan pasangan kembar itu mendapat perhatian daripada pihak universiti  yang melihat mereka boleh dijadikan sebagai inspirasi kepada pelajar lain untuk tidak mudah menyerah kalah. Rektor UC TATI, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata kedua-dua mereka adalah contoh terbaik kepada semua pelajar. "Bahawa kejayaan bukanlah semata-mata bergantung kepada keadaan asal kita, tetapi ia berdasarkan kepada usaha dan komitmen yang ditunjukkan," ujarnya.
20 Oct 24
241