Artikel "Pendidikan" Terkini
UMT Jadi Universiti Pelaksana Program WIFIdx Pertama di Malaysia
KUALA TERENGGANU, 19 Oktober - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menjadi universiti pertama di Malaysia dipilih sebagai pelaksana program WIFIdx (The Women ICT Frontier Initiative) di Malaysia oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu.
Naib Canselor UMT, Profesor Dr. Mohd. Zamri Ibrahim berkata, sehingga kini WIFIdx telah dilaksanakan di 12 negara merentasi rantau Asia Pasifik termasuklah Armenia, Bangladesh, Cambodia, India, Kyrgyzstan, Papua New Guinea, Filipina, Sri Lanka dan Thailand.
"Alhamdulillah UMT amat berbesar hati dan bertuah apabila Sekretariat WIFIdx UN telah memberi mandat kepada UMT sebagai pelaksana WIFIdx di Malaysia untuk tempoh dua tahun.
"Selain itu, UMT turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk melaksanakan program WIFIdx di seluruh negara.
"Melalui usaha ini, UMT berhasrat untuk membantu meningkatkan kehidupan dan taraf ekonomi masyarakat yang membawa manfaat besar," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita di majlis pelancaran WIFIdx yang disempurnakan oleh Canselor UMT, iaitu Sultanah Terengganu Nur Zahirah, Tuanku Canselor UMT sempena majlis santapan petang di Taman Tamadun Islam di sini hari ini.
Terdahulu, keberangkatan tiba baginda bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan kepimpinan kerajaan negeri.
Jelasnya, WIFIdx merupakan singkatan kepada “United Nations Women ICT Frontier Initiative” adalah program inisiatif pengukuhan ICT wanita Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (WIFIdx) dilancarkan pada tahun 2016 di bawah Asian and Pacific Training Centre for Information and Communication Technology for Development (APCICT), berpangkalan di Incheon, Korea
Tambah beliau, WIFIdx adalah bertujuan untuk memupuk program keusahawanan wanita di Asia dan Pasifik melalui pembangunan kapasiti teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Dalam majlis sama pada hari ini, turut diadakan penyampaian Cek Cura sebagai simbolik penyerahan sumbangan yang berjumlah RM1,762,213.60 yang merupakan sumbangan oleh Etiqa Family Takaful Berhad, Tabung Haji Negeri Terengganu, MAIDAM, MBSB Bank Berhad, Maybank Islamic Berhad, PETRONAS, Bank Rakyat, Maybank Islamic Berhad Kuala Terengganu dan RHB Bank Berhad.
"Sumbangan dari pelbagai agensi dan syarikat korporat adalah dalam pelbagai bentuk seperti dana zakat, bantuan pendidikan dan juga geran projek.
"Semua ini bagi mendokong keperluan pendidikan dan pembangunan pelajar di UMT," katanya.
19 Oct 24
241
Tanpa Panduan Guru, Tiada Siapa Bergelar Graduan
KUALA TERENGGANU, 3 Oktober - Tiada manusia mampu mencapai kejayaan di dunia tanpa kehadiran insan bergelar guru.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat menyeru setiap graduan supaya menghargai pengorbanan dan titik peluh para guru.
“Apabila kita menyebut perihal ilmu pengetahuan dan penuntutnya, semestinya para guru serta murabbi bukanlah insan yang asing.
“Maka Majlis Konvokesyen yang diadakan pada hari ini, seharusnya menjadi satu medan teristimewa, untuk kita semua khususnya para graduan, menyampaikan apresiasi serta penghargaan kepada para guru yang mendidik kita tanpa jemu, menjadi lilin membakar diri, demi menerangi perjalanan kalian sehingga ke akhirnya,” ujarnya
Beliau berkata demikian pada sidang ucapan Majlis Konvokesyen Ke-2 Kolej Yayasan Islam Terengganu (KYIT) 2024 di Pusat Konvokesyen, Taman Tamadun Islam di sini kelmarin.
Turut meraikan, Pengerusi Lembaga Pengelola KYIT; Che Alias Hamid, Pengarah Yayasan Islam Terengganu; Zahanapi Segaf, dan Ketua Eksekutif KYIT; Dzulkefli Mamat.
Untuk rekod seramai 60 graduan diraikan dalam majlis gilang gemilang itu, yang terdiri daripada dua program yang ditawarkan di KYIT iaitu Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dan Diploma Pengajian Islam.
KYIT turut mengurniakan Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum kepada Nur Anis Solehah Hamzah dan Anugerah Kecemerlangan Akademik, diraih oleh Nurul Ain Rahimi.
Kedua-duanya mencapai kejayaan dalam program Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
Bagi program Diploma Pengajian Islam, Penerima Anugerah Kecemerlangan Kokurikulum disandang oleh Nurul Hikmatul Hijrah Mohd Anuar, manakala Aqilah Ahmad Zaini adalah Penerima Anugerah Kecemerlangan Akademik.
Majlis turut mengurniakan Anugerah Ketua Eksekutif kepada Nor Asmira Syafika Jais dari Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak.
04 Oct 24
220
UMT Terima 2,060 Pelajar Baharu
KUALA NERUS, 2 Oktober- Seramai 2,060 pelajar baharu program Sarjana Muda bagi Sesi Akademik 2024/2025 mendaftar di Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mulai hari ini.
Naib Canselor UMT, Profesor Ts. Dr. Mohd Zamri Ibrahim, berkata daripada jumlah tersebut, seramai 238 pelajar adalah lepasan Asasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang merupakan ‘produk’ UMT.
Menurutnya, pihak pengurusan UMT komited dan memberi jaminan dalam memastikan pelajar dapat mengikuti alam kampus dengan baik serta dapat menghabiskan pembelajaran dengan cemerlang di UMT, seterusnya melahirkan graduan yang berdaya saing.
“Seawal 7.30 pagi para pelajar bersama keluarga telah bersedia untuk sesi pendaftaran di Dewan Sultan Mizan (DSM) dan disambut oleh para petugas seramai 350 orang, semuanya berjalan lancar.
"Minggu Jalinan Mesra (MJM) akan berlangsung pada 1 hingga 5 Oktober, di mana pelajar akan mengikuti sesi taklimat di Dewan Sultan Mizan serta di Kolej Kediaman yang merangkumi sesi pengenalan berkaitan akademik dan hal ehwal pelajar.
"Mereka juga akan terlibat dengan pelbagai aktiviti antaranya sukan dan kesenian serta dibawa melawat fakulti masing-masing," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau juga berharap para pelajar cepat menyesuaikan diri di alam kampus dan dapat meneroka lebih banyak peluang dalam bidang kokurikulum.
"Ia bagi melahirkan pelajar yang bukan hanya cemerlang dalam bidang akademik semata-mata malah dapat melahirkan graduan yang holistik serta bersedia untuk berada di alam pekerjaan kelak.
"Justeru itu, semua pelajar perlu memanfaatkan peluang tersebut untuk mencapai kejayaan akademik dan menyumbang kepada negara serta mengucapkan tahniah kepada pelajar dan semua ibu bapa kerana memilih UMT sebagai universiti pilihan utama," ujarnya lagi.
Tambah beliau, UMT turut menawarkan program pengajian baharu untuk pengambilan sesi Akademik 2024/2025 iaitu Sarjana Muda Kewangan dengan Kepujian.
"Kita menerima pelajar sulungnya seramai 82 orang untuk program tersebut manakala terdapat 33 program sarjana muda yang telah ditawarkan UMT setakat ini," jelasnya.
02 Oct 24
215
Pelajar Terengganu Inovasi ‘Rumah Pintar’
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Pelajar Terengganu terus ke hadapan mempamerkan bakat dan kreativiti dalam pertandingan Spark Your Creativity Challenge (SYCC) 2024 yang bertemakan ‘Smart Home’ pada edisi kali ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat sangat teruja dan kagum dengan daya cipta yang ditunjukkan oleh peserta pertandingan.
“Saya sangat berbesar hati dapat menyaksikan pertandingan mencungkil bakat, inovasi dan kreativiti pelajar terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
“Dengan tema ‘Smart Home’, anak-anak kita diberi peluang untuk mempamerkan kebolehan mereka dalam mencipta solusi lebih pintar dan berinovasi untuk masa hadapan. Rumah pintar bukan sekadar tempat tinggal yang dilengkapi teknologi canggih, tapi boleh menjimatkan tenaga, selesa dan lestari.
“Pihak Kerajaan Negeri amat menitikberatkan dan memberi sokongan sepenuhnya terhadap sumber manusia dan bakat-bakat yang ada khususnya anak Terengganu, supaya tidak ketinggalan bagi memenuhi keperluan teknologi di masa akan datang,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian SYCC 2024 di Auditorium Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) di sini semalam.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim, Naib Presiden ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc, Nadia Khairene Ismail.
Sebanyak 40 buah sekolah dari seluruh Negeri menyertai pertandingan yang dianjurkan oleh PSKT hasil kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri dan Pendidikan Yayasan Terengganu, serta penaja utama ExxonMobil Exploration and Production Malaysia Inc.
SK Gong Kapas menjuarai pertandingan SYCC 2024 kategori Sekolah Rendah, membawa pulang hadiah wang tunai RM1,500, piala iringan, plug pertandingan serta sijil penyertaan, naib juara dimiliki SK Sura dan tempat ketiga SK Kelulut.
Bagi kategori Sekolah Menengah, SMK Tengku Lela berjaya ketepikan 25 pasukan lain untuk bergelar johan pertandingan, naib johan disandang SMK Rasau Kertih dan diikuti rapat SMK Balai Besar di tempat ketiga.
01 Oct 24
896
Pesta Buku Terbesar Terengganu Berakhir Esok
KUALA TERENGGANU, 30 September - Penganjuran Pesta Buku terbesar peringkat negeri di Perpustakaan Awam Negeri Terengganu yang bermula 25 September lalu akan berakhir esok.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri merangkap Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Ridzuan Hashim berkata Pesta buku kali ini merupakan program paling ditunggu-tunggu oleh para penulis, pembaca dan peminat buku yang sentiasa dahagakan ilmu.
Katanya, program yang diadakan setiap tahun bermula 2018 itu dijayakan dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) serta tajaan Syarikat Muda Osman Sdn Bhd (SMO).
"Seramai 73 penerbit dari tempatan dan luar turut hadir. Selain itu, jualan alat bantuan mengajar dan juga alat tulis turut diadakan pada Pesta Buku kali ini.
"Pelbagai kategori bahan bacaan juga dijual seperti novel, komik, buku pelajaran dan bahan bacaan umum dengan harga promosi berpatutan, pelbagai pengisian program disediakan kepada pengunjung yang hadir sepanjang tempoh tujuh hari pesta buku ini berlangsung dengan pelbagai kategori bermula dari kanak-kanak hingga dewasa.
"Antara aktiviti menarik turut diselitkan adalah pertandingan mewarna, bercerita, kuiz, busana perpaduan, jigsaw puzzle, ceramah kekeluargaan, bicara karya, ulasan sukan spontan, permainan tradisional, pertunjukan wayang kulit, busking dan banyak lagi program disediakan, pesta kali ini menawarkan pelbagai hadiah menarik kepada pengunjung," katanya kepada media.
Selain itu katanya, jualan makanan daripada peniaga-peniaga food truck dan Bazar PPAT, dan juga kehadiran figura terkenal tanah air bagi memeriahkan lagi suasana.
“Antara figura terkenal tersebut iaitu Datuk Imuda, Ben Wong, Sharina Elisa, Muzuza, Adik Dhani, Hudanajwa dan ramai lagi masing-masing mempunyai slot khas.
“Semasa berlangsungnya Pesta Buku ini, perkhidmatan Perpustakaan juga telah dilanjutkan sehingga jam 10 malam, melibatkan bahagian kanak-kanak dan pinjaman dewasa.
“Turut memeriahkan Pesta buku kali ini pembukaan kaunter semakan Wang Tak Dituntut (WTD) oleh Jabatan Akauntan Negara Malaysia, perkhidmatan kaunter bergerak oleh MAIDAM, pameran robotik daripada TATIUC.
“Saya amat mengharapkan agar semua pihak terlibat semasa Pesta Buku kali ini sentiasa komited dalam usaha meneruskan dan memajukan industri media cetak dan seterusnya membangunkan masyarakat berilmu pengetahuan, jadi rebutlah peluang ini untuk mendapatkan buku kegemaran dengan harga mampu milik,” ujarnya.
30 Sep 24
974
Pengorbanan Seorang Guru Bantu Pelajar OKU Raih Emas
MARANG, 28 September - Pengorbanan seorang demi melihat anak didiknya yang juga pelajar Orang Kelainan Upaya (OKU) berjaya dalam sukan lompat jauh berhasil setelah muridnya memperolehi emas peringkat negeri baru-baru ini.
Guru Pendikan Khas Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Wan Husni Wan Abdullah, 36, berkata Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Majlis Sekolah Sukan Negeri Terengganu yang diadakan pada 21-23 Ogos baru-baru ini telah menjadi bukti bahawa Muhammad Ashreil Mikhail Zawawi mampu meraih kejayaan cemerlang.
Dengan memperolehi satu pingat emas dalam acara lompat jauh BPL 12 (Masalah pembelajaran lelaki bawah 12 tahun) Muhammad Ashreil juga berjaya memecahkan rekod baru kejohanan.
"Saya berusaha mencari sumbangan untuk kos makan minum, serbuk protein dan telur dan dia juga banyak juga guna duit sendiri.
"Persediaan di peringkat kebangsaan pada tujuh sehingga 11 Oktober ini di Stadium Ipoh, Perak juga memerlukan kos kira-kira RM600, hanya untuk Ashreil seorang," ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, hari ini.
Katanya demi melihat kejayaan anak muridnya itu beliau telah menghabiskan RM1,400 untuk menampung empat orang pelajar bermula dari tahun lepas bagi menghadapi Kejohanan Olahraga Pendidikan Khas Peringkat Daerah dan Negeri, namun hanya Ashreil seorang sahaja yang berjaya ke peringkat kebangsaan.
Jelasnya, ia termasuk belanja untuk membeli kasut khas untuk larian, makanan tambahan, ubat-ubatan serta alatan yang lain.
"Saya nak ucap terima kasih kepada YB Ustaz Sulaiman Sulong (ADUN Pengkalan Berangan) sebab sudi memberi sumbangan kepada Ashreil.
"Besar harapan saya agar Ashreil menang emas dalam lompat jauh, di peringkat kebangsaan dan semoga dia terpilih ke sekolah sukan khas yang akan dibuka di Nilai, Negeri Sembilan melalui panel pemilih," katanya merujuk kepada penyerahan sumbangan olahraga pendidikan khas kepada Ashreil di pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Pengkalan Berangan baru-baru ini.
29 Sep 24
138
149 Pelajar Cemerlang DUN Pengkalan Berangan Terima Inisiatif Awal Ke IPTA
MARANG, 28 September- Seramai 149 Pelajar dalam Dewan Undangan Negeri DUN Pengkalan Berangan terima Inisiatif awal bagi melanjutkan pelajaran ke Pusat Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata ianisiatif itu bagi memastikan dapat membantu sedikit sebanyak bagi memudahkan urusan serta tidak mahu ada pelajar yang tercici
"Kalau diikutkan tarikh tutup 15 september dan terdapat 105 penyertaan, namun atas semangat untuk memastikan setiap anak-anak mahasiswa warga N20 Pengkalan Berangan samaada yang akan menyambung pengajian diperingkat diploma atau ijazah.
"Maka kami terima dan pejam mata untuk tambahan kewangan dari ‘ayah angkat kita’ iaitu (TCOM) Terengganu Telecomunication Sdn. Bhd. (TCOMM), jelasnya lagi.
“Kebanyakan Universiti ini berada di kawasan bandar-bandar besar dan kita mengharapkan tidak menjadi kejutan budaya dalam kalangan pelajat nanti sehingga melupakan mak, ayah dan keluarga di kampung", katanya.
Beliauu berkata demikian semasa Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar STPM, STAM, , Syahadah Thanawi 2023 dan Sumbangan Awal Ke IPTA itu telah diadakan di Dewan Serbaguna Arkeb Unit 6, PSP Terengganu pada baru-baru ini.
Sulaiman Sulong juga turut berpesan kepada anak-anak pelajar tersebut supaya setiap pelajar sentiasa mengingati jasa mereka-mereka yang telah berkorban, tidak tinnggalkan solat bagi memastikan hubungan dengan Allah sentiasa dekat dan sekali gus memastikan akhlak terpelihara.
28 Sep 24
198
Media Sosial Jadi Ancaman Besar 'Ulat Buku'
KUALA TERENGGANU, 27 September - Kecanggihan teknologi masa kini boleh memudarkan minat masyarakat terhadap amalan membaca dan menuntut ilmu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga Dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim menzahirkan kebimbangan terhadap situasi yang berlaku dalam kalangan masyarakat terutama bagi golongan pelajar.
“Saya melihat media sosial menjadi punca utama menyebabkan pelajar kurang minat membaca buku atau kitab, dibimbanginya bakal jadi hiasan dalam almari sahaja suatu hari nanti.
”Kita perlu terapkan minat pelajar bermula dengan peranan ibu bapa di rumah dengan pelbagai cara seperti beli bahan bacaan atau bawanya ke pesta buku agar dapat memupuk minat terhadap media cetak tersebut, serta mengawal anak supaya tidak terlalu terikat dengan media sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Perasmian Pesta Buku @ PPAT 2024 di Dewan Teater, Perpustakaan Awam Negeri Terengganu di sini semalam.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu;l, Ridzuan Hashim, Ketua Penolong Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Syed Ab Rahman Hilmi Syed Zain, dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Terengganu, Norliza Ismail.
Tambah Maliaman, beliau memuji usaha dibuat pelbagai pihak untuk menambah minat membaca dalam masyarakat serta mengekalkan suasana keilmuan melalui penulisan dan media cetak.
“Program seperti ini sangat penting supaya jalinan tradisi keilmuan kekal dengan penulisan tradisional atau media cetak dan sebagainya, kerana pembelajaran melalui kitab dapat menjamin keselamatan ilmu dan ketulenan sumber.
“Kita juga berharap setiap bacaan dapat diterjemahkan secara ‘amali’ dalam semua aspek kehidupan, ramai baca Al-Quran, tapi terlalu sedikit beramal dengan isi kandungannya.
“Dengan ilmu mampu merubah dan hasilkan masyarakat bijak pandai, sama ada cara minda berfikir atau bertindak, seterusnya dapat menjadikan masyarakat yang bermutu tinggi,” ujarnya.
27 Sep 24
157
Imtiaz Terengganu Sasar Saingi Pelajar Antarabangsa
KUALA NERUS, 25 September - Sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu menyimpan hasrat dan sasaran yang besar untuk bersaing dan duduk setaraf dengan pelajar antarabangsa dalam bidang akademik.
Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham percaya dengan kualiti para pelajar Imtiaz dan yakin bakal setaraf dengan mahasiswa antarabangsa dalam beberapa tahun lagi.
“Saya agak terkejut dan kagum dengan kemampuan dan kebolehan pelajar tingkatan 1, jika 6 bulan perkembangan seumpama ini, kita yakin dalam masa 4 tahun setengah lagi, mampu bersaing dengan mereka di peringkat antarabangsa, itulah objektif sebenar penubuhan sejak 20 tahun lepas.
“Kita nak para pelajar di sini bukan hanya mampu menghafal Al-Quran, bahkan mahu mereka cemerlang dalam bidang akademik, supaya dapat bersaing dan duduk semeja dengan pelajar dari Universiti hebat dunia seperti Oxford, Cambridge Universiti atau setarafnya,” ujarnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Majlis Penutupan Program Khas Asasi Ulul Albab, Sekolah-sekolah Menengah IMTIAZ Yayasan Terengganu tahun 2024, di Dewan Jubli Perak, Kompleks Pentadbiran Bandar Al-Wathiqu Billah, di sini semalam
Tambah Mohd Azmi, beliau yakin dengan kemampuan para guru untuk melatih dan mendidik pelajar dengan sistem ciptaan sendiri supaya menepati kejayaan yang disasarkan.
“Yakin dengan modul sendiri yang mampu memperkuatkan pelajar, permulaan 6 bulan pertama ini, kita berikan asas bagaimana untuk menjadi pelajar cemerlang.
“Semasa mula penubuhan dahulu, banyak sekolah luar datang untuk belajar dari Imtiaz, sekarang ada antara mereka mampu bersaing dan melebihi kita, itu tidak menjadi masalah, harapan Imtiaz supaya tidak ketinggalan dan sentiasa maju ke hadapan," katanya.
“Jika perlu adakan lawatan untuk tujuan pembelajaran dan tambah nilai pada Imtiaz, perlulah pergi ke Universiti yang lebih hebat supaya boleh belajar dari mereka. Jika nak jadi cerdik, mesti berkawan dengan orang cerdik, pemilihan kawan sangat penting untuk mencapai tujuan kejayaan.
“Sama-samalah kita berganding bahu supaya melahirkan teknokrat yang mampu menguasai pengetahuan arus perdana berpandukan Al-Quran dan As-Sunnah untuk kesejahteraan Negeri Terengganu di masa akan datang," katanya.
26 Sep 24
663
Abu Al-Quran Dilupus Tujuh Batu Nautika
KUALA TERENGGANU, 24 September – Program Pelupusan Al-Quran Lama dan Rosak bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar telah berjaya disempurnakan hari ini dengan pelupusan kiub abu Al-Quran sejauh tujuh batu nautika dari daratan, di perairan Terengganu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata program tersebut melalui kerjasama daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan NGO Barakah Terengganu.
"Langkah ini menandakan fasa terakhir bagi usaha pengumpulan dan pelupusan al-Quran lama serta rosak yang dijalankan sejak beberapa bulan yang lalu," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan bertempat di perairan Sungai Terengganu di sini hari ini.
Ahmad Shah berkata program itu bertujuan untuk memastikan kitab suci al-Quran rosak, dilupuskan mengikut kaedah yang tertib dan sesuai dengan syariat Islam.
"Proses pelupusan melalui pembakaran terkawal dan pemampatan abu ke dalam kiub khas sebelum dilarutkan ke laut adalah satu pendekatan yang telah dipraktikkan dengan teliti.
“Pelupusan al-Quran lama ini adalah amanah yang perlu dilaksanakan dengan betul, dan kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat.
"Terutamanya JHEAT, UMT, Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Bandar, NGO Barakah Terengganu serta institusi-institusi tempatan seperti Sekolah Kebangsaan Sultan Sulaiman 1, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), serta masjid-masjid dan surau-surau dalam kawasan DUN Bandar,” ujarnya.
Tambahnya, kejayaan program tersebut bukan sahaja mencerminkan kerjasama baik antara pelbagai agensi dan komuniti, tetapi juga memperlihatkan kepentingan memelihara kesucian al-Quran dan menghormati warisan agama.
24 Sep 24
104