Artikel "Pendidikan" Terkini
'Kata Khalayak Ramai, Kenapa Tertutup Pula?' - Ini Jawapan Peguam
KUALA TERENGGANU, 27 Disember- Pelaksanaan hukuman sebat syariah di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini mengundang rasa kurang puas hati sebahagian kecil rakyat Terengganu yang hadir hari ini apabila tidak dapat melihat secara langsung ia dijalankan, sebaliknya dimaklumkan hanya sekitar 70 individu dipilih Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu untuk menyaksikannya.
Perkara itu bagaimanapun dijelaskan Timbalan Presiden Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia, Muhammad Hariz Md Yusoff yang menyatakan bahawa pemilihan lokasi hukuman sebat serta proses dilaksanakan sebegitu bagi mematuhi syarat keselamatan dan kesesuaian persekitaran.
"Dalam konteks perundangan negara kita ini, kita percaya bahawa kita hidup dalam masyarakat majmuk terdiri daripada golongan Muslim dan bukan Muslim.
"Dalam keadaaan ini, kita ingin menjaga haibah (kewibawaan) ataupun kehormatan agama Islam itu sendiri, maka ia dilakukan dalam keadaan tertutup tetapi melibatkan khalayak ramai yang mana orang-orang tersebut ditentukan oleh pihak berkuasa dan kami difahamkan pihak berkuasa ialah Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.
"(Keadaan) Ini mungkin satu permulaan, kemungkinan pada masa hadapan lebih banyak prosesnya sebab hukuman sebatan khalayak ramai ini merupakan kali pertama dilaksanakan," katanya kepada pemberita selepas pelaksanaan hukuman tersebut, hari ini.
Jelasnya, pemilihan lokasi itu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Sebatan di Luar Penjara Bagi Pesalah Syariah yang digubal secara bersama oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Jabatan Penjara Malaysia pada tahun 2023 (melalui Arahan Amalan No 11 Tahun 2023).
Para jemaah masjid menunggu di perkarangan Masjid Al-Muktafi Billah Shah selepas solat Jumaat untuk menyaksikan pelaksanaan hukuman sebat khalayak ramai.
Selain itu, keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu pada 20 November 2024 dan Panel Hakim Mahkamah Rayuan Syariah Terengganu pada 16 Disember 2024 telah dibuat dengan mengambil kira semua aspek seperti kesalahan berulang kali oleh pesalah dan bagi memastikan hukuman dijalankan dengan adil, berhemah, dan tidak bercanggah dengan prinsip Islam serta hak asasi manusia yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
"Pelaksanaan ini mencerminkan ketelusan proses kehakiman, sekaligus membuktikan bahawa ia bukan sahaja mengikut kehendak undang-undang tetapi juga menepati nilai-nilai murni keadilan Islam yang menitikberatkan ihsan dan kesejahteraan masyarakat," ujarnya.
27 Dec 24
38362
Sebat Syariah : Negeri Lain Perlu Contohi Terengganu - Peguam
KUALA TERENGGANU, 27 Disember - Persatuan Peguam-peguam Muslim Malaysia (PPMM) menyeru mahkamah Syariah di negeri-negeri lain untuk mencontohi Terengganu dalam menyahut tindakan pelaksanaan hukuman sebat yang dilaksanakan agar perkara berkenaan dapat membuka mata masyarakat, mengarusperdanakan syariah dan menjunjung hukum syarak.
Timbaan Presiden PPMM, Muhammad Hariz Md Yusoff turut menyeru semua pihak supaya tidak mengelirukan masyarakat dengan mempolitikkan isu tersebut serta memahami konteks sebenar pelaksanaan hukuman sebatan syariah.
"Sistem perundangan syariah adalah sebahagian daripada sistem undang-undang negara yang sah, dan pelaksanaannya tidak boleh dilihat melalui perspektif sempit atau prejudis.
"Alhamdulillah, pelaksanaan sebatan syariah tersebut berjaya dilaksanakan dengan lancar meskipun wujud tentangan hebat oleh beberapa institusi dan individu. Hasil penyaksian kami terhadap hukuman sebatan tersebut, PPMM dengan tegas menolak tohmahan dan persepsi buruk yang menyatakan bahawa pelaksanaan hukuman sebatan syariah di Terengganu melanggar prinsip kemanusiaan dan peruntukan Perlembagaan Persekutuan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan sendiri pelaksanaan hukuman enam sebatan kepada pesalah khalwat berulang, Mohd Affendi Awang, 42, di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, di sini.
Beliau bersama Setiausaha Agung PPMM, Danial Farhan Zainul Rijal turut menyertai sekitar 70 individu termasuk Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwan dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyaksikan pelaksanaan hukuman itu yang berlangsung sekitar jam 2.30 petang.
Muhammad Hariz juga menambah, pelaksanaan hukuman sebatan secara terbuka di Terengganu adalah untuk mendidik masyarakat secara kolektif mengenai kepentingan mentaati perundangan Islam.
"Tindakan pelaksanaan ini juga memberi mesej jelas mengenai usaha mengekang perlakuan yang bercanggah dengan moral dan etika masyarakat Islam.
"Hukuman ini dilaksanakan tanpa melibatkan elemen penghinaan kepada pesalah, malah dengan penuh tertib dan pengawasan pihak berkuasa," katanya.
Mohd Affendi menjadi individu pertama di Terengganu yang dihukum dengan enam kali sebatan di khalayak ramai setelah hukuman itu diputuskan Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu pada 20 Nov lepas setelah lelaki itu mengaku salah atas kesalahan khalwat berulang mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
27 Dec 24
690
Program 'Ceria Ke Sekolah' TNB Untuk B40
KEMAMAN, 24 Disember - Tenaga Nasional Berhad (TNB) Terengganu bersama Pejabat Ahli Parlimen Kemaman menganjurkan program 'Ceria Ke Sekolah 2024' bagi mengagihkan baucer bantuan persekolahan kepada murid-murid golongan B40.
Berlangsung di Kemaman Arena Square semalam, program yang merupakan salah satu cabang tanggungjawab sosial korporat (“CSR”) syarikat tersebut memberikan fokus kepada usaha menyokong pembangunan mampan dan menyeluruh sektor pendidikan di negeri Terengganu.
Pengurus Besar TNB Negeri Terengganu, Haji Ir. Mohamad Mohyddin Mohd Noor berkata, TNB menyasarkan murid-murid daripada keluarga yang kurang berkemampuan dalam menyediakan keperluan pakaian seragam untuk menghadapi sesi persekolahan yang akan datang melalui program yang dianjurkan.
"Program sebegini bukanlah perkara baharu yang dijalankan oleh kami, malah sudah melebihi 10 tahun pihak kami mengadakan program sebegini dalam membantu masyarakat setempat.
"Selain program Ceria Ke Sekolah, pihak syarikat juga mengadakan program Sekolah Amanah dan Sekolah Angkat dalam memperlihatkan kesungguhan kami dalam memajukan bidang pendidikan di negeri Terengganu ini.
“Pihak TNB mengharapkan agar bantuan yang dihulurkan buat para pelajar pada hari ini akan meringankan beban kewangan ibubapa dan berbelanjalah dengan berhemah. Semoga semua pelajar sentiasa beroleh kecemerlangan serta kejayaan untuk masa hadapan diri dan keluarga,” ucapnya lagi.
Turut hadir adalah sebagai perasmi adalah Pengerusi Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat dan Pegawai Khas Ahli Parlimen Kemaman, Haji Hazri Jusoh.
Seramai 300 pelajar yang terpilih dari setiap DUN di sekitar Kemaman yang hadir bersama ibu bapa dan penjaga menerima baucer bernilai RM100 setiap satu daripada TNB Terengganu.
25 Dec 24
354
Golden Pharos Bantu Pendidikan Orang Asli Terengganu
KEMAMAN, 19 Disember - Usaha Golden Pharos Berhad (GPB) melalui dua anak syarikatnya, Kumpulan Perusahaan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) dan PESAMA Timber Corporation yang tampil menyumbang barangan keperluan sekolah kepada Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam, mampu memacu potensi pelajar-pelajar warga orang Asli dalam pembelajaran.
Penolong pegawai pendidikan daerah Kemaman, Ahmad Azli Ismail@Abdul Aziz berkata, penglibatan agensi membantu proses pendidikan terutama komuniti orang Asli membantu memupuk minat mereka untuk belajar.
"Kadang-kadang tarikan utama mereka (pelajar) untuk hadir ke sekolah disebabkan minat dan apa tarikan yang ada di sana.
"Mereka ini kalau kita lihat latar belakang ada dikalangan orang susah dari segi pendapatan dan tak mampu melengkapkan diri ke sekolah, jadi apabila ada bantuan sebegini kami sangat bersyukur.
"Dengan kemudahan sebegini, insya-Allah akan sampailah mereka ke sekolah dan ada harapan untuk berjaya," katanya ketika ditemui selepas program Sehari Bersama Pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Pergam di dewan serbaguna kampung berkenaan, semalam.
Dalam program tersebut, GPB menyampaikan sumbangan bernilai RM10,000 dalam bentuk set pakaian sukan dan kasut sukan untuk semua pelajar SK Sungai Pergam.
Sumbangan yang disampaikan Pengerusi GPB, Dato' Yahaya Ali itu turut disertai dengan memorandum persefahaman (MOU) antara KPKKT dan PESAMA bersama SK Sungai Pergam.
Majlis menandatangani memorandum disempurnakan Eksekutif Kanan Operasi PESAMA yang mewakili Pengurus Besar PESAMA, Sani Yusof dan Timbalan Pengurus Besar KPKKT, Ahmad Bazli Razali.
Manakala, SK Sungai Pergam diwakili guru besar, Mohd Shafii A Bakar.
Dato' Yahaya dalam pada itu berharap, usahasama itu akan menjana lebih banyak program diantara kedua-dua pihak.
"Memorandum ini sebagai satu tanda kita mengadakan jalinan dengan pihak sekolah sebagai permulaan.
"Apabila ada MOU sebegini, kita boleh merancang program-program pada masa akan datang dalam pelbagai bentuk lain, sebagaimana yang dibuat dalam sumbangan banjir baru-baru ini," katanya.
19 Dec 24
167
Kerajaan Terengganu Salur RM2.8 Juta Perkasa Institusi Pendidikan Islam
KUALA TERENGGANU, 12 Disember – Kerajaan Negeri mengambil langkah proaktif memperkukuh pendidikan Islam dengan menyalurkan bantuan pengurusan berjumlah RM2.8 juta kepada 136 institusi pendidikan Islam dari lapan daerah, bermula dari Besut hingga Kemaman.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, menegaskan bahawa pendidikan adalah tanggungjawab bersama, bukan hanya terletak di bahu kerajaan.
“Kita mahu negeri ini maju bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga mental dan spiritual.
“Keberkatan yang dicari mesti mengikut syariat, dan kita ingin kesejahteraan dunia dan akhirat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Pengurusan Mengikut Per Kapita Kepada Sekolah Agama Islam Dan Pusat Pendidikan Negeri Terengganu, di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Turut hadir, Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT); Mohd Zaini Mohd Nor.
Beliau turut mengimbau sejarah kehebatan tamadun Islam abad ke-6 yang menjadikan pendidikan sebagai asas kekuatan masyarakat.
“Kejayaan Islam pada zaman dahulu kerana pemimpin mereka mesra pendidikan dan menghargai ilmuwan.
“Sebaliknya, kejatuhan empayar Islam dikaitkan dengan pemimpin yang lebih tertarik kepada hiburan berbanding ilmu.
“Atas sebab itu, kita mahu menyuburkan negeri ini dengan persekitaran yang mendukung budaya ilmu,” ujar beliau.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut merakamkan penghargaan kepada individu, NGO, dan tokoh masyarakat yang selama ini membangunkan institusi pendidikan secara sukarela tanpa bergantung kepada bantuan kerajaan.
“Mereka sanggup membeli tanah, membina bangunan, dan menyumbangkan tenaga tanpa mengharapkan balasan.
“Tujuannya hanya satu, memastikan anak bangsa mendapat pendidikan terbaik,” katanya.
Tambah Satiful, bantuan pengurusan per kapita ini mencerminkan komitmen kerajaan untuk melahirkan generasi yang bukan sahaja cemerlang akademik tetapi juga berakhlak mulia.
“Kita mahu anak-anak ini menjadi lebih pandai daripada guru mereka.
“Sasaran kita adalah melahirkan graduan dengan sekurang-kurangnya Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD).
“Matlamat kita adalah memastikan anak-anak Terengganu memiliki kehidupan yang lebih baik pada masa depan,” jelasnya.
12 Dec 24
222
Terengganu Peruntuk RM6 Juta Bantu Pelajar Sambung Master, PhD
KUALA TERENGGANU, 11 Disember – Kerajaan Negeri terus komited menyokong pendidikan tinggi dengan memperuntukkan dana besar untuk membantu pelajar yang ingin melanjutkan pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahari Mamat, berkata kerajaan negeri menyediakan RM500,000 setahun khusus untuk pelajar peringkat Sarjana dan PhD.
“Peruntukan ini tidak termasuk peruntukan untuk ijazah pertama,” jelas beliau.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Cek Cura Bantuan Pengurusan Mengikut Per Kapita Kepada Sekolah Agama Islam Dan Pusat Pendidikan Negeri Terengganu, di Dewan Konvensyen, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau turut menambah bahawa janji manifesto pilihan raya terdahulu yang menetapkan RM5 juta setahun telah dilaksanakan, dan kerajaan menambah RM1 juta lagi melalui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri.
“Bermula tahun ini, jumlah keseluruhan dana pendidikan dinaikkan kepada RM6 juta setahun.
“Dengan tambahan ini, kita dapat menyediakan bantuan pendidikan yang lebih meluas dan komprehensif,” katanya.
Selain itu, Yayasan Terengganu masih menyalurkan RM10 juta setahun untuk biasiswa dan pinjaman pendidikan.
“Bantuan ini terbuka kepada semua pelajar yang layak, kecuali anak-anak EXCO dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Terengganu.
“Kita mahu semua yang layak mendapat akses kepada peluang ini, tanpa mengira latar belakang mereka.
“Kerajaan negeri akan terus memastikan pendidikan tinggi kekal menjadi keutamaan, kita percaya, dengan pendidikan, anak-anak Terengganu mampu mencipta kehidupan yang lebih baik,” ujar beliau.
11 Dec 24
501
Pelajar Tetap Semangat Hadir Kem Motivasi Walau Berhadapan Banjir
Oleh : Syahida Mohd
KUALA NERUS, 30 November - Berhadapan situasi banjir tidak mematahkan semangat calon Sijil pelajaran Malaysia (SPM) untuk menghadiri Kem Motivasi Pecutan Akhir yang diadakan semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, program berkenaan merupakan kemuncak akhir setelah Tuisyen Rakyat diadakan sebelum ini bagi memastikan kesemua pelajar yang akan menduduki peperiksaan bakal memperolehi keputusan cemerlang.
"SPM ini adalah langkah pertama kita nak pergi ke peringkat lebih atas, dan kuncinya ada di situ (SPM).
"Jadi anak-anak perlu bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kunci kejayaan ini dalam SPM," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas menghadiri program berkenaan, yang diadakan di Al-Riyadah Residen Gong Badak,di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abas, Amir Husin Ali, Ketua Sektor Akademik dan Ketua Sektor Akademik Maahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman (MTT), Nor Afendi Mahyiddin.
Dalam pada itu Hishamuddin berkata, kerajaan negeri sentiasa prihatin terhadap pendidikan anak-anak Terengganu kerana itu diperkenalkan Tuisyen Rakyat.
Sementara itu, sebanyak empat buah sekolah di DUN berkenaan iaitu Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman (MTT), SMK Bukit Guntong, SMK Kompleks Gong Badak dan SMK Dato' Haji Abas telah menerima sumbangan kewangan dan Kit Peperiksaan SPM.
Menurut Hishamuddin sumbangan itu diberikan sebagai galakan untuk mengadakan tuisyen.
"Kita bekerjasama dengan pihak sekolah untuk mereka adakan tusiyen di sekolah masing-masing dan kita salurkan terus sumbangan kepada pihak sekolah," ujarnya.
01 Dec 24
165
Exco Cadang Tangguh Tutur BM SPM, Emosi Pelajar Terjejas
KUALA TERENGGANU, 1 Disember- Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) seharusnya lebih peka dan prihatin terhadap keperluan emosi yang dihadapi calon-calon Sijili Pelajaran Malaysia (SPM) dengan menangguhkan ujian lisan Bahasa Melayu yang akan bermula esok.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berharap, keputusan itu ada dalam pertimbangan Menteri Pendidikan Malaysia, Fadhlina Sidek sebagai pihak yang bertanggungjawab.
"Kalaulah ada ruang untuk pandangan ini didengari, suka saya cadangkan peperiksaan amali dan tutur SPM dapat ditangguhkan terlebih dahulu.
"Sebahagian anak-anak calon SPM di Kelantan dan Terengganu yang terjejas banjir, mereka amat terjejas emosi.
"Berada di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan sekolah pula digunakan sebagai PPS akan memberikan kesan yang tidak langsung buat mereka yang terkesan," katanya melalui satu hantaran di Facebook miliknya, hari ini.
Tambahnya, bukan sahaja pelajar sebaliknya guru-guru juga terkesan dengan bencana yang menimpa sembilan buah negeri ketika ini.
Jadi, amat wajar untuk ada sedikit perasaan simpati dan empati," ujarnya.
Setakat tengahari ini, Terengganu merekodkan 42,040 mangsa terlibat banjir di seluruh daerah. Sebanyak 306 PPS dibuka bagi menempatkan lebih 11,000 ribu keluarga dalam serba kekurangan.
01 Dec 24
593
Angkat Pendidikan Islam Seiring Kemodenan Zaman
KUALA TERENGGANU, 26 November- Mengikut perkembangan masa dan zaman, penambahbaikan perlu dibuat bagi melihat pendidikan Islam bangkit dan selari dengan pendidikan konvensional yang lain secara langsung sebagai pemangkin utama berasaskan ketakwaan serta akidah yang mantap bagi melahirkan generasi mendatang.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknoplogi dan Pembangunan Insan Terengganu, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, usaha berkenaan perlu digembleng bersama institusi pendidikan Islam yang ada di negeri Terengganu khususnya.
"Kita melihat kewujudan hari ini dan perkembangan umat Islam khususnya di negeri ini hampir 70 peratus masih lagi merupakan melayu Muslim, hasil daripada peninggalan nenek moyang kita 700 tahun yang lampau, hari ini Alhamdulillah kita masih lagi melihat generasi ini masih majoriti meneruskan kehidupan ke arah yang sempurna dalam pengamalan Islam.
"Ia dapat dicapai hasil ketekunan di semua peringkat khususnya guru-guru, para alim ulama dalam mempertahankan pendidikan Islam yang bukan sahaja untuk disebar luaskan tetapi untuk melahirkan duat iaitu pendakwah yang meneruskan agenda Islam yang ditinggalkan Rasulullah SAW," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mewakili Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar merasmikan Konvensyen Pendidikan Islam Negeri Terengganu anjuran Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) di dewan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, semalam.
Hadir sama ialah Pengarah Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Lothman Awang dan Timbalan Pengarah (Operasi) JPINT, Mohd Zaini Mohd Nor.
Tambahnya, konvensyen yang diadakan buat kali ketiga itu antaranya untuk menghimpun tenaga pengajar, guru-guru, penggerak institusi pendidikan islam negeri Terengganu yang bernaung di bawah JPINT sama ada yang berada di bawah kerajaan negeri mahupun swasta.
"Kita mengadakan konvensyen ini sedikit sebanyak antaranya untuk memberi pengiktirafan kepada guru-guru yang telah berkhidmat menjangkau usia tetapi istiqamah mengamalkan pendidikan Islam sebagai pendidikan sepanjang hayat.
"Walaupun mungkin tidak seberapa, tetapi inilah menggambarkan hasrat kerajaan negeri bagi memberi motivasi sebagai tanda hati atas mereka yang berkhidmat bersungguh-sungguh dalam menegakkan dan menyebar luaskan ilmu Islam.
"Kerajaan negeri juga bersikap terbuka kepada semua institusi, tokoh penggerak dalam pendidikan untuk bekerjasama dalam melihat generasi akan datang berterusan mendapat alternatif pendidikan," katanya.
Dalam konvensyen tersebut, sebanyak 21 anugerah khas disampaikan kepada tenaga-tenaga pengajar terpilih bagi menghargai jasa dan pengorbanan mereka.
Konvensyen kali ini turut mengadakan Forum Pendidikan Islam yang menampilkan Prof. Dr Solehah Yaacob dan Dato' Dr. Abdul Mua'ti@ Zamri Ahmad dalam membentangkan tema Ketamadunan Melayu Islam Paksi Kegemilangan Peradaban.
26 Nov 24
119
TIS 2024: Lima Teras Bangun Kesatuan & Solidariti Keamanan Global
KUALA TERENGGANU, 24 November - Persidangan Antarabangsa Terengganu (TIS) 2024 menggariskan lima teras dalam rangka kerja kesatuan dan solidariti untuk keamanan, kemakmuran, nilai budaya, dan maruah manusia secara global.
Menghimpunkan pemimpin komuniti, masyarakat sivil, dan warga global dari Malaysia, Rusia, Oman, Turki, Filipina, Indonesia, dan Palestin, persidangan berkenaan turut mencadangkan 12 pelan tindakan dalam usaha menyelesaikan permasalahan yang dibentangkan.
Ketua pegawai eksekutif TSIS, Profesor Madya Dr Mohd Hanif Yaacob berkata, antara teras yang digariskan ialah memperkukuh kepimpinan global yang strategik dengan menubuhkan Majlis Kepimpinan untuk Kesatuan dan Solidariti Ummah bertujuan memupuk kerjasama, persefahaman, dan visi bersama dalam kalangan pemimpin dari pelbagai sektor.
"Insya-Allah, TSIS yang merupakan agensi strategik kerajaan Terengganu akan menjalankan amanah sebagai sekretariat kepada majlis kepimpinan ini.
"Selain itu teras ini menekankan pentingnya pembangunan kapasiti untuk pemimpin yang mana negara anggota akan melatih pemimpin dalam penyelesaian konflik dan rundingan, dengan mengintegrasikan nilai-nilai Islam dalam kepimpinan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan pengisytiharan resolusi TIS 2024 di Duyong Marina & Resort, semalam.
Menurut Dr. Hanif, teras kedua ialah memberdaya pengetahuan dan pendidikan menuju Kesatuan melalui peningkatan pengetahuan kontemporari dan memanfaatkan teknologi untuk advokasi dan serta penyebaran maklumat agar mesej kesatuan dan soldariti sampai kepada lebih banyak pihak terutamanya generasi muda melalui tindakan memajukan pemikiran Islam dan pelbagai sumber ilmu bagi manfaat ummah serta membebaskan ummah dari penjajahan intelektual.
"Teras yang ketiga adalah mengurus konflik dalaman secara berkesan dengan menekankan toleransi dan kerjasama antara mazhab serta kelompok Muslim dalam menangani cabaran bersama, selain memperbanyakkan kerjasama dan dialog di kalangan pemimpin mazhab serta pemimpin Sunni dan Syiah supaya umat Islam dapat bersatu menentang ketidakadilan.
"Teras yang keempat ialah mentransformasi kerjasama ekonomi untuk pembangunan, diterjemahkan dengan menggalakkan negara Islam yang kuat untuk melakukan pelaburan di negara-negara kurang membangun sebagai satu langkah penting ke arah kesatuan ummah.
"Tindakan seterusnya ialah menyeru individu berpengaruh untuk mengutamakan pelaburan ummah dalam pembangunan lestari dan pelaburan selari dengan prinsip keadilan selain mempromosikan produk tempatan untuk memperkukuh kemandirian ekonomi dan meningkatkan kerjasama serantau," ujarnya.
Teras terakhir yang digariskan TIS 2024 adalah memperkasa diplomasi dan solidariti ummah secara global melalui seruan gencatan senjata dalam genosid di Gaza disertai penyelarasan usaha bantuan serantau untuk Palestin demi memenuhi keperluan kemanusiaan dan kestabilan jangka panjang.
Tindakan terakhir dari teras kelima ialah menggalakkan strategi pelaburan beretika, termasuk menyokong gerakan Boikot, Divestasi, dan Sekatan (BDS) terhadap entiti yang melanggar hak asasi manusia.
Dr. Hanif turut memaklumkan, TIS akan berfungsi sebagai platform untuk membangunkan penyelesaian kepada cabaran ummah, menjadikan resolusi yang digariskan sebagai agenda strategik nasional, dan memupuk kerjasama antara pemimpin pendapat serta pembuat dasar untuk menyepadukannya ke dalam pelan pembangunan negara.
24 Nov 24
74