lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Empty Image
Anak Peniaga Pasar Malam Raih 6A
Berhasrat mahu mengubah nasib keluarga, Amna Alifa Zabidi, 12,  anak kepada seorang peniaga pasar malam berjaya mendapat 6A dalam keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah(UPSR)yang diumumkan hari ini.Menurut murid Sekolah Kebangsaan Seri Buluh, dia  tidak menyangka akan berjaya dengan cemerlang menyifatkan kejayaannya dalam  adalah hadiah kepada kedua ibu bapanya yang telah banyak berkorban selama ini."Ummi dan Abah adalah tonggak utama kepada kejayaan ini kerana tanpa restu dan berkat doa mereka adalah mustahil untuk saya berjaya."Amna juga nak ucapkan terima kasih kepada semua guru di SK Seri Buluh kerana telah banyak berkorban dan memberi tunjuk ajar bagi membolehkannya memperolehi keputusan cemerlang dalam UPSR tahun ini,"katanya ketika ditemui Teganukita di kediamannya di Kampung Buluh, Hulu Terengganu,  hari ini.Amna berkata, keputusan 6A adalah di luar jangkaan dan ini menambahkan kegembiraan kerana hasil kerja keras mengulang kaji pelajaran berbaloi.Dia juga menyifatkan kejayaannya pada hari ini adalah berkat doa kepada Allah SWT selain usaha dan sokongan guru serta ahli keluarga terutama ibu bapanya.“Saya belajar sama sahaja seperti orang lain,belajar secara berkumpulan yang mana kami akan menjadi 'guru' bagi setiap subjek yang kami mahir dan berkongsi ilmu dengan kawan-kawan."Bila pulang ke rumah, saya lebih santai belajar,meluangkan masa membantu ummi mengemas rumah dan kadang-kadang membantu abah berniaga di pasar malam namun menjelang peperiksaan UPSR saya kurangkan aktiviti  kerana memberikan fokus mengulang kaji pelajaran," katanya.Berkongsi cita-cita ingin menjadi pensyarah Amna berkata, dia kini sedang memohon  melanjutkan pelajaran ke Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) sebagaimana kakak sulungnya Aqila Nazurah Zabidi pelajar Tingkatan Empat sekolah itu.Sementara itu, ibunya, Jamilah Embong, 36, surirumah berkata, dia dan suami, Zabidi Ismail,45, bersyukur dan gembira dengan kejayaan cemerlang anaknya itu."Syukurlah anak saya mudah faham apa yang dipelajarinya dan sentiasa mengulangkaji pelajarannya tak kira masa malah merupakan anak yang patuh kepada  ibu bapa."Sebagai ibu, saya tidak menekan pembelajaran di rumah bagi memberikan sedikit ruang untuk Amna rehatkan minda dan tenaganya cuma menitikberatkan penjagaan solat dan amalan membaca al-Quran setiap hari,"katanya.
23 Nov 17
180
Empty Image
Guru Disaran Elak Salah Guna Media Sosial
Golongan pendidik di Hulu Terengganu dinasihatkan supaya tidak menyalahgunakan media sosial sehingga menyalahi peraturan mahupun undang-undang.Pegawai Pendidikan Daerah Hulu Terengganu, Jalaluddin Ismail berkata,  sebagai guru, media sosial perlu diguna pakai dengan sepatutnya bagi mengekang penyebaran berita tidak benar."Kita faham bahawa media sosial memberi banyak kemudahan kepada guru dalam banyak aspek tetapi biarlah ianya digunakan dengan cara yang terbaik."Bagaimanapun, sekiranya ada antara guru yang melakukan sebarang aktiviti yang menyalahi undang-undang di media sosial, pihak kami akan memanggil guru yang terbabit untuk mengetahui punca dan permasalahan untuk diambil tindakan seterusnya,"katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Taklimat Memperkasakan Transformasi Pendidikan Negeri Terengganu 2017, Daerah Hulu Terengganu di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam.Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Perindustrian dan Perdagangan Negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dato' Tengku Putera Tengku Awang.Jalaluddin berkata, pendekatan 'jumpa dan bincang' akan digunakan sekiranya didapati ada di kalangan guru-guru di daerah ini yang dikesan menggunakan laman sosial sebagai platform meluahkan ketidakpuasan hati terutamanya berhubung dengan surat pekeliling, bidang tugas berkaitan profesion tersebut atau isu-isu semasa.Tambah beliau lagi, golongan pendidik juga diingatkan supaya tidak mudah percaya sebarang maklumat yang dilihat atau disalurkan dalam media sosial sebaliknya meneliti dahulu sesuatu berita atau isu sebelum menyebarkan kepada pihak lain.
21 Nov 17
368
Empty Image
Impian Ketika Kecil Pemandu Lori, Kini Pemegang PhD
Seorang guru yang ketika bersekolah dahulu pernah bercita-cita menjadi seorang pemandu lori, kini bergelar Ijazah Doktor Falsafah (PhD) apabila beliau berjaya menamatkan pengajiannya di bidang Sains Sosial Universiti Malaysia Terengganu (UMT).Dr. Mat Rahimi Yusof, 45 dari Putera Jaya, Setiu adalah pemenang Anugerah Pro Canselor (Sains Sosial) sempena Konvokesyen UMT, kelmarin.Rahimi berasal dari Kampung Banggol, Setiu itu, berkata, minatnya untuk menjadi pemandu lori masih ada sehingga kini walaupun sudah bergelar guru malah dia memiliki lesen kelas kenderaan itu."Mungkin rezeki saya menjadi guru dan memperolehi PhD kerana sebenarnya masa sekolah dulu saya hanya bercita-cita mahu menjadi pemandu lori kerana minat."Bagaimanapun cita-cita saya itu terpaksa saya lupakan kerana mendapat tawaran memasuki Maktab Perguruan Ipoh dan mengajar di Sabah selepas tamat SPM," katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.Penerima pertama PhD dari Setiu bagi jurusan Sains Sosial dan juga pemegang PhD kedua dari daerah yang sama mendapat Anugerah Pro Canselor itu juga mengakui menyambung pelajaran sehingga ke peringkat PhD bukanlah sesuatu yang mudah kerana menuntut pengorbanan dan canaran yang tidak berbelah-bahagi."Saya terpaksa korbankan sebahagian kehidupan saya terhadap pelajaran selain tumpuan terhadap pekerjaan dan keluarga, selama tiga tahun untuk menamatkan pengajian PhD."Dalam sehari lebih kurang lima ke enam jam saya tumpukan kepada pengajian untuk menyiapkan tesis bagaimanapun saya tetap memberi tumpuan terhadap keluarga dan pekerjaan sebagai guru," katanya anak kedua daripada lima beradik itu.Beliau yang mengajar di Sekolah Menengah Kebangsaan Penarik (SMKP), Setiu itu membuat kajian bertajuk 'Pembinaan Model Hubungan Kepimpinan Instruksional Maya, Pola Komunikasi Dan Kompetensi Pengajian Guru Sekolah Menengah Di Malaysia.Rahimi berkata, beliau begitu gembira dengan kejayaan itu dan bersyukur kerana diberi oleh Allah SWT kekuatan untuk menyiapkan tesisnya."Alhamdulillah, walaupun cita-cita untuk mendapat PhD ini bukan bermula di awal pengajian saya iaitu beberapa tahun selepas mendapat ijazah tetapi akhirnya saya tercapai juga untuk menamatkan pengajian ini," katanya yang pernah berkhidmat sebagai guru di Sabah itu.Selain mendapat dorongan dan semangat dari isteri, Nurhafizah Yusof, 43 dan tiga anaknya, Rahimi juga menerima sokongan serta kerjasama dari Pengetuanya, Zahari Ahmad dan juga bekas Pengetua SMKP,  Maznah Razali."Saya juga berterima kasih kepada Penyelia Tesis,  Dr Mohd Yusri Ibrahim dan pensyarah kerana banyak mengajar saya serta rakan-rakan satu pengajian di UMT," katanya.Seramai 2,717 graduan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) menerima diploma dan ijazah pada Majlis Konvokesyen Ke-15 universiti itu selama tiga hari yang berakhir hari ini.Di majlis yang berlangsung di Dewan Sultan Mizan itu, seramai 41 graduan dianugerahkan ijazah doktor falsafah, 163 graduan sarjana, sarjana muda (2,384) dan diploma seramai 129 orang.
20 Nov 17
751
Empty Image
Tabung Wakaf UMT Sumbang RM1 Juta Kepada Maidam
Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di bawah Tabung Waqaf Ilmu UMT menyumbangkan sebanyak RM1 juta wakaf tunai kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).Tabung yang mula ditubuhkan dengan kerjasama Maidam berkuatkuasa 2016 lalu dengan perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin bertujuan untuk memanfaatkan serta diagihkan kepada pihak yang layak menerima wakaf.Selain itu, ia juga bagi tujuan keilmuan seperti Biasiswa Wakaf Pendidikan UMT kepada para pelajar, Geran Penyelidikan kepada para pensyarah dan pembinaan prasana untuk kemudahan pelajar dan warga UMT.Naib Canselor UMT, Profesor Dato’ Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, kutipan sebanyak RM1 juta tersebut adalah hanya daripada warga UMT sahaja."Walau bagaimanapun, kami amat mengalu-alukan komitmen para hadirin untuk sama-sama terus membantu menyalurkan sumbangan kepada pelajar melalui portal MyEhsan," katanya ketika berucap dalam Majlis Santapan Malam Sempena Majlis Konvokesyen Ke-15 UMT di Taman Tamadun Islam, Kuala Terengganu, malam tadi.Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dan Sultanah Terengganu, Sultanah Nur Zahirah berkenan berangkat ke majlis tersebut.Turut hadir Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan isteri, To' Puan Seri Halina Zakaria; Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Dato’ Mohd Zubir Embong dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Wan Nawawi Wan Ismail.Dalam majlis yang sama, Sultanah Terengganu berkenan menyempurnakan sumbangan Tabung Waqaf Ilmu UMT dan penerimaan tajaan 'endowmen' berjumlah RM150,000 dari RHB Islamik Sdn Bhd.Selain itu, Sultanah Nur Zahirah berkenan merasmikan Majlis Pelancaran Buku Ikan Lut Sinar terbitan Penerbit UMT bersama-sama Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM).
18 Nov 17
236
Empty Image
SMK Lembah Bidong Juara Kali Keempat Perkiss
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lembah Bidong, Setiu berjaya mengekalkan johan buat kali keempat berturut-turut, manakala SMK Kerteh pula memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Kitar Semula Sekolah-Sekolah Peringkat Kebangsaan (Perkiss) 2017.Dalam pertandingan anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam (SWCorp) dan Kementerian Pendidikan Malaysia itu juga, SMK Lembah Bidong turut memenangi Anugerah Khas Pembudayaan Amalan Kitar Semula Terbaik.Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu, Shafruddin Ali Hussin berkata, kejayaan SMK Lembah Bidong dan Kerteh itu suatu rekod yang membanggakan kerajaan negeri khususnya sektor pendidikan negeri dan warga pendidik khasnya."Bagi pihak JPNT dan seluruh warga pendidik, saya amat berbangga dengan lakaran kejayaan di peringkat nasional ini."Kerja berpasukan dan komitmen semua pihak dalam memastikan persekitaran terjaga dan bersih selain amalan kitar semula bahan terpakai dipupuk di peringkat sekolah membawa kepada pengiktirafan ini,"katanya kepada Teganukita, hari ini.Penyampaian hadiah akan disempurnakan oleh Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar di Anjung Floria Putrajaya oleh  sempena Hari Kitar Semula Negara 2017 pada 18 November ini.
14 Nov 17
872
Empty Image
UniSZA Bangunkan Ekosistem Bahasa Inggeris
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) mengambil langkah proaktif dalam membangunkan ekosistem bahasa Inggeris di kampus itu menerusi pelaksanaan program perdana Enrich My English Language atau EMEL.Timbalan Naib Canselornya (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Mahadzirah Mohamad berkata, pendekatan itu merupakan satu manifestasi kepada program flagship bahasa Inggeris yang disarankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi kepada semua universiti awam di negara ini dengan seramai 120 pelajar prasiswazah dari tujuh fakulti terpilih untuk menyertainya.Katanya, pelaksanaan EMEL mampu melahirkan golongan pelajar yang boleh menggunakan bahasa Inggeris dengan yakin dalam kedua-dua sektor akademik dan pekerjaan di samping dapat meningkatkan kemahiran berkomunikasi dalam masyarakat."Sokongan penuh daripada pengurusan universiti serta kerjasama Fakulti Bahasa dan Komunikasi (FBK) serta Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL) membolehkan empat modul dihasilkan bagi meningkatkan bahasa Inggeris pelajar di UniSZA."Modul ini adalah pengucapan awam, bahasa Inggeris di kampus, English for fun dan English in Action dengan kesemuanya dilengkapi dengan pelbagai aktiviti," katanya dalam kenyataan selepas merasmikan program tersebut di sini baru-baru ini.Program yang berlangsung selama 12 minggu, bermula dari 21 September hingga 14 Disember depan itu diadakan pada setiap petang Khamis selama tiga jam.Mahadzirah memberitahu, sepanjang tempoh tersebut peserta EMEL dilatih oleh 64 fasilitator yang sangat cekap dan terlatih terdiri daripada pelajar semester tiga dan lima jurusan Sarjana Muda Bahasa Inggeris dengan Komunikasi dari FBK UniSZA.Katanya, kesemua fasilitator itu telah menjalani program Training of Trainers (ToT) yang ketat dan komprehensif bagi memperincikan kandungan dan aktiviti yang perlu dilakukan dalam situasi sebenar bersama peserta Emel."Untuk melihat peningkatan peserta, penilaian juga diberikan pada akhir setiap sesi yang dijalankan kerana ia penting untuk pihak universiti melaksanakan program yang sama pada masa akan datang”."Harapan kita agar peserta program dapat memainkan peranan sebagai ejen perubahan untuk menguasai bahasa Inggeris dalam kalangan pelajar di UniSZA," katanya.
14 Nov 17
381
Empty Image
15,000 Pelajar KAFA Khatam Al-Quran Serentak
Ahmad Razif menyampaikan anugerah kecemerlangan kepada salah seorang pelajar. Foto Zukipli C W PutraSeramai 15,000 pelajar Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) membabitkan lapan daerah di Terengganu selesai khatam al-Quran secara serentak di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu, Gong Badak, Kuala Nerus, semalam.Berdasarkan jumlah itu, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus mencatatkan bilangan 4,958 pelajar, diikuti Setiu (2,179 pelajar), Kemaman (1,906 pelajar), Besut (1,746 pelajar), Hulu Terengganu (1,741 pelajar).Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman yang merasmikan majlis di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Terengganu sempat mengadakan sidang video bersama perasmi-perasmi majlis yang sama di daerah-daerah berkenaan antaranya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir. Rosli Othman dan ADUN Bukit Besi, Roslee Daud.Hadir sama, isteri Menteri Besar, To’ Puan Seri Halina Zakaria; Pengarah Pembangunan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Halim Ahmad, Pengarah YT, Dato’ Dr. Alias Abdullah dan Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Shafrudin Ali Hussin.Ahmad Razif berkata, pihaknya bangga dengan kesedaran yang ditunjukkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mengikuti pengajian di kelas KAFA. Ini dapat dilihat kepada penambahan pelajar KAFA setiap tahun.“Pada tahun ini, jumlah pelajar yang mengikut kelas KAFA telah meningkat kepada 74,856 orang yang mengikuti pengajian di 389 pusat pendidikan membabitkan  3,138  kelas,”katanya. 
11 Nov 17
155
Empty Image
GPMS Perlu Bantu Kerajaan Rancang Strategi Untuk Anak Muda
Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Terengganu boleh membantu kerajaan merancang pelbagai strategi serta memberikan idea untuk membantu meningkatkan pencapaian anak-anak muda Melayu.Menteri Besar, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata perkara itu amat penting bagi memastikan anak-anak muda Melayu tidak ketinggalan terutama ketika dengan zaman teknologi maklumat yang semakin canggihKatanya, budaya bergantung harap kepada kerajaan juga harus ditransformasikan kepada budaya kreatif dan berdikari yang tinggi untuk lebih berjaya.“Kerajaan sentiasa mempunyai komitmen yang tinggi untuk terus memperkasakan agenda orang Melayu dan GPMS sangat terkenal dengan kelas bimbingan yang menjadi satu kegiatan tradisi yang telah memberi manfaat dan berjasa kepada masyarakat.“Jadi, saya berharap agar GPMS terus memperkasakan kembali kelas bimbingannya supaya menjadi medan untuk memupuk kesedaran, malah dapat membantu keluarga berpendapatan rendah,” katanya.Beliau berkata demikian Konvensyen Gen-Y Terengganu Dan Mesyuarat Agung GPMS Negeri Terengganu di Hotel Tabung Haji, Kuala Nerus, hari ini.
10 Nov 17
34
Empty Image
Sekolah Seluruh Terengganu Bersedia Hadapi Banjir
Sekolah di seluruh Terengganu diminta bersiap sedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan banjir.Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sains, Teknologi dan Transformasi Kerajaan Negeri, A. Latiff Awang berkata, langkah-langkah awal perlu diambil bagi mengelak kerosakan harta benda dan peralatan sekolah."Kita sudah mengenal pasti sekolah berisiko dilanda banjir dan calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu bersedia dari semua aspek termasuklah berpindah ke pusat peperiksaan tumpangan."Pada masa yang sama calon SPM pula akan tinggal di asrama atau sekolah bagi memastikan tumpuan kepada peperiksaan tidak terjejas," katanya.A. Latiff berkata, semua sekolah diharap membuka sekretariat banjir dan bilik gerakan."Sekolah atau Pejabat Pendidikan Daerah ada info agensi yang akan membantu dan mereka perlu memaklumkan status cuaca dan perkembangan banjir dari semasa ke semasa," katanya.Menurutnya, ibu bapa dan calon pula diingatkan perlu sentiasa mendapatkan info terkini banjir dari media massa rasmi atau berita media massa arus perdana sahaja.
06 Nov 17
24
Empty Image
UniSZA Jalin Kerjasama Dengan YIT dan JHEAT
Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) hari ini mengukuhkan kerjasama dengan Yayasan Islam Terengganu (YIT) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu (JHEAT) dengan mengadakan Memorandum Persefahaman (MoU) bagi program perkongsian pintar UniSZA bersama masyarakat.Prof. Dr. Mahadzirah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UniSZA, Prof. Dr. Mahadzirah Mohamad berkata, sebelum ini Perpustakaan UniSZA telah melancarkan Projek Pengorganisasian Bahan dan Pengautomasian Pusat Sumber (PPS) dari bentuk tradisional kepada PPS berlandaskan teknologi maklumat dan komunikasi supaya dapat membantu mempertingkatkan proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah.Katanya, satu sistem dikenali sebagai Automasi Pengurusan Pusat Sumber (APPS) telah dibangunkan dengan menggunakan perisian Microsoft Access.“Ianya telah dijalankan di empat buah sekolah terpilih sebagai projek perintis pada 2012 dan diperluaskan ke tiga buah sekolah lagi pada 2014.“Sistem APPS ini juga telah dinaik taraf menggunakan aplikasi atas talian atau web based pada 2016,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) Di Antara UniSZA Dengan YIT Dan JHEAT Bagi Program Perkongsian Pintar UniSZA Bersama Masyarakat di Perpustakaan UniSZA, hari ini.Prof. Dr. Mahadzirah mewakili UniSZA manakala YIT dan JHEAT masing-masing diwakili oleh Pengarah YIT iaitu Dato’ Dr. Alias Abdullah dan Timbalan Pesuruhjaya JHEAT, Mohd Azam Awi.Menurut Mahadzirah, pihak perpustakaan UniSZA berhasrat memperluaskan program khidmat masyarakat itu kepada 11 institusi yang terdiri daripada masjid, sekolah dan yayasan pada tahun ini.“Menerusi MoU yang dimeterai, kita mensasarkan untuk memperluaskan sistem APPS versi android kepada institusi terbabit bagi membantu pelajar dan masyarakat mendapatkan bahan rujukan dari perpustakaan masing-masing hanya secara atas talian,” ujarnya.
06 Nov 17
256