Artikel "Pendidikan" Terkini
UMT Perkenal Program AI Bantu Pelajar Kuasai Teknologi
KUALA NERUS, 6 Mac- Dalam usaha beradaptasi dengan arus kemodenan dunia, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mengorak langkah memperkenalkan Program Kecerdasan Buatan (AI) dan Pendigitalan kepada seluruh warga institusi tersebut.
Menurut Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr Mohd Zamri Ibrahim, ia merupakan satu usaha dengan menyahut seruan kerajaan untuk memastikan setiap warga memiliki kemahiran dalam AI.
"Kami telah memperkenalkan subjek atau modul AI ini kepada semua pelajar dan ia menjadi kursus wajib sebelum mereka bergraduasi. Mereka perlu mahir mendalami ilmu berkaitan AI bahkan, ia bukan sahaja kepada pelajar sahaja, tetapi untuk staf juga.
"Untuk itu, kita akan melaksanakan subjek ini secara wajib bermula semester akan datang (Oktober). Buat masa ini, kita cuma buat secara elektif dahulu yang kita tawarkan secara 'micro credential', jadi bila-bila masa sahaja pelajar boleh mengikuti program tersebut secara dalam talian.
"Untuk staf pula, program ini sudah bermula melalui bahagian bakat staf yang kita perkasakan," katanya kepada pemberita.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Perutusan Naib Canselor 2025 yang membawa tema 'Memperteguh Kebersamaan ke Arah Universiti Marin Terkemuka' di Dewan Sultan Mizan, di sini hari ini.
Tambahnya, semua staf merentasi kumpulan akademik atau sokongan akademik, profesional dan sokongan perlu melengkapkan diri dengan kemahiran baharu yang diperkenalkan .
"Program latihan AI akan diperluaskan melalui modul-modul latihan yang lebih berstruktur dan berasaskan tahap.
"Pendekatan ini memberi peluang kepada lebih ramai staf untuk menyertai program latihan dalam meningkatkan kemahiran dengan mengaplikasi teknologi AI dalam urusan kerja sama ada pentadbiran atau pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan.
"Latihan ini bertujuan memberi pendedahan AI dalam bidang yang lebih spesifik, seperti pendidikan adaptif, pengurusan pintar dalam universiti, dan analisis ramalan untuk membantu perancangan strategik," katanya.
Dalam pada itu, UMT telah menyasarkan sebanyak lapan tumpuan dan 45 strategi yang perlu dilaksanakan seluruh warganya bagi tahun 2025 bertujuan mengangkat UMT sebagai Universiti Marin Berfokus.
Banyak perkara yang dirancang antaranya untuk menyokong kriteria Universiti Marin Berfokus seperti menawarkan program akademik yang baharu berkaitan industri marin.
"Contohnya ialah Sarjana Muda Pengurusan Perkapalan dan Pelabuhan, Sarjana Muda Logistik dan Pengurusan Rantaian Bekalan, dua program yang dicadangkan untuk ditawarkan bagi mengukuhkan institusi ini sebagai universiti marin," katanya.
06 Mar 25
195
Terengganu Salur RM5 Juta Setahun Biasiswa Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 27 Februari – Walaupun berdepan cabaran ekonomi, kerajaan Terengganu tidak sesekali berkompromi dalam soal pendidikan, sebanyak RM5 juta diperuntukkan setiap tahun bagi Skim Pelajar Cemerlang (SPC) di bawah Yayasan Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, biasiswa itu adalah antara manifesto utama kerajaan negeri sejak 2018 dan kekal diteruskan hingga kini.
"Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang.
"Ia mungkin tidak membuahkan hasil dalam bentuk wang ringgit, tetapi manfaatnya kepada masyarakat jauh lebih besar," katanya
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme 2024 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan; Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.
Menurut beliau, setiap tahun hanya 50 pelajar terbaik dipilih untuk menerima biasiswa ini, menunjukkan betapa tingginya persaingan untuk mendapatkan tajaan pendidikan ini.
"Selain biasiswa, kerajaan negeri turut menyediakan pinjaman pendidikan tanpa faedah sebanyak RM10 juta setahun bagi memastikan lebih ramai pelajar berpeluang menyambung pengajian.
"Kita melihat semakin ramai pelajar Terengganu cemerlang dalam SPM, STPM, STAM dan sebagainya. Ini bermakna lebih banyak peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya.
27 Feb 25
299
UC TATI Tawar Pengajian Kepada Anak Muda Indonesia Belajar Kemahiran
PEKANBARU, 27 Februari - Kolej Universiti TATI (UC TATI) menawarkan pengajian terbaik kepada anak muda di Pekanbaru, Indonesia untuk mendalami pendidikan Vokasional dan Teknikal (TVET) dan dijamin akan menjadi destinasi pengajian yang tepat.
Rektor UC TATI, Prof. Ir. Dr. Hairul Azhar Abdul Rashid berkata, fakultinya itu menawarkan pelbagai jurusan yang seiring dengan perkembangan dunia hari ini yang menuntut tenaga kerja berkemahiran tinggi dan akan menjadi faktor relevan untuk diterima bekerja dalam pelbagai industri.
Justeru beliau menyakinkan anak muda dari Pekanbaru untuk melanjutkan pengajian sama ada ke peringkat Diploma, Ijazah, Sarjana Muda dan Sarjana ke UC Tati dengan menawarkan diskaun sebanyak 30 peratus khusus untuk pelajar dari daerah Riau itu.
"Kami mempunyai jaringan industri yang luas dengan syarikat-syarikat terkemuka di Malaysia termasuk Petronas dan industri teknologi lain, menjadikan graduan UC TATI lebih mudah memperoleh pekerjaan.
"Hampir semua syarikat besar di Malaysia memilih graduan kami sebagai tenaga kerja mereka, jadi tidak perlu risau kalau hendak mencari kerja,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika menyertai Higher Education Fair 2025 Indonesia, di Hotel Zuri, di sini, semalam.
Katanya, UC TATI telah membuka booth khas di pameran tersebut yang diadakan bermula 22 Januari dan telah berakhir semalam.
Mengulas lebih lanjut mengenai tawaran pendidikan yang ditawarkan pihak TATI UC kepada pelajar dari Pekanbaru itu menutur Dr. Hairul pihaknya akan memudahkan syarat dokumen untuk proses pendaftaran agar menjadi tidak rumit.
"Malah kami turut menerima pindahan dari Universiti Indonesia bagi membolehkan mereka menyambung pengajian tanpa perlu mengulang dari awal, selagi program tersebut bersesuaian.
"Jika jurusan mereka sepadan boleh terus menyambung pengajian tanpa perlu banyak penyesuaian,"ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memeberi jaminan pelajar dari negara tersebut tidak akan mengalami kejutan budaya ketika belajar di Malaysia khususnya di Terengganu kerana dari sudut hubungan sejarah Indonesia dan Malaysia memilik pertalian yang erat.
"Justeru, perbezaan dari segi bahasa, budaya, makanan serta cara hidup tidak akan menjadi halangan bagi pelajar Indonesia untuk menyesuaikan diri,"katanya.
Terdahulu, UC TATI juga telah memperkukuh jalinan akademik melalui perjanjian Kerjasama UC TATI dengan SMKN2 Pekanbaru bertujuan membuka peluang pertukaran pelajar, tenaga pengajar serta pembangunan akademik akan lebih mampan antara kedua-dua institusi tersebut.
26 Feb 25
119
Terengganu Inc Sumbang RM500,000 Untuk Biasiswa Pelajar Cemerlang
KUALA TERENGGANU, 26 Februari - Syarikat pelaburan utama negeri, Terengganu Incorporated (TI) Sdn. Bhd. bersama-sama anak syarikatnya EPIC Berhad, TDM Berhad, Golden Pharos Berhad, Ladang Rakyat Terengganu Sdn. Bhd., dan Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd. menyumbang RM500,000 kepada Yayasan Terengganu bagi program biasiswa pelajar cemerlang.
Sumbangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan TI dalam memastikan anak-anak Terengganu mendapat peluang pendidikan terbaik.
Sehingga kini, TI telah menyalurkan RM1.5 juta kepada 30 pelajar cemerlang yang terpilih melalui program biasiswa ini.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, sumbangan itu merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan TI dalam memastikan anak-anak Terengganu mendapat peluang pendidikan terbaik.
"Sehingga kini, TI telah menyalurkan RM1.5 juta kepada 30 pelajar cemerlang yang terpilih melalui program biasiswa ini.
"Kami juga bertekad untuk meningkatkan jumlah sumbangan kepada RM1 juta bagi tahun 2025," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme 2024 di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri; Dato' Satiful Bahri Mamat, Setiausaha Kerajaan Negeri; Dato’ Nara Setia, Pegawai Kewangan Negeri; Dato' Mohd Azmi Mohamad Daham.
Selain biasiswa, beliau turut menjelaskan bahawa TI juga aktif menjalankan pelbagai program komuniti.
Baru-baru ini, syarikat tersebut menganjurkan program 'Back to School' di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, membuktikan komitmen mereka terhadap kesejahteraan pelajar di negeri ini.
Burhanuddin turut menegaskan bahawa pendidikan berkualiti akan melahirkan bakat yang akan kembali berkhidmat untuk negeri ini.
"Kami percaya pelaburan dalam pendidikan adalah pelaburan jangka panjang untuk negeri ini.
"Dengan jumlah yang lebih besar, lebih ramai pelajar akan menerima manfaat.
"Natijahnya, kita akan membawa pulang bakat yang hebat ke Terengganu," ujarnya.
26 Feb 25
470
Kolej Islam Darul Iman Institusi Pendidikan Pertama Dibina Secara Wakaf
DUNGUN, 22 Februari - Kolej Islam Darul Iman menjadi institusi pendidikan pertama di negeri Terengganu yang dibina berdasarkan konsep wakaf di atas tanah hasil sumbangan orang ramai.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, pihaknya sangat menyokong penubuhan institusi pengajian tinggi itu sekali gus menyuburkan pendidikan Islam di Terengganu.
Ujarnya, insititusi itu akan dibina di atas tanah anugerah kerajaan berkeluasan 70 ekar di Santong berhampiran balai bomba yang dijangka memulakan operasi pertamanya dalam masa dua tahun lagi.
"Setelah siap bangunan pentadbiran yang kosnya dijangka hampir 10 juta, akan terus dibuka kerana di situ akan ada dewan kuliah dan sebagainya di samping itu keluasan tanah ini akan digunakan untuk menampung pembinaan satu kompleks yang dilengkapi asrama, masjid dan kompleks sukan.
"Di bangunan pentadiran ini juga di samping adanya bilik-bilik kuliah juga akan ada dewan besar dan sebagaiya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Islam Darul Iman, di Jalan Santong, Paka, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata kolej itu dibina berdasarkan konsep wakaf kerana ia menjadi milik orang ramai bukan hak mana-mana individu mahupun kerajaan tetapi institusi milik masyarakat.
"Kita turut sama berbangga dan menyokong serta memberikan sumbangan bagi memastikan institusi milik umat kita sendiri ini berjaya dibina,"ujarnya.
Tambah beliau, pihak kerajaan negeri juga turut membantu bagi memastikan pengajian yang ditawarkan oleh pihak kolej itu membabitkan peringkat Diploma, Ijazah, Sarjana dan Doktor Falsafah (PHD) untuk Pengajian Islam maka ia telah didaftarkan di bawah pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan Majlis Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
22 Feb 25
500
Kantin Sekolah Tidak Wajar Beroperasi Sepanjang Ramadan
DUNGUN, 21 Februari - Tindakan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang mahu kantin beroperasi seperti biasa ketika di bulan Ramadan adalah tidak wajar sekiranya ia turut melibatkan sekolah yang majoriti pelajarnya adalah beragama Islam.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, adalah lebih baik kantin di sekolah kebangsaan tidak dibuka sebagai menghormati bulan yang penuh kemuliaan itu.
"Sebagai satu galakan atau dorongan supaya pelajar berpuasa, kalau mereka tidak berpuasa dia akan makan secara sembunyi bagi menghormati pelajar lain.
"Sebagai contoh pelajar darjah satu maka ibu bapa yang perlu menyediakan 'bekal' di samping memberikan pendidikan tentang puasa dalam bentuk memberi nasihat.
"Kita tidak perlu untuk paksa pelajar darjah satu ini berpuasa tetapi perlu diberi pendidikan agar kemuliaan bulan Ramadan itu dapat dihayati, tetapi saya lihat kebanyakan anak-anak masa kini bepuasa walaupun masih berada di bangku sekolah rendah,"ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas merasmikan Majlis Solat Hajat dan Pecah Tanah Pembinaan Kolej Islam Darul Iman, berhampiran Balai Bomba Jalan Santong,Paka, di sini, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, Satiful berkata pihak pengusaha kantin sendiri pun tidak ada keperluan untuk meneruskan operasi mereka di bulan Ramadan.
"Sebenarnya tidak menguntungkan sangat pengusaha kantin, sebab pelajar ramai yang berpuasa maka sedikit sangat yang pergi makan di kantin.
"Jadi tidak padan untuk dia menyediakan makanan, adalah lebih baik mereka cuti dan boleh melakukan pekerjaan lain seperi menjual di pasar Ramadan yang lebih mendatangkan keuntungan,"jelas beliau.
21 Feb 25
171
10 'Bapa Culas' Dipenjara di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Sejak tahun 2012 sehingga tahun 2024 , seramai 10 'bapa culas' dipenjarakan akibat gagal melunaskan pembayaran nafkah anak-anak sebagaimana diperintahkan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.
Ketua Hakim Syarie Terengganu, YAA Dato' Wan Mohd Zakri Wan Mohd berkata, hukuman tersebut dilaksanakan jabatan sebagaimana diperuntukkan dalam Enakmen Tatacara Mal Mahkamah Syariah (Terengganu) 2001.
"Orang yang hendak (diperintahkan) dihantar ke penjara ini ramai, tetapi apabila kita ingin hantar ke penjara tiba-tiba dia boleh bayar, jadi sepuluh orang tadi ialah yang betul-betul tidak mahu bayar dan masuk ke penjara.
"Kita ikut apa yang ada dalam peruntukan undang-undang, diantaranya dipenjarakan dan sudah ada yang dipenjarakan kerana gagal membayar nafkah itu. Dalam masa sama juga, bagi yang bekerja kerajaan kita buat bentuk potong gaji, itu peruntukan yang ada.
"Dalam menentukan berapa jumlah patut bayar ini, mahkamah telah mengambil kira dari segi keperluan anak dan kemampuan bapa jadi keputusan yang dibuat mahkamah ialah satu keputusan yang bapa mampu bayar. Cuma, masalah sekarang ialah berlaku keculasan membayar apabila telah mendapat perintah," katanya.
Beliau berkata demikikan kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Literasi Undang-undang dan Program Penyampaian Bantuan Nafkah Bahagian Sokongan Keluarga (BSK) siri 1 bagi tahun 2025 di Jabatan Kehakiman Syariah, di sini hari ini.
Menurut beliau, ada juga perintah yang telah mendapat persetujuan bersama walaupun begitu tetap berlaku keculasan, jadi bentuk pelaksanaan perintah yang ada daripada mahkamah syariah, sama ada bagi sebulan tidak bayar nafkah boleh dipenjarakan sehingga sebulan dan dibuat potongan gaji di bawah Tahanan Tenaga Pendapatan.
"Biasanya, hakim tidak beri sehingga sebulan cuma kita perintahkan, sebab apabila ingin dipenjarakan mereka terus bayar," tambahnya.
Wan Mohd Zakri memaklumkan, dalam pemerkasaan syariah bukan sahaja perkara terlibat jenayah tetapi juga isu pematuhan perintah mahkamah yang menjadikan kesalahan suami atau isteri tentang pematuhan arahan mahkamah merupakan satu perkara yang serius dan tidak boleh dipandang mudah.
Dalam program berkenaan, seramai 21 ibu tunggal menerima bantuan nafkah dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM46,000 yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIDAM, Prof Madya Dr Ahmad Azrin Adnan, mewakli agensi yang menjadi penyumbang utama usaha berkenaan.
Dalam pada itu, Dr. Muhammad Khalil menyokong usaha dilakukan BSK dalam membantu ibu-ibu tunggal semasa tempoh prosiding mahkamah.
"Sekurang-kurangnya ia boleh mengurangkan beban mereka. Kita di bawah kerajaan negeri memiliki banyak agensi dan jabatan yang mengambil bahagian dalam memberi kebajikan kepada rakyat khususnya fakir miskin.
"Kalau di peringkat persekutuan ada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kita ada Tabung Darul Iman. Ini salah satu (usaha) yang kita gabung jalinkan semua. Program ini adalah program tahunan yang mana kalau ikut tahun ini jumlahnya lebih ramai, cuma penerima hari ini dalam kategori fakir miskin seramai 21 orang," katanya.
"Selain itu, antara mekanisma yang kita ambil di pihak kerajaan negeri bermula tahun ini ialah kita mengadakan karnival indahnya hidup bersyariat.
"Karnival ini melibatkan bayak agensi dan jabatan dengan salah satunya kita memberi pengisian dalam topik dan tajuk tertentu untuk beri kesedaran kepada masyarakat termasuk isu-isu yang bekait dengan pengurusan keluarga, talak cerai, nafkah anak dan seumpamanya," katanya.
17 Feb 25
924
Jabatan Amal Hulu Terengganu Ringankan Beban 20 Anak Yatim dan Anak Miskin
HULU TERENGGANU, 10 Februari – Jabatan Amal Hulu Terengganu telah menghulurkan bantuan kebajikan sosial kepada 20 orang anak yatim dan anak miskin dari daerah ini dalam usaha meringankan beban mereka menjelang sesi persekolahan baharu.
Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Hulu Terengganu (DPPHT), Ustaz Hamdi Harun, berkata inisiatif itu adalah sebahagian daripada komitmen berterusan untuk membantu golongan yang memerlukan.
Menurutnya, program tersebut melibatkan pembelian pakaian sekolah di Pasaraya Sakan, di mana anak-anak yang terlibat diberi peluang memilih kelengkapan persekolahan mereka dengan bantuan sukarelawan Jabatan Amal.
“Kami berharap bantuan ini dapat memberi kegembiraan kepada anak-anak ini dan membantu mereka memulakan sesi persekolahan dengan lebih bersemangat.
“Kami akan terus berusaha menggerakkan program kebajikan seperti ini bagi membantu golongan yang memerlukan. Keprihatinan masyarakat amat penting dalam memastikan mereka tidak terpinggir,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa program kebajikan sebegini akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan golongan yang kurang berkemampuan mendapat perhatian sewajarnya.
Ibu bapa dan penjaga penerima bantuan turut melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan yang ditunjukkan oleh Jabatan Amal Hulu Terengganu.
09 Feb 25
395
550 Murid Bakal Masuk Darjah Satu Terima Beg Sekolah
BESUT, 8 Februari- Seramai 550 anak-anak yang akan melangkah masuk ke darjah satu menerima sumbangan beg sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata inisiatif tersebut bukan sahaja membantu keluarga yang memerlukan, tetapi juga menjadi simbol
kebersamaan dan kasih sayang dalam komuniti.
Ujarnya, Pendidikan merupakan asas kepada masa depan yang lebih cemerlang, dan menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan setiap anak-anak ini mendapat permulaan yang baik di awal alam persekolahan.
"Ini adalah salah satu usaha bagi membantu mereka membuat persiapan awal sebelum melangkah ke alam persekolahan yang lebih mencabar," katanya semasa ditemui di program tersebut, baru-baru ini
Dalam pada itu, beliau turut berharap agar sumbangan kecil ini dapat memberikan kegembiraan serta menyuntik semangat kepada murid-murid
untuk belajar dengan lebih tekun.
"Saya mendoakan agar anak-anak kita berjaya
dalam pelajaran dan menjadi insan yang
berguna kepada agama, bangsa, dan negara," tambahnya.
Untuk rekod, sumbagan tersebut diberikan kepada semua anak-anak di DUN Hulu Besut yang akan melangkah masuk ke darjah satu tanpa mengambil kira dari kategori asnaf mahupun senang.
08 Feb 25
78
Anak IC Lain, Bolehkah Dapat Bantuan Terengganu?
IPOH, 12 Januari - Kebanyakan dilema ibu bapa kelahiran Terengganu di perantauan adalah berkait dengan bantuan pendidikan anak-anak mereka.
Antara isunya ialah kesukaran memperoleh bantuan pendidikan disebabkan anak-anak mereka lahir di luar Terengganu, namun tidak mendapat kelebihan negeri tempat lahir berikutan ibu bapa berasal dari Terengganu.
Dalam hal ini, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, kerajaan negeri memberi kelonggaran untuk memberikan bantuan pendidikan yang diperlukan.
"Kerajaan negeri menerusi Yayasan Terengganu (YT) dan beberapa agensi lain ada menawarkan pelbagai kemudahan untuk pendidikan dalam bentuk pinjaman dan biasiswa berdasarkan beberapa kelayakan.
"Walaupun lahir di negeri lain, anak-anak ini layak memperolehi bantuan ini sekiranya ibu atau bapanya berasal dari Terengganu dan mengundi di sana.
"Jadi, nasihat saya sekiranya ibu dan bapa berasal dari Terengganu, maka pasti salah seorang atau kedua-duanya mengundi di Terengganu untuk mengekalkan kelayakan asas ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika memberi jawapan dalam sesi dialog di Program Temu Mata Anak-anak Terengganu di Perantauan di sini, hari ini.
Hadir sama dalam program tersebut ialah Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional merangkap ADUN Ladang, Zuraida Md Noor dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa.
Untuk makluman, selain bantuan pendidikan Terengganu turut menawarkan bantuan pembiayaan kepada usahawan kelahiran Terengganu yang mengusahakan perniagaan di tempat lain.
Malah, ketika bencana banjir menimpa Lembah Klang beberapa tahun lalu, kerajaan Terengganu turut memberi bantuan pelbagai bentuk kepada anak-anak negeri yang terkena musibah dalam usaha meringankan beban mereka.
12 Jan 25
2660