lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Empty Image
Jaga Adat, Jaga Akhlak Islam
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah (tengah) bersama Pegawai JHEAT, Azmi Tengah (kiri) dan penganjur pameran, Prof Dr Abd Manan Embong (bersongkok) bercakap kepada wakil media di Galeri Pameran Artifek Rasulullah dan Sahabat, Pusat Dagangan Terengganu (TTC).KUALA TERENGGANU - Pameran artifak Rasulullah SAW, para Sahabat R.A dan sejarah Islam yang sedang berlangsung selama satu bulan di Terengganu setakat ini tidak menimbulkan sebarang masalah.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, ini kerana, katanya timbul gambaran tertentu yang negatif diviralkan melalui 'facebook' oleh individu tertentu.“Saya bersama dengan Pegawai Pejabat Agama (Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu) turun pada petang ini untuk melihat suasana di pameran ini. “Apabila kita melihat adanya gambaran-gambaran (negatif) dalam 'facebook' yang diviralkan, kami (kerajaan) bimbang takut berlaku sesuatu perkara yang tidak sewajarnya di pameran ini. “Apabila kami datang, kami rasa tidak ada masalah setakat ini,” ujarnya selepas lawatan ke galeri Pameran Artifak Rasulullah dan Para Sahabat di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, semalam (9 Oktober).Prof Dr Abd Manan (bersongkok) menerangkan tentang Kelambu Makam Rasulullah kepada Exco Ustaz Mohd Nor Hamzah dan Ustaz Azmi Tengah.Sehubungan itu, Ustaz Mohd Nor turut mengingatkan pihak penganjur pameran tersebut agar tidak wujud unsur-unsur yang boleh dipertikaikan oleh masyarakat.“Hanya kami peringat kepada pihak penganjur agar tidak wujud unsur-unsur yang boleh dipertikaikan oleh masyarakat. Sebab ini, hanya pameran dalam bentuk sejarah (Rasulullah) sahaja. “Dalam erti kata lain untuk memperkenalkan sesuatu barang dalam bentuk sejarah. Dia bukan dalam bentuk akidah, bukan dalam bentuk kepercayaan (taksub). “Bahkan, saya menyeru kepada pengunjung-pengunjung yang hadir supaya didik anak-anak mereka melihat berasaskan sejarah, cerita dan bukan berasaskan akidah,” jelasnya. Exco Ustaz Mohd Nor Hamzah (kanan) bersama Ustaz Azmi Tengah melihat pameran bekas celak Rasulullah SAWBeliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung turut mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati serta tidak menjadikan ianya isu besar dalam masyarakat.“Kemungkinan insiden-insiden yang diviralkan itu di luar jangkaan dan kawalan. Program (pameran) ini untuk memperkenalkan kepada masyarakat tentang sejarah Islam. “Saya harap perkara ini tidak dijadikan isu yang besar dalam masyarakat. Saya harap, pengunjung-pengunjung yang datang dapat jaga adat, jaga akhlak. Jangan timbulkan sesuatu yang kontroversi dalam masyarakat. “Perkara (pameran artifak) ini tidak sepatutnya dijadikan satu isu yang besar. Ini kerana, isu yang lebih besar sedang berlaku dalam negara kita hari ini termasuk gejala sosial, tempat kasino (judi) dan tempat-tempat maksiat,” tegasnya.Ketika ditanya tentang komen 'netizen' yang meragui ketulenan artifak-artifak dan motif penganjuran pameran itu, beliau menyarankan agar pihak terbabit datang sendiri melihat dan berbincang dengan penganjurnya.“Saya harap ianya tidak menjadi isu yang besar dalam masyarakat kita. Pandangan yang berbeza-beza itu tidak menjadikan kita berbalah dan hangat dalam masyarakat kita.“Kita datang atas nama Pejabat Agama (JHEAT) dan penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan. Pameran ini bukan kali pertama dianjurkan dan banyak tempat (negeri) telah dianjur seperti Johor, Kedah, Putrajaya, Kelantan dan negeri-negeri lain termasuk luar negara. “Saya mohon agar yang datang itu dia boleh mari, tengok suasana yang ada ini atau boleh mari bincang dengan (Prof) Dr Manan sendiri tentang apa tujuan dia bawa pameran macam ini. Baru kita dapat tahu tujuan dia,” jelasnya.
10 Oct 18
855
Empty Image
Markaz Lughah Pertama Di Terengganu
Ustaz Satiful Bahri Mamat (dua dari kanan hadapan) menandatangani memorandum persefahaman bersama Syeikh Markaz Lughah (Pusat Bahasa Arab) Rabitah, Syeikh Muhammad Abu Fadhil al-Quasy, semalam di Mesir.Oleh: Muhd LukmanMESIR - Sebuah Markaz Lughah iaitu Pusat Bahasa Arab pertama bakal dibuka di Negeri Terengganu bermula Jun 2019.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat mewakili kerajaan negeri telah  menandatangani memorandum persefahaman bersama Syeikh Markaz Lughah (Pusat Bahasa Arab) Rabitah, Syeikh Muhammad Abu Fadhil al-Quasy, semalam (9 Oktober) di Mesir.Katanya, dengan termeterainya memorandum ini, ia akan memberi banyak manfaat  kepada mahasiswa dan mahasisiwi di Negeri Terengganu seterusnya melahirkan modal insan yang cemerlang bukan sahaja menerusi bidang akademik bahkan juga dalam bidang agama."Insya-Allah, kita yakin dan percaya perjanjian ini akan memberikan banyak manfaat  kepada golongan mahasiswa di negeri ini seterusnya membantu mereka untuk lebih cemerlang pada masa akan datang."Persefahaman ini juga menggambarkan bahawa kerajaan Negeri Terengganu serius dalam menjadikan negeri ini sebagai hab pendidikan bukan saja di rantau ini malah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita hari ini (10 Oktober), mengulas tentang lawatan kerjanya ke Mesir.Menurutnya, dengan wujudnya pusat ini, ianya sekaligus akan memartabatkan bahasa al-Quran iaitu bahasa Arab.Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turut menyatakan bahawa kerajaan negeri bertuah kerana dapat bekerjasama dengan universiti ini kerana ia mempunyai sistem kurikulum yang baik dan para pensyarah yang berkemahiran dalam melatih para pelajar."Yang paling penting, Sijil Markaz Lughah ini diiktiraf di serata dunia dan menjimatkan masa para pelajar yang bakal meyambung pengajian di Universiti Al-Azhar kerana tidak perlu mengambil bidang bahasa Arab di sana, sebaliknya terus masuk ke kuliah," ujarnya lagi.
09 Oct 18
525
Empty Image
Pameran Jelajah Nusantara, Pamer 32 Artifak Rasullah
Sebahagian pelajar sekolah meninjau salah satu daripada 32 jenis artifak Rasulullah SAW dan Sahabat r.a. yang dikatakan asli.KUALA TERENGGANU - Pameran Jelajah Nusantara 2018 yang kini diadakan di bumi ‘Darul Iman’ Terengganu, mempamerkan hampir 32 jenis artifak Rasulullah SAW dan Sahabat r.a. yang dikatakan asli.Justeru, rakyat negeri ini berpeluang melihat secara lebih dekat barangan milik Rasulullah SAW yang dipamerkan di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu bermula 23 September hingga 23 Oktober ini.Penasihat penganjuran, Profesor Dr Abd Manan Embong berkata, pameran itu dilaksanakan hasil kerjasama kerajaan negeri dengan Syarikat Dragon Heart Sdn Bhd dan Galeri Warisan M.A.R yang julung kali diadakan di Terengganu.Menurutnya, pelbagai jenis artifak asli baginda Nabi SAW dibawa ke negara ini untuk dipamerkan kepada masyarakat Islam di Malaysia.“Antara barangan yang dipamerkan kepada umum seperti rambut Rasulullah SAW, darah bekam, capal, tapak kaki, serban dan tongkat baginda. Manakala barangan para Sahabat r.a. pula lebih kepada senjata seperti pedang.“Barangan ini dibawa khas dengan cara meminjam dari beberapa negara iaitu Jordan, Mekah, Madinah, India dan Syria dengan kos yang diinsuranskan sebanyak RM270 juta,” ujarnya, 9 Oktober.Beliau turut menjelaskan, pameran seumpama itu pernah dilakukan di negeri lain seperti Melaka, Putrajaya, Kelantan, Kedah, Johor Bahru, Selangor (Shah Alam), Thailand, Brunei dan Singapura.Dr Abd Manan berkata, pameran itu ialah aktiviti jelajah ke seluruh Asia yang dilaksanakan bagi tujuan mendekatkan umat Islam melalui khazanah peninggalan Rasulullah SAW dan para Sahabat r.a. walaupun tidak pernah bertentang mata.“Saya yakin, pameran ini bukan sahaja dikunjungi rakyat Terengganu tetapi dari seluruh negara dan dunia kerana berdasarkan pameran sebelum ini, terdapat juga orang luar kawasan dan luar negara datang melihat barangan yang dipamerkan,” ujarnya.Manakala, Pengurus Pameran, Razali Bachik berkata, dalam tempoh 15 hari pertama, penganjuran itu berjaya mencapai ‘target’ Petunjuk Prestasi Utama (KPI). “Hari ini kita buat di Terengganu. Alhamdulillah, hari ini hari ke-15 pameran dan ‘target’ pengunjung kita mencapai KPI kita iaitu sudah lebih 30,000 orang pengunjungnya. “Biasanya, kehadiran akan bertambah pada hujung minggu dan insya-Allah, sehingga berakhir 22 Oktober ini, kita target pengunjung dari seluruh negara boleh mencecah seramai 100,000 orang,” jelasnya. Menjawab pertanyaan adakah artifak itu benar-benar asli, katanya semua khazanah Islam itu tulen serta mempunyai sijil keasliannya daripada pemilik asal.“Kita ada kerjasama dengan NGO (Badan Bukan Kerajaan) di Arab Saudi. Perjanjian itu kita dapat cadangan daripada kerajaan Brunei untuk kami laksanakan projek Jelajah Nusantara ini. “Ini supaya masyarakat di Asia dapat melihatnya, di mana artifak yang kami bawa ini semuanya adalah benar-benar asli. Barangan ini juga dipinjam daripada keluarga susur-galur keturunan Rasulullah SAW sendiri. Semua barangan ini diinsuranskan berjumlah RM270 juta,” jelasnya.  Justeru, katanya ramai juga ulamak-ulamak besar dunia datang melihatnya seperti dari Indonesia, Thailand, Turki, London, Yaman, Pakistan dan sebagainya termasuk ulamak di Malaysia ini.“Seruan saya kepada orang Terengganu yang telah hadir supaya war-warkan kepada mereka yang belum hadir. Mereka yang belum datang melihat untuk mendapat info tentang pameran artifak ini, datanglah beramai-ramai dan jangan lepaskan peluang keemasan ini,” ujarnya.Bayaran masuk ke galeri pameran itu RM10 bagi orang dewasa dan RM5 dikenakan kepada kanak-kanak dan pelajar sekolah.Pameran Jelajah Nusantara 2018 itu akan dirasmikan oleh Yang Dipertua (Speaker) Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Haji Yahaya Ali pada 11 Oktober ini.Penaja utama pameran itu, Dragon Heart Sdn Bhd dengan kerjasama Kerajaan Negeri Terengganu, Tourism Malaysia dan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu.
09 Oct 18
635
Empty Image
Persediaan Rapi Syarat Kejayaan
Oleh: Ahmad Syahid AdnanKEMAMAN  - Persiapan rapi menjadi syarat utama jika pelajar mahu mencapai kejayaan kerana ianya pasti dapat mempengaruhi emosi dan tindakan yang lebih tepat serta betul, demikian kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kemasik, Ir Saiful Azmi.Katanya, sangat penting jika pelajar dengan melakukan ulang kaji bagi mempersiapkan diri dari segi psikologi mental dan fizikal sebelum menduduki peperiksaan."Persiapan menggunakan mekanisme pembelajaran yang sesuai boleh membantu pelajar lebih bersedia dan tidak terganggu menjelang atau ketika menghadapi peperiksaan dan dengan izin Allah, persediaan yang rapi akan memudahkan kita mendapat keputusan yang terbaik."Kalau semua dah bersedia, insya-Allah kita boleh jawab dengan tenang," ujar Ir Saiful Azmi.Beliau berkata demikian  kepada 171 orang pelajar yang bakal menghadapi peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) di samping memberikan nasihat serta kata-kata semangat di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Badrul Alam Shah (BAS), di sini, 3 Oktober.Turut hadir Pengetua SMK BAS, Md Nazeri Hassan serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Haji Zakaria Mohammad.Tambahnya lagi, pun begitu walaupun persediaan tidak mencukupi, mereka tidak perlu merasa susah hati tetapi mesti meneruskan perjuangan mereka dalam PT3."Kalau kita tak cukup (persediaan) lagi, jangan gelabah, jawablah dengan sehabis baik mungkin kerana kalau kita 'gabra', dia jadi susah nak ingat maka buatlah persediaan yang rapi sebagaimana panduan yang telah ditetapkan guru."Jangan (biasakan diri) tidur lewat malam kerana itu adalah antara perkara (yang menjadikan) kita susah nak jawab adalah kesihatan kita dan kepada semua saya doakan semua boleh menjawab sebaik mungkin dan semoga kita diberikan ketenangan oleh-Nya,"katanya.
03 Oct 18
745
Empty Image
19,237 Pelajar Terengganu Duduki PT3
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.KUALA TERENGGANU - Seramai 19,237 calon menduduki peperiksaan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) membabitkan 145 pusat peperiksaan di seluruh Terengganu, bermula pagi ini hingga Khamis.Peperiksaan bermula sejurus selepas 8:00 pagi dengan mata pelajaran Bahasa Melayu dan Matematik diikuti Bahasa Inggeris dan Sains esok.Pada hari Rabu menyaksikan calon akan menduduki Kertas Kemahiran Hidup dan Pendidikan Islam manakala hari terakhir peperiksaan pada Khamis kertas peperiksaan bahasa akan berjalan.PT3 dimulakan pada 2014 bagi menggantikan Penilaian Menengah Rendah (PMR).Sesetengah pelajar dilihat tidak melepaskan peluang untuk terus mengulang kaji sebelum memasuki dewan peperiksaan.Ibu bapa dan guru juga ada yang dilihat memberi kata-kata perangsang kepada pelajar mereka yang menduduki peperiksaan.Sementara itu, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengucapkan selamat menduduki peperiksaan PT3 kepada para calon. Hadapilah peperiksaan dengan hati yang tenang, selain perlu yakin dengan kebolehan masing-masing.Katanya, jangan lupa berdoa kepada Allah, semoga dipermudahkan segalanya. Ini bukan kali pertama anak-anak menghadapi peperiksaan, pasti dapat melakukan yang terbaik.“Proses pembelajaran memerlukan kita membuat penilaian kepada pemahaman dan usaha kita selama ini. Apa yang penting ialah mempunyai keyakinan kepada diri sendiri.“Semangat yang kuat serta tidak mudah putus asa dengan setiap rintangan dan kesudahan. Terus berdoa kepada Allah S.W.T agar diberi ketenagan ketika menjawab PT3,” katanya.
30 Sep 18
44
Empty Image
Pendidikan Fokus Utama Kerajaan
Haji Muhyidin (dua dari kiri) menyampaikan sijil penghargaan dan saguhati kepada pelajar MDQ. Foto: Solahuddin Al-IdrusOleh: Aslam WiraMARANG - Pendidikan merupakan salah satu fokus atau agenda utama dalam pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu.Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ianya merupakan asas perjuangan yang telah dibawa oleh Rasulullah yang telah mengeluarkan masyarakat Arab daripada lembah jahiliyah kembali kepada fitrah sebenar iaitu Islam.Menurutnya, beliau sedia maklum dari sudut pembangunan fasiliti, Maahad Darul Quran (MDQ) telah melakukan proses meningkatkan kemudahan infrastruktur dalam pembinaan dewan serbaguna tiga tingkat."Semua ini memerlukan dokongan dan sokongan dari semua pihak terutamanya ibu bapa bagi menjayakan segala agenda penambahbaikan buat MDQ," ujarnya.Beliau berkata demikian dalam teks yang dibacakan oleh Setiausaha Politik Menteri Besar, Haji Muhyidin Abdul Rasyid ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-23 Majlis Ibu Bapa dan Guru (MIBG) MDQ di Dewan Besar MDQ, Rusila (29 September).Sementara itu, Haji Muhyidin yang juga merupakan Setiausaha Badan Perhubungan Parti Islam Se-Malaysia (PAS) Negeri Terengganu berkata, sejajar dengan perjuangan parti bermula dari awal penubuhan sehingga kini, pendidikan telah menjadi fokus utama.Katanya, proses pendidikan akan berjaya dengan adanya kerjasama di antara ibu bapa dan guru-guru.“Saya percaya atas sebab itulah majlis ibu bapa dan guru bertahan sehingga ke hari ini kerana memperjuangkan pendidikan."Pendidikan adalah suatu proses mengekang sifat jahiliah dalam masyarakat sekaligus membentuk manusia menjadi insan beriman serta bertakwa," tambahnya.Mesyuarat yang diadakan setiap tahun itu bermula jam 9:00 pagi.Antara yang terlibat adalah Ahli Lembaga Pengarah MDQ, Ahli Jawatankuasa MIBG MDQ, ibu bapa, guru-guru dan kakitangan MDQ.Turut hadir ke Mesyuarat Agung MIBG tersebut ialah Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Wahad Osman.
29 Sep 18
63
Empty Image
Solat Bukan Ketika Peperiksaan Semata-mata
Ustaz Mohd Nor Hamzah mengimamkan solat jemaah dan mendoakan kejayaan calon-calon PT3 dan SPM 2018.Oleh: Syaharulhafizi ShamsudinKUALA TERENGGANU - Amalan solat sunat hajat yang sebati dengan fatrah peperiksaan tidak harus diamalkan oleh para pelajar dalam tempoh ini semata-mata.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, apa yang paling penting adalah solat fardu (yang wajib ditunaikan) dan solat sunat menjadi amalan dan kebiasaan.“Tiada makna solat sunat hajat didirikan tetapi solat fardu tidak dijaga,” ujarnya.Menurut beliau, solat hajat bukan hanya dilakukan oleh pelajar yang akan menduduki peperiksaan sahaja, namun ibu bapa perlu menunaikannya bersama."Ibu bapa mesti mengambil peranan menjadi pendorong kejayaan anak-anak mereka selain pihak sekolah.“Doa yang mudah dimakbulkan oleh Allah adalah doa daripada ibu bapa dan janganlah kecewa jika ditakdirkan oleh Allah (bahawa anak kita) tidak berjaya dalam peperiksaan," katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap di hadapan ibu bapa dan calon PT3 dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam Majlis Solat Hajat Perdana sempena Peperiksaan PT3 dan SPM 2018 di Surau SMK Sultan Mansor, Pekan Kedai Buluh (27 September).Ustaz Mohd Nor Hamzah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung memuji usaha pihak sekolah dan guru dalam mengadakan majlis ini.Tambahnya, program keagamaan seumpama ini menunjukan sikap ambil cakna dalam menjamin kejayaan anak didik mereka.Majlis ini dihadiri oleh lebih kurang 400 orang yang terdiri dari ibu bapa dan pelajar.
28 Sep 18
56
Empty Image
Bumi Binasa Kerana Tangan Manusia - Satiful Bahri
Ustaz Satiful Bahri Mamat (dua dari kanan) menyerahkan hadiah kepada juara pertandingan kuiz. Foto: Syaiful MustafaOleh: Muhd LukmanKUALA TERENGGANU - Alam sekitar dan bumi akan hancur serta binasa disebabkan oleh tangan manusia itu sendiri.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, tindakan manusia membinasakan bumi ini umpama menghancurkan diri sendiri.Menurutnya, masyarakat hari ini lebih mementingkan kemewahan dan keperluan yang dihajatkan sehingga mengorbankan alam ini."Kadang-kadang bila manusia mementingkan  kemewahan dunia, mendahulukan keperluan yang dihajati, mereka merosakkan sebahagian bumi ini," ujarnya.Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penutup Pertandingan Kuiz Alam Sekitar di Pusat Sains dan Kreativiti, Chendering (26 September).Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turut mengingatkan bahawa Islam mengajak umatnya menghargai alam sekitar."Dalam Islam, satu pokok yang hendak ditebang pun mesti disebabkan keizinan syarak."Masyarakat perlu dididik untuk menghargai alam sekitar kerana ianya milik Allah, bukan milik kita," tegasnya lagi.Beliau turut merakamkan ucapan tahniah serta menyampaikan hadiah kepada para pelajar yang memenangi pertandingan tersebut.Johan Kuiz Pertandingan Alam Sekitar pada kali ini telah disandang oleh pelajar-pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Mahmud manakala naib johan dimenangi oleh SMK Tengku Lela Segara.Turut hadir, Ketua Pegawai Operasi Pusat Sains dan Kreativiti,Afnida Aini Alwi, guru-guru serta pelajar-pelajar yang menyertai pertandingan ini.
26 Sep 18
153
Empty Image
Terengganu Sedia Dana Persekolahan RM12 Juta
Exco, Ustaz Satiful Bahri Mamat bercakap dalam satu sidang media selepas Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Terengganu, hari ini.KUALA TERENGGANU – Kerajaan Terengganu memperuntukkan sejumlah RM12 juta bagi bantuan awal persekolahan sesi 2019, khususnya kepada golongan keluarga berpendapatan rendah.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, seluruh rakyat Terengganu yang isi pendapatan keluarganya kurang RM2,500 sebulan layak memohon bantuan awal persekolahan.Katanya, kerajaan negeri memperuntukkan bantuan dana persekolahan ini dan dibuka secara 'online' bermula 1 hingga 21 Oktober 2018, dalam tempoh masa tiga minggu.“Berdasarkan maklum balas yang lalu, kita menjangkakan seramai 116,000 pelajar bakal memperolehi manfaat itu. Kerajaan negeri bersetuju untuk memberi kelengkapan persiapan persekolahan. “Pelajar lelaki akan diberi baju, seluar, stokin, kasut dan beg sekolah. Pelajar perempuan pula akan diberikan kain, baju, stokin, kasut, beg dan tudung sekolah.“Kita akan bahagikan baucer dan boleh ditebus di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing. Kita (kerajaan) memperuntukkan sebanyak RM12 juta untuk membantu pelajar miskin dari keluarga berpendapatan rendah,” ujarnya dalam satu sidang media selepas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Wisma Darul Iman, (26 September).Menurutnya, berlaku pertambahan penerima dana bantuan itu bagi tahun 2019 berbanding tahun sebelum ini.“Tahun lepas, kita (kerajaan) membelanjakan sebanyak RM10.9 juta dan tahun ini dianggarkan RM12 juta. “Pemberian dana dalam bentuk barangan itu supaya ianya menepati sasaran secara langsung untuk keperluan persekolahan, berbanding dengan pemberian wang tunai,” jelasnya.Sehubungan itu, kata Ustaz Saiful Bahri, pemohon di kalangan ibu bapa boleh melayari laman sesawang i-dana.terengganu.gov.my bagi tujuan tersebut.
26 Sep 18
55
Empty Image
Pendidikan Aset Penting
Haji Wan Hapandi menulis sesuatu dalam kunjungan beliau bertemu calon UPSR SK Pusat Dungun.Oleh: Mohd AsrafDUNGUN - Pendidikan merupakan aset yang penting dalam pelaksanaan pembangunan negara agar ia sentiasa ke hadapan seiring dengan misi mencapai negara maju dan berstatus kelas pertama.Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Haji Wan Hapandi Wan Nik berkata, kepentingan pendidikan tidak boleh diabaikan kerana ia merupakan langkah langkah awal untuk Malaysia berjaya menuju negara maju dan kelas pertama.“Pendidikan sangat penting dan ia harus bermula dari peringkat kecil lagi demi memastikan status negara maju dan kelas pertama bejaya dicapai.“Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) merupakan satu langkah permulaan bagi anak anak untuk terus lebih berusaha sehingga berjaya menuju menara gading (universiti),” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap di Sekolah Kebangsaan Pusat Dungun semasa membuat lawatan sempena hari pertama peperiksaan UPSR yang berlangsung, semalam (24 September).Sementara itu, menurutnya, masyarakat perlu sentiasa amalkan falsafah ‘DUIT’ dalam kehidupan.“Sepanjang hidup kita ini, kita perlu amalkan prinsip ‘DUIT’.“D adalah doa, U iaitu usaha, I merupakan ikhtiar dan terakhir T merujuk kepada tawakal dalam setiap perbuatan kita,” pesan beliau.Haji Wan Hapandi Wan Nik yang juga merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura turut melawat beberapa buah sekolah lagi selepas itu.
24 Sep 18
304