lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Kerajaan Salur RM3.58 Juta Untuk Pelajar Cemerlang Terengganu
Kerajaan Salur RM3.58 Juta Untuk Pelajar Cemerlang Terengganu
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu menyalurkan sebanyak RM3,581,400 kepada 268 pelajar cemerlang di negeri ini sebagai persediaan melanjutkan pelajaran ke universiti dalam dan luar negara pada tahun 2024. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat berkata, agihan biasiswa menerusi Skim Pelajar Cemerlang (SPC) itu melibatkan 239 pelajar dalam negara dan 29 pelajar luar negara. “Tajaan ini merangkumi pelbagai bidang dengan penekanan utama dalam Perubatan, Pergigian, Kejuruteraan, Teknologi Maklumat, Sains Kesihatan, Pengajian Islam & Perbankan Islam,” ujarnya. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata demikian bagi menjawab soalan lisan ADUN Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin dalam Mesyuarat Pertama Penggal Persidangan Ketiga, Dewan Undangan Negeri Kelima Belas, di Wisma Darul Iman, di sini, semalam. Sementara itu, beliau memaklumkan, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) melalui Yayasan Pendidikan MAIDAM telah memperuntukkan bantuan kewangan bagi agihan kepada 21 pelajar cemerlang untuk melanjutkan pengajian bermula pada peringkat Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Sarjana (Master) dan Doktor Falsafah (PhD) pada tahun 2024. Katanya, pelaksanaan agihan tersebut adalah di bawah Bantuan Program Pengajian Islam (Ijazah Sarjana Muda) yang melibatkan 13 pelajar dan Program Memperkasakan Ulama' (Master dan PhD) melibatkan lapan pelajar. “Bantuan Program Pengajian Islam merupakan bantuan biasiswa penuh yang ditawarkan kepada pelajar cemerlang lepasan Sijil Pelajaran Malaysia dan Sijil Tinggi Agama Malaysia untuk menyambung pengajian pada peringkat Ijazah Sarjana Muda yang melibatkan keseluruhan penajaan berjumlah RM231,807.60. “Manakala Bantuan Program Memperkasakan Ulama' merupakan tajaan biasiswa penuh kepada pelajar lepasan Ijazah Sarjana Muda untuk menyambung pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master) manakala tajaan peringkat Doktor Falsafah (PhD) pula adalah tajaan kepada pelajar lepasan Ijazah Sarjana (Master) melibatkan jumlah keseluruhan RM136,832.21,” ujarnya.  
17 Apr 25
284
SRIDI Miliki Premis Sendiri Tak Lama Lagi
SRIDI Miliki Premis Sendiri Tak Lama Lagi
KUALA TERENGGANU, 17 April – Kerajaan Negeri Terengganu komited untuk memastikan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) dapat beroperasi di bangunan sendiri, dalam usaha memperkukuh sistem pendidikan Islam negeri ini. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, kebanyakan bangunan yang digunakan untuk pengoperasian SRIDI ketika ini merupakan premis sewaan oleh Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT), dan bukan milik kerajaan negeri. “Justeru, JPINT akan memberi penumpuan terhadap pengoperasian SRIDI baharu di bangunan milik Kerajaan Negeri Terengganu,” katanya. Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahimi Zulkifli dalam Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelima Belas di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut, Satiful memaklumkan bahawa JPINT telah merancang untuk menambah satu lagi SRIDI di kawasan Dewan Undangan Negeri Batu Buruk, tertakluk kepada kelulusan serta peruntukan daripada Kerajaan Negeri Terengganu. Sementara itu, bagi cadangan penubuhan SRIDI di kawasan DUN Rantau Abang, lokasi di Mukim Kuala Dungun kini sedang menunggu kelulusan Pelan Akui (PA) daripada Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM). “Setelah Pelan Akui diperoleh, proses pewartaan tanah yang dicadangkan akan dilaksanakan oleh Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Terengganu,” katanya lagi. Langkah ini dilihat sebagai sebahagian daripada usaha berterusan Kerajaan Negeri Terengganu untuk menyediakan prasarana pendidikan Islam yang lebih kukuh dan lestari di seluruh negeri.
17 Apr 25
1076
Rebut Peluang Pendidikan untuk Anak Asnaf
Rebut Peluang Pendidikan untuk Anak Asnaf
KUALA TERENGGANU,26 Mac - Pendidikan adalah kunci keluar dari kepompong kemiskinan dan inilah matlamat utama ‘Program Tunas Scholar’ yang diperkenalkan oleh Kumpulan Medic Iman Sdn Bhd (KMIKT). Program yang menyediakan tajaan penuh dalam bidang kejururawatan kepada anak-anak asnaf ini bukan sekadar membuka peluang akademik, tetapi juga menjanjikan masa depan yang lebih cerah dengan jaminan kerjaya. Pengurus Besar KMIKT, Salina Long, berkata program dilaksanakan memberi peluang kepada anak-anak asnaf untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kejururawatan serta menjamin mereka pekerjaan di rangkaian hospital KMI Healthcare. "Kami bukan sekadar menyalurkan zakat dalam bentuk bantuan kewangan, tetapi juga memastikan asnaf mendapat pendidikan dan masa depan yang lebih cerah.  "Sejak dilancarkan, program ini telah menaja seramai 20 pelajar dengan kos pembelajaran sekitar RM65,000 seorang," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perkongsian Dalam Keberkatan, di KMIKT, di sini semalam. Turut bersama, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, TDM Berhad; Najman Kamaruddin. Beliau menegaskan bahawa program itu bukan hanya satu sumbangan, tetapi merupakan pelaburan jangka panjang dalam membina generasi yang lebih berdikari dan berdaya saing.  "Kami berharap lebih ramai dapat menyertai dan menerima manfaat program ini.  "Ini adalah komitmen kami dalam memastikan masyarakat setempat terus dibantu dan dibangunkan," tambahnya. Sementara itu, KMIKT dan TDM Berhad sebelum ini turut menyantuni 150 asnaf menerusi program agihan zakat di Hospital KMI Kuala Terengganu. 
26 Mar 25
132
287 Pelajar Daerah Kemaman dan Dungun Terima Bantuan RM500
287 Pelajar Daerah Kemaman dan Dungun Terima Bantuan RM500
KUALA TERENGGANU, 26 Mac - Seramai 287 pelajar tingkatan enam dari daerah Kemaman dan Dungun menerima bantuan pendidikan sebanyak RM500 setiap orang daripada Yayasan Terengganu dalam sebuah majlis yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun. Seramai 189 pelajar dari lima buah sekolah menengah di daerah Kemaman serta 98 pelajar dari lima buah sekolah menengah di daerah Dungun telah menerima bantuan tersebut, semalam.  Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada peruntukan RM688,000 yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu bagi membantu seramai 1,376 pelajar STPM di seluruh negeri. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan negeri akan terus komited dalam menyediakan insentif pendidikan kepada pelajar cemerlang.  "Selain bantuan pendidikan, kerajaan negeri juga telah memperuntukkan RM5 juta setahun sejak tahun 2018 bagi menyediakan biasiswa kepada pelajar yang layak.  "Peruntukan ini telah meningkat setiap tahun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM20 juta sehingga kini. "Kita juga memberi keutamaan bukan sahaja kepada kecemerlangan akademik tetapi juga kepada latar belakang pelajar. Pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan, terutamanya dalam kategori B40, akan diberikan perhatian khas dalam pemilihan penerima bantuan ini," ujar beliau. Beliau turut mengumumkan bahawa kerajaan negeri bersama syarikat berkaitan kerajaan (GLC) telah meningkatkan peruntukan biasiswa daripada RM500,000 kepada RM1 juta, menjadikan jumlah keseluruhan RM6 juta setahun. "Kerajaan negeri turut menyediakan RM10 juta untuk pinjaman pendidikan tanpa faedah bagi membantu pelajar yang tidak mendapat pinjaman daripada sumber lain. "Ini kerana, kadang-kadang jika tidak lulus permohonan PTPTN, maka pelajar boleh membuat permohonan pinjaman dengan kerajaan negeri. "Jadi kita berharap pelajar-pelajar kita akan terus berusaha untuk ke peringkat pengajian yang lebih tinggi. Dalam pada itu, pelajar yang telah menerima bantuan ini turut berkongsi rasa syukur dan kegembiraan mereka. Nur Alia Syuhadah Ghazali, 18, dari Sekolah Menengah Tengku Intan Zaharah berkata dia sangat bersyukur kerana wang ini dapat digunakan untuk menyimpan bagi kegunaan ketika memasuki universiti nanti.  Menurut Syuhadah, bantuan ini amat membantunya kerana banyak wang telah digunakan untuk persiapan SPM sebelum ini. Leong Weng Hei, 181, dari Sekolah Menengah Sultan Ismail turut menyatakan kegembiraannya menerima bantuan ini.  "Bantuan ini sangat membantu saya untuk membeli keperluan ketika melanjutkan pelajaran ke universiti. Saya bercita-cita untuk menyambung pengajian dalam bidang Kejuruteraan Kimia di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)," ucapnya. Sementara itu, Nur Maisarah Amran dari SMK Sultan Omar berhasrat melanjutkan pengajian dalam bidang TESL di Universiti Sains Malaysia (USM).  "Saya sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan oleh kerajaan negeri. Ia dapat membantu saya menampung kos pengajian kelak," katanya. Bantuan ini jelas mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan pelajar di Terengganu sentiasa mendapat sokongan kewangan yang mencukupi untuk meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi.  
26 Mar 25
138
Guru PASTI Terima Sumbangan Ringankan Beban
Guru PASTI Terima Sumbangan Ringankan Beban
KEMAMAN, 21 Mac – Seramai 86 orang guru Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih menerima sumbangan istimewa daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam, sebagai tanda penghargaan atas jasa dan dedikasi mereka dalam mendidik generasi muda. Majlis penyampaian sumbangan yang berlangsung pada 18 Mac di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih bukan sekadar acara simbolik, tetapi juga menjadi medan pertemuan yang mengeratkan ukhuwah antara pemimpin dan pendidik. Mohd Hafiz menegaskan bahawa sumbangan tersebut adalah bukti penghormatan terhadap usaha gigih guru-guru PASTI yang berkhidmat di 13 pusat pendidikan dalam kawasan tersebut. “Sumbangan ini adalah tanda penghargaan kepada guru-guru yang telah berusaha keras dalam mendidik anak-anak di DUN Air Putih. “Majlis ini juga menjadi platform bagi mereka untuk berkumpul, bertukar pandangan, serta memperkukuh hubungan dalam memperkasakan pendidikan PASTI,” katanya. Guru-guru yang hadir dilihat begitu teruja dan bersemangat menerima sumbangan tersebut. Mereka berharap agar inisiatif sebegini dapat diteruskan bagi membakar semangat dalam menjalankan tugas mendidik dengan lebih cemerlang. Mohd Hafiz turut menzahirkan harapan agar para pendidik terus bersemangat dan komited dalam menyampaikan ilmu, sekali gus menyumbang kepada pembangunan modal insan yang berkualiti di DUN Air Putih. Majlis tersebut mencerminkan sokongan berterusan terhadap sektor pendidikan dan membuktikan keprihatinan pemimpin setempat dalam menghargai jasa pendidik yang berperanan penting dalam membentuk masa depan generasi akan datang.
21 Mar 25
154
Terengganu Hantar Pelajar Sambung Pengajian Ke Afrika Selatan
Terengganu Hantar Pelajar Sambung Pengajian Ke Afrika Selatan
KUALA NERUS, 20 Mac - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu akan menghantar seramai tiga orang anak Terengganu ke International Peace College South Africa (IPSA) di Cape Town, bagi menyambung pengajian di peringkat Ijazah. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Saind, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, Mohd Hafiz Mohd Fauzi, Mohd Rahul Abdul Aziz serta Akil Tajuddin Adnan merupakan pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM). "Mereka telah dipilih untuk mengikuti program Ijazah dalam Pengajian Islam dan Bahasa Arab di IPSA selama tiga tahun. "Merupakan 'batch' pertama dan perintis kepada pelajar-pelajar lain seterusnya," ujarnya dalam satu kenyataan, di sini, semalam selepas menghadiri Majlis Berbuka Puasa Bersama Permata Kebangsaan, di Raia Hotel, di sini, semalam. Mengulas lebih lanjut, Penolong Pegawai Tadbir Yayasan Terengganu, Ahmad Haffizhi Alilah berkata beliau akan mengiringi ketiga-tiga pelajar itu terbang ke Afirka Selatan pada 4 April nanti. "Ini akan mencatat sejarah bagi negeri Terengganu sebab ini merupakan kali pertama ke Cape Town akan menjadi perintis kepada pelajar pengajian Islam, ia bertepatan dengan visi dan misi, Dato' Satiful Bahri untuk menghantar lebih ramai anak Terengganu mendapat pendidikan di universiti yang diiktiraf antara 100 yang terbaik di dunia," ujarnya. Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan (Bahagian Penajaan) Yayasan Terengganu, Md Lizan Md Nong berkata, kesemua mereka mendapat jumlah pinjaman bolehubah RM124,130. Katanya, ia merangkumi yuran pengajian, elaun sara hidup, penginapan, alat tulis dan tiket pergi dan balik. "Insya-Allah selepas ini kita akan ada pelajar pertama dalam bidang perubatan pula di sana dan kita juga sedang berusaha untuk merintis kerjasama dengan University Of Cape Town (UCT) yang juga diiktiraf antara 100 universiti terbaik di dunia,"katanya.  
20 Mar 25
1059
Mencari Kesempurnaan Ibadah
Mencari Kesempurnaan Ibadah
KUALA TERENGGANU, 26 Mac – Masyarakat perlu mementingkan memahami aspek fiqh puasa bagi memastikan ibadah yang dilaksanakan diterima dengan sempurna.  Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata mengajak umat Islam untuk memperdalam ilmu berkaitan ibadah ini agar tidak terjerumus dalam kesilapan yang boleh menjejaskan amalan. "Puasa bukan hanya menahan lapar dan dahaga, tetapi juga menuntut kita menjaga akhlak, percakapan, dan perbuatan." "Jika kita memahami rukun dan syaratnya dengan betul, insyaAllah ibadah kita akan lebih bermakna serta diterima oleh Allah," katanya Beliau berkata demikian ketika menyampaikan tazkirah Zohor dalam Program Itqan Insani sempena Pembudayaan Indahnya Bersyariat yang berlangsung di Wisma Darul Iman. Selain itu, beliau turut mengingatkan tentang ancaman bagi mereka yang sengaja meninggalkan puasa tanpa uzur syarie. "Ramadan adalah bulan yang penuh keberkatan. Jika kita mengambilnya dengan ringan, kita mungkin termasuk dalam golongan yang lalai. Oleh itu, marilah kita sama-sama memperbaiki ibadah kita agar lebih sempurna," tambahnya lagi. Program yang dihadiri oleh kakitangan kerajaan dan orang awam ini bertujuan untuk memperkukuh kefahaman masyarakat dalam melaksanakan ibadah puasa dengan lebih baik. "Semoga tazkirah ini dapat meningkatkan kefahaman kita mengenai ibadah puasa dan mendorong kita untuk melaksanakannya dengan lebih baik," katanya sebagai penutup.
15 Mar 25
19
Terengganu, HRD Corp Jalin Kerjasama Strategik
Terengganu, HRD Corp Jalin Kerjasama Strategik
KUALA TERENGGANU, 12 Mac - Kerajaan Terengganu menjalin satu kerjasama strategik dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp) sekali gus bakal manfaat kepada rakyat negeri ini dalam memiliki kemahiran mencukupi dalam kerjaya. Menteri Besar, Dato' Seri Ir. Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas kesudian HRD menjalinkan kerjasama strategik dengan kerajaan negeri. "Pendekatan kolaboratif yang diambil oleh HRD Corp ini dilihat sebagai satu inisiatif yang sangat positif dalam menyokong Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030) untuk memastikan pembangunan modal insan dan ekonomi di negeri ini dapat dipertingkatkan dengan lebih berkesan. "Untuk pengetahuan umum, syarikat ini juga bernaung di bawa kelolaan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA)," ujarnya dalam satu kenyataan, semalam. Dalam pada itu, beliau menyatakan keyakinan bahawa visi HRD Corp untuk memastikan setiap rakyat Malaysia memiliki kemahiran yang mencukupi dan berupaya untuk bekerja akan turut memberi manfaat kepada rakyat Negeri Terengganu. "Ini sekali gus dapat membuka peluang bagi mereka untuk menempatkan diri dalam bidang kerjaya dan merealisasikan impian mereka,"ujar beliau.  
12 Mar 25
579
TATI UC Raih Status 'Reporter' dalam Ranking Universiti Dunia
TATI UC Raih Status 'Reporter' dalam Ranking Universiti Dunia
KUALA TERENGGANU, 8 Mac - Institusi pengajian tinggi milik kerajaan negeri, Kolej Universiti TATI (TATI UC) mencatat kejayaan membanggakan apabila berjaya meraih status 'Reporter' dalam ranking Universiti Dunia 2025 oleh Times Higher Education (THE). Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, mengucapkan tahniah kepada seluruh warga TATI UC atas pencapaian tersebut. Beliau menekankan bahawa kejayaan itu adalah hasil usaha gigih semua pihak institusi berkenaan dalam memastikan ia terus berkembang dan berdaya saing di peringkat antarabangsa. "Tahniah diucapkan kepada Kolej Universiti TATI atas pencapaian yang cemerlang dalam mencapai status 'Reporter' dalam ranking Universiti Dunia 2025 Times Higher Education (THE). “Pencapaian ini merupakan bukti kesungguhan dan dedikasi pasukan Kolej Universiti TATI dalam meningkatkan kualiti pendidikan serta penyelidikan. “Melalui usaha gigih semua pihak, terutama para akademik dan pengurusan, kejayaan ini sudah pasti akan mengukuhkan lagi kedudukan sebagai institusi pendidikan yang berwibawa serta mampu bersaing di peringkat global. Beliau berkata demikian menerusi satu hantaran Facebook rasminya, sebentar tadi. Dr. Ahmad Samsuri turut menyatakan harapan beliau agar kejayaan ini menjadi pemangkin kepada penghasilan graduan yang berdaya saing serta mampu memberikan sumbangan signifikan kepada pembangunan negeri dan negara. Pengiktirafan ini menjadi bukti kesungguhan dan dedikasi institusi itu dalam meningkatkan kualiti pendidikan serta penyelidikan. “Melalui status ini, semoga Kolej Universiti TATI terus memperluas jaringan antarabangsa, mengukuhkan kerjasama dengan institusi pendidikan global, serta memacu penyelidikan yang lebih inovatif,” ujar beliau dalam hantaran tersebut. Pencapaian ini menandakan langkah positif bagi TATIUC dalam mengorak langkah ke arah menjadi sebuah institusi pendidikan yang lebih dikenali di peringkat antarabangsa. Dengan sokongan berterusan daripada pelbagai pihak, diharapkan TATIUC akan terus mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan. Sebagai makluman, status 'Reporter' diberikan kepada institusi yang mengambil bahagian dalam penilaian THE tetapi tidak memenuhi kriteria untuk disenaraikan dalam ranking utama. Walaupun begitu, status ini menunjukkan keterlibatan TATIUC dalam penilaian global serta komitmen terhadap peningkatan kualiti akademik dan penyelidikan.
08 Mar 25
249
UMT Baik Pulih Kapal Tinggalan 'Monsun Cup'
UMT Baik Pulih Kapal Tinggalan 'Monsun Cup'
KUALA NERUS, 10 Mac - Universiti Malaysia Terengganu (UMT) telah mendapatkan enam kapal layar 'tinggalan' Monsun Cup daripada kerajaan negeri untuk digunakan sebagai kapal latihan bagi aktiviti kokurikulum pelajar dan komuniti setempat.  Naib Canselor UMT, Profesor Ir Ts Dr. Mohd Zamri Ibrahim berkata, ia sebagai salah satu usaha memperkasakan kemudahan untuk pengajaran dan latihan selaras usaha UMT sebagai peneraju sukan air diperingkat institusi pengajian tinggi (IPT). Tambahnya, UMT merupakan satu-satunya universiti dalam negara yang menawarkan program dan kursus berkredit berteraskan aktiviti pelayaran. "Sejak 2019, para pelajar UMT telah dihantar mewakili negara di dalam kejohanan kapal layar diperingkat kebangsaan dan antarabangsa. "Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana telah menawarkan kapal layar melalui Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu (LTAWNT) kepada UMT dengan harga yang agak mampu dibeli, lebih kurang dalam RM5,000 sebuah. Dengan pemilikan ini, pihak UMT berhasrat menghidupkan semula muara Sungai Terengganu dengan kemeriahan aktiviti pelayaran. "Namun, sudah tentu kos untuk membaik pulih kapal itu agak tinggi dan mencecah ratusan ribu. UMT juga berterima kasih kepada pihak kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana kita telah mendapat peruntukan untuk kita gunakan bagi usaha baik pulih dan menugas semula enam unit kapal layar yang telah dibeli. Keadaan semasa kapal layar sedang dalam proses pembaikan. "Kita akan segerakan pembaikan supaya boleh digunakan pelajar. Selain daripada aktiviti kokurikulum, kita juga akan gunakan kapal layar ini untuk program Pembangunan belia dan akan menganjurkan regatta di peringkat nasional dan antarabangsa. Pada tahun lepas, kita menganjurkan kejohanan kapal layar di peringkat UMT dan mungkin pada masa akan datang, kita merancang untuk menjadi hos kejohanan sebegini diperingkat IPT," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perutusan Naib Canselor 2025 di Dewan Sultan Mizan, baru-baru ini. Menurutnya, UMT turut menjalankan aktiviti pemindahan ilmu  pelayaran kepada komuniti setempat terutamanya pelajar sekolah,pelajar OKU dan ahli Persatuan Pengakap Malaysia yang bertempat di UMT-Community Sailing Clubhouse di Duyong Marina Resort, Pulau Duyong. "Pada tahun lepas, kita telah menghantar enam orang pelajar bagi mewakili Malaysia di kejohanan FISU World University Championship (bagi kategori pelayaran) di Densenzano del Garda, Itali. "Jadi, untuk itu UMT berazam mempertingkatkan keupayaan menjadi peneraju bidang marin termasuk aktiviti sukan dan penyelidikan termasuk menaik taraf Pusat Selaman UMT di Pulau Bidong. "Ini kerana kami ingin melahirkan penyelam terlatih daripada kalangan pelajar dan juga warga UMT. Pihak unversiti juga serius memastikan setiap perancangan yang dibuat tahun ini dapat dilaksanakan berdasarkan peruntukan yang diluluskan oleh KPT," katanya.  
06 Mar 25
612