Artikel "Pendidikan" Terkini
SM Imtiaz Kemaman Terengganu Dinobat Juara Petronas All About Youth 2019
KUALA TERENGGANU, 7 Ogos - Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu (SMIYT) Kemaman yang menambat hati juri menerusi projek inovasi 'CO2NCER' iaitu sistem pengesan awal dan amaran kebakaran hutan dinobatkan sebagai juara Pertandingan Sentuhan Harapan - All About Youth (AAY) 2019.Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim berkata, SMIYT berjaya menewaskan lima buah sekolah lain yang merupakan wakil bagi negeri Sabah, Sarawak, Terengganu, Melaka dan Johor dengan projek CO2NCER yang berfungsi membekalkan maklumat berkenaan suhu, kadar kepekatan asap, kelajuan angin dan koordinat lokasi secara tepat kepada pasukan bomba dan penyelamat melalui sistem pesanan ringkas (SMS).Katanya, kebijaksanaan dan kreativiti yang ditonjolkan 20 pelajar yang mewakili kumpulan 'Victornity' dalam tempoh 11 minggu pertandingan itu membolehkan sekolah berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai bernilai RM20,000 pada majlis pengumuman pemenang Pertandingan Sentuhan Harapan (AAY) 2019 di Melaka International Trade Centre (MITC) Ayer Keroh, Melaka, malam semalam.“Pada pertandingan tersebut, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tebobon, Sabah menduduki tempat kedua yang menerima hadiah wang tunai RM10,000 diikuti SMK Tun Habab, Johor di tempat ketiga dengan membawa pulang wang tunai RM5,000.Sekolah SMK St. Francis, Melaka dan SMK Asyakirin, Sarawak pula masing-masing mendapat tempat keempat dan kelima yang membawa pulang hadiah sagu hati,” ujarnya kepada pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui di Pejabat Yayasan Terengganu, hari ini.Ishamudin berkata, kejayaan projek CO2NCER yang dipimpin Nur Farah Ismahani Mohd Faizal dan Muhammad Hilmi Mohd Nazi itu juga hasil sokongan sukarelawan Petronas atau ‘buddies’, guru-guru serta pihak sekolah yang banyak membantu pelajar bagi membina dan melaksanakan projek kemasyarakatan yang bermatlamat mengurangkan pelepasan karbon kepada alam sekitar itu.Katanya, AAY yang dianjurkan Petronas sejak 2014 telah disertai lebih 200 buah sekolah dan melibatkan sehingga 4,600 orang pelajar serta 200 projek kemasyarakatan yang berimpak besar telah dihasilkan, antaranya aplikasi telefon pintar nota sejarah, tandas mesra alam dan sistem amaran pengesan banjir. “Menerusi AAY, pelajar menjalankan ujikaji, merekacipta dan bekerjasama mencari penyelesaian sekaligus mempamerkan keupayaan pelajar mengguna pakai sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) untuk solusi jaminan masa depan yang lebih baik,” ujarnya.
06 Aug 19
716
Pesta Buku Big Bad Wolf 'Terkam' Terengganu
Oleh: Adli MohamadKUALA TERENGGANU, 6 Ogos - Karnival buku bertaraf antarabangsa 'Big Bad Wolf' (BBW) yang menjadi buruan para peminat buku buat julung kalinya bakal berlangsung di Mydin Mall Gong Badak, Kuala Nerus bermula 8 hingga 19 Ogos ini.BBW telah lama mendapat tempat di hati ‘ulat buku’ seluruh Malaysia sejak ia mula dianjurkan sepuluh tahun yang lalu merupakan acara yang amat dinanti-nantikan oleh pengemar bahan bacaan pantai timur.Karnival tersebut menawarkan buku-buku pelbagai genre serta terbitan syarikat antarabangsa dan tempatan dengan harga menarik serta diskaun bermula 75 peratus sehingga 95 peratus.BBW yang beroperasi seawal jam 10 pagi sehingga 12 tengah malam akan memberi kepuasan selain memberi keselesaan kepada para pengunjung untuk meneroka segala jenis buku yang terpamer di sana.Penggemar buku seluruh negeri Terengganu pastinya tidak sabar lagi untuk memburu bahan bacaan sekali gus menjadikan BBW sebagai himpunan terbesar pencinta buku. Semoga rakyat negeri Terengganu tidak lepaskan peluang untuk berkunjung ke karnival jualan buku yang sering menggegarkan dunia buku negara itu.
06 Aug 19
342
Kerdil Bukan Halangan Berjaya Peroleh Diploma
Ahmad Syahir Osman berjaya menerima segulung diploma.Oleh: Amiirullah MansorDUNGUN, 6 Ogos - Seorang Orang Kelainan Upaya (OKU) dari Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) di sini berjaya menerima segulung diploma hasil usaha gigih dan tabah menyahut cabaran menuntut ilmu di pusat pengajian berkenaan.Ahmad Syahir Osman, 22, berkata, kejayaan yang dicipta hari ini (kelmarin) adalah anugerah Ilahi dan berkat doa serta usahanya yang terhad dalam melakukan sesuatu tidak seperti pelajar normal.Selain itu, katanya. kesukaran beliau dalam melakukan sesuatu kerja terutama dalam menyiapkan kerja dalam makmal (lab) bukan menjadi penghalang baginya menjayakan sesuatu tugasan. "Saya meminta bantuan rakan bila saya memerlukan pertolongan untuk melaksanakan kerja tertentu," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Konvokesyen Kali Ke-16 di Dewan Dagang PSMZA kelmarin. Ahmad Syahir berkata, beliau telah kehilangan bapanya pada Februari tahun lalu namun tabah menghadapi ujian kehilangan orang tersayang itu bahkan ia mendorongnya semakin gigih berusaha sehingga menimba kejayaan memperolehi segulung diploma tersebut. "Hidup kita mesti diteruskan walaupun kita menghadapi musibah kehilangan insan yang tersayang," jelasnya.Dalam pada itu, kakaknya Siti Sarah Osman, 27, yang viral dalam artikel perkahwinan unik pada 4 Februari lalu turut menzahirkan rasa gembira atas kejayaan adiknya itu di dalam status aplikasi WhatsApp miliknya.Syahir berjaya menerima Diploma Kejuruteraan Elektrik daripada Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Dr Mohammad Naim Yaakub dalam majlis tersebut kelmarin.Seramai 1,162 graduan menerima sijil masing-masing dan majlis itu berlangsung selama dua hari bermula kelmarin.
05 Aug 19
394
'Tulisan Jawi Mesti Diperkasa' - Khairuddin
Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.KUALA NERUS, 6 Ogos - "Orang Melayu mesti tegas memperkasakan tulisan Jawi kerana ia sebahagian hak bahasa Melayu sebagaimana diperuntukkan oleh Akta Bahasa Kebangsaan 1963/1967," demikian kata Ahli Parlimen Kuala Nerus Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.Katanya, orang Melayu mesti tegas dan jangan berundur dari prinsip bahawa 'Unified Examination Certificate' atau Sijil Peperiksaan Bersepadu mesti ditentang daripada diiktiraf."Orang Melayu mesti tegas mempertahankan hak istimewa mereka sebagaimana diperuntukkan oleh perlembagaan."Kita mesti tegas bahawa tulisan Cina tidak boleh dibenarkan dalam penggunaan rasmi termasuk papan tanda. Hanya bahasa Melayu bahasa rasmi."Orang Melayu mesti tegas menyatakan bahawa Islam sahaja agama berdaulat dalam negara ini yang berhak diberikan peruntukan oleh kerajaan. Adapun agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai," tegas beliau dalam satu kenyataan media di status Facebooknya semalam.Seksyen 9 di bawah sub tajuk Tulisan Bagi Bahasa Kebangsaan ada menyatakan bahawa tulisan bagi bahasa kebangsaan ialah tulisan Rumi dengan syarat bahawa ia tidak melarang penggunaan tulisan Melayu, yang lebih dikenali dengan nama tulisan Jawi, bagi bahasa kebangsaan.Dalam pada itu, dilaporkan bahawa sebanyak 12 pertubuhan pendidikan Cina dan Tamil menolak keputusan Kementerian Pendidikan memperkenalkan tulisan khat dalam mata pelajaran Bahasa Melayu untuk pembelajaran murid Tahun 4 Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan SJK Tamil (SJKT).Dr Mohd Khairuddin berkata, lihatlah betapa yakin dan konsisten kumpulan pendesak Cina dan Tamil memperjuangkan apa yang dirasakan hak mereka iaitu menolak tulisan Jawi.Justeru katanya, orang Melayu mesti tegas bahawa mana-mana warganegara yang gagal bertutur dalam bahasa Melayu tidak layak menjadi warganegara. "Malah ahli Parlimen yang pelat dan gagap bahasa Melayu perlu diarahkan berkursus sehingga lidahnya sepetah lidahnya bertutur bahasa Inggeris yang juga bukan bahasa ibundanya," tegasnya lagi.Katanya, orang Melayu mesti tegas menyatakan hanya orang Melayu Islam wajar menjadi Perdana Menteri, bukannya bangsa lain."Sangat malang apabila Melayu pula layu dalam memperjuangkan kehendak mereka."Adapun pengkhianat Melayu, tunggulah Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) sebagai hukuman," ujarnya.
05 Aug 19
335
SRIDQ Rhu Rendang Terengganu Buka 2020
Oleh: Aslam WiraMARANG, 5 Ogos - Sekolah Rendah Islam Darul Quran (SRIDQ) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang selangkah ke arah direalisasikan selepas pendaftaran pelajar bagi sesi 2020 telah dibuka bermula kelmarin.Mudir SRIDQ, Najmuddin Rani berkata, SRIDQ merupakan salah satu daripada rangkaian sekolah-sekolah agama milik Dewan Ulama PAS Terengganu sebagaimana Madrasah Darul Iman di Kedai Buluh.“Alhamdulillah, hari ini seramai 20 orang pelajar telah mendaftar di Pejabat Pentadbiran SRIDQ."Unit pendaftaran akan terus dibuka sehingga memenuhi kuota pelajar yang diperlukan iaitu sebanyak 60 orang," katanya ketika ditemubual oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), sewaktu hadir meninjau urusan pendaftaran oleh ibu bapa di pejabat berkenaan.Menurutnya, SRIDQ adalah sekolah yang menekankan pendidikan agama dan al-quran tanpa mengabaikan bidang akademik.Sesuai dengan motto, 'Membina Generasi Bertaqwa', tiga sistem pembelajaran utama telah ditawarkan iaitu Pra-Tahfiz, Akademik dan Dinniyah (subjek agama).Sekolah tersebut juga bakal menyediakan aktiviti-aktiviti kokurikulum, badan sukan, kelab, riadah dan lain-lain.Tambah Najmuddin, buat masa ini pendaftaran hanya dibuka kepada pelajar tahun satu sahaja, sebanyak dua atau tiga kelas. "Namun, bagi tahun seterusnya, perkembangan institusi tersebut akan dibincangkan dari masa ke masa beserta cadangan melaksanakan perkhidmatan pengangkutan pelajar," katanya.SRIDQ akan beroperasi di bangunan sementara yang terletak bersebelahan Masjid Rhu Muda, sementara menunggu bangunan rasmi siap dibina di Bukit Kor.
05 Aug 19
162
Teknologi 5G Beri Impak Interaksi Sosial Masyarakat
Oleh: Amiirullah MansorDUNGUN, 4 Ogos - Perkembangan Teknologi Generasi Kelima (5G) khususnya di negeri Terengganu bakal memberikan pelbagai implikasi terhadap interaksi sosial dalam kalangan masyarakat Terengganu.Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, ujian 5G yang akan dilaksanak di negeri Terengganu wajar diberi perhatian.“Pada masa ini, rangkaian 4G sahaja sudah mempengaruhi dunia masyarakat terutama anak-anak muda melalui kecanggihan peranti mudah alih sehingga kadang-kadang mengabaikan perkara – perkara semasa, apatah lagi dengan rangkaian 5G lebih luas akses dan aplikasinya.“Zaman sekarang, majoriti individu menggunakan telefon mudah alih untuk mencari keseronokan dan kepuasan jiwa menyebabkan pengabaian dalam terlibat aktiviti bermasyarakat setempat,” katanya.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutup Kejohanan Bola Jaring Tertutup Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka Piala Isteri YB di Paka, semalam.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu berkata, sekali pun teknologi banyak membantu manusia, masyarakat tidak boleh meninggalkan aktiviti kemasyarakatan yang membentuk jati diri dan hubungan sesama insan."Menggunakan teknologi itu bagus, tetapi jangan sampai terlalu mengejar kemajuan dengan mengabaikan aspek kemanusiaan.“Tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya mengadakan program serta menarik masyarakat anak muda khususnya menyertai kejohanan ini. Aktiviti sebegini secara tidak langsung membentuk hubungan sosial di kalangan masyarakat,” katanya.
04 Aug 19
245
Peningkatan Yuran IPT : Kerajaan Pusat Tak Serius Bantu Mahasiswa
SETIU, 1 Ogos - Peningkatan yuran perkhidmatan sebanyak 113 peratus daripada RM328 kepada RM700 di Universiti Teknologi Mara (UITM) menunjukkan Kerajaan Persekutuan tidak serius dalam menangani isu mahasiswa lapar.Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, sehingga kini janji Kerajaan Persekutuan akan menyalurkan bantuan makanan lengkap kepada mahasiswa universiti awam masih lagi tidak berlaku.Sebaliknya pula berlaku kenaikan yuran lain yang bakal menyebabkan anak muda terpaksa menanggung bebanan berganda."Sebelum ini, saya ada mengeluarkan cadangan agar kerajaan mengurangkan kos pengajian bagi golongan B40 agar mahasiswa dapat menggunakan wang tersebut bagi menampung kos sara hidup."Kerajaan juga mesti memperkasakan mekanisme ‘wakaf pendidikan’ agar sebahagian kos pengajian dapat dialihkan daripada bebanan para pelajar tanpa menjejaskan kewangan Institut Pengajian Tinggi (IPT) berkenaan."Langkah ini telah berjaya di Universiti Al-Azhar yang sekali gus mampu mengurangkan kebergantungan kepada dana kerajaan," ujarnya.Beliau mengulas dalam satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan di Facebooknya, semalam.Beliau turut menggesa supaya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) terutamanya Kementerian Pendidikan mengambil peduli dengan nasib rakyat yang berdepan masalah peningkatan yuran pengajian."Kerajaan sewajarnya menonjolkan sikap peduli rakyat seperti mana yang dilaung-laungkan terutama isu peningkatan yuran IPT yang jelas sekali membebankan mahasiswa dan tidak mustahil isu mahasiswa lapar, mahasiswa ikat perut berulang lagi," tambah beliau.
02 Aug 19
81
SEM Terengganu Terus Cemerlang Garap Inovasi Generasi Muda
Satiful menyampaikan sijil penghargaan dan cek daripada kerajaan negeri.KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Kerajaan negeri menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada sekolah-sekolah yang menyertai Pesta Schoolwide Enrichment Model (SEM) serta berjaya mengangkat nama negeri ke peringkat nasional dan antarabangsa melalui pelbagai inovasi idea dan produk alternatif. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, program SEM akan terus menggarap lebih banyak kreativiti generasi baharu untuk terus berinovasi dan mencungkil bakat mereka.“Berdasarkan faktor umur mereka, amat membanggakan kerana mereka bukan sekadar berjaya melontar idea tetapi mengeluarkan produk.“Lebih-lebih lagi pada zaman Revolusi Industri 4.0 yang mana kita memang perlukan pelapis-pelapis untuk menhadapi zaman yang lebih mencabar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pesta SEM 2019 di Perpustakaan Negeri Terengganu, hari ini.Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamuddin Hashim, Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Azman Othman, Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Lothman Awang serta Pengerusi Persatuan Pendidikan Terengganu Bestari (T-Confra), Mazlan Che Wil. Guru penyelaras sekolah menunjukkan hasil inovasi pelajarnya kepada Satiful.Dalam majlis tersebut, kerajaan negeri turut menyampaikan dana bernilai RM1,000 bagi setiap 24 buah sekolah yang terlibat untuk membantu perkembangan idea dan inovasi. Satiful juga menyatakan, kejayaan sekolah adalah satu fenomena yang baik atas inisiatif guru-guru dan ibu bapa yang menyokong melalui tenaga dan wang membolehkan mereka berkembang sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.Katanya, kerajaan negeri juga optimis untuk mengetengahkan produk-produk yang dihasilkan dengan cara komersial selepas menilai kebolehpasaran inovasi yang dibangunkan.“Saya rasa, tidak mustahil ia direalisasikan pada masa akan datang. Kita sememangnya berbangga dengan produk-produk yang dihasilkan. “Cuma, masa dan waktu akan membuktikan. Jika mereka telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, mengapa tidak ia dipaten atau dikomersialkan?,” katanya.SEM merupakan satu program inovasi pendidikan Kerajaan Negeri Terengganuyang bermula pada tahun 2005 hingga kini dengan fokus utama, Learning is Fun dan No Child Left Behind.Program tersebut adalah suatu model pembelajaran menyeluruh dalam membangunkan potensi murid selain merupakan satu pendekatan tambah nilai dalam sistem pendidikan bagi membantu meningkatkan pencapaian sesebuah sekolah berdasarkan kepada sumber-sumber persekitaran, bilangan murid, kepimpinan sekolah dan kreativiti sesuatu organisasi.Dalam Pesta SEM 2019 yang berakhir hari ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Besut berjaya merangkul Anugerah Khas SEM dengan penghasilan produk berasaskan kulit telur.SMK Tengku Mahmud raih Anugerah Khas SEM.
01 Aug 19
776
SM Sains Hulu Terengganu Menang Anugerah Di Korea Selatan
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu berjaya mengharumkan nama Terengganu setelah menerima Anugerah Khas Korea Evaluation Institute Of Industrial Technology (KEIT) dalam Pertandingan The 14th International Standards Olympiad yang diadakan di Anseong, Korea Selatan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam satu kenyataan hari ini berkata, semua pelajar dari setiap negara telah diberi tugas untuk menghasilkan satu piawaian atau teknikal dokumen yang bertajuk ‘Robots for Household Use - Performance Criteria and Related Test Methods for Dry Cleaning Robot (Upper School Category) and Unmanned Aerial Vehicle - Performance Criteria and Test Method of Camera Drone (Middle School Category)’.Anugerah itu dicapai setelah mereka menunjukkan prestasi yang cemerlang dalam standard (teknikal) penulisan dokumen, pembentangan lisan dan semangat kerja berpasukan.Sementara itu, tiga lagi pelajar Malaysia dari Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Tun Abdul Razak, Pahang, memenangi anugerah tertinggi sebagai pasukan terbaik di pertandingan tersebut.Farhah Batrisyia Abdul Rahim, Nur Amalina Diyana Azman dan Nur Isyirah Zulkafli, serta guru mereka, Rose Nabiella Muhd Rusli, berjaya merangkul Anugerah Perdana Menteri Republik Korea sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM6,958.33.Pasukan itu berjaya mengalahkan 48 pasukan dari sembilan negara iaitu China, Ecuador, Indonesia, Jepun, Kenya, Malaysia, Korea Selatan, Peru dan Singapura yang mengambil bahagian dalam pertandingan berkenaan.Melalui pertandingan yang dianjurkan oleh Agensi Teknologi dan Standard Korea (KATS) serta Persatuan Piawaian Korea (KSA), pelajar bukan sahaja diuji oleh pengetahuan standard daripada perspektif teori, tetapi kreativiti, pengetahuan saintifik dan teknologi turut ditekankan.Dengan itu, ia akan mewujudkan peluang yang menarik dan dinamik dalam kalangan generasi muda untuk menerokai dunia standardisasi.
01 Aug 19
1561
Anugerah Emas : Tahniah Pasukan Inovasi Imtiaz Dungun
KUALA TERENGGANU, 28 Julai - Kerajaan Negeri mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pasukan Inovasi Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu Dungun kerana berjaya mendapat 'Special Prize for The Best Innovation Gold Award' sempena World Invention Creativity Olympic 2019 (WICO) di Setec, Seoul, Korea Selatan semalam.Ucapan itu disampaikan oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri Wan Hapandi Wan Nik di status Facebook beliau pagi ini."Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Pasukan Inovasi SM Imtiaz YT Dungun yang berjaya mendapat Special Prize for The Best Innovation “Gold Award” sempena World Invention Creativity Olympic 2019 (WICO) bertempat di Setec, Seoul, Korea Selatan."Kepada anak solehah pintar Wan Nur Insyirah Wan Mansor, Adeeba Maisarah Anuar, Farhain Mohd Mustapa dan semua yang terlibat, anda telah mengharumkan nama negara dan juga nama Terengganu," ujarnya.Beliau mengharapkan agar mereka terus maju ke hadapan untuk membawa lebih banyak pencapaian di peringkat antarabangsa dan menjadi contoh kepada orang lain.
27 Jul 19
405