Artikel "Pendidikan" Terkini
UMT Duduki Senarai 200 Universiti Terbaik Asia
KUALA TERENGGANU, 26 November - Universiti Malaysia Terengganu (UMT),berjaya menduduki senarai 200 universiti terbaik Asia berdasarkan Laporan QS Asia University Rankings 2021.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, QS Asia University Rankings menilai universiti di Asia melalui 11 petunjuk diantaranya reputasi, penyelidikan dan pengantarabangsaan.
Naib Canselor UMT, Profesor Dato' Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, UMT melonjak kepada kedudukan 195 iaitu meningkat sebanyak 48 tangga berbanding penarafan tahun lepas.
Katanya, kedudukan UMT di kalangan 200 universiti terbaik Asia dilihat mampu menarik lebih ramai pelajar antarabangsa, meningkatkan kolobrasi bersama penyelidik luar negara dan memperluaskan jaringan kerjasama dengan industri. Di samping itu, pencapaian ini menonjolkan keterlihatan citra UMT di peta dunia.
“Ini merupakan pencapaian terbaik UMT sepanjang penubuhannya dan apa yang lebih membanggakan, UMT menunjukkan peningkatan ketara bagi 10 daripada 11 petunjuk yang dinilai.
“Pencapaian ini juga memberi gambaran bahawa UMT diiktiraf oleh akademia antarabangsa dan juga industri memandangkan penarafan QS melibatkan tinjauan daripada kedua-dua pihak.
“Pencapaian ini merupakan satu pengiktirafan kepada hasil usaha warga UMT yang menunjukkan budaya kerja yang tinggi mutunya disamping komited di dalam memastikan strategi PSUMT yang direncana dapat dilaksanakan dengan baik. ,”ujarnya dalam satu kenyataan baru-baru ini.
Tambahnya, kedudukan 195 Asia ini dicapai seiring dengan sasaran kedudukan 200 Asia seperti yang ditetapkan di dalam Pelan Strategik UMT 2018-2022 (PSUMT) bagi tahun 2020.
Beliau turut berkata, pemerkasaan berterusan terhadap penyelidikan, pengajaran, pengantarabangsaan dan citra universiti akan terus menjadi tumpuan utama UMT.
“Ia bukan sekadar untuk memenuhi tuntutan penarafan tetapi juga pemegang-pemegang taruh yang lain seperti mana terkandung di dalam pelan strategik universiti.
“UMT percaya perlu ada keseimbangan di antara pencapaian di dalam penarafan antarabangsa dan juga keperluan memenuhi matlamat utama penubuhan sesebuah universiti dalam penyebaran dan penciptaan ilmu,”tambahnya.
26 Nov 20
650
Projek RINTIS Angkat Martabat Guru KAFA
KUALA LUMPUR, 25 November - Penaiktarafan jawatan guru Kelas Al-Quran dan Fardu Air (KAFA) melalui Projek RINTIS akan memartabatkan golongan pendidik terutamanya dalam mata pelajaran agama.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir, berkata menaiktaraf guru KAFA dengan memberikan jawatan tetap menunjukkan keseriusan pihak kerajaan dalam membela nasib asatizah di Malaysia.
"Tenaga pengajar ini telah berkhidmat puluhan tahun namun, guru-guru tersebut masih lagi tidak diberikan jawatan tetap dan sehingga kini hanyalah berstatus kontrak.
"Jawapan Menteri Agama (Menteri di Jabatan Perdana Menteri) pada sesi jawapan Kementerian berkenaan Projek Rintis membuktikan Kerajaan hari ini memberi tumpuan yang serius bagi membela nasib guru-guru KAFA ini," ujarnya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan.
Projek RINTIS Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) yang sepatutnya bermula Mac lalu, ditunda ke tahun depan susulan penularan COVID-19.
Ini adalah salah satu langkah pihak Kerajaan memperkasakan 35,000 guru KAFA untuk diserap ke jawatan tetap dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
25 Nov 20
1416
SMK Kuala Besut Juara Dunia KWN Global Summit 2020
BESUT, 25 November – Lima pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Kuala Besut (SMKKB) Terengganu telah berjaya mengharumkan nama negeri dan negara di persada global apabila menjadi johan antarabangsa dalam pertandingan Kid Witness News (KWN) Global Summit 2020.
Pertandingan peringkat akhir telah berlangsung secara atas talian dengan hanya tiga buah negara terpilih iaitu negara tuan rumah Jepun, Vietnam dan SMKKB yang mewakili Malaysia.
Program anjuran Panasonic tersebut sepatutnya dilangsungkan di Osaka, Jepun, tetapi diadakan secara alam maya akibat pandemik COVID-19. Pada peringkat awal, sebanyak 150 video telah dihantar daripada peserta di serata dunia.
Ketua Unit Inovasi SMKKB Faizul Abd Rahman berkata, dalam pertandingan akhir yang berlangsung pada Isnin baru-baru ini, pihaknya menampilkan lima peserta terdiri daripada tiga pelajar tingkatan lima dan dua pelajar tingkatan dua mewakili sekolah tersebut.
“Pelajar-pelajar tersebut ialah Muhammad Afiq Muhammad Ridzuan, 17, Umar Hamzah, 17, Mohamad Aqif Azfar Mohamad Azhar, 14, Mohamad Aqib Azfar Mohamad Azhar, 14, dan Nik Muhammad Izzul Iman Nik Mawardi, 17, manakala Mohd Masrur Afdie Matzuki, 17, menjadi pelakon utama dalam video pendek tersebut.
“Menerusi pertandingan itu, SMKKB atau lebih dikenali KuBEST mencipta video pendek yang berjudul "Mark Roso: The Island Boy", yang mengisahkan kehidupan seorang pelajar yang membantu mencari sumber ekonomi keluarganya dengan bekerja sebagai pemandu bot di Pulau Perhentian pada hujung minggu dan cuti sekolah.
Mengulas lanjut, Faizul memaklumkan, beliau selaku ketua unit dibantu oleh empat guru lain iaitu Azriwati Shadzul Bakri , Wan Zul Asri, Rohaya Husin dan Zurawati Abu Bakar.
“Memang terbaik, sebuah sekolah harian biasa di perkampungan nelayan sememangnya hebat dan berbakat luar biasa dan mendapat sokongan penuh guru-guru, Jabatan Pendidikan Daerah Besut dan pemimpin tempatan dalam usaha merealisasikan impian agar sentiasa hebat dalam kurikulum dan juga kokurikulum.
Pertandingan selama enam jam sejak jam 9 pagi berlangsung di sekolah itu dan hanya disaksikan oleh sebahagian guru-guru yang berkaitan sahaja kerana mengikut SOP.
Untuk rekod, sekolah tersebut pernah dinobatkan sebagai juara dunia dalam pertandingan Kempen Kesedaran Nuklear “Third International Conference on Human Resource Development for Nuclear Power Programmes: Meeting Challenges to Ensure the Future Nuclear Workforce Capability” yang berlangsung di Korea Selatan, pada 2018.- KitaReporters
25 Nov 20
1142
Sidang DUN : Portal e-Learning Perkasa Pendidikan Norma Baharu
KUALA TERENGGANU, 24 November - Kerajaan negeri dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu telah mengambil beberapa langkah yang proaktif bagi memperkasakan sektor pendidikan di Terengganu selaras dengan budaya norma baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, Portal e-Learning Terengganu yang dilancarkan pada bulan Mei 2020 lalu sehingga 3 November 2020, mencatatkan 67 aktiviti secara dalam talian melibatkan 20,876 orang peserta.
Katanya, antara aktivitinya adalah meliputi penganjurkan pelbagai webinar, bengkel, sesi perkongsian dan kursus secara dalam talian melalui portal tersebut.
“Terdapat banyak bahan pengajaran dan pembelajaran yang dibangunkan oleh guru-guru ditempatkan dalam portal berkenaan yang boleh diakses oleh semua guru dan murid-murid sekolah rendah dan menengah di negeri Terengganu.
“Pada masa sama, kerajaan turut menggalakkan bahan pembelajaran (softcopy) kepada murid murid menggunakan kemudahan media sosial seperti aplikasi Telegram, Whatsapp, e-mel dan lain-lain lagi.
“Bekalan bahan pembelajaran (hardcopy) secara fizikal kepada murid-murid melalui serahan tangan atau dipungut di stesen-stesen yang disediakan oleh pihak sekolah. Contoh, seperti SMK Pengkalan Berangan yang menyediakan bahan-bahan pembelajaran di sebuah pondok di luar pagar sekolah untuk diakses oleh murid-murid atau penjaga,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan bertulis Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman pada Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Keempat Belas (Bajet) semalam.
Satiful turut berkata, Jabatan Pendidikan Negeri juga bekerjasama dengan radio Terengganu FM untuk mengadakan sesi bersama sama Guru AKRAM Bahasa Melayu, Sejarah dan Sains yang bersiaran semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
24 Nov 20
311
Sidang DUN : UC TATI Cadang Buka Kampus Di Kuala Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 November - Kolej Universiti TATI (UC TATI) merancang untuk membuka kampus baharu di Kuala Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, UC TATI sekarang ini sedang berusaha untuk mewujudkan kampus yang menawarkan kursus bersesuaian dengan persekitaran bandar raya ini.
“Perancangan tersebut merupakan salah satu usaha untuk menambah bilangan pelajar dan berdikari dari segi sumber kewangan di mana ketika ini UC TATI masih bergantung kepada sumber kewangan kerajaan negeri,” ujarnya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan Hilmi Harun (PAS-Manir) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Penggal Ketiga, Kali ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Satiful berkata, UC TATI juga giat mengadakan kempen dan promosi secara atas talian dan turun padang untuk menarik lebih ramai pelajar menyambung pengajian di kolej universiti tersebut.
“Seperti universiti-universiti teknikal lain, masalah kekurangan pelajar antaranya disebabkan pelajar lepasan SPM khususnya tidak berminat untuk memilih jurusan membabitkan pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM),” ujarnya.
Justeru katanya, pelbagai usaha dirancang oleh pentadbiran UC TATI antaranya akan menambah kursus diploma atau ijazah yang menjadi keperluan dan diminati pelajar.
Sementara itu katanya, sekiranya mampu menarik 3,000 pelajar UC TATI mampu berdikari dan tidak lagi bergantung kepada kerajaan negeri.
“Kapasiti pelajar di kampus sedia ada adalah sebanyak 3,500 hingga 5,000 pelajar. Sekarang ini, kita mempunyai seramai 1,305 pelajar dan sedang berusaha untuk menambah bilangan pelajar dari semasa ke semasa,” ujarnya.
23 Nov 20
715
Hanafiah Ringan Beban Pihak Sekolah
KEMAMAN, 10 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat menyerahkan sumbangan sebuah projektor, layar dan 'printer' kepada pihak Sekolah Kebangsaan Seri Geliga (SKSG), semalam.
Penolong Kanan Pentadbiran SKSG, Mohd Nazri Nordin bersyukur ke hadrat Ilahi di atas sumbangan yang diterima itu.
"Mewakili Guru Besar, guru-guru dan murid-murid SKSG, saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada Yang Berhormat (YB) Hanafiah Mat kerana sudi memberikan sumbangan ini kepada pihak sekolah.
"Bagi kami sumbangan ini amat bermakna bagi memastikan kemenjadian murid pada masa akan datang. Semoga hubungan antara pihak sekolah bersama Pejabat DUN Cukai akan berterusan," ujarnya.
"Beliau turut memaklumkan sejak akhir-akhir ini peruntukan untuk pihak sekolah sedikit kurang, namun dengan sumbangan seperti ini mampu meringankan beban pihak sekolah dalam menguruskan hal-hal berkaitan sekolah ini," ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Beliau berkata demikian selepas menerima sumbangan berkenaan yang disampaikan oleh Pembantu Penyelia Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Cukai, Abdul Hafiz Ghazali.
10 Nov 20
201
'Pelajari, Hayati dan Contohi Rasulullah'
KUALA TERENGGANU, 7 November- Dakwah bukan semata-mata mengajak orang lain ke arah kebaikan, namun ia juga merupakan ajakan kepada diri para daie itu sendiri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah mengingatkan semua individu agar mempelajari, menghayati dan mencontohi segala pengajaran yang ditinggalkan Rasulullah SAW.
"Kita telah mendengar penjelasan bagaimana besarnya peranan seorang 'Home Manager' dan keluarganya serta keperluan dakwah daripada Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Terengganu dan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK). Sudah tentu kerajaan negeri menyambut baik segala usaha yang murni bagi membentuk masyarakat negeri ini mencapai redha Allah SWT.
"Dakwah yang pertama adalah kepada diri kita, rumah kita, anak-anak kita. Jangan kerana kita sibuk kita mengabaikan rumah tangga kita," katanya ketika berucap sewaktu merasmikan Program Bulan Dakwah 2020 di Dewan Kompleks Ibu Tunggal, Chendering, hari ini.
Turut hadir, Pengurus Permodalan YPK, Faizal Harun dan Penolong Pengarah YADIM Terengganu,Nasrul Hadi Saidin.
Jelasnya, tugas sebagai 'home manager' yang diuruskan YPK merupakan peluang untuk mendidik ahli keluarga samada majikan atau keluarga sendiri dengan mempamerkan akhlak yang baik.
"Dengan ini, akhirnya kita juga akan jadi pendakwah," katanya.
Dalam pada itu, Nasrul Hadi turut memaklumkan, YADIM berhasrat melahirkan sejumlah program berkesan dengan pelbagai strategi antaranya program 'touch n go' untuk mendapatkan rakan kolaborasi seperti gotong-royong bersama masyarakat dan sebagainya.
"Bersempena dengan program bulan dakwah, ini antara yang kita laksanakan. Hasrat kami biarlah dapat masuk semua lapangan dan peringkat.
"Kami amat mengharapkan sokongan dari kerajaan dan tuan-tuan, sertailah sukarelawan YADIM supaya dapat menjadi laluan dakwah kami," jelasnya.
Program berkenaan dianjurkan kedua pihak terbabit dengan penglibatan sekitar 100 peserta terdiri di kalangan 'home manager' di negeri Terengganu.
07 Nov 20
236
COVID-19:73 Sekolah Di Dungun Ditutup
DUNGUN, 6 November - Sebanyak 73 sekolah di daerah Dungun ditutup mulai 7 hingga 20 November depan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang diistiharkan oleh kerajaan.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam satu kenyataan berkata pihaknya mengambil perhatian berhubung peningkatan kes positif COVID-19 dan memutuskan untuk menutup sekolah dalam usaha membendung penularan wabak itu.
Katanya, bilangan institusi pendidikan ini merangkumi sekolah rendah dan menengah di bawah KPM, Kolej Vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan KPM.
"Senarai institusi pendidikan yang ditutup itu dilampirkan bersama untuk rujukan ibu bapa, penjaga, warga sekolah dan institusi.
"Untuk makluman, senarai ini akan dikemas kini dari semasa ke semasa dan dimuat naik dalam portal KPM: www.moe.gov.my serta platform media sosial rasmi KPM," katanya.
Menurut kenyataan itu, sekolah dan institusi pendidikan mempunyai asrama juga ditutup, justeru ibu bapa atau penjaga perlu mengambil murid atau pelajar yang tinggal di asrama untuk pulang ke rumah masing-masing.
"Walaubagaimanapun, murid atau pelajar yang menunggu untuk diambil ibu bapa ataupun yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan itu, akan berada bawah jagaan warden asrama.
"Keperluan makanan dan minuman pelajar yang tinggal di asrama sepanjang tempoh tidak pulang ke rumah mereka, akan disediakan oleh pihak sekolah dan institusi terbabit,"katanya.
Manakala bagi murid atau pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh penutupan institusi pendidikan pula hendaklah mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.
"Sepanjang tempoh penutupan itu, pentadbir sekolah dan semua institusi pendidikan diarah untuk memastikan guru, tenaga pengajar serta murid dan pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran (PdP) di rumah.
"Manual PdP di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM: www.moe.gov.my," menurut kenyataan itu.
Terdahulu, Menteri Kanan Keselamatan, Dato' Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Rasau, Dungun berkuat kuasa Sabtu ini sehingga 20 November depan.
06 Nov 20
2253
Orang Yang Sabar Orang Yang Berjaya
MARANG, 5 November - "Sabar ertinya mencegah. Jika kita dapat bersabar, itu merupakan kejayaan bagi kita. Sabar ini berkat, tiada dalam sifir ekonomi dan tiada pula dalam ilmu barat",
Itulah secebis ayat yang boleh penulis ambil sebagai perkongsian bersama. Perkongsian itu disebut dalam Kuliah Dhuha Mingguan oleh Ketua Penyelia institut Modal insan Terengganu Sejahtera (iMiTS) Parlimen Marang, Ahmad Maarof Ismail.
“Sabar ini mempunyai beberapa tingkatan. Antaranya ialah sabar dalam melakukan ketaatan kepada Allah dan ibu bapa. Samaada dalam percakapan, sewaktu berdoa mahupun semasa memimpin keluarga kita. Manakala sabar dalam kemaksiatan pula adalah menjauhi larangan Allah,"katanya.
Beliau menjelaskan lagi, ada musibah yang Allah beri kepada kita berbentuk kelaparan, kekenyangan ataupun kerenah orang” .Lalu memberikan kata hikmat iaitu 'la taghdob' (jangan marah), sabar itu sebahagian daripada iman.
"Manakala sabar itu sinaran yang Allah kurniakan cahaya pada mata hatinya. Sesiapa yang bersabar Allah akan gantikan dengan yang lebih baik", katanya dengan riak yang ceria.
"Di samping itu, nilai kesabaran itu telah banyak ditunjukkan oleh para sahabat terutamanya dalam peperangan yang berlaku. Banyak ayat tentang sabar ini terkandung dalam Al-Quran," katanya.
"Seterusnya hikmah sabar itu adalah kerana Allah mahu mengampunkan dosa hambanya, seterusnya melorongkan jalan ke syurga, dan mahu bersama orang yang sabar serta Allah memelihara 'asbab' kesabaran kita,"katanya..
Ahmad Maarof juga sempat mencelah berceritakan kisah yang berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w. berkisarkan tentang kesabaran yang diharungi oleh lima orang Rasul Ulul Azmi.
“Sabar itu sinaran cahaya, apabila kita tetap dalam sifat kesabaran. Allah akan menilai kesabaran tersebut, Allah akan beri kejayaan kepada mereka iaitu orang yang bersabar".katanya.
05 Nov 20
1004
UniSZA Sedia Kelas Tuisyen Percuma
KUALA NERUS, 5 November – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) melebarkan program kemasyarakatannya dengan menyediakan kelas tuisyen percuma khusus untuk pelajar dari keluarga berpendapatan rendah (B40) menerusi Program 3T (Teens Tuition Teens).
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni), Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, buat permulaan, seramai 40 pelajar dari keluarga B40 di daerah Kuala Terengganu yang menetap di Flat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang telah dipilih untuk program kali ini.
Katanya, ia melibatkan empat buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Panji Alam, SMK Seri Budiman, SMK Padang Negara dan SMK Chendering.
“Program dengan kerjasama Majlis Perwakilan Pelajar UniSZA (MPP) dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Ladang itu akan diadakan selama dua tahun bermula pada 2 November 2020 sehingga 22 Disember 2022 bertempat di Bilik Kuliah, Kampus Perubatan,”katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, program ini bertujuan untuk memenuhi sebahagian daripada keperluan Pelan Strategik UniSZA iaitu menjadikan UniSZA sebagai Hero Komuniti yang mampu memberi impak positif kepada masyarakat khususnya di daerah sekitar Kuala Nerus dan Kuala Terengganu.
Menurutnya lagi, seramai 20 orang fasilitator terdiri daripada pelajar Asasi (PUSPA) dan pelajar Fakulti Perniagaan dan Pengurusan (FPP) diambil sebagai tenaga pengajar sepanjang program berlangsung.
“Sebanyak enam mata pelajaran yang akan diajar iaitu Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Akaun pada tahun ini dan tahun 2021 pula kami rancang untuk kembangkan kepada pelajar Daerah Kuala Terengganu seramai 120 orang dan akan melibatkan 10 mata pelajaran.
“Dua aliran utama bagi program ini ialah Sains dan Perniagaan yang melibatkan subjek Fizik, Kimia, Biologi, Matematik Tambahan, Matematik Moden dan Prinsip Perakaunan,” jelas Mohd Afandi.
05 Nov 20
906