lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

‘Teamwork’ Tunjang Kecemerlangan SAHUT
‘Teamwork’ Tunjang Kecemerlangan SAHUT
KUALA TERENGGANU, 28 Disember- Sekolah Menengah Sains Hulu Terengganu (SAHUT) yang mula beroperasi Januari 2011 turut membuka ruang kepada anak-anak keluarga B40 yang cemerlang untuk meneruskan pelajaran peringkat menengah di sekolah berasrama penuh. Terletak di Kampung Tajin, Kuala Berang sekolah ini menyediakan persekitaran tenang kepada pelajar untuk menuntut ilmu. Biarpun bergelar ‘sekolah baru’ SAHUT berupaya mencipta pelbagai kecemerlangan di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa antaranya menerusi prestasi akademik serta pertandingan inovasi yang disertai pelajar. Selalu kita dengar, kejayaan sesebuah sekolah bergantung kepada peranan dan kewibawaan pengetuanya yang berperanan memberi galakan dan sokongan kepada guru serta pelajar disamping mewujudkan persekitaran yang kondusif, sihat serta memberangsangkan proses pengajaran dan pembelajaran. Perkara tersebut turut diakui Pengetua SAHUT, Mohd khairi Muda yang telah menabur bakti di sekolah tersebut sejak empat tahun lalu. Beliau lebih gemar menggunakan pendekatan ‘teamwork’ atau kerja berpasukan dan telah menjadi amalan yang diterapkan dalam kalangan guru-gurunya. “Bagi saya, sebagai pengetua kita perlu menjadi contoh kepada yang lain selain memberi penghargaan dan inspirasi kepada para guru supaya mereka lebih bermotivasi untuk menaikkan semangat pelajar. “Antara perkataan yang sukar diungkapkan tetapi memberi kesan yang mendalam kepada penerima adalah ‘terima kasih’, justeru saya sangat mementingkan perkara sebegini agar hubungan antara guru menjadi lebih akrab,” ujarnya. Katanya, kecemerlangan SAHUT turut dibantu oleh guru-guru yang bekerja keras, komited dan sentiasa bersemangat tinggi untuk melihat kejayaan pelajar. “Setakat ini, kita mempunyai 65 guru dan 604 pelajar. SAHUT menyasarkan ada pelajar yang dapat mencipta sejarah baru dengan mendapat 9A+ dalam peperiksaan SPM tahun ini dan kita menjanjikan hadiah yang lumayan iaitu wang tunai sebanyak RM7,000,” ujarnya.  
28 Dec 20
2137
UC TATI Diiktiraf 5 Bintang Setara 2019
UC TATI Diiktiraf 5 Bintang Setara 2019
KEMAMAN, 27 Disember – Kolej Universiti TATI (UC TATI) menjadi Institusi Pengajian Tinggi ( IPT) pertama dalam negeri yang berjaya mendapat pengiktirafan 5 bintang Setara 2019 di bawah kategori Kolej Universiti berdasarkan kriteria pencapaian akademik dan penyelidikan, baru-baru ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, pengiktirafan tersebut merupakan hasil usaha kakitangan dan pelajar secara bersama. “Setinggi tahniah buat Rector TATI, Prof. Dr. Anuar Ahmad dan seluruh kakitangan dan mahasiswa terlibat dalam memberikan komitmen tinggi dan semoga momentum ini diteruskan," katanya yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah UC TATI. Sementara itu, Prof. Dr. Anuar Ahmad berkata, penilaian tertinggi pernah dicapai UC TATI dibuat oleh Price Water Housing Cooper (PWC) yang bertaraf antarabangsa. “Kriteria markah tersebut dinilai dari segi pencapaian pengajaran, pembelajaran dan pencapaian dan kebolehpasaran para alumni dan graduan. “Selain itu, pencapaian pensyarah kita juga berjaya menjulang anugerah di peringkat antarabangsa dari segi kertas journal dan penyelidikan seperti penghasilan sendiri ‘Big Data’ dan pembangunan prototaip kapal selam dasar lautan. “Matlamat masa hadapan supaya kita mencapai skor penilaian paling tinggi iaitu enam bintang,” katanya. Dalam pada masa yang sama, seramai 23 orang kakitangan UC TATI telah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) manakala enam orang lagi menerima Anugerah Khidmat Setia (AKS) atas khidmat 20 tahun. “Dalam pada itu, UC TATI turut menghargai pencapaian kakitangan dalam bidang penyelidikan dan Inovasi. Seramai lima orang kakitangan telah menerima Anugerah Penerbitan Cemerlang dan 17 orang menerima Anugerah Inovasi Cemerlang. “Kejayaan penyelidikan mereka ini telah banyak membantu menaikkan nama UC TATI dalam bidang penyelidikan dan inovasi sebaris dengan IPT terkemuka di negara ini,” katanya.  
26 Dec 20
1411
Bantuan Persekolahan, Tuisyen Rakyat Dengan Norma Baharu
Bantuan Persekolahan, Tuisyen Rakyat Dengan Norma Baharu
KEMAMAN, 27 Disember - Kerajaan negeri sedang menggerakkan dua inisiatif pendidikan iaitu bantuan permulaan persekolahan tahun 2021 dan program Tuisyen Rakyat sebagai langkah memperkasakan pelajar, prestasi pelajaran serta pembelajaran negeri dalam norma baharu. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, penularan wabak COVID-19 telah menyebabkan inisiatif bantuan dalam bentuk uniform dan barangan sekolah terpaksa ditangguhkan. Katanya, pemberian berbentuk baucer RM100 secara asas sama seperti tahun sebelumnya akan disalurkan kepada pendaftar baharu tahun satu sehingga ke tingkatan enam, meliputi peringkat rendah dan menengah daripada golongan B40 sahaja. “Keputusan telah diambil kira daripada situasi keperluan pelajar dan kekangan kewangan ibu bapa. Hasilnya, kerajaan telah meluluskan hampir RM7 juta dan jangkaan penyaluran bantuan ini pada Januari tahun hadapan. “Data sedang dikemaskini daripada maklumat pemberian tahun lepas bersama kemasukan tahun satu tahun depan, pembersihan nama dibuat bagi menyingkir nama yang telah meninggal dunia dan sebagainya. “Tahun lepas mencatatkan kira-kira 70,000 penerima, dan maksimum satu rumah adalah dua orang bagi tahun ini,” ujarnya. Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Anugerah Khidmat Setia 2019 di Universiti Kolej TATI, baru-baru ini. Mengulas lanjut berkenaan program Tuisyen Rakyat, beliau berkata, isu prestasi para pelajar yang terjejas dipandang serius kesan penularan wabak dan penutupan sekolah terutamanya mereka yang menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan (STPM) dan seumpamanya. “Hasilnya kita telah luluskan di setiap 32 DUN untuk melaksanakan Tuisyen Rakyat sebagai program lonjatan akhir menghadapi ujian tersebut. “Setiap DUN akan menerima RM10,000 bagi pelaksanaan program ini khususnya di zon luar bandar yang menghadapi isu liputan talian dan gajet. Oleh itu, premis awam seperti dewan balai raya dan masjid digunakan. “Inisiatif ini hasil kepekaan pentadbiran dalam mengekalkan kecermelangan akademik di Terengganu dengan harapan penganjuran ini meliputi segala peringkat khususnya di luar bandar,” katanya lagi. Tambah Satiful lagi, program Lonjakan Akhir SPM sebelum akhir bulan Mac akan dijalankan dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) “Pelaksanaan menggunakan guru pakar daripada JPN di balai awam walaupun dalam jumlah pelajar sedikit kerana pematuhan terhadap larangan Kementerian yang telah ditetapkan,” katanya.
26 Dec 20
1952
Program Tuisyen Rakyat Untuk Pelajar SPM
Program Tuisyen Rakyat Untuk Pelajar SPM
KUALA TERENGGANU, 23 Disember – Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk telah menganjurkan Program Tuisyen Rakyat untuk membantu pelajar tingkatan lima yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Program tuisyen tersebut menawarkan tiga subjek kepada pelajar iaitu Bahasa Melayu, Matematik dan Sejarah. “Kita jalankan program ini melalui tiga zon iaitu zon pertama buat Mukim Chendering bertempat di Dewan Serbaguna Permin Jaya, zon kedua untuk Mukim Kuala Ibai dan Batu Buruk bertempat di Dewan Darul Syifa’ Kuala Ibai. “Manakala bagi zon ketiga untuk Mukim Bukit Besar bertempat di Dewan Masjid Gong Tok Nasek,” kata ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi ketika ditemu bual pemberita. Tambah beliau, program tuisyen tersebut memanfaatkan tenaga pengajar yang pakar dalam soalan-soalan lazim dalam peperiksaan SPM. Ketiga-tiga zon tersebut dijadualkan secara berasingan iaitu zon pertama pada 22 hingga 24 Disember 2020, zon kedua pada 27 hingga 29 Disember 2020 dan zon ketiga pada 3 hingga 5 Januari 2021. Program Tuisyen Rakyat ini yang bermula semalam telah mendapat sambutan yang menggalakkan dengan penyertaan penuh seramai 32 orang pelajar. Tambahan pula, program tersebut telah dijalankan mengikut Standard Operation Procedure (SOP) yang ditetapkan seperti memakai pelitup separuh muka dan penjarakan fizikal.
23 Dec 20
604
UC TATI Anjur Seminar VISRAWET 2020 Secara 'Zoom'
UC TATI Anjur Seminar VISRAWET 2020 Secara 'Zoom'
KUALA TERENGGANU, 19 Disember - Kolej Universiti Tati (UC TATI) menganjurkan Seminar Antarabangsa Penuaian Air Hujan : Kejuruteraan dan Teknologi (VISRAWET 2020) secara dalam talian menerusi aplikasi 'Zoom' pada 17 dan 18 Disember lalu. Rektor UC TATI, Profesor Dr Anuar Ahmad berkata, penganjuran seminar tersebut turut mendapat kerjasama Kementerian Alam Sekitar dan Air Malaysia serta Yayasan Amal Malaysia. Katanya, VISRAWET 2020 bertujuan mencari kaedah yang dapat membantu rakyat Malaysia dan komuniti lain untuk menggunakan sumber daya lestari dengan cara yang lebih cekap melalui penuaian dan penggunaan balik hujan dalam pelbagai aplikasi. "Topik yang dibincangkan antaranya taburan hujan di negeri-negeri yang berbeza di Malaysia. "Penuaian dan rawatan air hujan dalam skala domestik dan besar serta lain-lain lagi," ujarnya ketika dihubungi pemberita, hari ini. Katanya, penganjuran VISRAWET 2020 yang julung kali diadakan secara maya itu dirasmikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air Malaysia, Dato' Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan melibatkan sekitar 200 peserta daripada seluruh dunia.  "Majoriti peserta daripada negara ASEAN yang terdiri daripada ahli akademik, pegawai kerajaan, profesional dan orang awam. Menurut beliau, antara resolusi yang dicapai menerusi seminar tersebut termasuk takungan air hujan dengan saiz bersesuaian di lokasi yang sepatutnya perlu diwujudkan dengan peruntukan daripada kerajaan. "Ini kerana usaha tersebut boleh dimanfaatkan sebagai sumber air semasa musim kemarau dan pengurangan air hujan ketika musim banjir," ujarnya  Katanya, kerajaan juga perlu membuat dasar baharu berkenaan penggunaan bahan yang sesuai untuk atap dan longkang bagi tujuan penuaian air hujan. "Kolaborasi antara kerajaan dan swasta bagi mengalakkan industri dan sektor awam untuk memanfaatkan air hujan melalui ketersediaan komponen dan aksesori dengan kos berpatutan bagi penuaian air hujan perlu diusahakan," jelasnya.
19 Dec 20
488
Produk Inovasi PSMZA Raih Tempat Ketiga
Produk Inovasi PSMZA Raih Tempat Ketiga
DUNGUN, 19 Disember - 'Monster of Scrapper', produk inovasi Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun telah meraih tempat ketiga di Waste To Art 2020 dan Cabaran Trash To Cash anjuran Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal Dan Pembersihan Awam ( SWCorp) Malaysia. Menurut jurucakap PSMZA, institusi terbabit memenangi kategori tiga dimensi hasil ciptaan sekumpulan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal yang diketuai oleh Ruzilani Mohamad. "Pertandingan yang bertemakan ´The Miracle Touch´ itu melibatkan 363 penyertaan dari seluruh Malaysia," katanya.  Majlis Penyampaian Hadiah Waste to Art 2020 dan Cabaran Trash to Cash telah berlangsung di Dewan Lestari, Ibu Pejabat SWCorp, Cyberjaya yang disempurnakan oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, baru- baru ini.
19 Dec 20
492
UniSZA Tubuh Persatuan Perhubungan Awam Pertama Di Pantai Timur
UniSZA Tubuh Persatuan Perhubungan Awam Pertama Di Pantai Timur
KUALA TERENGGANU, 19 Disember – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) merupakan universiti pertama di Pantai Timur yang berjaya menubuhkan sebuah persatuan perhubungan awam pelajar, 'Institute of Public Relations Malaysia Student Association' (IPRMSA) bertujuan untuk menyatukan para mahasiswa dalam bidang perhubungan awam (PR). Kejayaan itu dicapai pada Oktober lalu,dengan majlis pelancaran dan forum atas talian bersama sesi perkongsian tentang dunia PR dan aktiviti-aktiviti berkenaan Institute of Public Relations Malaysia (IPRM). Dekan Fakulti Bahasa dan Komunikasi UniSZA, Professor Madya Dr. Mohd Nazri Latiff Azmi, berkata, bersama cogan kata “penglibatan tanpa batasan”, IPRMSA akan menjadi sebuah platform yang berpotensi bagi meningkatkan pengetahuan dan keupayaan dalam perhubungan awam serta meluaskan lagi kenalan. Mengulas berkenaan kerjasama antara IPRSMA Unisza, Professor Dr. Kiranjit Kaur, berkata, kolaborasi ini bukan sahaja menyediakan satu wadah untuk pembangunan diri malah menyumbang kepada kemajuan dan transformasi dalam industri perhubungan awam. “Bahkan juga, ia memberi pendedahan kepada perkembangan terkini dalam bidang pekerjaan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan. Muhammad Nazri Abu Hassan, presiden IPRMSA UniSZA, mengulas, “Kami akan memanfaatkan kelab ini sebaik mungkin bukan sahaja bagi UniSZA tetapi keseluruhan komuniti di Terengganu,” ulasnya. Sementara itu, Penasihat IPRSMA UniSZA, Dr. Siti Zanariah Haji Yusoff, mengulas perancangan UniSZA dalam menawarkan program baharu iaitu Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam dengan Media Kontemporari. “Dengan penubuhan persatuan ini juga diharap agar menjadi batu loncatan bagi menunjukkan kesediaan terhadap kursus terbaharu yang dalam perancangan untuk ditawarkan,” katanya. Untuk rekod, acara berkenaan merasmikan penubuhan 'IPRMSA UniSZA Chapter' pertama di Pantai Timur, menjadikan persatuan ke-11 di Malaysia yang menyertainya bersama universiti berprestij lain seperti Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), UiTM dan banyak lagi. Diterjemahkan oleh: Nur Farah Amirah Hamzah
17 Dec 20
3182
Tuisyen Rakyat Bantu Pelajar Lemah
Tuisyen Rakyat Bantu Pelajar Lemah
DUNGUN, 7 Disember- Tuisyen Rakyat yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi telah diwujudkan bagi membantu pelajar yang akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata dengan melibatkan semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Mukim Jerangau, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) bagi mengadakan tuisyen berkenaan. "Dimana semua pihak berkenaan telah berkolaborasi dengan pihak Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, telah mencari jalan bagi membantu pelajar yang akan menghadapi peperiksaan SPM dengan mana kita telah melantik pengajar luar bagi memberi tumpuan kepada tiga subjek iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan juga Matematik. "Dimana SPM ini sangat penting untuk mereka perolehi bagi menentukan langkah seterusnya selepas ini, paling tidak pun bagi mereka yang lemah didalam pelajaran perlu lulus didalam dua subjek teras iaitu Bahasa Melayu dan Sejarah perlu mereka lulus. Jika hendak memasuki institusi kemahiran atau pusat latihan kemahiran sekarang ini melihat kepada kelulusan SPM," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika hadir ke KelasTuisyen Rakyat, yang telah diadakan di Pusat Latihan Veterinar Cermin Kiri, hari ini. Katanya, kelas tuisyen berkenaan telah bermula pada semalam 6 Disember akan berakhir 17 Disember melibatkan 57 pelajar bagi pelajar yang berada di Mukim Jerangau serta bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Jerangau (SMKJ). "Bagi memastikan kelas ini berjaya, semua pihak termasuk ibu bapa perlu memaikan peranan penting serta mempunyai kesedaran bagi memastikan anak-anak mereka hadir ke tuisyen yang telah kita adakan ini.  "Kita sedia maklum bahawa pandemik COVID-19 yang melanda dunia telah menjadi satu cabaran baru, dimana sekolah terpaksa ditutup dalam jangka waktu yang lama, namun Kementerian Pendidikan telah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di rumah melalui kelas secara maya. "Menjadi satu masalah kepada pelajar kita yang berada di luar bandar ini, ramai tidak dapat mengikuti pembelajaran dengan kaedah demikian, seperti terpaksa menggunakan peranti ibu bapa, capaian rendah dan lemah dengan data kadang-kadang ada, kadang-kadang tidak ada, dimana hasil dapatan kita melalui Pejabat Pendidikan Daerah Dungun menyatakan ramai pelajar tidak mengikuti kelas berkenaan," ujarnya. Selain itu juga, Ghazali berkata faktor terlalu lama bercuti mengakibatkan ketika dibuka pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) melibatkan ramai pelajar tidak hadir ke sekolah. "Sehingga akhirnya sekolah ditutup kembali kerana berlakunya penularan semula. Diatas kesedaran semua pihak maka kita harapkan kelas ini akan berjaya diadakan dengan sebaik-baiknya," tambah Ghazali.    
07 Dec 20
732
218 Tenaga Pengajar Terima Manfaat
218 Tenaga Pengajar Terima Manfaat
DUNGUN, 29 September - Seramai 218 tenaga pengajar dalam kawasan Dungun menerima manfaat daripada Majlis Penyerahan Sumbangan Bantuan Ahli Parlimen di sini hari ini. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, program seperti itu harus diberi penekanan dan diperluaskan sebagai tanda cakna, sekaligus dapat mengurangkan beban kewangan yang dialami tenaga pengajar lebih-lebih lagi disaat dunia masih dalam kemelut pandemik COVID-19. Beliau berkata, majlis sumbangan yang melibatkan kerjasama para Ahli Jawatankuasa Parlimen Dungun kali ini menumpukan kira-kira 191 guru Pasti serta 27 asatizah dan ianya dilihat amat membawa makna kepada mereka. Katanya, sumbangan ini adalah sebagai tanda menghargai usaha serta keringat para tenaga pengajar yang sentiasa mengamalkan budaya kerja yang cemerlang serta berprestasi tinggi terhadap anak-anak didikan mereka. "Kita juga mengerti kesusahan yang dialami sebahagian tenaga pengajar sepanjang penularan wabak ini dan disebabkan itu pihak Parlimen Dungun mengambil inisiatif menganjurkan majlis seperti ini," ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan. Tambah beliau lagi, pihaknya akan mengambil maklum akan segala isu kebajikan yang dialami para tenaga pengajar selain sedang giat merangka program-program lain yang dapat dimanfaatkan bersama dimasa akan datang. Salah seorang penerima sumbangan berkenaan, Zulkifli Awang Muda, 28, turut menzahirkan rasa syukur selain mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Dungun. "Alhamdulillah, memang kita suka bila dapat sumbangan. Sebab kita pun sedia maklum bahawa gaji guru-guru Pasti bukanlah tinggi sangat. Namun atas sebab fisabilillah, kita teruskan juga mengajar. " Namun apa pun memang saya nak ucapkan terima kasih tidak terhingga kepada Ahli Parlimen Dungun atas inisiatif yang diambil sekaligus meraikan kami dari kalangan guru-guru Pasti," ujarnya kepada pemberita selepas menerima sumbangan berkenaan.          
29 Nov 20
311
Terengganu Taja 12 Pelajar Lanjut Pengajian Di Jordan
Terengganu Taja 12 Pelajar Lanjut Pengajian Di Jordan
KUALA TERENGGANU, 26 November - Seramai 12 pelajar mendapat penajaan Yayasan Terengganu (YT) berjumlah RM8.4 juta untuk melanjutkan pengajian di Jordan.  Pengarah YT, Ishamudin Hashim memaklumkan, sembilan pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan dan dua dalam bidang pergigian di Jordan Universiti Of Science Teknologi (JUST). Jelasnya, seorang lagi pelajar melanjutkan pengajian dalam bidang perbankan Islam di Universiti Yarmouk, Jordan.  "Sembilan pelajar dalam bidang perubatan akan mengikuti pengajian enam tahun, dua lagi pelajar dalam bidang pergigian akan menamatkan tempoh pengajian dalam tempoh lima tahun, manakala pelajar dalam bidang perbankan Islam selama empat tahun," ujarnya. Ishamudin berkata demikian pada sidang media di pejabatnya, hari ini. Hadir sama, Timbalan Pengarah (Pendidikan) YT, Dr Hashim Azmi Che Noh.  Tambah Ishamudin, kesemua pelajar berkenaan sudah berlepas ke Jordan Selasa lalu. Mengulas lanjut, beliau berkata, penghantaran 12 pelajar ke Jordan adalah sebahagian penajaan di bawah Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang peringkat persediaan serta ijazah pertama dalam dan luar negara yang diperuntukkan kerajaan negeri sebanyak RM10 juta tahun ini.  "Tahun lalu, YT menaja seramai 13 pelajar ke Jordan bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Perubatan, Perbankan Islam dan Pengajian Islam. "Tiga lagi pelajar mendapat penajaan untuk melanjutkan pengajian dalam bidang Pergigian di Mesir dan semua pelajar itu kini berada di tahun kedua," jelasnya.
26 Nov 20
843