Artikel "Pendidikan" Terkini
Amzad Taja 3,300 Pelajar Kelas Digital Mahir Tutor SPM
Oleh : Syafiq Sapai
KUALA TERENGGANU, 26 Januari - Seramai 3,300 pelajar yang bakal menduduki calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di bawah Parlimen Kuala Terengganu menyertai Program Mahir Tutor SPM 2020 di bawah Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim bagi mempersiapkan mereka untuk menghadapi peperiksaan penting itu.
Amzad ketika dihubungi berkata, para pelajar yang bakal menduduki SPM di daerah Kuala Terengganu boleh menyertai kelas tersebut secara percuma yang dikendalikan secara dalam talian.
“Program Mahir Tutor SPM ini kita sediakan untuk calon-calon yang akan menduduki peperiksaan SPM, iaitu untuk seramai 3,300 pelajar di sini.
“Kita sediakan secara percuma kepada para pelajar yang berada di Parlimen (Kuala Terengganu) ini. Cuma, kita minta anak-anak pelajar kena ikuti program ini dengan baik,” katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Menurutnya, para pelajar tidak perlu memikirkan soal bayaran lagi dan hanya menumpukan kepada pembelajaran sahaja.
“Kos bayaran untuk setiap seorang RM10 sebulan. Jika 3,300 pelajar yang didaftarkan sebanyak RM33,000.00 sebulan. Program (Mahir Tutor) ini dibuat selama dua bulan dengan kos keseluruhan RM66,000.00 akan ditaja, insya-Allah,” jelasnya.
Apa yang penting, kata beliau, para pelajar perlu bersungguh-bersungguh belajar dan membiasakan diri dengan cara norma baharu ini.
Menurutnya, pandemik Covid-19 yang semakin menjalar dan belum ada tanda-tanda reda setelah setahun hidup bersama masyarakat dunia hari ini.
26 Jan 21
399
Calon STPM Kemaman Terima Sumbangan
KEMAMAN, 22 Januari - Seramai 80 calon pelajar yang akan menduduki peperiksan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 bagi daerah Kemaman menerima sumbangan berbentuk wang tunai, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, sebahagian peruntukan diberikan kepada mereka bagi memastikan kebajikan pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan tidak lama lagi terjamin.
"Mereka perlu merasa lebih rasional, senang hati, serta melupakan kejadian banjir besar yang telah berlaku di Kemaman, baru-baru ini.
"Apa yang paling penting adalah mereka akan menduduki peperiksaan STPM tidak lama lagi. Jadikan apa yang berlaku itu sebagai sempadan untuk mereka terus melangkah lebih jauh.
"Sebelah kaki sudah berada di universiti, hanya tinggal sebelah lagi kaki untuk mereka melangkah menuju ke sana.
"Kejayaan mereka bukan hanya untuk diri mereka sendiri, bahkan ianya juga merupakan impian guru-guru, ibu bapa dan masyarakat untuk melihat mereka cemerlang dalam peperiksaan dan juga menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman selepas selesai majlis.
Mewakili pihak kerajaan negeri yang dipimpin oleh Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Hanafiah melahirkan rasa gembira apabila dapat meraikan pelajar-pelajar tersebut dengan keluarga, masyarakat dan orang sekeliling mengimpikan untuk melihat pelajar-pelajar itu mengejar kejayaan.
Dalam pada itu, semua calon STPM yang hadir dan terdiri daripada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ismail, SMK Chukai dan SMK Badrul Alam Shah telah menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 seorang dalam Majlis Penyerahan Dana Mangsa Banjir Calon STPM Daerah Kemaman.
Majlis itu diadakan secara ringkas di pekarangan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai.
19 Jan 21
349
Sinar Baharu Buat Anak OKU
KUALA NERUS, 14 Januari – Usaha Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) memperkenalkan pendidikan awal Orang Kurang Upaya (OKU) melalui Program Quranic Playgroup memberi sinar baharu buat golongan tersebut.
Ketua SIG OKU Kanak-kanak UniSZA, Prof. Madya Dr. Norsuhaily Abu Bakar berkata, langkah yang memfokuskan anak autisme dan sindrom down itu akan diperluaskan lagi pada masa akan datang mengikut perkembangan semasa.
Katanya, ia disebabkan wabak COVID-19 yang masih belum berakhir di mana hanya 10 orang anak istimewa terlibat dalam program itu buat masa ini.
"Pendidikan ini membawa kelainan dengan menjemput anak bersama ibu bapa dalam kelas bersama terapi dan jurupulih. Ini adalah salah satu usaha dan titik tolak kepada bagaimana kita akan mulakan resolusi pembinaan Pusat Psikologi dan Rehabilitasi di pantai timur dan mengembleng tenaga pakar dari UniSZA.
“Perancangan ini merupakan wadah dan sinar kepada anak-anak istimewa tempatan supaya ibu bapa tidak lagi perlu beratur di institusi luar yang amat terhad.
“Terapi dan rawatan di institusi swasta juga memakan kos tinggi manakala kelas-kelas pendidikan khas tercampur dan tiada pengkhususan khas untuk kanak-kanak keperluan khas berlainan,” ucapnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap dalam perasmian Program Quranic Playgroup Autisme di UniSZA Kampus Gong Badak, baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Lembaga Pengarah UniSZA merangkap Penasihat SIG OKU Kanak-kanak UniSZA, Prof. Dr. COL (B) Wan Pauzi Wan Ibrahim.
Tambah Norsuhaily, program berkenaan juga diisi dengan terapi ruhyah dan psikospiritual, aktiviti bermotor, terapi pertuturan dahasa dan sebagainya mengikut kategori ‘kinder’ (5-6 tahun), ‘primary’ (7-11 tahun) dan ‘secondary’ (12-14 tahun).
Terdahulu, Norsuhaily menghargai keprihatinan Menteri Besar merangkap pengerusi SATU, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi usaha tanggungjawab sosialnya (CSR) menyampaikan bantuan pendidikan supaya rawatan diperluaskan dengan terapi-terapi terlatih dalam ruang kondusif.
Sementara itu, salah seorang ibu kepada peserta program, Norul Hazri Ibrahim, 42, menyifatkan usaha UniSZA sebagai langkah baik dalam menyediakan alternatif kepada hospital luar yang mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk satu sesi terapi.
“Anjuran program ini membolehkan anak saya Tuan Badrun Irsyad, 14, yang didiagnos dengan defisit intelektual, mendapat rawatan dan pendidikan awal.
“Suasana kelas turut membolehkannya belajar berkomunikasi bersama insan sepertinya tanpa bercampur dengan kelainan diagnos,” katanya.
14 Jan 21
1808
Tuisyen Rakyat Beri Nilai Tambah Persediaan SPM
SETIU, 11 Januari - Program Tuisyen Rakyat yang diadakan melalui inisiatif kerajaan Terengganu menjadi satu nilai tambah kepada persediaan pelajar menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Februari nanti.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri, Zul Bhari A Rahman berkata, langkah itu merupakan usaha kerajaan negeri dalam memastikan kecemerlangan pelajar SPM di negeri ini terus dikekalkan
"Setelah segala usaha kita lakukan, kita serahkan kepada Allah SWT dengan segala kebergantungan kepadaNya, insya-Allah mudah-mudahan segala usaha kita semua diredhai olehNya."
Beliau berkata demikian ketika ucapan penutup pada program motivasi pelajar SPM DUN Permaisuri di Kompleks Tarbiyyah Luqmanul Hakim, Kampung Guntung Luar baru-baru ini.
Program Tuisyen Rakyat yang diadakan selama tiga hari itu sebagai lonjatan dan pecutan akhir kepada pelajar tingkatan lima menghadapi peperiksaan SPM.
10 Jan 21
108
UniSZA Lahirkan Hero Komuniti Perdana
KUALA NERUS, 10 Januari – Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) buat julung kalinya menjalankan program komuniti dan sukarelawan yang dikenali sebagai Hero Komuniti Perdana : UniSZA Cakna di seluruh Malaysia termasuk negara luar.
Seramai 1,500 siswa melaksanakan program komuniti tersebut termasuk alumni-alumni UniSZA yang berada di luar bagi membantu masyarakat di Indonesia, Thailand, Kemboja, Nigeria, Mauritius dan Palestine.
Naib Canselor UniSZA, Prof Dato' Hassan Basri Awang Mat Dahan berkata, program itu merupakan satu inisiatif untuk membantu golongan yang kurang bernasib baik ini melalui mahasiswa UniSZA yang prihatin.
“Di Sarawak, ada sukarelawan kami terpaksa meniti jambatan usang untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan OKU dan dalam masa yang sama turut mendekati barisan ‘frontliner’ negara untuk menyampaikan bantuan.
“Malah, di negeri-negeri yang dilanda banjir juga turut dibantu oleh pelajar UniSZA dengan mengadakan program gotong royong membersih rumah, menyampaikan sumbangan bantuan dan membantu mangsa banjir di pusat pemindahan”, katanya.
Beliau berkata demikian di Majlis Pelancaran Hero Komuniti Perdana : UniSZA Cakna secara atas talian yang dirasmikan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Dato' Seri Dr. Noraini Ahmad, menerusi platform Webex dan Facebook live di Kementerian Pengajian Tinggi (KMT) dan juga secara langsung di Dewan Al-Muktafi Billah Shah, UniSZA Kampus Gong Badak, hari ini.
Menurutnya lagi, di luar negara pula, program itu sertai oleh barisan alumni-alumni UniSZA yang berjiwa besar mahu membantu masyarakat mereka di sana.
“Keenam-enam negara ini menganjurkan program yang cukup hebat seperti di Kemboja yang membantu penduduk Islam di sana dengan membaiki infrastruktur sekolah, masjid dan pembinaan telaga.
“Di Thailand, memberi pendedahan Pendidikan komunikasi Bahasa Inggeris kepada kanak-kanak luar bandar secara berterusan dan di Palestin pula, menghulurkan bantuan pemasangan langsir di sebuah dewan untuk kegunaan aktiviti masyarakat serta penanaman 100 anak pokok zaitun,” katanya.
Sementara itu, Noraini berkata UniSZA telah berjaya membuktikan bahawa pelaksanaan aktiviti dan program tidak terbatas serta tidak menjadi halangan dengan ketiadaan mahasiswa di kampus.
“UniSZA mengambil pendekatan kreatif dan pro aktif dengan menjadikan keberadaan mahasiswa di kampung halaman masing-masing sebagai peluang untuk membolehkan mereka berbakti kepada masyarakat di kawasan mereka.
“Saya sarankan supaya universiti lain juga, tidak mengira daripada IPTA mahupun IPTS, boleh mengambil pendekatan yang sama seperti yang telah dijalankan oleh UniSZA dan mungkin mahasiswa boleh bekerjasama dengan universiti lain bagi melaksanakan sesuatu program di kawasan mereka," ujarnya lagi.
Beliau turut menasihati pelajar-pelajar yang terlibat untuk menjaga keselamatan dan mematuhi SOP yang telah ditetapkan terutamanya kawasan yang dilanda banjir dan berstatus zon merah.
10 Jan 21
667
Sekolah Terima Sumbangan Tangani COVID-19
KUALA TERENGGANU, 6 Januari - Sekolah-sekolah di Terengganu menerima sumbangan khas daripada kerajaan negeri bagi mengatasi impak COVID-19 dalam sektor pendidikan.
Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar berkata sebanyak 14 buah sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang turut mendapat manfaat daripada sumbangan tersebut.
"Tanda ingat kita kepada sekolah dalam menangani pandemik COVID-19. Hati kita memang dekat dengan sekolah dan menjadi tanggungjawab membantu sekolah dan penduduk di DUN Ladang," katanya.
Beliau yang juga ADUN Ladang berkata demikian ketika berucap di Majlis Makan Tengahari Tautan Ukhuwah Sekolah - Sekolah Di DUN Ladang di sini hari ini.
Majlis tersebut telah dihadiri oleh 28 orang Guru Besar dan Pengerusi Persatuan Ibu bapa Dan Guru (PIBG)
Dalam perkembangan berbeza, beliau mengalu-alukan warga DUN Ladang ke pejabatnya bagi memohon sebarang bantuan.
"Kita cuba cepatkan bantuan yang diminta, bersedia mendengar keluhan daripada semua orang," ujarnya.
06 Jan 21
365
Anak Terengganu Juara Pertandingan Pidato Bahasa Korea 2020
KUALA TERENGGANU, 4 Januari – Amelya Shamira Kamarudin, 20, membuktikan anak kelahiran Terengganu mampu berjaya di tahap tertinggi selepas dinobatkan sebagai juara kategori kelas tinggi (advanced) dalam Pertandingan Pidato Bahasa Korea 2020, baru-baru ini.
Anak kelahiran Paka, Dungun itu berkata, kemenangan tersebut merupakan hasil pembelajaran sendiri dan menonton rancangan serta mendengar lagu Korea sejak daripada darjah empat.
“Bila menang, perasaan gembira tapi terkejut pun ada kerana dalam kalangan 32 peserta dari Malaysia lain, mereka pernah atau sedang belajar di Korea sedangkan saya sendiri tidak pernah pijak tanah di sana.
“Melalui pensyarah Bahasa Korea di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, saya mengambil bahagian mewakili negeri dan universiti sendiri,” katanya yang juga anak bongsu daripada lima adik beradik.
Amelya yang juga seorang mahasiswa UiTM Shah Alam, berjaya memenangi tempat pertama kategori kelas tinggi (advanced) dan membawa pulang trofi dan sijil anugerah serta cenderahati bernilai RM400 mengalahkan tiga peserta lain.
Sementara itu, menurut penganjur, peserta diberi tugas berpandukan dua tema iaitu ‘Dunia Yang Tidak Pernah Dialami’ dan ‘makna ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara Korea dan Malaysia’, sebagai tanda keutuhan hubungan antara dua negara.
Katanya, ia bagi memberi ruang dan peluang untuk membina kerjasama serta pertukaran budaya dan idea antara peserta mengenai pendidikan bahasa Korea di Malaysia.
Menurut Presiden Persatuan Penduduk Korea di Malaysia (KSM), Lee Tae Soo, minat masyarakat Malaysia terhadap Bahasa Korea serta budaya dan seni Korea Selatan secara menyeluruh semakin meningkat.
“Oleh sebab itu, pertandingan seperti ini wajar diperluas dan diperbanyakkan lagi pada masa hadapan,” katanya ketika berucap semasa program tersebut.
Sejak penganjuran pertama pada tahun 2001, program tersebut julung kali diadakan atas talian melalui platform ‘Zoom’, disebabkan kekangan situasi pandemik COVID-19 yang melanda di seluruh dunia.
Dalam perkembangan sama, Arini Ab Ghani memenangi pemenang Hadiah Utama (Grand Prize) manakala Gan Jing Lin memenangi kelas sederhana (Intermediate) dan Siti Aisyah muncul sebagai pemenang bagi kelas pertama (Beginner).
Program tersebut dianjurkan oleh Ketua Panitia dan Pensyarah Bahasa Korea Universiti Teknologi Mara (UiTM), Seo-Kyu Won dan Bang Ji Yeon dan International Education Centre (INTEC).
04 Jan 21
3076
Pasar Buku Besut Galak Rakyat Membaca
BESUT, 31 Disember - Parlimen Besut terus mengorak langkah dalam menanam minat membaca dalam kalangan rakyat selepas memperkenalkan program Pasar Buku Besut 2021.
Penyelaras Parlimennya, Ustaz Dr. Riduan Mohamad Nor yang juga Ahli Lembaga Pengarah Perpustakaan Awam Negeri Terengganu berkata, program itu akan berlangsung pada 21 hingga 28 Februari 2021.
Katanya, program selama lapan hari itu bertempat di Perpustakaan Awam Daerah Besut di Kampung Raja.
"Objektif kita mengadakan program ini adalah untuk menanam budaya membaca ke arah melahirkan masyarakat berpengetahuan, pemikir dan kreatif".
"Tujuan program ini juga dapat memberi peluang kepada penerbit kecil untuk menyertai jualan buku murah dengan harga berpatutan buat masyarakat Besut.
"Di samping itu juga dapat mempertingkatkan penglibatan masyarakat dalam aktiviti berkaitan pembacaan dan keilmuan sekali gus dapat mempromosikan Perpustakaan Awam Daerah Besut khususnya kepada masyarakat sekitar," ujarnya lagi.
Ini kerana jelasnya, kadar celik huruf rakyat Malaysia hampir ke angka 94.94 peratus mengikut laporan Adult and Youth Literacy Nasional Ragional and Global Trends 1985-2015.
"Kajian terbitan Unesco Institute for Stastistic pula mendedahkan secara purata rakyat Malaysia hanya membaca 15 hingga 20 buku setahun," katanya
Oleh itu, pihaknya menyasarkan program itu akan disertai 5,000 orang awam daripada pelbagai peringkat masyarakat, kanak-kanak hingga pelajar universiti, pekerja sektor kerajaan dan swasta.
31 Dec 20
222
YaPEIM Bantu Pelajar B40 UniSZA, UMT Lunas Yuran
KUALA NERUS, 30 Disember – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) menyalurkan bantuan berjumlah RM636,500 bagi membantu pelajar B40 Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) membayar yuran pengajian mereka.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) itu memberi manfaat kepada 593 orang pelajar UniSZA dan 680 pelajar UMT.
"Sejumlah RM296,500 disampaikan kepada UniSZA dan RM340,000 disampaikan kepada UMT khusus bagi membantu menyelesaikan pembayaran yuran mahasiswa dan mahasiswi daripada keluarga kurang berkemampuan di Universiti Awam (UA).
"Jutaan terima kasih kepada YaPEIM kerana menjalankan program ini yang bermula sejak 2016, selaku satu agensi di bawah seliaan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.
“Semoga kerjasama bersama IPT dieratkan lagi bagi mengenalpasti dan membantu mereka yang memerlukan dari semasa ke semasa.
“Kami tidak melupakan siswa dan siswi yang sedang menghadapi masalah yuran pembelajaran dan sentiasa mengambil cakna dan prihatin khususnya ketika era pandemic COVID-19," jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan sumbangan program dana Inspirasi Malaysiaku (Inspirasiku) di Dewan Al Muktafi Billah Shah, UniSZA Gong Badak semalam.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YaPEIM, Dato’ Mohd Redza Shah Abdul Wahid dan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bagi hasrat itu di masa hadapan, YaPEIM menyasarkan kutipan dana sehingga RM40 juta bagi membantu 40,000 pelajar miskin.
"Iaitu dengan kadar bantuan sehingga RM500 bagi pelajar sekolah dan RM1,000 bagi seorang pelajar IPT,” katanya.
Sementara itu, dalam program berkenaan, Dr Zulkifli turut merasmikan pelancaran buku 'Ulul Albab : Menyingkap Keajaiban Islam' di Studio Al-Quran, Pusat Islam Sultan Mahmud, UMT.
Naib Canselor UMT, Profesor Dato' Dr. Nor Aieni Mokhtar berkata, buku tersebut mengetengahkan hasil kajian saintifik melalui sembilan artikel berkaitan keajaiban islam yang dilaksanakan oleh 23 orang penyelidik Universiti di seluruh Malaysia.
“Pelbagai penemuan telah dapat membuka minda para pembaca khususnya dalam bidang teknologi pemakanan, kesihatan, genetik dan penternakan binatang,” katanya.
31 Dec 20
536
Tuisyen Rakyat, Nilai Tambah Kepada Projek Pendidikan
MARANG, 30 Disember - Program Tuisyen Rakyat menjadi satu nilai tambah kepada projek pendidikan walaupun dijalankan di saat akhir sebelum peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Februari depan.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Marang Sektor Pengurusan Sekolah, Mat Alhuda Hanafi berkata, program yang berteraskan peperiksaan awam yang utama seperti ini diharap dapat memberikan anjakan kepada pelajar yang bakal berdepan peperiksaan nanti.
"Terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi berkerjasama dengan kita, sama-sama membangunkan pendidikan di daerah Marang, demi melonjakkan pencapaian pendidikan anak-anak bangsa kita khususnya.
Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Marang, Sektor Pengurusan Sekolah, Mat Al Huda Hanafi
"Kita juga sentiasa menadah tangan jika ada pihak-pihak yang sudi menghulurkan bantuan seperti ini, di mana dapat memberikan kesan yang sangat baik dan mendalam,"katanya.
Menurutnya lagi, semasa Peperiksaan Percubaan SPM, Marang mendapat satu keputusan yang baik dengan lonjakan peningkatan semua subjek, bahkan Gred Purata daerah juga turut meningkat.
Beliau berkata ketika hadir merasmikan Program Tuisyen Rakyat Terengganu 2021 Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang hari ini.
Turut hadir adalah Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Hasan Awang.
Katanya, apa yang dibimbangkan, keadaan pelajar yang berada lama di rumah disebabkan pandemik Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan momentum dan semangat menempuhi peperiksaan sudah menurun.
"Namun apabila berlaku perubahan dan lanjutan tempoh peperiksaan, kita harapkan kelas tuisyen yang diadakan dapat memulihkan kembali semangat pelajar-pelajar ini.
"Saya juga percaya, semua guru juga berusaha untuk melakukan kaedah yang terbaik untuk pelajar-pelajar demi prestasi dan masa depan termasuk kerajaan negeri," tambahnya lagi.
30 Dec 20
624