lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

'Ini Hanya Tanda Koma, Bukan Titik Noktah' - MB Terengganu
'Ini Hanya Tanda Koma, Bukan Titik Noktah' - MB Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 Februari - "Kalau ada sekelumit atau sedikit kelemahan dalam apa-apa jua subjek ataupun keputusan peperiksaan, jangan jadikan itu sebagai suatu titik noktah, sebalikanya ia koma sahaja. "Kita berdiri dan akan bangkit kembali. Kalau orang main tinju, tak salah kena tumbuk, itu normal, yang salah bila jatuh tak bangun-bangun. "Walaupun kamu jatuh berkali-kali, kamu tetap perlu berdiri, percayakan diri kamu melebihi segala-galanya," ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menerusi laman facebooknya hari ini. Dalam persiapan menghadapi ujian tersebut, Menteri Besar Terengganu menyifatkan bidang menuntut ilmu dan menghadapi peperiksaan seperti SPM sebagai satu perjalanan tidak boleh dijangka. "Walaupun dalam 10 minit lagi, kita tidak akan tahu masa depan kita, banyak kejutan bakal berlaku. "Contohnya seperti membawa kereta ke Kuala Lumpur, seperti di lebuh raya, pelbagai halangan kita akan hadapi tanpa disangka seperti lubang atau haiwan melintas. Ada masa kita atau ayah masing-masing 'drive' elok-elok, tiba-tiba ada kereta keluar, kita tidak akan tahu. "Maknanya kita perlu bersedia dan waspada sepanjang masa, sama seperti anak-anak yang bakal menghadapi SPM tahun ini," katanya. Beliau turut menasihati para pelajar supaya menjadi lebih tegas dan menguatkan azam serta menyesuaikan diri kepada cabaran akan datang. "Percaya bahawa ekspidisi kehidupan akan datang juga tidak akan ceria dan menyenangkan sepanjang masa. Kehidupan dan perancangan tidak akan selalu terjadi seperti yang kita inginkan. "Dah fikir macam-macam, buat macam-macam, kadangkala tak dapat apa yang kita nak kerana itu adalah kehidupan dan itu sifat manusia. "Bukan hitam atau putih semata-mata tetapi penuh dengan warna-warnil, tetapi peperiksaan ini tidak bukan penghujungnya, ia hanyala satu koma dan bukan titik noktah," katanya lagi. Berdasarkan rekod daripada Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), seramai 18,743 pelajar bakal menduduki peperiksaan SPM 2020 di Terengganu, merangkumi 837 calon persendirian, pada minggu hadapan. - Gambar fail - Hishamuddin Abdullah.
18 Feb 21
1102
Al-Kahf, Permainan Uji Minda Buat Penggemar Astronomi
Al-Kahf, Permainan Uji Minda Buat Penggemar Astronomi
KUALA TERENGGANU, 16 Februari - Selain melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, ibu bapa boleh membina minat anak-anak tentang astronomi dengan hasil inovasi daripada Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA). Sebagai antara pelopor bidang pengajian ilmu falak di Malaysia, UniSZA berusaha memberikan pendedahan kepada pelajar-pelajar tentang keindahan astronomi atau dikenali sebagai ilmu falak melalui sebuah papan permainan (gameboard) yang dinamakan AL-KAHF. Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Roslan Umar dari Fakulti Pengajian Kontemporari Islam yang mengetuai projek berkenaan, permainan Kembara Alam Hartawan Falak (AL-KAHF) merupakan inovasi ‘gameboard’ yang dibangunkan bagi mempromosikan minat para pelajar kepada ilmu sains terutama ilmu astronomi dengan kaedah menyeronokkan. Dr. Roslan bersama produk AL-KAHF. “Memiliki konsep sama dengan papan permainan lain seperti Saidina dan Jutaria, AL-KAHF diubah suai dengan memperkenalkan pemain dengan perkara berkaitan falak.  “Jika kebiasaannya, mereka akan beli rumah dan hotel di setiap pusingan, kali ini mereka beli balai cerap, pusat sains serta agensi angkasa negara. Selain membeli tanah, mereka juga akan membina teleskop,” jelasnya. Lebih menarik, produk tersebut turut dilengkapi kad AL-KAHF yang menyediakan aplikasi AR yang boleh digunakan bersama telefon pintar. Pembangunan AL-KAHF dimulakan sejak 2018 melalui gabungan tenaga bersama Prof. Madya Ts. Dr. Nor Hazmin Sabri dari Fakulti Sains Sekitaran Marin, Universiti Malaysia Terengganu (UMT); Dr. Mohd Hasrul Shuhari (Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, UniSZA); Ts. Dr. Ismahafezi Ismail dari (Fakulti Informatik & Komputeran, UniSZA) dan pelajar UniSZA iaitu Ahmad Najmuddin Zulkeflee, Ahmad Ezzuddin Mohamad serta Ahmad Solihin Sira Juddin. “Ideanya bermula sejak saya mengajar tahun 2005 ketika dikenali sebagai Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KuSZA), selalu muncul banyak persoalan tentang astronomi seperti  betul ke bulan akan jadi besar Marikh? Betul ke arah kiblat berubah, boleh ke kita tengok kiblat menggunakan matahari? “Persoalan-persoalan itu membuatkan saya terfikir bagaimana untuk buat pelajar faham tentang astronomi dengan mudah. Itu antara penyebab saya memulakan inovasi permainan ini,” cerita Dr. Roslan. Al-KAHF terbukti berjaya menarik minat para pendidik kerana telah memenangi beberapa pertandingan penyelidikan dan inovasi yang dipertandingkan antaranya ialah Minggu Penyelidikan dan Inovasi 2020 (MPI 2020), UniSZA Carnival on e-Learning 2019 (UniCEL 2019) dan International University Carnival on E-Learning 2019 (IUCEL 2019).  Kini, produk tersebut telah memasuki versi keempat serta boleh didapati melalui pembelian dalam talian.  
16 Feb 21
1031
PdPR : Ibu Bapa Jambatan Antara Guru Dan Pelajar
PdPR : Ibu Bapa Jambatan Antara Guru Dan Pelajar
KUALA TERENGGANU, 16 Februari – Cabaran sektor pendidikan terutamanya dalam Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu dilihat dari sudut positif oleh semua pihak terutamanya ibu bapa agar ilmu dapat disampaikan secara berkesan dengan berkat. Seorang guru Sekolah Menengah Sains Pasir Puteh, Dr. Salbiah Mohamad Salleh berkata, disebabkan penularan COVID-19, situasi PdPR sedang dialami di seluruh dunia perlu dilihat sebagai suatu peluang. “Bagi ibu bapa, mereka boleh memantau dan melihat sendiri proses pembelajaran anak-anak mereka yang mungkin jarang diperhatikan sebelum musim pandemik. “Para pelajar juga berpotensi untuk membina kemahiran aplikasi digital serta belajar menggunakan pelbagai bahan online yang telah dibikin oleh pihak guru dan sekolah. “Oleh itu, corak pemikiran ibu bapa perlu bersikap terbuka dalam memastikan PdPR berjalan lancar di rumah, jika ada sebarang masalah boleh rujuk kepada guru dan tidak perlu ‘complain’ secara terbuka dalam kumpulan ‘Whatsapp’,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI, baru-baru ini. Sementara itu, Guru Matematik Viral, Fadli Salleh menyuarakan pendapat sama mengenai PdPR sebagai tanda pendidikan tidak akan berhenti dengan fokus kepada ibu bapa sebagai jambatan kepada ilmu antara pelajar dan pengajar. “Rintihan dan komen ibu bapa sentiasa diteliti kerana mereka juga terlibat sebagai penyambung antara pelajar dan guru dalam memastikan pembelajaran berjalan lancar. “Hasilnya, adaptasi dan penambahbaikan sentiasa dibuat oleh para guru terhadap PdPR berbanding dengan awal tahun lepas dimana berlaku sedikit kekalutan. “Sedikit demi sedikit kerjasama antara dua pihak dapat mengatasi kekangan yang ada, contohnya kebanyakan anak murid telah memiliki gajet, bantuan daripada kerajaan negeri juga mendorong kepada penambahbaikan PdPR,” katanya. Tambahnya, pendapat ibu bapa masa kini juga semakin positif dan ada di kalangan pelajar sudah mahir untuk menganjurkan ‘Google Meet’ dengan sendiri. Menjawab tentang dakwaan kontroversi ‘cikgu makan gaji buta’, Fadli menjawab, sangkaan tersebut tidak betul dan perlu difahami situasi guru juga, ramai yang pertama kali atau belum bersedia untuk menghadapi pembelajaran online. “Kebanyakan guru yang bagus dan ‘otai’ dalam pengajaran fizikal tetapi mengalami sedikit kejutan budaya dengan kaedah norma baharu, namun begitu, hikmah sekarangnya adalah cikgu-cikgu sekarang sudah mula kuasai teknologi dari masa ke semasa "Tarikh menghantar kerja sekolah kini sesetengah sudah fleksibel dan guru juga perlu memainkan peranan dalam menilai faktor geografi dan kedudukan sosial pelajar dalam membentuk bahan pelajaran sama ada guna Live atau video,” tambahnya.  
16 Feb 21
1088
'Cakna Didik Marang Hebak' Siri Dua Bantu 20 Pelajar Miliki Telefon Pintar
'Cakna Didik Marang Hebak' Siri Dua Bantu 20 Pelajar Miliki Telefon Pintar
MARANG, 9 Februari - Pemberian bantuan telefon pintar untuk melancarkan lagi proses pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) melalui program Cakna Didik Marang Hebak diteruskan lagi untuk fasa kedua dengan melibatkan 20 pelajar kurang berkemampuan dalam kalangan keluarga B40 di daerah ini. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, inisiatif Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang itu menyasarkan 100 pelajar kurang berkemampuan menerima kemudahan tersebut sebelum akhir bulan ini. "Program ini telah dilaksanakan secara berperingkat dengan permulaan agihan sebanyak 10 unit telefon pintar dan 100 tambah nilai internet kepada pelajar kurang berkemampuan di Marang bagi fasa pertama. “Hari ini, program diteruskan lagi dengan agihan 20 unit telefon pintar untuk diserahkan kepada pelajar yang telah dikenalpasti oleh Pejabat Pendidikan Daerah Marang terdiri daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Telanai, SMK Seri Payong, SMK Tengku Lela Segara serta SMK Seberang Marang,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan Penyerahan Telefon Pintar oleh Pejabat Daerah Marang kepada Pejabat Pendidikan Daerah Marang untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di Pejabat PINTAR, DUN Alur Limbat, hari ini. Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak. Katanya, Program Cakna Didik Marang Hebak yang digerakkan menerusi hasil sumbangan pelbagai pihak termasuk Pejabat Parlimen Marang, syarikat swasta serta individu itu akan diteruskan untuk fasa ketiga pada 16 Februari ini dengan agihan sebanyak 20 unit telefon pintar kepada pelajar memerlukan di setiap DUN di daerah Marang ini. “Diharapkan ini bukan yang terakhir dan kita mengalu-alukan syarikat korporat serta orang perseorangan tampil menyumbang untuk meneruskan program yang sangat baik ini,” ujarnya. Sementara itu, Ariffin berkata, kerajaan negeri memandang serius isu dan kesukaran yang dihadapi pelajar yang tidak berkemampuan untuk menjalani pdPR ketika ini. “Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengumumkan Bantuan Ekonomi Rakyat 2021 (BERKAT) yang merangkumi bantuan 1,600 tablet kepada pelajar miskin serta tambah nilai internet RM100 kepada semua pelajar daripada keluarga yang berpendapatan kurang RM2,500. “Bantuan seumpama ini akan membantu lebih ramai pelajar yang tidak berkemampuan khususnya untuk menjalani PdPR serta dapat meringankan beban ibu bapa untu kmemastikan anak-anak mereka dapat belajar dengan sempurna dalam norma baharu ini,” ujarnya.  
09 Feb 21
1233
Jabatan Amal Malaysia Pantau Pembukaan PASTI
Jabatan Amal Malaysia Pantau Pembukaan PASTI
SETIU, 8 Februari - Jabatan Amal Malaysia Kawasan Setiu (JAMKS) yang diberi jolokan 'semut merah' ditugaskan memantau sesi pembukaan persekolahan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang memulakan operasinya, Sabtu lalu. Komandan Jabatan Amal Malaysia Kawasan Setiu, Wan Mohammad Izzuddin Wan Hamzah berkata, pihak Jabatan Amal telah mengambil langkah awal dengan mengadakan operasi sanitasi yang melibatkan sebanyak 30 buah PASTI di kawasan Setiu. Operasi sanitasi oleh Jabatan Amal Malaysia "Langkah kedua yang kita ambil dengan membuat penaziran terhadap Prosedur Operasi Standard (SOP) setiap PASTI seperti penjarakan antara meja murid, panunjuk arah dan tahap kesihatan setiap murid yang hadir ke PASTI," katanya. Sesi persekolahan bersemuka PASTI yang bermula hari ini menekankan pematuhan SOP yang ketat dengan tidak membenarkan ibu bapa atau penjaga memasuki premis dan anak-anak pelajar yang tidak sihat tidak dibenarkan mengikuti sesi persekolahan. Tambahnya lagi, diharap kepada semua ibu bapa supaya dapat mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan demi keselamatan bersama.
08 Feb 21
1156
Parlimen Kuala Terengganu Taja Yuran Pelajar Genius
Parlimen Kuala Terengganu Taja Yuran Pelajar Genius
KUALA TERENGGANU, 7 Februari - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim memaklumkan, pihaknya telah bersetuju menaja yuran pengajian pelajar genius, Muhammad Mu’az Zhofri Mohamad Yong, 13, yang menyambung pelajaran ke Kolej Genius Insan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Negeri Sembilan. Jelasnya, tajaan itu dimaklumkan melalui pegawainya yang berkunjung ke kediaman pelajar tersebut di Kampung Losong Wakaf Nyor Kembar, baru-baru ini. "Kita bersetuju parlimen bantu membayar yuran pendaftaran dan sediakan pengangkutan. Manakala, kita telah berbincang dengan pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan untuk membantu keperluan dan kelengkapan kolejnya," jelasnya melalui satu kenyataan di laman Facebooknya, baru-baru ini. Sementara itu, ADUN Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah sempat menziarahi keluarga berkenaan minggu lalu dan menyatakan kesediaan kerajaan negeri membantu mereka. “Jika pelajar biasa pun kita bantu, apatah lagi seorang pelajar yang cerdik, akan lebih lagi kita (kerajaan) bantu. Beliau dari keluarga yang susah kerana ketua keluarga (bapa) sakit dan tidak boleh bekerja. "Pihak kerajaan negeri dan saya sendiri selaku ADUN tidak akan membiarkan adik Muhammad ini terkandas di sini, kerana beliau selayaknya dibantu," katanya. Jelas Wan Sukairi, bapa Muhammad, Mohamad Yong Awang, 62, mengalami masalah lumpuh sebahagian anggota badan hampir dua tahun lalu. Kini, ibunya Rosimah Yusof, 50, yang menggalas tugas mencari sumber pendapatan dengan mengambil upah menjaga bayi.   
07 Feb 21
555
84 Pusat Internet Di Terengganu Beroperasi Bantu PdPR
84 Pusat Internet Di Terengganu Beroperasi Bantu PdPR
KUALA TERENGGGANU, 4 Februari - Sebanyak 84 pusat internet komuniti di Terengganu akan beroperasi bermula Ahad ini bagi menampung keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) pelajar-pelajar sekolah di negeri itu. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman memaklumkan, daripada jumlah itu sebanyak 20 Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) turut beroperasi bermula jam 8.00 pagi sehingga 5.00 petang setiap hari kecuali Jumaat. "Kita ada 37 buah PINTAR keseluruhannya, namun hanya 20 yang akan beroperasi dahulu sementara proses naik taraf dilakukan. "Selain itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Terengganu juga membantu kita dengan membenarkan 64 pusat internet komuniti turut beroperasi bagi menampung keperluan PdPR pelajar," katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media PINTAR Terengganu sebagai Hab PdPR di Wisma Darul Iman, semalam. Turut hadir, Setiausaha Bahagian Pembangunan Teknologi Maklumat Negeri, Zuwislan Awang dan Ketua Pegawai Eksekutif Top IT Industries Sdn Bhd, Azwa Othman. Jelasnya, usaha tersebut bagi menyelesaikan masalah internet pelajar dan perkakasan untuk PdPR yang diperlukan. "Kita akan buka kepada para pelajar yang memerlukan untuk berkunjung ke sini secara janji temu di mana terdapat kemudahan 10 hingga 20 buah komputer di setiap PINTAR yang mampu memberi manfaat kepada kira-kira lima pelajar dalam satu-satu masa, menjadikan jumlah keseluruhan kira-kira 900 pelajar bagi satu-satu masa. "Setakat ini, kita sudah dapatkan pandangan pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan sedang menunggu jawapan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) mereka untuk disesuaikan di PINTAR," katanya. Tambahnya, 20 lokasi PINTAR yang akan beroperasi adalah Pengkalan Kubur, Kuala Besut, Kota Putera, Jertih, Padang Luas, Hulu Besut, Seberang Kastam, Permaisuri, Guntung Luar, Batu Rakit, Durian Burung, Paya Keladi, Teluk Ketapang, Bukit Tunggal, Teluk Pasu, Kuala Berang, Manir, Alor Limbat, Rhu Rendang dan Paka. Maklumat berkenaan lokasi, operasi, SOP dan janji temu bagi PINTAR boleh didapati di portal top-it.com.my.      
04 Feb 21
1864
Sasar Bantu 100 Pelajar Miliki Telefon Pintar Mudahkan PdPR
Sasar Bantu 100 Pelajar Miliki Telefon Pintar Mudahkan PdPR
MARANG, 2 Februari - Pejabat Daerah Marang dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Marang menyasarkan 100 pelajar kurang berkemampuan memiliki kemudahan peranti mudah alih atau telefon pintar sendiri agar sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) secara atas talian berjalan lancar. Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak berkata, selain itu menerusi Program Cakna Didik Marang Hebak itu juga, pihaknya akan mendapatkan sumbangan bagi 1,000 lagi pelajar bagi bantuan kewangan untuk pembelian tambah nilai internet. “Program ini bertujuan membantu meringankan beban keluarga yang kurang berkemampuan, mempunyai bilangan anak yang ramai serta ibu bapa yang bekerja dan keperluan kepada telefon serta keperluan kos tambah nilai internet untuk pelajar mengikuti pembelajaran secara atas talian. “Kita sasarkan dapat bantu 100 pelajar miliki telefon pintar menjelang akhir bulan ini dan 1,000 pelajar akan dapat manfaat bantuan kewangan secara tunai bagi pembelian data atau tambah nilai secara berperingkat,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan 10 unit telefon pintar hasil sumbangan pelbagai pihak kepada Pejabat Pendidikan Daerah Marang untuk diagihkan kepada pelajar yang layak di sini, hari ini. Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Sulaiman Sulong. Katanya, program tersebut telah mendapat perhatian pelbagai pihak yang ingin turut sama membantu dengan dana permulaan yang diterima sebanyak RM5,000 untuk perolehan 10 unit telefon pintar dan simkad serta bantuan kewangan bagi pembelian tambah nilai internet. “Sumbangan awal diterima melalui Syarikat Marang Coara Sdn Bhd dan beberapa penyumbang individu, dimana seorang penyumbang boleh membantu seorang pelajar dengan kadar RM250 satu peranti mudah alih dan RM20 untuk pembelian data. “Justeru pihak kami sangat mengalu-alukan lebih ramai pihak untuk tampil menghulurkan sumbangan bagi membantu pelajar menghadapi cabaran PdPR di kala kita semua diuji dengan pandemik COVID-19,” ujarnya.  
02 Feb 21
349
PdPR Cabaran Untuk Guru Luar Bandar
PdPR Cabaran Untuk Guru Luar Bandar
DUNGUN, 28 Januari- Pelaksanaan Proses Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) menjadi cabaran kepada guru yang berada di kawasan pedalaman. Perkara tersebut turut diakui Guru Besar Sekolah Kebangsaan Tepus, Noraini Ab Hamid yang memberitahu keadaan sedemikian dialami para guru di sekolah beliau yang terletak di Hulu Dungun. Katanya, antara masalah yang dihadapi termasuk jaringan telekomunikasi yang kurang memuaskan menjadikan proses PdPR sukar untuk dilaksanakan. "Komitmen para pelajar memberikan tumpuan melalui proses pembelajaran ini agak payah kerana ketiadaan capaian internet. "Menyedari hakikat kesukaran yang dialami oleh para murid dan ibu bapa kita di peringkat sekolah sentiasa mencari inisiatif termasuk dengan menyerahkan kertas latihan kepada murid yang diambil di sekolah untuk disiapkan di rumah," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Sumbangan Prihatin COVID-19 kepada 20 buah sekolah di DUN Bukit Besi, di Pusat Khidmat Masyarakat DUN (PKMD) Bukit Besi oleh Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman, hari ini. Turut hadir Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Khaziman Khalik. Sementara itu, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bukit Besi, Badariah Muda berkata, para guru tiada masalah dan sentiasa bersedia untuk melaksanakan PdPR dan boleh memberikan komitmen sepenuhnya. "Tetapi ibu bapa perlu memainkan peranan bagi memastikan proses pembelajaran demikian dapat diikuti dengan baik.  "Kita juga turut memahami bahawa tidak semua ibu bapa mampu menyediakan peranti kepada anak-anak mereka sehinggakan ada yang terpaksa menunggu ibu bapa pulang dari kerja dahulu baru berpeluang menggunakan peranti berkenaan dan melihat kepada latihan yang diberikan," ujarnya. Sementara itu Ghazali berharap agar segala kekurangan di DUN berkenaan tidak dijadikan halangan untuk para guru terus memberikan pendidikan yang terbaik buat anak-anak di DUN Bukit Besi. "Sebaliknya perlu sentiasa proaktif dan perlu mencari jalan bagaimana untuk mengadaptasi pembelajaran ketika pandemik melanda negara ketika ini. "Juga kita menyarankan agar pelajar tingkatan lima di pedalaman ini diwajibkan untuk tinggal di asrama kerana mereka akan menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun ini dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) dipatuhi dengan sebaik-baiknya. "Supaya dapat memastikan mereka menumpukan sepenuhnya pada peperiksaan berkenaan tanpa ada masalah, juga diharapkan agar ibu bapa memberikan komitmen serta motivasi kepada anak-anak agar bersedia menduduki peperiksaan penting itu," ujarnya. Katanya, sumbangan yang disampaikan sebanyak RM 10,000 kepada seluruh sekolah di DUN berkenaan iaitu 15 buah sekolah rendah dan lima buah sekolah menengah merupakan sumbangan prihatin bagi pengurusan keseluruhan sekolah berkenaan.  
28 Jan 21
1319
Manfaatkan PKP, Guru Cipta Tangga Ke Angkasa
Manfaatkan PKP, Guru Cipta Tangga Ke Angkasa
KUALA TERENGGANU, 28 Januari - Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengekang masyarakat daripada menjalani kehidupan harian secara normal tidak menghalang sekumpulan guru untuk mengembangkan bakat mereka. Sejak bermulanya PKP 1.0 pada tahun lalu, para guru dari Sekolah Kebangsaan Bintang atau BESTars di Setiu memanfaatkan masa bagi meningkatkan keceriaan serta kemudahan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) sekolah dan salah satunya adalah ‘tangga ke angkasa' yang dinamakan Outer Space bagi menarik minat para pelajar. Guru Besarnya, Zanariah Jaafar memaklumkan, guru-guru telah merubah tangga laluan utama ke pejabat sekolah menjadi 'ruangan angkasa' bagi meningkatkan minat murid-murid sekolah berkenaan terhadap ilmu astronomi. "Sekolah kami dikategorikan sebagai sekolah luar bandar dan ramai anak-anak di sini tidak pernah berpeluang untuk melihat sendiri kemudahan dan kecanggihan teknologi seperti yang ada di Pusat Sains Negara dan Petrosains. "Jadi, ketiadaan pelajar di sekolah ketika PKP dan PKP Bersyarat lalu, guru-guru cuba membawa suasana tersebut ke dalam sekolah,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sekolah terbabit, baru-baru ini. Laluan masuk ke Outer Space. Menurutnya, penambahbaikan dari segi keceriaan dalaman dan luaran itu merupakan salah satu aspek yang dilakukan pihak sekolah dalam mewujudkan pembestarian sekolah dari segi ICT dan kemudahan pembelajaran secara maya. “Perubahan-perubahan ini turut melayakkan sekolah menyertai Anugerah Festival Digital Teknologi Pendidikan Negeri Terengganu 2020 mewakili daerah Setiu. “Lebih membanggakan, kami berjaya menjadi johan Pembestarian Sekolah dan turut mendapat naib johan bagi Ikon Robotik Murid Bestari Cemerlang,” katanya. Dalam pada itu, Pegawai Pendidikan Daerah Setiu, Mohd Yasmin Yusof menzahirkan kebanggaan atas usaha tersebut.  “Kesungguhan beliau dan sokongan guru-guru telah berjaya meletakkan sekolah di tahap yang tinggi. Kita menyokong penuh usaha ini dan menjadi contoh kepada sekolah-sekolah lain,” katanya ketika dihubungi, hari ini. Jelasnya, pembestarian sekolah bukan setakat menghias, menceriakan sekolah tetapi lebih penting lagi ialah manfaat dari segi pendidikan kepada pelajar.  “Beza antara sekolah luar bandar dan di bandar ini adalah pergantungan pelajar kepada sekolah amat besar. Di kawasan bandar, anak-anak ini boleh dapat kemudahan dan kemahiran terutama ICT di pelbagai cabang. “Di luar bandar, kekurangannya ialah anak-anak bergantung kepada sekolah. Kalau sekolah tidak memperkasakan perkara ini, maka kemahiran pelajar dari segi ICT, ilmu mengenainya akan terjejas. “Apabila BESTars memperkasakan aspek ini dengan membuat perubahan-perubahan dari segi fizikal untuk menarik minat pelajar, meski dengan kekurangan mereka akan seronok untuk belajar,” katanya. Tambahnya lagi, pada masa yang sama memberi impak dengan pelajar akan seronok untuk hadir ke sekolah.  
28 Jan 21
387