lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

UC TATI Jalin Kerjasama Dengan Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd
UC TATI Jalin Kerjasama Dengan Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd
KUALA TERENGGANU, 26 Februari- Kolej Universiti TATI (UC TATI) memeterai  Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd. bagi mewujudkan pentas kolaborasi kebajikan untuk meringankan beban pelajar dan kakitangan institusi berkenaaan. Rektor UC TATI, Prof Dr Anuar Ahmad berkata, menerusi kerjasama yang ditandatangani dalam satu majlis di Bangunan Canselori, UC TATI di Kemaman, Ar Rayyan Optometrist Sdn. Bhd. bakal berperanan menjadi pembekal cermin mata kepada para pelajar dan kakitangan UC TATI. Katanya, sumbangan menerusi kad baucer eksklusif itu bernilai RM524,000. "Melalui kad tersebut, pemegang kad baucer eksklusif berhak menerima diskaun sehingga 40 peratus untuk pembelian bingkai dan cermin di semua cawangan Ar Rayyan Optometrist.  "Bagi pelajar golongan B40 pula, Ar Rayyan Optometrist akan memberi sumbangan cermin mata secara percuma," ujarnya. Katanya, penularan COVID-19 memberikan impak negatif kepada kehidupan dan keperluan semua lapisan masyarakat.  "Diharapkan sumbangan ini dapat membantu pelajar meneruskan pembelajaran dengan jelas dan yakin, demi mengejar cita-cita dan seterusnya mengubah nasib keluarga," tambah beliau. Dalam pada itu Anuar berkata, dengan penarafan 5 bintang yang diberikan oleh Kementerian Pengajian Tinggi, UC TATI juga ingin meningkatkan kerjasama dari segi akademik, industri dan juga kebajikan.
26 Feb 21
957
PAS-T Sedia Kemahiran Vokasional Anak Autism
PAS-T Sedia Kemahiran Vokasional Anak Autism
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Terengganu kini dalam proses menyiapkan Pusat Autisme Sejahtera Terengganu (PAS-T) iaitu pusat jagaan anak-anak autism yang menyediakan pendidikan kemahiran vokasional bagi memupuk nilai berdikari. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, pusat tersebut telah menelan belanja kos kira-kira RM2 juta dan dijangka bakal beroperasi pada Jun depan di Batu Buruk “Bangunan (belakang Kuala Terengganu Specialist Hospital) tersebut telah diubahsuai daripada kuarters kerajaan lama yang mempunyai empat bangunan, melibatkan kos termasuk kos operasi, kelengkapan pembelajaran kira-kira RM2 juta. “Kita akan menempatkan golongan sasar tersebut seawal dari umur tiga tahun. “Kebanyakan pusat autisme tidak memfokuskan pendidikan secara menyeluruh, oleh itu, model baharu yang dirangka ini akan memfokuskan kemahiran vokasional, kelas bersama pengajar pertuturan, kelas al-Quran dan lain-lain lagi,” katanya ketika ditemubual pemberita, baru-baru ini. Tambahnya, melalui kesinambungan pendidikan yang diberi secara percuma kepada golongan B40, pusat tersebut dapat melahirkan lepasan berumur 17 hingga 18 tahun dengan kemahiran melakukan kerja dan mampu membina hidup sendiri. Terdahulu, cadangan pembangunan pusat model baharu itu telah dibentangkan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato' Seri Rina Mohd Harun dalam pertemuan di Putrajaya baru-baru ini. Untuk rekod, terdapat lebih 500 kanak-kanak autism di seluruh Terengganu yang berdaftar di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat.
26 Feb 21
930
Bimbingan Dan Nasihat Ramuan Kejayaan Anak-anak SPM
Bimbingan Dan Nasihat Ramuan Kejayaan Anak-anak SPM
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 23 Februari – Bimbingan nasihat daripada guru dan ibu bapa amat penting bagi memastikan para pelajar berada pada tahap terbaik dan sentiasa fokus ketika menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, calon SPM hendaklah memberi tumpuan sepenuhnya pada peperiksaan itu kerana ia menentukan masa hadapan. “Saya berharap sebagaimana pertemuan di antara guru dan pelajar selepas selesai peperiksaan kertas pertama tadi, saya menasihati mereka supaya kekal bertenang menghadapi peperiksaan dalam suasana COVID-19. “Apa yang penting, saya katakan tadi ialah mereka (pelajar) mesti fokus kepada persiapan yang telah dibuat sebelum ini,” ujarnya ketika ditemui pihak media selepas mengadakan pertemuan bersama calon SPM di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin Ladang (SMASZA), Kuala Terengganu, semalam. Turut bersama, Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS), Asp Mohd Adirra Ramli, Penolong Kanan Pentadbiran, Mohd Almeida Mohd dan Pegawai Penyelidik DUN Terengganu, Mohd Khairul Nizam Suhaimi serta Pegawai Khas Speaker DUN Terengganu, Ukasyah Hasan. Justeru itu, mewakili kerajaan negeri, beliau berdoa dan mengharapkan agar semua calon peperiksaan SPM akan mendapat keputusan terbaik. “Saya ada bertanya beberapa orang pelajar, apa cita-cita dan apa yang mereka minat, sekiranya mereka mendapat keputusan yang cemerlang serta melayakkan mereka untuk menyambung ke institusi pengajian tinggi (IPT). “Saya katakan kepada mereka, ia satu perancangan yang sangat baik," ujar Dato’ Yahaya. Sementara itu, Pengetua SMASZA, Azanol Muda berkata, seramai 87 orang pelajar SMASZA menduduki peperiksaan SPM bermula hari pada 22 Februari, baru-baru ini. Manakala, katanya seramai 10 orang petugas peperiksaan dilantik bagi memantau calon-calon peperiksaan berkenaan. “Setakat ini kita (pihak sekolah) mengikuti SOP (prosedur operasi standard) dengan penjarakan fizikal, pelajar kita wajibkan pakai pelitup muka, penjarakan dalam kelas, jika kebiasaanya dalam kelas 30 orang namun sekarang ini hanya memuatkan 15 orang sahaja,” jelasnya. Sehubungan itu, beliau berharap agar para pelajar dapat menumpukan sepenuh perhatian pada peperiksaan ini hingga ke akhir penamatnya. “Walaupun ada kekangan dan halangan serta sikit kepayahan prosedurnya, tetapi jangan jadikan itu halangan. Sebaliknya jadikan ia sebagai satu peluang untuk kita buktikan bahawa, kita sedia hadapi cabaran itu,” tegasnya. Di Terengganu, seramai 18,743 calon SPM termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan SPM 2020, di 169 pusat peperiksaan seluruh negeri bermula 22 Februari hingga 25 Mac ini.
23 Feb 21
388
Dua Bekas Pesakit COVID-19 Tenang Duduki SPM 2020
Dua Bekas Pesakit COVID-19 Tenang Duduki SPM 2020
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Pengalaman dan keperitan sepanjang menjalani rawatan selepas disahkan positif COVID-19, tidak menghalang dua calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020, hari ini. Walaupun hanya sempat mengikuti sesi persekolahan secara bersemuka selama 10 hari sebelum sekolahnya diarahkan tutup susulan dia dan rakan serta seorang gurunya disahkan positif COVID-19, tetapi mangsa mengakui tidak sedikitpun menganggu emosinya. Sebagai persediaan menduduki peperiksaan, dia dan rakannya mengikuti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sepanjang melalui proses rawatan selama 14 hari mulai akhir bulan lalu. "Selepas disahkan sihat, saya dan rakan tidak pulang ke rumah, sebaliknya memilih untuk menetap di asrama sekolah bagi meneruskan mengikuti PdPR bersama 18 lagi rakan yang terpaksa menjalani proses kuarantin di asrama sekolah. "Dorongan oleh guru, rakan dan doa daripada ibu bapa menyemarakkan semangat kami melangkah ke dewan peperiksaan hari ini," ujarnya ketika ditemui hari ini. Selain dia dan rakan serta gurunya disahkan positif COVID-19, sehingga menyebabkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Besar ditutup, empat lagi rakannya yang tidak tinggal di asrama terpaksa menjalani proses rawatan, tetapi disahkan negatif. Dia mengakui proses rawatan selepas disahkan positif COVID-19, tidak sedikitpun menganggu emosinya, malah menyemarakkan semangatnya mencipta kecemerlangan. Dalam pada itu, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani mengulas, beliau berpuas hati dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pengurusan sekolah dan calon SPM 2020. "Seramai 18,743, termasuk calon SPM 2020 pensendirian menduduki peperiksaan di 169 pusat peperiksaan di seluruh negeri," jelasnya ketika ditemui selepas membuat tinjauan di Sekolah Menengah  Agama (SMA) Tok jiring, Kuala Nerus, di sini pagi tadi.  
22 Feb 21
821
Tiada Pelukan, Ibu Calon SPM Mampu Iring Anak Dari Jauh Saja
Tiada Pelukan, Ibu Calon SPM Mampu Iring Anak Dari Jauh Saja
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Keadaan begitu berbeza pada tahun ini, buat pertama kali tiada lagi iringan dan pelukan ibu dan ayah sebelum anak-anak melangkah masuk ke dewan peperiksaan bagi menghadapi ujian yang bakal menentukan hala tuju mereka selepas ini. Mastura Mohammad. Seorang ibu, Mastura Mohammad, 51, mengakui beliau terpaksa akur dengan keadaan tersebut ekoran wabak pandemik yang melanda seluruh dunia itu. "Dah sebulan saya tak jumpa anak saya yang menginap di asrama sekolah. Saya maklum pihak sekolah tak benarkan kami ibu bapa masuk ke kawasan sekolah, dapat tengok anak-anak pelajar masuk ke dewan peperiksaan hari ni dari luar pagar sekolah dah cukup melegakan. "Alhamdulillah mereka dijaga dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Saya memahami itu semua bagi menjaga keselamatan anak saya serta rakan-rakannya," ujar ibu kepada Adib Alaudin Kamaruzaman, 18, ketika ditemui pemberita di luar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas, Tok Jiring di sini pagi tadi. Tambahnya sedikit sebak, beliau mendoakan agar Adib dan calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 dapat menjawab dengan tenang dan dipermudahkan segala urusan bagi anak-anak. "Saya doakan dia moga selamat, selawat banyak-banyak, saya sebagai ibu halalkan semuanya," katanya yang juga seorang pembantu tadbir.
22 Feb 21
1509
18,743 Calon SPM Terengganu Duduki Peperiksaan Mulai Hari Ini
18,743 Calon SPM Terengganu Duduki Peperiksaan Mulai Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Seramai 18,743 calon termasuk 899 calon persendirian mendaftar untuk menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 di 169 pusat peperiksaan seluruh Terengganu bermula hari ini hingga 25 Mac ini. Salim Ab Ghani. Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Salim Ab Ghani berkata, bagi memastikan kelancaran pengurusan dan pengendalian peperiksaan tersebut, seramai 1,427 petugas peperiksaan dilantik. "Berlaku penambahan petugas peperiksaan berikutan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Bilik-bilik peperiksaan ditambah, begitu juga dengan petugas. "Juga tinjauan kita di beberapa buah sekolah sebelum ini mendapati terdapat bilik-bilik yang dikhaskan dan mereka sangat akur dengan SOP yang ada. Kesemua calon serta petugas memakai pelitup muka sepanjang masa," katanya. Beliau berkata demikian pada satu sidang media ketika lawatannya ke Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Dato' Haji Abbas, Tok Jiring di sini pagi tadi. Dalam pada itu, beliau turut berterima kasih kepada Kementerian Pendidikan yang memberi garis panduan serta SOP yang sangat jelas. "Saya ucap terima kasih kepada kementerian yang memberi SOP yang sangat jelas serta pengetua-pengetua sekolah yang mematuhi arahan sepatutnya. "Diingatkan agar ibu bapa calon khususnya memberi kerjasama sepenuhnya menjaga anak-anak mereka di rumah dengan mematuhi setiap arahan," jelasnya. Semua calon juga hendaklah mematuhi Garis Panduan Pengurusan Pentaksiran Pusat dan Peperiksaan Awam yang terkandung dalam Garis Panduan Pengurusandan Pengoperasian Sekolah Dalam Norma Baharu 2.0 dan SOP yang ditetapkan bagi memastikan kelancaran pengurusan peperiksaan serta mencegah penularan wabak Covid-19. 
22 Feb 21
426
Kit Peperiksaan Suntik Semangat Pelajar
Kit Peperiksaan Suntik Semangat Pelajar
KUALA NERUS, 22 Februari - Lebih 450 unit kit peperiksaan disedia dan diagihkan kepada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM 2020) bagi menyuntik semangat mereka. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, suntikan semangat adalah penting kerana mereka telah berdepan dengan pelbagai cabaran susulan penularan pandemik COVID-19. “Kita agihkan kit ini dari rumah ke rumah kepada mereka sendiri, bagi menyuntik semangat secara langsung kepada mereka, “Semangat ini sangat penting, bagi mempersiapkan diri untuk menjawab peperiksaan nanti di samping ilmu yang dipelajari daripada guru-guru,” ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam program agihan kit peperiksaan dari rumah ke rumah di sekitar Kampung Teluk Pasu, semalam. Isteri ADUN Buluh Gading, Ustazah Tuan Roslina Tuan Sulaiman menyerahkan kit peperiksaan kepada ibu  bapa pelajar   Beliau juga memaklumkan, kit telah diagihkan kepada semua Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Buluh Gading untuk diserahkan kepada semua calon SPM 2020 dalam kampung masing-masing. “Dalam setiap kit, kita sediakan beberapa set alat tulis, set mekanikal geometri dan juga air solat hajat dan bacaan yasin. “Kita berharap dengan adanya kit ini, dapat meringankan sedikit beban pelajar serta memberi motivasi kepada mereka dalam menduduki peperiksaan mulai esok (hari ini),” tambah beliau lagi. Ustaz Ridzuan juga menegaskan tumpuan dan perhatian kepada keperluan para pelajar seperti ini adalah penting dalam melahirkan modal insan yang berkualiti secara konsisten. “Kita tidak mahu disebabkan pandemik COVID-19 ini, persiapan modal insan menjadi terbantut, yang akan memberi kesan kepada pembangunan negara pada masa akan datang,” tegas beliau.
21 Feb 21
323
Cabaran Hadapi SPM Norma Baharu
Cabaran Hadapi SPM Norma Baharu
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 19 Februari- Para pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) hendaklah menganggap kesukaran mengikuti pembelajaran ketika norma baharu akibat pandemik COVID-19 sebagai satu cabaran. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, calon SPM perlu kuat semangat serta perlu fokus untuk menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula 22 Februari ini. “Sekarang ini kita berada dalam suasana pandemik COVID-19 yang merupakan satu cabaran bersifat global, bukan sahaja di negeri kita tapi di seluruh negara  ‘Kalau kita nak berjaya kita tak boleh menjadikan apa sahaja alasan termasuk COVID-19 sebagai penyebab mengapa kita tak boleh berjaya, walaupun kita tidak berpeluang belajar macam biasa sebab pandemik ini. “Saya mengharapkan itu semua adalah cabaran yang tidak boleh melemahkan kita. Anggaplah itu sebagai cabaran yang boleh menguatkan kita untuk pergi lebih jauh kerana kita ada matlamat yang lebih penting,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika bersiaran secara atas talian dalam Program Motivasi Santai Bersama Calon SPM 2020, Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh, Besut di pejabat DUN Terengganu, baru-baru ini. Beliau turut menasihati semua para pelajar yang bakal mendudui peperiksaan SPM agar menjaga kesihatan, tidur yang cukup, makan makanan berkhasiat serta menjaga prosedur operasi standard (SOP). Selain itu, katanya para pelajar juga sentiasa ada hubungan dengan Allah SWT dan 'bangun malam' kerana ia adalah senjata utama umat Islam.
20 Feb 21
326
Kejayaan SPM Aset Penting Kepada Kerajaan
Kejayaan SPM Aset Penting Kepada Kerajaan
Oleh: Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 19 Februari- Kejayaan yang diraih para pelajar dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) nanti merupakan satu aset yang sangat penting kepada kerajaan negeri. Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, mereka merupakan bakal tenaga penting kepada pembangunan negeri selepas tamat pengajian nanti. “Kejayaan para pelajar dalam peperiksaan SPM bukan hanya bersifat peribadi tetapi adalah kejayaan kepada keluarga, guru-guru dan juga sekolah.  “SPM inilah menjadi titik tolak kepada kejayaan anak-anak pada masa akan datang kerana selepas ini, mereka akan menyambung ke pusat-pusat pengajian tinggi apabila lulus dengan cemerlang dalam ujian nanti,” ujarnya. Beliau berkata demikian Ketika bersiaran atas talian dalam Program Motivasi Santai bersama 111 calon SPM 2020 Sekolah Menengah Agama Ittifakiah, Jerteh, di pejabat DUN Terengganu, kelmarin. Sehubungan itu, beliau mendoakan kejayaan calon SPM dan menyeru orang ramai bersama merestui agar para pelajar diberi kekuatan, ketabahan dan ketenangan dalam menghadapi peperiksaan SPM pada 22 Februari ini. “Kami (kerajaan) sangat memerlukan khidmat anda selepas ini bagi yang berjaya (menamatkan) dari pusat pengajian tinggi nanti. “Apa yang ingin dicapai oleh kerajaan negeri ialah dengan visi untuk menjadikan negeri kita ini, negeri yang ‘Maju, Berkat dan Sejahtera’, Insya’Allah,” ujarnya. Katanya, beliau ingin melihat pencapaian terbaik para pelajar dalam keputusan peperiksaan SPM yang menjadi penentu bagi melanjutkan ke mana-mana institut pengajian tinggi (IPT) sama ada swasta ataupun awam. “Insya’Allah, secara peribadi saya akan memberi ‘penghargaan’ kepada mereka yang lulus dengan cemerlang dalam keputusan (SPM) ini nanti,” ujarnya.
19 Feb 21
159
Pejabat Parlimen Marang Agih Laptop Percuma
Pejabat Parlimen Marang Agih Laptop Percuma
MARANG, 18 Februari - Khabar gembira buat pelajar yang terbaik bagi empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Marang apabila mereka bakal menerima laptop percuma hasil pemberian Pusat Khidmat Ahli Parlimen Marang.  Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof berkata, pihaknya memandang serius akan keperluann semasa pelajar lebih-lebih lagi dalam sesi pembelajaran norma baru.  "Dalam masa yang sama inisiatif ini akan memberi motivasi kepada pelajar untuk belajar dalam talian dengan bersungguh-sungguh sekalipun dalam keadaan serba mencabar.  "Sebagai 'hadiah' atas usaha gigih belajar ketika norma baru, laptop percuma kita akan berikan kepada pelajar yang terbaik di peringkat Dun dan terkini 32 unit telefon pintar turut diagih buat pelajar yang kurang kemampuan terutamanya golongan keluarga yang kategori B40.  "Terdahulu, kita telah mengagihkan telefon pintar menerusi program yang dianjurkan oleh pejabat daerah iaitu program Cakna Didik Marang Hebak yang bertujuan membantu pelajar miskin mengakses sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)," katanya.  Beliau berkata demikian kepada pemberita sebaik sahaja selesai acara ringkas penyerapan sumbangan kepada pihak Pejabat Daerah Marang, dekat sini, semalam.  Turut Hadir Pegawai Daerah Marang, Tun Faisal Tun Abdul Razak dan wakil-wakil Majlis Daerah Marang serta Permint Granite Sdn. Bhd. yang juga sama-sama menyumbang dalam program itu Tambahnya lagi, agihan bantuan yang telah memasuki Fasa 3 ini dapat membantu seramai 32 pelajar yang merangkumi sekolah-sekolah di DUN Rhu Rendang, Pengkalan Berangan, Bukit Payung dan Alur Limbat.   Dalam masa yang sama, Haron berkata, Pusat Khidmat Parlimen Marang mengambil cakna bukan sahaja pelajar, tetapi setiap isi rumah yang terkesan dengan pandemik COVID-19.  "Pihak kami sebagai wakil Ahli Parlimen Marang terus menerusi menyalurkan bantuan demi bantuan kepada semua peringkat golongan yang kita kenalpasti kesusahan mereka," ujarnya.    
18 Feb 21
809