Artikel "Pendidikan" Terkini
Jaga Warisan Berteraskan Islam Dalam Era Global
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 22 Mac - Para mahasiswa diingatkan agar berusaha memelihara dan menjaga warisan seni kebudayaan bangsa yang berteraskan agama Islam terutamanya dalam ledakan teknologi maklumat serta komunikasi di zaman era global pada masa kini.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, apa yang dilakukan ini adalah sangat penting agar budaya, warisan dan seni dalam Islam mesti selari dengan zaman digital dan ia tidak hilang ditelan zaman.
“Sama-sama kita beri kefahaman kepada masyarakat bahawa warisan kebudayaan dan seni itu sangat bernilai terutamanya dalam menonjolkan identiti bangsa dan agama kita.
“Tak salah untuk bersaing dalam era globalisasi digital namun sejarah dan warisan budaya kita yang berteraskan islam jangan sesekali kita tinggalkan,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapan perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dan Husa Network SDN.Bhd di Laman Pusat Kesenian dan Warisan di UniSZA, semalam.
Turut hadir, Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato' Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni). Prof. Dr. Mohd Afandi Salleh, Pendaftar UniSZA, Ismail Musa, Pengurus Besar Husa Network Sdn Bhd, Ozarizan Mohd Nor, dan Pengarah Avantsky Sdn Bhd, Wan Akmal Othman.
Yahaya menambah, pelaksanaan Galeri Digital Sanggar Seni merupakan inisiatif yang baik kerana ia dapat mempamerkan kepelbagaian bentuk kesenian dan warisan yang wujud di negeri Terengganu serta bermanfaat sebagai rujukan untuk generasi akan datang.
Menurutnya lagi, galeri digital berkenaan turut mempamerkan koleksi foto bidikan Almarhum Sultan Ismail Nasiruddin Shah iaitu koleksi hasil karya tradisional Terengganu yang mana baginda telah merakamkan peristiwa bersejarah pemerintahannya bagi mengekalkan tradisi.
“Saya yakin sekiranya usaha-usaha seumpama ini dilakukan oleh pelbagai pihak yang lain, kita akan dapat mengumpulkan satu warisan yang lebih kuat.
“Kerana warisan budaya ini merupakan budaya dan kesenian yang sangat penting, bukan sahaja untuk hari ini tetapi untuk generasi yang akan datang,” ujarnya.
Justeru itu, beliau berharap dengan pelancaran pusat itu semua pihak dapat sama-sama berganding bahu untuk menjadikan ia bergerak semakin jauh ke hadapan dan dapat membina kekuatan dengan mengumpulkan segala maklumat serta apa sahaja kesenian, kebudayaan terutama mempunyai nilai teras kepada agama Islam.
“Mudah-mudahan pusat kesenian di UniSZA ini akan menjadi institusi yang dibanggakan oleh semua pihak,” tambah Yahaya lagi.
22 Mar 21
171
Pusat Bahasa Arab Pertama Terengganu Mula Operasi
KUALA TERENGGANU, 10 Mac - Pusat Bahasa Arab Pertama milik kerajaan Terengganu yang bernilai sekitar RM1.5 juta mula beroperasi dua minggu lalu.
Pengarah Pusat Bahasa Arab Al-Azhar As-Syarif Darul Iman, Mohd Zaini Mohd Nor berkata, institusi di bawah kelolaan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) itu amat penting dalam meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa arab.
“Ini akan menjadi tempat berhimpun anak-anak Terengganu untuk dididik, diasuh sebelum mereka melanjutkan pelajaran ke tanah arab atau dalam negeri serta menyelesaikan trend penurunan drastik dalam penguasaan bahasa itu.
“Antara pengisian adalah program intensif Bahasa Arab kepada pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“Di samping itu, kursus bahasa arab untuk memahami al-Quran juga dibuka untuk orang awam dengan kelas pertama pada 22 Mac ini, dengan jumlah peserta berdaftar sehingga ini seramai 80 orang bermula daripada 20 hingga 60 tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penyerahan Bangunan Pusat Bahasa Arab Terengganu di Pusat Bahasa Arab Terengganu, Ladang Tok Pelam, Jalan Sultan Zainal Abidin, di sini petang semalam.
Turut hadir, Jurutera Daerah, Ir. Anuar Ngah dan Pegawai Khas Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Abdullah Suhaimi.
Tambah Mohd Zaini, kerjasama antara Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Cawangan Malaysia (WAAGM) turut diadakan dalam memastikan kelangsungan pusat tersebut.
“Dengan tenaga pengajar, empat orang dari Malaysia dan tiga orang dari Mesir, pusat ini beroperasi dan menempatkan pelajar lepasan STAM dari negeri sekitar pantai timur.
“Kos peruntukan tahunan kerajaan negeri Terengganu telah meluluskan sebanyak RM1.18 juta dengan prasarana kira-kira 5 kelas, satu kelas mampu memuatkan 30 pelajar, manakala bilik untuk seminar dan makmal bahasa turut ada dalam memastikan suasana pembelajaran kondusif," tambahnya.
Sebelum ini, Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar serta rombongan kerajaan negeri bertemu Duta Besar Mesir, Salah Mohi Eldin Elwassimydi di kedutaan negara itu di Kuala Lumpur bagi membincangkan Pusat Bahasa Arab (Markaz Lughah).
10 Mar 21
6172
SRIDI Diperkasakan Kerajaan
KEMAMAN, 10 Mac - Kerajaan PAS Negeri Terengganu sedang memperkasakan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di seluruh negeri bermula dari daerah Besut hingga ke Kemaman.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, YB Ustaz Maliaman Kassim hadir ke SRIDI Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal pada satu majlis ringkas penyerahan peralatan komputer.
Penyerahan peralatan komputer.
"Saya harap SRIDI ini akan terus giat berusaha dalam menempa kejayaan memandangkan pelajar yang masuk ke SRIDI adalah pelajar yang terpilih.
"Pihak kerajaan sedang berusaha meningkatkan kecemerlangan setiap SRIDI diseluruh negeri dari segi tenaga pengajar, peralatan dan prasarana," katanya.
Sebelum itu, Pegawai Penyelaras DUN Kijal Ustaz Hazri Jusoh ketika berucap dimajlis tersebut memaklumkan akan menyediakan satu tapak baharu bagi SRIDI di Kijal.
Hazri Jusoh berucap dimajlis.
"InsyAllah, memandangkan ini hanyalah premis sementara sebagai SRIDI, pihak DUN telah mengenalpasti tanah seluas 10 ekar untuk didirikan bangunan kekal buat SRIDI," katanya.
Majlis serahan peralatan komputer tersebut diadakan di Dewan SRIDI yang beroperasi dipremis sementara di Kompleks Paya Lasir, Bandar Kijal Sejahtera kelmarin dan sebelum itu juga rombongan telah diiring melawat tapak untuk didirikan SRIDI.
Melawat tapak untuk didirikan SRIDI.
Turut hadir Pegawai Khas Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Abdullah Suhaimi Zakaria, Penolong Kanan Pesuruhjaya Sumber Manusia JHEAT, Sahari Anuar Ahmad bersama pegawainya.
Guru Besar SRIDI Kijal, Wan Faizah Wan Hussin bersama guru dan kakitangannya turut bersama pada majlis tersebut beserta Ahli Majlis Perbandaran Kemaman.
09 Mar 21
402
Sekolah Pondok Terima Latihan Kemahiran
BESUT, 9 Mac – Selepas Pondok Ibtida’i Ajil, Hulu Terengganu dipilih menyertai program latihan kemahiran untuk peringkat permulaan, Pondok Raudhatul Muhammadi dan Pondok Pasir Akar di Jerteh, Besut juga mengikuti program sama bagi memperkasa kebolehan para pelajar di institusi terbabit.
Timbalan Pengerusi Pelaksanaan Syariah, Pendidikan & Pengajian Tinggi Terengganu, Maliaman Kassim berkata, program itu dilaksanakan dengan pembiayaan kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu.
Menurutnya, bagi pelajar dari Pondok Raudhatul Muhammadi, dipilih menyertai program pertanian Lada Solok secara Fertigasi manakala pelajar Pondok Pasir Akar pula mengikuti program latihan kemahiran pendawaian elektrik.
“Inisiatif seumpama itu bakal diperluaskan di kesemua institusi pondok di seluruh negeri secara berperingkat bagi membolehkan setiap pelajar dilengkapi dengan latihan kemahiran sebelum mereka menamatkan pengajian sebagai persediaan menghadapi alam pekerjaan.
"Pondok juga harus menguasai ilmu-ilmu yang pelbagai. Ilmu agama adalah menjadi tumpuan namun ilmu-ilmu bersifat keduniaan juga wajar dipentingkan. Gabungan ilmu sememangnya dituntut oleh agama. Kita dituntut untuk cemerlang di dunia dan cemerlang juga di akhirat. Ilmu Kemahiran dan segala maklumat yang ada padanya wajar dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat lawatan kerja bagi Pemantauan Program Kemahiran Pondok di Pondok Raudhatul Muhammadi dan Pondok Pasir Akar di sini, semalam.
Maliaman berkata,kerajaan negeri telah merangka beberapa usaha untuk memartabatkan institusi pondok pada tempat sewajarnya bagi memperkasakan pelajar berkenaan dalam bidang kemahiran, sekaligus membantu mereka berdikari selepas menamatkan pengajian.
"Pihak kerajaan akan sedaya upaya berusaha membantu institusi ini dalam pelbagai aspek yang difikirkan sesuai,"ujarnya lagi.
Tambah beliau, institusi pondok juga perlu menambah baik prasanana dan kemudahan pengajian, supaya suatu masa nanti sekolah pondok akan mempunyai keupayaan prasarana yang baik dan mampu menjadi contoh kepada institusi pendidikan yang lain.
08 Mar 21
938
Akademi Robotik Pertama Di Terengganu, Lahir Generasi Al-Jazari
KUALA TERENGGANU, 6 Mac - Kewujudan Akademi Robotik TD1303 X Jazari Robot (JAZRO) pertama dalam negeri mampu menjadi platform pembelajaran teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) berteraskan nilai kemahiran teknologi dan pembentukan sahsiah.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, selaras dengan agenda kementeriannya, pelbagai peringkat daripada kanak-kanak sehingga golongan belia boleh memanfaatkan fasiliti dalam meningkatkan penguasaan teknologi.
“Kita tidak lagi boleh bergantung semata-mata penggunaan tenaga buruh upah, melalui pendidikan robotik produktiviti yang efisien dapat diwujudkan dalam pelbagai sektor.
“Ini dapat dilihat hasil pandemik COVID-19, menyebabkan Malaysia mempercepatkan penguasaan dan penggunaan teknologi sebegini dalam pelbagai sektor.
“Contohnya seperti Robot FARMO yang diperkenalkan dalam sektor pertanian digunakan untuk kerja penyemburan racun, baja dan memetik buah-buahan,” katanya ketika ditemubual pemberita.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Majlis Perasmian Akademi Robotik TD1303 X JAZRO di TD1303, Jalan Sultan Zainal Abidin, Kampung Ladang Tok Pelam, pagi semalam.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri yang juga Pengerusi TD1303, Ariffin Deraman, Ketua Pengurus JAZRO Robotic Academy, Ir Dzulfarqeish Zainuddin.
Ketua Pengurusnya, Ir Dzulfarqeish memaklumkan, penyertaan program tersebut telah melibatkan antara 40 hingga 50 pelajar sebulan disertai pelajar berusia seawal lima tahun sehingga 17 tahun.
“JAZRO Robotic Academy komited untuk berkongsi kemahiran yang relevan dengan IR 4.0, seterusnya membolehkan warga muda di Terengganu tidak ketinggalan dalam arus transformasi digital global.
“Modul disediakan bukan sahaja menekankan kemahiran teknologi semata-mata, malahan menyelitkan elemen pembentukan sahsiah melalui modul al-Jazari berteraskan nilai-nilai murni Islam,” jelasnya.
06 Mar 21
915
BPIS : DUAT Sajikan Talaqqi Kitab Munyatul Musolli Setiap Hari Sepanjang Mac
MARANG, 6 Mac - Bulan Penghayatan Ibadah Solat (BPIS) yang telah dilancarkan baru-baru ini dihangatkan lagi dengan penganjuran pengajian kitab untuk menambahbaik seterusnya menyempurnakan lagi mutu ibadah solat rakyat Terengganu khususnya.
Pegawai DUAT, Ilhami Nadhrah Hamzah berkata, pengajian kitab Munyatul Musolli yang diadakan secara terbuka secara dalam talian di laman rasmi Facebook Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu itu disiarkan bermula 1 hingga 31 Mac 2021.
"Pastikan setiap pukul 2.30 petang semua antara kita mengosongkan masa untuk sama-sama menadah kitab yang saya kira cukup penting ini kerana kitab ini insya--Allah akan menambahkan lagi nilai dan kualiti ibadah solat kita.
"Kitab ini hanya nipis sahaja tetapi sarat dengan ilmu fardu ain tentang solat yang wajib setiap muslim ketahui dan amalkan. Program talaqqi kitab ini dikupas oleh Al-Fadhil Tuan Guru Ustaz Haji Mohd Suhaimi," katanya.
Beliau berkata demikian sejurus selesai slot program Chit Chat bersama Daie anjuran Marang TV bertempat di Studio Marang TV, baru-baru ini.
Terdahulu, dalam sesi program tersebut, beliau turut memperkenalkan apa itu DUAT. DUAT mula beroperasi pada tahun 2019 di bawah Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan yang dipengerusikan oleh Mohd Nor Hamzah.
"Tertubuhnya Akademi DUAT yang dipimpin oleh Ramlan Mahmood bertujuan menyelaraskan kegiatan institusi dan badan dakwah agar berjalan seiring dengan gagasan kerajaan negeri, iaitu Terengganu, Maju Berkat Sejahtera," katanya.
04 Mar 21
505
Pelajar PSMZA Dikuarantin Sebelum Kuliah Bermula
DUNGUN, 3 Mac - Pelajar baharu Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) akan dikuarantin selama 10 hari sebelum sesi kuliah semester ini dimulakan.
Pengarahnya, Sr Mohd Fikri Ismail berkata, mereka akan dikuarantin di kediaman Kamsis yang menempatkan seorang di setiap bilik.
“Walau bagaimanapun, segala makan minum dan keperluan asas akan dibekalkan kepada pelajar” ujarnya.
Fikri berkata demikian selepas meninjau kerja-kerja pendaftaran pelajar yang telah berjalan sejak semalam di PSMZA hari ini.
Menurutnya, sebagai mematuhi Tatacara Pengendalian Piawai (SOP) yang telah ditetapkan, proses pendaftaran pelajar bermula dengan saringan COVID-19 sehinggalah penempatan pelajar di kediaman Kamsis.
"Saya menjangkakan seramai 200 orang pelajar akan mendaftar untuk kemasukan sesi Disember 2020," katanya.
03 Mar 21
1066
Murid Pra, Tahun 1 Dan 2 Mula Sekolah Hari Ini
KUALA TERENGGANU, 1 Mac - Seramai 54,612 murid prasekolah, Tahun 1 dan 2 memulakan sesi persekolahan hari ini bagi sesi 2021 di 352 buah sekolah rendah seluruh Terengganu.
Jumlah tersebut membabitkan seramai 10,664 murid prasekolah, 22,348 murid Tahun 1 serta 21,600 murid Tahun 2 bagi meneruskan pembelajaran mereka setelah hampir dua bulan tiada pembelajaran secara bersemuka dibuat pada tahun ini.
Pembukaan semula sesi persekolahan secara bersemuka selepas ia ditutup di seluruh negara mulai 9 November tahun lalu, juga menyaksikan murid dan guru menyesuaikan diri dengan norma baharu serta prosedur operasi standard (SOP).
Tidak mengambil mudah aspek SOP, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengedarkan Garis Panduan Pengurusan Pembukaan Semula dan Model Pengawalan Keberadaan Murid di Pintu Pagar Sekolah untuk semua sekolah di seluruh negara.
Ia mengandungi panduan pengurusan dalam pelbagai aspek merangkumi bermula murid sampai ke pintu pagar sekolah, ketika murid berada di sekolah dan SOP ketika pulang ke rumah.
Selain sekolah rendah, Kolej Vokasional juga dibuka hari ini.
Bagi murid Tahun Tiga hingga Tahun Enam mereka akan memulakan sesi persekolahan pada 8 Mac, manakala sekolah menengah akan bermula pada 4 April (di Johor, Kedah, Kelantan dan Terengganu) dan pada 5 April bagi negeri lain.
Sekolah antarabangsa dan institusi pendidikan swasta akan dibuka semula pada 8 Mac.
01 Mar 21
424
Didik Anak Patuh SOP Norma Baharu Di Sekolah
BESUT, 1 Mac- Ibu bapa perlu mendidik anak-anak agar patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mencegah penularan pandemik COVID-19 di kawasan sekolah.
Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Mat Daik Mohamad berkata, didikan ibu bapa untuk anak patuh SOP norma baharu amat penting memandangkan sesi persekolahan untuk Pra Sekolah serta Tahun Satu dan Dua telah bermula hari ini.
" Selain mengharapkan guru, ibu bapa perlu mendidik anak mengenai amalan norma baharu bermula dari rumah lagi.
"Ini untuk memastikan anak- anak menjaga keselamatan dan kesihatan ketika berada di sekolah," ujarnya.
Katanya, anggota masyarakat juga perlu mengikuti SOP yang ditetapkan dan jangan mengambil mudah tentang wabak ini.
"Diharapkan semua penduduk DUN Hulu Besut khususnya membanyakkan berdoa serta bertakwa kepada Allah supaya wabak ini segera diangkat.
"Semoga sesi persekolah berterusan dengan lebih baik dan pelajar dapat belajar dengan semangat baru serta melakar kejayaan yang cemerlang pada masa hadapan," ujarnya.
01 Mar 21
108
Hargai Komitmen Guru Tuisyen Rakyat, PIBG Sekolah
MARANG, 27 Februari - "Terima kasih di atas curahan ilmu dan komitmen yang para guru berikan untuk menjayakan Tuisyen Rakyat termasuk kerjasama yang diberikan oleh pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dalam kita menempuhi norma baharu ini.
Isteri Menteri Besar Terengganu, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata guru dan PIBG juga telah banyak membantu dalam penglibatan program kelas tambahan sebagai satu inisiatif kerajaan negeri bagi membantu anak-anak menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020.
"Program ini telah digerakkan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di semua peringkat Dewan Undangan Negeri Terengganu (DUN) dengan mensasarkan calon SPM 2020.
Beliau berkata ketika hadir menyempurnakan Majlis Penyampaian Sijil Tuisyen Rakyat dan Sumbangan PIBG Sekolah-Sekolah di Dewan Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang baru-baru ini.
Seramai lima orang guru dan sembilan PIBG dari seluruh Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang telah menerima sijil penghargaan dan sumbangan.
Turut hadir adalah Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah Marang, Muhammad Nawawi Rani, Pengerusi PIBKS Daerah Marang, Muhammad Ropaat Khamid, dan Pengarah Majlis Tindakan Dun Rhu Rendang, Hasan Awang.
Menurutnya lagi, tahun 2020 merupakan tahun ujian, di mana telah merubah kehidupan kepada norma baharu dan memberikan kesan kepada sektor pendidikan negara terutama anak pelajar yang terlibat dalam peperiksaan penting.
"Negeri Terengganu antara negeri yang mendahului dan mendapat keputusan yang terbaik secara keseluruhan di Malaysia dalam tempoh beberapa tahun berturut-turut serta sebelum-sebelumnya.
"Mengambil kesempatan ini, saya mewakili Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan program ini.
"Komitmen dan keperihatinan semua pihak untuk anak-anak pelajar kita pasti mendapat ganjaran pahal berpanjangan," tambahnya lagi.
27 Feb 21
558