Artikel "Pendidikan" Terkini
Transformasi KQT Jadi Kolej Universiti
KUALA TERENGGANU, 4 April - Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) sedang melalui proses transformasi untuk dijadikan Kolej Universiti menjelang tahun 2025.
Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia akan direalisasikan melalui peruntukkan sebanyak RM11 juta untuk pengoperasiannya termasuk kerja menaik taraf cawangan di Pengkalan Gawi, Hulu Terengganu serta membina kampus baru di Durian Mentangau, Dungun.
Menurut beliau, usaha secara bertahap selama empat tahun itu bagi memenuhi keperluan sektor pendidikan di negeri ini.
"Kita juga sedang memantapkan program diploma sedia ada di samping dua pengajian baharu yang akan diperkenalkan iaitu Diploma Pengajian Hadis dan Tafsir Al-Quran yang mendapat akreditasi sementara serta dalam proses untuk mendapat kebenaran daripada Jabatan Pengajian Tinggi (JPT).
“Serta kita juga menjalinkan kerjasama akademi dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) bagi memperkenalkan program baru Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam pengkhususan syariah,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Presiden institusi tersebut berkata demikian ketika ditemui pemberita, pada sidang media di Majlis Imaratul Ilmi kali ke-2, di Dewan Permata, Permai Hotel di sini hari ini.
Dalam program berkenaan seramai 36 pelajar lepasan Diploma Al-Quran dan Bahasa Arab (DQTB) dan Diploma Tahfiz Al-Qur’an dan Qiraat (DTQQ) diraikan.
Dalam perkembangan yang sama katanya, kuliah al-Fur’qan yang diadakan selama ini akan diperluaskan ke setiap daerah bagi memberi peluang kepada seluruh masyarakat untuk mempelajari al-Quran
“Kemaman dan Besut akan dijadikan sebagai projek perintis untuk kuliah ini,” ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pengambilan pelajar bagi peringkat ijazah di institusi berkenaan akan dimulakan pada September.
“Di samping mencukupkan kadar bilangan doktor falsafah (PHD) untuk berkhidmat dengan KQT yang akan menempatkan pelajar di Pengkalan Gawi.
“Kerana kampus di padang Midin sudah penuh , insya-Allah pada bulan Jun segala proses untuk baik pulih dan melengkapkan segala keperluan serta dijangka akan memuatkan pelajar seramai 500 orang,” ujarnya.
04 Apr 21
1155
Persidangan TeMIC 2021, Wadah 188 Kajian Pelbagai Bidang
DUNGUN, 11 April - Sebuah persidangan kajian tiga bidang atau Terengganu Multidisciplinary International Conference atau TeMIC 2021 yang menempatkan hasil kumpulan sebanyak 188 kertas kerja menuju ke arah inovasi dan transformasi masa hadapan.
Pengerusi TeMIC 2021, Assoc. Prof. Ts. Dr. Sarifah Fauziah Syed Draman berkata, persidangan pelbagai disiplin itu adalah hasil gabungan trio jurusan atas faktor strategi dan melibatkan bidang seperti pendidikan, pentadbiran, ekonomi, sains dan sebagainya.
“Program dwitahunan ini kali kedua diadakan sejak tahun 2018, dan pertama kali dijalankan secara maya dengan penglibatan peserta tempatan dan luar negara.
“TeMIC 2021 bertujuan untuk memberi peluang yang sangat baik kepada para profesional, jurutera, ahli akademik dan orang industri untuk berkongsi dan bertukar idea, kemajuan dan output penyelidikan serta aplikasi dalam berbagai bidang.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penutup TeMIC 2021, di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dungun, baru-baru ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diringi Rektor UiTM Cawangan Terengganu, Prof. Ts. Dr. Mazidah Puteh.
Sementara itu, Dr. Sarifah memaklumkan, antara objektif acara tersebut adalah untuk mempromosikan perbincangan dan pertukaran idea dan pengetahuan di kalangan penyelidik dari pelbagai negara dalam pelbagai bidang sains sosial, kejuruteraan, dan teknologi.
“Selain itu, untuk memudahkan pembentukan jaringan di antara industri dan antara institusi akademik tempatan dan antarabangsa dan untuk mengumpulkan dan membincangkan kertas kerja mengenai bidang multidisiplin.
“Banyak penemuan baharu telah dikongsi dan para pengkaji terlibat boleh ambil peluang untuk aplikasi dalam kerja kajian dalam bidang berkaitan. Ia sangat membantu dan kebanyakan kertas selidik selari dengan revolusi industri 4.0,” jelasnya.
Untuk rekod, TeMIC 2021 menggabungkan tiga sidang iaitu Terengganu International Business and Economics Conference (TiBEC VII), International Academic Conference (IAC V), and International Conference of Emerging Challenges in Engineering and Current Technology (ICECT III).
02 Apr 21
628
Labur Pendidikan, Kembalikan Kepada Rakyat
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Dunia pendidikan menjadi pelaburan yang sangat bermakna bagi Kerajaan Negeri Terengganu demi mengembalikan semula manfaat kepada rakyat melalui kemudahan dan biasiswa-biasiswa yang ditawarkan.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pelaksanaan Syariah dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, antaranya termasuklah dengan sebahagian pelajar yang layak bakal menikmati keistimewaan melalui Biasiswa UC TATI DIHATIKU.
“"Biasiswa yang dinamakan sebagai Biasiswa UC TATI DIHATIKU ini membuka peluang kepada pelajar yang layak bagi mengikuti program peringkat Asasi dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.
"Nilai biasiswa ini adalah berjumlah RM9,000 seorang sepanjang pengajian meliputi yuran pengajian, penginapan di kolej kediaman serta menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 setiap bulan pengajian," jelasnya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Biasiswa UC TATI DI HATIKU di sini hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Hadir sama dalam majlis tersebut, Rektor UC TATI, Prof Dr Anuar Ahmad.
Dalam perkembangan sama, Satiful turut berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri khususnya Menteri Besar yang sudi hadir dan turut sama mempromosikan universiti kolej milik kerajaan negeri itu.
“Saya ambil kesempatan ini ucap tahniah kepada UC TATI yang berterusan mendapat sokongan daripada pihak kerajaan negeri. Kita juga berterima kasih kepada pihak kerajaan negeri khususnya Yang Amat Berhomat Menteri Besar.
“Justeru saya mengalukan dan mengharapkan anak negeri Terengganu terutamanya agar menjadikan UC TATI tempat untuk mereka menyambung pengajian dan meneruskan karier mereka. Juga kepada ibu bapa khususnya, UC TATI merupakan milik kerajaan negeri sepenuhnya.
“Hasrat kita adalah menggunakan sumber daripada hasil minyak petroleum mahupun hasil kerajaan negeri untuk mengembalikan semula kepada rakyat. Sudah barang pasti melalui dunia pendidikan adalah pelaburan yang bermakna.
“Walaupun kerajaan negeri terpaksa menggunakan kewangan yang tinggi, tapi ianya akan kembali kepada rakyat Terengganu sendiri dengan banyak program yang ditawarkan dan disediakan sekali gus menjadikan UC TATI sebagai pilihan utama mereka,” ujarnya.
Sementar itu, menurut Rektor UC TATI, Prof Dr Anuar Ahmad, permohonan itu dibuka kepada pelajar yang layak dengan menggunakan keputusan Peperiksaan Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mereka yang lalu.
31 Mar 21
268
UC TATI Terengganu Tawar RM6.4 Juta Biasiswa
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Peluang keemasan dibuka kepada pelajar yang layak dengan kerajaan negeri melalui University College TATI (UC TATI) kini menawarkan biasiswa sebanyak RM6.4 juta.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tawaran tersebut dibuka kepada pelajar baharu bagi kemasukan Mei dan September 2021.
Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Biasiswa yang dinamakan sebagai Biasiswa UC TATI DIHATIKU ini membuka peluang kepada pelajar yang layak bagi mengikuti program peringkat Asasi dalam bidang Kejuruteraan dan Teknologi Maklumat.
"Nilai biasiswa ini adalah berjumlah RM9,000 seorang sepanjang pengajian meliputi yuran pengajian, penginapan di kolej kediaman serta menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 setiap bulan pengajian," katanya pada Majlis Pelancaran Biasiswa UC TATI DIHATIKU di sini hari ini.
Hadir sama dalam majlis tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pelaksanaan Syariah dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Rektor UC TATI, Prof Dr Anuar Ahmad.
Dalam perkembangan sama, menurut Ahmad Samsuri, UC TATI menyediakan 1,300 tempat bagi kemasukan pelajar baharu bagi sesi pengajian 2021/2022.
"UC TATI menawarkan 1 program Ijazah Doktor Falsafah, 3 program Sarjana, 11 program Ijazah Sarjana Muda, 13 program Diploma dan 2 program Asasi dalam pelbagai bidang antaranya pembuatan, automasi, elektrikal, ujian tanpa musnah, kimia, polimer, komputer, pengurusan teknologi dan media grafik," ujarnya.
Tambah beliau, di samping biasiswa peringkat Asasi, UC TATI turut menyediakan elaun sara hidup kepada pelajar Diploma sebanyak RM200 sebulan bersamaan RM4,800 sepanjang pengajian.
"Sementara pelajar Ijazah Sarjana Muda akan menerima elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan bersamaan RM6,400 sepanjang pengajian. Pengurangan yuran pengajian juga ditawarkan kepada yang layak," jelasnya.
31 Mar 21
1030
Kehebatan Orang Terengganu Rentas Samudera Jadi Pameran
KUALA TERENGGANU, 31 Mac - Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) dengan kerjasama Lembaga Muzium Negeri merungkai sejarah kehebatan generasi terdahulu dalam ilmu pelayaran merentasi samudera dengan kapal yang diciptakan melalui pameran yang diadakan.
Ahli Lembaga Pengarah PSKT, Zuraida Md. Noor berkata, pameran yang diadakan dengan gabung jalin dua jabatan itu merupakan usaha mendidik generasi kini agar mengenali sejarah sekali gus memupuk perasaan cinta terhadap nilai sejarah yang dimiliki.
“Pada zaman Revolusi Industri 4.0, sudah tentu tidak semua orang mengetahui bahawa Terengganu terkenal dengan ilmu pelayaran yang cukup dikagumi oleh pelayar-pelayar dunia suatu ketika dahulu.
“Terengganu juga telah berjaya membina kapal-kapal besar seperti Perahu Besar Pinis Gobel dan juga terkenal dalam penciptaan perahu sama ada secara tradisional mahupun moden.
“Terutamanya penduduk Pulau Duyong telah menggunakan bidang sains dan teknologi ini semenjak dahulu sekali gus membuktikan kepakaran dan kemahiran orang Terengganu dalam bidang ini sehingga dipandang hebat di mata dunia,” ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pelancaran Pameran Bertema Samudera : Pelayaran Merentas Lautan Biru di PSKT, kelmarin.
Turut hadir, Ketua Pegawai Ekskutif PSKT, Johan Ibrahim dan wakil Muzium Negeri Terengganu, Saberi Muda.
Mengulas lanjut, Zuraida berkata, justeru hasrat tersebut perlu disambut baik oleh semua pihak serta perlu dihebahkan di semua peringkat.
“Agar ia diberi perhatian, khususnya anak-anak pelajar agar nilai-nilai sejarah dihargai oleh seluruh rakyat Terengganu secara umumnya.
“Supaya status penting mengenai sejarah ini akan diketahui serta diterokai, juga mengetahui bagaimana Islam itu bertapak melalui hubungan perdagangan yang telah dirintis melalui samudera,” ujarnya.
Melalui galeri pameran itu pengunjung akan merasai suasana pembelajaran tentang cara pembuatan kapal dengan gabungan konsep sains dan teknologi secara santai bermula bulan April sehingga Jun.
Kesemua jenis perahu warisan negeri seperti Kolek Lincang, Bedar, Haluan Katup, Jalur, Kajangan, Payang, Sekoci dan Perahu Besar Pinis Gopel serta Bot Belakang Potong dipamerkan dalam galeri pameran berkenaan.
29 Mar 21
1502
Guru Perlu Tingkat Kemahiran
KUALA TERENGGANU, 29 Mac -Para guru di negeri ini digesa agar meningkatkan kemahiran dalam menghadapi cabaran dunia pendidikan norma baharu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, mereka perlu lebih kreatif serta inovatif terutama yang mengajar murid di peringkat sekolah rendah kerana sebelum ini pembelajaran secara bersemuka terhenti akibat penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) serta PKP 2.0.
"Ianya bagi mengatasi masalah asas pembelajaran seperti membaca dan menulis yang dihadapi ramai murid pada ketika ini.
"Justeru, para guru perlu memerah keringat di dalam meningkatkan keupayaan kognitif, juga perlu bersabar mendidik para pelajar.
"Walau bagaimanapun, penguasaan teknologi didapati meningkat serta mereka didapati mahir menggunakannya kerana didedahkan dengan pembelajaran secara atas talian melalui proses Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR)," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Gimik Penyerahan Barangan Persekolahan Sempena Program Sentuhan Ilmu Back To School 2020 di Pejabat Pendidikan Negeri Terengganu, semalam.
Sementara itu, Pengurus Besar Petronas Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abd Razak ketika diminta mengulas mengenai program itu berkata, antara bantuan kepada setiap pelajar sekolah terpilih ialah kelengkapan persekolan seperti set alat tulis, dua pasang baju sekolah dan sepasang kasut beserta stoking.
"Pihak kami sentiasa komited dalam membantu pelajar sekolah yang kurang berkemampuan sejak lapan tahun yang lalu dan meneruskan agenda tersebut pada tahun ini," ujarnya.
29 Mar 21
281
Yayasan Petronas Ringankan Beban 1,600 Pelajar
KUALA TERENGGANU, 29 Mac - Seramai 1,600 pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di negeri ini menerima sumbangan berbentuk kelengkapan sekolah dan kit kebersihan diri daripada Yayasan PETRONAS sempena program PETRONAS Back To School 2021 semalam.
Pengurus Besar PETRONAS Pantai Timur, Che Ahmad Tarmizi Abdul Rahman berkata, penerusan program yang dilancarkan sejak tahun 2003 itu menunjukkan pihaknya terus komited membantu golongan miskin dalam bidang pendidikan di negeri ini.
"Daripada jumlah keseluruhan tersebut, sejumlah sumbangan diagihkan kepada 250 murid terpilih di daerah Kuala Terengganu, 250 di Besut, 220 di Dungun, 220 di Hulu Terengganu, 213 di Kemaman, 185 di Setiu, 132 di Marang dan 130 murid di Kuala Nerus.
“Seiring dengan perkembangan pandemik semasa, kami juga turut menerapkan kepentingan penjagaan kebersihan diri. Kami berharap agar ianya dapat membantu membendung penularan COVID-19 di kalangan pelajar sekolah," tambah Che Ahmad Tarmizi.
Dalam majlis tersebut, sumbangan simbolik diserahkan kepada Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Mohd Shariff Abdul Latif di pejabat JPNT.
Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat.
Mengulas lanjut, Che Ahmad Tarmizi memaklumkan, PETRONAS juga sentiasa berusaha memupuk minat pelajar kepada mata pelajaran Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM).
"Sehubungan itu, setiap murid penerima turut dibekalkan dengan set buku kerja kaedah pembelajaran STEM yang praktikal dan menyeronokkan," jelasnya.
Bagi murid tahun enam, Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail Kemaman, Amal Dayana Ahmad Sufian, 12, dia berterima kasih tas sumbangan yang disampaikan oleh Yayasan PETRONAS tersebut.
"Sumbangan yang diterima saya membantu meringankan beban bapanya yang merupakan seorang pesara," ujarnya.
Dayana ialah salah seorang daripada 21,000 penerima bantuan PETRONAS Back To School 2021 yang disampaikan oleh Yayasan PETRONAS di lima belas negeri seluruh negara.
Setiap murid tersebut menerima sumbangan dua pasang pakaian seragam sekolah, sebuah topi, sepasang kasut sekolah, sepasang stokin, sebuah beg galas dan sebuah botol minuman serta keperluan pembelajaran terdiri daripada set alat tulis dan buku nota.
Setiap pelajar juga turut menerima sumbangan kit kebersihan diri seperti dua helai pelitup muka tiga lapisan (boleh digunakan semula), dua helai tuala muka dan sekotak sabun kertas.
29 Mar 21
1281
Pelajar Ceria Terima Bantuan Persekolahan TNB
KUALA NERUS, 24 Mac - Keceriaan jelas tergambar di wajah 200 orang pelajar dari empat buah kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Kuala Nerus apabila menerima sumbangan set kelengkapan ke sekolah daripada Tenaga Nasional Bhd (TNB) hasil kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Pelajar berkenaan yang terdiri daripada kumpulan B40 menerima sumbangan wang tunai sebanyak RM100 daripada TNB dan juga sagu hati.
Mereka yang terpilih diraikan dalam satu Majlis Ceria Ke Sekolah TNB di Duyong Marina Resort, bersama Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus.
Salah seorang penerima, Mohd Anuar Rusni, pelajar Tingkatan 2 Sekolah Menengah Kebangsaan Ibrahim Fikri meluahkan rasa gembira kerana terpilih sebagai salah seorang penerima.
"Saya terharu dengan sumbangan yang diberi oleh TNB dan insya-Allah saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk masa depan saya. Terima kasih TNB dan YB (Yang Berhormat) Dr Khairuddin," katanya ketika ditemubual.
Dalam pada itu, Dr. Khairuddin berharap bantuan itu dapat mengurangkan tekanan yang dihadapi keluarga kurang berkemampuan dalam membuat persediaan anak mereka ke sekolah, terutama berikutan pandemik COVID-19.
"Saya mengucapkan ribuan terima kasih dan terharu atas kerjasama yang diberikan oleh TNB dalam menyalurkan sumbangan kepada sebahagian pelajar di Kuala Nerus yang dikategorikan sebagai kurang kemampuan.
"Program sebegini bukan sahaja dapat meringankan beban ibu bapa keluarga bahkan membina semangat yang akan melahirkan insan cemerlang di masa hadapan," katanya dalam majlis tersebut.
TNB perlu dicontohi oleh syarikat lain untuk bekerjasama dengan kerajaan bagi membantu rakyat dalam bentuk apa sahaja keperluan.
23 Mar 21
353
Mahasiswa Tidak Boleh Jadikan Media Sosial Sebagai Rujukan
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 23 Mac - Golongan mahasiswa tidak wajar menjadikan media sosial sebagai rujukan utama tetapi mereka mesti kembali kepada ilmu dalam bentuk yang teratur supaya dapat maklumat yang tepat.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, oleh sebab itu, mereka perlu membaca dan membuat kajian yang memberikan satu inovasi kepada masyarakat.
“Mereka tidak boleh melihat ilmu dalam konteks untuk lulus peperiksaan semata-mata tetapi masyarakat di luar sana mengharapkan sesuatu yang lebih tinggi dan bermakna.
“Saya juga melihat golongan mahasiswa yang diharapkan masyarakat ialah mereka yang kritis dari segi pemikiran dan mesti mengikuti sama perkembangan –perkembangan yang ada samada dalam masyarakat kampus ataupun luar kampus,” jelasnya.
Yahaya berkata demikian dalam siaran langsung bersama Persona FM selepas perasmian Galeri Digital Sanggar Seni dan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian Persefahaman (MOU) antara Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Dan Husa Network Sdn.Bhd di Laman Pusat Kesenian dan Warisan di Gong Badak, pada semalam.
Selain daripada itu, beliau turut menekankan golongan mahasiswa mesti mempunyai maklumat dan pengetahuan baik dari segi sejarah.
“Sebab kadang-kadang kalau golongan mahasiswa tidak mempunyai maklumat yang baik dalam sejarah mereka tidak dapat mengambil satu sikap dan benda baik bila bertembung dengan isu-isu semasa yang ada dalam negara kita ini.
“Ini penting supaya golongan mahasiswa melayu Islam ini kena tahu sejarah dan mereka tahu kemana batasnya apabila mereka nak memperjuangkan,” ujarnya.
Menurutnya lagi, mahasiswa mesti mempunyai jati diri sebagai seorang Islam walaupun diiktiraf sebagai golongan berpendidikan tinggi.
“Ini sangat penting. Kita mahu jati diri mahasiswa ini bukan sahaja di fahami tapi di perlihatkan dalam tindak tanduk mereka.
“Mesti ada dalam diri seorang Islam agar mereka tidak mudah hanyut apabila ada isu-isu yang mereka hadapkan dalam konteks yang ada dalam negara kita ini supaya apa yang dikatakan pengaruh fahaman sekular itu tidak tumbuh dalam masyarakat mahasiswa di mana-mana Institut Pengajian Tinggi (IPT),” tambahnya lagi.
Justeru itu, beliau berharap para pelajar tidak terpengaruh dalam suasana masyarakat majmuk yang berlaku pertembungan ideologi dan juga pemikiran.
23 Mar 21
347
INSTEP Bantu 2,668 Murid Kembali Ke Sekolah
KUALA NERUS, 22 Mac - Sejumlah 2,668 murid-murid dari lapan buah sekolah rendah di Terengganu telah menerima barangan keperluan persekolahan dan peralatan kebersihan dari Institut Teknologi Petroleum PETRONAS (INSTEP) di bawah program “Back to School” 2021 (BTS 2021).
Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim berkata, program BTS 2021 INSTEP adalah usaha kolektif yang menggabungkan kakitangan dan ahli keluarga PETRONAS serta komuniti setempat dalam mencapai objektif membantu para pelajar dengan menyediakan barangan keperluan persekolahan untuk sesi pembelajaran 2021.
Ahli kakitangan INSTEP bersama guru-guru Sekolah Kebangsaan Maras, Kuala Terengganu.
“Kami berharap sumbangan ini dapat mengurangkan kerisauan mereka dalam menempuh sesi pembelajaran dengan situasi jangkitan COVID-19 yang masih menular.
“INSTEP akan terus meningkatkan usaha-usaha kami dalam menyumbang ke arah kesejahteraan masyarakat selaras dengan strategi utama CSR (tanggungjawab sosial korporat) Kumpulan PETRONAS," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Antara barangan yang disumbangkan adalah alat tulis, topeng muka, pengimbas suhu, pembersih tangan serta bantuan pelajaran lain seperti bahan bacaan berkaitan dengan sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik. Sumbangan itu telah disampaikan oleh INSTEP kepada pihak sekolah terbabit pada 7 dan 9 Mac lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif INSTEP, Idris Ibrahim menyerahkan sumbangan keperluan sekolah kepada wakil-wakil sekolah.
BTS 2021 dilaksanakan oleh INSTEP secara kolaborasi bersama Persatuan Isteri-Isteri Kakitangan & Kakitangan Wanita PETRONAS, Jawatankuasa Masjid Al-Ehsan dan Badan Kebajikan ISLAM PETRONAS (BAKIP).
Ia bertujuan membantu murid-murid dari keluarga yang kurang berkemampuan dengan inisiatif berkenaan juga melibatkan kempen menderma di kalangan kakitangan INSTEP. Mereka berjaya mengumpul lebih dari RM13,000 bagi menampung sama kos pembelian barangan yang disumbangkan.
22 Mar 21
828