lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

'Dah Tak Perlu Kongsi Telefon Ibu Untuk Belajar'
'Dah Tak Perlu Kongsi Telefon Ibu Untuk Belajar'
KUALA NERUS, 21 April – “Alhamdullilah, dengan tablet ini saya tidak perlu lagi berkongsi telefon ibu untuk belajar ‘online’,” luah seorang pelajar tingkatan empat, Nurin Atikah Ayuni Mohd Sufian setelah menerima sumbangan peranti pintar di bawah Inisiatif Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT). Adik Nurin yang juga seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Dato' Haji Abbas berkata, dia akan memanfaatkan sebaik mungkin gajet tersebut dalam membantu pembelajaran atas talian. Menurut ibunya, Yusniza Maria Yasin, 41, situasi ekonomi keluarganya yang disara suami bekerja sendiri serta pendapatan tidak menentu memaksa empat orang anaknya berkongsi telefon bagi memperoleh bahan pendidikan digital. “Sekarang ini susah sedikit kerana telefon saya terpaksa dikongsi antara anak-anak semasa pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR). “Tapi pemberian ini, saya sebagai ibu berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Terengganu dalam usaha ini,” katanya ketika ditemubual pemberita.  Pengagihan sumbangan itu disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Dr. Alias Razak, semasa Majlis Penyerahan Sumbangan Tablet Kepada Murid Sekolah Di Bawah Inisiatif BERKAT 2021, semalam. Turut hadir, Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.), Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun. Dr. Alias memaklumkan, seramai 50 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada kumpulan B40 kawasan Bukit Tunggal menerima peranti digital merangkumi pakej data BeOne untuk memudahkan pembelajaran dalam talian mereka. “Harapan kerajaan negeri supaya ia dapat merapatkan jurang digital dan memberi peluang kepada para pelajar, membantu dalam hasil akademik mereka sambil terus mengikuti perkembangan teknologi,” jelasnya.
21 Apr 21
585
BERKAT 2.0 : Kerajaan Agih Tablet Kepada Pelajar
BERKAT 2.0 : Kerajaan Agih Tablet Kepada Pelajar
KEMAMAN, 19 April - Di bawah Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT 2.0), Kerajaan Negeri Terengganu melalui anak syarikatnya sedang giat mengagihkan tablet kepada pelajar kurang berkemampuan di seluruh negeri. Semalam, majlis penyerahan tablet berlangsung di Dewan Sivik Kijal dengan sebanyak 44 buah tablet telah diagihkan kepada pelajar yang layak dari sekolah di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal. Tablet berjenama sumbangan daripada anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu (GLC). Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh yang hadir mewakili kerajaan negeri di kawasannya berterima kasih di atas pemberian itu dan mengharapkan agar ia dapat dimanfaatkan dengan sebaik mungkin oleh pelajar. "Saya secara peribadinya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua anak syarikat kerajaan negeri yang terlibat terutama Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc.) yang menjadi induk kepada program ini. Ustaz Hazri Jusoh sedang berucap. "Kita juga mengharapkan agar perkara yang mulia ini akan mengundang rahmat dan keberkatan daripada Allah S.W.T kepada kerajaan negeri dan keuntungan yang melimpahvruah kepada syarikat yang menyumbang," katanya. Kebanyakan pelajar yang hadir bersama ibu atau bapa mereka bersyukur dan gembira di atas inisiatif kerajaan tersebut. Seorang pelajar yang ditemui, Alliya Deraman, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Bandi berterima kasih kepada kerajaan dengan sumbangan berkenaan. "Terima kasih saya ucapkan kepada kerajaan yang memberikan tablet ini dengan secara percuma. "Insya-Allah ia akan banyak membantu dalam pembelajaran saya nanti, terima kasih," ucapnya. Gimik penyerahan tablet oleh Ustaz Hazri Jusoh (tiga dari kiri) Turut hadir di majlis tersebut adalah Ketua Komunikasi Strategik Kumpulan Terengganu Inc. Sdn. Bhd., Suridah Supian, Ketua Penyelidik Komuniti Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Mohamad Al Ghazali Abu Bakar dan Pengurus BeOne Prepaid Terengganu, Mohd Zahari Ahmad berserta para pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal.
19 Apr 21
816
Pelajar Seberang Takir Terima Tablet Percuma
Pelajar Seberang Takir Terima Tablet Percuma
KUALA NERUS, 17 April – Seramai 50 pelajar kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir menerima tablet percuma daripada kerajaan negeri Terengganu melalui anak syarikatnya Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) baru-baru inim Pegawai Penyelaras DUN Seberang Takir, Mohd Fadhil Wahab berkata, inisiatif dibbawah Bantuan Ekonomi Rakyat Terengganu (BERKAT) itu dilaksanakan bagi memudahkan murid mengikuti pembelajaran secara atas talian. “Seperti yang kita maklum, pandemik Covid-19 setahun lebih telah berlalu, ini menyebabkan sekolah ditutup atau pembelajaran lebih tertumpu secara atas talian dan ia sedikit menjejaskan pembelajaran mereka “Atas dasar itu, Menteri Besar telah mengumumkan BERKAT PKP 2.0 membabitkan kos RM19 juta dan salah satunya terkandung bantuan tablet kepada keluarga pelajar yang kurang berkemampuan,” jelasnya. Beliau berkata demikian dalam majlis Penyerahan Bantuan Tablet di Dewan Sivik Seberang Takir. Seorang pelajar, Muhammad Umar Hakim, 12, mengucapkan terima kasih kepada Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) kerana pemberian tablet itu. “Saya akan gunakan sebaik-baiknya dan pemberian ini saya akan kongsikan dengan adik-adik saya," katanya.
17 Apr 21
616
Pelajar Politeknik Dungun Harumkan Negara
Pelajar Politeknik Dungun Harumkan Negara
DUNGUN, 12 April - Pelajar Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA), Dungun berjaya mengharumkan nama negara di persada Asia selepas menduduki tempat ketiga dalam pertandingan kemahiran yang diadakan di Centre For Instructor & Advanced Skill Training (CIAST), Shah Alam.  Mohd Harith Aman daripada PSMZA tidak keseorangan apabila dia bersama rakannya Tan Khia Wen daripada Politeknik Kota Bharu (PKB) manakala jurulatih mereka ialah pensyarah Mekatronik PSMZA, Mohd Fadrul Rizal Ab Rahim dan Masrul Nizam Mahmod dalam Politeknik Malaysia. Menurut Fadrul, dua pelajar politeknik itu terpilih untuk ke Aseanskills Singapore 2020, namun disebabkan pandemik COVID-19, tuan rumah Singapura membatalkan penganjuran  pertandingan tersebut.  "Oleh itu, Festo Asia telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan pertandingan yang melibatkan bidang 'mechatronics' sahaja. "Dalam  pertandingan tersebut mereka dikehendaki memasang beberapa Modular Production System Station (MPS) mengikut tugasan yang diberikan dan membuat sistem program untuk gerakan 'station' tersebut berdasarkan soalan yang diberi," jelasnya ketika dihubungi pemberita kelmarin. Katanya, pertandingan tersebut telah disertai oleh institusi pendidikan dari pelbagai negara seperti Vietnam, Singapura, Indonesia, Korea dan Jepun secara atas talian yang berlangsung pada 7 hingga 8 April lalu. "Sekian lama diberi tunjuk ajar dan latihan keras, akhirnya berjaya juga mereka. "Walaupun gagal mempamerkan kebolehan mereka di Asean Skills, sekurang-kurangnya pertandingan ini mampu membuktikan keupayaan kita dalam bidang Mechatronics terutama bagi pasukan Politeknik Malaysia," katanya  Dalam pada itu, Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail mengucapkan tahniah di atas kejayaan pelajar daripada Jabatan Kejuruteraan Mekanikal (JKM), PSMZA ini yang dapat menempa nama di peringkat Asia.  "Pihak Pengurusan PSMZA akan sentiasa memberi sokongan kepada program-program pembangunan akademik pelajar seperti ini," ujarnya.
11 Apr 21
4163
Pilihan Raya Kampus PSMZA Secara 'Online'
Pilihan Raya Kampus PSMZA Secara 'Online'
DUNGUN, 9 April - Umum mengetahui negara masih lagi dicengkam oleh pandemik COVID-19, namun begitu pemilihan majlis perwakilan pelajar di pusat-pusat pengajian tinggi (IPT) perlu diteruskan. Tidak terkecuali Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) yang turut mengadakan Pilihanraya Kampus (PRK) secara atas talian. Ketua Jabatan Hal Ehwal Pelajar PSMZA, Yaswadi Mat Yasim berkata, dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) PRK PSMZA dengan budaya normal baharu diadakan pada 7 April secara serentak di semua Politeknik dan Kolej Komuniti seluruh negara. Urusetia PRK PSMZA "Majlis pengumuman keputusan telah diadakan di Bilik Mesyuarat Utama pada sebelah petangnya selepas masa pengundian 'online' ditutup pada jam 4 petang," katanya.  Beliau memberitahu demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan semalam.  Sementara itu Pengarah PSMZA, Mohd Fikri Ismail  merakamkan ucapan terima kasih kepada urusetia yang terdiri daripada pensyarah dan kakitangan di JHEP, PSMZA yang bertungkus lumus sehingga PRK dapat dilaksanakan dengan jayanya.  " Kepada calon pelajar yang menang  tahniah diucapkan dan semoga dapat menjalankan amanah dengan  sebaik mungkin di atas mandat yang  diberi," katanya.   
09 Apr 21
931
APMM Sumbang Bot Vietnam Bagi Penyelidikan UMT
APMM Sumbang Bot Vietnam Bagi Penyelidikan UMT
SETIU, 8 April - Buat pertama kalinya, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menyumbangkan dua bot nelayan Vietnam yang dilucut hak kepada Universiti Malaysia Terengganu (UMT) bagi tujuan penyelidikan. Vessel lucut hak itu merupakan hasil OP KUDA LAUT yang dilaksanakan sepanjang tahun lepas oleh Kapal Maritim (KM) SATRIA dan KM MULIA dan dilabuhkan di perairan dengan kedalaman 13 hingga 15 meter pada kira-kira 600 meter dari pantai Stesen Penyelidikan Alami Marin UMT di Pulau Bidong. Pengarah Bahagian Keselamatan dan Pengawasan Maritim, Laksamana Muda (M), Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, program pelupusan tersebut mengukuhkan lagi kerjasama antara kedua-dua pihak. "Sebelum ini APMM dan UMT turut terlibat dalam program Eksesais Maritim sempena Hari Kemerdekaan pada tahun lalu. "Selain daripada Universiti Malaysia Terengganu, program pelupusan bot ini turut mendapat kerjasama Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Laut Malaysia serta Institut Sumber Marin Asia Tenggara (ISMAT)," katanya. Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas program Melabuhkan Tukun Vessel Lucut Hak di Pulau Bidong, hari ini. Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UMT, Prof. Ts. Dr. Mohd Zamri b. Ibrahim dan Pengarah APMM Terengganu, Kapten (M) Muhammad Suffi Mohd Ramli. Mewakili Naib Canselor UMT, Dr. Zamri Ibrahim turut merakamkan rasa terima kasih atas sumbangan khusus APMM. "Vessel-vessel lucut hak yang dijadikan tukun ini membolehkan pelajar dan penyelidik UMT menjalankan aktiviti pengajawan dan pembelajaran serta penyelidikan berkaitan sumber perikanan dan beberapa aspek sains marin yang lain. "Program ini juga diharap dapat mengukuhkan hubungan antara UMT, agensi penguatkuasaan, kerajaan negeri dan masyarakat disamping dapat meningkatkan kesedaran dan keprihatinan masyarakat terhadap alam sekitar dan kelestarian sumber perikanan negara," katanya. Program kali ini merupakan pelupusan kesembilan dalam tahun ini oleh Maritim Negeri Terengganu dan dijangkakan sebanyak 38 bot lagi bakal ditenggelamkan setelah mendapat pelucutan hak daripada mahkamah. Sehingga kini, sejumlah 104 bot telah ditenggelamkan sebagai tukun di sepanjang perairan Terengganu oleh Maritim Negeri Terengganu dengan anggaran nilai RM156 juta.  
08 Apr 21
1334
Satu Sekolah Di Mukim Hulu Besut Ditutup
Satu Sekolah Di Mukim Hulu Besut Ditutup
KUALA NERUS, 7 April - Jabatan Pendidikan negeri (JPNT) mengesahkan Sekolah Kebangsaan (SK) Keruak di Hulu Besut, ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di mukim Hulu Besut, berkuat kuasa hari ini. Pengarah Jabatan Pendidikan negeri, Salim Ab Ghani berkata, sekolah yang mempunyai seramai 385 murid termasuk 180 murid perempuan itu ditutup sehingga kerajaan mengumumkan penamatan PKPD. Tambahnya, walaupun tiga kampung di mukim Kuala Besut diumumkan sebagai kawasan pelaksanaan PKPD, tetapi hanya membabitkan satu penutupan sekolah rendah. "Jumlah keseluruhan murid di SK Keruak, Hulu Besut adalah seramai 385 murid Tahun Satu dan Tahun Enam iaitu 205 murid lelaki dan 180 murid perempuan. "Walaupun kerajaan mengumumkan pelaksanaan PKPD, tetapi tiada murid dan guru serta pengurusan sekolah dijangkiti COVID-19," jelasnya. Salim berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pelancaran Gerakan Massa Terima Kasih Cikgu sempena Sambutan Hari Guru Peringkat negeri di sini hari ini. Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Negara, Senator Datuk Razali Idris. Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan melaksanakan PKPD di tiga kampung di mukim Hulu Besut, iaitu Kampung Belaoh, Kampung Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Belaoh Baru dan Kampung Keruak, berkuat kuasa hari ini. Ismail berkata, keputusan pelaksanaan PKPD itu dibuat susulan laporan Kementerian Kesihatan (KKM) menunjukkan peningkatan kes COVID-19 di tiga lokaliti terbabit. "Sehingga kini, secara kumulatif KKM sudah melaksanakan 58 ujian saringan di Kampung Belaoh, Kampung PPRT Belaoh Baru dan Kampung Keruak dan enam orang disahkan positif COVID-19," ujarnya. Menurut Salim, sekolah itu akan dibuka selepas kerajaan mengumumkan penamatan PKPD. Bagaimanapun, jelasnya, sepanjang penutupan sekolah itu, pengurusan sekolah itu akan melaksanakan pembelajaran menggunakan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
07 Apr 21
3230
Pincang Agama Beri Kesan Pada Negara
Pincang Agama Beri Kesan Pada Negara
KEMAMAN, 7 April - Aspek pembangunan modal insan menjadi perhatian kerajaan dengan diberi perhatian khusus dari sudut pendidikan agama, kerana kepincangan dari sudut berkenaan akan membawa kepada kehidupan masyarakat yang tidak berkualiti dan akan menjejaskan masa hadapan negara. Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Agama), Ahmad Marzuk Shaary berkata, untuk tujuan itu kerajaan sedang giat menjalankan usaha termasuk memfokuskan dunia pendidikan. "Pihak kerajaan akan cuba sedaya mungkin memperkasakan institusi pendidikan pondok, akademi dan sekolah-sekolah agama seperti Akademi Al-Qur'an Amalillah (AKMAL) di negeri ini yang sudah dibuktikan bahawa ianya berjaya dari sudut pengurusan dan melahirkan para hafiz dan hafizah. "Insya-Allah akan mempermudahkan lagi sebarang bentuk bantuan daripada pihak kerajaan agar terus berperanan dan berjasa bukan hanya pada pelajar yang sedia ada bahkan generasi akan datang," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Haflah Takrimi AKMAL Graduasi Kali Ke-2, di Dewan Canselor kolej Universiti TATI di sini baru-baru ini. Mengulas lanjut katanya, sepanjang mengamati pelajar-pelajar di akademi berkenaan didapati mereka memiliki kecemerlangan luar biasa dari sudut hafalan al-Qur'an. "Mereka berperanan seumpama eksikplopedia al-Quran yang bergerak. Anak-anak yang menghafal al-Quran ini melalui suatu usaha yang sukar, ingatan mereka luar biasa. "Ini merupakan ruang dan peluang yang Allah izinkan kepada mereka untuk menikmati mukjizat agung ini, jaminan yang sangat besar kepada ibu bapa yang memiliki hafiz dan hafizah ini. "Di mana akan mendapat manfaat yang sangat besar dan semoga beroleh syurga Allah SWT," ujarnya. Dalam pada itu, katanya, mendidik generasi serta masyarakat pada hari ini mengenai kesedaran agama merupakan tanggungjawab semua pihak. "Mudah-mudahan kita semua diberkati Allah dan diberikan dorongan serta dicetuskan hati kita untuk terus memberikan kerjasama dalam menjayakan usaha membimbing generasi pada masa kini dan akan datang supaya terlahirnya keturunan yang baik dan soleh," ujarnya.
06 Apr 21
513
Teganu Prihatin, Rintis Penduduk Cakna Isu Semasa
Teganu Prihatin, Rintis Penduduk Cakna Isu Semasa
KUALA TERENGGANU, 6 April - Program Teganu Prihatin kini dilihat menjadi medium terbaik dalam menyampaikan dasar negara dan negeri kepada masyarakat. Pengarah Jabatan Penerangan Negeri (JaPen) Terengganu, Ahmad Ammar Othman berkata, tujuan program berkenaan diadakan bagi melaksanakan hebahan pelbagai maklumat berkaitan isu semasa, kempen dan dasar kerajaan seperti pengamalan norma baharu pasca pandemik COVID-19.  "Setiap hari, JaPen akan mengadakan hebahan dan penyampaian maklumat kepada masyarakat dalam pelbagai medium. "Dari sini, timbul idea daripada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah supaya kita adakan satu program turun padang dengan mengumpulkan pelbagai agensi persekutuan dan negeri agar kita dapat uar-uarkan mesej terus kepada masyarakat," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program Teganu Prihatin siri pertama di Pulau Perhentian, baru-baru ini. Jelasnya,kempen berkenaan diwujudkan dengan tema, Merintis Komuniti Berinformasi bagi membina masyarakat bermaklumat dengan penyampaian info berkaitan daripada pelbagai agensi. "Gabungan kerjasama Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Agensi Anti Dadah Malaysia (AADK), Jabatan Kesihatan Negeri (JKNT) Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dengan sokongan padu Pejabat Daerah dan Tanah Besut serta pegawai penyelaras DUN mendapat sambutan menggalakkan daripada masyarakat. "Selain itu, kita akan adakan beberapa siri program selepas ini, mungkin kita akan pergi ke kawasan pedalaman dan cuba mendekati masyarakat dengan pelbagai medium supaya masyarakat selesa dengan kami," katanya. Tambah Ahmad Ammar, kempen-kempen ini perlu sentiasa dilaksanakan supaya masyarakat faham betapa pentingnya komuniti yang berinformasi. "Terutama pada waktu sekarang, kita perlu ingatkan masyarakat tentang pengamalan norma baharu dalam kehidupan, kita tidak mahu jika berlaku jangkitan Covid-19 di sini, pulau akan ditutup dan situasi itu akan menyusahkan semua penduduk.  "Justeru, menjadi kewajipan kami untuk turun kepada masyarakat dan memberi penerangan tentang kepentingan vaksin dan sebagainya, serta memberi kefahaman tentang kewajipan masyarakat untuk cakna dengan isu semasa bersumberkan maklumat sahih," katanya. Dalam program selama dua hari itu, hampir 200 penduduk mendaftar vaksinisasi, 13 penduduk melaksanakan urusan berkaitan Mykad dan 72 orang berurusan dengan SPR bagi daftar pemilihan.
06 Apr 21
812
Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia Lebar Sayap Ke Terengganu
Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia Lebar Sayap Ke Terengganu
KUALA TERENGGANU, 5 April - Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG Malaysia) di Petaling Jaya, Selangor yang didaftarkan secara rasminya dengan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (ROS)  pada 2012 kini melebarkan sayapnya keTerengganu. Setiausahanya, Dr Asyraf Isyraqi Jamil berkata, tujuan utama penubuhan rabitah berkenaan adalah untuk menyampaikan wadah al-Azhar kepada ribuan lepasan al-Azhar di seluruh dunia serta menjalinkan hubungan yang lebih erat sesama ahli. “Sebagai sebuah Badan Bukan Kerajaan (NGO), kami menganjurkan aktiviti-aktiviti yang boleh memberi faedah kepada ahli selain membawa mesej wasatiyah yang jauh dari pemikiran ekstrem,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berucap di Majlis Taklimat Dan Dialog Penubuhan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu di Pusat Bahasa Arab Terengganu, hari ini. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu, Lothman Awang dan Pengerusi Perhubungan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu, Abdullah Suhaimi. Sementara itu, Abdullah yang menerima watikah pelantikan sebagai Pengerusi Perhubungan Rabitah Antarabangsa Alumni Al Azhar Maktab Terengganu pada majlis berkenaan menyifatkan, pembukaan rabitah di Pusat Bahasa Arab Terengganu itu merupakan suatu kebanggaan kepada Negeri Terengganu. “Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan negeri dalam memperkasa Bahasa Arab di bumi Darul Iman ini. “Dengan adanya rabitah cawangan Negeri Terengganu ini, saya harap dapat memberi sumbangan, menyebarluaskan lagi program-program seperti meningkatkan kemahiran pelajar berbahasa arab dan sebagainya. “Saya juga mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam usaha memperkasa bahasa Arab ini,” ujarnya.  
05 Apr 21
903