lightning-solid
Berita :

Artikel "Pendidikan" Terkini

Kerajaan Rai 506 Pelajar Cemerlang Akademik
Kerajaan Rai 506 Pelajar Cemerlang Akademik
KUALA TERENGGANU, 3 Mac – Seramai 506 pelajar cemerlang Terengganu diraikan dalam Majis Anugerah Pingat Emas dan Hadiah Kecemerlangan SPM, STPM & STAM Tahun 2020 Yayasan Terengganu Kali ke-41 di Taman Tamadun Islam, hari ini. Menteri Besar, Dato Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar merakamkan penghargaan kepada semua pelajar yang memperoleh pencapaian cemerlang hingga mengekalkan Terengganu antara negeri terbaik bagi kejayaan akademik.  “Agenda pendidikan negeri menjadi salah satu usaha penting dengan hasrat melahirkan modal insan yang seimbang berteraskan aspek Islam. “Dengan keseimbangan ini, maka pembangunan masyarakat yang intelek dan berdaya saing mampu dicapai seiring Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS2030),” tambah beliau dalam ucapan perasmian. Hadir sama dalam majlis itu ialah Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat dan Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham. Sejak 1980, seramai 17,547 pelajar yang mencapai keputusan cemerlang diraikan dengan perbelanjaan sejumlah RM4,844,000.00 daripada kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu. Pelajar cemerlang menerima insentif berbentuk wang tunai, komputer riba serta sijil penghargaan.  
03 Mar 22
509
'Terima Kasih YB Hadir Beri Semangat'
'Terima Kasih YB Hadir Beri Semangat'
KUALA TERENGGANU, 1 Mac- Madrasah Moden Terengganu (MMT) Hulu Terengganu merakamkan ucapan terima kasih kepada Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim atas sumbangan kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) daripada sekolah berkenaan. Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid MMT, Nor Azliyani Muhammad Aziz berkata, sumbangan sebanyak RM3,000 itu sedikit sebanyak dapat membantu keperluan para pelajarnya. "Semoga Allah SWT mempermudahkan urusan YB pada masa akan datang. "Alhamdulillah, Sekolah Menengah Agama (SMA) Khairiah juga menerima kedatangan kami dengan baik. "Sebelum ini, kami dipindahkan ke Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu (MDHT). Jadi, emosi pelajar agak terganggu," katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan berkenaan di SMA Khairiah, malam ini. Tambahnya, selepas dipindahkan ke SMA Khairiah, suasana dan kemudahan lebih selesa dan membantu calon-calon daripada MMT. Dalam pada itu, ketua pelajar MMT, Nur Anisa Maisarah Abdul Wahab menyifatkan, pemindahan calon-calon SPM ke SMA Khairiah menaikkan kembali semangat dan emosi mereka. "Semasa dipindahkan, kami tidak dapat bawa banyak bahan-bahan dan rujukan. "Jadi, ketika sampai di sini semalam, kami lebih banyak 'recall' pelajaran secara 'study group'. "Hari ini, kami telah dapat menggunakan buku teks dan menerima bantuan -bantuan dari pelbagai pihak, ia menaikkan semangat kami semula untuk peperiksaan esok," katanya.
01 Mar 22
816
Amzad 'Terbang Pulang' Rai Calon SPM Terjejas
Amzad 'Terbang Pulang' Rai Calon SPM Terjejas
KUALA TERENGGANU, 1 Mac- Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim pulang terus dari Kuala Lumpur selepas persidangan Parlimen hari ini, semata-mata ingin menyampaikan sendiri bantuan dan memberi semangat kepada calon-calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas akibat banjir di Terengganu. "Saya mendapat maklumat pagi tadi tentang kehadiran calon-calon SPM daripada Sekolah Menengah Agama (SMA) Mahmudiah di sekolah ini dan pelajar Madrasah Moden Terengganu (MMT) Hulu Terengganu yang ditempatkan di SMA Khairiah. "Jadi, saya rasa walaupun mereka ini daripada parlimen yang lain tetapi apabila calon-calon ini ditempatkan di Kuala Terengganu, kita perlu meraikan dan memberi semangat supaya mereka lebih positif untuk mencapai kejayaan," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan di SMA Atas Sultan Zainal Abidin, malam ini. Dalam majlis ringkas itu, sebanyak RM10,000 disampaikan Amzad kepada empat sekolah berkenaan di mana SMA Mahmudiah menerima RM5,000 dan MMT Hulu Terengganu pula menerima RM3,000.  Manakala, SMAASZA dan SMA Khairiah masing-masing menerima RM1,000. Turut hadir, Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Terengganu, Lothman Awang dan Pegawai Pendidikan Daerah, Zailani Sulong. Tambahnya, sumbangan peribadi tersebut disampaikan bagi menampung apa-apa keperluan berkaitan untuk membolehkan mereka menampung apa-apa yang hilang ekoran banjir. "Menjadi tradisi saya di parlimen Kuala Terengganu untuk memberikan bantuan kepada calon-calon peperiksaan seperti tajaan tuisyen SPM sebelum ini," katanya. Terdahulu, seramai 131 calon SPM dari SMA Mahmudiah dipindahkan ke SMAASZA berikutan sekolah mereka dinaiki air, semalam. 41 calon SPM daripada MMT Hulu Terengganu pula dipindahkan ke SMA Khairiah bagi memastikan calon-calon terbabit dapat menjalani peperiksaan dengan tenang.
01 Mar 22
874
Sekolah Banjir, Calon SPM Dipindahkan
Sekolah Banjir, Calon SPM Dipindahkan
KEMAMAN, 28 Februari - Seramai 82 calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Air Putih dipindahkan selepas sekolah tersebut dinaiki air, sejak semalam.  Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, pemindahan pelajar tersebut dibantu pihak polis kira-kira 1 tengah hari ini menggunakan dua buah lori ke SMK Cheneh Baru, kira-kira 23 kilometer dari sekolah berkenaan.  Jelasnya, meskipun hanya 39 orang pelajar terlibat tinggal di asrama, namun kesemua calon yang tinggal di rumah turut dipindahkan berikutan laluan ke sekolah berkenaan turut dinaiki air.  "Mesyuarat Pusat Kawalan Operasi Bencana pada pagi ini memutuskan supaya calon SPM ini dipindahkan ke sekolah lain yang tidak terjejas banjir memandangkan sekolah tersebut dinaiki air kira-kira dua meter. "Buat sementara ini, kesemua 82 pelajar tingkatan lima sekolah tersebut akan menduduki SPM bersama 77 pelajar SMK Cheneh Baru," katanya kepada media hari ini. Usaha tersebut dilakukan bagi memastikan keselamatan pelajar dalam situasi luar jangka berikutan banjir yang berlaku. 
28 Feb 22
123
Suara Hati Wanita: Banyak Ilmu Pengetahuan Kunci Penyelesaian Konflik
Suara Hati Wanita: Banyak Ilmu Pengetahuan Kunci Penyelesaian Konflik
KUALA TERENGGANU, 24 Februari - Ilmu pengetahuan dan kefahaman mendalam dalam pelbagai aspek kehidupan dapat menyelesaikan pelbagai perkara dihadapi oleh kaum hawa di negeri ini. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional, Alias Harun berkata, agama Islam meletakkan wanita di satu tempat yang sangat istimewa. “Penglibatan semua pihak samada pihak kerajaan ataupun Badan Bukan Kerajaan (NGO) dalam menyediakan persekitaran yang menyokong dan menggalakkan pemerkasaan wanita mestilah diperkuatkan,”jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Suara Hati Wanita Bangkit Dari Sakit, I Am Ok! yang diadakan di Dewan Majlis Perbandaran Dungun, semalam. Menurutnya, program suara hati wanita sangat baik untuk rakyat Terengganu bagi menimba pendidikan dari pelbagai sudut pengetahuan. “Ini selaras dengan matlamat Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita Keluarga Dan Perpaduan Nasional yang merupakan sebuah jawatankuasa berfokuskan kepada memperkukuhkan institusi perkahwinan dan kekeluargaan, memperkasakan wanita bagi mencapai kesejahteraan bersama. “Di samping itu, ia menjamin hak dan kesejahteraan kanak kanak, serta meningkatkan kerjasama strategik dengan pihak berkepentingan untuk sistem sokongan yang berkesan dan menyeluruh,” ujar beliau. Alias menambah, kaum hawa merupakan sebahagian daripada agenda sumber manusia yang tidak pernah diketepikan. “Wanita Terengganu pada hari ini sangat bertuah kerana banyak kelebihan serta insentif yang sediakan dari awal kelahiran sehingga umur warga emas. “Banyak juga manifesto kerajaan negeri Terengganu yang diterajui oleh parti PAS yang telah direalisasikan khas untuk wanita. “Antaranya, sumbangan biasiswa Yayasan, biasiswa kepada pelajar, program kahwin perdana, insentif untuk ibu tunggal, 'honeymoon' kali ke dua, program pap-smear, wad kelas ketiga percuma dan banyak lagi. Semua untuk kebajikan rakyat Terengganu,” tambah Alias lagi.
24 Feb 22
606
Pelajar Cemerlang Teruja Ditaja Lanjut Pengajian Ke Australia
Pelajar Cemerlang Teruja Ditaja Lanjut Pengajian Ke Australia
KUALA TERENGGANU, 21 Februari- Tiga orang anak negeri ini teruja apabila hasrat dan cita-cita mereka selama ini untuk menyambung pengajian ke Australia ditunaikan menerusi biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu ke luar negara dengan peruntukan sebanyak RM1.9 juta Buat kali pertama, kerajaan negeri akan menghantar pelajar ke benua tersebut setelah ketiga-tiga mereka telah muncul menjadi pelajar terbaik Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2018 dan 2019 dan menamatkan Program Persediaan A-Level dan South Australian Certificate Of Education (SACE) di Kolej Intec Shah Alam. Antaranya adalah Tuan Nur Ain Nadhirah Tuan Kob yang memperolehi keputusan cemerlang SPM 2018 dengan keputusan 11A, bakal menyambung pengajian di University Of Melbourne. Beliau diikuti oleh Iffah Nabilah Shahidan yang merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Chukai mendapat 9A didalam SPM 2019 juga akan ke universiti tersebut dalam bidang yang sama selama tiga tahun. Manakala Mohamad Shafiq Akram Shafee pula akan ke Monash University dalam bidang farmasi selama empat tahun yang i sebelum ini telah muncul sebagai pelajar cemerlang pada SPM 2019 dengan mendapat keputusan 9A+. Berkongsi detik kegembiraan itu, Nur Ain berkata dengan biasiswa yang diterima itu sangat membantu untuknya menghabiskan pengajian yang akan memakan masa selama tiga tahun. "Saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri dan terharu dengan peluang yang diberikan ini, dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mendapatkan ijazah kelas pertama di sana nanti dalam bidang yang dipilih ini. "Nasihat saya kepada mereka yang akan menduduki peperiksaan berusahalah untuk mencapai keputusan yang cemerlang supaya mendapat peluang biasiswa yang ditawarkan oleh kerajaan negeri ini untuk ke luar negara. "Saya sangat bersyukur dan berterima kasih di atas peluang yang diberikan kepada saya ini,"Ujarnya yang berasal dari Besut merupakan anak kedua daripada tiga beradik, ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) Berkongsi kegembiraan yang sama, Iffah Nabilah yang merupakan anak jati Kemaman pula berkata, dengan tawaran yang diterimanya itu telah merealisasikan impiannya semenjak kecil untuk belajar di luar negara. "Kerana itu di bangku sekolah terutamanya pada peringkat menengah saya sentiasa berusaha dan mengulangkaji pelajaran dengan tekun untuk memastikan saya meraih keputusan yang cemerlang. "Akhirnya impian ini dapat dicapai dimana saya akan berangkat pada pertengahan Februari ini dan akan memulakan kelas pertama pada 28 Februari," jelasnya. Nasihatnya kepada pelajar lain agar jangan pernah merasa penat dalam belajar untuk meraih keputusan yang cemerlang, apabila berjaya katanya, tawaran dari pelbagai pihak seperti yang diberikan oleh kerajaan itu akan diterima. "Dengan biasiswa yang diperolehi ini tidak akan sia-siakan untuk membalas balik jasa baik kerajaan yang telah membantu saya dan rakan-rakan ini insya-Allah sata serta rakan-rakan yang lain akan menghabiskan pelajaran dengan lancar dan insya-Allah pulang nanti akan menyumbang khidmat serta menggunakan segala ilmu dalam pekerjaan nanti," tambahnya. Shafiq Akram pula berkata kejayaanya itu menjadi kebanggan keluarga apabila menjadi anak pertama dalam keluarga berjaya menyambung pengajian ke luar negara. "Ini membuatkan saya lagi teruja apabila menerima biasiswa ini dimana akan meringankan perbelanjaan pengajian nanti. "Saya anggap ini satu tanggungjawab yang besar untuk menimba ilmu sebanyak-banyaknya di luar negara apabila pulang nanti berbakti kepada negara,"katanya yang merupakan anak keempat daripada lima beradik," katanya lagi. Ketiga-tiga mereka telah ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPSI) selepas diraikan dalam Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara bagi tahun ini, di Pejabat Yayasan Terengganu, awal bulan ini. Majlis berkenaan telah disempurnakan perasmiannya oleh Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi, Satiful Bahari Mamat. Satiful berkata, besar harapan kerajaan negeri untuk melihat pelajar berkenaan pulang membawa kejayaan dan menamatkan pengajian mengikut tempoh yang telah ditetapkan. "Sekalung penghargaan dan tahniah kepada para pelajar, ibu bapa dan semua pihak yang terlibat semoga kesemua mereka akan mengekalkan kecemerlangan mereka di sana melalui bidang pengajian yang dipilih di universiti yang terkemuka, di mana ia turut menjadi impian dan dambaan pelajar lain untuk turut menimba ilmu di sana. "Bagi pelajar yang akan menduduki peperiksaan terutamanya pelajar SPM belajarlah bersungguh-sungguh kerana kerajaan negeri sentiasa komited untuk menaja anak Terengganu bagi menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi. "Kita sentiasa menyediakan ruang dan peluang kepada mereka," ujarnya.  
21 Feb 22
1031
Ibu Bapa Perlu Sedarkan Anak
Ibu Bapa Perlu Sedarkan Anak
DUNGUN, 15 Februari - Ibu bapa diharap agar sentiasa memainkan peranan untuk memberi kesedaran kepada anak-anak supaya tidak terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang tidak sihat. Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata kerjasama dengan pihak sekolah dan agensi-agensi kerajaan boleh meningkatkan tahap kefahaman, pengetahuan dan kesedaran berkaitan masalah penyalahgunaan dadah.  "Ia juga dapat mewujudkan rasa kepentingan seterusnya mengeratkan hubungan silaturahim sesama kita dan dapat menyemaikan semangat mendisiplinkan diri serta menjaga kesihatan," katanya. Wan Hassan berkata demikian ketika berucap merasmikan Program #LebihBaikCegah Sempena Bulan Antidadah Kebangsaan 2022 anjuran Agensi Anti Dadah Kebangsaan(AADK) Dungun, Skuad Antidadah Dungun di Taman Rekreasi Bukit Chatak 2 di sini bar-baru ini. Program sempena Sambutan Bulan Antidadah Kebangsaan 2022 yang berbentuk 'jungle trekking' berinformasi  itu adalah juga dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah Dungun, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung(JPKK) Bukit Chatak Tengah, Pemuda Bukit Chatak 2, Kumpulan Rukun Tetangga(KRT) Bukit Chatak dan Mc'Donalds Dungun.  Katanya, penglibatan 100 orang murid Tahun Enam dari sekolah-sekolah sekitar Bandar Dungun program  yang memberi informasi dan pendedahan bagi pembentukan sahsiah dan jati diri dengan membangunkan kemahiran kendiri dalam tempoh pendidikan formal. "Semoga anak - anak pelajar sentiasa dijauhi dari segala gejala yang tidak baik ini. Moga dalam rahmat Allah swt. Insya-Allah," katanya.
15 Feb 22
302
Pusat Antarabangsa UniSZA : Bina Reputasi Pendidikan Bertaraf Dunia
Pusat Antarabangsa UniSZA : Bina Reputasi Pendidikan Bertaraf Dunia
KUALA NERUS, 14 Februari – Sejak ditubuhkan pada 2014, Pusat Antarabangsa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) sentiasa berada di barisan hadapan dalam menarik pelajar antarabangsa dari seluruh dunia sekali gus mempopularkan Terengganu sebagai pusat pendidikan bertaraf dunia. Pengarahnya, Anuar McAfee, berkata universiti itu telah berkembang pesat dari segi pengambilan antarabangsa berbanding zaman Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) hasil sebaran dari mulut ke mulut, kemajuan fasiliti universiti dan persekitaran negeri yang aman. “Apabila saya memegang jawatan (sebagai pengarah) 8 tahun lalu, antara persoalannya adalah bagaimana kita boleh menarik orang luar ke sini kerana ramai antara mereka lebih gemar tinggal di bandar besar seperti Kuala Lumpur. “Namun begitu, Pusat Antarabangsa dan kemasukan kami berkembang setiap tahun walaupun berdepan saingan daripada universiti pantai barat, bermula dengan 200 orang pelajar meningkat kepada 600 sehingga hari ini dengan lebih 1,170 pelajar dari 40 negara. “Jika bertanya kepada mereka (pelajar), kebanyakkan menyatakan keterujaan tinggal di Terengganu, menyifatkan ia sebagai tempat yang kondusif untuk belajar, tenang, selamat, murah untuk didiami dengan kualiti pendidikan bertaraf dunia di UniSZA,” katanya yang juga pensyarah Bahasa Inggeris berasal dari Kanada. Jelasnya, antara faktor lain yang menarik minat warga asing untuk datang dan melanjutkan pengajian tinggi, adalah disebabkan hubungan erat antara pelajar dan kakitangan yang sentiasa terjalin. “Sesetengah pelajar lebih suka tinggal di sini berbanding pantai barat, melihat UniSZA lebih kecil berbanding 20 Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) lain. “Pada permulaannya, kebanyakan kemasukan adalah dari Brunei, Indonesia, Singapura dan lain-lain sehingga pertengahan 90-an dengan mahasiswa China yang mengambil pengajian Islam. Namun pada 2006, kami terpaksa melakukan pengemaskinian besar apabila KUSZA dinaiktaraf sebagai Universiti Awam. “Kini dengan fakulti baharu, program, pengembangan dalam penyelidikan, pengantarabangsaan bermula secara beransur-ansur sehingga UniSZA menjadi pilihan utama terutamanya di kalangan warga Jordan, Indonesia, Nigeria dan ramai lagi melalui pemasaran dari mulut ke mulut,” tambahnya. Tambahnya ketika ditemubual pemberita, dengan sekatan COVID-19 yang semakin longgar, anjuran program pelajar antarabangsa dan masyarakat adalah cerah dengan program pertama tahun ini ialah pembersihan pantai Seberang Takir. “Kami berharap jurang antara rakyat Terengganu tempatan dan siswazah antarabangsa akan berkurangan, menerusi lebih banyak aktiviti seperti dengan masjid awam, program alam sekitar dan banyak lagi. "Ini bukan sahaja membuka peluang untuk ikatan antara budaya tetapi juga meningkatkan ekonomi tempatan dan pelancongan untuk negeri ini," katanya lagi.
14 Feb 22
845
Terengganu Salur RM15 Juta Biasiswa Pelajar Sejak 2019
Terengganu Salur RM15 Juta Biasiswa Pelajar Sejak 2019
KUALA TERENGGANU, 8 Februari - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) sudah menyalurkan biasiswa sebanyak RM15 juta kepada 601 pelajar cemerlang negeri terbabit sejak 2019. Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, inisiatif itu bagi membantu golongan berkenaan meneruskan pengajian di peringkat ijazah pertama sama ada dalam mahupun luar negara. “Sehingga kini 84 orang daripada 601 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) telah menerima Skim Pelajar Cemerlang bagi mengikuti program, pengajian luar negara dalam bidang kritikal seperti perubatan, , kejuruteraan, sains, perakaunan serta al-Quran dan Qiraat. “Bagi mereka yang tidak berjaya mendapat biasiswa ada disediakan Tabung Pendidikan Terengganu Sejahtera bagi memastikan lebih ramai anak-anak dari negeri ini akan berjaya menyambung pengajian,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada Majlis Penyerahan Pendahuluan Diri Penerima Biasiswa Skim Pelajar Cemerlang Yayasan Terengganu Ke Luar Negara bagi tahun 2022, di Pejabat Yayasan Terengganu, di sini, pada hari ini. Turut hadir, Pengarah YT, Dato' Haji Mohd Azmi Mohamad Daham, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim serta Ahli Dewan Negara, Senator Nuridah Mohd Salleh.  Pada majlis berkenaan, seramai tiga penerima biasiswa SPC buat pertama kalinya akan menjadi pelajar yang akan dihantar ke Australia, Tuan Nurain Nadhirah Tuan Kob dan Iffah Nabilah Shahidan akan ke University Of Melbourne dalam bidang 'Commerce (Accountancy), manakala Mohamad Shafiq Akram Shafee ke Universiti Monash bagi menyambung pengajian dalam bidang farmasi. Satiful memaklumkan, nilai keseluruhan biasiswa yang diterima oleh ketiga-tiga pelajar berkenaan adalah berjumlah RM 1.9 juta membabitkan tempoh pengajian selama tiga hingga empat tahun. "Memilih Australia pada kali ini kerana kita ingin mempelbagaikan ruang pengajian ke lebih banyak negara sama ke United Kingdom, New Zealand, Korea dan sebagainya tidak hanya ke negara timur tengah dalam bidang pengajian Islam sahaja tetapi turut melibatkan bidang pengajian lain,” tambah beliau.   
08 Feb 22
604
SPM Titik Permulaan Kehidupan Baru
SPM Titik Permulaan Kehidupan Baru
KUALA NERUS, 8 Februari - Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tidak seharusnya dianggap sebagai peperiksaan pendidikan terakhir namun perlu dilihat sebagai satu titik mula kehidupan baru yang lebih mencabar setelahnya. Menjelaskan kenyataan tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh Hishamuddin Abdul Karim menyifatkan peperiksaan awam tersebut yang bakal ditempuhi juga merupakan sebagai saat penting dalam menentukan hala tuju masa hadapan para pelajar.  "Ini bukan titik akhir namun anggaplah ia sebagai pemula kehidupan baru menempuhi cabaran yang pelbagai setelahnya. "Contohnya, kitaran kehidupan dari sudut ekonomi, jadi siapa lagi yang diharapkan untuk mendokong sektor negeri ini selain dari remaja belia yang cekap, bijak dan berpengetahuan untuk mengawal keseluruhan kitaran yang ada di sekeliling ini," katanya. Beliau berkata demikian kepada para pelajar dan tetamu undangan ketika menyempurnakan perasmian penutup Tuisyen Rakyat di Dewan Felda Ehsan Wilayah Kelmarin, baru-baru ini. Tambahnya lagi, ilmu yang dipelajari juga mempunyai kuncinya iaitu setiap pelajar haruslah memiliki sifat jujur dan amanah. "Namun, apabila kedua-dua sifat tersebut tidak dipraktikkan, tiadalah nilai sebenar ilmu tersebut dan tidak mustahil akan mudah terlibat dengan rasuah dan salah guna kuasa. "Generasi akan datang diharapkan menjadi generasi berilmu, berpengetahuan, beramanah dan menjadi generasi yang memiliki tanggungjawab yang tinggi kepada Allah dan juga manusia," katanya lagi yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri. Beliau turut berpesan agar para pelajar menjadikan keputusan yang bakal diperolehi kelak sebagai satu titik permulaan bagi sebuah kehidupan yang jauh lebih mencabar pada masa akan datang, bukannya titik pengakhiran dalam kehidupan adik-adik. Untuk pengetahuan, program tuisyen rakyat kali DUN Tepoh tahun ini dibaratkan seperti tuah buat para pelajar SPM kerana diadakan sebuah universiti terkemuka di Terengganu di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak, sekaligus memberi peluang kepada anak-anak pelajar merasai suasana dewan belajar di menara gading.
07 Feb 22
427